Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Keganasan Israel dikecam

Posted: 20 Jul 2014 10:21 AM PDT

Tunjuk perasaan untuk membantah kekejaman Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza diadakan di kebanyakan bandar besar di seluruh dunia semalam.

Di London, 15,000 orang berarak menerusi bandar raya itu dari Downing Street, menuju ke kedutaan Israel di Kensington.

Anggota Parlimen yang disegani, George Galloway ketika berucap berkata: "Mereka mahu menghapuskan rakyat Palestin. Tetapi rakyat Palestin tidak akan menyerah.

"Kita akan menyokong mereka. Walaupun hanya seorang saja Palestin yang hidup, kita akan bersama-samanya."

Foto

PENUNJUK perasaan pro-Palestin berarak di Istanbul.

Foto

PENYOKONG Palestin menunjuk perasaan di depan kedutaan Israel di London.

Foto

TUNJUK perasaan pro-Palestin bertukar ganas di Paris selepas polis cuba menyuraikan mereka.


Seorang lagi anggota Parlimen dari parti Buruh, Diane Abbot berkata: "Saya berada di sini untuk menunjukkan perpaduan dengan penduduk Gaza. Kami menggesa supaya penjajahan di wilayah itu ditamatkan dan keadilan diberikan kepada rakyat Palestin."


Penyokong pro-Palestin membawa sepanduk yang menggesa Israel menamat­kan kekejamannya di wilayah Palestin itu.

Sambil berarak mereka melaungkan slogan bermaksud : 'Kami semua rakyat Palestin,' dan 'Bebas, Bebas, Palestin.'

Tunjuk perasaan serupa juga diadakan di Perancis, Australia dan Amerika Syarikat, Chile, Perancis dan Belgium

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/21

Israel luaskan keganasan

Posted: 20 Jul 2014 10:12 AM PDT

Gaza: Israel semalam meluaskan serangan daratnya di Gaza dengan mengerahkan lebih ramai tentera ke wilayah Palestin itu.

Ia dilakukan rejim itu selepas mendakwa merobohkan lebih 12 terowong Hamas dan meningkatkan serangan meriam di kawasan sempadan.

Letupan kuat menggegarkan Gaza ketika Israel melancarkan serangan meriam sepanjang malam kelmarin dan awal semalam, sementara pesawat pengebomnya melakukan penerbangan rendah di wilayah yang padat penduduk itu.

Lebih 410 penduduk Palestin terbunuh dan kira-kira 3,000 cedera sejak Israel melancarkan bedilan meriam dan serangan udara dua minggu lalu. Seperempat kematian itu dilaporkan sejak rejim Zionis itu melancarkan serangan darat Khamis lalu.

Foto

ANGGOTA paramedik mengusung keluar mayat seorang kanak-kanak yang terbunuh dalam serangan Israel, semalam.

Foto

SEORANG lelaki cuba membantu mangsa yang cedera.

Foto

SEORANG bapa bersama anggota keluarga menyelamatkan diri selepas kediaman mereka diserang tentera Israel.


Tujuh rakyat Israel, lima tentera dan dua orang awam juga mati dalam serangan balas Palestin.


Tentera Israel berkata, pihaknya memusnahkan lebih 12 terowong yang didakwa digunakan Hamas untuk menyusup masuk ke negara itu dan melancarkan serangan ke atas tenteranya.

Rejim itu mendakwa menemui 34 laluan menuju ke terowong berkenaan, ada yang sedalam 30 meter.

Israel amat bimbang dengan kewujudan terowong yang dilihatnya sebagai ancaman serta melancarkan kempen besar-besaran untuk memusnahkannya.

Rakaman yang disiarkan televisyen Israel menunjukkan jentolak tentera Israel merobohkan terowong berkenaan.

Pesawat juga digunakan untuk mengebomnya.

Kumpulan pejuang Palestin yang menyamar dengan mengenakan uniform tentera Israel berjaya menyusup masuk dari Gaza menggunakan sebuah terowong Sabtu lalu dan membunuh dua tentera Israel dan mencederakan beberapa yang lain.

Sekurang-kurangnya seorang pejuang Palestin terbunuh dalam pertempuran itu.

Dalam pada itu Israel melancarkan serangan meriam sepanjang malam kelmarin dengan menyasarkan kawasan penempatan penduduk.

