Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Suami tak tahu isteri meninggal

Posted: 09 Jul 2014 11:46 AM PDT

Kuala Terengganu: Empat beradik menyambut Aidilfitri tanpa belaian ibu tersayang tahun ini apabila wanita berkenaan maut dalam kemalangan di Kilometer 21.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Kelulut, di sini, jam 9 malam kelmarin.

Lebih memilukan apabila bapa kanak-kanak terbabit, Badrulhisham Bakar, 38, yang tidak mengetahui isterinya, Zuraiha Zainal Abidin, 34, meninggal dunia di tempat kejadian asyik bertanyakan keadaan wanita terbabit ketika dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini bersama empat anaknya yang turut mengalami kecederaan ringan.

Kemalangan membabitkan dua kereta termasuk milik kerabat Istana Terengganu, Tengku Nasruddin Tengku Mahmud, 41, dan sebuah motosikal itu turut meragut nyawa penunggang motosikal terbabit seorang lelaki Vietnam dikenali sebagai Le Ngoc Toan berusia 30 tahun.

Ibu saudara Zuraiha, Rosmaliza Kadir, 41, berkata, Badrulhisham dikatakan patah kaki kiri dan Muhammad Adam Muamzar, 6, cedera di kepala manakala tiga lagi anak mereka Muhammad Adam Wazif, 8, Nur Nia Dzaira, 4 dan Qaseh Eva Qaizara, 2, cedera ringan.

Foto

DUA kenderaan yang terbabit nahas remuk teruk.

Foto

PENUNGGANG motosikal maut di tempat kejadian.


"Badrulhisham berkali-kali bertanyakan kepada saya keadaan isterinya dan saya tidak sampai hati memberitahu kejadian sebenar kerana masih kebingungan serta trauma dengan apa yang terjadi," katanya ketika ditemui di Unit Forensik HSNZ, di sini, malam kelmarin.


Rosmaliza yang tinggal di Putera Jaya, Setiu berkata, dia dan suami, Aziz Yahya, 39, mengetahui kejadian menimpa anak saudaranya selepas menerima panggilan telefon daripada adiknya yang tinggal di Kuala Lumpur.

Menurutnya, ketika kejadian arwah yang tinggal di Pasir Mas, Kelantan dalam perjalanan ke rumah iparnya di Kampung Santong, Paka, Dungun dengan menaiki Proton Iswara dipandu suami bersama empat anaknya.

"Arwah bertolak dari Pasir Mas jam 3 petang dan berbuka puasa bersama keluarga di Pantai Batu Buruk sebelum meneruskan perjalanan ke Paka," katanya.

Katanya, kali terakhir dia menemui arwah pada awal Jun lalu ketika pulang ke rumah keluarga di Kampung Durian Hijau, Kok Lanas, Kota Bharu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/10

Cirit bubur lambuk bazar Ramadan

Posted: 09 Jul 2014 11:42 AM PDT

Tanjung Karang: Lima lagi mangsa keracunan makanan akibat makan sajian dijual di bazar Ramadan dilaporkan di negeri ini menjadikan ia kes kedua dalam tempoh kira-kira 10 hari selepas kes pertama dilaporkan hari pertama Ramadan lalu.

Selepas kejadian menimpa sebuah keluarga di Taman Sri Muda, Shah Alam kini giliran dua keluarga di daerah ini menerima nasib sama, namun akibat juadah berbeza kerana kali ini punca kejadian dipercayai akibat bubur lambuk.

Kelima-lima mangsa iaitu empat kanak-kanak dan seorang dewasa mengalami keracunan makanan selepas dipercayai menikmati bubur lambuk yang dibeli di pasar Ramadan, di sini, petang kelmarin.

Akibatnya, mereka dirawat di Hospital Tanjung Karang (HTK) selepas muntah-muntah sehingga tidak bermaya selain mengalami kekurangan air dalam badan.

Foto

AZMI (kanan) bersama keluarga di HTK, semalam.


Pengarah HTK, Dr Mohd Zamri Saim, mengesahkan pihaknya sedang merawat lima pesakit yang dipercayai mengalami keracunan makanan dan sedang melakukan pemantauan dengan meletakkan pesakit di wad berisiko sederhana bagi memastikan mereka tidak mengalami masalahkekurangan air dalam badan.


"Mereka kini stabil dan akan mendapatkan sampel makanan yang disyaki untuk diuji.

"Kita juga memaklumkan perkara ini kepada Inspektor Kesihatan dari Pejabat Kesihatan Kuala Selangor dan sudah dimaklumkan mereka sedang menjalankan siasatan dan mengambil keterangan daripada mangsa bagi mengesahkan punca keracunan makanan," katanya.

Sementara itu, bapa seorang daripada mangsa, Azmi Abdul Azis, 33, yang menetap di Taman Raja Musa, di sini berkata, dia tidak menyangka bubur lambuk yang dibeli untuk dua orang anaknya, Muhammad Zul Rayyan Nazmi yang berusia dua tahun dan Nurzulaikha Qystina, yang berusia lima tahun menyebabkan anaknya itu muntah-muntah dan mengalami cirit-birit hingga dikejarkan ke wad kecemasan HTK jam 1 pagi, semalam berkemungkinan mengalamin dihidrasi atau kekurangan air dalam badan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/10

Budak didera turut tak dibenar berbuka

Posted: 09 Jul 2014 11:40 AM PDT

Subang Jaya: Menyedihkan apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun menjadi mangsa penderaan ibu kandungnya apabila mangsa kerap ditampar dan dipukul berulang kali.

Mangsa turut tidak dibenarkan menjamah makanan ketika berbuka puasa oleh ibunya di rumah didiami di Putra Height, di sini.

