Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Rehat 3 bulan

Posted: 23 Jul 2014 01:55 PM PDT

London: Pengurus Manchester City Manuel Pellegrini mendedahkan penyerang sensasi kelab itu Alvaro Negredo bakal diketepikan hingga tiga bulan selepas tulang kakinya patah.

"Alvaro menjalani pembedahan hari ini (semalam) di bahagian kakinya yang patah dan dia mungkin terpaksa berehat hingga dua atau tiga bulan," umum Pellegrini di laman web kelab itu.


"Ia berita buruk buat kami kerana Alvaro pemain penting dan kami pasti berasa kehilangannya." Negredo, 28, patah tulang jari kelima kaki kanannya ketika City menang 2-1 ke atas Hearts dalam aksi persahabatan di Edinburgh, Jumaat lalu.

Dia melahirkan rasa bimbang dengan tahap kecederaannya menerusi akaun Instagram Isnin lalu dengan menyatakan: "Saya mahu memberitahu anda semua ia pasti tempoh sukar buat saya untuk beberapa bulan akan datang, tulang jari kaki kelima saya patah dan tidak boleh beraksi untuk beberapa bulan. Saya akan kembali beraksi dengan penuh semangat selepas ini." Tempoh tiga bulan itu juga akan menyaksikannya terlepas sembilan perlawanan pertama City serta tiga aksi awal peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.


Negredo dibeli dari Sevilla tahun lalu dengan yuran perpindahan £16 juta (RM86.3 juta).


Pemain antarabangsa Sepanyol itu membuat penampilan pertama yang cemerlang di Stadium Etihad dengan menjaringkan 23 gol sepanjang 48 perlawanan dalam semua kejohanan meskipun prestasinya agak merosot di penghujung musim.

Foto

NEGREDO (kiri) terlepas sembilan perlawanan pertama City.

City kini mengadakan jelajah pramusim di Amerika Syarikat dan dijadual menentang Sporting Kansas City dalam perlawanan persahabatan seterusnya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/24

'Pecah rekod' demi Van Gaal

Posted: 23 Jul 2014 01:09 PM PDT

London: Manchester United bersedia memecahkan rekod perpindahan bagi membolehkan pengurus Louis van Gaal mendapat pemain diidamkan, kata Naib Presiden Eksekutif Ed Woodward.

Gergasi Inggeris itu sudah membelanjakan lebih £50 juta (RM269.9 juta) bagi mendapatkan pertahanan kiri England, Luke Shaw dan pemain tengah Sepanyol, Ander Herrera dan Woodward berkata, mereka bersedia berbelanja lebih besar.


Sesetengah seteru United di Eropah sudah berbelanja besar sejak kebelakangan ini. Real Madrid kelmarin menandatangani James Rodriguez dari Monaco dengan yuran perpindahan £63 juta (RM340 juta) manakala Barcelona membayar Liverpool £75 juta (RM404.7 juta) untuk mendapatkan Luis Suarez.

Ditanya sama ada United mampu membayar jumlah sama untuk seorang pemain, Woodward berkata: "Ya kami mampu. Kami tidak takut untuk melakukannya, membelanjakan sejumlah wang dalam jendela perpindahan pemain." United membina semula pasukan di bawah kendalian Van Gaal selepas musim 2013/14 yang mengecewakan dengan Woodward berkata dalam konteks ini, mereka tidak ragu-ragu berbelanja besar.


"Sama ada ia rekod atau sebaliknya, ia tidak penting buat kami," katanya menerusi kenyataan yang dilaporkan media British kelmarin.


"Yang penting, pemain utama pengurus mahukan bakal menjadi bintang untuk United. "Kedudukan kewangan kami sangat kuat. Kami mampu mendapatkan pemain ternama.

"Saya mendapat arahan supaya mendapatkan pemain yang pengurus inginkan dan penilaian terhadap harga mereka. Saya akan berunding sebaik mungkin untuk mendapatkan apa yang termampu dilakukan." United dikaitkan dengan sejumlah pemain sejak beberapa minggu lalu termasuk pertahanan tengah Jerman, Mats Hummels, pertahanan Belgium, Thomas Vermaelen dan tiga pemain Belanda Daley Blind, Stefan de Vrij dan Kevin Strootman. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/24

Reds tak terjejas

Posted: 23 Jul 2014 01:09 PM PDT

Boston: Pengurus Liverpool Brendan Rodgers berjanji pasukannya akan terus berjuang walaupun tanpa khidmat Luis Suarez yang berpindah ke Barcelona dengan yuran perpindahan AS$130 juta (RM411 juta).

