Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Kafe pontianak

Posted: 02 Jul 2014 08:51 AM PDT

Liaoning: Serangan pontianak kini menular ke China! Kali ini membabitkan kegilaan yang dibawa sebuah kafe di bandar Benxi yang mengenengahkan tema ala pontianak yang di inspirasikan daripada siri drama 'The Vampire Diaries'.

Pengunjung kafe ini berpeluang memuaskan 'ketagihan darah' mereka dengan minuman yang mempunyai warna seakan darah dan lebih ironi lagi ia disajikan dalam beg darah.

Menurut laporan media, pelayan di kafe berkenaan berpakaian seperti doktor dan jururawat dalam menyajikan minuman berwarna merah seperti wain merah, kola ceri dan jus anggur hitam di dalam yang direka menyerupai beg darah.

Ia disajikan di dalam bilik dengan dinding batu-bata menyerupai bilik bawah tanah yang dihuni drakula, lengkap dengan sebuah keranda, buku dan muzik berkaitan pontianak bagi menaikkan suasana di kafe berkenaan.

Foto

PELAYAN kafe berpakaian seperti doktor dan jururawat ketika menghidangkan minuman kepada pelanggan.

Foto

PELANGGAN teruja menikmati 'darah' yang disajikan.

Foto

SETIAP minuman disajikan dalam bungkusan yang direka menyerupai beg darah.


Minuman seperti kopi, air mineral dan jus buah yang mempunyai warna lain akan dimasukkan pewarna merah sebelum disajikan bersama beg khas berkenaan.


Setiap beg berkenaan juga ditandakan dengan empat kumpulan darah, membolehkan pelanggan memeriksa 'jenis darah' mereka.

Pembukaan kafe dengan tema pelik itu mendapat sambutan hangat dalam kalangan pengunjung.-Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/03

'Polis Kanibal' tak bersalah

Posted: 02 Jul 2014 08:44 AM PDT

New York: Seorang anggota polis yang digelar 'Polis Kanibal' selepas dia merancang menculik, merogol dan memakan mangsanya dibebaskan setelah peguamnya berhujah bahawa manusia berhak untuk berkhayal.

Gilberto Valle, 30 masih menunggu hukuman selepas didapati bersalah tahun lalu setelah mahkamah diberitahu mengenai keinginannya memakan 'daging wanita' diluahkan dalam perbualan di Internet.

Dia juga menyimpan pangkalan data mengenai wanita yang ingin dirogol, dibunuh dan dimasak.

Pendakwa raya berkata, Valle melayari Internet untuk mencari resipi masakan daging manusia.

Foto

VALLE


Bagaimanapun, keputusan bersalahnya dibatalkan oleh seorang hakim semalam selepas peguamnya berhujah bahawa perlembagaan Amerika Syarikat tidak menghalang dan mencampuri urusan rakyatnya untuk berkhayal.


Peguamnya berkata, Valle tidak pernah melakukan kekejaman walaupun selepas hampir setahun berkhayal menculik, membunuh dan memakan puluhan wanita, termasuk bekas isterinya.

Hakim Gardephe berkata: "Semua bukti yang ditemui menunjukkan tertuduh hanya berkhayal."

Bagaimanapun, tuduhan lebih ringan yang dikenakan ke atas Valle kerana mengakses pangkalan data pihak penguatkuasa undang-undang tanpa kebenaran, dikekalkan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/03

Kelar muka suami kencing merata-rata

Posted: 02 Jul 2014 08:41 AM PDT

Billings (Amerika Syarikat): Seorang wanita berusia 52 tahun dituduh mengelar muka suaminya kerana kencing merata-rata di bilik air.

Menurut dokumen mahkamah, Shery Lyn Downs ditahan Isnin lalu selepas polis tiba di tempat kejadian.

Jurucakap polis berkata, suami Shery yang berusia 68 tahun ditemui duduk di tangga sambil menekap mukanya dengan tuala yang berlumuran darah.

Dia memberitahu polis isterinya cuba mengelar lehernya.


Polis yang memasuki rumah berkenaan menemui darah di ruang tamu dan titisan darah menghala ke bilik tidur.


