Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Kayu tembus kepala

Posted: 07 Jul 2014 12:43 PM PDT

Gemas: Nasib seorang pekerja kilang papan warga Nepal ibarat nyawa di hujung tanduk apabila dahinya ditembusi serpihan kayu sepanjang satu meter, pagi semalam.

Kejadian mengerikan jam 8.51 pagi itu berlaku apabila serpihan kayu berkenaan dipercayai terpelanting dari mesin pemotong lalu tertusuk dahi mangsa secara menyerong hingga menembusi bahagian kanan kepala mangsa.

Mangsa, Basanta Limbu, 30, bagaimanapun bernasib baik kerana serpihan kayu itu tidak mengenai bahagian otaknya, malah tindakan majikannya menghubungi Klinik Kesihatan Gemas (KKG) dengan segera membolehkan dia diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Segamat, Johor untuk rawatan lanjut.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gemas, Penguasa Bomba Kanan I Kamaruddin Salleh berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan itu, enam pegawai bomba dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu mangsa.

Foto

KAKITANGAN Klinik Kesihatan Gemas dan anggota bomba membantu mangsa tertusuk serpihan kayu.


Katanya, disebabkan kayu yang tertusuk di dahi mangsa agak panjang, ia menyukarkannya dibawa masuk ke dalam ambulans.


"Selepas mengkaji keadaannya, kita memutuskan untuk menggunakan pemotong hidraulik berbanding pisau atau gergaji bagi mengurangkan impak kecederaan lebih serius kepada mangsa selain meminimumkan kesakitan dialaminya," katanya.

Beliau berkata, mangsa kelihatan menahan sakit sepanjang proses yang mengambil masa enam minit itu namun tidak menjerit atau meronta-ronta, selain dibantu oleh kakitangan perubatan KKG.

"Selepas dipotong, mangsa dihantar ke Hospital Segamat untuk menjalani pembedahan mengeluarkan baki serpihan kayu pada dahinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/08

Lanyakan berlagak

Posted: 07 Jul 2014 12:40 PM PDT

Pelabuhan Klang: Empat lelaki tergamak melihat seorang pemandu lori dibelasah mereka dalam keadaan 'nyawa-nyawa ikan' kira-kira 10 minit sebelum melarikan diri dalam pergaduhan di sebuah restoran di Bandar Sultan Suleiman, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa berusia 42 tahun itu dikatakan baru tiba di restoran berkenaan untuk membeli minuman.

Menurut saksi yang enggan dikenali berkata, ketika mangsa pergi ke bahagian dalam restoran untuk mengambil minuman, tiba-tiba seorang daripada empat lelaki berusia 30-an hingga 40-an itu yang sudah berada di restoran berkenaan memanggilnya.

"Mangsa yang tidak menge- syaki apa-apa kemudian pergi bertemu mereka. Mangsa dan keempat-empat lelaki itu kemudian kelihatan seperti berbincang, namun selepas beberapa minit berlaku pertengkaran.

Foto

ANGGOTA forensik menjalankan siasatan di tempat kejadian, semalam.


"Kumpulan terbabit kemudian terus memukul sehingga mangsa terjatuh sebelum memijak badan serta kepala mangsa menyebabkan kecederaan parah pada bahagian muka. Disebabkan mangsa hanya berseorangan, beliau tidak dapat melawan atau melarikan diri," katanya kepada Harian Metro, semalam.


Beliau berkata, tindakan lelaki itu menyebabkan mangsa pengsan di tempat kejadian. Kumpulan lelaki itu tidak terus melarikan diri sebaliknya duduk kira-kira 10 minit di restoran berkenaan sambil memerhatikan mangsa yang berada dalam keadaan parah.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/08

Konon tak tahu larangan JAKIM

Posted: 07 Jul 2014 12:36 PM PDT

Kuala Lumpur: Masih terdapat segelintir pengusaha restoran yang tidak mendapat pengiktirafan sijil halal mendakwa tidak tahu mengenai larangan penggunaan kain rentang Bufet Ramadan sebagai tarikan.

Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Muhammad Khalid Osman berkata, dalam satu serbuan di sebuah restoran di ibu negara yang turut menyediakan minuman keras semalam, pekerjanya mendakwa mereka tidak tahu kesalahan yang dilakukan.

"Ops Bufet Ramadan itu dilakukan selepas kami menerima aduan awam berhubung tindakan pemilik premis menawarkan bufet Ramadan tanpa mempunyai logo halal JAKIM.

"Pemasangan kain rentang menggunakan perkataan Bufet Ramadan adalah mengelirukan kerana Ramadan merujuk kepada Islam sedangkan premis makanan itu turut menyediakan minuman keras serta tidak mempunyai logo halal JAKIM," katanya kepada pemberita semalam.


Menurutnya, premis berkenaan diberi amaran keras selain kain rentang promosi bufet Ramadan turut dirampas.