Doktor berkata, anak, menantu dan cucu seorang pemimpin kanan Hamas, Khalil al-Haya adalah antara yang terbunuh dalam bedilan meriam itu awal semalam.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/21

2 askar Israel berjaya dibunuh

Posted: 20 Jul 2014 10:10 AM PDT

Baitulmaqdis: Dua lagi askar Israel berjaya dibunuh pejuang Palestin dalam pertempuran di sekitar dan di Semenanjung Gaza.

Kejayaan itu menjadikan rakyat Israel yang mati dalam keganasan yang dilancarkan sendiri negara mereka meningkat kepada tujuh.

Menurut kenyataan tentera Israel, Bar Rahav, 21, dan Baya Rubel, 20, masing-masing mati dalam serangan antikereta kebal dan dalam pertempuran, awal semalam.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak memberi butir lanjut mengenainya.


Sayap bersenjata Hamas, Briged Ezzedine Al-Qassam yang menjadi sasaran utama keganasan Israel mendakwa, ia berjaya memerangkap tentera dan kereta kebal Zionis dalam satu serang hendap di timur Semenanjung Gaza, membunuh 14 anggota tentera.


Jurucakap tentera Israel bagaimanapun tidak mengulas mengenai kejadian itu.
Juga pada Sabtu, dua tentera Israel termasuk seorang berpangkat Mejar, mati dalam pertempuran dengan pejuang yang menyusup masuk ke Israel menerusi terowong di tengah Gaza.

Al-Qassam berkata, 12 anggotanya berjaya berada 'di belakang garisan musuh' selama enam jam sebelum bertempur dengan tentera Yahudi bagi 'menuntut bela' kematian syuhada, khususnya kanak-kanak."

Briged itu juga berkata, ia membunuh enam tentera Israel dan mencederakan beberapa yang lain.

Bagaimanapun, tentera Israel berkata, hanya dua anggotanya mati.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/21

Angka korban lepasi 400

Posted: 20 Jul 2014 10:09 AM PDT

Gaza City: Sheijaya, Lebih 60 rakyat Palestin terbunuh semalam apabila Israel mengebom utara wilayah Palestin yang turut menyebabkan ribuan penduduk meninggalkan kediaman masing-masing dalam serangan paling ganas rejim itu sejak lima tahun lalu.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa mendesak kedua-dua pihak mengadakan gencatan senjata sementara bagi mengangkat mangsa yang terbunuh dan yang cedera.

Di kejiranan Sheijaya, ambulans berkejar untuk mengangkat mangsa, mengambil kesempatan terhadap gencatan senjata itu yang berakhir kurang sejam.

Kematian semalam meningkatkan jumlah warga Palestin yang terbunuh menjangkau 410 orang dengan kebanyakan mangsa terdiri daripada kanak-kanak dan wanita.

Foto

SEORANG doktor gagal menahan kesedihan melihat empat mayat kanak-kanak di Hsopital Shifa, Gaza.

Foto

MAYAT kanak-kanak yang ditempatkan di Hospital Shifa.

Foto

SUASANA kelam-kabut di sekitar kejiranan di Gaza ketika serangan tentera Israel.


Sementara itu, ribuan penduduk di utara Gaza meninggalkan kediaman masing-masing selepas semalaman berdepan serangan Israel.


Pihak berkuasa kesihatan Palestin menjangka jumlah kematian dan kecederaan akan meningkat lagi dengan ancaman Israel untuk meluaskan lagi keganasan mereka.

Hamas setakat ini enggan menyerah kalah walaupun diserang dari darat, udara dan air, malah meneruskan serangannya terhadap tentera Israel yang menyebabkan kematian dua askar Yahudi.

Di Shejaiya, mayat bergelimpangan di jalan raya. Serangan Israel tanpa henti menyebabkan ambulans sukar sampai ke kawasan berkenaan.

Di Hospital Shifa, mangsa yang cedera dibawa masuk hampir setiap minit. Ada yang dibawa menggunakan ambulans, namun ramai daripada mereka dibawa menggunakan kereta dan trak.

Mangsa termasuk kanak-kanak yang menjerit kesakitan akibat kecederaan.
Malangnya, seorang budak tidak sempat diselamatkan dan mayatnya terbujur kaku.

Keadaan juga kecoh, malah pergaduhan turut tercetus apabila ibu bapa yang panik menumbuk dinding hospital untuk melepaskan kesedihan dan amarah mereka.

Sementara itu, jurucakap pasukan perkhidmatan kecemasan Ashraf al-Qudra berkata, sekurang-kurangnya 20 mayat ditemui di timur Shejaiya, namun kebakaran di kawasan itu menyukarkan usaha mencari lebih ramai yang dipercayai masih terperangkap.

