Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Kelibat Lela ditentu Jumaat

Posted: 22 Jul 2014 10:37 AM PDT

Glasgow: Kedudukan ratu terjun negara, Pandelela Rinong sama ada sempat cergas sepenuhnya untuk mempertahankan pingat emas 10m platform dimenangi di New Delhi pada 2010 akan ditentukan Jumaat ini.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong tidak menolak Pandelela mungkin senasib dengan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang dinasihatkan supaya berehat.


"Saya harap Lela kembali cergas sepenuhnya dan mendapat lampu hijau daripada Institut Sukan Negara untuk datang ke Glasgow.

"Kita memang harapkan pingat emas daripadanya yang bagi saya hampir pasti. Namun, kini semuanya bergantung kepada keputusan kecergasannya Jumaat ini," katanya.


Pemenang gangsa Sukan Olimpik London itu mengalami kecederaan lutut sewaktu menjalani latihan di Guang zhou, China.


Dia jadual menyertai tiga acara, 10m platform individu, berpasangan dengan Leong Mun Yee dalam 10m platform seirama dan 3m papan anjal seirama dengan Cheong Jun Hoong.

Foto

PANDELELA alami kecederaan lutut ketika menjalani latihan di Guangzhou, China.

Pasangan Kanada, Meaghan Benfeito dan Roseline Filion yang juga pemenang pingat perak di New Delhi menjadi pencabar utama 10m platform seirama.


Acara terjun bermula agak lewat, dari 30 Julai hingga 3 Ogos dan sasaran tujuh emas kontinjen negara mungkin terjejas jika Pandelela terpaksa menarik diri daripada menyertai kejohanan.

"Saya berharap sangat Lela hadir di sini dalam keadaan cergas sepenuhnya selepas kita kecewa dengan penarikan diri Chong Wei juga atas sebab kecederaan.


"Apapun saya harap semua ini tidak menjejaskan motivasi serta semangat atlet terjun yang lain untuk terus memburu kecemerlangan," kata Zolkples.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/23

'Rooney paling layak'

Posted: 22 Jul 2014 10:29 AM PDT

London: Bekas jurulatih England Sven-Goran Eriksson mendakwa Wayne Rooney perlu diberi peluang menggantikan Steven Gerrard sebagai ketua pasukan.

Gerrard, 34, bersara daripada arena antarabangsa dan Eriksson percaya Rooney, 28, yang beraksi 95 kali bersama England adalah pilihan paling tepat.


"Dia berada pada usia sesuai dan pemain penting buat England," kata pengendali dari Sweden itu.

Bekas ketua pasukan England, Bryan Robson merasakan Rooney, Joe Hart dan Gary Cahill sesuai untuk tugas itu.


Penjaga gol City, Joe Hart berusia 27 tahun dan pertahanan tengah Chelsea, Cahill, 28, dan kedua-duanya sudah beraksi 43 dan 27 kali. "Sebagai bekas ketua pasukan, saya tidak rasa kami mempunyai calon lain yang menonjol.


"Wayne menjadi ketua pasukan Manchester United dan England. Dia tahu bagaimana untuk menguruskannya.

Foto

"Saya harap ada pemain muda tampil dan membuktikan kemampuan mereka selepas mendapat pengalaman di Piala Dunia. "Bagaimanapun, saya belum melihat perkara itu sekarang. Anda harus melihat pengalaman seseorang pemain yang beraksi di setiap perlawanan terutama menjelang Euro.


"Hart, Cahill dan Rooney calon yang sesuai," kata Robson yang beraksi untuk England 90 kali antara 1980 hingga 1991.

Rooney pernah menjadi ketua pasukan England dua kali pada perlawanan persahabatan menentang Brazil pada 2009 dan kelayakan Piala Dunia menentang San Marino pada 2012.


"Wayne membuktikan dia pemain terbaik. Dia menunjukkan kemampuan. Dia bekerja keras untuk pasukan.


