Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Azab 4 tahun berakhir

Posted: 17 Jul 2014 08:26 AM PDT

Beijing: Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun berjaya menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 15 kilogram dari perutnya.

Han Bingbing yang berasal dari Heilongjiang, timur laut China, menjalani pembedahan itu yang mengambil masa selama lapan jam baru-baru ini.

Ketumbuhan itu membesar sehingga sebesar dua bola sepak sejak empat tahun lalu.

Sehingga 18 Jun lalu, ia memenui lima perenam daripada perut Han, menyebabkan organ dalamannya gagal berfungsi secara berperingkat-peringkat.

Foto

KEADAAN Han sebelum dibedah.

Foto

DUA tumor yang dikeluarkan dari perut Han.

Foto

HAN selepas menjalani pembedahan ketumbuhan sebesar dua bola sepak.


Nasib menyebelahi Han apabila Perbadanan Penjagaan Kesihatan Xukecheng berjaya mengumpul dana yang sama jumlah dengan RM60,000 untuk membantu membiayai pembedahan berkenaan.


Han disahkan menghidap penyakit ovarian teratoma sejak 2009.

Sejak itu hutang keluarganya menimbun selepas merusaha berusaha menanggung rawatan perubatan murid itu.

Tidak ramai doktor yang yakin dia akan selamat.

Beberapa klinik enggan merawatnya sehingga keluarganya mengetahui mengenai sebuah hospital di Guangzhou, selatan China, kira-kira 4,000 kilometer dari kediaman mereka. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/18

Gencatan senjata sementara lima jam

Posted: 17 Jul 2014 08:22 AM PDT

Gaza: Israel dan Hamas semalam mengadakan gencatan senjata sementara selama lima jam yang meredakan seketika pertempuran yang sudah berlangsung selama 10 hari itu.

Dalam pada keadaan di Gaza kembali tenang buat pertama kali sejak 8 Julai lalu, Mesir meneruskan usaha untuk menjadi orang tengah dalam rundingan gencatan senjata penuh antara Israel dan Hamas.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan tentera negara itu melalui laman Twiternya menyebut: "Kami akan menghentikan serangan sehingga jam 3 petang hari ini bagi membolehkan bantuan kemanusiaan dilakukan di Gaza. Jika Hamas memulakan serangan, kami akan membalasnya."

Jurucakap Hamas, Mushir al-Masri mengesahkan kumpulan itu bersetuju dengan perjanjian itu.

Foto

PENDUDUK Palestin mengusung empat mayat anggota keluarga al Astal yang terbunuh dalam serangan Israel di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza, semalam. Israel mengebom kediaman keluarga itu beberapa jam sebelum gencatan senjata sementara dikuatkuasakan.

Foto

remaja Yahudi menari untuk menyokong tentera Israel berhampiran sempadan Semenanjung Gaza, semalam.


Seorang pegawai kanan PBB berkata, negara Yahudi itu membuka laluan Kerem Shalom di sempadan Gaza bagi membenarkan bantuan dibawa masuk.


Namun, kedua-dua pihak seolah-olah 'kurang berminat' mengakhiri pertempuran dengan kumpulan pejuang melancarkan serangan bom ke selatan Israel hanya dua jam selepas perjanjian dimeterai.

Sebelum itu, tidak lama sebelum gencatan senjata bermula pada jam 7 pagi waktu tempatan, kereta kebal tentera Yahudi melepaskan tembakan yang membunuh tiga rakyat Palestin di Gaza.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya 230 rakyat Palestin dan seorang rakyat Israel terbunuh manakala 1,690 yang lain cedera sejak pertempuran tercetus 10 hari lalu.

Dalam gencatan senjata sementara itu, kedua-dua pihak bersetuju menghentikan serangan bermula jam 7 pagi sehingga 12 tengahari waktu tempatan berikutan permintaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas cadangan gencatan senjata yang diberikan Mesir menemui jalan buntu.

Dalam perkembangan sama, tentera rejim Zionis berkata, mereka dapat mengagalkan cubaan 'menyusup masuk' ke selatan Israel yang dilakukan kumpulan pejuang melalui terowong bawah tanah.

Ia dipatahkan dengan serangan udara yang menyebabkan seorang pejuang terbunuh menakala yang lain melarikan diri kembali ke dalam terowong.

Perkara itu dinyatakan jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Peter Lerner.

"Pagi ini pasukan tentera berjaya mematahkan cubaan menceroboh ke selatan Israel," katanya

Seramai 13 orang pejuang dilihat keluar dari terowong rahsia itu dan menuju ke Sufa sebelum pergerakan mereka dikesan.