Dalam kekecohan itu, seorang wanita, Sabah Mamluk, 40, tiba di hospital itu bersama ibu dan dua anak perempuannya yang masing-masing tidak berkasut.

"Tembakan dilepaskan tanpa henti dan peluru berterbangan merata-rata. Kami sekeluarga berlari keluar dan mula berjalan... Memang menakutkan.

"Kami terpaksa berpecah. Saya berjaya menaiki ambulans bersama ibu dan anak-anak untuk datang ke sini, namun suami serta anak lain masih di luar sana dan saya tidak dapat menghubungi mereka," katanya sebak.

Israel meningkatkan serangan mereka dengan melepaskan bedilan kereta kebal dan meriam ke arah pusat bandar Gaza, mengakibatkan sekurang-kurangnya dua kanak-kanak terbunuh.

Jumlah kematian kanak-kanak yang semakin meningkat mendapat kecaman masyarakat dunia malah kenyataan bersama dua pertubuhan bukan kerajaan, War Child dan Defence for Children International mendakwa lebih ramai kanak-kanak terbunuh berbanding pejuang.

Agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga menyatakan sekurang-kurangnya 73 mangsa berusia bawah 18 tahun.

Sementara itu, Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNRWA) membuka 49 sekolahnya sebagai tempat perlindungan untuk mangsa kawasan yang paling teruk diserang tentera Zionis.

Menurut agensi itu, setakat ini lebih 60,000 penduduk Gaza mendapat perlindungan di institusi-institusi PBB.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/21

Hamas dipelawa hadiri sidang damai

Posted: 20 Jul 2014 10:06 AM PDT

Gaza: Hamas semalam mengesahkan pemimpinnya Khaled Meshaal menerima jemputan untuk menghadiri rundingan damai di Kaherah yang diusahakan Mesir.

Pergerakan Islam itu yang mentadbir Gaza dan menjadi sasaran keganasan Israel sebelum ini menolak sebarang usul gencatan senjata yang tidak akan memenuhi tuntutan khusus rakyat Palestin.

Kementerian Luar Mesir bagaimanapun tidak dapat menggesa atau menafikan jemputan itu.

Israel baru-baru ini menerima cadangan gencatan senjata Mesir, tetapi Hamas menolaknya kerana sudah jemu dengan janji kosong yang di buat Zionis dalam setiap gencatan senjata sebelum ini.


Hubungan Hamas dan Kaherah terjejas teruk sejak rejim tentera Mesir menggulingkan kerajaan Presiden Mohamed Mursi.


Bagaimanapun, pergerakan itu kini lebih rapat dengan Turki dan Qatar yang menempatkan pejabat Khaled.

Dalam pada itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan Khaled sepatutnya berunding di Doha bagi membincangkan cadangan damai Mesir itu, kata sumber yang rapat dengan Mahmoud.

Hamas menuntut supaya semua kepungan Israel ke atas Gaza ditarik balik dan pintu sempadan Rafah di sempadan dengan Mesir dibuka.

Ia juga mahu Israel membebaskan semula tahanan veteran Palestin yang ditangkap semula beberapa minggu lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/21

Air kencing babun penambat hati suami

Posted: 20 Jul 2014 10:05 AM PDT

Mutare (Zimbabwe): Air kencing babun yang dihablurkan kini menjadi buruan wanita kerana dilihat mampu 'mengikat' suami mereka daripada mencari pasangan lain.

Kepercayaan itu disebabkan haiwan berkenaan mempunyai tabiat hanya membuang air di tempat sama untuk bertahun-tahun lamanya yang dilihat mampu memastikan si suami juga tidak 'lari' daripada isteri mereka jika dimasukkan dalam kemaluan wanita.

Lawaknya, bahan sama turut dijual kepada lelaki kerana dilihat mampu bertindak sebagai perangsang nafsu syahwat.

Tendai Calpass, 18, pembantu penjual bahan berkenaan, Sekuru Noah Jairos Maparanyanga mendakwa bahan itu amat berkesan tidak kira digunakan wanita atau lelaki.


"Lazimnya kaum wanita meletakkan air kencing berbentuk kristal itu ke atas kapas sebelum dimasukkan ke dalam kemaluan mereka. Hasilnya, jika si suami mahu mengadakan seks dengan wanita lain, alat sulitnya tidak akan berfungsi," katanya.


