Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Saya mahu ke final'

Posted: 18 Jul 2014 10:51 AM PDT

Kuala Lumpur: Kilauan pingat emas diraih Sapok Biki pada Sukan Komanwel 1998 memang sukar untuk diulangi peninju negara pada edisi 2014 di Glasgow, Scotland walaupun Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) tetap menetapkan sasaran sebutir pingat emas untuk dibawa pulang.

Peninju berpengalaman negara, Muhammad Fuad Mohd Redzuan lebih bersikap merendah diri apabila mahu sekurang-kurangnya sukan itu kembali menjadi antara penyumbang pingat kepada kontinjen negara yang menetapkan sasaran keseluruhan tujuh emas pada edisi ke-20 kali ini.

Tinju mengalami kemerosotan sejak kebelakangan ini apabila gagal menyumbang sebarang pingat sejak dua edisi lalu (Melbourne 2006 dan New Delhi 2010) selepas kali terakhir meraih gangsa di Manchester pada 2002 menerusi Zamzai Azizi Mohamad.

"Seboleh-bolehnya pada penyertaan kedua ini, saya mahu melangkah ke final. Harapan saya memang untuk menaikkan kembali imej tinju Malaysia di pentas antarabangsa, sudah lama kita tidak menang pingat Sukan Komanwel.

Foto


"Tekanan memang ada, namun dengan semangat dan program latihan tersusun, saya berasa sudah bersedia sepenuhnya untuk turun bertarung," kata peninju negara yang bakal beraksi dalam kategori 49 kilogram itu.


Turut menggalas cabaran negara di Glasgow, S Jaya Rahman (52kg), Muhammad Alnazirul Othman (60kg), Khir Akyazlan Azmi (64kg) dan Muhamad Meeraj Omar (91kg).

Anak buah jurulatih Prasit Tungjal itu giat menjalani latihan di Baguio, Filipina sejak tiga minggu lalu dengan mengadakan perlawanan dan latihan padat.

"Kami di sini cuba mendapat pengalaman untuk beraksi di perlawanan sebenar. Selain berpeluang mengadakan perlawanan dengan skuad Filipina, kami turut bersaing dengan ramai peninju profesional di sana," katanya.

Tinju akan mempertandingkan 13 kategori di Scotland dengan kategori lelaki mempertaruhkan 10 emas dalam saingan yang bermula Jumaat depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/19

Sasaran realistik

Posted: 18 Jul 2014 10:48 AM PDT

Kuala Lumpur: Skuad ragbi 7 sebelah negara yang bakal membawa cabaran Jalur Gemilang di temasya Sukan Komanwel Glasgow 2014 mensasarkan menamatkan cabaran dalam kelompok 12 pasukan terbaik.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan Yusli Ramli berkata, sasaran itu dianggap realistik lantaran penyertaan kuasa besar ragbi pada temasya empat tahun sekali itu.

"Sasaran itu lebih daripada memadai kerana acara ini disertai negara yang begitu gagah dan sukar ditumbangkan.

"Mendapat kedudukan ke-12 boleh dianggap pencapaian terbaik bagi pasukan negara berbanding empat tahun lalu apabila kami menduduki tempat terakhir.

Foto

SETIAUSAHA Agung Kehormat Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), M Suhaimi Zainuddin (depan, kiri), menyerahkan Jalur Gemilang kepada Mohd Fahmi (depan, kanan) disaksikan skuad ragbi negara.


"Keyakinan saya berdasarkan kepada peningkatan permainan ditunjukkan pemain di Afrika Selatan sebelum ini. Banyak ilmu dipelajari pasukan saya daripada latihan hampir dua minggu di sana," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Penajaan Jersi baru oleh Al-Ikhsan Sports di sini, semalam.


Sementara itu, pengurus skuad kebangsaan Mohamad Fahmy Abd Jalil menyifatkan tajaan diterima pasukannya menjelang saingan Sukan Komanwel itu mampu melonjakkan semangat pemain untuk memberikan aksi terbaik sepanjang kejohanan itu.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Al-Ikhsan yang menaja kami. Mungkin dengan kehadiran jersi baru ini, secara tidak langsung semangat pemain meningkat dan kemungkinan kami boleh melakukan kejutan," katanya.

