Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Dollah pasti setuju!

Posted: 30 Jun 2014 11:03 AM PDT

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yakin Dollah Salleh akan menandatangani kontrak sebagai ketua jurulatih kebangsaan dalam tempoh terdekat ini biarpun pengendali itu dikatakan berat melepaskan jawatannya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin, walaupun pihaknya masih belum mengadakan perbincangan rasmi bersama Dollah dan PDRM selepas pengumuman pelantikan itu dibuat Sabtu lalu, namun beliau yakin atas dasar kepentingan negara, tugasan bersama Harimau Malaya bakal menjadi keutamaan.

"Kami yakin Dollah akan menerima tugas ini. Tidak ada dilema baginya. Memang benar kami tidak berbincang dengan PDRM sebelum pengumuman pada Sabtu lalu kerana masih belum mendapat kelulusan Exco FAM.

"Jadi kami akan mula mengadakan perbincangan bermula hari ini (semalam) dan Dollah akan menandatangani kontrak dalam sedikit masa lagi," katanya.

Foto

DOLLAH

Foto

PEMAIN Harimau Malaya bakal terima sentuhan magis Dollah.


Semalam Arena Metro melaporkan Dollah, 50, bekas penyerang kebangsaan dikatakan berdepan dilema menerima kontrak dua tahun sebagai pengendali Harimau Malaya bagi mengisi tempat ditinggalkan Datuk K Rajagobal pada 31 Disember lalu.


Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak PDRM Datuk Muhammad Fuad Abu Zarin yang menyatakan Dollah masih mempunyai kontrak sehingga November ini dan beliau dikatakan amat gembira bersama skuad juara Liga Perdana itu.

Meskipun bersedia melepaskan Dollah namun pasukan Liga Perdana itu berharap FAM dapat memberikan tempoh sehingga tamat kempen Piala Malaysia yang akan bermula pada Ogos depan.

Namun Hamidin sekali lagi menegaskan mereka memerlukan khidmat Dollah secepat mungkin secara sepenuh masa bagi membuat persiapan skuad kebangsaan mengharungi Piala AFF pada November ini.

"Saya fikir tidak boleh (selepas Piala Malaysia) kerana beliau perlu bersama pasukan dalam masa terdekat," katanya.

Pelantikan Dollah yang menjulang tiga kejuaraan Piala Malaysia bersama Selangor MPPJ, Selangor dan Pahang dianggap pilihan terbaik yang FAM miliki ketika ini dengan dua calon import dari Jerman, Wolfgang Sidka dan Gert Engels diketepikan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/01

Usah harap keajaiban

Posted: 30 Jun 2014 10:59 AM PDT

Kuala Lumpur: Pengendali sementara skuad kebangsaan Datuk Ong Kim Swee berharap jurulatih baru Dollah Salleh akan diberikan ruang untuk membentuk pasukannya walaupun hakikatnya beliau sudah kesuntukan masa bagi misi pertama di Piala AFF November ini.

Menurut Kim Swee, beliau menyambut baik keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melantik Dollah bagi membimbing skuad Harimau Malaya kerana jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dianggap memiliki kelebihan tersendiri.

"Memang masa agak suntuk untuk Dollah membuat persiapan bersama skuad kebangsaan kerana Piala Malaysia akan berlangsung selepas ini. Tapi yang positifnya Dollah sudah mengenali pemain yang bakal dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan.

"Kita tidak boleh mengharapkan keajaiban sebaliknya perlu memberi Dollah masa untuk membentuk pasukan," katanya ketika dihubungi Arena Metro di Brisbane, Australia semalam.

Foto


FAM pada Sabtu lalu membuat keputusan menawarkan kontrak dua tahun kepada Dollah, 50, bekas penyerang kebangsaan bagi membimbing Harimau Malaya menggantikan Datuk K Rajagobal yang tamat kontrak pada 31 Disember lalu.