"Tidak kira posisi mana jurulatih mahu dia bermain, Wayne akan melaksanakan tugas itu.


"Itu petanda baik bagi seorang ketua pasukan. Jika Wayne dilantik saya tidak meragui kemampuannya," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/23

Ake belum puas hati

Posted: 22 Jul 2014 10:28 AM PDT

London: Nathan Ake disenaraikan dalam kedua-dua aksi persahabatan dan hingga kini, pemain Belanda itu masih berusaha untuk memikat pengendali Jose Mourinho.

Lebih selesa beraksi di tengah padang berbanding pertahanan tengah, Ake, 19, turut boleh bermain di pertahanan kiri, posisi yang diberi Mourinho ketika Chelsea menentang Wycombe Wanderers dan AFC Wimbledon.


Pemain remaja itu membuat hantaran lintang menarik yang membolehkan Patrick Bamford meledak gol pertama ketika menentang Wycombe, tetapi Ake berpendapat aksinya masih banyak kelemahan.

"Pada perlawanan pertama, saya puas hati tetapi begitu juga dengan semua pemain," katanya kepada laman web rasmi Chelsea. "Saya berjaya membantu jaringan pertama dan itulah yang membuatkan saya gembira." "Perlawanan kedua tidak begitu memihak kepada saya kerana hantaran lintang tidak begitu menjadi dan banyak lagi perlu saya perbaiki. Penting untuk saya belajar daripada semua perlawanan. Kalau kami menang 5-0, pasti ada pengajaran yang boleh kami ambil. Sebagai contoh, penting untuk kami merakam rekod bersih dan sudah pasti kami tidak mahu melepaskan gol mudah.


"Apabila ketinggalan, anda perlu bermain dengan cara berbeza dan pada babak kedua, kami meletakkan dua pemain di depan dan ia tempoh terbaik untuk kami menguji sesuatu." Isaiah Brown menjaringkan gol di Adams Park manakala Lewis Baker membantu semua tiga gol yang dihasilkan ketika menentang AFC Wimbledon.


Dengan kehadiran John Swift, Andreas Christensen, Jay Dasilva, Jeremie Boga dan Dominic Solanke, Ake meluahkan rasa bangga apabila semua rakan-rakannya itu mempamerkan aksi mantap.

"Mereka bermain cemerlang," katanya. "Dominic paling muda, tetapi dia bijak. Semua orang menyedari kemampuannya." Kehadiran Diego Costa dan Fernando Torres di kem latihan semalam memastikan semua pemain pertahanan perlu lebih berhati-hati jika mereka mahu menarik perhatian pengurus sepanjang sesi ujian yang dijalankan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/23

Kami mahu lagi!

Posted: 22 Jul 2014 10:28 AM PDT

London: Wojciech Szczesny menganggap urusan perpindahan pemain di Arsenal kali ini memberi lebih keyakinan kepada semua pemain menjelang saingan musim baru.

Gunners setakat ini berjaya mendapatkan pemain antarabangsa Chile, Alexis Sanchez dan pertahanan kanan Perancis, Mathieu Debuchy.


Selepas memenangi Piala FA musim lalu, Szczesny percaya penampilan beberapa muka baru bakal memberi suntikan semangat kepada seluruh pasukan.

"Sudah pasti anda mahu menambah kekuatan pasukan dan kejayaan mendapatkan beberapa pemain berkualiti membantu kami menjadi lebih kuat. Harap kami dapat memperoleh keputusan bagus pada musim akan datang.


"Memang bagus apabila mendengar nama-nama besar berminat untuk beraksi bersama Arsenal. Harap kami dapat mendapatkan satu atau dua pemain lagi," katanya.


Szczesny yang menyaksikan rakan sepasukannya beraksi menentang Boreham Wood pada perlawanan pemanas badan semalam menambah, perlawanan itu banyak memberi manfaat kepada pasukannya.

