Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Jerman berdepan dukun Brazil esok

Posted: 07 Jul 2014 09:41 AM PDT

Rio de Janeiro: Selain terpaksa berdepan dengan Brazil, pasukan Jerman juga akan bertarung dengan ilmu hitam seorang dukun tempatan pada perlawanan separuh akhir esok.

Brazil akan turun tanpa bintang mereka, Neymar di Belo Horizonte.

Bagaimanapun, dukun Helio Sillman dari Rio de Janeiro berkata, dia akan mengguna ilmu hitam untuk menghalang pasukan bimbingan Joachim Loew daripada mara ke perlawanan separuh akhir.

"Saya akan memilih pemain utama mereka dan mengikat kakinya bagi memastikan dia tidak boleh berlari ketika perlawanan," kata Sillman, merujuk anak patung voodoo seorang pemain Jerman yang tidak dinamakannya yang akan disihir dalam satu majlis sebelum perlawanan bermula.

Foto

GAMBAR menunjukkan patung voodoo mewakili pemain bola sepak Brazil ditempatkan dalam kotak khas, kononnya untuk memberikan tenaga dan tuah kepada mereka. Ia sebahagian daripada ilmu hitam seorang dukun tempatan di Rio ketika pasukan tuan rumah itu bertemu Colombia, Jumaat lalu.


Di kedainya, 'World of Orixas' di kawasan kejiranan Madureira, utara Rio, Sillman menjalankan ritual ilmu hitam setiap kali sebelum perlawanan Brazil bermula.


Dengan menggunakan padang bola sepak kecil berbentuk kotak sebagai perantara ilmu hitamnya, dia meletakkan lilin yang dinyalakan mengikut warna kumpulan lawan dan patung voodoo pemain penting mereka.

Bagaimanapun, sumpahan Sillman ke atas bintang Colombia, James Rodriguez tidak mampu menghalang pemain itu menjaringkan gol dalam perlawanan yang menyaksikan pasukannya tewas 1-2 kepada Brazil dalam perlawanan suku akhir Jumaat lalu.

Selain itu, Sillman juga tidak berkuasa menghalang bintang Brazil Neymar daripada cedera tulang belakang ketika beraksi menentang Colombia, sekali gus memaksanya mengundur diri daripada perlawanan menentang Jerman.

Namun, Sillman berkata, keputusan perlawanan Brazil ketika menentang Cameroon, Chile, Croatia dan Mexico adalah hasil keberkesanan sihirnya.

"Brazil tidak berjaya dikalahkan oleh keempat-empat pasukan itu kerana sihir saya," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/08

Anak kecil pecah rahsia

Posted: 07 Jul 2014 09:35 AM PDT

Saint Paul (AS): Sepasang suami isteri ditangkap kerana menanam dan menghisap ganja selepas anak mereka membongkar kegiatan ibu bapanya.

Budak perempuan berusia sembilan tahun itu membuat laporan di balai polis mengenai kegiatan ibu bapanya baru-baru ini.

Dia dengan tenang memasuki balai polis di Barnesville, Minnesota dan menceritakan kepada pegawai bahawa ibu bapanya menanam ganja di bawah rumah mereka.

Menurutnya, dia membuat keputusan untuk mendapatkan bantuan selepas tidak tahan dengan bau asap ganja yang membuatnya sakit.

Foto

LADANG ganja di bawah rumah kanak-kanak itu.


Dia juga bimbang dengan kesihatan anjingnya kerana ibu bapanya sering menghembus asap ganja ke dalam mulut haiwan kesayangannya itu.


"Dia sangat berani, bijak dan fasih. Dia memberi keterangan seperti orang dewasa," kata jurucakap polis, Ryan Beattie.

Lebih mengagumkan, kata Beattie, budak itu lebih pintar berbanding kanak-kanak seusianya.

Dia menjelaskan dengan terperinci mengenai jenis dadah yang tidak mungkin diketahui kanak-kanak lain.

Pihak berkuasa menyerbu rumah terbabit dan polis menemui pokok ganja di tempat seperti yang diceritakan kanak-kanak berkenaan.

Turut ditemui ialah bahan yang diuji positif dadah jenis methamphetamine.

Setakat ini, polis belum menetapkan jenis tuduhan yang akan dikenakan ke atas pasangan suami isteri itu kerana masih menanti keputusan ujian makmal bagi mengesahkan tumbuhan dan bahan kimia yang ditemui di rumah itu.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/08

Hartawan derma harta RM6.56b

Posted: 07 Jul 2014 09:32 AM PDT

Beijing: Seorang hartawan mendermakan seluruh harta kekayaannya bernilai £1.2 bilion (RM6.56 bilion) kepada badan kebajikan tanpa meninggalkan sesen untuk isteri dan anak-anaknya.