Sementara itu di Mesir, perbincangan mengenai rancangan mengadakan gencatan senjata dijangka disambung semula dengan Presiden Palestin Mahmud Abbas bertemu dengan Presiden Abdel Fattah al-Sisi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/18

Junjung motosikal naik bas

Posted: 17 Jul 2014 08:18 AM PDT

New Delhi: Mengangkat motosikal ke atas bumbung bas bukan kerja mudah.

Tetapi, menjunjung motosikal ke atas bas dengan mengimbangkannya di atas kepala anda sambil memanjat tangga lebih sukar, malah mustahil dapat dilakukan.

Namun, seorang lelaki di India membuktikan ia boleh dilakukan, malah kelihatan tidak sukar.

Aksinya dirakam dalam satu video yang kini beredar di Internet.

Foto

RAKAMAN video menunjukkan lelaki terbabit mengimbangi motosikal menaiki bas.


Dalam video itu, empat lelaki membantu mengangkat motosikal di atas kepalanya.


Dia kemudian mengambil masa beberapa saat untuk mengimbangkannya sebelum mendaki tangga hingga ke bumbung bas, menggunakan tangan untuk memegang tangga dan kepalanya untuk mengangkat motosikal berkenaan.

Sebaik tiba di atas, dua lelaki membantu mengangkat motosikal itu sebelum menyusun kenderaan itu di celah barangan lain. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/18

Juruhebah glamor dibunuh kerana tiada wang

Posted: 17 Jul 2014 08:17 AM PDT

Chongqing: Seorang juruhebah glamor sebuah rancangan televisyen ditikam dan dicampak dari jambatan selepas dua pencuri berang kerana dia hanya mempunyai kira-kira RM2.50 di dalam beg duitnya.

Pencuri berkenaan begitu yakin mangsa yang terkenal itu mempunyai wang yang banyak selepas mengecamnya sebagai hos program televisyen.

Chen Xia, 26, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di daerah Yongchuan di bandar Chongqing di barat daya China apabila dia dihalang dua lelaki bersenjatakan pisau.

Mereka mendesaknya supaya menyerahkan semua wangnya di dalam beg duitnya.

Foto

MAYAT Chen di dalam sungai


Apabila menyedari dia hanya membawa sejumlah kecil wang yang bersamaan RM2.50, kedua-dua pencuri terbabit berang dan menikamnya berulang kali.


Mereka kemudian mencampaknya dari jambatan dalam usaha membunuh wanita itu.

Jeritan Chen ketika ditikam oleh Chi Peng, 27, dan Lee Shih, 24, menarik perhatian orang ramai yang menelefon polis.

Polis yang tiba beberapa minit kemudian menemui mangsa di dalam sungai.

Jurucakap polis, Bao Lai berkata, Chen masih hidup ketika mereka menariknya keluar dari sungai tetapi disahkan mati oleh pasukan perubatan tidak lama kemudian.

Polis juga berjaya menangkap kedua-dua penyerang tidak jauh dari tempat kejadian. Mereka mengaku merompak wanita itu.

Chen ialah hos program popular, 'Home in the Countryside' yang disiarkan menerusi televisyen setiap minggu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/18

Prabowo pasrah, peguam cabar

Posted: 17 Jul 2014 08:04 AM PDT

Jakarta: Walaupun Prabowo Subianto menyatakan penerimaannya terhadap sebarang keputusan pemilihan presiden, pasukan peguamnya dilaporkan sedang bersedia mencabar pengumuman Komisi Pemilihan Umum (KPU) dijadual 22 Julai ini.

Peguam kanan pasukan Prabowo, Habiburokhman berkata mereka bersedia memfailkan sebarang pertikaian keputusan diumum KPU kepada Mahkamah Perlembagaan jika bekas jeneran tentera elit zaman Suharto itu kalah kepada Joko Widodo.

"Ada tiga isu yang menjadi fokus nanti," katanya.

Tiga aspek itu, kata Habiburokhman, ialah amalan membeli undi, kecurian borang C1 (yang memuatkan keputusan kiraan undi) di beberapa daerah serta sikap berpihak penjawat awam kepada seseorang calon presiden.

Turut diberi perhatian, katanya, ialah pengundi yang mengundi di luar kawasan kediaman tanpa dokumen sewajarnya.


