Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Cara unik nak terkenal

Posted: 18 Jul 2014 09:32 AM PDT

Montreal: Seorang lelaki bertindak melampau semata-mata untuk menjadi terkenal.

Vin Los, 24 dari Montreal mencacah muka, leher dan perutnya dengan puluhan perkataan.

Tidak seperti lukisan tatu yang menjadi tarikan peminat seni itu, Vin hanya memilih perkataan asas yang ditatu dalam pelbagai saiz dan bersepah di seluruh mukanya.

Vin baru-baru ini membuat rakaman video menunjukkan dia cuba memadam contengan pada mukanya itu bagi membuktikan ia benar-benar tatu dan akan kekal.

Foto

VIN memiliki 24 tatu pada mukanya saja, termasuk frasa yang bermakna 'jerit nama saya' dan 'wajah ikonik.'


Selain namanya dalam huruf besar pada perutnya, lengan dan muka Vin dilitupi perkataan seperti 'sex bomb', 'iconic', 'Tokyo', 'fame' dan 'guilty'.


Dalam satu wawancara dengan majalah Vice, lelaki itu berkata: "Lukisan tidak membawa sebarang kesan kepada saya. Melihat muka saya, anda mungkin menyangka saya jahat.

"Tetapi tatu ini bukan untuk saya saja. Saya mahu menjadi imej untuk dilihat orang ramai, sesuatu yang berkesan," katanya.

Vin mula terbabit dalam tatu sejak berusia 16 tahun. Tatu pertamanya logo Le Coq Sportiff diperoleh ketika berusia 16 tahun.

Dia kini mempunyai 24 perkataan yang ditatu pada mukanya, termasuk Kuala Lumpur.

Walaupun menyedari perkataan itu kekal sehingga mati, Vin tidak sukar atau tergesa-gesa memilih perkataan yang hendak ditatu.

"Saya tidak terikat. Saya hanya mendengar lagu popular menerusi YouTube dan memilih perkataan daripada lagu itu," katanya.

"Misalnya, lagu 'Top of the World,' nyanyian kumpulan The Cataracs. Ia sesuai dengan impian saya. Kerana itu yang saya mahukan, menjadi terkenal di seluruh dunia.

"Ramai yang bertanya tidakkah saya akan menyesal nanti. Jika saya tidak yakin, saya tidak akan menconteng muka saya," katanya Vin.

Anehnya, penampilannya yang luar biasa dengan wajahnya yang tampan, Vin semakin menarik perhatian di Internet, sesuatu yang baik bagi seorang lelaki yang berkata dia ingin menjadi 'paling terkenal di dunia.'

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/19

Rancang luas keganasan

Posted: 18 Jul 2014 09:27 AM PDT

Gaza: Israel semalam memperhebatkan serangan daratnya di Gaza dengan bedilan meriam, kereta kebal dan bot bersenjata serta memberi amaran ia mungkin meluaskan lagi keganasannya di wilayah Palestin ini.

Pegawai kesihatan Palestin berkata, 27 penduduk terbunuh, termasuk seorang bayi, dua kanak-kanak dan seorang wanita berusia 70 tahun sejak rejim Zionis mengerahkan pasukan daratnya menyerang wilayah yang padat penduduk itu.

Tentera Israel mendakwa membunuh 17 lelaki bersenjata sementara 13 lagi menyerah diri selepas serangan tentera darat dan kereta kebal bermula di wilayah yang dikuasai Hamas itu.

Seorang askar Israel juga terbunuh dan beberapa yang lain cedera dalam operasi yang menyasarkan 150 kawasan dikuasai Hamas.

Foto

PASUKAN perubatan mengejarkan dua rakyat Palestin yang cedera ke unit kecemasan Hospital Shifa awal semalam.

Foto

WANITA Palestin, Netream Netzleam menatap jenazah anaknya, Razel, 1, yang terbunuh semalam akibat kecederaan yang dialami berikutan serangan udara Israel di Rafah kelmarin.

Foto

RAKYAT Palestin dan wartawan media antarabangsa berkumpul di luar sebuah hotel berikutan serangan udara rejim Zionis, kelmarin.


Serangan darat itu menyusuli pengeboman 10 hari terhadap Gaza dari udara dan laut, tembakan ratusan roket oleh Hamas ke Israel dan kegagalan gencatan senjata yang diusahakan Mesir.


Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dalam satu taklimat kepada wartawan sebelum mesyuarat Kabinet berkata, tentera rejim mungkin meluaskan serangan mereka.

"Arahan saya kepada tentera Israel ialah bersiap sedia melancarkan serangan lebih besar," katanya.

Dia bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai rancangan berkenaan.

Israel juga mengerahkan 18,000 lagi anggota simpanannya untuk membantu operasi berkenaan, sebagai tambahan kepada 30,000 anggota simpanan yang sudah pun digerakkan.

Jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri berkata: "Netanyahu membunuh anak kami dan dia akan membayarnya dengan harga yang tinggi.