Pencapaian terbaik skuad ragbi negara di Kuala Lumpur 1998 apabila menduduki tempat ke-12 daripada 16 pasukan bertanding. Namun dalam dua penampilan selepas itu di Manchester (2002) dan New Delhi (2010), skuad negara hanya menduduki tangga tercorot ke-16, manakala pada temasya di Melbourne (2006) Malaysia terkandas seawal peringkat kumpulan.

Di Glasgow, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan C bersama Wales, Samoa dan Papua New Guinea.

Malaysia bakal membuka tirai saingan pada 26 Julai ini dengan ujian pertama berdepan pasukan gergasi ragbi dunia, Wales.

Sehari kemudian anak buah Yusli Ramli bertemu Samoa dan kemudian menentang Papua New Guinea dalam aksi terakhir peringkat kumpulan sebelum boleh berkira-kira melangkah ke suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/19

Wei Feng sahut cabaran

Posted: 18 Jul 2014 10:46 AM PDT

Kuala Lumpur: Alah bisa, tegal biasa. Itulah yang dihadapi pemain badminton perseorangan negara, Chong Wei Feng menjelang Sukan Komanwel 2014 Glasgow terutama selepas dilantik ketua pasukan kelmarin.

Pemain kelahiran Sungai Petani, Kedah itu mengakui memikul beban berat termasuk cuba mempertahankan pingat emas individu dan berpasukan, tetapi menganggapnya perkara biasa.

"Tekanan memang ada, contohnya seperti Sukan SEA di Myanmar tahun lalu apabila kita sasar untuk muncul juara tapi saya gagal melakukannya. Dari situ saya banyak belajar," katanya.

Menurutnya, dia mahu membuktikan kepada barisan kejurulatihan yang melantiknya sebagai ketua pasukan walaupun Glasgow pengalaman pertamanya beraksi di Sukan Komanwel.


"Mungkin disebabkan ranking paling senior, tapi saya akan membalas kepercayaan ini dengan memberikan keputusan terbaik.


"Saya juga sudah banyak belajar untuk mengawal tekanan termasuk ketika beraksi di Piala Thomas New Delhi, Mei lalu," kata pemain berusia 27 tahun itu.

Ditanya pemain yang bakal menghalang hasratnya meraih emas, Wei Feng berkata, perhatian harus diberikan kepada Kashyap Parupalli dan K Srikanth dari India serta Rajiv Ouseph (England).

"Kami akan bermain sebagai satu pasukan untuk meraih emas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/19

Peluang tipis

Posted: 18 Jul 2014 10:45 AM PDT

Kuala Lumpur: Situasi empat tahun lalu dengan sekarang mungkin berbeza, namun pelumba trek negara, Rizal Tisin (gambar) tidak mahu menyerah kalah terlalu awal menjelang saingan Sukan Komanwel 2014 Glasgow.

Selepas meraih perak di Sukan Komanwel 2010 New Delhi dalam acara kegemarannya, 1 kilometer ujian masa, Rizal mengakui sukar untuk mengulangi pencapaian itu sekali lagi.

Ini disebabkan dia baru saja kembali menyertai acara trek selepas mengambil keputusan terbabit dalam acara BMX pada 2011 dan 1km ujian masa pula tidak diadakan di Sukan Olimpik 2012 London.

"Sebenarnya saya hampir menolak tawaran ketua jurulatih trek negara John Beasley, tapi beliau meyakinkan saya untuk pergi (Sukan Komanwel) sebagai suntikan moral menjelang Sukan Asia 2014 Incheon," katanya.

Foto


Di New Delhi, Rizal tewas kepada pelumba Australia, Scott Sunderland yang meraih emas dengan catatan 1:01.411s.


"Tahun ini saya rasa mungkin Sunderland akan mempertahankan emasnya atau pelumba New Zealand, Simon van Velthooven," kata pelumba berusia 30 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/19

Kombinasi Fauzan, Sea Kong mampu lakar kejutan

Posted: 18 Jul 2014 10:44 AM PDT

Kuala Lumpur: Kombinasi Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi dan Loh Sea Keong dalam mengharungi cabaran acara lebuh raya pada temasya Sukan Komanwel tidak menjamin sebarang pingat namun kemungkinan itu boleh berubah andai percaturan jurulatih Aminuddin Sulaiman menjadi.

Fauzan mengakui sukar buat dirinya untuk menghadiahkan pingat ketika temasya itu disertai ramai jagoan dunia termasuk juara Tour de France tahun lalu, Chris Froome.