Dollah mengetepikan calon luar negara dari Jerman Wolfgang Sidka dan Gert Engels untuk menduduki kerusi panas itu.

Namun Kim Swee yang turut disebut-sebut sebagai calon pilihan selepas berjaya membimbing Harimau Malaya dalam tiga perlawanan antarabangsa pada awal tahun ini, tidak berkecil hati dengan keputusan FAM itu.

"Apa yang penting kita sudah mendapat jurulatih skuad kebangsaan yang baru. Jadi saya boleh fokus kepada persiapan skuad bawah 23 tahun ke Sukan Asia Incheon September ini dan Sukan SEA Singapura tahun depan.

"Saya tidak ada masalah bekerjasama dengan Dollah jika khidmat saya diperlukan untuk membantunya kerana saya jurulatih skuad Harimau Muda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/01

PDRM mahu jumpa menteri dulu

Posted: 30 Jun 2014 10:58 AM PDT

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FA) akan mengadakan perbincangan di peringkat tertinggi mengenai isu pelantikan jurulatih mereka Dollah Salleh sebagai ketua jurulatih kebangsaan yang baru.

Setiausaha kehormat PDRM FA Datuk Muhammad Fuad Abu Zarin berkata, pihaknya akan membawa perkara itu ke pengetahuan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi sebelum membuat sebarang keputusan walaupun secara dasarnya perpindahan itu kemungkinan besar tetap akan berlaku.

"Sehingga ke hari ini kami belum membuat apa-apa keputusan.

Kami juga masih belum bertemu dengan FAM dan Dollah selepas perlantikan itu diumumkan pada Sabtu lalu.

Kami akan membawa perkara ini untuk dibincangkan bersama menteri terlebih dulu.

"Kami mengambil kira kepentingan negara, pergi beliau (Dollah) akan pergi (menjadi jurulatih skuad kebangsaan) tapi bila masanya masih tidak dapat ditentukan buat masa ini," katanya kepada Arena Metro semalam.

FAM selepas mesyuarat Exco FAM Sabtu lalu mengumumkan melantik Dollah, 50, sebagai jurulatih baru skuad kebangsaan dengan kontrak selama dua tahun.

Namun Dollah masih lagi mempunyai baki kontrak bersama skuad juara Liga Perdana itu sehingga November dan PDRM berharap mereka dapat menggunakan khidmat jurulatih kelahiran Melaka itu bagi kempen Piala Malaysia bermula pada Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/01

Ujian getir tunggu Tok Gajah

Posted: 30 Jun 2014 10:57 AM PDT

Kuantan: Pengendali Pahang Zainal Abidin Hassan mengakui tugas sukar menanti skuadnya dalam usaha mempertahankan Piala Malaysia dimenangi musim lalu.

Lebih-lebih lagi, apabila semua pasukan berusaha membentuk skuad mantap untuk mengucup piala berprestij itu ketika Pahang yang sudah menjulang Piala FA dan Piala Sumbangsih berusaha menambah koleksi kejuaraan.

Bagi Zainal Abidin, beliau percaya skuadnya perlu lebih bersedia kerana saingan Piala Malaysia memerlukan komitmen dan disiplin tinggi perlu diterapkan jika mahu mengulangi pencapaian musim lalu.

"Saya harap semua pemain dapat beraksi dengan baik kerana selaku juara bertahan, semua pasukan akan berusaha menewaskan Pahang dan kami perlu lebih bersedia mengharunginya.

"Tugas dan tanggungjawab pemain juga berat dan saya mengharapkan prestasi terbaik terutama mempertahankan Piala Malaysia," katanya semalam.

Ditanya mengenai sesi latihan skuad Tok Gajah, Zainal Abidin berkata, semua pemain akan memulakan latihan pada sebelah malam sepanjang Ramadan bermula Khamis ini.

Menurutnya, sesi latihan akan bermula jam 10 malam selama satu setengah jam di Stadium Darul Makmur.

