Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Saya setuju!

Posted: 01 Jul 2014 10:16 AM PDT

Kuala Lumpur: Dollah Salleh (gambar) berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat mencari jalan penyelesaian terbaik mengenai kontraknya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila beliau menyatakan kesediaan memikul tugas selaku ketua jurulatih kebangsaan.

Bagaimanapun bekas penyerang kebangsaan berusia 50 tahun itu berkata, beliau hanya akan bersetuju menandatangani kontrak dua tahun ditawarkan FAM itu sekiranya mendapat pelepasan PDRM memandangkan kontraknya hanya akan berakhir November ini.

Dollah turut menegaskan tidak akan membimbing juara Liga Perdana PDRM bagi kempen Piala Malaysia yang bakal bermula Ogos ini sekiranya sudah bersama skuad Harimau Malaya.

"Saya tidak boleh memimpin dua pasukan dalam satu masa yang sama. Saya percaya FAM dan PDRM akan membuat keputusan yang lebih baik. Jika saya sudah mendapat pengesahan secara rasmi, saya hanya fokus satu pasukan," katanya.

Foto
Foto

DETIK manis Dollah (belakang, lima dari kanan) ketika menjulang trofi Liga Perdana bersama PDRM FC.


Penantian untuk melihat jurulatih baru membimbing skuad kebangsaan terjawab Sabtu lalu apabila FAM menerusi Mesyuarat Exco pertama bagi penggal 2014-2018 membuat keputusan bersetuju melantik Dollah menggantikan Datuk K Rajagobal yang kontraknya tamat pada 31 Disember lalu.


Walaupun FAM sebelum ini lebih berminat mencari jurulatih import, Dollah akhirnya menepati cita rasa badan induk itu yang mengetepikan dua calon dari Jerman Wolfgang Sidka dan Gert Engels.

Bagaimanapun pengumuman dibuat FAM itu mengundang persoalan apabila tiada perbincangan rasmi dibuat FAM bersama Dollah dan juga majikannya PDRM.

Dalam laporan Arena Metro sebelum ini, pihak pengurusan PDRM menyatakan mereka hanya menyerahkan segala keputusan di tangan Dollah dan bersedia melepaskan pengendali itu untuk bersama skuad kebangsaan.

Namun mereka tetap berharap FAM dapat mempertimbangkan agar Dollah masih boleh membimbing PDRM sehingga tamat kempen Piala Malaysia ini.

Ternyata situasi itu membuatkan Dollah berasa tersepit.

"Ikut kiri salah. Ikut kanan pun salah. Saya tidak boleh berikan jawapan lebih tepat kerana saya sendiri masih menunggu kata putus daripada FAM dan PDRM. Tapi saya difahamkan, FAM sedang berbincang dengan PDRM dan mereka perlu mencapai keputusan segera bagi meleraikan kekusutan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/02

'Kami masih perlu Dollah'

Posted: 01 Jul 2014 10:11 AM PDT

Shah Alam: Persatuan Bolasepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FA) mengakui berat untuk melepaskan pengendalinya Dollah Salleh, tetapi pada masa sama menyerahkan kepada jurulatih kebangsaan itu memilih hala tujunya sendiri.

Sambil menekankan pengalaman jurulatih berusia 50 tahun itu amat ditagih bagi memacu pasukan The Cops, Penaung PDRM FA Datuk Seri Dr Zahid Hamidi berkata, mereka menghormati pemilihan Dollah itu.

"Kami menghormati keputusan Mesyuarat Exco FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) yang memilih Dollah menjadi jurulatih skuad kebangsaan.

"Tetapi, ketika kami memikirkan soal nasional, pada masa sama Dollah turut memiliki kontrak dengan PDRM hingga tahun depan.

Foto

DOLLAH (dua dari kiri) perlu memilih antara PDRM atau Harimau Malaya.


"Terpulang kepada Dollah sama ada mahu menyumbang tenaga di peringkat nasional atau PDRM. Tapi bagi kami, PDRM amat memerlukan khidmat Dollah," katanya ketika ditemui di majlis berbuka puasa di IPK Shah Alam, semalam.


