Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Bayi 'ajaib'

Posted: 26 Jul 2014 09:11 AM PDT

Baitulmaqdis: Kelahiran pramatang seorang kanak-kanak perempuan daripada ibunya yang maut dalam serangan udara Israel dianggap satu keajaiban.

Ibu bayi berkenaan yang berusia 23 tahun maut dalam serangan udara terhadap rumahnya di bandar Deir al-Balah, namun ajaibnya bayi dikandung berjaya diselamatkan melalui pembedahan.

Dr Fadi Al-Khrote yang mengetuai pasukan pembedahan berkata, bayi terbabit 'ajaib' kerana ibunya diisytiharkan mati secara klinikal selama 10 minit sebelum pembedahan diselesaikan. Lazimnya, bayi dijangka tidak mampu hidup lebih daripada lima minit selepas ibunya meninggal dunia.

Sementara itu, Israel dan Hamas akhirnya bersetuju melakukan gencatan senjata sementara selama 12 jam bermula jam 8 pagi waktu tempatan semalam pada hari ke-19 keganasan di Gaza, namun usaha mencari kedamaian jangka panjang antara dua pihak bertelagah itu masih gagal mencapai kata sepakat.

Foto
Foto

PASUKAN penyelamat mengeluarkan mayat anggota keluarga al-Najar yang maut bersama 15 saudaranya selepas rumah dimusnahkan dalam serangan udara tentera Israel.


Namun, malangnya dalam beberapa jam menjelang tempoh gencatan dipersetujui itu, keganasan tetap berterusan apabila serangan udara Israel mengakibatkan 23 terbunuh termasuk 16 sekeluarga, empat kanak-kanak dan seorang anggota paramedik.


Menurut Hamas dan kumpulan pejuang lain di Gaza mereka mencapai persetujuan mengadakan gencatan manakala Israel turut mengesahkan mereka bersetuju memberi 'ruang kemanusiaan di Semenanjung Gaza'. Kenyataan dikeluarkan kementerian dalam negeri di bawah Hamas di Gaza juga memberi amaran supaya orang ramai tidak menghampiri bangunan yang musnah atau pangkalan tentera bagi mengelak terdedah kepada bahan letupan.

Bagaimanapun, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) John Kerry yang berada di Kaherah bersama Setiausaha Agung Ban Ki-moon dilaporkan berkata usaha menghentikan pertempuran sengit Hamas dan Israel masih menemui jalan buntu berikutan kedua-dua pihak masih perlu membincangkan beberapa isu, namun mendakwa rangka asas proses damai sudah dimulakan.

Tetapi sebaliknya stesen televisyen Channel 1 Israel melaporkan Jumaat lalu, Kabinet Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menolak cadangan-cadangan dikemukakan Kerry.

Sehubungan itu, Kerry tiba di Perancis semalam bagi menghadiri persidangan diadakan Menteri Luar negara itu, Laurent Fabius bersama AS, Britain, Jerman, Itali, Qatar dan Kesatuan Eropah selepas

AS dan Mesir berganding bahu dalam perancangan untuk menghentikan sementara konflik berdarah Israel-Hamas sebelum perbincangan lanjut diadakan.

Konflik bermula 8 Julai lalu apabila tentera rejim Zionis melancarkan serangan udara dari Gaza dan memusnahkan laluan bawah tanah yang digunakan Hamas sehingga meragut hampir 900 nyawa Palestin, kebanyakannya orang awam. Pertempuran turut mengorbankan 37 tentera rejim Zionis, dua orang awam Israel dan seorang pekerja asing Thailand.

Sementara itu, Ban dalam satu kenyataan menggesa supaya "keganasan dihentikan sementara dan tanpa bersyarat di Gaza serta Israel yang boleh meredakan keadaan sepanjang tempoh Aidilfitri yang diharap mampu membawa kepada pelan gencatan senjata jangka panjang".

Kenyataan itu merujuk kepada harapan menjamin gencatan senjata selama seminggu bagi membolehkan diikuti rundingan diadakan bagi terus menghentikan persengketaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/27

Persahabatan baru di sebalik perang

Posted: 26 Jul 2014 08:40 AM PDT

Gaza: Penduduk Gaza Mahmud Khalaf merasakan pengalaman baru yang pelik apabila buat kali pertama dalam hidupnya menunaikan solat di dalam gereja Kristian dengan patung Jesus 'memandangnya'.

Sejak perang tercetus, dia tidak mempunyai pilihan melainkan bersolat di dalam gereja yang menjadi tempat berlindung apabila rejim Zionis mengebom kawasan kediamannya di utara Palestin.

