Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tiada ampun jualan tercemar!

Posted: 30 Jun 2014 03:36 PM PDT

Cheras: Peniaga bazar Ramadan yang didapati melanggar garis panduan pengendalian makanan berdepan tindakan disenaraihitamkan daripada permohonan lesen bazar tahun depan selain dikenakan kompaun sehingga RM2,000.

Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz berkata, pihaknya sebelum ini hanya menyenaraihitamkan penjaja yang melakukan kesalahan seperti halangan, penggunaan warga asing dan gagal mematuhi peraturan DBKL yang lain.

"Tahun ini kami akan bertindak tegas terhadap penjaja yang bersalah menjual makanan yang tercemar menerusi operasi persampelan makanan.

"Ini berikutan kami tidak mahu pengusaha makanan mengambil sambil lewa dengan menyediakan makanan yang tercemar, sekali gus mengelak terkena keracunan makanan," katanya selepas merasmikan pelancaran Operasi Persampelan Makanan terhadap penjaja bazar Ramadan di Bazar Ramadan Sri Permaisuri, di sini, semalam.

Foto

MHD Amin (dua dari kanan) mengambil sampel kuih daripada peniaga, semalam.


Katanya, operasi membabitkan pegawai dari Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS) DBKL serta Jabatan Kesihatan ini adalah persampelan makanan berpotensi tercemar yang diambil secara rawak untuk dianalisis di Makmal Kualiti Makanan DBKL.


"Selain itu, pemeriksaan sanitasi meliputi aspek kebersihan, pengendalian, pemakaian apron, penutup kepala, status suntikan tifoid dan kehadiran kursus pengendalian makanan turut dilakukan.

"Malah, semua 5,500 pengusaha bazar Ramadan di 76 lokasi di ibu kota untuk tahun ini diwajibkan mendapatkan suntikan tifoid serta menghadiri kursus pengendalian makanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/01

Robin Hai masuk jerat

Posted: 30 Jun 2014 03:17 PM PDT

Kuala Lumpur: Suspek utama sindiket samun dan curi kenderaan untuk pasaran dunia Nyo Ah Hai, 50, atau lebih dikenali sebagai Robin Hai yang menjadi buruan polis antarabangsa (INTERPOL) selama lapan tahun akhirnya ditahan.

Robin Hai ditangkap ketika tiba di Terminal Dua Lapangan Terbang Changi, Singapura, dipercayai untuk menguruskan perniagaan haramnya itu, awal bulan lalu.


Menurut sumber, pihak berkuasa Singapura percaya Robin Hai sudah menjual 130 kenderaan yang dicurinya di Malaysia sebelum dieksport ke beberapa negara di Asia Barat melalui negara republik itu.

"Robin yang berasal dari Pulau Pinang dipercayai bertanggungjawab terhadap lebih 80 peratus kes kecurian kenderaan pacuan empat roda dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Malaysia.


"Dia yang aktif mengendalikan sindiket terbabit sejak tahun 2000 dilapor melarikan diri dari Malaysia pada 2007 selepas menjadi buruan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum bersembunyi di Asia Barat," katanya.


Ketua Penolong Pengarah Risikan, Operasi dan Rekod (D4) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Abd Manaf Abd Razak ketika dihubungi Harian Metro semalam berkata, sehingga kini, pihaknya belum dimaklumkan mengenai penahanan Robin dan akan menyemak perkara berkenaan.

Dalam satu kenyataan pada 25 November 2013, Abd Manaf berkata, Robin yang bersembunyi di Asia Barat dipercayai memberi arahan kepada anggota sindiket yang juga bekas tahan Ordinan Darurat (EO) untuk mencuri kenderaan berdasarkan permintaan pelanggan.


"Ada 10 bekas tahanan EO yang sebelum ini pernah berkhidmat dengan Robin kembali menjadi orang kanannya selepas dibebaskan. Mereka kembali aktif melakukan jenayah curi kenderaan, terutama kenderaan pacuan empat roda dan kenderaan pelbagai guna (MPV) selepas menerima arahan daripada suspek.

"Kenderaan yang dicuri dipercayai disembunyikan dalam gudang sebelum dimuatkan dalam kontena untuk dieksport ke Asia Barat, Afrika dan Asia Tenggara," katanya.


Harian Metro pada 14 Jun lalu melaporkan, 24 rakyat Malaysia, termasuk Robin mencemar nama baik negara apabila tersenarai penjenayah yang menjadi buruan INTERPOL.


Berdasarkan rekod INTERPOL, 24 individu terbabit dikehendaki atas pelbagai kesalahan di lapan negara iaitu Brunei, Vietnam, Amerika Syarikat (AS), Kuwait, Indonesia, Singapura, China dan India.


Maklumat mereka kini terpapar dalam laman web agensi penguatkuasaan antarabangsa itu dan menduduki carta teratas Zulkifli Abdhir atau Zulkifli Hir, 47, yang amat dikehendaki pihak berkuasa AS atas dakwaan terbabit kegiatan militan.