Ketika ditanya calon pengganti paling sesuai jika Dollah berubah angin memilih haluan untuk bersama Harimau Malaya, Zahid berkata, "Beliau (Dollah) belum buat apa-apa keputusan lagi, jadi kami belum berfikir mencari pengganti."

Sabtu lalu, FAM menerusi Timbalan Presiden Datuk Affandi Hamzah mengumumkan pelantikan Dollah selaku jurulatih skuad negara dengan kontrak dua tahun.

Pelantikan Dollah yang menjulang tiga kejuaraan Piala Malaysia bersama Selangor MPPJ, Selangor dan Pahang dianggap pilihan terbaik dimiliki FAM ketika ini dengan dua calon import dari Jerman, Wolfgang Sidka dan Gert Engels sudah diketepikan.

Namun Dollah mempunyai baki kontrak bersama skuad juara Liga Perdana itu hingga November dan PDRM berharap mereka dapat menggunakan khidmat jurulatih kelahiran Melaka itu bagi kempen Piala Malaysia bermula Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/02

Khairy 'restu' pilihan FAM

Posted: 01 Jul 2014 10:08 AM PDT

Kuala Lumpur: Pemilihan Dollah Salleh sebagai jurulatih skuad kebangsaan mendapat reaksi positif Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan menganggap keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tepat.

Khairy yang sebelum ini menggesa agar FAM segera membuat perlantikan jurulatih kebangsaan, mengucapkan tahniah kepada Dollah atas pelantikan itu, seterusnya menamatkan penantian selepas Datuk Ong Kim Swee melatih Harimau Malaya secara sementara bermula awal tahun ini.

"Saya ada dengar pelantikan itu selepas Mesyuarat Exco FAM Sabtu lalu dan saya menaruh harapan tinggi kepadanya (Dollah)," katanya di Majlis Penyampaian Skim Hadiah Kecemerlangan Sukan (SHAKAM) kepada skuad Piala Thomas 2014 semalam.

Menurutnya, beliau amat bersetuju dengan FAM yang mengambil keputusan untuk melantik jurulatih tempatan berbanding pengendali luar.


"Sebelum ini saya tidak setuju apabila mereka ingin melantik jurulatih luar negara kerana saya rasa tidak berbaloi berbanding dengan skuad yang sedia ada.


"Amat memadai untuk kita mendapat khidmat jurulatih tempatan, justeru saya ucap tahniah kepada Dollah dan mengharap beliau melakukan persiapan rapi menjelang Piala AFF Suzuki serta beberapa perlawanan lain," katanya.

Kemampuan Dollah terbukti baru-baru ini kerana membawa skuad Polis Diraja Malaysia (PDRM) muncul juara Liga Perdana seterusnya layak beraksi di Liga Super musim depan.

Dollah juga sebelum ini membawa Selangor MPPJ, Selangor dan Pahang muncul juara Piala Malaysia.

Pelantikan Dollah bukan saja mendapat reaksi positif dari menteri malah beberapa jurulatih tempatan termasuk Kim Swee.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/02

Tok Gajah mampu pertahankan gelaran

Posted: 01 Jul 2014 10:07 AM PDT

Kuantan: Kapten Pahang, Mohd Razman Roslan percaya skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu tetap mempunyai peluang mempertahankan Piala Malaysia tahun ini.

Menurutnya, undian diharap berpihak kepada Pahang kerana fokus utama adalah melepasi peringkat kumpulan sebelum memikirkan langkah seterusnya pada peringkat suku akhir.

"Saya harap kami tidak ditemukan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) atau Selangor pada peringkat suku akhir mahupun separuh akhir.

Namun, tumpuan utama adalah membentuk persefahaman mantap dalam kalangan pemain.

"Kembali menjalani latihan Khamis ini (esok) akan memperlihatkan kekuatan Pahang untuk memberikan saingan kepada pasukan yang bertanding," katanya semalam.

Mohd Razman berkata, namun tugas berat sememangnya menanti Pahang selaku juara Piala FA dan Piala Sumbangsih untuk mempertahankan Piala Malaysia yang dimenangi musim lalu.

Katanya, status juara bertahan tidak mengganggu tumpuan seluruh anggota pasukan untuk mengulangi pencapaian musim ini.

"Bagaimanapun, saya akui untuk mempertahankan Piala Malaysia bukan mudah.