"Serangan darat tidak menggentarkan kami. Mereka akan dimusnahkan."

Hamas sebelum ini menolak gencatan senjata Mesir kerana tidak percaya Israel akan menunaikan janji untuk menarik balik kepungan yang dikenakan ke atas Gaza.

Kumpulan pejuang Palestin itu juga berkata, anggotanya melancarkan serangan ke atas kereta kebal Israel dengan mortar.

"Malam yang bingit. Pejuang Hamas bertempur dengan kereta kebal yang mara dari arah utara," kata Amer Yamen, 37, penduduk di Beit Hanoun yang bersempadan dengan Israel.

Setakat ini, kira-kira 260 penduduk Palestin, hampir semuanya orang awam terbunuh sejak Israel melancarkan keganasan pada 8 Julai lalu, yang turut menyaksikan rejim itu memusnahkan ratusan rumah dan bangunan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/19

56 tahun tanggung derita

Posted: 18 Jul 2014 09:22 AM PDT

Guizhou: Seorang lelaki yang mengalami kecacatan teruk pada mulutnya selepas diserang seekor serigala ketika kanak-kanak, akan menjalani pembedahan pemulihan 56 tahun selepas kejadian itu.

Wu Xiuyou, 65, dari Kampung Datang di wilayah Guizhou, barat daya China, diserang seekor serigala ketika dia berusia 11 tahun.

Haiwan berkenaan mengoyakkan mulutnya menyebabkan Wu mengalami kecacatan teruk dan hanya boleh makan makanan cecair.

Kerana wajahnya yang buruk akibat kejadian itu, dia tidak pernah ke sekolah, tidak berkahwin dan tidak diterima bekerja.

Foto

WU


Dia hidup bersendirian saja.


Pakar bedah, Doktor Chen Fei yang akan melakukan pembedahan itu berkata: "Wu hilang semua mulutnya. Rahangnya rosak teruk.

"Ia akan menjadi pembedahan paling mencabar sepanjang karier saya selama 15 tahun."

Menurut Chen, pihak hospital turut menghubungi pakar di Beijing, Chengdu dan Leshan untuk mendapatkan nasihat.

Pembedahan akan membabitkan kira-kira 20 doktor dari 10 jabatan.

"Kami akan membaiki bibir atas dan bawah serta otot mukanya yang rosak teruk. Ia akan membabitkan pengambilan otot paha dan memindahkan pada mukanya. Ia membabitkan terlalu banyak jahitan deria dan salur darah," kata Chen.

Di samping itu, Wu akan menjalani pembedahan kedua untuk menyusun semula giginya enam bulan selepas pembedahan pertama. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/19

Anak enggan jumpa ibu hodoh

Posted: 18 Jul 2014 09:17 AM PDT

Hangzhou: Seorang ibu mendakwa anak tunggalnya enggan menemuinya lagi kerana menganggap dia 'terlalu hodoh.'

Ding Liang, 63, ditemui menangis di jalan raya di bandar Hangzhou, timur China selepas tiba untuk melihat cucunya yang baru lahir.

Dia membawa bersama beg pakaian dan hadiah untuk bayi itu dengan harapan anaknya berubah hati apabila dia tiba di rumahnya.

Bagaimanapun, si anak enggan menjawab panggilan telefon.

Foto

DING kecewa dengan sikap anaknya yang tidak mahu menghubunginya lagi.


Wanita itu yang tidak tahu di mana anaknya tinggal, terpaksa pulang dengan membawa hadiah berkenaan sambil menangis.


Ding ditemui di sebuah kompleks perumahan oleh seorang lelaki tempatan, Hsin Pai, 53, yang terkejut dengan ceritanya.

Dia amat mereka, dia berasal dari sebuah kampung dan berbangga dengan pencapaian akademik anaknya itu.

Selepas menamatkan pengajian di universiti, anaknya mendapat pekerjaan yang baik dan berkahwin.

Tetapi dia dilapor malu dengan kehadiran ibunya di majlis perkahwinannya kerana wanita itu berpakaian seperti orang miskin.

Baru-baru ini, si anak menelefon ibunya untuk memberitahu bahawa dia sudah mempunyai anak.

"Saya memberitahunya keinginan saya untuk melihat cucu saya. Tetapi dia tidak benarkan saya datang dengan alasan saya terlalu hodoh," kata wanita itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/19

Putin gesa gencatan senjata

Posted: 18 Jul 2014 08:57 AM PDT

Sergiev Posad (Russia): Presiden Russia Vladimir Putin semalam menggesa supaya diadakan gencatan senjata antara pemberontak pro-Russia dengan tentera kerajaan Ukraine yang bertempur di timur Ukraine bagi membolehkan rundingan damai diadakan.

Putin berkata, dia sudah menghubungi Presiden Ukraine Petro Poroshenko selepas sebuah pesawat Boeing 777 milik Syarikat Penerbangan Malaysia ditembak jatuh, membunuh semua 298 penumpang di dalamnya, sebahagian besar daripada mereka adalah warga Belanda.