"Mereka membenarkan kami solat dan ini memang mengubah pandangan kami terhadap orang Kristian. Malah, mereka kini seakan menjadi keluarga kami.

"Kami semua menunaikan solat, di sini, semalam. Memang kini perasaan sayang semakin kuat antara kami dengan penganut Kristian di sini," katanya.


Mahmud, 27, tidak menyangka dia dapat mengerjakan solat di dalam gereja setiap hari dan ini secara tidak langsung menguatkan keakraban antara penganut dua agama itu.


Kini, pengunjung ke Gereja Saint Porphyrius di Gaza City itu disambut 'marhaban' golongan Kristian dan salam oleh mereka yang beragama Islam yang rata-rata mendapatkan perlindungan di situ sejak dua minggu lalu selepas kehilangan tempat tinggal.

Rakannya Khalaf yang meninggalkan rumahnya di Shaaf apabila diserang pesawat Israel juga lega mendapat perlindungan rakan Kristiannya.

"Mereka banyak membantu dan kami sangat berterima kasih serta bersyukur kerana mereka begitu kuat menyokong kami.

"Paderi dan pekerja gereja menghormati kami sepanjang Ramadan.
Namun, tidak bermakna mereka berpuasa seperti kami, cuma tidak makan di hadapan kami pada waktu siang, malah tidak merokok atau minum," katanya.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/27

Pindah 300 pekerja Thailand ke zon selamat

Posted: 26 Jul 2014 08:40 AM PDT

Gaza: Sekurang-kurang 300 pekerja Thailand akan dipindahkan jauh dari Gaza sementara siasatan dakwaan pekerja warga Thailand dipaksa bekerja di lokasi berbahaya dan berisiko terkena serangan udara berikutan kematian seorang pekerja dari wilayah Nan.

Setiausaha tetap buruh Jirasak Sukontachart berkata, 300 hingga 4,000 pekerja Thai bekerja di Gaza mahu dipindahkan ke zon selamat.

Permohonan mereka itu selepas kematian Narakorn Kittiyangkul, 36, dalam serangan roket, Rabu lalu di tempat kerjanya di Ashkelon, 75 kilometer di selatan Tel Aviv.

Ketua Jabatan Pekerja kementerian terbabit Sumet Mahosot berkata dia pada mulanya dimaklumkan Narakorn diberi amaran serangan roket bakal dilakukan dan dinasihatkan mencari perlindungan.


Katanya, Narakorn dan empat atau lima rakan juga warga Thai tidak mengendahkan amaran berkenaan.


Jirasak mendakwa menerima aduan majikan memaksa pekerja terus bekerja walaupun diberi amaran serangan. Katanya, dia akan meminta kedutaan Thai di Israel mengesahkan perkara itu.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/27

Cekik mati kekasih hamil

Posted: 26 Jul 2014 08:39 AM PDT

London: Seorang lelaki berusia 22 tahun mencekik bekas kekasih remajanya yang hamil sehingga mati sebelum menyumbat mayat wanita malang itu ke dalam bagasi dan menanamnya di dalam kubur bapa saudaranya.

Ben Blakeley dipenjara sekurang-kurangnya 20 tahun kerana membunuh teman wanitanya Jayden Parkinson, 17, sehari selepas remaja itu memberitahu dia mengandung anaknya.

Hakim Mahkamah Crown Patrick Eccles ketika menjatuhkan hukuman berkata tindakan Blakeley menanam mayat mangsa dalam kubur bapa saudaranya sebagai 'gila'.

Sebelum itu, mahkamah dimaklumkan Jayden pernah membuat laporan terhadap Blakeley selepas diugut menyiarkan gambar intim serta video bogelnya di Facebook.


Bekas pengutip sampah itu membawa bagasi berisi mayat Jayden menaiki teksi ke tanah perkuburan berhampiran sebelum menanamnya di dalam kubur bapa saudaranya.


Ketika masih remaja Blakeley pernah memberitahu pekerja rumah anak yatim tempat dia membesar bahawa menanam mayat dalam kubur lama akan menjadi kaedah pilihannya jika perlu menutup jejak pembunuhan kerana tindakan itu menyukarkan ujian DNA serta pengecaman mayat.

Sepanjang perbicaraannya juga Blakely menampakkan sikapnya yang panas baran dan ganas apabila berkali-kali cuba mengambil alih prosiding, malah pada satu ketika selamba meninggalkan kandang tertuduh menyebabkan mahkamah ditangguhkan.

Peguam bela Richard Benson berkata, Blakeley menunjukkan rasa bersalah atas perbuatannya apabila menulis surat meminta maaf kepada paderi yang menjaga tanah perkuburan terbabit.