Oleh itu saya mahu rakan sepasukan perlu mempersiapkan diri dengan lebih komitmen untuk menghadapi saingan getir dalam saingan piala berprestij ini."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/02

Tidak gentar jumpa Lin Dan

Posted: 01 Jul 2014 10:05 AM PDT

Kuala Lumpur: Kehadiran dan kebangkitan semula jaguh badminton China, Lin Dan menerima reaksi positif pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei yang meramalkan mereka akan bertemu semula tahun ini.

Ini membuktikan pemain perseorangan negara itu tidak gusar dengan kebangkitan Lin Dan yang baru saja memenangi Siri Super Terbuka Australia Ahad lalu dan berjanji mahu memberikan yang terbaik jika menentang Lin Dan.

"Memang bagus dia sudah kembali dan kami akan bertemu sesama sendiri lagi lepas ini," katanya pada Majlis Penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) kepada skuad Piala Thomas 2014 di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, semalam.

Selepas muncul juara Kejohanan Dunia di Guangzhou tahun lalu, Lin Dan mengambil keputusan berehat sementara sebelum kembali beraksi di Kejohanan China Masters, Apri lalu.

Lin Dan juga berada dalam skuad Piala Thomas 2014 New Delhi sebagai pemain perseorangan keempat namun China tewas di separuh akhir kepada juara, Jepun.

Dalam pada itu Chong Wei mengucapkan ribuan terima kasih kepada MSN dengan pemberian SHAKAM dan menganggap ia sebagai membangkit semangat buat semua jurulatih serta pemain.

"Selepas ini saya akan menumpukan perhatian untuk Sukan Komanwel 2014 Glasgow, Kejohanan Dunia dan Sukan Asia 2014 Incheon," katanya.

Ditanya mampukah Malaysia menyapu pingat emas di Sukan Komanwel nanti, Chong Wei berkata, ia akan memberikan tekanan tinggi kepada mereka namun dalam masa sama berjanji mempertahankan emas perseorangan dan berharap beregu lelaki serta beregu campuran turut beraksi cemerlang.

"Saya juga berharap pemain perseorangan dan beregu wanita beraksi baik agar kita meraih lebih banyak emas berbanding empat di New Delhi pada 2010," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/02

Pemain, jurulatih skuad Piala Thomas dihargai

Posted: 01 Jul 2014 10:04 AM PDT

Kuala Lumpur: Selepas timbul isu jurulatih dan pegawai sokongan Piala Thomas 2014 tidak menerima insentif, semalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) memberi penghargaan melalui Skim Galakan Jurulatih (SGAR).

Ini bermakna MSN memberi ganjaran RM16,000 iaitu jumlah keseluruhan kepada jurulatih dan pegawai sokongan selepas membantu skuad Piala Thomas muncul naib juara Mei lalu.

"Saya bagi kepada semua (jurulatih dan pegawai sokongan)," kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Majlis Penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) MSN di Bukit Jalil, semalam.

Sebelum ini Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hanya memberi insentif kepada skuad Piala Thomas saja dengan pemain diketuai Liew Daren, Datuk Lee Chong Wei, Chong Wei Feng, Goh Soon Huat, Tan Boon Heong, Hoon Thien How, Tan Wee Kiong, Goh V Sham, Lim Khim Wah dan Chan Peng Soon menerima RM25,000 setiap seorang.

Ia mendapat pelbagai reaksi mengenai jurulatih dan pegawai sokongan yang seolah-olah tidak dirai, namun pemberian SGAR sedikit sebanyak memberi semangat dan menggembirakan mereka yang turut menjadi sebahagian daripada skuad Piala Thomas.

Semalam, skuad Piala Thomas 2014 menerima SHAKAM dengan jumlah keseluruhan RM80,000, bermakna setiap pemain mendapat RM8,000.

Menurut Khairy, insentif yang diberikan sagu hati kepada pemain selepas mara ke saingan akhir dan walaupun tidak menang, usaha mereka tidak akan dilupakan.

"Pemberian ini diharap dapat menaikkan semangat pemain untuk memungut pingat di Sukan Komanwel 2014 Glasgow dan Sukan Asia 2014 Incheon," katanya.

