Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


'Tiada Aidilfitri di sini'

Posted: 25 Jul 2014 12:50 PM PDT

Gaza: Fatima Syam selamba membawa dua cucunya, Rahaf, 3, dan Ali, 4, bersiar-siar di kawasan taman berhampiran rumahnya.

Ia adalah rutin harian sejak lebih 17 hari lalu.


"Mereka mahu keluar rumah," katanya.

Fatima, 47, dan cucunya adalah antara penduduk Gaza yang terpaksa berhimpit-himpit di sebuah apartmen berhampiran sejak Israel mula menyerang wilayah berkenaan lebih dua minggu lalu. Lebih 100,000 penduduk Gaza terpaksa meninggalkan rumah masing-masing apabila rejim Zionis melancarkan serangan ganas ke situ 8 Julai lalu.


Sehingga semalam lebih 800 orang warga Palestin terbunuh dan lebih 4,000 lagi cedera. Suasana di taman itu memang aneh.


Ketika dron Israel terbang di udara, puluhan kanak-kanak bermain air di kolam berhampiran.

Foto

MATAHARI menyinari bandar Gaza pagi semalam ketika serangan ganas rejim Zionis terus berlangsung di situ.

Foto

PENDUDUK Gaza berkumpul di Masjid al-Farouk yang rosak teruk terkena serangan udara Israel di Rafah semalam.

Deraian ketawa mereka menunjukkan seolah-olah di situ ada dunia tersendiri dan terpisah daripada perang yang mengganas.


Golongan dewasa memerhati kanak-kanak itu, manakala sesetengahnya menyidai kain di ampaian yang memisahkan taman berkenaan dengan jalan raya.

Dari jauh terdengar bunyi bom dilancarkan sebelum meledak. Di satu kerusi berhampiran Moneer al-Ballawi, 32, menghabiskan masa menghantar mesej pesanan ringkas sambil menghirup udara segar. "Lega rasanya dapat melihat kanak-kanak ketawa semula.


"Sudah lama saya tak melihat suasana ini di Gaza," katanya. Namun itu bukanlah kelegaan sebenarnya untuk Moneer.


Dia masih berharap bank berhampiran memiliki simpanan mencukupi bagi membolehkan dia mengeluarkan wang - perbuatan yang tidak dapat dilakukan sejak perang bermula. Tidak jauh dari situ orang ramai beratur panjang sambil menjerit-jerit marah.


Moneer teragak-agak untuk menyertai mereka. "Saya sangat perlukan wang sekarang tetapi barisan di sana terlalu panjang," katanya. Menjelang Aidilfitri beberapa hari lagi, pada waktu biasa penduduk Gaza akan berbelanja membeli makanan atau hadiah.


"Kali ini tiada Aidilfitri di sini.


"Kematian dan kesedihan terlalu banyak," katanya. Di bahagian lain di Gaza keadaan jauh lebih teruk. Yahia Hanadi al-Kafarna, 24, melarikan diri bersama keluarganya dari rumah mereka di Beit Hanoun, utara Gaza, ke kawasan hospital.


Mendapati ia belum cukup selamat Yahia dan keluarganya berpindah pula ke sebuah sekolah kendalian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sebelum beralih lagi ke kawasan Rimal. Ada 70 orang berlindung di pusat perlindungan itu - tanpa kemudahan elektrik atau bilik mandi.


Mereka terpaksa berkongsi satu tandas. Bekalan minyak yang tidak menentu serta kerosakan grid tenaga akibat perang menyebabkan Gaza cuma menikmati elektrik antara satu atau dua jam sehari. Kata Yahia, kesengsaraan mereka di situ tidak dapat digambarkan.


"Kami hanya bergantung kepada biskut, roti pita dan kacang dalam tin untuk mengalas perut," katanya. Dia juga tidak bertemu tunangnya, Ibrahim Fayyed, 27, sejak mereka meninggalkan rumah.


Kata Yahia, dia sepatutnya bernikah pada 13 Ogos ini namun dengan keadaan semasa, kemungkinan besar tarikh itu akan berlalu begitu saja. Kembali ke Taman al-Jundi al-Majhoul yang terletak di Jalan Umar al-Mukhtar, Fatima menyatakan kebimbangan terhadap orang yang disayangnya.


Dia tidak bercakap dengan anak lelakinya sejak mereka meninggalkan rumah di kejiranan Zeitoun di timur Gaza akibat dibom Israel.