Shery berada di dalam rumah berkenaan dalam keadaan mabuk tetapi tidak cedera.

Dia mulanya memberitahu polis suaminya mencederakan dirinya sendiri dan mendakwa lelaki itu mencetuskan masalah dengan kencing merata-rata.

Di hospital, mangsa memberitahu isterinya berang kerana dia kencing di atas lantai di bilik air.

Dia berada di dalam bilik tidur apabila isterinya cuba dua kali untuk masuk dengan membawa pisau dan mengugut membunuhnya.

Kali kedua dia masuk ke bilik tidur itu, Shery bertindak mengelar muka suaminya.

Menurut sumber, mangsa luka beberapa sentimeter di muka dan memerlukan pembedahan khas. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/03

Potong tangan anak tiri

Posted: 02 Jul 2014 08:40 AM PDT

Fujian (China): Seorang wanita memotong tangan kanan anak tirinya yang berusia tujuh tahun dengan pisau dan membuangnya ke dalam saluran najis di luar rumah mereka.

Kejadian berlaku Sabtu lalu apabila suspek yang dikenali dengan nama keluarganya, Wu, 35, secara mengejut melakukan perbuatan itu.

Ia disedari oleh datuk mangsa selepas mendengar jeritan kanak-kanak itu.

Berikutan kejadian ngeri itu, anggota keluarga dan jiran kanak-kanak berkenaan, Xiao Ting, melancarkan gerakan mencari tangan mangsa di kawasan berhampiran dan pada masa sama menahan wanita berkenaan.


Bapa Xiao Ting berkata, isterinya mengidap penyakit mental dan bergantung kepada ubat untuk menenangkan perasaannya.


Dia dilapor memberitahu anggota keluarganya supaya tidak mencetuskan kemarahan wanita itu.

Menurut laporan, Wu tinggal bersama-sama keluarga suaminya sejak tiga tahun lalu dan mempunyai seorang anak sendiri.

Wu kini ditahan untuk siasatan lanjut. -Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/03

JK pula rasa menang

Posted: 02 Jul 2014 08:09 AM PDT

Jakarta: Calon naib presiden Jusuf Kalla (JK) yakin dia dan regunya Joko Widodo (Jokowi) akan memenangi pemilihan akan datang dengan syarat ia dilaksanakan dengan adil.

Ketika menyatakan keyakinannya itu, JK berkata, sokongan daripada masyarakat kelas pertengahan dan bawahan sangat besar ketika ini.

Kata JK, sokongan itu datang dalam skala yang sangat besar dan tidak terbendung.

"Arus sokongan itu sangat luar biasa dan saya yakin kami akan menang - dengan syarat pemilihan dijalankan tanpa sebarang penyelewengan," katanya ketika ditemui ketika ditemui media di rumahnya di Jakarta Selatan semalam.

JK kemudian membandingkan keghairahan orang ramai terhadap pencalonan dirinya serta Jokowi ketika mereka berkempen di Tugu Monumen Nasional beberapa hari lalu.

"Rakyat datang begitu ramai jika dibandingkan dengan kehadiran penyokong Prabowo Subianto dan Hatta Rajasa di Stadium Bung Karno," katanya.

Foto

PIN dengan wajah Jokowi-JK dan Prabowo-Hatta dijual di Jakarta.


Selain itu, kata JK, sepanjang masa kempen perhatian masyarakat kepada Jokowi dan dirinya begitu kuat.


Ia dikuatkan lagi dengan keputusan kaji selidik sejumlah firma yang selalu menyatakan Jokowi-JK berada di posisi teratas.

"Jika gerakan dan kempen diberi perhatian, kami akan menang," katanya.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/03

Prabowo bakal rujuk semula?

Posted: 02 Jul 2014 08:08 AM PDT

Jakarta: Ketika khabar angin bertiup mendakwa Prabowo Subianto akan rujuk semula dengan bekas isterinya mengejutkan kem calon presiden itu semalam.

Jurucakap kem penyokong Prabowo - Hatta Rajasa, Tantowi Yahya berkata, dia sendiri tidak tahu menahu mengenai kemungkinan itu.