"Dia sudah memberikan segala-galanya untuk Liverpool," kata Rodgers ketika ditanya sama ada keputusan Suarez itu menjejaskan prestasi kelab.


"Sudah tentu ada isu yang timbul, tetapi ia sudah berlalu. Dia seorang pemain yang bijak dan bagi saya, amat merugikan apabila kami tidak lagi mendapat khidmatnya. Namun sebagai sebuah kelab, Liverpool jauh lebih besar berbanding seorang pemain." Bintang Uruguay itu meledak 82 gol sepanjang 133 kemunculan bersama Liverpool, tetapi aksinya selama tiga tahun di England dibayangi pelbagai masalah termasuk penggantungan akibat menggigit pemain lawan dan isu perkauman.

Dia digantung empat bulan oleh FIFA kerana menggigit pertahanan Itali, Giorgio Chiellini pada Piala Dunia. Suarez tidak dapat menyertai pasukan barunya di Sepanyol hinggalah tempoh penggantungan itu berakhir.


Rodgers turut berkata, keputusan kapten Liverpool Steven Gerrard untuk bersara daripada arena antarabangsa satu kerugian, tetapi ia mungkin memberi manfaat besar buat Reds.


"Liverpool segala-galanya buat dia," kata Rodgers. "Tidak dapat dinafikan ketiadaannya bersama skuad kebangsaan memberikan kelebihan buat Liverpool dan tenaganya dapat ditumpukan sepenuhnya kepada kelab." Rodgers bercakap di Fenway Park yang menjadi halaman rasmi buat Boston Red Sox sebelum Reds menjalani latihan untuk bertemu Roma.

Stadium besbol berusia 102 tahun itu diubah suai bagi membolehkan perlawanan itu diadakan.


Perlawanan antara kelab England dan Itali itu memberi faedah buat warga setempat. Liverpool dimiliki pemilik Red Sox, John Henry manakala Roma pula dimiliki pemilik saham kelab NBA Boston Celtics, Jim Pallotta. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/24

Stoke ikat bakat muda Barca

Posted: 23 Jul 2014 01:08 PM PDT

London: Stoke City mengumumkan pembelian penyerang, Bojan Krkic dari Barcelona dengan kontrak selama empat tahun.

The Potters mendapatkan pemain berusia 23 tahun itu dengan nilai perpindahan yang tidak didedahkan, menjadikannya pembelian kelima dibuat Mark Hughes selepas mendapatkan Mame Biram Diouf, Dionatan Teixeira, Steve Sidwell dan Phil Bardsley.


Krkic pemain yang lahir dari akademi Barcelona, sama seperti Marc Muniesa dan mereka akan kembali bergabung di Stadium Britannia. Dia juga pernah beraksi dalam kesebelasan utama kelab Catalan itu pada usia 17 tahun.

Dia sudah beraksi 120 kali buat gergasi dari Sepanyol itu dan menjaringkan 26 gol sebelum menyertai Roma pada Julai 2011 dengan 33 penampilan dan meledak tujuh gol pada musim pertama di Itali. Dia kemudian menyertai AC Milan sebagai pemain pinjaman.


"Kami gembira berjaya mendapatkan pemain berbakat dan menarik, dengan usia masih 23 tahun.


"Beberapa kelab berminat mendapatkannya, tetapi Bojan percaya dengan menyertai Stoke City akan memberi kebaikan untuk kariernya dan kami tidak sangsi dia mampu membuktikan sebagai satu tambahan terbaik buat skuad kami.

"Pembelian Bojan bersama pemain lain musim baru ini menunjukkan peningkatan yang sudah kami lakukan di kelab ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif Stoke Tony Scholes.


"Sesiapa yang tahu bola sepak Eropah sudah tentu akan berhati-hati dengannya dan dia dapat melihat masa depannya di Stoke City bakal berlangsung dengan menarik .

"Dia begitu terdesak untuk membuktikan dirinya di Liga Perdana Inggeris dan kami gembira dapat menawarkan tempat kepadanya. "Masa yang dihabiskan bersama pasukan di Sepanyol, Belanda serta Itali bakal membantunya menyesuaikan diri dan membolehkan saya serta jurulatih lain peluang untuk melihat aksinya," kata jurulatih Mark Hughes.