Telefon bimbit mereka pula tidak berfungsi dan dia bersedia untuk sebarang berita yang tidak diingini. "Apa lagi yang dapat saya buat kecuali berdoa semoga mereka selamat," katanya. Ditanya sama ada dia bersetuju gencatan senjata dilakukan, Fatima berkata, dia menyokong sebarang tindakan yang tidak menggadaikan maruah Palestin. "Biar saya bertanya kepada anda: Jika tentera asing datang ke Amerika dan menjajah negara anda, adakah anda akan berdiam diri? "Keadaan sama kami alami di sini. Kami tidak boleh hidup dalam kehinaan seperti ini.


"Lebih baik mati bermaruah daripada hidup hina," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

Mangsa rogol mati tergantung

Posted: 25 Jul 2014 12:35 PM PDT

Nandakumar, India: Kejadian rogol yang berlaku untuk kesekian kalinya kelmarin bukan saja meragut nyawa mangsa, malah menyebabkan seorang suspek mati di tangan orang kampung.

Dalam kejadian di negeri Bengal Barat itu, mangsa adalah seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dan mayatnya ditemui tergantung di sebatang pokok di Nandakumar. Sejarah perselisihan faham yang panjang antara keluarga mangsa dan suspek dipercayai mendorong kejadian tidak berperikemanusiaan itu.


Sumber berkata, keluarga mangsa dan suspek bertelagah mengenai pemilikan tanah ladang berhampiran kampung mereka.

Baru-baru ini bapa mangsa dan suspek bergaduh namun perkara itu tidak dinyatakan dalam laporan polis kelmarin. Tidak seperti beberapa kes rogol lalu, Nandakumar di Haldia itu bukanlah kawasan terpencil malah terletak hanya 90 kilometer dari Kolkata.


Kali terakhir mangsa dilihat adalah kira-kira jam 5 petang Rabu lalu ketika dia keluar membeli makanan selepas pulang dari sekolah.


Apabila bapa mangsa mendapati kanak-kanak itu tidak pulang dia dan penduduk kampung mula menjalankan operasi mencari.

Mangsa disyaki lemas dalam kolam dan usaha mencari dibuat ke semua kawasan berhampiran sawah padi namun dia tidak dijumpai sehingga mereka menghentikan usaha itu kerana malam.


Kira-kira tengah malam, seorang pemuda keluar ke kawasan belukar untuk membuang air dan ternampak satu mayat tergantung pada pokok.

Dia menjerit ketakutan dan lolongan itu didengari penduduk kampung yang kemudian keluar untuk mengetahui apa yang berlaku.


Selepas diteliti mereka mengenal pasti mayat tergantung itu ialah kanak-kanak yang mereka cuba kesan sebelumnya, Ketika ditemui kanak-kanak itu berada dalam keadaan hampir bogel dan cebisan pakaiannya ditemui bersepah di kawasan berhampiran sawah padi. Penduduk kampung mengesyaki kanak-kanak malang itu dirogol dan mencari seorang lelaki yang dikenali pernah melakukan serangan seksual ke atas kanak-kanak setempat.


Ketika orang kampung tiba, suspek didapati memakai gamcha (kain yang biasanya digunakan untuk mengesat peluh) dan dia bersama dua rakannya cuba melarikan diri. Penduduk kampung mengejar suspek dan membelasah mereka.


Rumah suspek juga dibakar. Apabila polis tiba, suspek utama didapati sudah tidak bernyawa, manakala dua rakannya tidak sedarkan diri. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

Dilarang masuk kerana biadap

Posted: 25 Jul 2014 12:35 PM PDT

Monroe, Connecticut: Seorang ibu dan anaknya dilarang memasuki kedai Doughnut Inn di Monroe kerana didakwa biadap terhadap pelanggan lain.

Namun ia bukanlah biadab seperti yang lazim difahami.


Sehari sebelum itu Justin Otero, 4, sedang berbaris untuk memesan donat apabila dia menyapa seorang wanita berhampirannya.

Otero kemudian bertanya sama ada wanita membeli donat untuk hidangan dua orang.


Budak itu kemudian bertanya jika wanita terbabit sedang hamil. Wanita itu menafikannya dan tidak menganggap pertanyaan berkenaan sebagai menyindirnya. Otero juga meminta maaf kerana bertanya soalan itu.


Namun, sehari kemudian ketika Otero dan ibunya pergi sekali lagi ke Doughnut Inn, mereka tidak dibenarkan masuk.

Pengurus kedai berkata Otero bersikap biadap dan hampir membuat perniagaannya rugi.


Dakwaan ini disiarkan di dalam akaun Facebook milik Doughnut Inn.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

Wanita lebih menonjol

Posted: 25 Jul 2014 12:34 PM PDT

Jakarta: Kerajaan pimpinan Joko Widodo (Jokowi) dan Jusuf Kalla akan datang dijangka dibentuk dengan formasi unik apabila wanita akan diberi jawatan menteri yang sebelum ini dikuasai lelaki.