"Bagi saya untuk mendapatkan pingat sudah tentu sukar kerana ramai pelumba profesional dan standard Sukan Komanwel tidak jauh beza dengan Olimpik," katanya yang turut menyertai acara ujian masa.

Namun kepercayaan diberikan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan cuba dibalasnya dan kombinasi bersama Sea Keong dilihat sebagai satu percaturan terbaik.


Mengulas mengenai laluan di temasya itu yang dimaklumkan sedikit sempit, beralun dan akan melalui kawasan berbukit sama seperti di Melbourne pada 2006 lalu, Fauzan berkata, dia masih belum merangka sebarang strategi dan semuanya terpulang kepada Aminuddin.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/19

Cabaran negara lebur

Posted: 18 Jul 2014 10:42 AM PDT

Kuala Lumpur: Cabaran negara di Grand Prix Emas Terbuka Taiwan 2014 berakhir apabila beregu bebas, Mak Hee Chun-Chow Pak Chuu tumpas kepada pasangan Jepun, Hiroyuki Saeki-Ryota Taohata di suku akhir, semalam.

Hee Chun-Pak Chuu tewas 16-21, 18-21 dalam perlawanan yang mengambil masa 34 minit di Arena Taipei.

Ini bermakna tidak ada wakil negara untuk saingan separuh akhir hari ini, ketika jaguh China, Lin Dan terus mencuri tumpuan apabila mengalahkan wakil Jepun, Takuma Ueda 21-15, 21-10.

Kemenangan itu menyaksikan Lin Dan akan membuat perhitungan dengan seorang lagi pemain Jepun, Riichi Takeshita yang sebelum itu mengalahkan pilihan pertama dari Korea Selatan, Son Wan Ho 19-21, 21-16, 21-16.


Satu lagi perlawanan separuh akhir antara Wei Nan dari Hong Kong dan pemain pilihan kedua dari China, Wang Zhengming.


Wei Nan menumpaskan Nguyen Tien Minh dari Vietnam 16-21, 22-20, 21-15, manakala Zhengming mengalahkan pemain Jepun, Kazumasa Sakai 22-20, 21-14.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/19

'Nak duit pergi main bola!'

Posted: 18 Jul 2014 10:33 AM PDT

Kuala Lumpur: "Kalau rasa main hoki kurang dapat duit, pergilah main bola sepak."

Demikian reaksi Naib Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Nur Azmi Ahmad yang begitu kecewa dengan sikap segelintir pemain kebangsaan kerana merungut duit poket RM500 diberikan ketika beraksi di Piala Dunia di The Hague, Belanda dua bulan lalu, tidak mencukupi.

Sambil mengaku itulah jumlah diberikan kepada setiap pemain, Nur Azmi bagaimanapun menegaskan, pemain perlu melihat dalam skop lebih luas dengan usaha dan pemberian insentif lain sebenarnya jauh lebih baik sejak Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menjadi Presiden MHC.

Katanya, Tengku Abdullah bertanggungjawab memperkenalkan pemberian insentif dalam jumlah yang agak lumayan dan sehubungan itu pemain tidak harus merungut.


"Tanyalah kepada pemain dulu, ada tak mereka dapat seperti sekarang.


"Pemain sekarang sebenarnya cukup bertuah kerana Tengku Abdullah cukup prihatin dalam soal pemberian insentif.

"Tapi mereka merungut macam MHC tidak pernah bagi apa-apa.

"Memang saya akui kami bagi RM500, tapi MHC juga keluar duit untuk perkara lain seperti makanan dan tempat tinggal. Perkara seperti itu perlu juga diambil kira.

"Mereka sepatutnya bersyukur, bukan terus menghentam MHC," katanya.

Justeru, Nur Azmi berharap mana-mana pemain yang tidak berpuas hati supaya bersemuka dengan MHC dan bukannya meluahkan perasaan menerusi media.

Nur Azmi juga berkata, MHC dari masa ke semasa sedia mempertimbangkan kenaikan pemberian insentif kepada setiap pemain, bergantung kepada kemampuan badan induk itu.

Semalam, menerusi laporan Arena Metro, sumber dalaman mendedahkan setiap pemain hanya diberi wang poket RM500 yang bersamaan 5 euro (RM23) sehari sepanjang 22 hari berada di The Hague.

