Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Pancing Dollah

Posted: 24 Jul 2014 01:22 PM PDT

Kuala Lumpur: Aksi menentang Tajikistan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Dushanbe ibarat 'talian hayat' buat muka lama yang berada dalam skuad Harimau Malaya.

Perlawanan pada 8 Ogos itu menjadi ujian pertama buat Dollah Salleh mempamerkan sentuhannya selaku ketua jurulatih baru kebangsaan, namun yang lebih penting ia dianggap medan untuk beliau menilai sejauh mana Harimau Malaya boleh terus bergantung dengan pemain sedia ada.
Seramai 23 pemain dipanggil untuk menjalani latihan pusat bermula 1 Ogos dengan hanya empat pemain yang sebelum ini disisihkan, Mohd Muslim Ahmad (pertahanan), Norshahrul Idlan Talaha (penyerang), R Gopinathan dan S Chanturu (tengah) kembali mendapat tempat.

Kedudukan pemain lain pula tidak berubah, sama seperti digunakan bekas jurulatih Datuk K Rajagobal untuk tempoh tiga hingga empat tahun lalu.
Pengurus pasukan Datu Sudarsono Osman berkata, semua pemain perlu menggunakan sebaik-baiknya peluang beraksi dengan Tajikistan untuk 'memikat hati' Dollah.
Ini kerana jika gagal, beliau percaya rombakan pemain akan dilakukan Dollah bagi beberapa perlawanan persahabatan termasuk Singapura dan Jordan sebelum menyertai Piala AFF bermula November ini.

Foto

"Saya percaya semua pemain yang dipanggil perlu mengambil peluang ini kerana perlawanan dengan Tajikistan ini ujian buat mereka sama ada mampu atau tidak.
"Mereka perlu membuktikan kemampuan jika mahu terus kekal bersama pasukan. Selepas ini kami akan menilai prestasi pemain lain apabila kempen Piala Malaysia bermula bagi memilih pemain menentang Jordan," katanya.

Menurut Sudarsono yang juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), beliau yakin Dollah yang dilantik pengendali Harimau Malaya pada 1 Julai lalu mampu melaksanakan tugas dengan baik meskipun dibayangi kejayaan Rajagobal memenangi Piala AFF 2010.
"Memang jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan penuh tekanan. Sudah pasti ramai pihak mahukan kejayaan lebih baik berbanding sebelum ini, begitu juga dengan kami.
"Dollah bukan saja berpengalaman sebagai jurulatih, tapi beliau juga bekas pemain kebangsaan yang bagus. Saya yakin beliau mampu meraih kejayaan di peringkat kebangsaan seperti dilakukan dalam aksi tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/25

Sinar United

Posted: 24 Jul 2014 12:35 PM PDT

Pasadena, California: Manchester United mempamerkan aksi meyakinkan pada penampilan pertama mereka di bawah bimbingan Louis van Gaal dengan Wayne Rooney meledak dua gol ketika membelasah LA Galaxy, 7-0 pada perlawanan persahabatan, semalam.

Ashley Young dan pemain pertahanan Reece James masing-masing menjaringkan dua gol buat United.


"Setiap keputusan penting buat saya. Dengan kemenangan seperti ini, anda akan berasa lebih yakin.

"Setiap pemain sangat membantu dalam usaha kami mencari segala maklumat diperlukan. Mereka beraksi dengan baik," katanya.


Van Gaal mendedahkan corak permainan menyerang yang diterapkan sama seperti ketika beliau membimbing Belanda pada Piala Dunia Brazil.


Taktik itu mungkin jarang diketahui penyokong United, tetapi ia benar-benar menjadi.

"Apabila anda melihat kami beraksi, anda pasti mengharapkan sesuatu, tetapi tidak dengan kemenangan selesa 7-0.


"Bagi saya, ini satu kejutan dan mereka juga mampu menjaringkan gol menarik," katanya.

Danny Welbeck menjaringkan gol pertama di bawah bimbingan van Gaal yang mempunyai masa cukup terhad untuk memimpin United selepas mengetuai Belanda menamatkan saingan di tempat ketiga pada Piala Dunia lalu.


United berada dalam kelas tersendiri ketika bertemu Galaxy, kelab yang pernah diwakili David Beckham.


Luke Shaw dan Ander Herrera turut melakukan penampilan pertama.


Van Gaal dilantik untuk mengubah nasib buruk juara Liga Perdana Inggeris sebanyak 20 kali itu ketika di bawah bimbingan bekas pengurus David Moyes.


