Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Badang tak pernah hampakan Malaysia

Posted: 16 Jul 2014 10:42 AM PDT

Kuala Lumpur: Sukan angkat berat tidak pernah mengecewakan kontinjen negara di Sukan Komanwel sejak 16 tahun lalu apabila sentiasa menyumbangkan pingat emas.

Bermula dengan kejayaan Mohd Hidayat Hamidon yang mengungguli kategori 69 kilogram pada edisi 1998, kecemerlangan itu diteruskan Amirul Hamizan Ibrahim (2002), Mohd Faizal Baharom (2006) dan empat tahun lalu Amirul Hamizan dan Arricco Jumitih menyumbang dua emas buat kontinjen negara di New Delhi, India.

Tradisi cemerlang itu mahu diteruskan barisan badang negara yang terpilih ke Glasgow, Scotland dengan sandaran utama kini terletak kepada pemenang pingat gangsa 2010, Mohd Hafifi Mansor yang bersaing dalam kategori 69kg.

"Memang terdapat sedikit tekanan apabila memikirkan tentang Sukan Komanwel nanti. Tumpuan pasti akan terarah kepada saya kerana beberapa senior lain tidak ke Scotland namun ini adalah asam garam bertanding. Siapa yang tidak mahu merangkul emas jika berpeluang. Ini adalah penampilan kedua saya di Sukan Komanwel, jadi saya akan buat yang terbaik.

Foto

MOHD Hafifi buat penampilan kedua di Sukan Komanwel.


"Jurulatih baru dari Indonesia, Lukman banyak membantu saya kali ini dengan meningkatkan prestasi sejak menjalani latihan bersamanya pada awal tahun ini. Saya tidak mahu mensia-siakan harapan yang disandarkan Majlis Sukan Negara (MSN) kerana Lukman hanya memberi fokus kepada saya seorang saja. Saya akan memberikan aksi terbaik," katanya.


Turut menjadi tumpuan kehadiran semula pemenang pingat emas edisi 2006, Faizal yang bakal bersaing di Glasgow dalam kategori 56kg selain beberapa atlet muda negara seperti Mohd Azril Uzairi Ramli yang dilihat mampu melakar kejutan.

Mengenai ketiadaan Datuk Lee Chong Wei, salah seorang prospek emas negara, Hafifi berkata, ia adalah sesuatu yang mengejutkan kerana kebiasaannya pemain nombor satu dunia itu sentiasa menyumbang emas kepada kontinjen negara.

"Ketiadaannya seperti menjadikan kontinjen seperti tidak lengkap kerana dia adalah pemain bintang. Namun sukan lain perlu mempamerkan kebangkitan bagi mengisi ketiadaannya," tambahnya.

Skuad angkat berat negara menampilkan lapan atlet dalam kategori lelaki dan empat wanita dengan kontinjen negara kali ini diketuai Presiden Persatuan Angkatan Berat Malaysia (PABM), Datuk Ong Poh Eng meletakkan sasaran tujuh pingat emas di Glasgow.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Enggan letak harapan tinggi

Posted: 16 Jul 2014 10:35 AM PDT

Kuala Lumpur: Pemain beregu wanita negara, Vivian Hoo tidak mahu meletak harapan terlalu tinggi di Sukan Komanwel 2014 Glasgow, sebaliknya dia hanya mensasarkan sekurang-kurangnya untuk membawa pulang satu pingat tidak kira warna.

Menurut pemain kelahiran Kuala Lumpur itu, dia berharap dapat beraksi baik di temasya empat tahun sekali itu walaupun itu aksi pertamanya di Sukan Komanwel.

"Setakat ini semua persiapan berjalan lancar, saya harap sekurang-kurangnya memenangi pingat tidak kira apa warna sekali pun," katanya yang akan bergandingan dengan Woon Khe Wei di Glasgow nanti.

Sebelum ini, jurulatih mereka, Rosman Razak yakin anak buahnya itu mampu menghadiahkan pingat emas jika menampilkan persembahan seperti di Sukan SEA 2013.

Foto

VIVIAN (kiri) sasarkan untuk membawa pulang satu pingat tak kira warna.


Pada temasya dwitahunan itu, Vivian dan Khe Wei mengejutkan pasangan Indonesia yang juga pilihan utama kejohanan, Nitya Krishinda Maheswari-Greysia Polii untuk meraih pingat emas.