Jumlah itu, dakwa sumber berkenaan amat tidak berpatutan, malah MHC juga didakwa mungkir janji dalam soal pemberian insentif selepas skuad negara layak ke Piala Dunia menerusi saingan Liga Hoki Dunia di Johor Bahru, tahun lalu.

Malah dipercayai, semua itu menjadi antara punca penyerang utama negara Faizal Saari meluahkan hasrat untuk berundur daripada skuad kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/19

Bicara Lagenda: 4 aspek penting

Posted: 18 Jul 2014 10:31 AM PDT

Pemakanan seimbang, semangat berpasukan, disiplin diri yang tinggi dan pengurusan pasukan berkesan antara pendekatan yang perlu ada untuk membantu seseorang bergelar pemain bola sepak berjaya.

Sehubungan itu, trio legenda negara, Datuk Shukor Salleh, Datuk Soh Chin Aun dan Datuk Santokh Singh sepakat dalam menyifatkan usaha melahirkan ahli sukan terutamanya pemain bola sepak berkualiti tinggi perlu bermula dari peringkat akar umbi.

Tiga bekas pemain kebangsaan itu berkata, aspek terbabit yang membentuk elemen penting perlu diambil kira untuk mewujudkan pemain memiliki mentaliti profesional.

Shukor berkata, sebagai seorang ahli sukan, banyak manfaat boleh didapati dengan menceburi sukan seperti bola sepak.


"Bagi saya, paling penting kita perlu memahami kesihatan fizikal. Apabila kanak-kanak terbabit dalam sukan, mereka perlu didedahkan kepada nilai kehidupan dan kemahiran bagi membolehkan mereka lebih bersedia menghadapi cabaran hidup ketika mengharungi proses membesar," katanya.


"Kanak-kanak perlu didedahkan kepada pembentukan semangat berpasukan, disiplin dan pengurusan mantap bagi membolehkan mereka mengenali kekuatan dan kelemahan mereka. Justeru, makanan seimbang penting dalam memberikan prestasi terbaik untuk bersukan."

Chin Aun berkata, banyak manfaat boleh didapati dengan menceburi bidang sukan.

"Sejak bermain bola sepak pada peringkat sekolah lagi, saya sudah menimba banyak pengalaman bernilai untuk menjadi seorang ahli sukan.

"Hingga kini, saya masih mengekalkan kecergasan dengan melakukan aktiviti mudah seperti berjoging dan berjalan kaki. Senaman ini bagus memastikan tahap kecergasan berada di tahap terbaik.

"Saya sedar masih ada sesetengah nilai hidup dan kemahiran yang dipelajari ketika menjadi pemain bola sepak profesional dulu.

"Nilai hidup seperti keyakinan diri, bersaing secara kompetitif, membentuk kerjasama berpasukan, kemahiran berkomunikasi dan kepimpinan antara elemen perlu ada dalam diri seseorang pemain," katanya yang menganggap kelayakan Sukan Olimpik 1971 di Korea sebagai antara detik gemilang kerjayanya.

Santokh pula berkata: "Bagi saya, saat paling diingati melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Moscow pada 1980. Dalam perlawanan kelayakan menentang Korea Selatan di Kuala Lumpur itu, kami menewaskan mereka 2-1 dengan James Wong menjaringkan gol kemenangan," katanya.

"Pencapaian layak ke Olimpik itu yang kedua buat pasukan negara, tetapi kami tidak menyertainya kerana Malaysia bersama Amerika Syarikat memboikot sukan berkenaan.

"Harapan saya berkecai. Kami bekerja keras untuk melayakkan diri, malangnya semua tidak kesampaian. Bagaimanapun, ia masih menjadi kemuncak karier bola sepak saya."

Bagaimana pula dengan inisiatif MILO Hidup Bola?

Chin Aun berkata: "Saya menyokong penuh usaha MILO Hidup Bola sejak formasi itu dimulakan."

"Saya yakin bermula pada usia muda akan membolehkan jurulatih mengenal pasti pemain muda berbakat dan membentuk kemahiran mereka dan menjadikan mereka pemain bola sepak profesional," kata Shukor.