Hasil persaingan sengit di antara Prabowo dan Jokowi, agensi pemantau menjangkakan seseorang calon akan memenangi pemilihan kali ini dengan keputusan tipis - atau hanya kira-kira 6 peratus.


Prarbowo berkali-kali menyatakan secara terbuka untuk menerima sebarang keputusan diumum KPU kerana ia adalah kehendak rakyat Indonesia.

Dia bagaimanapun menuding jari kepada kem Jokowi kerana meyakinkan orang ramai bahawa jika mereka kalah, berlaku penipuan di pihak KPU.

Namun kem Jokowi berkata, mereka akan memfailkan bantahan hanya jika mendapati berlaku perbezaan ketara antara keputusan rasmi dengan kiraan awal sebelum ini.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/18

TNI bersedia hadapi kritis pascapemilihan

Posted: 17 Jul 2014 08:03 AM PDT

Jakarta: Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI)Jenderal Moeldoko mengarahkan pasukannya bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlaku keadaan kritikal ketika Komisi Pemilihan Umum (KPU) mendedahkan keputusan rasmi pemilihan presiden 22 Julai ini.

"Kita akan menghadapi situasi kritis pada 22 Julai.

"Jika ada perkembangan politik lebih dinamik lagi anda semua diminta bersedia," katanya semalam.

Bagaimanapun, menurut Moeldoko, TNI sudah merangka strategi khusus bagi mengawal keadaan jika berlaku hal tak diingini, termasuk menggerakkan ribuan anggotanya.

Selain itu, katanya, TNI juga akan bekerjasama dengan polis Indonesia.

"TNI siapkan 35,000 anggota dalam keadaan bersedia.

"Secara tepatnya, 10,000 anggota akan digerakkan di peringkat awal dan selebihnya bersedia menanti keadaan semasa," katanya.


Moeldoko berkata, fokus operasi itu nanti hanya terhad di kawasan penyelenggaraan pengumuman keputusan.


Kata Moeldoko, anggota tentera diarah menyediakan senjata masing-masing sebaik mungkin.

"Saya minta seluruh anggota mengikuti perkembangan semasa.

"Jika terjadi situasi yang kritikal jangan ada anggota tentera membawa peluru hidup, sebaliknya menggunakan peluru getah atau peluru kosong," katanya.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/18

Filipina bangkit daripada binasa

Posted: 17 Jul 2014 08:03 AM PDT

Manila: Filipina semalam bersedia bangkit semula daripada kemusnahan sehari selepas dilanda taufan Rammasun yang menyebabkan 38 orang maut dan sekurang-kurangnya lapan masih hilang.

Rammasun dianggap taufan terkuat melanda Filipina tahun ini dan menuju China selepas ia melalui kawasan tengah Luzon, menjadikan Manila mengalami pelbagai kemusnahan serta bergelap akibat gangguan bekalan elektrik.

Pengarah Eksekutif Agensi Bencana Kebangsaan, Alexander Pama berkata, taufan itu memusnahkan kira-kira 7,000 rumah dan merosakkan 19,000 yang lain.

"Lebih 530,000 orang terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara," katanya.

Foto

RUMAH di tepi pantai musnah dibadai taufan Rammasun.


Pama juga mengaggarkan nilai kerugian akibat kerosakan tanaman - kebanyakannya padi dan jagung di kawasan Bicol di tenggara Manila dan menjadi lokasi pertama dibadai taufan - sebanyak 668 juta pesos (RM47.7 juta).


Kebanyakan sekolah di Manila dan selatan Luzon yang menjadi lokasi paling padat penduduk di Filipina - masih ditutup.

Hanya separuh Luzon kembali mendapat bekalan elektrik.

Syarikat Manila Electric Co berkata, satu pertiga daripada 1.88 juta pelanggannya masih belum disambung belakan elektrik masing-masing.

Pegawai bencana masih menilai kerugian dialami secara keseluruhan tetapi penanam kelapa di wilayah Quezon di selatan Manila dipercayai golongan paling teruk terjejas.

Sementara itu pegawai China berkata Rammasun dijangka melanda kawasan di antara Pulau Hainan dan wilayah Guangdong tengah hari ini.

Kementerian Hal Ehwal Awam sudah mengarahkan pihak berkuasa bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/18

Yingluck dibenar melawat Eropah

Posted: 17 Jul 2014 08:01 AM PDT

Bangkok: Junta tentera Thailand membenarkan bekas perdana menteri Yingluck Shinawatra meninggalkan negara itu untuk urusan peribadi dengan syarat dia tidak terbabit dalam sebarang kegiatan politik.

