Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Puasa bukan alasan...

Posted: 19 Jul 2014 12:22 PM PDT

Kuala Lumpur: Ramadan atau bulan lain, rutin kerja harian mereka tetap sama. Ia memerlukan kudrat.

Ada ketika dalam sehari mereka terpaksa mengangkat lebih 20 kampit simen yang setiap satunya seberat 50 kilogram.

Pada hari lain, mereka diarah mengalih dan memasang besi tetulang, memasang kerangka kayu selain atap bangunan di bawah terik dan bahang mentari.

Namun, bagi buruh kasar di kawasan pembinaan, kerja berat sedikitpun tidak melemahkan semangat mereka untuk berpuasa kerana menganggap ibadat itu bukan alasan untuk malas mencari rezeki halal.


Pengalaman buruh kasar warga asing beragama Islam ini dikongsi bersama Metro Ahad yang meninjau di beberapa tapak pembinaan sekitar Lembah Klang.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/20

Hadiah air zam-zam kepada jiran

Posted: 19 Jul 2014 11:59 AM PDT

Seremban: "Hati saya sebak melihat keadaan Ivy yang lemah selepas dia mendapat tahu suaminya sudah tiada.

"Ketika kami berbual pagi semalam (kelmarin), dia (Ivy) dalam keadaan tertekan," kata Nor Salmah Amanullah, 40-an, rakan kepada Ivy Loi, 40-an iaitu isteri pembantu juruterbang pesawat MH17, Choo Jin Leong Eugene, 45.


Nor Salmah berkata, dia bersahabat dengan keluarga Choo terutama Ivy sejak tinggal berjiran empat tahun lalu di perumahan Sri Carcosa, Seremban 2, di sini.

Katanya, tidak disangka insiden itu menimpa pembantu juruterbang berkenaan yang dianggap jiran yang baik dan berbudi bahasa.


Suami Nor Salmah, Mohamad Akhbar Abu Bakar, 45, pula berkata, Choo pemurah apabila sering membelikan sesuatu untuknya setiap kali pulang daripada bertugas.


"Baru-baru ini selepas pulang dari Jeddah, Arab Saudi, dia (Choo) menghadiahkan saya air zam-zam serta beberapa cenderamata.

"Saya terkejut apabila dia terbunuh dalam nahas pesawat MH17," katanya. Menurutnya, kali terakhir dia menemui pembantu juruterbang itu pada minggu lalu ketika Choo berjoging di kawasan perumahan mereka.


"Ketika itu saya sempat berbual dengannya dan seperti biasa dia peramah dan tidak sombong," katanya.

Sementara itu, seorang jiran yang enggan dikenali berkata, Ivy mendapat tahu kejadian malang menimpa suaminya selepas diberitahu seorang lagi jiran yang juga isteri kepada seorang juruterbang.


"Setahu saya, Ivy adalah bekas pramugari dan memiliki dua anak berusia 11 dan 13 tahun," katanya.


Menurutnya, difahamkan beberapa pramugari Penerbangan Malaysia (MAS), saudara mara dan ahli keluarga tiba di rumah mangsa kelmarin untuk menenangkan Ivy.


Katanya, Ivy kemudian dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 11.15 pagi. "Difahamkan suaminya berasal dari Sungai Petani di Kedah.


"Kedua-dua ibu bapanya dari kampung turut datang ke sini (Seremban) dan dibawa ke KLIA," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/20

Waris MH370 berkongsi sedih dengan MH17

Posted: 19 Jul 2014 11:59 AM PDT

Kuala Lumpur: "Saya memahami kesedihan yang terpaksa ditanggung ahli keluarga penumpang penerbangan MH17 kerana turut merasainya empat bulan lalu.

 "Namun sekurang-kurangnya mereka tahu apa yang berlaku dan ada jenazah untuk dikebumikan, berbanding kami yang hanya mampu berdoa dan terus berharap supaya semua penumpang MH370 ditemui."  Demikian kesedihan yang turut dikongsi Selamat Omar, 60, bapa kepada Mohd Khairul Amri, 29, penumpang penerbangan MH370 yang kehilangannya masih belum terjawab sehingga ke hari.


