Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


PDRM lepas Dollah

Posted: 03 Jul 2014 11:15 AM PDT

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) boleh menarik nafas lega apabila hasrat mereka untuk melantik Dollah Salleh selaku ketua jurulatih kebangsaan akhirnya tercapai selepas mendapat lampu hijau Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perkara itu disahkan Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak PDRM Datuk Muhammad Fuad Abu Zarin selepas kata putus dicapai menerusi pertemuan Dollah dengan penaung persatuan itu, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi kelmarin.

"Dollah mengadakan pertemuan dengan menteri (Zahid) semalam (kelmarin) dan beliau bersetuju melepaskan Dollah demi menjalankan tugas bersama skuad kebangsaan. Bagaimanapun mengenai baki kontrak bersama PDRM sehingga November ini, perkara itu akan diselesaikan kemudian.

"Buat sementara ini, Dollah masih bersama PDRM bagi mengatur persiapan menghadapi Piala Malaysia hingga beliau melapor diri dengan skuad kebangsaan," katanya kepada Arena Metro semalam.

Foto

DOLLAH


Sebelum ini pihak pengurusan PDRM belum membuat keputusan rasmi sama ada mahu melepaskan Dollah, 50, untuk membimbing skuad kebangsaan walaupun pengendali itu menyatakan kesediaan menerima tawaran kontrak dua tahun oleh FAM.


Pasukan juara Liga Perdana itu berat untuk memutuskan ikatan kontrak dengan bekas penyerang kebangsaan itu memandangkan mereka masih memerlukan khidmatnya bagi kempen Piala Malaysia yang bakal bermula 19 Ogos depan.

Muhammad Fuad mengakui pihaknya belum memikirkan calon pengganti Dollah buat masa ini dan mengharapkan barisan kejurulatihan sedia ada mampu menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan itu.

"Kami belum mencari pengganti kerana masih mempunyai penolong jurulatih Azman Adnan dan beberapa jurulatih lain yang diharap boleh mengendalikan pasukan ini untuk menerusi misi kempen Piala Malaysia," katanya.

Sementara itu Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan Dollah belum lagi menandatangani kontrak sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya walaupun secara lisan PDRM bersedia melepaskannya.

Dollah menjadi pilihan FAM bagi menggantikan Datuk K Rajagobal yang tamat kontrak pada 31 Disember lalu untuk membimbing skuad kebangsaan dan ujiannya yang pertama menanti di Piala AFF pada November ini.

Berikutan kejayaannya sebagai jurulatih di pentas domestik termasuk memenangi tiga kejuaraan Piala Malaysia bersama Selangor MPPJ, Selangor dan Pahang, Dollah berjaya mengetepikan calon import dari Jerman Wolfgang Sidka dan Gert Engels.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/04

Tiada hitam putih...

Posted: 03 Jul 2014 11:13 AM PDT

Kuala Lumpur: Keengganan pengurusan kelab hoki Terengganu HT melepaskan dua aset bernilai mereka Mohd Faizal dan Mohd Fitri Saari mendapat restu Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang menyifatkan tindakan kelab dari Pantai Timur itu tepat.

Setiausaha Agung MHC Datuk Mohd Johari Abdul Aziz berkata, hingga kini badan induk itu masih belum menerima sebarang tawaran rasmi daripada mana-mana kelab di Belanda di samping memperakui adik-beradik itu memiliki kontrak yang sah bersama Terengganu HT sehingga 2015.

"Hingga kini kami (MHC) atau mereka (Terengganu HT) belum menerima apa-apa hitam putih daripada kelab Belanda yang dikatakan menawarkan kontrak kepada mereka.

"Tapi, pada masa sama, saya juga tidak salahkan Terengganu HT kerana dalam kontrak, Faizal dan Fitri sah milik mereka.

Dalam kes ini kita perlu menghormati perjanjian yang sudah ditandatangani antara pemain dan majikan.