Jurucakap tentera Kol Winthai Suvaree berkata, disebabkan Yingluck tidak melakukan sebarang kesalahan sejak tentera mengambil alih kuasa di Thailand, mereka membenarkan adik Thaksin Shinawatra itu mengunjungi Eropah seperti dirancangnya.

Ia adalah kunjungan ke luar negara pertama Yingluck sejak tentera merampas kuasa pada 22 Mei.

Sementara itu komander tentera yang mentadbir tengah Thailand - termasuk Bangkok - Jen Teerachai Nakwanit berkata Yingluck bercadang pergi ke Eropah akhir bulan ini sehingga awal Ogos.

"Tentera membenarkan Yingluck ke luar negara dengan syarat dia tidak terbabit dalam aktiviti politik," katanya.


Yingluck dijangka menghadiri majlis sambutan ulang tahun kelahiran abangnya yang ke-65 di Perancis.


- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/18

Banjir landa Hunan

Posted: 17 Jul 2014 08:00 AM PDT

Beijing: Hujan lebat dan tanah runtuh sepanjang minggu lalu meragut sekurang-kurangnya 45 nyawa di selatan China dan menyebabkan 21 yang lain hilang.

Kementerian Hal Ehwal Awam dan seorang pegawai berkata, wilayah berkenaan juga berdepan dengan ketibaan Tufan Rammasun yang dijangka membawa angin selaju 140 kilometer sejam.

Taufan berkenaan membadai Filipina sebelum ini, menyebabkan sekurang-kurangnya 40 orang mati dan menumbangkan pokok serta memutuskan bekalan elektrik sejak kelmarin.

Di wilayah Sichuan, tanah runtuh menimbus sebuah trak dan empat kereta di sebatang lebuh raya, meragut 11 nyawa dan menyebabkan 19 yang lain cedera, menurut pegawai pihak berkuasa tempatan di bandar Maoxi.

Foto

PENDUDUK di Changsa, wilayah Hunan di selatan China mengharung banjir.


Dalam satu kenyataannya, Kementerian Hal Ehwal Awam berkata, hujan lebat dan banjir serta tanah runtuh yang berlaku sepanjang minggu menyebabkan 34 orang mati dan 21 orang hilang di tujuh wilayah selatan negara itu.


Kebanyakan kematian dan penduduk hilang berlaku di wilayah Guizhou dan Hunan.
Bencana itu dilapor menyebabkan 9.300 rumah musnah dan 63,000 lagi rosak.

Selain itu, ia turut menjejaskan 38,400 hektar tanah pertanian, sekali gus menyebabkan kerugian berjumlah lebih 5.2 bilion yuan (RM2.7 bilion).- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/18

Aktres dipenjara 18 tahun

Posted: 17 Jul 2014 07:58 AM PDT

Texarkana (Texas): Seorang aktres dipenjara 18 tahun kerana menghantar surat dicemarin ricin kepada Presiden Barack Obama dan datuk bandar New York City ketika itu sebelum cuba menuduh suaminya melakukan jenayah berkenaan.

Shannon Guess Richardson, 36, dikenakan hukuman penjara maksimum bagi kesalahan memiliki dan menghasilkan toksin biologi.

Dia juga diarahkan membayar ganti rugi sebanyak AS$367,000 (RM1.2 juta) selepas mengaku salah terhadap tuduhan itu, Disember lalu.

Ketika merayu hukuman ringan, Shannon memohon maaf dan kesal terhadap perbuatannya.


"Saya tidak pernah berniat menyakiti sesiapa. Saya bukanlah jahat... sebenarnya saya tidak sampai hati untuk menyakiti sesiapa," katanya.


Menurutnya, dia menyangka surat berkenaan tidak akan dibuka kerana kawalan keselamatan ketat di Rumah Putih dan pejabat Michael Bloomberg yang ketika itu menjadi Datuk Bandar New York.

Menurut pendakwa, Shannon menghantar tiga surat sebelum membuat laporan polis bahawa ia dilakukan oleh suaminya yang sudah memfailkan tuntutan cerai ketika itu.

Dalam pengakuan bertulisnya, Shannon mengakui membeli kacang kastor di Internet dan mempelajari cara-cara memprosesnya menjadi ricin.

Dia kemudian mewujudkan alamat emel, akaun pembelian PayPal dan peti surat di pejabat pos atas nama suaminya Nathan Richardson tanpa pengetahuan lelaki terbabit. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/18

No comments:

Post a Comment