Santokh pula berkata inisiatif MILO Hidup Bola adalah cara terbaik memberi inspirasi kepada generasi muda memasang impian besar pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/19

Nafsu juara

Posted: 18 Jul 2014 10:20 AM PDT

Johor Bahru: Walaupun jarang diturunkan dalam skuad utama, S Subramaniam tampak optimis Johor Darul Ta'zim (Johor DT) mampu mencipta kejutan melakar kejuaraan berganda musim ini.

Pemain pertahanan Johor DT itu, tidak menafikan skuad bergelar Harimau Selatan semakin bernafsu memburu kejuaraan Piala Malaysia selepas dinobat juara Liga Super musim ini.

Katanya, kejuaraan liga menjadi insentif kepada pemain mengintai peluang untuk berusaha sedaya-upaya memburu kejuaran piala berprestij bagi melengkap koleksi piala buat Johor DT.

"Saya sudah berpengalaman menikmati kejuaraan itu ketika bersama pasukan lama (Kelantan) dan sudah tiba masanya saya menabur bakti kepada Johor DT yang dianggap pasukan terbaik musim ini.

"Walaupun saya akui belum cergas sepenuhnya kerana dalam proses pemulihan akibat kecederaan, tapi yakin dalam tempoh dua minggu lagi saya akan kembali beraksi.

"Apa pun semuanya bergantung kepada kecederaan lama tidak berulang dan buat masa ini latihan tertumpu kepada meningkatkan tahap kecergasan dan belum melakukan latihan berlari," katanya.

Subramaniam terpaksa diketepikan pada baki beberapa perlawanan liga selepas mengalami kecederaan dan terpaksa mendapat rawatan susulan di Institut Sukan Negara (ISN) di Bukit Jalil.

Proses pemulihan itu memberi kesan positif kepada Subramaniam yang sudah mula menjalani latihan ringan dan dijangka bakal beraksi dalam tempoh terdekat sebelum saingan Kumpulan C Piala Malaysia bermula dengan Johor DT berdepan Kelantan pada 13 Ogos.

"Tiada lagi rasa sakit dan saya yakin bersedia untuk beri sumbangan kepada Johor DT kerana kita mahukan kejuaran Piala Malaysia pada musim ini," kata Subramaniam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/19

Visi Van Gaal

Posted: 18 Jul 2014 10:12 AM PDT

Manchester: Louis van Gaal mengaku berdepan tugas mencabar dalam misi komersial Manchester United dan pada masa sama perlu meraih kejuaraan di Old Trafford.

Van Gaal secara rasmi diperkenal sebagai pengurus baru United di Old Trafford, kelmarin dan ketika bercakap dalam sidang media pertamanya, pengendali dari Belanda itu sedar beliau memikul beban berganda apabila menguruskan kelab seperti United yang terkenal di peringkat global.

United mengadakan jelajah pramusim di Amerika Syarikat (AS) dan tanpa aksi bola sepak di peringkat Eropah musim depan, kelab gergasi Liga Perdana itu mungkin terpaksa mengadakan banyak perlawanan persahabatan dalam tempoh rehat musim bagi menambah pendapatan.

"Kelab ini juga menjana pendapatan menerusi komersial dan kami perlu memberi tumpuan kepada aspek itu," kata Van Gaal.

Foto

VAN GAAL


"Tidak mustahil untuk memenuhi kehendak komersial atau bola sepak. Itu adalah cabaran terbesar saya selepas dua minggu.


"Mungkin ia akan berubah selepas jelajah AS. Saya tidak tahu namun saya tidak fikir begitu. Ini adalah kelab terbesar kerana ia dikenali di seluruh dunia.

"Kelab ini dikenali di seluruh dunia. Bila saya di China atau di Brazil, ramai orang bercakap mengenai United. Itulah perbezaannya.

"Harapan yang disandarkan cukup tinggi, tapi ia juga satu cabaran hebat kerana itulah saya memilih kelab ini."

Van Gaal mengesahkan tidak keberatan untuk berbincang dengan bekas pengurus United Alex Ferguson yang mempunyai hubungan erat dan cukup dihormati kelab itu.

"Sir Alex memiliki falsafah hebat. Beliau sudah membuktikan kehebatannya dengan merangkul banyak kejuaraan bersama United," kata Van Gaal.

"Saya fikir beliau memiliki falsafah yang bagus. Saya harap dapat melakukan perkara sama dan memulakannya dengan falsafah." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/19

No comments:

Post a Comment