Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Bukit Aman turun

Posted: 15 Jul 2014 01:11 PM PDT

Kuala Lumpur: Sebuah pusat beli-belah di Jalan Petaling di sini, beroperasi tidak ubah seperti kasino mini apabila dibanjiri ratusan `kaki judi' saban hari yang ketagih untuk bertaruh judi komputer.

Pusat perjudian yang terletak di tingkat empat bangunan berkenaan dikesan cuba berselindung di sebalik papan tanda 'pusat rekreasi keluarga' untuk mengaburi kegiatan jenayah dilakukan.

Kegiatan perjudian itu bagaimanapun digempur sepasukan anggota Bahagian Pencegahan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap, D7 Bukit Aman dibantu anggota Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) jam 9.30 malam kelmarin.

Ketua Unit Pencegahan Perjudian D7 Bukit Aman, Deputi Superintendan Tan Tin Heng berkata, serbuan menyasarkan enam premis di tingkat empat pusat beli-belah itu yang dijadikan pusat perjudian komputer.

Foto

ANTARA premis perjudian yang diserbu.


Menurutnya, pihak polis menahan 10 penjaga premis dan 10 individu termasuk dua wanita yang dipercayai menguruskan pusat perjudian itu.


"Hasil operasi itu, kami merampas 153 set komputer dan 31 simulator perjudian serta wang tunai berjumlah RM2,203 yang dipercayai digunakan untuk kegiatan judi.

"Pihak kami sudah menjalankan pemantauan di kawasan itu sejak minggu lalu selepas menerima aduan berhubung kegiatan perjudian internet di pusat-beli belah itu," katanya.

Menurutnya, beberapa premis judi diserbu itu dikesan meletakkan papan tanda pusat hiburan keluarga bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Beliau berkata, pihak polis akan terus melancarkan serbuan seumpama itu bagi mengekang aktiviti terbabit dari terus berleluasa.

"Kami turut mengesan kehadiran beberapa individu dipercayai tonto yang ditempatkan di tingkat bawah premis serta di hadapan lif bagi mengawal dan memberi amaran kehadiran pihak berkuasa.

"Semua yang ditahan berusia 20 hingga 40-an itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut," katanya.

Dia berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/16

Nyawa RM10 juta

Posted: 15 Jul 2014 01:04 PM PDT

Kuala Lumpur: Lebih RM10 juta. Itulah nilai tebusan yang didakwa diminta kumpulan pengganas untuk membebaskan anggota polis marin, Zakiah Aliep, 26, yang kini dalam tawanan mereka.

Zakiah diculik pada jam 11.10 malam Sabtu lalu, dilaporkan selamat dan kini dalam tawanan kumpulan terbabit yang dipercayai bersembunyi di Selatan Filipina.

Dalam insiden serangan itu, rakan Zakiah, Koperal Ab Rajah Jamuan maut di lokasi kejadian akibat parah ditembak kumpulan pengganas terbabit.

Beberapa jam selepas insiden itu, Zakiah dilapor menghubungi isterinya, Sharifah Erna Berson, 22, mendakwa dia selamat dan kini dikawal dan dijadikan tawanan kumpulan terbabit.


Menurut sumber, kumpulan terbabit melakukan rundingan untuk mendapatkan tebusan dan nilai wang diminta bagi pertukaran nyawa Zakiah dilapor melebihi RM10 juta.


"Nilai tebusan diminta mesti atau tidak kurang daripada RM10 juta. Selepas itu, mungkin akan ada rundingan daripada pihak kita (kerajaan atau pasukan keselamatan) untuk kurangkan nilai tebusan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Sumber itu berkata, nilai nyawa untuk seorang anggota pasukan keselamatan sememangnya tinggi berbanding mangsa lain.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/16

Tanda prihatin

Posted: 15 Jul 2014 12:55 PM PDT

Seremban: Penderitaan penduduk Palestin di Gaza terus mendapat perhatian pelbagai pihak dan terbaru kerajaan negeri serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyumbangkan RM46,286 kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima Berhad.

Kerajaan negeri menyumbangkan RM25,000 manakala Persatuan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai-Pegawai Kanan (PEKERTI) negeri, Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) negeri serta beberapa NGO berjumlah RM21,286 yang disumbangkan dalam bentuk tunai dan cek.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sumbangan itu hasil keprihatinan terhadap kesengsaraan rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Israel.

"Walaupun kita tidak mampu menyumbangkan tenaga dan fizikal untuk ke sana, tetapi sumbangan dan doa dihulurkan supaya Allah melindungi mereka yang tidak berdosa.

"Ia adalah tragedi kemanusiaan yang menyaksikan beratus rakyat Palestin maut dibedil dan tidak kurang juga yang cedera," katanya berucap di Majlis Khatam al-Quran Ahli PEKERTI dan NCWO Negeri Sembilan sempena Nuzul al-Quran di Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini, semalam.

