Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


MSN pertahan 7 emas

Posted: 14 Jul 2014 02:38 PM PDT

Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) menolak pandangan bekas Ketua Pengarah Datuk Wira Mazlan Ahmad yang menyifatkan sasaran tujuh pingat emas di Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland yang bermula minggu depan, langkah ke belakang selepas kejayaan melakar 12 emas pada edisi 2010.

Ketua Pengarah Datuk Seri Zolkples Embong tampil mempertahankan sasaran berkenaan yang disifatkannya diputuskan selepas mengambil kira pelbagai faktor dan pandangan.


"Bercakap mengenai sasaran, ia tidak semestinya meningkat sepanjang masa. Dulu kita menang 12 emas, tidak semestinya kali ini kita meraih 13 emas atau lebih kerana sasaran diumumkan mengambil kira pelbagai faktor seperti kekuatan atlet negara serta negara lain.

"Beliau pernah mengetuai MSN (1993 hingga 2005), seharusnya beliau tahu. sasaran tidak semestinya meningkat sepanjang masa. Kita pernah menang 10 emas di Sukan Komanwel 1998 namun kenapa empat tahun selepas itu (di Manchester 2002) sekadar meraih tujuh emas, kenapa tidak mencapai 11 atau 12 emas. "Ketika Olimpik 2000 dan 2004, kenapa kita gagal meraih sebarang pingat walaupun meraih satu perak dan gangsa di Atlanta 1996," kata Zolkples.


Mazlan menerusi laporan Arena Metro beberapa hari lalu melihat sasaran tujuh emas yang diumumkan Chef-de-Mission, Datuk Ong Poh Eng menimbulkan banyak persoalan kerana melihat kontinjen negara tidak berkembang walaupun terdapat penambahan peruntukan untuk melakukan persiapan.


"Kami mempunyai banyak program. Semuanya mengambil masa dan kejayaan tidak boleh dicapai dalam tempoh semalam saja. Anda boleh melihat sendiri berapa ramai atlet pelapis yang sudah dilahirkan serta mampu bersaing di pentas antarabangsa," kata Zolkples.

Foto

ZOLKPLES (dua dari kiri) tegaskan perlu ambil kira pelbagai faktor dan kemampuan atlet.

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi turut mempertahankan sasaran tujuh emas yang diumumkan semasa penyerahan Jalur Gemilang pada Khamis lalu dengan menyifatkannya realistik berdasarkan situasi semasa termasuk mengambil kira kecederaan Datuk Lee Chong Wei yang juga prospek emas negara.


Malah Kok Chi turut berpandangan kontinjen negara berkemungkinan mampu meraih sehingga sembilan emas seandainya beberapa acara yang tidak diletakkan sasaran melakar kejutan.

Saingan di Glasgow akan membabitkan 71 negara dengan kontinjen negara menampilkan 269 pegawai dan atlet yang akan bersaing dalam 14 daripada 17 jenis sukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/15

Johor DT pilihan utama juara

Posted: 14 Jul 2014 02:34 PM PDT

Kuala Lumpur: Enam belas pasukan yang berentap dalam Piala Malaysia 2014 mula mencongak nasib masing-masing selepas selesai undian kelmarin.

Dua slot ke suku akhir menjadi rebutan setiap pasukan dalam persaingan empat kumpulan apabila tirai kejohanan edisi ke-88 itu dibuka pada 13 Ogos ini.


Antara pasukan yang menjadi tumpuan sudah pasti penyandang juara Pahang, juara Liga Super Johor Darul Ta'zim (Johor DT), Terengganu, Kelantan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Selangor.

Namun bagi jurulatih Harimau Muda A Datuk Ong Kim Swee, beliau melihat Johor DT yang dikendalikan jurulatih berpengalaman Bojan Hodak memiliki kelebihan merangkul kejuaraan kali ini biarpun mereka diundi dalam kumpulan maut.


"Saya melihat daripada empat kumpulan dalam kempen Piala Malaysia ini, Kumpulan C paling sengit. Tapi saya percaya Johor DT tidak akan berdepan masalah melepasi halangan peringkat kumpulan. Seperti sebelum ini, saya memilih Johor DT untuk menjadi juara liga dan saya percaya mereka pasukan pilihan untuk mendominasi Piala Malaysia pula.