"Memang kami hendak lihat dan galakkan pemain beraksi di luar negara, tapi jika pemain itu sudah terikat dengan mana-mana pasukan, payah sikit.

"Namun, saya percaya perkara ini boleh dibawa berbincang.


Sekiranya mereka prihatin mengenai perkembangan hoki negara, mereka pasti akan beri kerjasama demi pembangunan sukan ini," katanya kepada Arena Metro, semalam.

Menerusi pendedahan Arena Metro sejak Selasa lalu, dilaporkan Faizal dan Fitri, dua tonggak penting skuad kendalian Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mendapat perhatian kelab utama dalam divisyen satu Belanda yang bersedia menawarkan kontrak semusim kepada mereka.

Fitri yang juga bekas kapten skuad remaja Piala Dunia di India tahun lalu, dikatakan berada dalam dilema untuk menerima pelawaan kelab Belanda itu memandangkan dia bersama abangnya masih mempunyai kontrak di samping sudah menerima gaji penuh semusim dari Terengganu HT.

Bagaimanapun, Johari tidak menolak kemungkinan pertindihan waktu berlangsungnya Liga Kebangsaan dengan Liga Eropah antara penyebab masalah yang timbul itu.


"Saya akui masalah pertindihan masa liga kita dengan negara luar menjadi punca kemelut ini.

Memang MHC sendiri ada berbincang untuk ubah tarikh liga.

"Presiden juga sedia maklum dengan situasi ini.

Isu ini selalunya setiap dua tahun kami akan menilai semula dan apa pun pihak kami menanti perancangan jurulatih (Muhammad Dhaarma Raj Abdullah) baru kami dapat tengok balik apa yang perlu dibaiki," katanya.

Berdasarkan jadual terkini, Liga Hoki Kebangsaan bakal membuka tirainya pada 7 September hingga Disember ini, manakala Liga Belanda pula bermula 24 September.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/04

Pemilihan PESTAK sah, ikut prosedur

Posted: 03 Jul 2014 11:12 AM PDT

Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Negeri Kedah (PESTAK) menegaskan pemilihan pucuk pimpinan baru yang berlangsung pertengahan bulan lalu, sah dan mengikut prosedur ditetapkan.

Kenyataan itu menepis dakwaan Aiman Mohd Noor yang mendakwa sebaliknya dan menegaskan beliau masih lagi Naib Presiden 1 PESTAK serta menjadi wakil negeri itu sebagai Ahli Majlis Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

Menurut Setiausaha Kehormat PESTAK Syed Husin Syed Abu Bakar, surat bagi mengadakan pemilihan baru pada mesyuarat agung tahunan (AGM) dikeluarkan pada 25 Mei lalu kepada semua ahli gabungan badan induk negeri itu.

"Majoriti ahli gabungan hadir pada pemilihan pucuk pimpinan baru pada 14 Jun lalu.

Empat daripada lima ahli gabungan hadir kecuali dari Kuala Muda (yang dipimpin Aiman).

Malah, wakil Majlis Sukan Negeri Kedah dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah turut hadir.


Ketika mengadakan mesyuarat untuk menetapkan tarikh AGM, beliau juga tidak hadir.

"Apabila pemilihan AGM diadakan dan beliau tidak hadir serta tidak terpilih sebagai ahli jawatankuasa induk peringkat negeri bermakna segala jawatannya terbatal dengan sendirinya, termasuk sebagai Ahli Majlis PSM.


"Kami sudah memaklumkan kepada PSM bahawa PESTAK sudah mempunyai jawatankuasa induk dan Ahli Majlis PSM baru bagi mewakili Kedah dalam masa terdekat," katanya.

Aiman menerusi laporan Arena Metro semalam mendakwa, pemilihan pucuk pimpinan PESTAK yang baru tidak sah dan sudah mengemukakan laporan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) untuk disiasat.