Mengakui enggan mencampuri kehidupan peribadi Prabowo, Tantowi berkata, ia lebih baik ditanya secara langsung kepada Prabowo dan bekas isterinya, Titiek Suharto.

Menurut khabar angin Prabowo dan anak bekas presiden itu akan kembali menjadi suami isteri ketika tempoh bertenang sebelum pemilihan presiden 9 Julai ini.


Komisi Pemilihan Umum Indonesia menetapkan tempoh antara 6 hingga 8 Julai ini sebagai tempoh bertenang sebelum rakyat negara itu mengundi memilih presiden mereka.


Ketika kempen berlangsung, hubungan Prabowo dan Titiek memang dilihat semakin mesra.

Mereka sering kelihatan bersama di khalayak ramai. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/03

NCPO ikrar akan terus berunding

Posted: 02 Jul 2014 08:07 AM PDT

Bangkok: Majlis Keamanan Dan Ketenteraman Awam (NCPO) akan meneruskan rundingan dengan pejuang di selatan Thailand tetapi dengan beberapa perubahan proses mengenainya.

Jurucakap NCPO berkata, pemimpin mereka Jen Prayuth Chan-ocha berkata, proses berkenaan mesti mematuhi perlembagaan Thai.

"Ia mesti dibuat dalam persefahaman bahawa Thailand tidak akan dipisahkan sama ada melalui aspek wilayah atau pentadbiran," katanya.

Pada 30 Jun lalu kumpulan perunding - diketuai Timbalan Panglima Tentera Thailand Jen Udomdet Sitabutr mengkaji semula proses rundingan itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/03

China larang Muslim puasa

Posted: 02 Jul 2014 08:06 AM PDT

Beijing: China melarang kakitangan kerajaan, pelajar dan guru di wilayah majoriti Islam Xinjiang daripada berpuasa pada Ramadan ini.

Parti pemerintah Komunis China - yang secara rasmi ateis - sudah beberapa tahun menghalang penduduk wilayah itu yang kebanyakannya berbangsa Uighur.

Beberapa jabatan kerajaan menaikkan notis di laman sesawang masing-masing sejak beberapa hari lalu memaklumkan larangan berkenaan.

Biro Hal Ehwal Perdagangan di Turfan berkata di laman sesawangnya Isnin lalu bahawa "kakitangan kerajaan dan pelajar tidak boleh berpuasa atau mengambil bahagian dalam aktiviti keagamaan lain."


Radio Bozhou dan sebuah rangkaian televisyen universiti pula berkata larangan itu perlu dipatuhi anggota parti, guru dan golongan muda.

"Kami ingin mengingatkan semua orang bahawa mereka tidak dibenarkan berpuasa," katanya dalam satu kenyataan.

Sebuah jabatan kaji cuaca di barat Xinjiang pula berkata di laman sesawangnya: "Sejajar dengan arahan pihak atasan, semua kakitangan sama ada yang masih berkhidmat atau sudah bersara diingatkan supaya tidak berpuasa pada Ramadan ini."

Sementara itu, pejabat kerajaan yang bertanggungjawab menguruskan Sungai Tarim pula memuat naik gambar pekerjanya yang memakai topi tradisional Uighur sedang makan.

"Walaupun gambar ini diambil pada bulan Ramadan, mereka yang digambarkan ini bersikap positif dan tidak berpuasa," katanya.

China sebelum ini mendakwa larangan terhadap puasa adalah untuk memastikan kesihatan kakitangan kerajaan terjamin.

Sementara itu, jurucakap kumpulan dalam buangan Kongres Uighur Sedunia Dilxat Raxit berkata, dia dimaklumkan pihak berkuasa menggalakkan orang Uighur makan dengan memberi makanan percuma selain membuat pemeriksaan di rumah untuk memastikan penghuninya tidak berpuasa.

"Tindakan China yang mengekang amalan dan kepercayaan Uighur hanya akan menimbulkan lebih banyak konflik.

"Kami menggesa kerajaan China memberi lebih kebebasan beragama untuk orang Uighur dan berhenti menyekat mereka daripada menyambut Ramadan," katanya.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/03

Amuk serang kedai

Posted: 02 Jul 2014 08:06 AM PDT

Yangon: Polis Myanmar semalam melepaskan tembakan untuk meleraikan pergaduhan antara penduduk Islam dan pelampau Buddha di bandar Mandalay.