"Tahap keyakinan pemain Johor DT pasti semakin meningkat selepas menjadi juara liga dan dengan pengalaman dimiliki pemain, saya percaya ini tahun terbaik untuk mereka memenangi Piala Malaysia," katanya.

Berdasarkan undian, juara bertahan Pahang diundi bersama LionsXII, FELDA United dan JDT II dalam Kumpulan A, Terengganu, Sarawak, Perak dan Kedah dalam Kumpulan B manakala juara 32 kali Selangor bersaing dengan Sime Darby, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan T-Team dalam Kumpulan D.


Kim Swe, bekas pengendali sementara Harimau Malaya yang kini bersama pasukan Harimau Muda A di Brisbane, Australia menganggap Pahang dan FELDA tidak berdepan masalah melangkah ke suku akhir, begitu juga Terengganu, Perak, ATM, Selangor dan Sime Darby.

Bagaimanapun beliau yang turut memilih pasukan seperti Selangor dan Terengganu untuk mencuri salah satu tiket ke final, tidak menolak kemungkinan pasukan seperti Perak dan ATM mampu melakukan kejutan.


"Selangor dan Terengganu mempunyai rekod baik di pentas Piala Malaysia, namun itu tidak bermakna pasukan lain tidak boleh melakukan kejutan kerana dalam saingan kalah mati, mana-mana pasukan mempunyai peluang seimbang.


"Namun saya percaya pasukan mempunyai pemain berpengalaman pasti akan menyerlah. Pemain seperti Indra (Putra Mahayuddin), Nor Farhan (Muhammad), Safee Sali akan mencuri tumpuan kerana Piala Malaysia penting untuk mencari tempat dalam skuad Piala AFF tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/15

Razman fokus saingan kumpulan

Posted: 14 Jul 2014 02:34 PM PDT

Kuantan: Sebagai juara bertahan dan sudah merangkul dua gelaran, Piala FA dan Piala Sumbangsih, pemain skuad Pahang berusaha sebaik mungkin untuk mempertahankan Piala Malaysia musim ini.

Musim lalu, Pahang tidak begitu diberi tumpuan, tetapi dengan pencapaian musim ini, skuad kendalian Zainal Abidin Hassan perlu kekal fokus dan menunjukkan komitmen tinggi untuk melakukannya sekali lagi.


"Saya harap perjalanan Pahang di peringkat kumpulan berjalan lancar sebelum menumpukan aksi suku akhir piala berprestij ini," kata kapten Pahang Mohd Razman Roslan.

Justeru, Mohd Razman mahu rakan sepasukan berwaspada dan tidak terlalu yakin hingga memakan diri apabila diundi dalam Kumpulan A pada saingan Piala Malaysia musim ini.


Pemain pertahanan itu berkata, berdasarkan undian itu, peluang layak ke pusingan seterusnya bakal memihak kepada skuad Tok Gajah walaupuan peluang tiga lagi pasukan seimbang.


Menurutnya, sebagai juara bertahan, skuad itu tidak akan membenarkan lawan meraih sebarang mata kerana pasukan lain sudah pasti mahu mengucup piala berprestij itu.

"Bagi saya, LionsXII dan FELDA United FC bukan calang-calang pasukan, tetapi kami tidak boleh ambil mudah cabaran Johor Darul Ta'zim (Johor DT) II.


"Saya harap fokus utama pada saingan peringkat kumpulan ialah untuk melepasinya sebelum memikirkan cabaran seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/15

Peluang Alves pulih maruah

Posted: 14 Jul 2014 01:54 PM PDT

Ipoh: Menjernihkan namanya yang tercalar ketika mengendalikan Negeri Sembilan pada musim 2013 menjadi matlamat utama Divaldo Alves yang dilantik Penasihat Teknikal baru Perak, menggantikan Karl Heinz Weigang.

Justeru jurulatih Portugal berusia 36 tahun itu bertekad memberikan yang terbaik bersama Perak dalam usaha memulihkan maruah dan imejnya.


Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut mengenai pengalamannya bersama Negeri Sembilan itu kerana mempunyai hubungan baik dengan pegawai serta Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS).

"Tidak usah dikenang apa yang berlaku. Saya mahu pandang ke depan dan melakukan yang terbaik untuk mengembalikan semula nama baik saya.


"Dengan barisan pemain muda yang komited dan berpotensi dalam pasukan, saya yakin Perak boleh pergi jauh," katanya selepas pengumuman pelantikan dirinya oleh pengurus pasukan Datuk Azhar Ahmad di pejabat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) semalam.


Pengumuman itu sekali gus menamatkan spekulasi berpanjangan mengenai kedudukan Karl Heinz Weigang yang sebelum ini menabur bakti kepada skuad The Bos Gaurus selama dua bulan.

Azhar yang juga Bendahari PAFA berkata, keputusan melantik Divaldo dibuat selepas membuat penilaian dari pelbagai sudut, khususnya pencapaian baiknya ketika berkhidmat dengan beberapa kelab ternama Indonesia.


Menurutnya keputusan mengambil Alves dibuat selepas mendapatkan maklumat daripada beberapa pemain seperti Nazri Abu Bakar (Johor Darul Ta'zim) serta Azmeer Yusoff yang pernah dilatih Divaldo.

Mereka mengakui sistemnya hampir sama dengan Weigang, tetapi Alves lebih rapat dengan pemain.


Tambahan pula, kata Azhar, jurulatih dari Portugal itu sudah menetapkan Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi tempoh dua bulan dan jika prestasinya tidak seperti diharapkan, beliau bersedia untuk berundur.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/15

Misi emas

Posted: 14 Jul 2014 01:53 PM PDT

Kuala Lumpur: Tiada latihan istimewa, itulah yang dijelaskan pemain beregu lelaki negara, Goh V Shem menjelang Sukan Komanwel 2014 Glasgow walaupun mereka berdepan misi mempertahankan emas acara itu.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, walaupun tidak ada penekanan khusus terhadap latihan, namun jurulatih Pang Cheh Chang memberi fokus sepenuhnya kepada dia dan Tan Wee Kiong sebelum mereka berlepas ke Glasgow, Sabtu ini.


"Kami sudah mempersiapkan diri dengan baik setakat ini, saya rasa kami sudah bersedia 80 peratus cuma kami harus lebih fokus dalam baki latihan yang ada," kata pemain berusia 25 tahun itu.

V Shem yang sebelum ini bergandingan dengan Lim Khim Wah, mengakui mereka hanya sempat berehat beberapa hari selepas Siri Super Terbuka Australia bulan lalu.


"Memang sejak diumumkan akan beraksi di Sukan Komanwel, saya dan Wee Kiong meletakkan sasaran sekurang-kurangnya memenangi pingat di Glasgow dan kami harus melakukan persiapan sebaik mungkin.


"Halangan untuk acara beregu lelaki, sama seperti empat tahun lalu, iaitu dari England (Chris Adcock-Andrew Ellis) dan mungkin kami menentang mereka di perlawanan akhir," katanya.

Seperti biasa V Shem bertindak melakukan smash manakala Wee Kiong memainkan peranan mengumpan dan bertahan.


Ditanya sama ada dia berasa tertekan diletakkan harapan mempertahankan pingat emas, V Shem berkata, ia sebenarnya boleh menaikkan semangatnya.

"Saya tidak tertekan dan rasa biasa saja, mungkin kerana sudah banyak beraksi di kejohanan besar termasuk Piala Thomas tahun ini.


"Saya rasa bukan satu tekanan untuk mempertahankan emas diraih Koo Kien Keat-Tan Boon Heong di New Delhi empat tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/15

2,000 hangatkan malam terakhir

Posted: 14 Jul 2014 01:52 PM PDT

Kelana Jaya: Program Sorak Goool! anjuran akhbar nombor satu negara Harian Metro (HM) sempena bahang Piala Dunia yang berlangsung sejak sebulan lalu, melabuhkan tirainya dengan Jerman dinobat juara Piala Dunia buat kali keempat selepas melakukannya pada 1954, 1974 dan 1990.