"Saya rasa pada saingan kali ini semua negara mempunyai peluang 50-50 untuk meraih emas termasuk kami," katanya yang merujuk kepada pasangan dari India, Singapura dan Australia.

Vivian, 24, mengakui sekarang perasaannya bercampur baur, sebelum berangkat bersama pemain lain ke Glasgow, Ahad ini.

"Saya rasa berdebar selain teruja," kata Vivian yang sekarang ini menduduki ranking ke-18 dunia, kedua terbaik dalam kalangan negara Komanwel.

Pesaing terdekat mereka adalah pasangan dari Singapura, Shinta Mulia Sari-Yao Lei yang menduduki ranking ke-15 dunia.

Acara beregu wanita yang akan berlangsung di Emirates Arena, Glasgow, akan bermula Khamis depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

MGF ambil jalan selamat

Posted: 16 Jul 2014 10:33 AM PDT

Kuala Lumpur: Ketiadaan atlet pelapis berkaliber menyebabkan Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) memilih jalan selamat dengan menyasarkan hanya satu pingat pada Sukan Komanwel Glasgow dari 23 Julai hingga 3 Ogos ini.

Timbalan Presiden MGF Kaugit Kaur berkata, persatuan itu menghadapi masalah mencari atlet terbaik bagi memburu pingat pada temasya sukan kedua terbesar di dunia itu.

"Kami akui kali ini MGF ketandusan atlet pelapis yang bagus bagi menghadapi Sukan Komanwel.

Jika empat tahun lalu kami agak cemerlang apabila meraih satu pingat emas, satu perak dan tiga gangsa, tapi kali ini agak sukar.

"Kami mungkin menghantar dua atlet lelaki dan satu pasukan gimrama wanita saja.

Kalau nak dilihat kepada harapan pingat, mungkin kami boleh meraih satu pingat dari pasukan gimrama.

"Pasukan seperti Kanada dan Australia makin meningkat, sebaliknya kami masih tercari-cari atlet terbaik bagi mewakili negara," katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Menurutnya, beliau mengakui MGF belum lagi mampu menyasarkan sebarang sasaran khusus walaupun persatuan sukan lain sudah mendedahkan sasaran masing-masing.

"Hingga ke hari ini belum lagi menetapkan apa-apa sasaran.

Foto

ELAINE cipta kejutan hadiah satu pingat emas di New Delhi.


Tunggulah selepas pertemuan bersama jurulatih dan presiden, kami akan dedahkan sasaran kami," jelasnya.

Pada Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, pasukan gimnastik negara melakukan kejutan apabila menghadiahkan satu pingat emas menerusi Elaine Koon dalam disiplin gelung individu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Belum ada jawapan

Posted: 16 Jul 2014 10:31 AM PDT

Kuala Lumpur: Masih tiada jawapan tepat dari Faizal Saari sama ada mahu kembali beraksi bersama skuad negara terutama di Sukan Asia pada September atau membulatkan tekad untuk mengundur diri.

Teka-teki itu berterusan meskipun selepas penyerang utama negara itu bersemuka dengan Naib Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Nur Azmi Ahmad, semalam bagi meluahkan segala yang terbuku dalam hatinya.

Turut serta dalam perbincangan itu kapten skuad negara Azlan Misron yang sebelum ini juga menyatakan hasrat untuk berundur, tetapi sudah kembali menjalani latihan bersama skuad negara kelmarin.

Kira-kira sejam selepas berbincang, Faizal yang turut sama dalam sidang media enggan memberi sebarang komen dan menyerahkan segala-galanya kepada Nur Azmi.

Foto

FAIZAL dan Azlan (kiri) hadir berbincang dengan Nur Azmi (tengah) di Bukit Jalil.


Umpama cuba memberikan harapan, Nur Azmi menyatakan beliau yakin Faizal serta Azlan akan beraksi pada pentas Sukan Asia, kejohanan yang cukup penting bagi memburu tiket ke Sukan Olimpik.


"Selepas mendengar masalah mereka berdua, saya sendiri akan berjumpa dengan Presiden (Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah) untuk menjelaskan aduan mereka.