"Terpulang kepada beliau untuk membawa kepada PPS bagi kepuasannya," kata Syed Husin.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/04

Karnival basikal lasak pintar

Posted: 03 Jul 2014 11:11 AM PDT

Putrajaya: Akhbar nombor satu, Harian Metro dengan kerja sama Tourism Malaysia akan menganjurkan perlumbaan basikal lasak Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2014 Cuti-Cuti 1Malaysia untuk kali kedua bermula di Perak, Ogos ini.

Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Datuk Musa Yusof berkata, kerjasama itu diteruskan selepas melihat kejayaan memberangsangkan pada penganjuran pertamanya tahun lalu.

Beliau berkata, pihaknya juga yakin kerjasama itu dapat membantu melonjakkan usaha Tourism Malaysia mempromosi lokasi pelancongan terkenal di negara ini selain menyemarakkan kemeriahan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2014.

"Kami menyifatkan kerjasama dengan Harian Metro sebagai perkongsian pintar selain mahu memanfaatkan medium pengiklanan dan promosi serta reputasi akhbar berkenaan sebagai akhbar yang mempunyai jumlah pembaca dan edaran tertinggi di negara ini.

"Kami juga mahu acara berkenaan menjadi pemangkin program pelancongan berbasikal, Cuti-Cuti 1Malaysia (CC1M) Bike Ride yang mula diperkenalkan sejak tahun 2011," katanya ketika ditemui pada taklimat acara itu di sini semalam.

Hadir sama Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar, Pengarang Ekonomi/Teknologi Maklumat Harian Metro Husain Jahit, Pengurus Projek Harian Metro Abdul Kadir Hamza dan Pengarang Berita Harian Metro Noor Azam Abdul Aziz.

Katanya, pihaknya melihat program berkenaan mampu menarik minat orang ramai kerana aktiviti berbasikal kini sudah menjadi gaya hidup kebanyakan masyarakat di negara ini.

Musa berkata, bagi setiap venue program itu, pihaknya akan cuba mempromosi lokasi pelancongan terkenal di sekitarnya.

Menurutnya, kedua-dua pihak semalam bersetuju memilih lima lokasi penganjuran membabitkan di Perak (23-24 Ogos), Pahang (26-27 September), Pulau Pinang (25-26 Oktober), Melaka (29-30 November) dan Selangor (27-28 Disember).

Foto

MUSTAPA (tiga dari kiri) menerima dokumen dari Musa (tiga dari kanan) selepas taklimat di Putrajaya, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/04

Detik baru tenis

Posted: 03 Jul 2014 11:09 AM PDT

London: Roger Federer dan Novak Djokovic bakal berdepan pemain muda, Milos Raonic dan Grigor Dimitrov untuk merebut tempat ke final Wimbledon, detik yang mungkin merubah cabaran tenis lelaki dunia.

Dalam tempoh 24 jam di Kelab All England, saingan separuh akhir hilang serinya apabila Rafael Nadal dan juara bertahan Andy Murray tersingkir.

Tiba-tiba muncul nama Dimitrov dan Raonic dan mereka mengesahkan kehadiran generasi baru yang bakal mewarnai arena tenis pada masa depan.

Namun pilihan untuk muncul pemenang tetap memihak kepada Federer dan Djokovic.

Foto

FEDERER bakal uji ketahanan Raonic.


Federer menjuarai Wimbledon tujuh kali dan memegang rekod 17 gelaran utama selain beraksi di separuh akhir Grand Slam buat kali ke-35 sepanjang kariernya dan kesembilan di Kelab All England.


Gelaran Wimbledon 2011 yang dimiliki Djokovic salah satu daripada enam koleksinya dan bakal beraksi di separuh akhir ke-23 Grand Slam dan kelima berturut-turut di venue sama.

Dimitrov dan Raonic, masing-masing berusia 23 tahun, belum pernah mencapai apa-apa kejayaan.

Federer yang tersingkir di pusingan kedua tahun lalu, mempunyai rekod kemenangan 4-0 ke atas Raonic, pemain Kanada pertama layak ke separuh akhir dalam tempoh 106 tahun.