Jaringan tunggal Mario Gotze pada minit ke-113 mengesahkan status Jerman selaku kuasa baru bola sepak dunia apabila menewaskan jaguh Amerika Latin, Argentina 1-0 pada aksi final di Rio de Janeiro, Brazil, kelmarin.


Dengan mempamerkan permainan tiki-taka ala-Jerman, suasana di Restoran D'Stall Corner Kelana Jaya begitu riuh dengan sorakan dan jeritan kedua-dua penyokong pasukan seolah-olah berada di stadium sebenar di Rio.

Kehangatan penganjuran Sorak Goool! HM nyata dirasai apabila hampir 2,000 penyokong hadir menyaksikan perlawanan itu menerusi skrin gergasi di samping turut menyediakan beberapa aktiviti sampingan buat penyokong sementara menanti tiupan wisel sepak mula jam 3 pagi.


Sekitar jam 10 malam, ruangan sekitar Restoran D'Stall Corner sudah mula dibanjiri pengunjung apabila tidak melepaskan peluang mengunjungi tiga gerai utama yang disediakan, Sorak Goool! HM, Milo Hidup Bola dan U Mobile.


Lebih menarik, setiap pengunjung berpeluang membawa pulang pelbagai hadiah dengan sekadar menyertai aktiviti seperti pop kuiz dan timbang bola. Gerai Sorak Goool! HM menyediakan barangan kepada 300 pengunjung pertama selain menjual baju Sorak Goool! dengan harga RM20 sehelai.

Gerai Milo pula menyediakan hadiah patung figura dengan empat pilihan membabitkan Steven Gerrard, Lionel Messi, Cristiano Ronaldo dan Robin van Persie kepada setiap pengunjung dengan syarat perlu bermain permainan disediakan di gerai Milo sebelum membawa pulang hadiah itu.


Kemeriahan program diserikan lagi dengan kehadiran tiga artis tempatan Aaron Aziz, Zizan Razak dan Kaka yang benar-benar menggamatkan suasana di lokasi terakhir program Sorak Goool! HM itu.

Pengunjung Mohd Syazwan Mohd Maarof, 24, berpendapat penganjuran Sorak Goool! HM itu membolehkannya bersama rakan berkumpul menyokong pasukan pilihan di samping menambah kenalan baru.


"Bagi saya penganjuran program ini bagus dan begitu sesuai dengan moto penganjuran iaitu 'football is about friendship' dan secara tidak langsung dapat menambah kawan.


"Saya sarankan program ini diteruskan HM di masa akan datang dan kalau boleh jangan hadkan kepada Piala Dunia saja, tapi buat juga untuk Piala Malaysia dan kejohanan lain," katanya.


Sementara itu, pekerja swasta Martina Bakar, 27, berkata, dia mengetahui program Sorak Goool! HM ini melalui siaran akhbar sebelum ini dan merancang bersama beberapa rakan sepejabat untuk hadir memeriahkan program itu.


"Sebagai penyokong, kami rasa dihargai dengan adanya aktiviti seumpama ini kerana menemukan kedua-dua penyokong pasukan," katanya.


"Malam ini, saya amat gembira kerana dapat bersama penyokong Argentina yang saya lihat rata-rata begitu semangat memberikan sokongan," katanya.


Bagi memeriahkan program itu, acara makan sahur bersama turut diadakan dengan penyokong yang hadir diberikan makanan dan minuman percuma tajaan Burgerbyte, Tesco dan Milo.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/15

Datang dari Ipoh rasai kemeriahan

Posted: 14 Jul 2014 01:52 PM PDT

Kelana Jaya: "Saya datang dari Ipoh semata-mata ingin menyaksikan perlawanan akhir ini bersama Harian Metro dan Milo. Ia pengalaman cukup mengujakan, terutama saya turut membawa pulang hadiah."

Demikian luahan pelajar Universiti Teknologi Petronas, Sundeep Singh, 19, yang hadir di Restoran D'Stall Corner bagi menghangatkan program Sorak Goool! Harian Metro (HM) bersama dengan 1,000 pengunjung lain yang hadir, awal pagi semalam.