"Saya harap sesi latihan itu akan dapat membentuk keserasian terutama dari segi kecergasan sebelum saingan Piala Malaysia bermula," katanya.

Foto

ZAINAL (tengah) gesa anak buah fokus pertahan gelaran.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/01

Perak tentu nasib Weigang

Posted: 30 Jun 2014 10:55 AM PDT

Ipoh: Perak yang akur dengan peranan Karl Heinz Weigang kerana membantu mereka kekal dalam saingan Liga Super akan mengadakan perbincangan semula bagi menentukan kedudukan jurulatih itu bagi menghadapi kempen Piala Malaysia.

Pengurus pasukan Datuk Azhar Ahmad berkata apa juga keputusan bergantung pada perbincangannya dengan Menteri Besar dan Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

"Ketika memulakan tugasnya Weigang hanya minta untuk bersama Perak selama dua bulan.

Perjanjian itu kekal sehingga 30 Jun.

"Jadi kami akan membuat keputusan baru selepas mengadakan perbincangan dengannya.

Beliau sudah melakukan tugasnya dengan baik dan PAFA berterima kasih dan menghargai sumbangan Weigang," katanya yang turut sedar peminat juga mahukan jurulatih Jerman itu kekal selepas membantu The Bos Gaurus menduduki tempat kesembilan liga elit itu.

Apa yang pasti, beliau yang juga Bendahari PAFA bertekad menjadikan Perak sebagai antara pesaing utama untuk mencabar kejuaraan piala berprestij itu.

"Selepas berjaya kekal dalam Liga Super saya mahu pastikan kami cemerlang dalam Piala Malaysia dengan sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir.

"Saya akan lakukan usaha memantapkan pasukan termasuk membuat rombakan dalam struktur kejurulatihan bagi memastikan keupayaan pasukan meningkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/01

Impian berkubur!

Posted: 30 Jun 2014 10:54 AM PDT

Kuala Lumpur: Bayangan untuk melihat kelibat anak Malaysia bermain dalam saingan liga hoki utama Belanda mungkin berkubur akibat keengganan kelab tempatan melepaskan beberapa pemain negara bagi beraksi di pentas Eropah.

Walaupun sekadar meraih kedudukan tercorot daripada 12 pasukan bertanding pada saingan Piala Dunia di The Hague, Belanda baru-baru ini, ia sama sekali tidak menutup peluang pemain negara mencuba nasib di benua itu.

Paling mencuri tumpuan apabila Mohd Fitri Saari dan abangnya Faizal menambat hati kelab divisyen satu Liga Belanda apabila mereka bersedia menawarkan kontrak setahun kepada adik-beradik itu.

Namun Fitri menegaskan impiannya untuk berkelana di Belanda mungkin terpaksa dilupakan berikutan kontraknya bersama kelab Terengganu HT hanya akan tamat penghujung Disember ini.

"Kalau ikutkan hati memang hendak beraksi di Belanda, tapi impian itu mungkin terpaksa dilupakan kerana kontrak saya bersama kelab (Terengganu HT) hingga hujung tahun.

"Ketika di Belanda tempoh hari, saya menerima mesej (pesanan khidmat ringkas) daripada sebuah kelab di Belanda.

Perkara ini saya sudah maklumkan kepada jurulatih negara (Muhammad Dhaarma Raj Abdullah) dan beliau menyokong sepenuhnya jika saya mahu ke sana.

"Tapi kontrak saya dengan Terengganu HT hingga penghujung tahun ini dan mereka juga sudah membayar penuh khidmat saya.

Jadi apa boleh saya buat, saya sudah terikat," kata ketua pasukan skuad remaja Piala Dunia yang cemerlang meraih tempat keempat di New Delhi tahun lalu.

Fitri yang sebelum ini beraksi buat Kuala Lumpur HC (KLHC), dipancing pasukan dari Pantai Timur itu untuk kontrak setahun dengan bayaran RM11,000.