"Kami baru saja menjalani latihan beberapa minggu lalu. Barisan pemain Boreham Wood sangat bagus dan cukup sukar ketika bertemu mereka.


"Keputusan tidak penting bagi kami. Tidak banyak bezanya kalau kami menang enam atau tujuh kosong.

"Kemenangan 2-0 sudah cukup bagus dan rata-rata pemain dapat beraksi," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/23

Terima kasih United

Posted: 22 Jul 2014 10:27 AM PDT

London: Selepas memuktamadkan perjanjian menyertai Juventus dari Manchester United sekali gus mengakhiri karier gemilang sembilan musim di Old Trafford, Patrice Evra mempunyai mesej untuk semua penyokong skuad Red Devils di seluruh dunia.

"Selepas berfikir panjang, saya membuat keputusan ini masa tepat untuk meninggalkan United. Ini keputusan terbesar dalam karier saya bersama kelab ini yang akan terus kekal di hati.


"Menyertai dan bermain untuk United sememangnya satu penghormatan bagi saya, mimpi yang menjadi kenyataan dan saat saya di sini satu kenangan yang pasti diingati. Ketika susah dan senang kami tetap bersama. Saya selalu menyatakan anda bukan saja menyertai United, tapi anda juga menyertai satu keluarga dan tradisi itu akan terus berkekalan.

"Kelab ini sudah melakar sejarah dan saya bangga menjadi sebahagian daripadanya. Dalam tempoh sembilan tahun saya bertemu dan berkerja dengan individu hebat dan mereka akan kekal sebagai sahabat sepanjang hidup. Saya berterima kasih kepada semua yang berada dalam kelab ini, rakan sepasukan, jurulatih dan khususnya semua staf yang membuatkan hari saya cukup istimewa di Carrington atau di Old Trafford.


"Ucapan terima kasih tidak terhingga kepada Sir Alex Ferguson yang memberi penghormatan kepada saya untuk menjadi kapten, mengikut jejak langkah legenda United dan memahami maksud tiada yang lebih hebat daripada kelab ini.


"Saya juga mahu berterima kasih kepada penyokong. Kami mempunyai beberapa detik hebat bersama, menjulang trofi bersama dan malam kejayaan di Moscow akan kekal dalam ingatan kami selama-lamanya. Setiap kali saya menyarung jersi ini, saya tahu saya bermain untuk kelab yang sangat istimewa ini. Cinta kepada kelab ini akan terus kekal dan saya tahu anda semua akan meraih lebih banyak kejayaan pada musim akan datang." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/23

Ronaldo sedia lupa episod duka

Posted: 22 Jul 2014 10:27 AM PDT

Tokyo: Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo sudah melupakan kenangan pahit dialaminya di Piala Dunia apabila berkata dirinya tetap cergas dan bersedia untuk kembali bersaing bagi memburu lebih banyak trofi di Real Madrid.

"Saya akan cuba yang terbaik sepanjang musim, seperti saya lakukan setiap tahun. Saya akan cuba menjadi yang terbaik, membantu rakan sepasukan, cuba menjaringkan gol dan memenangi kejuaraan," kata penyerang berusia 29 tahun pada satu majlis penajaan di Tokyo sambil menambah dia mahu beraksi 'enam, tujuh dan lebih banyak tahun lagi' dalam saingan tertinggi peringkat kelab.


Portugal gagal melangkah ke saingan kalah mati Piala Dunia di Brazil, bulan lalu apabila sekadar mencatatkan satu kemenangan, satu kalah serta satu seri dalam saingan peringkat kumpulan dengan kecederaan yang sering membayanginya.

Ronaldo mengalami kecederaan kaki kiri sebelum kejohanan terulung itu bermula.


"Saya sangat fokus. Kecederaan sudah berlalu. Saya berasa sangat bagus," kata Ronaldo sambil menambah dia mahu memulakan dan menamatkan saingan utama Liga Sepanyol musim ini dalam keadaan terbaik.


