Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Semuanya tinggal kenangan

Posted: 30 Jul 2014 01:00 PM PDT

"Beberapa hari sebelum kemalangan, ibu kelihatan gembira kerana langsir yang baru ditempahnya sudah siap. Namun, arwah hanya sempat mencuba memasang langsir itu pada tingkap rumah kami.

"Memang ibu kelihatan sangat teruja dan tidak sabar memasang langsir kerana mahu mencantikkan rumah sempena hari raya ini, tapi tidak sangka pula dia akan pergi sekelip mata dan lebih menyedihkan ibu pergi bersama ayah beberapa hari sebelum Aidilfitri," kata Erin Natasha Mohamad Ujang, 14.

Erin Natasha adalah anak sulung pasangan Mohamad Ujang Jantan, 42, dan Jamilah Iswan, 36, yang maut selepas motosikal dinaiki mereka untuk ke tempat kerja bertembung Perodua Viva di Jalan Bukit Cerakah, dekat Puncak Alam, di sini, 17 Julai lalu.

Mohamad Ujang dan Jamilah meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan kira-kira jam 8 pagi itu ketika pasangan terbabit mahu ke tempat kerja masing-masing di Bukit Jelutong dan Padang Jawa, Shah Alam.

Pemergian sekali gus ibu dan ayahnya itu menyebabkan Erin Natasha bersama dua lagi adiknya Farah Adriana, 12, dan Danesh Rifqi, 7, menjadi yatim-piatu sekelip mata dan dirundung kesedihan ketika umat Islam lain sedang gembira menyambut Aidilfitri.

Dia yang masih terkejut dengan kejadian itu berkata, sambutan Aidilfitri kali ini tidak bermakna kerana mereka kini tidak dapat memohon maaf dan mencium tangan ibu dan ayahnya pada pagi raya.

"Sememangnya persiapan raya tahun ini dilakukan ala kadar saja memandangkan kami baru kehilangan datuk Iswan @ Riduan Sadri, 64, pada hari pertama berpuasa.

"Setiap kali tiba Aidilfitri, kami sekeluarga akan bersama-sama ke Jalan Taiping, Klang untuk membeli persiapan raya seperti baju baru dan kuih yang dijual di situ.

Foto


Tetapi kini, semuanya hanya tinggal kenangan yang pasti tiada gantinya," katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Kerayong, Meru, di sini.

Ketika ditanya kenangan persiapan hari raya bersama arwah ibu bapanya, Erin Natasha berkata, ibunya antara orang paling sibuk menyiapkan segala kelengkapan.

"Ayah pula lebih tenang dan hanya membantu mengemas ruang tamu dan halaman rumah sementara kami tiga beradik akan membantu apa yang perlu.

"Sambutan hari raya puasa tahun ini tidak bermakna kerana tidak disambut bersama ibu dan ayah.


Segala persiapan hari raya juga masih tidak sempat dibuat kerana ayah dan ibu pergi mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/31

'Anak terkulai bagai ditembak'

Posted: 30 Jul 2014 12:17 PM PDT

"Ketika saya meletakkan motosikal tiba-tiba mercun bola jatuh dari atas pokok dipercayai dibaling seorang individu dan meletup betul-betul di depan kami berdua.

"Sebaik meletup, anak yang berada dalam dakapan saya itu terus terkulai layu bagaikan terkena tembakan sebelum saya bergegas ke Klinik Simpang Renggam untuk mendapatkan rawatan awal," kata Abdul Rahman Endot, 43, bapa kepada Mohd Hafi Rayan, 2, yang maut disebabkan terkena letupan mercun bola di Kampung Ithnin Maarof di sini, pada hari raya pertama.

Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari itu, mangsa bersama bapanya mengikut rombongan marhaban kawasan berkenaan berkunjung ke rumah penduduk.

Mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom, Kluang selepas dirujuk dari Klinik Kesihatan Simpang Renggam.

Ketika kejadian, rombongan berkenaan dikatakan tiba di kediaman terakhir kunjungan mereka yang juga terletak selang dua rumah daripada dua beranak berkenaan.

Abdul Rahman juga bercadang terus pulang ke rumahnya sejurus selesai urusan di situ dan meletakkan motosikalnya di bawah pokok untuk berteduh.