United sekadar menamatkan saingan di tempat ketujuh ketika di bawah bimbingan Moyes, semusim selepas beliau menggantikan tempat Alex Ferguson yang membimbing kelab itu selama 26 tahun.


Sementara itu jurulatih Galaxy Bruce Arena berkata: "Saya memuji persembahan United. Kami dihukum kerana melakukan kesilapan mudah, tapi kami perlu belajar dari pengalaman ini." - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/25

Gunners pantau Spanoudakis

Posted: 24 Jul 2014 12:35 PM PDT

London: Arsenal memantau prestasi pemain muda Barcelona, Georgios Spanoudakis yang kini menjalani sesi pemilihan bersama kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu.

Spanoudakis, pemain tengah berusia 15 tahun itu dilapor menjadi perhatian beberapa kelab besar Eropah selepas menyerlah ketika bersama kelab La Liga, Barcelona yang disertainya sejak berusia sembilan tahun.


Arsenal berminat menawarkan kontrak tetap kepada Spanoudakis dan difahamkan perbincangan dengan Barcelona mengenai perpindahan itu kini dijalankan.

Pemain muda itu memulakan langkah kanan bersama kelab utara London itu apabila beraksi bersama skuad bawah 18 tahun ketika mengalahkan Lincoln City 1-0, Selasa lalu yang menyaksikan Ben Sheaf menjaringkan gol kemenangan.


Jika mendapat kontrak itu, dia akan mengikut jejak enam pemain lagi termasuk Cesc Fabregas yang memilih meninggalkan Camp Nou bagi beraksi di Emirates.


Pengurus Arsene Wenger turut berjaya memikat bintang Barcelona, Alexis Sanchez untuk menyertai Arsenal pada musim panas ini dengan bayaran £33 juta (RM178 juta) manakala Mathieu Debuchy juga berpindah ke utara London dari Newcastle. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/25

Liverpool 'hilang' Borini

Posted: 24 Jul 2014 12:34 PM PDT

Boston: Jaringan sendiri pada minit ke-90 menyebabkan Liverpool tewas 0-1 kepada AS Roma kelmarin namun insiden membabitkan kecederaan bahu kanan penyerang Fabio Borini (gambar) lebih membimbangkan Reds.

Penyerang Itali berusia 23 tahun itu yang juga bekas pemain utama Roma sebelum ke Liverpool, terjatuh selepas terjahan pada peringkat awal perlawanan dan sejurus bangun dia kelihatan memegang bahunya.


Liverpool berkata, pemeriksaan awal mendapati bahu Borini tidak terseliuh namun memerlukan pemeriksaan lanjut.

Aksi pertama kelab naib juara Liga Perdana Inggeris musim lalu itu tidak menjadi seperti yang dirancangkan.


Jaringan tunggal perlawanan hadir beberapa saat sebelum tamat perlawanan sebenar apabila pemain Roma, Marco Borriello cuba menolak bola menggunakan kaki kanannya namun ditampan pertahanan Liverpool dari Denmark, Daniel Agger sebelum menerjah ke gawang sendiri.


Kapten Liverpool Steven Gerrard beraksi pada perlawanan pertama sejak mengumumkan persaraannya dari pentas antarabangsa bersama England, Isnin lalu.

Roma menurunkan Ashley Cole yang menjelaskan dia turut mendapat tawaran dari kelab Amerika Syarikat (AS) namun berkata: "Saya masih belum bersedia bersantai di tepi pantai." Liverpool memasukkan Adam Phillips pada minit akhir namun dia dilayangkan kad kuning kerana terjahan keras ke atas pemain lawan. Philips beraksi untuk kali kedua dalam tempoh tiga tahun di Fenway Park, stadium berusia 102 tahun yang menjadi gelanggang tuan rumah pasukan besbol Boston Red Sox.


John Henry, pemilik dari AS yang memiliki Red Sox dan Liverpool, menyaksikan pasukan bola sepaknya berjalan di atas padang sambil menyanyikan lagu rasmi kelab, "You'll Never Walk Alone." Henry berkata, Liga Juara-Juara fokus utama dan mereka membawa pemain baru bagi menguatkan pasukan untuk bersaing dalam dua kejohanan itu.

Liverpool turut menjual penyerang Uruguay berusia 27 tahun, Luis Suarez selepas insiden gigitannya ke atas pemain Itali, Giorgio Chiellini pada Piala Dunia, kontroversi terbaru membayangi perpindahan penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris itu.


Suarez akan meneruskan kariernya di Barcelona sebaik saja penggantungannya berakhir pada Oktober.