 Menurut beliau, perasaannya turut terkesan apabila mendapat berita mengenai nahas yang menimpa MH17, sekali gus mengingatkannya kepada tragedi MH370 seperti baru semalam ia berlaku.

"Saya tahu keadaan ini sukar dilalui waris MH17 seperti saya pernah rasai sejak 8 Mac lalu hinggalah kini, tetapi bersabarlah kerana hanya itu yang mampu kita lakukan.


"Nasihat saya kepada ahli keluarga MH17, jaga kesihatan diri supaya mereka dapat menguruskan jenazah dengan tenang dan sempurna apabila ia tiba ke tanah air kelak," katanya ketika dihubungi Metro Ahad.


 Sementara itu, ibu kepada Andrew Peter Nari (gambar), 49, ketua pramugara MH370, Catherine Ramoh, 67, turut meminta ahli keluarga MH17 supaya bersabar menghadapi dugaan itu.

 "Apa yang berlaku sangat tidak berperikemanusiaan dan amat sukar diterima. Hanya kesabaran dan kecekalan tinggi mampu membuatkan kita menghadapi kenyataan itu," katanya.


Sementara itu, isteri kepada pramugara Penerbangan Malaysia (MAS) MH370, Mohd Hazrin Hasnan, Intan Maizura Othaman turut memberi kata-kata semangat kepada ahli keluarga kru MH17 menerusi Twitter.

"Wahai isteri kru MH17, saya doakan puan-puan kuat menghadapi ujian Allah yang maha hebat ini. Saya sedang melaluinya. Allahuakbar," katanya.


Dia yang dihubungi Metro Ahad berkata, ketika tragedi MH370, kru MH17 banyak memberi semangat meminta dia kuat dan tabah berdepan musibah yang menimpa.


"Semua kru ini adalah kawan rapat ketika waktu kerja saya. "Kami seperti adik beradik, ahli keluarga yang sentiasa bersama-sama berkongsi pelbagai cerita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/20

10 kilometer dari lokasi

Posted: 19 Jul 2014 11:58 AM PDT

Kuala Lumpur: Sistem pelancar peluru berpandu BUK M2 yang didakwa menembak jatuh pesawat MH17 berjaya dirakam di kawasan pangsapuri era Soviet di Torez, Ukraine selepas beberapa jam nahas itu berlaku.

Sistem penggempur yang mempunyai empat peluru berpandu itu kelihatan diselimut dengan sehelai kain ketika gambar berkenaan dirakam 10 kilometer dari lokasi kejadian.

Peralatan menembak pesawat milik puak pemisah pro-Rusia itu didakwa dilarikan ke Russia pada Jumaat.

Menurut laporan dailymail.co.uk, ketika gambar itu dirakam, dua daripada empat peluru berpandunya sudah digunakan dan ia dipercayai menembak jatuh pesawat MH17.

Foto

SISTEM pelancar peluru berpandu yang berjaya dirakam.


Dalam nahas udara pada Khamis lalu, seramai 298 penumpang dan anak kapal maut apabila pesawat dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di Timur Ukraine.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/20

Wanita nafi keluarkan kenyataan perkauman

Posted: 19 Jul 2014 11:57 AM PDT

Tawau: Wanita yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman di akaun Facebook (FB) terhadap tragedi pesawat MH17 menafikan berbuat demikian.

Dia yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, jam 10 pagi semalam, mendakwa tidak lagi menggunakan akaun FB itu.


Dalam laporannya, dia mendakwa akaun FB itu disalahgunakan pihak tertentu untuk menulis status berunsur fitnah dan perkauman.

Bagaimanapun, usaha menemubual wanita itu gagal selepas dia enggan membuat ulasan sehingga siasatan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selesai.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Awang Besar Dullah mengesahkan menerima laporan polis dibuat oleh wanita terbabit.


"Selain itu, polis turut menerima dua aduan awam berhubung kenyataan berbaur perkauman di FB menerusi akaun Sim Kwang Yung Sim.

"Polis memandang serius perkara ini dan siasatan akan dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/20

No comments:

Post a Comment