Walaupun nafsunya untuk merangkul gelaran kelapan tetap tebal, Federer meluahkan kegembiraannya menyaksikan muka baru pada kejohanan kali ini.

"Persembahan mereka semakin bagus. Kini kita akan lihat mereka di separuh akhir dan bukannya suku akhir atau peringkat lebih rendah berbanding sebelum ini," katanya.

"Memang sukar bagi pemain muda untuk konsisten kerana ramai pemain ternama menyertai kejohanan ini."

Federer menjadi pemain pilihan ketika menentang Raonic yang menewaskan Nick Kyrgios di suku akhir.

"Dia mempunyai servis yang mantap serta pantas," kata Federer, 32.

"Faktor itulah yang membolehkannya berjaya hingga ke tahap ini. Saya sudah beberapa kali menyaksikan persembahannya."- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/04

Petra buru juara

Posted: 03 Jul 2014 11:07 AM PDT

London: Bekas juara Petra Kvitova melangkah ke final Wimbledon selepas mencatat kemenangan 7-6 (8/6), 6-1 ke atas rakan senegara, Lucie Safarova.

Satu-satunya kemenangan Grand Slam Petra ialah ketika menjulang Wimbledon pada 2011 dan pilihan keenam itu dan kini cuma selangkah sebelum kembali bergelar juara apabila menundukkan pilihan ke-23, Lucie dalam tempoh 80 minit di gelanggang tengah.

Pemain berusia 24 tahun itu kembali ke final Grand Slam buat kali pertama selepas mengejutkan Maria Sharapova di Kelab All England tiga tahun lalu.

Petra akan menentang pilihan ke-13 dari Kanada, Eugenie Bouchard atau pemain nombor tiga dunia dari Romania Simona Halep di final, esok.

"Ia perlawanan hebat.

Ia memang hebat.

Banyak emosi yang saya korbankan untuk perlawanan ini," kata Petra.

"Ia perlawanan yang sukar kerana Lucie adalah rakan baik saya dan kami saling faham corak permainan masing-masing.


Saya tahu dia pasti bermati-matian dan saya gembira dapat mengatasinya.

"Saya cuba menumpukan perhatian ketika tie-break dan selepas itu saya dapat melakukan servis dengan baik." Ketika dia muncul satu-satunya bekas juara yang masih tinggal bersaing, Petra sedar dia mempunyai peluang cerah untuk sekali lagi menjulang Wimbledon.

"Saya faham perasaan itu akan hanya dirasakan selepas anda menjulang trofi," katanya.


"Saya mahu memenangi gelaran kedua dan saya akan melakukan apa saja untuk memastikan ia menjadi milik saya Sabtu ini." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/04

Sanchez pengacau!

Posted: 03 Jul 2014 11:06 AM PDT

London: Alexis Sanchez sedia untuk mengganggu usaha Barcelona mendapatkan khidmat Luis Suarez apabila enggan menyarung jersi Liverpool.

Barca berminat menggunakan pemain antarabangsa Chile itu sebagai 'tawaran tambahan' dalam usaha memburu Suarez, tetapi Sanchez difahamkan lebih gemar berpindah ke kelab musuh, Arsenal.

Pengurus Gunners Arsene Wenger pula sedia menunaikan hasrat pemain Amerika Selatan itu dengan melancarkan bidaan bagi mendapatkan pemain tengah menyerang itu.

Pegawai Barca tiba di London semalam untuk memulakan rundingan formal dengan Liverpool berhubung minat mereka terhadap Suarez.

Foto

SANCHEZ (kiri) minat sertai Arsenal.


Liverpool yang berminat dengan Sanchez, meminta bayaran £80 juta (RM437.6 juta) untuk Suarez musim panas ini.


Kelab Catalan itu pula sedia menggunakan Sanchez yang bernilai £30 juta (RM164.1 juta) sebagai 'pemanis' terhadap tawaran mereka mendapatkan Suarez.