Bojan kembali ke Barcelona pada penghujung musim 2012/13 dan mendapat pengalaman berguna musim lalu ketika dipinjamkan kepada Ajax, menjaringkan lima gol dalam 32 perlawanan serta membantu kelab itu meraih kejuaraan Liga Belanda buat kali ke-33. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/24

Impian Rodriguez jadi realiti

Posted: 23 Jul 2014 01:08 PM PDT

Madrid: Penyerang sensasi Colombia di Piala Dunia, James Rodriguez diperkenalkan kepada peminat selepas menandatangani kontrak dengan Real Madrid di depan kira-kira 10,000 penyokong yang membanjiri Stadium Bernabeu, kelmarin.

Rodriguez, penjaring terbanyak Piala Dunia Brazil, berpincah ke kelab juara Liga Juara-Juara itu dari Monaco menerusi kontrak enam musim.


Media Sepanyol melaporkan Real membayar €80 juta (RM341 juta) untuk mendapatkan peledak berusia 23 tahun itu.

Sekiranya jumlah itu tepat, Rodriguez muncul pemain kelima termahal selepas Gareth Bale, Cristiano Ronaldo, Neymar dan Luis Suarez.


"Banyak tekanan apabila beraksi di sini, tapi saya sedia menghadapinya," kata pemain Colombia itu, dilihat mengenakan jersi bernombor 10 yang kali terakhir digunakan Mesut Ozil.


"Sasaran saya untuk sentiasa cuba mencatatkan kemenangan. Saya tidak suka kalah.

"Saya cukup teruja berada di sini. Ia umpama mimpi jadi kenyataan. Saya rasa rakyat Colombia akan menjadikan kelab ini sebagai antara kelab pilihan mereka," katanya.


Kedua-dua kelab bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah sebenar perpindahan tetapi Monaco menegaskan perjanjian itu membabitkan antara perpindahan terbesar dalam sejarah bola sepak.

Monaco membayar €45 juta (RM191 juta) ketika membeli pemain itu dari FC Porto.


Kenyataan dari Monaco berkata, mereka tidak mahu menjual Rodriguez, tetapi akhirnya berubah fikiran. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/24

Janji juara

Posted: 23 Jul 2014 01:07 PM PDT

Baltimore: Skuad golf wanita Korea Selatan bertekad menghadiahkan kejayaan Kejohanan Mahkota Antarabangsa LPGA kepada mangsa insiden feri karam yang meragut nyawa hampir 300 orang, April lalu.

Feri dari Seoul itu karam pada 16 April lalu dan ketika itu, 476 orang berada di atasnya termasuk 325 pelajar sekolah. Daripada jumlah itu, 294 disahkan terbunuh dan tragedi itu pantas mendedahkan pelbagai kelemahan dalam pentadbiran negara.


"Selepas insiden itu, semua warga Korea berasa sedih. Semua orang masih mengingatinya hingga kini," kata pemain ranking kesembilan dunia, Ryu So-Yeon yang juga juara Terbuka Wanita AS 2011.

"Justeru, kami mahu muncul juara kejohanan ini dan menghadiahkannya kepada semua rakyat Korea. Ia bermakna, kejohanan ini membawa makna lebih besar daripada Olimpik." Bekas pemain nombor satu dunia, Choi Na-Yeon yang juga juara Terbuka Wanita AS 2012 berkata, dia sudah menghubungi semua rakannya di Korea untuk memberikan sokongan moral.


"Kami mahu menaikkan semangat semua peminat di Korea. Mereka mengharungi saat sukar sejak beberapa bulan lalu. Mereka turut menghubungi saya." "Kami simpati dengan mangsa feri karam itu dan mahu menang kejohanan ini untuk negara dan rakyat Korea," katanya.


Korea Selatan menjadi pilihan kedua daripada lapan pasukan yang menyertai kejohanan dengan Amerika Syarikat (AS) menjadi pilihan utama.

Foto

SO-YEON yakin julang juara.

Korea Selatan akan bersaing dalam Kumpulan B bersama Jepun, Sweden dan Australia manakala AS berada bersama Thailand, Taiwan dan Sepanyol untuk Kumpulan A.


"Kami perlu bersatu dan saling menyokong satu sama lain," kata So-Yeon. "Saya mahu melihat kekuatan sebenar pemain.

"Saya yakin kami pasukan terkuat dan yang penting perlu menjaga aksi masing-masing." Ketika pemain AS dan Eropah sudah mempunyai pengalaman beraksi di Piala Solheim, ini acara individu pertama buat Asia walaupun So-Yeon pernah mewakili negaranya di Sukan Asia 2006 Doha.