"Kami perlu bagi masa kepada mereka untuk selesaikan masalah masing-masing. Yang pasti Faizal dan Azlan berjanji akan fokus semula kepada skuad negara.

"Saya juga percaya segala-galanya akan dapat diselesaikan dengan baik," katanya.
Nur Azmi berkata, beliau memerlukan masa untuk memujuk Faizal terutamanya agar kembali bersama skuad negara.

"Orang kalau nak kena rujuk pun lama sikit, kes mahkamah pun sampai tiga bulan. Tapi kita tidak mahu Faizal berehat sampai tiga bulan.

"Lepas berehat, dia boleh kembali bersama skuad negara, tapi terpulang kepada jurulatih sama ada nak terima atau tidak," katanya.

Arena Metro sebelum ini mendedahkan hasrat Faizal untuk bersara selepas pemain negara itu memuat naik gambar surat persaraan ke laman akaun Instagram miliknya.
Alasan yang diberikan Faizal ialah dia tidak puas hati dengan agihan imbuhan diberikan MHC sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Dhaarma pertahan kritikan dilempar

Posted: 16 Jul 2014 10:29 AM PDT

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki negara Muhammad Dhaarma Raj Abdullah akan menghantar surat penjelasan kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), hari ini berhubung tindakannya mengkritik badan induk itu secara terbuka di akaun laman sosial Facebook miliknya, baru-baru ini.

Dhaarma berkata, hari ini hari terakhir beliau perlu mengemukakan keterangan bertulis selepas MHC memberi tempoh tujuh hari untuknya menjawab tindakan yang dilakukannya itu.

"Memandangkan esok (hari ini) saya serta pasukan akan berangkat ke Scotland untuk Sukan Komanwel, saya perlu serahkan surat keterangan itu segera.

"Apa yang boleh saya katakan ialah saya hanya mahu mempertahankan kenyataan dikeluarkan itu.

"Namun saya juga berasa menyesal kerana bertindak sebegitu sebab tidak dapat mengawal perasaan ketika itu," katanya ketika dihubungi semalam.

Menerusi status Facebook miliknya, Dhaarma mendakwa pengurusan MHC sangat lemah dan badan induk itu tidak sepatutnya mentadbir seperti orang yang duduk di dalam gua atau di atas pokok.

Komen Dhaarma itu hadir selepas kritikan demi kritikan yang dilemparkan ke atas pasukannya yang menamatkan saingan di tempat ke-12 pada saingan Piala Dunia lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Soon Huat jumpa Lin Dan

Posted: 16 Jul 2014 10:28 AM PDT

Kuala Lumpur: Perseorangan negara, Goh Soon Huat (gambar) mengetuai kemaraan pemain Malaysia ke pusingan kedua Grand Prix Emas Taiwan 2014, semalam selepas menumpaskan wakil Taiwan, Shin Kuei Chun.

Soon Huat yang sejak dari awal bertekad beraksi cemerlang di kejohanan ini terpaksa berhempas pulas sebelum menang 21-19, 18-21, 22-20.

Bagaimanapun, dia dijangka mendapat laluan sukar dan mustahil mara ke pusingan ketiga apabila bakal berentap dengan jaguh China, Lin Dan di pusingan kedua hari ini.

Lin Dan yang juga pemain pilihan ketujuh kejohanan mara selepas mengenepikan Parinyawat Thongnuam dari Thailand 21-17, 21-12.


Turut mara pemain bebas, Tan Chun Seang yang mengalahkan wakil tuan rumah, Chu Han Chou 21-6, 20-22 21-17.


Bagaimanapun, Chiang Jiann Shiarng, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Loke Kok Pong, Beryno Jiann Tze Wong, Woon Kok Hong, Soo Teck Zhi, Mohamad Arif Abdul Latif dan Chan Kwong Beng terkandas.

Persembahan beregu lelaki, Chooi Kah Ming-Teo Ee Yi harus dipuji apabila mengejutkan pemain tuan rumah yang juga pilihan kelapan, Liang Ju Wei-Liao Kuan Hao 21-12, 21-12 untuk slot suku akhir.

Pasangan bebas, Mak Hee Chun-Chow Pak Chuu turut mara selepas menumpaskan beregu China, Huang Kaixiang-Zheng Si Wei 21-19, 16-21, 21-19, manakala Tai An Khang-Woon Mun Choon juga menang selepas mengenepikan Liu Wei Chen-Yang Po Han dari Taiwan 21-17, 21-15.