Namun dia mengakui hasilnya tidak menjadi jika pasangan suami isteri menggunakan bahan itu pada masa sama.

Menurut Calpass, daripada 59 herba dan ubat tradisi dijual di kedai itu, barangan yang berkaitan dengan percintaan dan seks yang paling popular dalam kalangan pembelinya.

Katanya, penyakit seksual dan minyak senyonyong antara bahan yang sering dicari pekerja seks.

"Contohnya, pelacur sering membeli herba dikenali sebagai mudiwa-diwa yang dicampurkan dengan losyen mereka supaya dapat menarik minat pelanggan," katanya.

Antara herba lain yang menjadi buruan remaja perempuan termasuk yang boleh membantu menjadikan kemaluan mereka lebih menarik.

"Herba dikenali sebagai mudhonza atau muputa itu amat popular dalam kalangan remaja perempuan. Cara mengambilnya mudah, iaitu seperti rokok. Saya dimaklumkan ia memang berkesan," katanya.

Menurutnya, banyak lagi herba dijual untuk tujuan perubatan seperti bagi merawat sakit jantung, batuk kering dan herpes, namun kebanyakan wanita datang membeli ubat tradisional yang dianggap membantu mempertingkatkan kesihatan kewanitaan termasuk membantu mengurangkan sakit senggugut.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/21

Isteri perokok dapat RM73 bilion

Posted: 20 Jul 2014 10:05 AM PDT

Florida: Sebuah juri memberi ganti rugi berjumlah lebih AS$23 bilion (RM73.2 bilion) kepada balu seorang perokok tegar yang mati akibat kanser paru-paru semalam selepas membenarkan samannya terhadap RJ Reynolds Tobacco - syarikat pembuat rokok kedua terbesar di Amerika Syarikat (AS).

Keputusan yang dibuat pada Jumaat lalu itu adalah jumlah yang terbesar dalam sejarah perundangan Florida membabitkan saman sivil menyebabkan kematian secara salah yang difailkan seorang plaintif tunggal, kata jurucakap peguam wanita berkenaan, Ryan Julison. Wanita itu, Cynthia Robinson, memfailkan saman terhadap syarikat pembuat rokok itu pada 2008 selepas suaminya Michael Johnson meninggal dunia. Menurut peguamnya Chris Chestnut, Johnson yang juga pemandu bas hotel meninggal dunia akibat kanser pada 1996 pada usia 36 tahun dan dilaporkan merokok sehingga tiga kotak rokok sehari selama lebih 20 tahun sejak berusia 13 tahun. "Dia cuba berhenti namun gagal mengatasi ketagihannya.

Malah, dia merokok ketika meninggal dunia," katanya. Selepas perbicaraan selama empat minggu dan berbincang selama 11 jam, pihak juri memutuskan Cynthia patut diberi ganti rugi AS7.3 juta (RM23.2 juta) dan AS$9.6 juta (RM30.6 juta) untuk anak mereka sebagai pampasan. Juri sama turut berbincang selama tujuh jam lagi sebelum memutuskan wanita itu wajar diberi AS$23.6 bilion tambahan sebagai ganti rugi punitif. Naib presiden syarikat rokok itu, J Jeffrey Raborn dalam satu kenyataan berkata: "Syarikat kami akan mencabar keputusan ini." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/21

Rela terjun sungai lari dari polis

Posted: 20 Jul 2014 10:04 AM PDT

Kansas (Amerika Syarikat): Seorang lelaki yang berbogel diselamatkan daripada mati lemas selepas dia terjun ke sungai ketika dikejar polis.

Sebelum kejadian, lelaki berkenaan cuba memecah masuk ke dalam beberapa kenderaan.

Polis memberitahu wartawan, lelaki itu ditangkap dan digari sebelum dia melarikan diri dan terjun ke sungai.

"Lelaki itu cuba melarikan diri daripada polis sebelum dia menanggalkan pakaian dan terjun ke dalam sungai," kata jurucakap polis.

Video yang dirakam media menunjukkan suspek yang bergari berada di sungai berdepan dengan masalah untuk berenang.

Seorang anggota polis yang menanggalkan pakaian seragamnya juga dilihat berenang ke arah lelaki itu dan menariknya ke tebing.

Menurut polis, dua pegawainya terpaksa berenang untuk menyelamatkan lelaki berkenaan.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/21

Umum presiden esok

Posted: 20 Jul 2014 09:55 AM PDT

Jakarta: Gabenor Jakarta Joko 'Jokowi' Widodo dijangka diisytiharkan memenangi pilihan raya presiden Indonesia minggu ini, namun saingannya bekas jeneral Prabowo Subianto mungkin mencabar keputusan itu yang dilihat akan memanjangkan lagi kemelut politik negara itu.