Tanpa merujuk kepada malapetaka Piala Dunia di Brazil, penyerang itu menggambarkan musim lalu menakjubkan. Dia meraih beberapa trofi individu ketika Real memenangi gelaran Liga Juara-Juara ke-10 dan Copa del Rey, kejohanan tertua bola sepak Sepanyol.

Ronaldo muncul penjaring terbanyak La Liga dan Liga Juara-Juara serta memenangi gelaran Ballon d'Or buat kali kedua selain Kasut Emas Eropah, antara gelaran individu yang diraihnya.


Ronaldo berada di Jepun bagi mempromosi beberapa barangan kesihatan, termasuk alat dalam pesawat yang membentuk otot muka, selepas menghantar foto dirinya dalam talian memakai topeng hitam yang kemudiannya menjadi viral di Internet. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/23

Benam ego AS

Posted: 22 Jul 2014 10:26 AM PDT

Baltimore: Selepas dua dekad menyaksikan skuad wanita Amerika Syarikat (AS) dan Eropah bersaing merebut Piala Solheim, pesaing mereka dari benua lain kini berpeluang beraksi dalam acara berpasukan di Kejohanan Mahkota Antarabangsa LPGA.

Edisi yang bakal berlangsung setiap dua tahun itu bakal bermula esok di Kelab Golf Caves Valley di Baltimore dengan lapan pasukan yang dibarisi empat pemain setiap benua itu merebut hadiah wang tunai AS$1.6 juta (RM5.08 juta) yang ditawarkan.


"Setiap kali saya menyaksikan Piala Solheim, saya pasti mengharapkan dapat sama bermain," kata bintang Taiwan yang menduduki ranking ketiga dunia, Yani Tseng.

"Inilah satu-satunya peluang untuk saya mewakili negara. Ia sangat bermakna buat saya. Saya selalu ingin mewakili Taiwan, tapi tidak pernah memiliki peluang itu. Justeru, kesempatan sebegini sesuatu yang sangat menyeronokkan." Yani yang juga juara kejohanan utama lima kali dan bekas pemain nombor satu dunia itu akan beraksi bersama Teresa Lu, Candie Kung dan Phoebe Yao untuk Taiwan dan mereka diletakkan dalam Kumpulan A yang turut menampilkan Sepanyol, Thailand dan pilihan utama, AS.


Skuad AS menampilkan pemain nombor satu dunia, Stacy Lewis, Lexi Thompson (gambar), Cristie Kerr dan Paula Creamer, semuanya menduduki kelompok 12 pemain terbaik dunia.


Bagaimanapun, skuad AS masih lagi merasai kekalahan di tangan Eropah pada saingan Piala Solheim tahun lalu dan Kejohanan Mahkota Antarabangsa menawarkan peluang untuk mereka membalas dendam.

"Saya sangat seronok. Tidak sabar untuk beraksi dan bangga dipilih sebagai anggota skuad AS," kata Lexi, 19, yang memenangi kejohanan utama pertamanya di Kejohanan Kraft Nabisco awal tahun ini.


Lewis berkata, skuad AS turut menanti cabaran mana-mana pasukan lain yang datang dari luar Eropah.

"Memang seronok apabila beroleh peluang seperti ini terutama ketika anda beraksi pada tahap terbaik," kata Stacy.


"Saya rasa kami akan menikmati tekanan kejohanan itu nanti. Memang ada tekanan apabila anda bermain di tempat sendiri." Kumpulan B diketuai Korea Selatan yang menampilkan Na-Yeon Choi, In-Bee Park, So-Yeon Ryu dan IK Kim.


"Kami akan bermain mewakili negara dan ia sangat bermakna," kata Na-Yeon.


"Kami akan cuba melakukan yang terbaik dan saya harap semua rakyat Korea akan berbangga dengan kami." Pasukan lain dalam Kumpulan B ialah Jepun, Sweden dan Australia.