Serbuan itu dilakukan 16 pegawai JAKIM, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/08

Royalti milik penuh Aliff

Posted: 07 Jul 2014 12:36 PM PDT

Kuala Lumpur: Segala royalti daripada penjualan album Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini akan disalurkan kepada anak tunggalnya, Aliff Omar Ali, 32.

Pengurus Besar Universal-EMI Malaysia, Mujahid Abd Wahab berkata, jika seseorang penyanyi rakaman itu meninggal dunia, mengikut peruntukan undang-undang, semua bayaran royalti akan diserahkan kepada waris yang sah seperti suami, isteri atau anak.

"Disebabkan Allahyarham mempunyai anak, bayaran itu akan diserahkan kepada anaknya, Aliff. Bagaimanapun semuanya masih dalam proses kerana Kak Pah baru beberapa hari meninggal dunia. Pihak kami belum berkesempatan lagi bertemu Aliff dan berbincang lebih lanjut mengenai perkara ini," kata Mujahid kepada Harian Metro ketika dihubungi semalam.

"Perkara ini bukannya satu masalah kerana pihak kami memang akan menyerahkan kepada Aliff apabila sampai masanya kelak. Seterusnya, terpulanglah kepada Aliff untuk menyerahkan wang royalti ini kepada sesiapa saja yang dikehendakinya," kata Mujahid kepada Harian Metro ketika dihubungi semalam.


Difahamkan, bayaran royalti daripada syarikat rakaman biasanya dibuat dalam tempoh setahun sekali atau enam bulan sekali kepada karyawan yang terbabit dalam pembikinan sesebuah album iaitu penyanyi, komposer dan penulis lirik.


Selama 45 tahun berjuang sebagai anak seni, Allahyarham Sharifah memiliki 135 album termasuk album penuh dan kompilasi dalam bahasa Malaysia serta Inggeris. Beliau juga satu-satunya artis yang bertahan paling lama dengan label EMI (sejak EP pertama, Seri Dewi Malam pada 1970) hingga berjaya mencipta nama dalam Malaysia Book of Records.

Antara album Allahyarham yang cukup diingati ialah Seri Dewi Malam, Kekasih Pujaan, Cahaya Keinsafan, Forever & Ever, Malam, Rahsia Hati, Kau Yang Bernama, Yayadan dan Seribu Mawar.

Sementara itu, Pengerusi Badan Pemungut Royalti (MACP), Habsah Hassan pula berkata, pihaknya akan membayar royalti kepada waris Sharifah hasil daripada sumbangannya sebagai penulis lirik.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/08

'Syafika anak baik'

Posted: 07 Jul 2014 12:35 PM PDT

Alor Setar: "Tolong jangan tekan kami sekeluarga kerana kami sudah cukup tertekan. Kamu semua tahu kami sedang bersedih, kenapa mahukan kami bertambah sedih?" kata bapa mangsa yang terbabit dalam kejadian dibakar suaminya di Kampung Abi Padang Machang, Kangar, Perlis, kelmarin.

Lelaki dikenali sebagai Ismail, 50-an itu berkata dia sekeluarga tidak boleh mengulas lanjut mengenai kejadian menimpa Syafika yang juga anak kelima daripada enam beradik terbabit berikutan masih bersedih selain terkejut dengan berita diterima.

Katanya, dia hanya menyerahkan kepada polis melakukan siasatan lanjut dan berharap semua pihak menghormati perasaan keluarganya.

"Berita menimpa anak saya sudah dikeluarkan di akhbar, jadi semua orang mesti sudah tahu. Buat masa sekarang saya tidak dapat memberi komen apa-apa kerana kes ini masih dalam siasatan polis.

Foto

AHLI keluarga yang baru tiba dari Skudai, Johor melawat mangsa di hospital, semalam.


"Kalau saya bercerita kepada kamu (wartawan) semua sekali pun ia bukan boleh menyelesaikan masalah kerana kamu hanya boleh menghuraikan saja.


"Jadi, saya harap semua pihak menghormati keputusan ini kerana kami memang tidak tahu mahu cakap apa-apa," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, semalam.

Ibu mangsa yang enggan dikenali turut menzahirkan perasaan terkilan terhadap kejadian menimpa anak perempuannya dan tidak mahu mengulas lanjut mengenainya berikutan masih bersedih.

Wanita terbabit yang hadir ke hospital bersama suami dan seorang anak lelakinya dilihat ditolak di atas kerusi roda berikutan keadaan kesihatan tidak mengizinkan selepas diserang angin ahmar setahun lalu.

Selepas usaha menemubual keluarga terbabit gagal, wartawan terpaksa mengekori mereka sekeluarga ke tempat meletak kenderaan awam HSB bagi mendapatkan kenyataan.

Sebaik disapa kumpulan wartawan, wanita itu melemparkan senyuman, namun memberi isyarat tidak mahu memberi sebarang komen berikutan merasa terganggu dengan kehadiran media.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/08

No comments:

Post a Comment