Menurutnya, perbuatan Blakeley akibat perasaan marah yang tidak dapat dikawal disebabkan cemburu apabila percaya Jayden yang sudah memutuskan hubungan dengannya ketika kejadian mempunyai teman lelaki baru.

Namun, sebenarnya Blakeley terkenal sebagai seorang yang baran dan mempunyai rekod mendera semua bekas teman wanitanya termasuk Jayden kerana sifatnya terlalu cemburu sehingga tidak membenarkan mereka berkawan dengan sesiapa malah turut merampas telefon bimbit mereka selain melakukan penderaan fizikal. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/27

2 jet AS iring pesawat diancam letup

Posted: 26 Jul 2014 08:39 AM PDT

Toronto: Dua jet pejuang F16 Amerika Syarikat diarahkan mengiringi pesawat yang menuju ke Panama City kembali ke Toronto selepas seorang lelaki mengugut mahu meletupkan kapal terbang itu.

Major Julie Roberge dari Markas Pertahanan Angkasa Lepas Amerika Utara (Norad) berkata, jet pejuang itu diterbangkan untuk mengiringi pesawat Sunwaing Airlines 772 sebagai langkah berjaga-jaga, tidak sampai sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Pearson.

Rakaman video yang sempat diambil penumpang menunjukkan pasukan penguat kuasa Kanada menggempur pesawat itu sebaik mendarat sebelum menahan lelaki tempatan berusia 25 terbabit.

Dipercayai, lelaki itu marah selepas tidak berpuas hati apabila dimaklumkan barangan bebas cukai yang mahu dibelinya tidak dijual. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/27

Peluang tuntut pampasan gambar aib

Posted: 26 Jul 2014 08:38 AM PDT

Baltimore: Ribuan wanita diberi peluang berkongsi tuntutan pampasan berjumlah AS$190 juta (RM600 juta) selepas gambar kemaluan mereka dipercayai diambil ketika pemeriksaan dengan pakar sakit puan di Hospital John Hopkins.

Peguam Jonathan Schochor dari firma yang mengendalikan kes itu berkata, cuma satu syarat dikenakan, mereka perlu menceritakan trauma dialami akibat kejadian itu sebelum pampasan diberikan.

"Setiap wanita layak mendapat pampasan, namun perlu menunjukkan mereka 'cedera' tidak kiralah secara fizikal atau emosi.

"Jika tidak, keadaan mereka boleh diumpamakan seperti keluar melulu dari di simpang tanpa berhenti, namun tiada kemalangan berlaku," katanya.


Bagaimanapun, syarat itu mungkin susah diterima wanita yang merasakan diri dicabuli akibat perbuatan Dr Nikita Levy yang membunuh diri pada Februari 2013 selepas didedahkan memiliki ratusan gambar alat sulit wanita.


Disebabkan itu ramai juga wanita terbabit menganggap wang itu tidak berbaloi, terutama apabila ada dalam kalangan mereka tidak ingat sebarang kejadian pelik apatah lagi trauma ketika melalui pemeriksaan.

Seorang wanita mengakui tidak ingat Levy, tetapi mahu mencuba nasibnya mendapatkan wang itu.

"Mana tahu, mungkin saya juga antara mangsanya dan jika benar sudah tentu saya berhak mendapat pampasan atas perbuatannya mengambil kesempatan terhadap saya di tempat yang sepatutnya selamat," katanya.

Sehingga 80,000 wanita dan remaja perempuan menyertai saman itu setakat ini dan jumlah itu dijangka bertambah.

Levy bekerja di sebuah klinik di Baltimore yang juga satu cabang daripada Hospital John Hopkins sehingga dipecat pada Februari 2013 akibat kejadian itu.

Pasukan penyiasat menemui 1,200 video dan 140 gambar di dalam komputer peribadi Levy yang dipercayai diambil secara tersembunyi menggunakan kamera kecil berbentuk pen dipakai di lehernya.

Namun tidak satu pun video serta gambar itu dapat dikaitkan dengan setiap pesakit, selain tidak dikongsikan. Levy membunuh diri tidak lama selepas itu.

Menurut firma guaman yang mengendalikan kes itu, mangsa boleh mendapat sehingga 35 peratus daripada jumlah ditawarkan untuk kos perundangan manakala AS$123.5 juta (RM392 juta) dalam akaun berfaedah sehingga setiap tuntutan dapat diselesaikan.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/27

14 maut ditembak

Posted: 26 Jul 2014 08:36 AM PDT

Kabul: Sekumpulan lelaki bersenjata memberhentikan dua bas mini sebelum membunuh 14 penumpang, lewat kelmarin.