Selain pemberian SHAKAM dan SGAR, MSN turut memberi RM8,000 kepada BAM melalui Skim Kecemerlangan Pengurusan Sukan (SIKAP).

Skuad Piala Thomas melepasi sasaran mara ke separuh akhir apabila mengejutkan ramai pihak dengan layak ke akhir namun tumpas 2-3 kepada Jepun dalam perlawanan di Kompleks Siri Fort, New Delhi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/02

Skuad boling padang sasar satu emas Sukan Komanwel

Posted: 01 Jul 2014 10:04 AM PDT

Shah Alam: Skuad boling padang negara menyasarkan satu pingat emas pada temasya Sukan Komanwel Glasgow 2014 selepas hanya meraih satu perak dan satu gangsa menerusi duo berpasukan wanita dan lelaki di New Delhi, India, empat tahun lalu.

Presiden Persekutuan Boling Padang Malaysia Datuk Wan Zawawi Ismail berkata, kehampaan pada 2010 mampu ditebus pasukan kali ini kerana persiapan yang begitu rapi dilakukan sebaik saja pulang dari temasya sama empat tahun lalu.

"Kami melihat potensi emas yang boleh disumbangkan melalui beberapa acara dan saya beranggapan peluang kita lebih baik bagi edisi kali ini.

"Kegagalan pada Sukan Komanwel edisi lalu akan menjadi azimat untuk melonjakkan skuad ini bagi mencapai sasaran ditetapkan dan rata-rata atlet semuanya bersemangat memberikan yang terbaik," katanya pada Majlis Berbuka Puasa bersama pasukan boling padang negara di Hotel Concorde di sini, semalam.

Sementara itu, pemenang gangsa empat tahun lalu yang juga ketua pasukan kali ini, Fairul Izwan Abdul Muin berjanji mempamerkan permainan terbaik bagi menebus kehampaan dengan menggondol emas dalam acara duo berpasukan.

"Saya mempunyai semangat dan azam baru dengan meletakkan sasaran lebih tinggi daripada pingat dimenangi di India.

"Saya yakin pasukan ini mampu mencapai sasaran ditetapkan persatuan berdasarkan prestasi semasa," katanya yang bakal membuat penampilan kali keempat dalam temasya Komanwel.

Sukan Komanwel Glasgow bakal membuka tirai pada 23 Julai, dengan skuad boling padang negara dijangka turun beraksi pada keesokan harinya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/02

Dhaarma terkejut, simpati

Posted: 01 Jul 2014 10:03 AM PDT

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah terkejut situasi menimpa Mohd Faizal Saari dan adiknya Mohd Fitri apabila terpaksa melupakan hasrat menyertai kelab di Liga Belanda yang bermula 24 Oktober ini.

Mohd Fitri antara pemain paling menyerlah ketika membawa cabaran negara di Piala Dunia baru-baru ini, difahamkan berada dalam dilema berikutan kontraknya bersama kelab tempatan Terengganu HT hanya tamat hujung tahun ini di samping sudah menerima bayaran RM11,000 untuk kontrak selama setahun itu.

"Mohd Fitri ada menunjukkan kepada saya dia mendapat mesej (pesanan khidmat ringkas) daripada sebuah kelab di Belanda yang menawarkan kontrak setahun kepadanya dan abangnya.

"Pihak mereka ingin bertemu membincangkan lebih lanjut kontrak itu, namun selepas saya membaca laporan akhbar hari ini (semalam), saya terkejut kerana Mohd Fitri mungkin terpaksa membatalkan hasrat bermain di sana.

"Bagi saya, apa yang berlaku memang kerugian kepada pembangunan sukan hoki negara.

Sepatutnya kelab Terengganu HT tidak boleh menghalang pemain beraksi di luar negara.

"Malah, kita perlu bantu pemain yang mendapat tawaran beraksi di Eropah.

Walaupun ikatan kontrak masih ada, bagi saya kelabnya harus berkorban demi kemajuan sukan hoki," katanya kepada Arena Metro, semalam.

Kelmarin Arena Metro melaporkan Mohd Fitri, 21, yang juga kapten pasukan remaja Piala Dunia Hoki di New Delhi tahun lalu, mungkin terpaksa melupakan impiannya bermain di pentas Eropah selepas aksi cemerlangnya dikesan pencari bakat yang turut berminat memikat abangnya.