"Saya menang emas ketika itu dan hampir menangis," katanya. "Apabila anda men dengar lagu kebangsaan dimainkan dengan pingat di leher, anda pasti berasa bangga.


"Saya mahu merasai perasaan sama sekali lagi." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/24

Lampu bikin susah!

Posted: 23 Jul 2014 01:06 PM PDT

Kuala Lumpur: Tempoh sebulan diberikan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk menyiapkan pendawaian lampu Stadium Juara, Bukit Kiara nyata meresahkan dan mengganggu persiapan pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei.

Chong Wei yang kembali turun berlatih di gelanggang selepas mengalami kekejangan otot sejak dua minggu lalu, menganggap masalah itu menyusahkan pemain untuk melakukan persediaan menghadapi Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen dan Sukan Asia 2014 Incheon.


"Memang susah kalau sebulan baru siap, sewa gelanggang luar tidak sama berlatih di Stadium Juara kerana kita tidak tahu keadaan permukaan gelanggang," katanya ketika dihubungi semalam.

PSM kelmarin membuat kenyataan proses pembaikan sistem pendawaian lampu di Stadium Juara mengambil masa sebulan atau paling singkat tiga minggu.


Sebelum ini BAM menggesa PSM mengambil tindakan pantas kerana persiapan Sukan Komanwel 2014 Glasgow sebelum ini menyaksikan pemain terpaksa berlatih di ge langgang luar serta berasingan.


"Kita tidak tahu keadaan lantai gelanggang luar, malah ia boleh mendatangkan kecederaan berbanding di Stadium Juara kerana permukaannya kayu.

"Sekarang kita tidak mempunyai gelanggang sendiri, tapi sebagai pemain apa yang kami boleh buat, cuma mengharapkan proses pembaikan berlangsung dengan cepat," katanya.


Pemain nombor satu dunia itu turut menyatakan pemulihan kecederaannya berjalan lancar walaupun dia berasa agak takut.

"Kecederaan saya makin sembuh, saya juga sudah kembali berlatih di gelanggang berbanding sebelum ini apabila melakukan latihan ringan," kata naib juara Kejohanan Dunia tahun lalu di Guangzhou.


Tindak balas itu memberi khabar gembira buat peminat badminton negara selepas terkejut dengan penarikan diri Chong Wei dari menyertai Sukan Komanwel 5 Julai lalu.


Chong Wei mempunyai peluang terbaik merangkul kejuaraan dunia kali pertama bulan depan selepas jaguh China, Lin Dan gagal melayakkan diri.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/24

KRM tak sabar tunjuk taring

Posted: 23 Jul 2014 01:05 PM PDT

Kuala Lumpur: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) yakin skuad negara berada pada landasan terbaik untuk melakar sejarah beraksi buat kali pertama di Piala Dunia Tujuh Sebelah 2017.

Perancangan rapi sejak dua tahun lalu semakin menampakkan hasilnya apabila ranking negara yang sebelum ini di tangga kelapan Asia pada 2012, meningkat dua anak tangga di tempat keenam tahun lalu.


Bertitik tolak dari situ, KRM tidak menoleh ke belakang apabila dengan berani mensasarkan skuad negara meraih pingat gangsa dalam Sukan Asia 2014 Incheon di Korea Selatan bermula dari 18 September hingga 27 Oktober.

Pengurus Besar KRM Mohd Mazuri Sallehuddin berkata, sasaran itu begitu realistik untuk dicapai kerana skuad negara mempamerkan aksi cemerlang dalam beberapa kejohanan antarabangsa seperti muncul naib juara Divisyen Dua di belakang Singapura pada Kejohanan Ragbi Asia HSBC Tujuh Sebelah tahun lalu.


"Peningkatan dipamerkan skuad kebangsaan sejak kebelakangan ini begitu membanggakan. Kini kita berada pada tangga keenam ranking Asia berbanding sebelum ini dan kami yakin dengan potensi skuad kebangsaan untuk sekurang-kurangnya meraih gangsa di Incheon nanti.


"Pendedahan yang mereka peroleh di Sukan Komanwel Glasgow nanti membuatkan saya berkeyakinan tinggi persembahan pemain akan bertambah baik kerana saingan di Scotland cukup mencabar kerana banyak pasukan bertaraf dunia menyertainya.

Foto

BARISAN pemain ketika sesi bergambar pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang.

"Ia persediaan terbaik buat kami menjelang kempen Sukan Asia nanti," katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.