Dia yang turut memenangi hadiah dalam acara timbang bola apabila membuat timbangan paling tinggi, 26 kali berbanding sembilan pencabar lain.

"Terima kasih saya ucapkan kepada HM dan Milo kerana mengadakan program seperti ini. Saya datang bersama kawan dari Ipoh selepas mengetahui program Sorak Goool! HM ini menerusi akhbar.


"Saya bermalam di rumah pakcik di Shah Alam sebelum datang ke sini. Kalau boleh, saya cadangkan agar lokasi program ini ditambah di kawasan Ipoh supaya masyarakat di sana juga dapat merasai debaran dan kehangatan program ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/15

'Messi' Jerman

Posted: 14 Jul 2014 01:51 PM PDT

Brasilia: Jurulatih Jerman Joachim Loew memberitahu Mario Goetze supaya menunjukkan kepada dunia yang dia lebih baik daripada Lionel Messi, beberapa minit sebelum pemain itu menjaringkan gol kemenangan Piala Dunia.

Penyerang Bayern Munich berusia 22 tahun itu hadir sebagai pemain gantian, melakukan sepakan voli pada masa tambahan bagi membolehkan Jerman menewaskan Argentina 1-0 dan menjulang Piala Dunia buat kali keempat, 24 tahun selepas kejayaan terakhir mereka.


"Tunjukkan kepada mereka, kamu lebih baik dan mampu memutuskan siapa pemenang Piala Dunia," gesa Loew kepada Goetze pada separuh masa pertama masa tambahan.: Goetze memulakan kempen Piala Dunia 2014 dalam kesebelasan utama Jerman, namun hanya diturunkan dalam tiga daripada tujuh perlawanan, dimasukkan pada minit ke-88 bagi menggantikan Miroslav Klose, awal pagi semalam.

Jaringannya hadir ketika saingan masa tambahan berbaki tujuh minit menerusi sepakan voli selepas mengawal dengan dada bola hantaran Andre Schurrle.


"Dia mampu beraksi di beberapa posisi. Dia boleh menjadi penentu hala tuju perlawanan apabila dimasukkan dan itulah yang dilakukannya.


"Kami bangga menjadi negara Eropah pertama muncul juara di Amerika Selatan. Lebih manis ia berlaku di Brazil, di Rio, di negara yang gilakan bola sepak," kata Loew.

Goetze, yang menyertai Bayern dari Borussia Dortmund dengan harga £31.5 juta (RM171.5 juta) musim panas lalu bangga menjaringkan gol kemenangan negaranya. "Perasaan sungguh luar biasa. Saya agak bingung serta terkejut dengan apa yang berlaku.


"Tidak boleh digambarkan, anda meraikannya dengan rakan sepasukan, negara, impian menjadi realiti. Ia sangat menakjubkan.

"Bagaimanapun, ia bukan mudah buat saya. Saya terhutang budi dengan keluarga dan teman wanita (model Ann Kathrin Brommel) yang sentiasa mempercayai saya," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/15

Klose rai kejayaan berganda

Posted: 14 Jul 2014 01:51 PM PDT

Rio de Janeiro: Miroslav Klose mengharungi minggu yang cukup menyeronokkan.

Tiga hari lalu, dia muncul penjaring terbanyak Piala Dunia sepanjang zaman.


Awal pagi semalam, dia memenangi Piala Dunia.

Jika Klose, 36, memilih untuk bersara sekarang, dia membawa bersamanya dua kejayaan paling besar.


Soal dia ditukarkan ketika kemenangan 1-0 Jerman ke atas Argentina di final yang berlangsung di Stadium Maracana bukan perkara besar. Klose keluar untuk digantikan dengan Mario Goetze yang kemudiannya meledak gol kemenangan pasukannya.


Kemenangan itu bermakna Klose yang beraksi di Piala Dunia keempat, akhirnya menjulang Piala Dunia selepas tewas di final 2002 dan separuh akhir 2010. Dia juga muncul pemenang Piala Dunia lima hari selepas meledak gol ke-16 apabila membantu pasukannya membelasah Brazil 7-1. Rekod sebelum ini dipegang bintang Brazil, Ronaldo.