Kedua-dua calon mendakwa memenangi pilihan raya 9 Julai lalu selepas kempen yang sengit di negara demokrasi ketiga terbesar dunia itu namun ramalan rata-rata mengatakan Jokowi bakal diisytihar pemenang apabila proses pengiraan selesai.

Pilihan raya itu dilihat paling sengit di Indonesia sejak kejatuhan presiden Suharto pada 1998. Ia juga 'ujian' terbesar buat negara itu yang dianggap masih baru merasai proses demokrasi.

"Proses pilihan raya kali ini banyak melihat polarisasi sengit - itu sesuatu yang baru bagi kami di negara ini," kata penganalisis veteran Indonesia, Kevin Evans.

Foto

SUSILO (tengah) diapit Jokowi (kanan) dan Prabowo menunaikan solat Maghrib di Istana Presiden selepas berbuka bersama, semalam.


Keputusan bakal diumumkan esok selepas kira-kira 130 juta kertas undi dikira satu persatu di seluruh Indonesia yang terdiri daripada lebih 17,000 pulau.


Keadaan semakin tegang dalam tempoh dua minggu lalu apabila kedua-dua pihak saling menuding jari menuduh saingannya berniat mengganggu proses pengiraan.

Sehubungan itu, pihak polis bakal bertugas di seluruh negara apabila keputusan diumumkan.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono turut menggesa kedua-dua calon memastikan penyokong masing-masing tidak turun ke jalanan kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini - peringatan terhadap kejadian 16 tahun lalu yang melihat ratusan orang mati pada penghujung pemerintahan tiga dekad yang disifatkan autokratik.

Menurut pemerhati, Prabowo hanya boleh menang jika pihaknya mengganggu proses kiraan undi, namun bekas jeneral itu menegaskan dia masih menjadi pilihan utama sebaliknya mendakwa Jokowi yang cuba melakukan penipuan untuk menjamin kemenangannya.

Semalam, pasukan Prabowo sekali lagi mendakwa penipuan dalam proses kiraan undi dan menggesa supaya keputusan tidak diumumkan sehingga dakwaan mereka disiasat.

"Saya menganggap kesahihan proses kiraan undi ini tidak telus," kata Prabowo.

Kempen itu dilihat sebagai yang paling kotor dalam sejarah demokrasi singkat Indonesia, dan melihat sokongan terhadap Jokowi merosot selepas beberapa siri serangan politik terhadapnya.

Bagaimanapun, pada hari pemilihan, hasil tinjauan penganalisis yang dianggap mampu membuat jangkaan tepat menganggap Jokowi mampu mendahului antara dua hingga tujuh peratus.

Beberapa institut tinjauan lain yang kurang dikenali sebaliknya mendakwa Prabowo bakal menang, namun kesahihan pandangan itu banyak dipertikaikan.

Dua daripada badan itu disingkirkan selepas enggan melalui audit.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/21

Jokowi menang 23 wilayah

Posted: 20 Jul 2014 09:52 AM PDT

Jakarta: Pasangan pilihan raya presiden Indonesia Joko 'Jokowi' Widodo dan Jusuf Kalla (JK) dijangka diumumkan sebagai pemenang dalam pilihan raya berkenaan, esok.

Menurut laporan Britasatu.com. selepas pengiraan undi yang hampir berakhir semalam, pasangan itu meraih suara terbanyak berbanding pasangan Prabowo Subianto-Hatta Rajasa.

Hasil daripada data yang dikumpulnya menunjukkan Jokowi-JK meraih 70,675,237 undi (53.18 peratus sen) sementara Prabowo-Hatta hanya meraih 62,230,557 undi atau 46.82 peratus.

Jokowi dikatakan menang di 23 wilayah iaitu Sumatera Utara, Jambi, Bengkulu, Lampung, Bangka Belitung, Kepulauan Riau, Jakarta, Jawa Tengah, Yogyakarta, Jawa Timur, Bali, Nusa Tenggara Timur, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah, Kalimantan Timur, Sulawesi Utara, Sulawesi Tengah, Sulawesi Selatan, Sulawesi Tenggara, Sulawesi Barat, Maluku, Papua dan Papua Barat. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/21

No comments:

Post a Comment