Namun Sanchez tampak seperti memperlekehkan perpindahan ke Anfield itu kerana hatinya lebih berat untuk berpindah ke Stadium Emirates.

Ini bermakna hanya perjanjian tunai terus untuk Suarez mungkin sudah memadai bagi memujuk Liverpool menjual penyerang prolifik mereka.

Sumber rapat dengan Sanchez memberi gambaran pemain berusia 25 tahun itu lebih suka berpindah ke London, sekali gus menjadikan Arsenal sebagai pendahulu utama mendapatkan khidmat pemain berbakat itu.

Pegawai Barca kelmarin menunjukkan minat terhadap Suarez apabila memuji penyerang Liverpool itu berhubung kontroversi menggigit.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/04

Van Gaal suruh jual Fellaini

Posted: 03 Jul 2014 11:04 AM PDT

Brasilia: Aksi Marouane Fellaini pada kempen Piala Dunia menjadi pentas pemerhatian bakatnya untuk saingan Liga Perdana Inggeris apabila pengurus baru Manchester United Louis van Gaal mengarahkan kelab berkenaan menjual pemain tengah itu.

Fellaini yang gagal menyerlah pada musim pertama di Old Trafford penggal lalu, menjaringkan gol apabila dimasukkan sebagai gantian pada perlawanan pembukaan Belgium di Brazil.

Sejak itu dia bermain sepenuh masa dalam tiga kemenangan berikutnya.

Namun Van Gaal difahamkan memberitahu teman rapatnya, Fellaini 'bukan pemain yang sesuai untuk United' dan mengarahkan ketua eksekutif Ed Woodward menjualnya sebelum musim bermula.

Sumber di Old Trafford mendedahkan Van Gaal minggu ini, sudah memberi gambaran jelas pemain yang beliau mahu dan sudah memberitahu Woodward mengenai perkara itu.

Sekarang timbul persoalan sama ada United boleh menjual Fellaini untuk harga sekitar £27 juta (RM147.8 juta) yang mereka bayar apabila membelinya dari Everton, September lalu.

Berikutan Belgium akan bertemu Argentina di suku akhir Piala Dunia, Fellaini mungkin tidak menyertai United dalam jelajah dua minggu mereka ke Amerika Syarikat bermula 21 Julai ini.

Sehubungan itu, dia juga mungkin tidak berpeluang untuk mengagumkan Van Gaal bagi mengubah pendapat jurulatih warga Belanda itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/04

Dominasi Liga Inggeris

Posted: 03 Jul 2014 11:03 AM PDT

Brasilia: Liga Perdana Inggeris menampilkan lebih ramai pemain liga itu beraksi di suku akhir Piala Dunia berbanding liga lain, sekali gus menunjukkan kelab terkemuka England masih antara yang terbaik apabila membabitkan kualiti bertaraf dunia.

Namun ketika kelab Inggeris masih dianggap paling berjaya di Brazil setakat ini, Bayern Munich, seperti selalu, berada di atas dengan 10 pemain mereka masih beraksi dalam temasya berprestij itu.

Gergasi Jerman mempunyai lebih ramai pemain beraksi dalam Piala Dunia berbanding pasukan lain dengan Bayern saja menyumbang tujuh pemain bintang kelab berkenaan.

Arsenal dan Chelsea pula mendahului kelab Inggeris dengan masing-masing mempunyai lapan dan tujuh pemain sekali gus menyaksikan mereka menguasai tempat di belakang kelab juara Jerman itu.

Kedua-dua kelab Manchester, musuh London Tottenham dan kelab bimbingan Alan Pardew, Newcastle turut berada dalam 20 kelab teratas.

Kegagalan Sepanyol di Piala Dunia bagaimanapun memberi kesan terhadap kelab gergasi negara itu, Real Madrid dan Barcelona untuk menempatkan diri dalam ranking teratas dan jika mereka mara ke suku akhir, pencabar tradisi La Liga itu mungkin boleh berbangga dengan masing-masing mempunyai lapan dan sembilan pemain.