Anggota kem yang berusaha memenangkan pasangan itu, Eva Kusuma Sundari berkata, Jokowi mahu memberi kepercayaan lebih besar kepada wanita. Biasanya, kata Eva Kusuma, wanita dalam Kabinet Indonesia ditempatkan di Kementerian Pembangunan Wanita atau Kementeri Kesihatan.


"Kali ini wanita mungkin diberi kepercayaan menjadi Menteri Pertahanan," katanya. Eva Kusuma berkata, jika ada mana-mana wanita memenuhi lima kriteria ditetapkan Jokowi, tidak sebarang masalah untuk mereka mengisi apa jua jawatan dalam Kabinet.

Namun Eva mengakui selama ini kaum wanita tidak terbabit secara aktif mengusulkan nama bagi jawatan menteri.


Eva turut menyatakan, Jokowi sangat mengalu-alukan penyertaan wanita dalam Kabinetnya.


Dengan sistem susunan Kabinet secara terbuka yang dilakukan Jokowi, Eva berkata, penting bagi kaum wanita terbabit secara aktif dalam mengisi jawatan di kementerian strategik.

"Kita melihat wanita sering menyuarakan ketidakpuasan hati mengenai pembabitan mereka dalam Kabinet namun mereka tidak mengusulkan nama untuk dipertimbangkan," katanya.


Penganalisis Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia, Jaleswari Pramodhawardani menyifatkan misi dan visi Jokowi itu memberikan peluang seimbang kepada semua individu mengisi jawatan dalam Kabinet terbaru. Katanya, masyarakat sudah diterapkan dengan tanggapan sesetengah kementerian itu mesti dipegang oleh individu dari jantina tertentu.

"Masyarakat menganggap jawatan Menteri Pertahanan mesti dipegang lelaki manakala jawatan yang berkaitan urusan sosial seperti Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diisi kaum wanita," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

Bapa 2 anak kemaruk intai rahsia perempuan

Posted: 25 Jul 2014 12:34 PM PDT

Singapura: Seorang bekas jurutera dikenakan hukuman penjara tiga minggu semalam selepas didapati bersalah merakam video tidak senonoh wanita ketika mereka menaiki eskalator di pusat membeli belah dan stesen MRT.

Teh Thian Seng, 51, yang kini tidak bekerja dipercayai menjadi pesalah pertama yang mempunyai masalah psikologi dikenakan hukuman penjara.


Ayah dua orang anak itu turut dikenakan denda SG$8,500 (RM21,744) selepas mengaku bersalah memiliki 17 rakaman 'dalam kain' wanita di kediamannya di Hougang pada 2012.

Teh juga mengaku salah menjatuhkan maruah wanita di laluan bawah tanah antara bandar Ngee Ann dan pusat beli belah Wisma Atria serta di eskalator stesen MRT Dewan Bandaraya pada 25 Ogos tahun yang sama. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

Transformers disamang

Posted: 25 Jul 2014 12:33 PM PDT

Beijing: Pemilik sebuah taman alam di China memfailkan saman terhadap penerbit Transformers terbaru kerana gagal memuatkan logo taman berkenaan dalam filem terbaru mereka.

Akhbar China Daily melaporkan, Kumpulan Pelancongan Chongqing Wulong Karst yang mengendalikan kawasan dipenuhi gaung serta gua di barat daya China yang menjadi lokasi penggambaran beberapa babak di dalam filem berkenaan mencapai persetujuan dengan penerbit Transformer untuk memasukkan logo mereka dalam filem itu namun ia dimungkiri.

Syarikat itu menuntut supaya Paramount Pictures dan syarikat sekutunya di China membayar pampasan lebih 20 juta yuan (RM10.3 juta).

Transformers amat popular di China dan banyak syarikat daripada pengeluar susu hingga bank berpusu-pusu menjalin kerjasama dengan filem berkenaan untuk kepentingan produk mereka.


"Mereka yang tidak pernah ke Chongging tidak akan tahu babak berkenaan dirakamkan di Wulong disebabkan logo kami tidak turut ditunjukkan," kata pengurus pemasaran Li Chu.


Seorang pekerja di mahkamah Chongging berkata, Wulong memfailkan saman Selasa lalu namun mahkamah hanya akan memutuskan minggu depan sama ada membenarkan kes itu diteruskan.

Bagaimanapun, laporan lain menimbulkan tanda tanya mengenai persetujuan antara Wulong dengan penerbit filem berkenaan.

Sekutu Paramount di China, m1905.com dalam satu kenyataan di laman webnya berkata ia kesal logo Wulong tidak dipaparkan dalam filem berkenaan dan menyifatkan perkara itu sebagai kesilapan komunikasi.