Menurut pemain berusia 23 tahun itu, tawaran kelab Belanda itu bagaikan peluang keemasan bagi dirinya untuk beraksi di pentas lebih tinggi terutama di Belanda yang menghimpunkan ramai pemain ternama dunia.

"Sudah tentu banyak ilmu baru akan saya peroleh disamping dapat mematangkan gaya permainan.

Foto

FITRI (kiri) curi tumpuan kelab hoki Belanda.


Saya berharap MHC (Konfederasi Hoki Malaysia) akan bantu mencari jalan penyelesaian," katanya.


Liga Hoki Kebangsaan dijadualkan bermula 7 September manakala saingan Liga Belanda pada 24 Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/01

Wee Kiong akur keputusan jurulatih

Posted: 30 Jun 2014 10:53 AM PDT

Kuala Lumpur: Apa saja keputusan jurulatih beregu lelaki negara, Pang Cheh Chang dan juga pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan diterima dengan hati terbuka oleh Tan Wee Kiong.

Wee Kiong yang baru pulang dari Sydney selepas menyertai Siri Super Terbuka Australia 2014 minggu lalu, mengakui dia tidak boleh membuat sebarang ramalan awal mengenai keputusan itu walaupun dilihat semakin secocok bersama Goh V Shem.

"Kalau jurulatih sudah membuat keputusan, saya cuma boleh akur saja, sekarang memang tidak boleh untuk sebarang jangkaan," kata pemain berusia 25 tahun itu.

Sejak digandingkan dengan V Shem pada Piala Thomas Mei lalu, permainan kedua-dua pemain ini meningkat dan dilihat mampu membentuk keserasian yang mantap berbeza ketika mereka bersama bekas pasangan masing-masing.

Keputusan Cheh Chang memecahkan gandingan Wee Kiong-Hoon Thien How, selain V Shem dengan Lim Khim Wah, dianggap tepat.

Keserasian Wee Kiong-V Shem dapat dilihat pada saingan peringkat kumpulan Piala Thomas apabila mereka memenangi dua perlawanan ketika mengalahkan pasangan India (Pranav Chopra-Akshay Dewalkar) dan Korea Selatan (Kim Ki-Jung-Kim Sa-Rang).

Kecemerlangan mereka berterusan di suku akhir apabila menang ke atas pasangan Denmark, Joachim Fischer Nielsen-Carsten Mogensen dengan rekod bersih 100 peratus dikekalkan pada perlawanan akhir apabila mengalahkan pasangan Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda meskipun Malaysia tewas pada perlawanan akhir kejohanan itu.

Bagaimanapun, mereka dipecahkan semula ketika Siri Super Terbuka Jepun dan Siri Super Premier Terbuka Indonesia kerana Cheh Chang masih lagi mahu melakukan eksperimen barisan beregu yang ada sebelum Wee Kiong-V Shem digandingkan semula di Terbuka Australia.

"Siapa pun gandingan tetap saya tidak kisah kerana sekarang semuanya sama hebat dan yang penting diri saya sendiri juga perlu kena pertingkatkan," katanya.

Andai kata, Wee Kiong-V Shem menjadi pasangan tetap, ini bermakna Thien How sudah pasti bergandingan bersama pemain senior, Tan Boon Heong tatkala kedua-duanya menunjukkan peningkatan di Sydney apabila mara ke separuh akhir, minggu lalu.

Kekuatan Wee Kiong-V Shem akan diuji sekali lagi di Sukan Komanwel Glasgow bulan depan dan mereka diharap mampu untuk menghadiahkan pingat emas buat kontinjen negara.

Cheh Chang sebelum ini membuat kenyataan beliau akan membuat pengumuman mengenai gandingan tetap selepas Terbuka Australia dan mengakui ia tidak menjejaskan persiapan pemain di Kejohanan Dunia walaupun mereka bergandingan dengan pasangan lama.