"Ia masa untuk Luis dan kelab berpisah," kata Henry. "Dia membawa banyak perkara kepada kelab namun kami juga banyak memberi kepada Luis. Saya fikir anda akan melihat Liverpool yang tetap hebat." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/25

'Mourinho tak ubah apa-apa'

Posted: 24 Jul 2014 12:29 PM PDT

London: Penyerang baru Chelsea, Diego Costa (gambar) mendakwa pengurus Jose Mourinho sudah memberitahunya Blues akan bermain berdasarkan kekuatan sedia ada musim depan.

"Salah satu perkara yang dikatakan kepada saya, beliau tidak mahu mengubah apa-apa.


"Ia keputusan Jose dan kelab untuk membeli saya. Faktor utama mereka mendapatkan saya kerana corak permainan saya di Atletico Madrid.

"Saya tidak berasa perlu banyak membuat perubahan. Saya hanya perlu mempertingkatkan permainan untuk menjadi pemain bagus. Saya harap dapat beraksi sama seperti musim lalu," kata penyerang kelahiran Brazil itu kepada siaran televisyen rasmi kelab, Chelsea TV.


Costa, 25, menjaringkan 36 gol musim lalu, membantu Atletico meraih kejuaraan pertama La Liga dalam tempoh 18 tahun dan menempah tempat ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara dengan keseluruhan 64 gol dari 134 penampilan.


Prestasinya itu meyakinkan Chelsea untuk membuat pelaburan £32 juta (RM173.1 juta) bagi mendapatkan khidmatnya dan Costa yakin dia mampu menangani bebanan.

"Penyokong perlu yakin saya akan berkorban untuk kelab ini bagi memastikan kami memenangi seberapa banyak trofi.


"Saya berada dalam kumpulan pemain hebat dan kami akan melakukan apa saja untuk memberikan apa yang penyokong mahukan dan juga kejuaraan," katanya.

Costa menyerlah di ibu negara Sepanyol dengan menjadikannya antara penyerang buruan di Eropah, tetapi dia tidak memilih sebaliknya memberitahu keinginannya untuk menyertai Chelsea.


"Keputusan itu mudah buat saya. Kami mempunyai beberapa pemain dan pengurus terbaik di dunia dan kelab ini juga mempunyai sejarah hebat.


"Saya mahu memperbaiki, bukan sebagai pemain tapi individu dan percaya kelab ini tempat terbaik untuk saya. Itulah sebabnya saya pilih Chelsea," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/25

Impian besar musim baru

Posted: 24 Jul 2014 12:28 PM PDT

Los Angeles: "Kami akan bersaing merebut enam kejuaraan musim ini dan mahu menang semuanya. Ia pasti seronok dan tekanan pasti ada kerana kami antara kelab terbesar dunia.

"Bukan saja saya, malah semua pemain mahu memenangi keenam-enam kejuaraan itu dan kami mahu mempertahankan Liga Juara-Juara. Kami mempunyai pasukan hebat dan akan membantu satu sama lain bagi memastikan impian itu dapat dilaksanakan.


"Memang sukar, tapi kami akan menggunakan kesempatan yang ada ini untuk mengukuhkan persembahan kerana kami mahu menjadi pasukan pertama mempertahankan Liga Juara-Juara," kata pemain sensasi Real Madrid, Gareth Bale.

Bekas pemain Tottenham Hotspur itu turut mengalu-alukan kehadiran penjaring terbanyak Piala Dunia, James Rodríguez dan menyifatkan pemain itu aset terbaru kelab.


"Kelab membuat pembelian tepat. Dia beraksi cemerlang di Piala Dunia. Dia patut turun berlatih secepat mungkin dan percayalah, kami akan membuatnya selesa," katanya.


Menyentuh mengenai sistem permainan serta formasi bakal digunakan musim ini, Bale berkata: "Jurulatih akan menentukan sistem dan siapa yang akan bermain. Soalan itu saya tidak boleh jawab. Ia terletak di tangan pengurus. Kami berlatih dan berusaha memastikan tempat dalam pasukan.

Foto

BALE (kiri) giat menjalani latihan bersama rakan sepasukan.

"Musim lalu kami tidak mengharungi perlawanan pramusim. Rakan sepasukan membantu saya menyesuaikan diri dan kali ini, saya mahu lebih bersedia. Saya mahu meningkat setiap tahun dan menjaringkan lebih banyak gol." Bale berkata, tidak beraksi di Brazil pada Piala Dunia turut memberikannya kelebihan walaupun terselit rasa kecewa kerana tidak dapat bersama pemain hebat lain.