Transformers: Age of Extinction menjadi filem paling laris di China apabila merekodkan jualan lebih AS$280 juta (RM888 juta) setakat ini. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

Berkhatan kurangkan risiko AIDS

Posted: 25 Jul 2014 12:33 PM PDT

Melbourne: Kempen mempromosi amalan berkhatan di kalangan lelaki boleh memberi manfaat kepada wanita kerana ia didapati meminimumkan risiko dijangkiti virus HIV, lapor satu kajian dibentangkan di persidangan AIDS sedunia, semalam.

Kevin Jean dari Agensi Penyelidikan AIDS Kebangsaan Perancis berkata, dalam satu masyarakat di Afrika Selatan yang mempunyai ramai lelaki yang dikhatankan, wanita yang mengadakan hubungan seks dengan lelaki yang dikhatan menunjukkan pengurangan risiko jangkitan sehingga 15 peratus.


Katanya, kesan positif berkhatan dialami apabila kulit yang mudah ditembusi virus HIV dibuang.

"Walaupun kecil, ia tetap bermakna dan satu permulaan yang baik," katanya. Kajian itu dibentang pada hari terakhir Persidangan AIDS Sedunia ke-20 di Melbourne.


Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengesyorkan lelaki di 14 negara sub-Sahara yang mengalami kadar tinggi virus HIV supaya berkhatan.


Garis panduan itu yang mencetuskan program bernilai jutaan dolar berasaskan bukti daripada tiga ujian yang dilakukan di Afrika Selatan, Kenya dan Uganda.

Kajian mendapati risiko jangkitan HIV pada lelaki berkhatan berkurag sehingga 50 atau 60 peratus.


Bagaimanapun, timbul pula isu kesan lelaki berkhatan terhadap wanita. Persoalan utama termasuk sama ada risiko jangkitan turut berkurangan dalam kalangan wanita jika ramai lelaki dikhatankan.

Satu lagi isu dibangkitkan adalah kebimbangan lelaki berkhatan menganggap mereka selamat sepenuhnya daripada jangkitan HIV lantas enggan menggunakan kondom.


Kajian terbaru itu dilakukan terhadap 2,452 wanita berusia antara 15 hingga 29 tahun di Orange Farm, Afrika Selatan.


Darah wanita terbabit diuji pada 2007, 2010 dan 2012 selain mereka turut ditanya mengenai aktiviti seksual. Dalam tempoh itu, lelaki yang dikhatan dalam masyarakat berkenaan menunjukkan peningkatan daripada 12 peratus kepada 53 peratus.


Lebih 30 peratus wanita terbabit dilaporkan mengadakan seks hanya dengan lelaki yang dikhatan dan 17.8 peratus dijangkiti virus berkenaan.


Bagaimanapun, jumlah jangkitan bagi wanita mengadakan seks bersama lelaki tidak berkhatan adalah 30.4 peratus.


Sementara itu, Jean mengakui keberkesanan kajian itu memerlukan masa sebelum dapat dilihat sepenuhnya.


Namun, katanya, satu kesan positif hasil kajian itu adalah lelaki yang dikhatan lebih cenderung mengamalkan seks selamat.


"Jadi secara tidak langsung itu memang baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

Parti Kongres protes pelampau Shiv Sena

Posted: 25 Jul 2014 12:32 PM PDT

New Delhi: Parlimen gempar semalam selepas rakaman televisyen menunjukkan seorang pemimpin Shiv Sena memaksa seorang lelaki Muslim makan sekeping capati walaupun dia berpuasa.

Ahli Parlimen Parti Kongres yang kini menjadi pembangkang memprotes sekeras-kerasnya perbuatan itu dalam sidang dewan.

Mereka menganggap perbuatan berkenaan melanggar hak serta kebebasan beragama lelaki terbabit.

Jurucakap Parti Kongres Manish Tewari berkata, perbuatan itu amat menjijikkan dan patut dikecam.


Rakaman yang disiarkan di televisyen kebangsaan menunjukkan sekumpulan ahli parlimen Shiv Sena bertengkar dengan seorang penyelia syarikat katering pada 17 Julai lalu.


Ahli parlimen terbabit tidak berpuas hati dengan kualiti makanan disediakan kerana makanan Maharashtria tidak dihidangkan.

Berikutan itu ahli parlimen Rajan Baburao Vichare dilihat beberapa kali cuba menyumbat capati ke mulut penyelia terbabit sehingga mengakibatkan puasanya terbatal.
Shiv Sena adalah sekutu terkuat parti Perdana Menteri Narendra Modi yang memenangi pilihan raya Mei lalu.

Bagaimanapun, Vichare berkata dia tidak menyedari lelaki terbabit beragama Islam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

No comments:

Post a Comment