Gabenor wilayah Sayed Anwar Rahmati di wilayah terpencil Ghor berkata, kebanyakan mangsa datang dari kumpulan minoriti Syiah Hazara, namun perkara itu belum dapat disahkan.

"Mereka menghentikan dua kenderaan yang membawa 32 orang dan mengasingkan 14 penumpang selepas memeriksa dokumen peribadi mereka. Mereka kemudian ditembak mati," katanya.

Sekurang-kurangnya tiga wanita dan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun antara yang terbunuh.


Sementara itu, jurucakap kementerian dalam negeri Sediq Sediqqi mendakwa kejadian dilakukan Taliban yang bertujuan menimbulkan ketakutan orang ramai.


Bagaimanapun, jurucakap Taliban Zabihullah Mujahid menafikan bertanggungjawab.

"Kami mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan itu dan berazam mencari serta menghukum mereka yang melakukannya," katanya dalam pesanan ringkas kepada Reuters.

Puak Hazara yang dipercayai berketurunan Mongol ditindas teruk ketika pemerintahan Taliban apabila dibunuh beramai-ramai.

Kebanyakannya ditanam dalam kubur besar-besaran, malah ada juga mayat dicampak dalam perigi.

Golongan itu masih dilayan buruk tanpa sebarang perubahan dibawa Presiden Hamid Karzai untuk membantu mereka. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/27

China kecam inkuiri dilancar Britain

Posted: 26 Jul 2014 08:35 AM PDT

Shanghai: China mengecam inkuiri dilancarkan kerajaan Britain berhubung urusan hal-ehwal dalaman Hong Kong yang bermula 30 tahun selepas dua negara itu bersetuju ia dikembalikan kepada Beijing.

Ini berikutan tindakan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Parlimen Britain memulakan inkuiri mengenai bagaimana kementerian luarnya memantau pelaksanaan perjanjian 1984 antara Beijing dan London yang membuka jalan untuk mereka kembali memerintah Hong Kong pada 1997.

Jurucakap kementerian luar China Hong Lei menggesa Britain untuk tidak mencampuri urusan hal-ehwal dalam negeri mereka.

"Hong Kong adalah wilayah Pentadbiran Khas China jadi hal-ehwal berkaitan bandar ini hak China," katanya dalam satu kenyataan disiarkan di laman web kementerian.


Britain menyerahkan Hong Kong kembali kepada China pada 1997, namun menetapkan ia mengekalkan kebebasan dan autonomi di bawah model satu negara, dua sistem. Bandar itu tidak pernah mencapai tahap demokratik penuh sepanjang 150 tahun di bawah jajahan Britain.


Pihak berkuasa China sering bengang dengan komen dibuat Britain mengenai pembangunan demokrasi di Hong Kong, malah Kertas Putih dikeluarkan Kabinet China baru-baru ini menyebut mengenai sikap 'kuasa luar' gemar mencampuri urusan kota itu.

Laporan kerajaan Britain mengenai Hong Kong dibentangkan setiausaha luar William Hague kepada kerajaan British awal bulan ini menyatakan kebimbangan serius mengenai kebebasan media di bekas jajahannya itu selain menyentuh mengenai laporan mengatakan bank terkemuka Britain membatalkan pengiklanan daripada akhbar prodemokrasi tempatan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/27

Ahli politik 'hilang'

Posted: 26 Jul 2014 08:35 AM PDT

Baghdad: Sekumpulan lelaki bersenjata menaiki 10 SUV hitam mengambil seorang ahli politik Sunni yang sebelum ini dipenjara kerana pelbagai tuduhan terbabit dalam aktiviti keganasan di rumahnya di bandar ini.

Menurut anggota polis yang enggan dinamakan, setakat ini tidak jelas sama ada Riyadh al-Adhdah (ketua Majlis Wilayah Baghdad) ditahan pasukan keselamatan atau diculik.

Kejadian berlaku ketika konflik mazhab yang melihat pejuang Sunni merampas kawasan di barat Iraq manakala askar Syiah turut dihimpunkan untuk melawan mereka.

Perdana Menteri Nouri al-Maliki yang juga berfahaman Syiah pula berusaha memastikan dirinya dilantik untuk penggal ketiga tanpa menghiraukan desakan untuk meletakkan jawatan disebabkan krisis itu.


Kejadian kehilangan Riyadh itu dibincangkan Nouri bersama speaker parlimen Salim al-Jabouri yang berfahaman Sunni dalam satu pertemuan, semalam. Salim menganggap kehilangan itu satu masalah, namun tidak mengulas sama kejadian itu satu tangkapan atau penculikan.-AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/27

No comments:

Post a Comment