Malah, pihak berkuasa AS turut menawarkan ganjaran AS$5 juta (RM16 juta) ke atas Zulkifli yang kini dipercayai berada di Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/01

Lupa tarik brek tangan

Posted: 30 Jun 2014 03:17 PM PDT

Gombak: Gara-gara terlupa menarik brek tangan ketika memberhentikan kenderaan, seorang pemandu lori maut apabila dia dihempap muatan lorinya yang tiba-tiba bergerak ketika mangsa mahu membuka kanvas muatan dibawanya dalam kejadian di tapak pembuangan sampah Jalan Sungai Pusu, di sini, kelmarin.

Menurut sumber polis, dalam kejadian jam 4.20 petang itu, mangsa berusia 49 tahun dipercayai memandu lori 10 tan dari ibu negara ke tempat kejadian bagi membuang sisa konkrit di lokasi berkenaan.


Katanya, sebaik tiba, mangsa dipercayai tidak mematikan enjin serta menarik brek tangan sebaliknya terus turun daripada lori sebelum memanjat ke bahagian belakang kenderaannya bagi membuka kanvas.

"Siasatan awal mendapati lori itu diletakkan di kawasan yang agak curam sebelum ia menggelungsur secara tiba-tiba dan terbalik ketika mangsa berada di belakang lorinya," katanya.


Berikutan kejadian itu, mangsa mati di tempat kejadian kerana dihempap sisa konkrit yang dibawa selepas lorinya terbalik.


Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Selayang bagi bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/01

Tanda positif dijangkiti JE

Posted: 30 Jun 2014 03:16 PM PDT

Tasek Gelugor: Seorang murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Selamat di sini, kini dirawat di hospital swasta di Georgetown disyaki berkemungkinan positif dijangkiti wabak Japanese Encephalitis (JE).

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang Datuk Lailanor Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan kesihatan murid terbabit yang mengesan kanak-kanak itu mempunyai simpton seperti penyakit JE.


"Berdasarkan laporan awal diterima daripada hospital swasta berkenaan mendapati hasil pemeriksaan melalui ujian cecair tulang belakang, terdapat tanda yang boleh mengatakan pesakit positif JE.

"Pihak jabatan kesihatan akan mengadakan siasatan secara menyeluruh terhadap kes ini dan meminta orang ramai sentiasa berjaga-jaga serta mendapatkan rawatan segera sekiranya terdapat simpton demam, sakit kepala, loya dan muntah berlarutan," katanya ketika dihubungi, semalam.


Jelasnya, sehingga petang semalam murid berkenaan, Ammar Muqrish Zulkifli, 12, masih koma dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital swasta berkenaan. Lailanor berkata, pihaknya akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.


"Kami mengadakan siasatan terperinci dan mengikut SOP ditetapkan antaranya menjalankan temu bual dan pemeriksaan keluarga pesakit, rakan, termasuk pergi ke sekolahnya untuk menjalankan siasatan.

"Kami juga bekerjasama dengan pihak hospital swasta yang mengeluarkan laporan kesihatan itu untuk membantu siasatan ini," katanya.


Beliau berkata, jabatan kesihatan juga menubuhkan satu pasukan jawatankuasa khas bagi menjalankan siasatan dan laporan lengkap berhubung kes itu dihantar ke KKM dalam tempoh terdekat.

Kelmarin, stesen televisyen swasta melaporkan, ibu kepada kanak-kanak terbabit mendakwa mangsa mengalami demam panas berpanjangan selama sebulan.


Keadaan itu menyebabkan kanak-kanak itu terpaksa dikejarkan ke Hospital Kepala Batas (HKB) sebelum dipindahkan ke hospital swasta di Bayan Baru, Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/01

Keluarga ambil tindakan

Posted: 30 Jun 2014 03:15 PM PDT

Georgetown: Keluarga murid yang koma selepas disyaki positif dijangkiti virus Japanese Encephalitis (JE) bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pengusaha ladang ternakan babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor di sini.

Ibu mangsa, Hasniza Ayob, 40, berkata, dia dan keluarganya bercadang mengambil tindakan sama terhadap Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) bertanggungjawab mengeluarkan lesen kepada syarikat berkenaan.


Hasniza berkata, tindakan undang-undang itu diambil bagi memastikan kejadian sama tidak berulang khasnya membabitkan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Selamat, berikutan kedudukan ladang babi itu hanya dua kilometer daripada sekolah anaknya Ammar Muqrish Zulkifli, 12.

"Awal Jun lalu, anak saya menyertai program perkhemahan di sekolahnya, saya berasa ada tidak kena apabila Ammar Muqrish kerap demam dan kesihatan semakin merosot.


"Keadaannya disangka demam biasa bertambah teruk dan dua minggu kemudian Ammar Muqrish sering loya dan muntah-muntah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/01

No comments:

Post a Comment