Menurut kenyataan polis Mandalay, lebih 600 anggota polis dikerahkan selepas kira-kira 300 penganut Buddha termasuk 30 sami membaling batu ke arah kedai minum dimiliki seorang lelaki Muslim pada jam 11 malam.

"Seorang anggota polis, tiga lelaki Buddha dan seorang lelaki Muslim cedera dibaling batu. Dua daripada lelaki Buddha terbabit kini dirawat di hospital Mandalay manakala yang lain mendapat rawatan pesakit luar," katanya.

Polis menembak peluru getah untuk mengawal mereka yang berhimpun sehingga akhirnya bersurai sekitar jam 3.15 pagi dengan bantuan sami.


Seorang saksi yang tinggal di kejiranan Muslim berhampiran berkata, sekumpulan pelampau Buddha berhimpun di depan kedai berkenaan selepas timbul khabar angin pemiliknya merogol seorang wanita Buddha.


Katanya, anggota polis berdiri di antara dua kumpulan itu dalam usaha menghalang pelampau Buddha terbabit terus menyerang.

"Malah pihak polis turut diserang dan dibaling batu," katanya yang enggan namanya disiarkan atas sebab keselamatan.

Menurutnya, pelampau Buddha turut menggeledah kedai berhampiran dan membakar kenderaan sebelum akhirnya disuraikan, namun masih membuat bising bertujuan mengganggu penduduk kejiranan itu sehingga jam 6 pagi.

Sementara itu, polis mengesahkan laporan sudah dibuat berhubung tuduhan rogol terhadap pemilik kedai berkenaan dan membuat pengawasan di situ selepas dimaklumkan ia mungkin menjadi sasaran pihak yang tidak berpuas hati. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/03

Remaja mangsa dendam

Posted: 02 Jul 2014 07:59 AM PDT

Baitulmaqdis: Penduduk Palestin bertempur dengan tentera Israel semalam selepas penemuan satu mayat menimbulkan syak bahawa seorang remaja Palestin dibunuh oleh penduduk Israel kerana membalas dendam terhadap kematian tiga remaja Yahudi yang diculik sebelum ini.

Penduduk di Shuafat memberitahu media, mereka melihat seorang remaja ditarik masuk ke dalam sebuah kenderaan di perkarangan sebuah pasar raya malam kelmarin.

Remaja itu dikenal pasti sebagai Mohammed Abu Khudair, 16.

Jurucakap polis Israel, Micky Rosenfeld berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai perkara itu dan sekatan jalan raya dilakukan bagi mengesan suspek.

"Tidak lama selepas itu, polis menemui mayat di sebuah kawasan di Baitulmaqdis dan melancarkan siasatan kemungkinan ia remaja berkenaan," katanya.

Seorang pegawai kanan Fatah, Dmitry Diliani memberi tahu media, keluarga mangsa sudah mengenal pasti mayat itu dan mengesahkan ia Mohammed.

"Kerajaan Israel bertanggungjawab terhadap keganasan yang dilakukan Yahudi dan penculikan serta pembunuhan yang berlaku di Baitulmaqdis," katanya.

Satu sumber keselamatan Israel berkata, mereka mengesyaki kejadian yang menimpa mangsa mungkin dilakukan bagi membalas dendam terhadap kematian tiga remaja Yahudi yang mayat mereka ditemui Isnin lalu selepas dilapor diculik hampir tiga minggu lalu.

Ratusan remaja Palestin menyekat laluan kereta api ringan di wilayah itu dan melontar batu ke arah tentera Israel, sebaik berita mengenai penculikan Mohammed tersebar, semalam.

Sementara itu, pihak berkuasa Zionis semalam meruntuhkan rumah seorang penduduk Palestin, Ziad Awad, yang ditangkap baru-baru ini atas tuduhan menembak mati seorang anggota polis.

Jurucakap tentera Israel, Peter Lerner berkata, tindakan itu adalah satu pengajaran kepada penduduk Palestin.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/03

No comments:

Post a Comment