Ketika muda, Yu Pengnian (gambar) bekerja sebagai pemandu beca yang tidak berwang, namun hidupnya berubah menjadi orang paling kaya di China ketika usianya 88 tahun.

Tanpa pengetahuan keluarga, Yu mendedahkan mengenai harta yang didermakan kepada badan kebajikan melalui sidang media.

Seluruh harta kekayaan itu diberikan kepada pertubuhan miliknya yang diusahakannya lima tahun dulu.

Foto


Wang itu disalurkan sebagai bantuan kepada pelajar, biasiswa, kerja pembinaan semula gempa bumi Sichuan dan pembedahan pesakit katarak yang sama sepertinya.


Dermawan yang menetap di Panglin, hotel lima bintang di Shenzhen itu bernasib baik kerana keputusannya mendapat sokongan keluarga. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/08

Jadi janda malam pertama

Posted: 07 Jul 2014 09:30 AM PDT

Riyadh: Seorang pengantin lelaki menceraikan isterinya pada malam perkahwinan mereka selepas menerima gambar intim wanita berkenaan daripada bekas kekasihnya.

Pasangan itu meraikan majlis perkahwinan mereka di sebuah hotel apabila pengantin lelaki itu diberi bunga dan sampul mengandungi kad memori di samping nota yang menggesanya melihat gambar isterinya dalam kad itu.

Kerana terkejut selepas melihat gambar itu, dia mengambil keputusan menceraikan isterinya ketika itu juga, lapor akhbar Sabq, memetik cerita seorang pendakwah, Shaikh Ghazi Bin Abdul Aziz Al Shammari.

Menurut laporan itu, pengantin perempuan dihubungi bekas kekasihnya empat hari sebelum majlis perkahwinannya.

Bekas kekasih wanita itu memaksa mereka bertemu malah mengancam mendedahkan hubungan mereka kepada bakal suaminya jika dia enggan berbuat demikian.

Wanita itu memberitahu bekas kekasihnya agar melupakan hubungan mereka kerana dia mahu menempuh hidup baru bersama suami dan mempunyai keluarga.

Rayuan wanita itu tidak diendahkan malah bekas kekasihnya yang tidak berpuas hati bertindak menghantar bunga bersama gambar pengantin perempuan yang mengakibatkan dia dicerai.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/08

Pilihan raya paling sengit

Posted: 07 Jul 2014 09:29 AM PDT

Tasikmalaya, Indonesia: Pilihan raya presiden paling sengit dan terkotor dalam demokrasi muda Indonesia akan ditentukan esok ini antara masjid dan sawah padu di Jawa Barat yang menjadi wilayah paling ramai dihuni di negara itu.

Bekas ketua pasukan khas tentera, Prabowo Subianto dan Gabenor Jakarta Joko Widodo (Jokowi) dilihat bersaing sengit, menjadikan pasaran ekonomi terbesar di Asia Tenggara berada dalam tekanan.

Seramai 190 juta pengundi Indonesia berdepan pilihan yang ketara, iaitu antara Jokowi yang - secara relatif kurang diuji - dengan Prabowo tokoh nasionalis yang memiliki pengalaman ketenteraan tetapi dibayangi dakwaan salah laku.

Pakar ekonomi OCBC Bank, Wellian Wiranto berkata, demokrasi muda di Indonesia berdepan cabaran kematangannya esok apabila pengundi turun beramai-ramai untuk membuat pilihan.

Pemilihan presiden kali ini adalah yang pertama membabitkan pertukaran kuasa daripada seorang presiden yang dilantik secara demokratik kepada tokoh lain - juga melalui proses yang sama.

Foto

KERETA perisai tentera meronda di Tanah Abang semalam sehari sebelum pemilihan presiden esok.


Presiden Susilo Bambang Yudhoyono - yang didakwa mengecewakan banyak pihak dalam tempoh empat tahun terakhirnya - mesti berundur Oktober ini selepas menamatkan dua penggal pemerintahannya.


Pengundian bermula di kepulauan terpencil di timur Indonesia dan berakhir di bahagian Barat yang lebih padat penduduknya.

Kiraan awal agensi pemantau boleh memberi bayangan hasil keseluruhan pemilihan kali ini.

Kemenangan Prabowo dijangka melemahkan pasaran kerana kebimbangan dia akan memperkenalkan dasar tegas di sektor kewangan dan pertanian.

Jika itu berlaku banyak projek besar-besaran dengan beban hutang akan dilancarkan.

Pasaran saham dan nilai rupiah merosot kira-kira empat peratus sejak pertengahan Mei lalu apabila populariti Jokowi mula menurun.

- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/08

Junta tentera: Keamanan selatan Thai diutamakan

Posted: 07 Jul 2014 09:26 AM PDT

Bangkok: Junta tentera Thailand berkata, keamanan di wilayah selatan negara itu yang didiami ramai penduduk Muslim adalah 'keutamaan mendesak' bagi negara berkenaan.

Mesej itu dikeluarkan seminggu selepas umat Islam berpuasa, serta beberapa hari selepas pegawai kanan tentera mengumumkan rancangan memulakan kembali rundingan damai bagi mencari keamanan di Pattani, Yala dan Narathiwat.

Setiausaha Agung Majlis Keamanan Dan Ketenteraman Awam Kebangsaan, Udomdet Sitabutr berkata, pemimpin junta Jen Prayuth Chan-ocha mahu langkah lebih tegas diambil bagi memastikan keamanan dicapai.

Jumaat lalu Prayuth berkata, junta tentera mahu menggunakan strategi politik berbanding taktik tentera di selatan Thailand.

Keganasan di tiga wilayah itu setakat ini mengorbankan lebih 6,000 orang sejak 2004.


Pemberontakan terhadap pentadbiran Buddha wujud sejak beberapa dekad lalu di Yala, Pattani dan Narathiwat yang pernah ditadbir kerajaan kesultanan Melayu Islam pada awal kurun ke-20.


Kerajaan Perdana Menteri Yingluck Shinwatra - yang diguling tentera Mei lalu - memulakan rundingan damai dengan Barisan Revolusi Nasional tetapi gagal.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/08

OPM ancam serang lokasi undi

Posted: 07 Jul 2014 09:26 AM PDT

Papua: Kumpulan pemisah Organisasi Papua Merdeka (OPM) mengancam untuk menyerang beberapa lokasi penting ketika pemilihan presiden esok.

Ancaman itu disebar melalui pesan ringkas sejak beberapa hari lalu oleh individu mengaku sebagai Panglima Divisyen 7 OPM Wilayah La Pago, Erimbo Enden Wanimbo.

Selain menyebarkan ancaman melalui pesanan ringkas, OPM juga menyebarkan risalah menggesa penduduk setempat memboikot pemilihan, sebaliknya mendesak pungutan suara mengenai nasib mereka diadakan.

Mengulas ancaman itu, Ketua Tentera Wilayah Cenderawasih Mej Jen Christian Zebua berkata, pihak berkuasa akan meningkatkan kawalan di pelbagai kawasan di Papua yang dianggap berisiko tinggi.

"Jika ada mana-mana pihak cuba mengancam ketenteraman, tentera akan bertindak tegas," katanya.


Walaupun begitu, Christian berkata tentera berharap tiada pertumpahan darah berlaku.


"Justeru sebaiknya tidak ada mana-mana pihak cuba mengganggu keamanan," katanya ketika ditemui.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/08

Hamas mahu balas dendam

Posted: 07 Jul 2014 09:23 AM PDT

Baitulmaqdis: Pejuang Islam Hamas yang memerintah di Gaza berazam membalas dendam terhadap Israel atas kematian tujuh anggotanya dalam satu serangan udara awal pagi semalam dalam pertempuran paling sengit sejak beberapa minggu lalu.

"Musuh kami akan menerima balasan atas perbuatan mereka," kata Hamas merujuk kepada Israel.

Difahamkan, tujuh terbabit maut di dalam terowong digunakan pejuang itu ketika serangan udara dilakukan.

Dua pejuang daripada kumpulan lain turut terbunuh dalam serangan berasingan. Menurut tentera Israel, mereka terbabit dalam serangan roket di selatan Israel.

Foto

ORANG ramai mengusung jenazah pejuang Palestin Marwan Salem yang terbunuh dalam serangan udara Israel, kelmarin.


Tentera Israel melakukan serangan udara di sekurang-kurangnya 14 lokasi termasuk menggunakan senjata pelancar roket tersembunyi dalam tempoh semalaman bagi membalas serangan dari Gaza. Beberapa roket dilepaskan ke arah Israel dari Gaza yang mengakibatkan seorang anggota tentera cedera. Menurut tentera Israel, pejuang Gaza menembak 25 roket ke arah Israel Ahad lalu.


Jurucakap tentera Leftenan Kolonel Peter Lerner berkata, serangan roket itu 'tidak wajar dan tidak boleh diterima'.

"Kami akan terus bertindak demi menumpaskan serangan Hamas yang membahayakan penduduk di selatan Israel," katanya.

Pejuang Gaza melakukan serangan roket terhadap Israel sejak beberapa minggu lalu.

