Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Aniaya anak yatim

Posted: 24 Jul 2014 11:37 AM PDT

Johor Bahru: "Sejak dapat tahu dan sepanjang perjalanan, mereka sangat gembira dan beriya-iya mahu berbuka puasa dan tinggal di hotel. Apabila tiba di sini dan berasakan diperdaya, ada antara mereka menangis kerana kecewa.

"Saya tidak tahu apa salah anak yatim dan anak dari keluarga kurang berkemampuan hingga ada pihak tertentu sanggup menganiaya mereka Ramadan ini," kata Amirah Ariffin, 47, semalam.

Amirah antara lapan pengiring peserta rombongan yang menempuhi perjalanan sejauh 354 kilometer bagi menyertai majlis penyampaian sumbangan dan berbuka puasa di Hotel Berjaya Waterfront di Jalan Ibrahim Sultan, Stulang Laut di sini, kelmarin.

Menurutnya, 75 peserta rombongan berusia lima hingga 18 tahun terdiri daripada anak yatim dan anak keluarga kurang berkemampuan dari Kampung Batu 11, Jalan Pahang Lama, Gombak di Selangor.

Foto

PEGAWAI Jabatan Kebajikan Masyarakat Johor Bahru Manayi Ibrahim menemui peserta rombongan di Hotel Berjaya Waterfront.


Katanya, rombongan diaturkan pengurusan Surau Silaturrahim di kampung itu selepas menerima jemputan lelaki mengaku urusetia majlis meraikan anak yatim dan kurang berkemampuan di hotel berkenaan.


"Lelaki bergelar Faiz menghubungi saya Isnin lalu (21 Julai) meminta kerjasama mengumpul 75 anak dari keluarga miskin dan anak yatim untuk dibawa ke Johor Bahru di mana majlis itu dikatakan bakal diadakan pada 23 Julai (kelmarin).

"Saya dan sukarelawan surau bersyukur lelaki itu menyatakan niat murni pengurusan hotel menaja kemudahan pengangkutan, penginapan dan makanan," katanya.

Amirah berkata, dia yakin terhadap lelaki itu kerana menyatakan pernah bertemu lima tahun lalu ketika dia bekerja di sekolah pondok di Gombak.

"Saya juga tidak mencurigainya kerana memanggil saya menggunakan nama timangan iaitu Makmi.

"Kali terakhir kami menghubungi Faiz ketika dalam perjalanan iaitu jam 11 pagi kelmarin dan kami pelik kerana selepas dua jam, dia mematikan telefon.

"Sebaik tiba di lobi hotel pada 2.30 petang, saya dimaklumkan tiada tempahan bilik hotel atau penganjuran majlis.

"Kami buntu kerana tidak memiliki sumber kewangan menguruskan penginapan dan makanan peserta hingga terpaksa memaklumkan kejadian kepada pihak hotel dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya yang bertolak pulang ke Gombak jam 12 tengah hari, semalam.

Sementara itu, seorang peserta rombongan, Muhammad Hishamuddin, 17, berkata, dia dan rakannya tidak menyangka diperdaya pihak tertentu.

"Ini kali pertama saya menjejak kaki ke hotel. Saya berterima kasih kerana pengurusan hotel bersimpati dengan nasib kami dan menawarkan penginapan sehari, makanan serta kemudahan bas untuk pulang," katanya.

Seorang lagi peserta rombongan, Anis Atika, 8, berkata, dia dan rakan memang berminat menyertai majlis berkenaan selepas menerima kebenaran ibu bapanya.

"Malam tadi (kelmarin) saya dan rakan berbuka di hotel dan ia kali pertama kami mendapat peluang begini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/25

Memang dasar degil!

Posted: 24 Jul 2014 11:31 AM PDT

Shah Alam: Walaupun sudah diberi peringatan berulang kali oleh pihak berkuasa supaya memilih laluan yang sah jika mahu keluar dari negara ini, 24 warga asing Indonesia terus nekad menggunakan laluan tikus untuk pulang beraya.

Terbaru, Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang sekali lagi berjaya mengagalkan cubaan menyeludup keluar warga asing selepas menahan mereka di perairan Pulau Angsa, di Sungai Buloh, tengah malam kelmarin.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang Deputi Superintendan Norzaid Muhammad Said berkata, pihaknya juga turut menahan seorang tekong dan tiga awak-awak yang juga warganegara Indonesia.

"Ketika bot ronda Unit Risikan Marin (URM) serta sebuah lagi bot peronda menjalankan rondaan operasi di perairan Batu Penyu Pulau Angsa, kami mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 12.15 tengah malam.


"Pemeriksaan mendapati terdapat 24 penumpang yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 67 tahun di dalam bot itu iaitu 21 lelaki dan 3 wanita tidak mempunyai pasport atau dokumen perjalanan yang sah," katanya kepada Harian Metro.


Beliau berkata, rondaan Ops Cantas yang diketuai Asisten Superintendan Rudwan Ahmad itu kemudiannya menahan semua PATI yang dalam perjalanan menuju ke Tanjong Balai, Indonesia melalui laluan yang tidak diwartakan.

"Hasil pemeriksaan juga mendapati semua mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan menggunakan laluan tikus di persisir pantai Sungai Buloh, Kuala Selangor sebelum menuju ke perairan antarabangsa.

"Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/25

Lesap bersama modal perniagaan RM50,000

Posted: 24 Jul 2014 11:30 AM PDT

Kuala Lumpur: Seorang suri rumah kerugian kira-kira RM50,000 selepas mendakwa ditipu seorang lelaki yang kononnya mahu menggunakan wang berkenaan untuk melabur dalam perniagaan buah-buahan.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Choe, 34, berkata, dia menyerahkan wang berkenaan kepada suspek yang juga teman lelaki kakaknya.

Bagaimanapun, selepas memperoleh wang berkenaan, suspek menghilangkan diri menyebabkan mangsa membuat laporan di Balai Polis Tun HS Lee kelmarin untuk tindakan selanjutnya.

Menceritakan semula kejadian itu, Choe berkata, dia mengenali lelaki terbabit pada 2011 melalui kakaknya sebelum mereka berbincang mengenai perkongsian perniagaan buah-buahan.

"Lelaki terbabit pada mulanya memberitahu dia tidak mempunyai modal dan ingin menjadikan saya sebagai rakan kongsi.

"Malah, dia memberitahu akan membahagi keuntungan sama rata apabila perniagaan itu berjaya nanti.

"Saya yang tertarik dengan tawaran itu bersetuju selepas dia turut berjanji akan membayar semula wang dipinjam," katanya.

Menurutnya, dia pada mulanya memberi RM10,000 sebagai modal untuk membuka perniagaan pada 10 Mac 2011 sebelum memasukkan lagi RM20,000 ke dalam akaun bank lelaki itu pada 16 Mac 2011.

"Selepas tujuh bulan dia sekali lagi menghubungi saya dan memaklumkan jumlah wang masih belum mencukupi dan meminta saya memasukkan lagi wang pelaburan.

"Saya yang tidak mengesyaki apa-apa memberikan RM20,000 lagi kepadanya.

Sejak itu setiap kali saya bertanya mengenai perniagaan kami, bermacam-macam alasan diberikan kononnya dia sedang berusaha memajukan perniagaan kami," katanya.

Katanya, merasakan dirinya ditipu, dia menemui lelaki terbabit di Pasar Borong Selangor April lalu, namun gagal apabila hanya dapat berjumpa dengan pekerjanya saja selepas lelaki itu tidak muncul.

"Sehingga kini, setiap kali saya menghubunginya dia tetap berdalih dan enggan memulangkan wang dipinjam.

"Buntu dan percaya ditipu akhirnya saya tampil membuat laporan polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/25

Tak sempat bawa mayat sebelum Aidilfitri

Posted: 24 Jul 2014 11:29 AM PDT

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, mayat rakyat Malaysia yang menjadi mangsa nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 mungkin tidak dapat dibawa pulang sebelum Aidilfitri.

Menurutnya, hal itu disebabkan isu teknikal yang terbabit dalam proses pengesahan DNA.

"Saya sedih kerana terpaksa memaklumkan perkara ini kepada keluarga mangsa (mengenai perkembangan ini)," katanya selepas menandatangani buku takziah bagi memperingati 298 penumpang dan anak kapal pesawat itu yang terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai lalu di kediaman Duta Belanda di Malaysia Harry Molenaar di sini.

Najib berkata, proses pengesahan identiti mangsa perlu dilakukan mengikut prosedur ketat dengan mengambil kira bukti diperlukan bagi kemungkinan pendakwaan.


"Kita tidak dapat mengelak daripada proses rumit dan ketat ini. Ia bagi memenuhi keperluan dari segi teknikal dan undang-undang," katanya.


Perdana Menteri berkata, keseluruhan proses itu dijangka mengambil masa beberapa minggu, malah mungkin beberapa bulan. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/25

Awasi pakar forensik

Posted: 24 Jul 2014 11:28 AM PDT

Kiev: "Kerja mengesahkan mayat mangsa perlu dibuat dengan berhati-hati bagi mengelak beg mengandungi mayat mangsa yang diberi pemberontak pro- Russia tiada sebarang bahan letupan.

"Kita kena mengambil kira nyawa pakar forensik yang menjalankan prosedur penyiasatan mangsa nahas (DVI)", kata Ketua Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Leftenan Kolonel Mohd Sukri Hussain.

Beliau berharap dapat membawa sekurang-kurangnya 40 mayat keluar dari Kharkev untuk dihantar ke Pangkalan Udara Hilversum, Belanda dalam tempoh terdekat.

"Proses DVI ini perlu dijalankan secara berhati-hati demi keselamatan dan proses ini dibuat pakar forensik terlatih daripada Malaysia dan Belanda. Mereka ini mahir dalam pengendalian mayat mangsa bencana dan memahami prosedur pengurusan mayat dan cebisan manusia," katanya.

Foto

ANGGOTA pasukan SMART memindahkan mayat mangsa untuk tugasan forensik.


Menurutnya, proses DVI itu dikendalikan pakar forensik Kor Kesihatan Diraja, Kementerian Kesihatan Malaysia, PDRM yang masing-masing diketuai Dr Mohd Shah Mahmood, Datuk Dr Mohd ilham Haron dan Asisten Komisoner Hussein Omar Khan.


Katanya, Pasukan Khas Penyelamat dan Bencana Malaysia (SMART) juga satu-satunya pasukan luar yang dibenarkan Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah berada di lokasi pengumpulan mayat berikutan kemahiran mereka mengendalikan mayat yang tidak terurus.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/25

No comments:

Post a Comment