Mazuri yang juga bekas pemain ragbi negara menambah, sebaik saja pasukan negara kembali dari tugasan di Scotland, mereka bakal menyertai dua pusingan Kejohanan Ragbi Asia HSBC Tujuh Sebelah iaitu di Hong Kong (23-24 Ogos) dan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (6-7 September).

Untuk rekod, Malaysia tidak pernah memenangi sebarang pingat ragbi Sukan Asia sejak acara itu diperkenalkan di Bangkok pada 1988.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/24

'Kalau tak tahu lebih baik diam'

Posted: 23 Jul 2014 01:04 PM PDT

Kuala Lumpur: "Kalau tak faham, jangan cakap banyak."

Itu gesaan Naib Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Nur Azmi Ahmad kepada bekas pemain negara, Mohamad Abdul Hadi yang mengkritik soal pengurusan badan induk itu seperti dilaporkan Arena Metro semalam.


Enggan terus memanjangkan perkara itu, Nur Azmi menegaskan, individu yang tidak mengetahui apa-apa mengenai pengurusan MHC supaya lebih baik tidak bercakap banyak kerana hanya akan memburukkan keadaan.

"Orang luar tidak faham bagaimana kami menguruskan pemain. Bila keluar isu wang poket RM500, mereka terus mengkritik MHC.


"Tapi seperti yang saya terangkan sebelum ini, adakah mereka tahu perbelanjaan lain dikeluarkan MHC? Tak perlulah kami nak ceritakan semua kos perbelanjaan itu, tapi yang pasti ia dalam jumlah besar," katanya.


Nur Azmi berkata, pihaknya sentiasa bersikap profesional dan akan mempertimbangkan pemberian imbuhan atau insentif lain kepada barisan pemain negara mengikut kemampuan semasa.

"Sudah tentu kami mahu memberikan yang terbaik kepada setiap pemain. Tapi pada masa sama, kami juga perlukan sokongan semua pihak, bukan terus mengkritik tanpa mengetahui perkara sebenar," katanya.


Mohamad menerusi laporan Arena Metro berkata, MHC perlu lebih profesional menguruskan pasukan kebangsaan terutama dalam soal pemberian imbuhan dan tidak hanya terus kekal mengamalkan layanan lapuk terhadap setiap pemain.

Justeru bekas kapten negara itu menggesa MHC supaya mencontohi beberapa pengurusan persatuan hoki di luar negara yang jauh lebih baik dalam soal pengurusan pemain.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/24

Sinar kedua

Posted: 23 Jul 2014 12:40 PM PDT

Kuala Lumpur: Penyerang Selangor, Ahmad Hazwan Bakri berharap saingan Piala Malaysia awal bulan depan mampu memberikan 'sinar baru' buat dirinya terutama menjelang Sukan Asia di Korea Selatan, September ini.

Bekas penyerang utama Harimau Muda A itu sering memanaskan bangku simpanan Selangor sejak awal musim dan pengendali Merah Kuning Mehmet Durakovic lebih gemar menggunakan penjaring terbanyak Liga Super dari Brazil, Paulo Rangel sebagai penyerang tunggal.


Situasi itu menyebabkan sentuhan pemain kelahiran Labuan, Sabah ini semakin tumpul di depan gol kerana kerap disisihkan dan sekadar meledak satu gol ketika menentang Sarawak dalam kancah Liga Super.

Ia secara tidak langsung menggugat peluangnya untuk tersenarai dalam skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee ke Incheon.


Menurut Ahmad Hazwan, dia beraksi kurang 10 perlawanan dengan kebanyakannya diturunkan sebagai pemain gantian.


"Saya hanya beraksi dua atau tiga perlawanan dalam masa penuh 90 minit selain kadang-kala terpaksa mengubah posisi di bahagian sayap. Kepuasan bermain sememangnya kurang kerana tidak kerap diturunkan.

"Namun saya tidak menyesal bersama Selangor musim ini kerana ia perkara biasa dalam bola sepak, persaingan perlu ada untuk menghasilkan yang terbaik. Saya perlu sedia andai diberikan peluang," katanya.


Saingan Ahmad Hazwan untuk berada dalam kesebelasan utama sememangnya sengit kerana Merah Kuning mempunyai ramai penyerang seperti Abdul Hadi Yahaya, A Thamil Arasu dan Afiq Azmi selain Rangel yang sentiasa menjadi pilihan utama.

Mengenai peluang berada dalam skuad Kim Swee, dia berkata, terpulang kepada penilaian jurulatih negara itu namun mengakui perlu meningkatkan tahap kecergasan lantaran kerap memanaskan bangku simpanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/24

No comments:

Post a Comment