Pasukan peronda tentera Israel diserang pagi semalam di sempadan Gaza. Tiada kecederaan dilaporkan.

Keadaan semakin tegang di Israel dan Palestin sejak tiga remaja Israel termasuk seorang warga Amerika Syarikat (AS) diculik di Tebing Barat, bulan lalu.

Minggu lalu, mayat remaja terbabit ditemui dalam keadaan ngeri di sebuah padang dan Israel mendakwa Hamas bertanggungjawab atas kejadian itu.

Hamas - yang pernah menculik orang Israel sebelum ini - memuji penculikan dan pembunuhan berkenaan namun tidak mengakui bertanggungjawab atas kejadian itu.

Bagaimanapun, tidak lama selepas remaja terbabit dikebumikan, seorang remaja Palestin warga AS Mohammed Abu Khdeir, 16, pula diculik berhampiran rumahnya dan mayatnya yang rentung ditemui tidak lama selepas itu di dalam hutan. Laporan bedah siasat awal menunjukkan dia dibakar hidup-hidup.

Polis Israel menahan enam suspek Yahudi berhubung kejadian itu yang menimbulkan rusuhan di Baitulmaqdis sebelum turut merebak ke bandar-bandar Arab di utara negara itu.

Kejadian yang menimpa Mohammed itu dikutuk pemimpin Israel termasuk Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang berjanji pihak bertanggungjawab akan dihukum mengikut undang-undang.- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/08

16 maut helikopter latihan terhempas

Posted: 07 Jul 2014 09:21 AM PDT

Hanoi: Seramai 16 maut dan lima cedera apabila sebuah helikopter tentera Vietnam terhempas di Hanoi ketika menjalani latihan.

Perkara itu disahkan timbalan komander tentera Leftenan Jeneral Vo Van Tuan, semalam.

"Pesawat membawa 21 orang itu terhempas ketika latihan payung terjun. Akibatnya 16 maut dan lima lagi cedera.

"Siasatan awal kami menunjukkan kejadian berlaku akibat masalah teknikal. Keadaan cuaca ketika itu baik dan memang tiada unsur sabotaj," katanya.


Pesawat Mi-171 buatan Russia berkenaan terhempas pada waktu awal pagi di daerah Thach That di barat Hanoi.


Menurut saksi, helikopter itu dipercayai mengalami masalah sebelum terhempas ke bumi dan terbakar.
on condition of anonymity.

"Saya terdengar bunyi pelik lalu terus berlari keluar untuk menyiasat dan sempat melihat pesawat itu meletup. Api marak dan saya melihat asap tebal.

"Pesawat itu memang terbang rendah sebelum terhempas dan meletup pada masa sama," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/08

60 tahanan Boko Haram lolos diri

Posted: 07 Jul 2014 09:21 AM PDT

Maiduguri, Nigeria: Lebih 60 wanita dan remaja perempuan yang diculik Boko Haram bulan lalu di timur laut Nigeria dilaporkan berjaya melepaskan diri daripada tahanan, tetapi 200 pelajar perempuan masih ditahan kumpulan berkenaan.

Penduduk tempatan, Abbas Gava yang bekerjasama dengan pihak keselamatan di Borno berkata, dia menerima maklumat berkenaan daripada rakannya yang mengatakan 63 daripada wanita serta remaja perempuan yang diculik sudah pulang ke rumah masing-masing.

"Mereka memberanikan diri dan mengambil kesempatan melepaskan diri ketika penculik keluar untuk melaksanakan operasi," katanya dalam satu kenyataan.

Pertempuran berlaku antara tentera dan kumpulan pemberontak itu Jumaat lalu selepas serangan dilakukan Boko Haram di Damboa yang menyebabkan 53 anggotanya dan enam askar terbunuh.


Pemberontak berkenaan menyerang berek dan stesen polis ketika tentera keluar melakukan rondaan di kampung-kampung berhampiran.


Sementara itu, aktivis pergerakan Bring Back Our Girls cuba berarak ke istana presiden di Abuja, kelmarin untuk memberi tekanan kepada kerajaan berhubung nasib lebih 200 pelajar perempuan yang diculik di Chibok pada 14 April lalu, namun diarahkan pulang oleh pasukan keselamatan.

"Sudah 83 hari berlalu sejak mereka diculik. Kami berarak selama 68 hari namun tiada siapa pun mendengar desakan kami jadi kami sepakat membawa protes ini ke kediamannya supaya dia tahu kami masih tidak putus harapan," kata aktivis Aisha Yesufu, semalam.

Daripada 276 pelajar perempuan yang diculik April lalu, 57 berjaya menyelamatkan diri manakala 219 masih hilang. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/08

No comments:

Post a Comment