Foto

WEE Kiong (kanan) dan V Shem semakin serasi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/01

Sistem kiraan 11 mata dapat reaksi positif

Posted: 30 Jun 2014 10:49 AM PDT

Kuala Lumpur: Sistem kiraan 11 mata yang akan menjadi percubaan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bulan depan mendapat reaksi positif daripada pemain veteran tempatan termasuk bekas juara SeEluruh England, Muhammad Hafiz Hashim.

Malah pemain kelahiran Kelantan yang sekarang ini menjadi ketua jurulatih di Kelab Jaguh Tangkis tidak menolak kemungkinan mampu mencabar semula pemain perseorangan sedia ada jika sistem itu dikekalkan.

"Pemain lama akan pasti teruja untuk kembali beraksi termasuk Taufik Hidayat dan Peter Gade jika sistem baru digunakan," katanya yang menganggap sistem 11 mata tidak akan memenatkan pemain.

Hafiz yang pernah meraih pingat emas Sukan Komanwel 2002 Manchester, membayangkan pemain yang bermain secara serangan seperti Datuk Lee Chong Wei dan Lin Dan juga mempunyai kelebihan dengan sistem baru itu.

"Saya rasa susah untuk pemain menang straight set dengan sistem ini, mungkin paling selesa 3-1, apapun perlawanan akan berlangsung lebih menarik nanti.

"Pengumuman BWF ini membuatkan saya teruja untuk beraksi semula secara kompetitif walaupun sistem 15 mata paling terbaik setakat ini," katanya.

Sementara itu, pemain Kelab Badminton Kawasaki, K Yogendran mempunyai pendapat seperti Hafiz dengan menjangkakan ramai pemain veteran ataupun yang sudah bersara akan kembali semula jika sistem kiraan mata itu dikekalkan.

"Permainan tidak akan berlangsung dalam tempoh yang lama, malah ia akan menghasilkan aksi luar biasa dan pantas," kata pemain yang pernah mewakili skuad kebangsaan itu.

Katanya, pemain muda mungkin berasa sedikit sukar dengan sistem itu namun mereka perlu lebih agresif dan bekerja keras untuk menyesuaikan diri.

"Sebelum ini pemain veteran mungkin berasa penat dengan sistem 21 mata tapi peraturan baru ini mungkin tidak akan ada masalah seperti itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/01

NZ Curry House gegak gempita

Posted: 30 Jun 2014 10:47 AM PDT

Kuala Lumpur: Pelancaran Sorak Goool! Harian Metro (HM) bersempena Piala Dunia Brazil 2014 di Restoran NZ Curry House Wangsa Maju, di sini, kelmarin disambut meriah apabila lebih 400 pengunjung hadir memeriahkannya.

Seawal jam 10 malam, restoran yang cukup terkenal di kalangan kaki bola itu sudah mula dipenuhi dengan gerai HM menjadi lokasi tumpuan utama pengunjung untuk menyertai beberapa aktiviti menarik sementara menanti sepak mula perlawanan di antara Belanda menentang Mexico tepat jam 12 malam.

Antara aktiviti disediakan seperti permainan Xbox, pop kuiz, timbang bola, selain permainan arked di gerai Milo bagi memenangi patung figura Piala Dunia.

Pengunjung bertuah juga berpeluang memenangi hadiah menarik seperti hamper barangan kecantikan Avon, baucar Courts, Loreal, jam tangan Swatch serta pakej Hotel Swiss Garden Kuala Lumpur.

Malah, 300 pengunjung terawal juga menerima baucar makanan dan minuman Milo serta barangan ekslusif HM seperti wisel dan pelekat kereta Sorak Goool! Kehadiran beberapa artis jemputan termasuk Tomok, Black, Anzalna dan RJ yang membuat persembahan membuatkan ratusan penonton bertambah ceria dan teruja.