Bagi perseorangan wanita, pemain kebangsaan, Yang Li Lian terkandas apabila tumpas kepada Wang Iris dari Amerika Syarikat 17-21, 15-21, namun pemain bebas, Sannatasah Saniru menundukkan Millicent Wiranto dari Indonesia, 21-19, 22-20 untuk mara ke suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

PBBM sasar juarai IHF Zon Asia 1B

Posted: 16 Jul 2014 10:27 AM PDT

Kuala Lumpur: Persekutuan Bola Baling Malaysia (PBBM) menyasarkan muncul juara Kejohanan Trofi Persekutuan Bola Baling Antarabangsa (IHF) Zon Asia 1B, dijadual berlangsung di Johor Bahru, pada September.

Setiausaha Agung Azizan Abu Bakar yakin sasaran itu tercapai selepas pasukan kebangsaan mempamerkan aksi memberangsangkan dalam beberapa kejohanan tempatan dan antarabangsa sebelum ini.

Enam negara bakal bertanding pada Zon Asia 1B iaitu Thailand, Singapura, Brunei, Filipina, Indonesia dan Malaysia selaku tuan rumah.

"Kita mengharapkan sama ada pasukan lelaki atau wanita mampu meraih kejuaraan selepas masing-masing sekadar muncul naib juara pada edisi 2012," katanya kepada Bernama, semalam.

Azizan berkata, juara setiap zon di benua Asia bakal bertanding dalam pusingan akhir Kejohanan Trofi IHF Asia pada Disember bagi merebut tiket tunggal ke kejohanan dunia yang bakal diadakan tahun depan.

Katanya, pemilihan tuan rumah untuk pusingan akhir benua Asia dan dunia akan diputuskan IHF menerusi tiga ahli panelnya yang membabitkan dua panel asing dan satu panel dari benua Asia.

"Tiga ahli panel IHF itu akan meninjau persembahan negara tuan rumah bagi setiap zon Asia sebelum memberikan hak penganjuran untuk kejohanan pusingan akhir bagi benua Asia mahupun dunia kepada negara terpilih," katanya.

Dalam pada itu, Azizan mengesahkan skuad bola baling negara tidak layak beraksi pada temasya Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan, pertengahan September selepas gagal menghantar penyertaan pada kejohanan kelayakan sebelum ini.

Katanya, kekangan kewangan menjadi penghalang untuk mereka menghantar pemain bertanding pada kejohanan kelayakan itu.

"Kita mempunyai barisan pemain, namun malangnya masalah kewangan menyebabkan terpaksa membatalkan hasrat menghantar mereka," kata Azizan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

UiTM hargai pemain

Posted: 16 Jul 2014 10:27 AM PDT

Melaka: Semua pemain pasukan bola sepak Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka yang muncul juara Kejohanan Bola sepak Veteran Piala Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Malaysia 2014 menerima penghargaan daripada pengurusan Universiti itu baru-baru ini.

Pasukan yang berjaya menewaskan Terengganu 4-1 pada aksi final di UiTM Merbok, Kedah bulan lalu turut menerima sijil penghargaan yang disampaikan Rektor UiTM Melaka Prof Madya Dr Mohd Adnan Hashim.

Majlis penyampaian anugerah itu sempena perhimpunan bulanan universiti itu yang turut membabitkan kakitangan UiTM Jasin dan Kampus Bandaraya Melaka.

Pengurus UiTM Melaka Anuar Sahat berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada pengurusan tertinggi UiTM Melaka dengan ingatan dan anugerah itu.

Katanya, skuad itu juga berjanji untuk mempertahankan gelaran itu tahun depan sekali gus mencipta hatrik di UiTM Perlis.

Selaku juara UiTM Melaka meraih wang tunai RM2,000 dan piala pusingan manakala naib juara membawa pulang RM1,000 bersama hadiah iringan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Zainal fokus adunan terbaik

Posted: 16 Jul 2014 10:22 AM PDT

Kuantan: Pengendali Pahang Zainal Abidin Hassan mahu empat aksi persahabatan menjelang kempen Piala Malaysia musim ini akan membentuk skuad yang benar-benar mantap.