"Ia sangat menyeronokkan," kata Klose selepas mengarak Piala Dunia mengelilingi stadium bersama rakan sepasukan. "Memang menjadi impian saya untuk berada di puncak." Klose yang dilahirkan di Poland, muncul penjaring terbanyak dan berjaya menyinar pada setiap edisi.


Dia sudah boleh memilih untuk bersara selepas 13 tahun menyarung jersi kebangsaan, tetapi jurulatih Joachim Loew pernah mengingatkan semua pihak supaya tidak terlalu mudah membuat kesimpulan mengenai karier pemain veteran itu.

"Tidak mustahil dia akan bermain di Russia. Apa saja boleh berlaku," kata Loew. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/15

Tuah 10 tahun

Posted: 14 Jul 2014 01:49 PM PDT

Rio de Janeiro: Kejayaan Jerman menjulang Piala Dunia semalam bukan saja kerana persediaan baik selama 50 hari namun ia juga berpunca daripada tuaian hasil projek jangka panjang yang dilaksanakan secara terperinci, kata jurulatih Joachim Loew.

Loew yang mengambil alih tugas Juergen Klinsmann pada 2006 selepas menamatkan saingan di tempat ketiga Piala Dunia di Jerman berkata, jika bukan kerana penyingkiran mereka di pusingan awal kejohanan terdahulu, kejayaan keempat menjulang Piala Dunia mungkin tertangguh.


"Saya fikir bukan saja tempoh 50 hari bersama itu yang penting, tapi juga projek yang kami mulakan 10 tahun lalu," kata jurulatih berusia 54 tahun itu selepas menewaskan Argentina 1-0 di final.

"Kami memulakannya dengan Klinsmann (selepas 2004) dan masih meneruskannya. Kekuatan utama kami adalah peningkatan berterusan setiap tahun." Jerman melangkah ke separuh akhir dalam dua edisi terakhir Piala Dunia dan Kejuaraan Eropah selepas gagal melepasi peringkat kumpulan di Euro 2000 dan 2004.


"Kami sedar akan mengambil langkah terakhir (mara ke final) dan kami mempercayainya dan hari ini (semalam), ia berhasil," katanya.


Kekecewaan lampau itu mencetuskan perancangan nasional untuk melabur dalam pusat bola sepak remaja dengan kebanyakan pemain berada dalam skuad semasa Loew, termasuk pemain berusia 22 tahun, Mario Goetze yang meledak jaringan kemenangan ketika mengatasi Argentina pada masa tambahan.

"Pada masa lalu, kami kecewa namun kini kami berhak gembira. Ini detik yang istimewa kerana usaha keras kami sepanjang 10 tahun akhirnya berhasil," katanya.


Loew berkata, sepanjang masa itu pemain Jerman belajar untuk melangkaui nilai tradisi Jerman, iaitu bekerja keras dan berjuang hingga ke saat akhir.

Menurutnya, pemain muda perlu mempelajari lebih banyak kemahiran untuk bersaing dengan kelab luar dan pasukan kebangsaan.


"Jelas sekali, Bundesliga memainkan peranan besar dalam hal ini dengan pusat latihannya," katanya.


"Pada 2000 dan 2004, bola sepak Jerman berada pada tahap paling bawah. Namun kami mengambil tindakan dengan memberi tumpuan terhadap mewujudkan lebih banyak pusat latihan, supaya teknikal menjadi lebih baik.


"Nilai tradisi Jerman tidak lagi mencukupi dan kami perlu meningkatkan kemahiran." Tanda-tanda awal kebangkitan Jerman dapat dilihat pada Piala Dunia 2010 apabila Loew menyenaraikan pasukan termuda dalam tempoh 76 tahun dan memikat ramai penyokong menerusi corak permainan menyerang menarik.


"Kelab turut berperanan dalam hal ini kerana mereka mendapatkan ramai pemain muda dalam kesebelasan utama. Mereka melakukan kerja yang bagus dan saya mengucapkan terima kasih untuk itu," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/15

No comments:

Post a Comment