"Ia boleh dianggap sebagai satu kelebihan, tapi saya memang kecewa. Apa yang saya mahu lakukan sekarang, bersedia untuk menghadapi musim baru." Tahun ini, saingan Piala Super Eropah berlangsung di Cardiff dan Bale gembira dengan keputusan itu kerana Wales tanah airnya selain kejohanan terbabit bakal menjadi penanda aras keupayaan Real. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/25

Penanda aras emas Olimpik

Posted: 24 Jul 2014 12:27 PM PDT

Baltimore: Semua pemain yang menyertai Kejohanan Mahkota Antarabangsa LPGA minggu ini menganggap pertandingan itu mampu menjadi penanda aras kepada kemampuan memenangi emas di temasya Olimpik 2016 di Rio de Janeiro.

"Ini kejohanan pembuka tirai terbaik kami ada sebelum Olimpik," kata pemain nombor satu dunia, Stacy Lewis. "Saya tahu perjalanan ke Rio masih jauh, tapi kejohanan ini memberi peluang kepada kami untuk menentukan kemampuan masing-masing." Selepas bertahun-tahun menyaksikan Olimpik tanpa peluang menyertainya, bintang Amerika Syarikat (AS) itu kini dilihat mustahil diketepikan.


"Sukar untuk saya bayangkan apa yang akan berlaku di Olimpik kerana saya tidak pernah beraksi di temasya itu," katanya.

"Pada masa sama, anda juga tidak mahu terlalu memikirkan soal itu kerana anda pasti akan memberi tekanan kepada diri sendiri." Dengan baki dua tahun sebelum Olimpik dan pusingan kelayakan bakal bermula tidak lama lagi, pemain ranking ke-12, Paula Creamer sedar cabaran sengit menanti mereka yang mahu mewakili AS.


"Anda tidak boleh ketinggalan terlalu jauh berbanding pemain lain jika mahu ke Olimpik," kata Paula.


"Kriteria pemilihan sangat sukar. Namun, anda tidak boleh terlalu memikirkannya kerana ia akan merosakkan aksi keseluruhan." Pemain Thailand, Onnarin Sattayabanphot berharap Kejohanan Mahkota Antarabangsa LPGA yang menampilkan lapan pasukan akan menyuntik semangat kenegaraan semua pemain menjelang aksi di Brazil 2016.

"Kejohanan minggu ini persediaan untuk kami ke Olimpik," katanya. "Olimpik mungkin menjadi pengalaman paling berharga dalam hidup dan itulah sebabnya kenapa saya katakan kejohanan ini boleh dijadikan sebagai persediaan untuk kami ke temasya itu." Begitupun, ramai pemain meluahkan rasa kecewa apabila Olimpik hanya menawarkan pingat dalam acara individu dan bukannya berpasukan.


"Saya memang kecewa apabila tidak ada acara berpasukan," kata bintang Sweden, Anna Nordqvist.

"Saya rasa format permainan bagus, tetapi penganjur perlu memikirkan untuk mewujudkan kategori berpasukan pula." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/25

Cabar jati diri

Posted: 24 Jul 2014 12:26 PM PDT

Kuala Lumpur: Jaguh bina badan negara, Sazali Abd Samad tidak mahu hanya dilabel jaguh kategori kegemarannya apabila membuat keputusan keluar daripada zon selesa untuk bersaing dalam kategori berat badan baru pada kejohanan Mr Asia dan Mr Universe tahun ini.

Selepas sekian lama bersaing dalam kategori 65 kilogram (kg) dan 70kg dengan meraih lapan gelaran Mr Asia dan sembilan kali bergelar Mr Universe, atlet negara berusia 47 tahun itu bakal bersaing dalam kategori 75kg dalam dua kejohanan utama berkenaan tahun ini.


"Ini cabaran baru kepada diri sendiri selepas meraih pelbagai kejayaan dalam kategori yang lebih rendah. "Saya mahu menguji kemampuan diri sendiri dalam kategori baru ini bermula pada kejohanan Mr Asia di Macau penghujung Ogos disusuli Mr Universe yang dijadual berlangsung pada November di India," menurut Olahragawan Kebangsaan 2013 itu.

Ditanya mengenai peluangnya meraih kejuaraan menerusi kategori berat badan yang baru, Sazali berkata, dia sudah melakukan persediaan sepatutnya dan dalam sukan subjektif seperti itu, juri akan menjadi penentu.


"Setiap kategori berat badan mempunyai tahap kesukaran masing-masing. Kalau tidak bersedia sejak awal, mungkin kita tidak akan mampu mencapai kejayaan namun jika sudah melakukan persediaan, peluang meraih kejayaan tetap ada," katanya yang turut meletak sasaran untuk menggegar dalam kategori 75kg itu.