Sumber berkata, dalam kejadian terbaru jam 6 petang Isnin lalu, suspek berusia 25 tahun yang bekerja sebagai kerani itu bertindak memukul mangsa kerana mendakwa anaknya didakwa sering menipu.

"Kecederaan dialami mangsa bagaimanapun menimbulkan tanda tanya guru taska tempat mangsa belajar di Seksyen 27, Shah Alam sebelum memaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.


Sumber itu berkata, sepasukan pegawai dan anggota JKM yang bergegas ke rumah mangsa mendapati kanak-kanak malang itu ditinggalkan sendirian.


"Kanak-kanak itu dibawa ke JKM dan satu laporan polis dibuat berhubung kejadian itu," katanya.

Susulan laporan itu, suspek yang bekerja di Shah Alam ditahan di rumahnya kira-kira jam 5 petang kelmarin selepas pulang dari kerja.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan suspek direman empat hari.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/10

Ramadan kali ini bukan rezeki anak yatim

Posted: 09 Jul 2014 11:39 AM PDT

Kuala Lumpur: Jika Ramadan sebelum ini rumah anak yatim tidak menang tangan menerima jemputan daripada beberapa pihak, namun lain pula tahun ini apabila ada yang kurang undangan walaupun Ramadan sudah memasuki 11 hari.

Beberapa rumah kebajikan anak yatim dihubungi mengesahkan perkara itu serta menganggap Ramadan tahun ini bukan rezeki anak kurang bernasib baik dan diharapkan ia tidak kekal lama sehingga penghujung puasa.

Pengasas Pertubuhan Kebajikan dan Perlindungan Nur Qaseh, Roslida Che Wail berkata, dia hairan dan cuba menghubungi beberapa syarikat korporat yang menganjurkan majlis berbuka puasa tahun lalu, namun jawapan diterima hampa.

"Kebanyakan yang dihubungi memberitahu tiada peruntukan khas untuk menganjurkan majlis berbuka puasa dengan anak yatim tahun ini.


"Saya menganggap ia bukan rezeki 85 anak yatim di rumah ini, namun tetap bersyukur walaupun menerima satu undangan berbuka puasa minggu lalu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Menurutnya, berbanding tahun sebelumnya, anak yatim berkenaan tidak menang tangan makan di hotel dan restoran mewah, namun memasuki Ramadan ke-11 hari ini, undangan diterima kurang.

Pengetua Pertubuhan Amal Rumah Anak Yatim dan Hidayah Al-Hijrah, Khairul Anwar Mohd Amin berkata, 27 anak yatim berusia tujuh dan 15 tahun itu turut menerima nasib sama iaitu kurang undangan diterima berbanding tahun lalu.

"Tahun lalu kami terpaksa memilih undangan berikutan terlalu banyak permintaan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat.

"Bagaimanapun tahun ini sehingga hari ke-10 (semalam) Ramadan, hanya dua undangan diterima, bagaimanapun kami masih bersyukur," katanya.

Pengasas Rumah Perlindungan dan Anak Yatim Raudhatul Jannah Zainab Othman turut mengakui hakikat itu berikutan menerima jemputan baru tiga kali sepanjang Ramadan ini.

"Tahun lalu, kebanyakan syarikat korporat, individu persendirian, agensi kerajaan dan NGO sudah membuat tempahan sebulan awal untuk meraikan majlis berbuka puasa.

"Namun, tahun ini berbeza kerana undangan diterima sangat kurang, namun saya menganggap ia bukan rezeki 20 anak (yatim) saya," katanya.

Bagaimanapun, berbeza pula dengan Pertubuhan Pendidikan Anak Yatim Selangor yang menerima banyak undangan daripada pihak berkaitan.

Pengurusnya, Ishak Osman berkata, setakat Ramadan yang memasuki hari ke-11 hari ini anak yatim di rumah itu masih 'mewah' dijamu oleh pelbagai pihak.

"Alhamdulillah rezeki 70 anak yatim di rumah ini sering melimpah hingga ada undangan yang terpaksa ditolak, namun saya akui ia tidak semeriah seperti tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/10

Hasrat raya bersama berkecai

Posted: 09 Jul 2014 11:35 AM PDT

Klang: "Memang tidak dinafikan perasaan saya sekarang sangat sayu kerana tahun ini saya berhasrat untuk beraya bersama Hafiz memandangkan sebelum ini arwah tinggal dengan keluarga angkat," kata Siti Habibah Ismail, 38, ibu kepada Muhamad Hafiz Abd Ghani, 17, yang meninggal dunia akibat dibelasah bapanya 5 Julai lalu.

Katanya, sejak dari kecil, arwah tinggal dengan keluarga angkatnya di sini (Klang) dan ini tahun pertama mereka akan beraya bersama, namun hajat itu tidak kesampaian kerana arwah terlebih dahulu pergi meninggalkan kami.

"Selain saya, sembilan lagi adik beradiknya turut masih merasai kehilangan abang sulung mereka tambahan lagi tragedi yang menimpa Hafiz berpunca kerana arwah mahu mencari kerja supaya dapat memberi mereka makanan yang lebih enak seperti kanak-kanak lain.

"Saya reda dengan pemergian Hafiz, namun adik lelaki arwah yang berusia 16 tahun sangat merasa ketiadaan Hafiz kerana mereka berdua sangat rapat sepanjang arwah tinggal dengan kami sejak Oktober tahun lalu," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan wang sumbangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Klang di Rantau Panjang, di sini, semalam.

Foto

BORHANUDIN menyampaikan sumbangan kepada Siti Habibah di rumahnya, semalam.


Menurutnya, dia bersyukur dan berterima kasih kepada individu dan organisasi yang prihatin memberi sumbangan kepada dia sekeluarga untuk meringankan beban ditanggung.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/10

No comments:

Post a Comment