Pahang yang diundi dalam Kumpulan A akan memulakan aksi persahabatan bertemu T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Sabtu ini, diikuti Polis Diraja Malaysia (PDRM) (22 Julai), Sime Darby FC (25 Julai) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) (6 Ogos) yang berlangsung di Stadium Mini Majlis Perbandaran Temerloh.

Zainal Abidin berkata, aksi persahabatan itu diharap dapat menilai prestasi semasa skuadnya dalam usaha mempertahankan Piala Malaysia yang dimenangi musim lalu.

Menurutnya, selaku juara bertahan, kombinasi dalam kalangan pemain serta tahap persediaan menjadi keutamaan sepanjang aksi perlawanan itu yang diharap memperbaiki segala kelemahan yang ada.

"Setakat ini, saya puas hati dengan komitmen semua pemain pada sesi latihan sepanjang Ramadan ini walaupun tahap prestasi belum mencapai 100 peratus.

"Bagaimanapun, saya lihat ada peningkatan ditunjukkan pemain yang berazam untuk mempertahankan Piala Malaysia musim ini.

"Oleh itu saya harap pertemuan dengan T-Team, pemain dapat menyesuaikan diri untuk kembali membentuk persefahaman mantap," katanya.

Mengulas pembatalan aksi persahabatan dengan kelab Indonesia, Persija yang sepatutnya diadakan Sabtu ini, Zainal Abidin mengakui terkilan kerana aksi itu tidak menjadi kenyataan.

"Bagi saya ia lebih kepada pengalaman kepada pemain kerana Persija adalah sebuah kelab yang bagus di Indonesia dan pembatalan ini amat merugikan Pahang.

"Namun saya yakin empat aksi persahabatan bersama T-Team, PDRM, Sime Darby dan ATM akan membantu memperkasakan pasukan ini," katanya.

Foto

ZAINAL (kiri) nilai pemain melalui aksi persahabatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Tonik FAS

Posted: 16 Jul 2014 10:21 AM PDT

Kuala Lumpur: Barisan pemain dan jurulatih Merah Kuning menerima suntikan semangat untuk mengharungi cabaran Piala Malaysia bermula 13 Ogos apabila Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) memutuskan wang berjumlah RM450,000 akan dibahagikan antara mereka.

Wang hadiah kemenangan itu diberikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas skuad Gergasi Merah muncul naib juara Liga Super sekali gus mencetuskan keceriaan menjelang Aidilfitri penghujung bulan ini.

"Saya harap ia akan membantu melonjakkan semangat seluruh anggota pasukan untuk menamatkan kemarau kejuaraan sejak muncul juara Liga Super pada 2010.

Ia sebagai pengiktirafan terhadap usaha keras dipamerkan sepanjang saingan liga.

Ia akan diberikan sebelum sambutan Hari Raya," kata Bendahari FAS Datuk S Sivasundram.

Selangor kendalian Mehmet Durakovic muncul naib juara dua musim berturut-turut dengan Harimau Selatan, Johor Darul Ta'zim (Johor DT) muncul juara namun Merah Kuning memberikan saingan hingga perlawanan terakhir dalam menentukan kejuaraan.

Sivasundram menjelaskan setiap pemain dan pegawai akan menerima wang berkenaan mengikut peraturan ditetapkan dengan FAS mempunyai sistem kiraan mata yang menentukan jumlah wang bakal diterima setiap pemain mengikut penampilan.

Selangor kini giat menjalani latihan persediaan untuk menghadapi Piala Malaysia selepas diundi bersama tiga pasukan kelab iaitu PDRM, Sime Darby FC dan T-Team dalam aksi Kumpulan D.

"Peluang muncul dua pasukan teratas dan layak ke suku akhir cerah, namun kita tidak boleh memandang rendah pasukan berstatus kelab.

Jangan ambil mudah setiap perlawanan dan pemain perlu komitmen pada setiap perlawanan peringkat awal ini," tambahnya.

Kelebihan dilihat memihak kepada Merah Kuning apabila bakal memulakan kempen Piala Malaysia dengan bertandang ke Kuala Terengganu menentang T-Team pada 14 Ogos sebelum mengharungi baki lima perlawanan di Lembah Klang iaitu di Stadium Shah Alam, Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Anak buah Durakovic akan menguji Kedah dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

No comments:

Post a Comment