Dalam majlis itu, Mohamad menyampaikan cek sumbangan kerajaan negeri dan beberapa NGO berkenaan serta wang tunai kepada wakil Media Prima yang juga Ketua Biro Berita Harian, Ziauddin Sharuddin.

Mohamad berkata, sebagai sebuah negara Islam dan rakyat Malaysia, setiap orang perlu bersyukur diberi keamanan serta keselesaan menyambut Ramadan.

"Kita juga perlu bersyukur kerana dapat berpuasa dalam keadaan selesa tidak seperti penduduk di Gaza yang sentiasa berada dalam keadaan tidak selamat setiap masa," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua PEKERTI Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin berkata, rakyat negara ini turut terkesan dengan penderitaan dialami rakyat Palestin dan mengambil inisiatif membuat kutipan untuk disumbangkan kepada mereka.

Beliau yang juga isteri Menteri Besar berkata, walaupun nilai sumbangan berkenaan kecil, namun ia adalah sebagai keprihatinan dalam usaha membantu saudara seagama di Palestin.

"Kami turut menyokong usaha Perdana Menteri mengecam kekejaman rejim Zionis yang menyerang penduduk Gaza sehingga mengakibatkan ramai orang awam termasuk kanak-kanak terkorban," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/16

Wanita 'naik syeikh' tampar penguat kuasa

Posted: 15 Jul 2014 12:53 PM PDT

Georgetown: Berang tayar keretanya dikunci penguat kuasa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), seorang wanita bertindak menampar muka seorang pegawai penguat kuasa wanita MPPP di hadapan sebuah kedai di Jalan Burma, di sini, malam kelmarin.

Kejadian berlaku pada jam 9.45 malam ketika mangsa lingkungan 40-an bersama tiga pegawai penguat kuasa MPPP lain melakukan tugas penguat kuasaan trafik di hadapan kedai berkenaan sebelum mengunci tayar sebuah kereta yang didapati melanggar peraturan lalu lintas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, ketika mangsa sedang menjalankan tugas mengunci tayar sebuah kereta Perodua Kenari, dia didatangi seorang wanita lingkungan 40-an yang dipercayai pemilik kereta berkenaan.

"Ketika mangsa sedang mengunci tayar kereta berkenaan, tiba-tiba seorang wanita dipercayai pemilik kereta itu muncul dan menampar muka mangsa dipercayai tidak berpuas hati dengan tindakan penjawat awam terbabit.


"Suspek turut memarahi penguat kuasa wanita terbabit sebelum menghidupkan kenderaannya dan beredar dari tempat kejadian," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/16

Darah platlet kurang

Posted: 15 Jul 2014 12:50 PM PDT

Kuala Lumpur: Pusat Darah Negara (PDN) mengalami kekurangan bekalan darah platlet berikutan peningkatan kes demam denggi.

Timbalan Pengarahnya Datuk Dr Faraizah Abdul Karim berkata, jangka hayat platlet yang singkat iaitu hanya lima hari menyebabkan mereka memerlukan lebih banyak bekalan bagi menampung kekurangan.

Bagaimanapun katanya, langkah melanjutkan waktu operasi pendermaan darah sepanjang Ramadan dilihat dapat membantu mereka menambah bekalan terbabit.

"Buat masa ini, kami berdepan masalah kekurangan bekalan platlet kerana terdapat peningkatan dalam kes denggi.

Kami giat mengumpul bekalan sepanjang Ramadan ini dengan melanjutkan waktu operasi pada waktu malam.

"Kami juga menyediakan ruang kepada penderma tetap membuat janji temu dan kebanyakannya memberi respon baik kepada kita," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Berdasarkan laporan Harian Metro sebelum ini, peningkatan kes denggi dilaporkan berlaku membabitkan enam negeri iaitu Perlis, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Terengganu, Kelantan dan Sarawak pada minggu pertama Ramadan lalu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam dipetik sebagai berkata, peningkatan kes bagi tempoh antara 29 Jun hingga 5 Julai lalu dibuat berdasarkan perbandingan kes pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata, berdasarkan statistik itu, Perlis mencatatkan 10 kes berbanding minggu sebelumnya iaitu sembilan kes manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan 204 kes berbanding 175 pada minggu sebelumnya serta Negeri Sembilan sebanyak 120 kes berbanding 106 kes pada tempoh sama sebelumnya.

Mengenai bekalan darah, Faraizah berkata sehingga kini bekalan yang ada adalah mencukupi untuk menampung keperluan sepanjang Ramadan hingga Aidilfitri nanti.

Katanya, mereka juga mewujudkan sepuluh pusat derma darah bergerak di kawasan Lembah Klang untuk menambah bekalan sedia ada.

"Namun, kami meminta orang ramai tampil menderma termasuk di kawasan luar Kuala Lumpur.

Bagi yang ingin berbuat demikian, kami lanjutkan masa sehingga jam 9 malam bermula Selasa hingga Jumaat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/16

No comments:

Post a Comment