Jepun diketuai Ai Miyazato manakala Australia dibimbing Karrie Webb.


Semua pasukan akan beraksi dalam acara empat bola dan dua pasukan teratas serta pasukan di tangga ketiga terbaik akan layak ke aksi perseorangan dan juara akan ditentukan menerusi negara yang paling banyak memenangi acara. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/23

'Biar Reduan buktikan'

Posted: 22 Jul 2014 10:26 AM PDT

Kuala Lumpur: "Jangan cepat menghukum, sebaliknya beri masa kepadanya untuk membuktikan keupayaan terlebih dulu," kata legenda bola sepak negara Datuk Santokh Singh, merujuk kepada perlantikan Reduan Abdullah sebagai penolong jurulatih 1 bersama skuad Harimau Malaya.

Menerusi kenyataan media kelmarin yang dihantar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Reduan dilantik ke jawatan itu selepas dicadangkan sendiri ketua jurulatih kebangsaan Dollah Salleh yang turut menamakan bekas penolong jurulatih UiTM FC Wan Mustaffa Wan Ismail selaku penolong jurulatih 2, manakala bekas penjaga gol kebangsaan Omar Salim diangkat jurulatih penjaga gol.


Namun tidak sampai 24 jam selepas pengumuman itu dibuat, timbul suara-suara sumbang yang mempersoal keupayaan Reduan untuk berada dalam senarai staf kejurulatihan negara.

"Mereka berdua (Dollah dan Reduan) pernah bekerjasama ketika membimbing pasukan MPPJ (kini Majlis Bandaraya Petaling Jaya). Mungkin Dollah merasakan Reduan individu paling dipercayainya kerana bukan mudah mencari seseorang yang boleh diharapkan jika berlaku sesuatu kepadanya (Dollah).


"Walaupun ketika menjadi jurulatih Perlis prestasi Reduan begitu teruk, bagi saya, peminat dan pengkritik seharusnya memberi peluang kedua kepada Reduan untuk membuktikan sentuhannya sebagai penolong Dollah.


"Tapi tunggulah pertandingan pertama dahulu, kemudian barulah beri pendapat. Namun, saya percaya pemilihan anggota kejurulatihan kebangsaan sekarang yang terbaik, malah lebih baik daripada sebelum ini," katanya kepada Arena Metro, semalam.

Reduan, 62, yang pernah membawa MPPJ muncul juara Liga FAM pada 2001, dikecam hebat terutama oleh peminat Perlis selepas melihat pasukan kesayangan mereka jatuh ke saingan Liga FAM pada musim depan berikutan menamatkan cabaran di tangga kedua tercorot Liga Perdana.


Perlis pada musim ini sekadar mengutip dua kemenangan daripada 22 perlawanan untuk mengiringi PBAPP FC bermain dalam kancah Liga FAM musim 2015.

Dalam perkembangan sama, Santokh turut mengulas persiapan skuad Harimau Malaya apabila dikatakan mempunyai tempoh agak singkat bagi membentuk pasukan mantap untuk kempen Piala AFF yang bermula dari 20 November hingga 20 Disember ini.


"Bagi saya Dollah masih mempunyai masa mencukupi untuk melakukan persiapan terbaik bagi menghadapi AFF. Ini kerana rata-rata pemain yang dipanggil semuanya muka lama.


"Tidak timbul masalah dari segi persefahaman dalam pasukan. Mereka semuanya sudah kenal satu sama lain, cuma kehadiran Dollah nanti untuk terapkan gaya permainan kepada pasukan kebangsaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/23

Durakovic puas

Posted: 22 Jul 2014 10:25 AM PDT

Kuala Lumpur: Juara 32 kali Piala Malaysia, Selangor berada pada landasan tepat untuk menghadapi saingan Kumpulan D yang bermula bulan depan.