"Rundingan damai antara kumpulan bertentangan perlu diadakan secepat mungkin. Semua pihak yang terbabit dalam pertelingkahan di rantau itu perlu menghentikan pertempuran dan memulakan rundingan," kata Putin pada mesyuarat dengan pemimpin Gereja Ortodok di Sergiev Posad, berhampiran Moscow.

"Apa yang berlaku di timur Ukraine amat menyedihkan. Ia satu tragedi," katanya.

Foto

PUTIN (kanan) berbincang dengan Perdana Menteri Dmitry Medvedev mengenai tragedi pesawat MAS sebelum memulakan mesyuarat mengenai isu ekonomi di Novo-Ogaryovo, Moscow, semalam.


Putin yang menyalahkan Poroshenko terhadap peristiwa yang menimpa pesawat MAS itu kerana enggan melanjutkan gencatan senjata dengan puak pemberontak di wilayah berkenaan berkata, beliau berharap pemimpin Ukraine berkenaan akan dapat menawarkan cara yang aman bagi mengakhiri konflik berkenaan.


Kerajaan Ukraine menyalahkan pemberontak pro-Russia kerana menembak jatuh pesawat penerbangan MH17 itu dengan bantuan wakil perisikan Russia. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/19

Tunggu, lihat dulu

Posted: 18 Jul 2014 08:53 AM PDT

Jakarta: Keputusan sama ada kem Joko Widodo (Jokowi) - Jusuf Kalla (JK) akan membawa isu keputusan pemilihan presiden negara itu ke mahkamah bergantung kepada tindakan pasukan peguam Prabowo Subianto - Hatta Rajasa.

Peguam kumpulan Jokowi, Alexander Lay berkata, mereka hanya akan merujuk isu berkenaan jika wujud rasa curiga terhadap keputusan Komisi Pemilihan Umum (KPU) Indonesia.

"Setakat ini kami belum membuat sebarang rancangan membawa isu keputusan pemilihan presiden ke Mahkamah Perlembagaan.

"Jika diputuskan Jokowi menang dan pihak lawan tidak mengajukan isu itu ke Mahkamah Perlembagaan, kami tidak akan merujuknya ke mahkamah juga.

"Andainya kami kalah dan ada yang tidak puas dengan hasil KPU barulah isu ini dirujuk ke mahkamah berkenaan," katanya.

Foto

JOKOWI


Namun, pada masa sama, Alexander berkata, pihaknya terus memantau perjalanan kiraan undi yang sedang berlangsung kini dengan teliti.

Katanya, ada kemungkinan undi Jokowi dimanipulasi.


Sementara itu jurucakap kumpulan kempen Jokowi-JK Hasto Kristiyanto berkata persoalan sama ada mereka akan merujuk kepada mahkamah masih awal untuk diperkatakan.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/19

Prabowo beri bayangan kalah kepada Jokowi

Posted: 18 Jul 2014 08:51 AM PDT

Jakarta: Prabowo Subianto semalam berkata, berlaku "penipuan agak besar-besaran dalam pemilihan presiden baru-baru ini dan ia mungkin menghalangnya memenangi jawatan presiden.

Dalam temubual dengan AP, untuk kali pertama Prabowo memmayangkan dia mungkin kalah kepada pencabarnya, Joko Widodo (Jokowi) kerana penipuan undi.

Kata bekas jeneral tentera elit di zaman Suharto itu, separuh daripada rakyat Indonesia menyokongnya.

"Jika tiada penipuan lebih separuh pengundi menyokong saya," katanya.

Beberapa pertubuhan disegani menjalankan kiraan awal berdasarkan sampel undi tertentu dan mendapati Jokowi memenangi pemilihan presiden 9 Julai lalu dengan majoriti kecil.

Beberapa pihak juga berkata, tiada alasan untuk mempercayai Prabowo mengatasi Jokowi setakat ini.


Namun seperti selalu Prabowo berkeyakinan dia di ambang kemenangan sehingga mencetuskan spekulasi dia mungkin cuba memanipulasi keputusan itu atau enggan mengaku kalah.


Jika keadaan itu berterusan, Indonesia mungkin berada di ambang kekacauan.

Kata bekas jeneral berusia 63 tahun itu, dia mungkin mencabar keputusan berkenaan di Mahkamah Perlembagaan kerana mengesyaki berlaku penipuan.

"Kami akan menunggu dulu dan jika ada petanda serta bukti berlaku penipuan besar-besaran serta terancang, kami tidak akan menerima keputusan pemilihan berkenaan," katanya.

Mengenai gabungan pelbagai parti yang menyokong pencalonannya, Prabowo berkata, dia bersedia menghadapi kemungkinan mereka bertukar haluan menyokong Jokowi.

"Apa yang terjadi, biarkan terjadi.

Gabungan itu diusahakan sesama sendiri dan mungkin boleh terlerai," katanya.

- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/19

No comments:

Post a Comment