Finalis Liga Juara-Juara Atletico Madrid agak mengejutkan apabila gagal berada dalam senarai 20 kelab teratas Piala Dunia manakala La Liga berada di tempat kelima terbaik dunia di belakang England, Jerman, Itali dan Perancis.

Angka itu menyemarakkan perbalahan berpanjangan mengenai negara yang memiliki liga terbaik dunia.

Ketika Liga Perdana Inggeris sudah lama mendakwa mereka yang terbaik, kemenangan berganda kelab Jerman dan final Liga Juara-Juara yang membabitkan dua kelab Sepanyol membuatkan dakwaan itu dipersoalkan.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/04

'Bangkit jika mahu mara'

Posted: 03 Jul 2014 11:01 AM PDT

Belo Horizonte, Brazil: Argentina beraksi di bawah keupayaan sebenar, terlalu bergantung kepada Lionel Messi dan mesti bangkit jika mahu menewaskan Belgium di suku akhir Piala Dunia, kata Diego Maradona.

"Kami sebenarnya masih belum mempamerkan corak permainan sebenar," kata Maradona yang menang Piala Dunia 1986 bersama Argentina ketika membuat analisis terhadap persembahan pasukannya setakat ini di Brazil.

"Mereka perlu faham kita tidak boleh bergantung kepada 'Sporting Messi'.

Mungkin dia boleh menjaringkan gol hebat, tapi jika gagal melakukannya, kita tidak boleh menganggap seolah-olah dia bersalah dan bertanggungjawab terhadap kekalahan Argentina." Maradona yang pernah menjadi jurulatih Argentina pada Piala Dunia lalu apabila mereka tersingkir di suku akhir bercakap kepada televisyen Venezuela selepas Argentina menewaskan Switzerland, minggu ini.

Komennya dilaporkan secara meluas dalam media Latin Amerika, semalam.

Beliau berkata, Argentina yang mempunyai ramai nama besar hanya bermain 40 peratus daripada keupayaan sebenar dan mengkritik mereka kerana hanya menang tipis 1-0 dengan gol minit terakhir masa tambahan.

"Jika dinilai pemain dengan pemain, secara keseluruhan Argentina lebih bagus.


Pemain Switzerland hanya lebih berminat memerhati saja, tapi mereka juga ada beberapa pemain berkualiti," kata Maradona yang kerap mengeluarkan kenyataan berbaur kontroversi.

Argentina yang berlatih di stadium tertutup di pangkalan mereka di Belo Horizonte sebelum terbang ke Brasilia untuk aksi menentang Belgium, menang semula tiga perlawanan peringkat kumpulan untuk mara ke pusingan kedua.

Messi dinobat pemain terbaik bagi setiap perlawanan itu selepas menjaringkan empat daripada tujuh gol yang dijaringkan Argentina.


Namun kemenangan itu selalunya dengan julat satu gol yang diselangi persembahan kurang menyerlah pemain lain.

"Budak itu (Messi) sentiasa berseorangan, pasukan itu tidak mempunyai rentak dan pergerakan dalam barisan serangannya," kata Maradona yang menganggap pemain lain gagal bermain mati-matian dalam semua perlawanan.

"Saya kecewa, marah kerana Argentina sebenarnya boleh bermain jauh lebih baik.

Jurulatih harus menekankan perkara ini.

Jika mereka tidak bangkit ketika menentang Belgium, kita mungkin menghadapi masalah," katanya.

Argentina pernah menang Piala Dunia dua kali dan begitu berhasrat untuk menjulangnya buat kali ketiga di tanah air musuh ketat mereka, Brazil.

Beribu-ribu penyokong biru putih Argentina sudah menyeberangi sempadan untuk menyokong pasukan mereka.- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/04

No comments:

Post a Comment