Penonton turut berpeluang bergambar 'selfie' bersama artis menggunakan Fotobox yang siap tersedia dan gambar terbaik dengan hashtag #SORAKGOOOL! juga menerima hadiah menarik.

Sementara itu, program yang memasuki siri kedua penganjurannya selepas Euro 2012 itu mendapat tajaan utama Milo manakala U Mobile bertindak sebagai rakan penaja.

Siri jelajah berkenaan bergerak ke lokasi kedua iaitu di Restoran Habeeb, Melaka malam tadi dengan Tomok dan Black juga hadir bagi menemui peminat sebelum menyaksikan pertemuan di antara Perancis dan Nigeria.

Peminat bola sepak di Johor Bahru juga berpeluang memeriahkan lagi Sorak Goool! esok, dengan Restoran Singgah Selalu dipilih menjadi lokasi seterusnya bagi menyaksikan perlawanan di antara Argentina menentang Switzerland.

Sebanyak enam lokasi terpilih di Lembah Klang, Melaka, Johor, Pulau Pinang dengan beberapa artis lain termasuk Neelofa, Yusry KRU, Lisa Surihani, Aaron Aziz bakal menemui peminatnya sempena kejohanan bola sepak paling berprestij itu.

Foto

ANTARA penonton yang hadir memeriahkan Sorak Goool! di NZ Curry House, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/01

'Tak sangka menang telefon bimbit'

Posted: 30 Jun 2014 10:44 AM PDT

Kuala Lumpur: "Saya datang ke sini untuk menonton bola bersama suami, tak sangka pula menang telefon bimbit," kata Ermiza Edzrien Johari, 28, ketika diumumkan pemenang cabutan bertuah acara Sorak Goool! Harian Metro Piala Dunia Brazil 2014, di Restoran NZ Wangsa Maju, di sini, malam kelmarin.

Dia menerima sebuah telefon bimbit jenis ZTE V817 sumbangan U Mobile, rakan penaja program yang juga akan ke lima lokasi lain termasuk di Lembah Klang, Melaka, Johor dan Pulau Pinang.

Menurutnya, dia hanya mendaftar pelan pascabayar sebanyak RM50 untuk namanya tercalon dalam cabutan bertuah bersama pengunjung lain yang turut menggunakan perkhidmatan U Mobile.

"Saya ternampak gerai U Mobile di sini, tergerak hati untuk mendaftar pakej itu, mereka mengatakan akan ada cabutan bertuah dan berasa gembira apabila nama saya dipanggil.

"Sebelum ini saya memang ada gunakan U Mobile untuk perkhidmatan internet dan saya sangat berpuas hati," katanya yang meminati pasukan Brazil.

Kira-kira 400 pengunjung hadir bagi memeriahkan siri pertama Sorak Goool! yang bermula seawal jam 10 malam dengan beberapa aktiviti menarik disediakan.

Pengunjung bertuah juga berpeluang memenangi hadiah menarik seperti hamper Avon, Courts, Loreal serta banyak lagi.

Sementara itu, seorang pengunjung bertuah Mohd Azlan Moktar, 25, memenangi sebuah jam tangan Swatch menerusi permainan timbang bola.

Katanya, dia mengajak rakan-rakannya ke restoran itu selepas mengetahui Harian Metro akan menganjurkan program Sorak Goool! yang menyediakan pelbagai hadiah menarik.

"Saya datang bersama hampir 10 rakan, memang untuk mencuba nasib kalau menang apa-apa hadiah ditawarkan," katanya.

Lokasi seterusnya Restoran Habeeb, Melaka, malam tadi, dan akan bergerak ke Restoran Singgah Selalu, Johor Bahru (malam ini), Cafe Route 69, Pulau Pinang (4 Julai), Restoran Hakim Baru, Shah Alam (5 Julai) dan D'Stall Corner, Kelana Jaya (13 Julai).

Foto

ERMIZA menunjukkan telefon bimbit yang dimenangi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/01

No comments:

Post a Comment