"Saya masih ingat ketika di Belanda tempoh hari, saya ada tanya kepada pemain di bilik persalinan, jika ada tawaran bermain dengan kelab di sini adakah mereka sanggup menerima tawaran itu?.

"Mohd Fitri orang pertama berkata dia sanggup menyahut cabaran itu.

Foto

MOHD Fitri (kanan) terpaksa lupakan hasrat beraksi di Eropah.


Pada saya kita harus bantu Mohd Fitri terutama kelabnya untuk mencari jalan merealisasikan impian melihat anak tempatan beraksi di Eropah," katanya.

Dalam pada itu, usaha Arena Metro menghubungi Terengganu HT menemui jalan buntu apabila pegawai kelab itu gagal dihubungi bagi mendapatkan maklum balas mengenai hasrat kedua-dua pemain itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/02

Harap tuah senjata baru

Posted: 01 Jul 2014 10:02 AM PDT

Kuala Lumpur: Atlet menembak kebangsaan, Eddy Chew berharap tuah senjata baru untuk membuat kejutan pada Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland dari 23 Julai hingga 3 Ogos ini.

Atlet berusia 19 tahun itu tidak mahu mensia-siakan peluang beraksi buat kali pertama pada temasya sukan berprestij itu dalam dua acara iaitu 50m free pistol dan 10m air pistol.

Katanya dia akan menggunakan pistol baru yang diubah suai mengikut kesesuaian berbanding sebelum ini iaitu mengubah cengkaman pada pistol itu mengikut kesesuaian dan keselesaan tangan.

"Proses yang mengambil masa 12 jam itu memang rumit, tapi senjata itu lebih selesa digunakan sekarang," katanya.


Eddy memenangi pingat emas acara 50m free pistol individu lelaki pada penampilan pertamanya di Sukan SEA Myanmar tahun lalu.


Sebagai persiapan akhir ke Sukan Komanwel, skuad menembak negara akan menyertai Siri Kejohanan Piala Dunia ISSF selama 10 hari bermula hari ini di China.

Skuad menembak Malaysia meraih dua pingat emas menerusi gandingan Nur Suryani Mohamed Taibi dan Nur Ayuni Farhana Abd Halim dalam acara 10m air pistol berpasukan wanita dan Bibiana Ng bagi acara 10m air pistol individu wanita pada Sukan Komanwel di New Delhi empat tahun lalu. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/02

Relevan FC, MPHTJ meriah Piala Dunia

Posted: 01 Jul 2014 10:01 AM PDT

Melaka: Perlawanan bola sepak persahabatan mempertemukan pasukan Relevan FC Melaka dengan pasukan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit, mempamerkan aksi sengit kedua-dua pasukan, baru-baru ini.

Bagaimanapun, keputusan perlawanan berpihak kepada Relevan FC Melaka yang menewaskan MPHTJ 2-1.

Jurucakap Relevan FC Azman Ibrahim, 34, berkata, perlawanan persahabatan itu yang diadakan sebelum Ramadan bertujuan mengeratkan silaturahim sekali gus memperkukuhkan lagi hubungan baik kedua-dua pasukan.

Menurutnya, perlawanan persahabatan itu secara tidak langsung dipengaruhi kehangatan Piala Dunia.

"Walaupun cuma pasukan amatur, setiap pemain mempunyai idola masing-masing dalam pasukan yang bertarung pada pentas Piala Dunia.

"Kebanyakan peminat Pia la Dunia biasanya lebih cenderung menyaksikan setiap perlawanan di restoran dan kami tidak terkecuali apabila turut menzahirkan sokongan pada negara yang bertanding menerusi perlawanan persahabatan ini," katanya.

Sementara itu, Azman berkata, kedua-dua pasukan memperlihatkan semangat kesukanan tinggi.

"Semua pemain beraksi dalam suasana mesra tanpa mengambil kira keputusan diperoleh.

"Pasukan kami sudah mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan dengan pasukan tempatan termasuk pasukan Runner FC Seremban.

"Selain membina jasmani serta membersihkan rohani, aktiviti sukan turut dilihat mampu dijadikan sebagai antara medium mempertingkatkan hubungan silaturahim," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/02

No comments:

Post a Comment