Walaupun sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang Kedah, ia cukup menggembirakan pengendali Merah Kuning Mehmet Durakovic yang menurunkan hampir keseluruhan pemainnya dalam perlawanan yang berlangsung di Padang SUK, Shah Alam, malam kelmarin.


Kedah kendalian bekas penolong jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe terlebih dulu membuka jaringan menerusi tandukan Adam Griffiths pada pertengahan babak pertama sebelum Ahmad Hazwan Bakri menyamakan kedudukan buat naib juara Liga Super itu pada minit ke-46.

"Kami sepatutnya menang dengan jumlah gol besar. Sepatutnya enam atau tujuh gol, namun keadaan padang tidak rata menyukarkan pemain mengawal bola.


"Namun ia tetap perlawanan persahabatan (bukan aksi kompetitif). Apa yang menggembirakan saya semua pemain bermain baik dan persiapan setakat ini berjalan lancar. Paling penting kemampuan kami untuk mencipta peluang," katanya yang pernah meraih Piala Malaysia ketika mewakili Selangor pada 1995, 1996 dan 1997.


Bekas kapten Selangor itu turut melahirkan kegembiraan terhadap persembahan penyerang tempatan seperti Ahmad Hazwan yang meledak jaringan penyamaan buat Merah Kuning.

"Dia serta pemain lain (simpanan) memerlukan lebih banyak perlawanan. Namun saya berharap kami mampu meneruskan corak permainan seperti ini dalam aksi persahabatan kedua menentang Pulau Pinang pada Khamis (malam esok)," katanya.


Juara terbanyak Piala Malaysia itu berada dalam Kumpulan D bersama Sime Darby FC, PDRM dan T-Team dengan kali terakhir mereka menjulang piala berprestij berkenaan pada 2005.

Selangor akan memulakan saingan Piala Malaysia menentang T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 13 Ogos dengan baki lima aksi peringkat kumpulan berlangsung di Lembah Klang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/23

FAM ubah jadual aksi T-Team, Selangor

Posted: 22 Jul 2014 10:24 AM PDT

Kota Bharu: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yakin barisan kejurulatihan baru skuad Harimau Malaya dapat bekerjasama meningkatkan mutu bola sepak negara.

Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Affendi Hamzah berkata, pelantikan dua penolong jurulatih baru Mohd Reduan Abdullah dan Wan Mustaffa Wan Ismail dapat membantu Dollah Salleh mengendalikan pasukan negara.


Katanya, pihaknya yakin kombinasi kejurulatihan baru ini dapat memartabatkan semula maruah bola sepak negara dan meningkatkan kembali imej pasukan negara di pentas dunia.

"Setakat ini tiada tempoh bagi membuktikan mereka dapat memulihkan maruah bola sepak negara. Namun, cabaran pastinya menanti barisan kejurulatihan ini apatah lagi pasukan negara akan menyertai Piala AFF 2014, Disember ini. "Dollah bersama dua pembantunya pasti akan menggunakan sepenuhnya pengalaman mereka dalam mengendalikan pasukan Harimau Malaya," katanya pada sidang media majlis berbuka puasa Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) dan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar raya Islam (MPKB-BRI) serta sumbangan duit raya kepada anak yatim di Hotel Perdana, di sini, semalam.


Dalam perkembangan lain, Affendi berkata pihaknya akan membuat anjakan pada jadual perlawanan Piala Malaysia 2014 membabitkan pasukan T-Team dan Selangor yang akan berlangsung di Terengganu pada 14 Ogos kerana hari berkenaan jatuh pada malam Jumaat.


"Memandangkan malam Jumaat tiada aktiviti berbentuk sebegini di Terengganu, pihak sekretariat sedang membincangkan untuk membuat anjakan jadual perlawanan terbabit," katanya.

"Kita mungkin membuat sehari lebih awal iaitu pada 13 Ogos ini bagi menghormati dasar kerajaan negeri terbabit."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/23

No comments:

Post a Comment