Mengenai kecederaan lutut dialaminya sejak awal tahun ini, Sazali berkata, keadaannya sudah pulih 90 peratus.

Foto

KECEDERAAN lutut Sazali sudah pulih 90 peratus.

"Sejak dua bulan lalu, kesakitan di bahagian lutut amat minimum dengan saya kini mampu menjalani latihan penuh. "Namun saya sentiasa berwaspada dengan merujuk kepada doktor andai tidak selesa atau merasai kesakitan," katanya.


Sazali cemerlang memenangi kejuaraan Mr Universe pada 2000, 2004, 2006, 2007, 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2013 serta lapan kali gelaran Mr Asia bermula 1996, 1998, 1999, 2000, 2004, 2009, 2010 dan 2012.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/25

Buru emas

Posted: 24 Jul 2014 12:25 PM PDT

Kuala Lumpur: Skuad hoki negara perlu memberikan lebih daripada segala-galanya andai mahu memenangi pingat emas Sukan Asia di Incheon sekali gus layak automatik ke Sukan Olimpik 2016 di Rio.

Bekas pemain negara Mohamad Abdul Hadi berkata, meskipun situasi semasa tidak begitu meyakinkan skuad negara mampu memenangi pingat emas dengan mudah, beliau tetap yakin dengan kemampuan anak buah Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.


"Susah untuk bayangkan peluang skuad negara sebab Sukan Asia sememangnya bukan mudah.

"India dan Korea antara pasukan pilihan dan mereka juga beraksi di Piala Dunia. Pakistan pasti beraksi habis-habisan selepas gagal layak ke Piala Dunia," katanya.


Mohamad berkata, skuad negara juga tidak boleh memandang mudah pasukan lain yang mungkin mampu melakar kejutan.


"Paling membimbangkan saya Jepun dan China. Kedua-dua pasukan boleh cipta kejutan kalau kita tidak hati-hati," katanya.

Foto

PEMAIN negara perlu beri perhatian kepada China dan Jepun.

Meskipun sering mengkritik skuad negara, Mohamad tidak menafikan beliau juga mahu menyaksikan Malaysia layak ke pentas Olimpik sekali gus menamatkan kemarau sejak membuat penampilan terakhir pada tahun 2000.


"Kadang-kadang kita perlu realistik menetapkan sasaran. Saya tidak kata skuad negara tidak boleh layak ke Sukan Olimpik.

"Tapi andai semuanya berjalan lancar termasuk motivasi pemain tinggi, tidak mustahil kita menang pingat emas Sukan Asia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/25

Ujian sulung nilai prestasi remaja

Posted: 24 Jul 2014 12:24 PM PDT

Kuala Lumpur: Pengurus pasukan skuad remaja negara Mirnawan Nawawi menegaskan kejohanan Piala Sultan Johor dijadual berlangsung dari 12 hingga 19 Oktober akan menjadi ujian pertama skuad baru dibentuk itu sebelum berdepan saingan Piala Remaja Asia yang menawarkan tiket ke Piala Dunia Remaja 2016.

Selepas pembubaran skuad Projek 2013 yang membuahkan hasil apabila meraih kejayaan termasuk menamatkan saingan di tempat keempat Piala Dunia Remaja di New Delhi, India tahun lalu, kini tumpuan terarah kepada skuad bimbingan Arul Selvaraj untuk mengikuti langkah pasukan bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.


Baru saja memilih barisan pemainnya pada Mac lalu, Arul dijangka memanfaatkan sebaik-baiknya saingan Piala Sultan Johor untuk melihat kemampuan sebenar anak buahnya.

"Kami sedar pada dua daripada tiga edisi Piala Sultan Johor sebelum ini, skuad bimbingan Dhaarma meraih keputusan memberangsangkan dengan muncul juara serta naib juara.


"Tapi kami tidak mahu meletakkan tekanan terlalu awal kepada skuad yang baru saja dibentuk ini.


"Yang penting setiap pemain memanfaatkan peluang sebaik-baiknya dan dari situ, kami dapat menganalisis kemampuan setiap pemain," katanya.

Selain skuad negara, lima lagi pasukan yang bakal beraksi pada edisi keempat Oktober ini juara bertahan, India, Pakistan, Britain, New Zealand dan Australia.


Pada edisi pertama tiga tahun lalu, skuad negara muncul juara tetapi gagal mempertahankan kejuaraan buat kali kedua sebelum muncul naib juara tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/25

No comments:

Post a Comment