Kejadian itu juga menyebabkan Abdul Rahman cedera di muka, telinga dan mulutnya.

Menurut Abdul Rahman, anaknya yang bongsu daripada tiga beradik itu sebelum itu amat gembira kerana dapat bersamanya bertandang ke rumah jiran dan dari awal lagi merengek mahu mengikutnya bersama rombongan terbabit.

"Tak sangka, rupa-rupanya ia petanda dia meninggalkan kami buat selama-lamanya dan kami amat terasa dengan kehilangannya.

"Walaupun reda dengan ketentuan Ilahi, saya masih tidak dapat menerima bahawa kematian anak saya disebabkan kecuaian orang lain yang bermain mercun," katanya.

Abdul Rahman berkata, dia masih terbayang telatah anaknya itu terutama dengan gelagatnya memakai baju Melayu ketika pagi Aidilfitri.

Katanya, dia juga membuang semua gambar kenangan anaknya itu kerana tidak sanggup menatapnya lagi.

"Saya juga berkemungkinan mengalami masalah pendengaran di telinga kiri kesan daripada kejadian letupan mercun ini.

"Saya juga seakan-akan trauma setiap kali mendengar dentuman mercun dan mahukan pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya menyebabkan saya kehilangan anak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/31

Setiap hari ziarah kubur anak lemas

Posted: 30 Jul 2014 12:15 PM PDT

Kuala Pilah: "Ini adalah Aidilfitri pertama mak cik beraya tanpa adik (anak).

"Mak cik rindu dengan dia, setiap hari air mata ini tidak pernah kering untuk mengingatinya dan setiap hari juga mak cik dan suami akan pergi ke kuburnya," kata Minan Johan, 57, ibu kepada Allahyarham Muhamad Shazwan Abdullah, 20, peserta Festival Belia Negeri Sembilan yang lemas ketika mandi di Pantai Batu 1, Port Dickson, dekat sini, pada 17 Mei lalu.

Minan dan suaminya, Abdullah Mihat, 54, ditemui ketika menziarahi pusara Muhamad Shazwan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepis Hilir, di sini, semalam berikutan merindui anak bongsu daripada enam beradik itu.

Minan yang menggelarkan diri sebagai mak cik berkata, sejak kematian anaknya, kehidupannya begitu sunyi tambahan pula arwah insan yang paling rapat dengannya.

Katanya, kehilangan itu jelas dirasai kerana setiap kali Aidilfitri, Muhamad Shazwan individu penting yang membantunya di dapur untuk menyambut Hari Lebaran.

"Hari raya tahun ini mak cik tidak rasa apa-apa melainkan kerinduan dan terbayangkan wajah arwah.

Kalau di rumah di setiap ruang, hanya wajahnya yang mak cik nampak.

"Kalau Aidilfitri sebelum ini, arwah akan meminta mak cik masakkan rendang ayam, lemang dan ketupat, tetapi tahun ini tiada lagi, mak cik sedih," katanya.

Menurutnya, biarpun tidak lagi melihat kelibat Muhamad Shazwan, namun dirinya, suami serta keluarga reda dengan pemergian itu.

Katanya, bagi mengubati kerinduan, ahli keluarganya menyimpan gambar Muhamad Shazwan di dalam dompet masing-masing.

Menurut Minan, sejak kematian anaknya, dia dan suami setiap hari akan menziarahi kubur Muhamad Shazwan sejurus habis menoreh getah jam 10.30 pagi.

"Bukan hanya hari raya, tetapi pak cik dan mak cik setiap hari sedekahkan al-Fatihah kepada arwah kerana sayangkannya," katanya yang menyifatkan Muhamad Shazwan anak yang baik dan tidak melawan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/31

Israel tetap bedil sekolah kendalian PBB

Posted: 30 Jul 2014 12:14 PM PDT

Gaza City: Israel tetap menyerang sekolah kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menempatkan pelarian perang di Gaza walaupun sudah dimaklumkan ada orang awam di situ.

Jurucakap PBB Chris Gunness berkata, seluruh dunia memandang jijik perbuatan rejim Zionis berkenaan.

Menurut petugas Agensi Bantuan PBB itu, Israel dimaklumkan mengenai situasi sekolah di kem pelarian Jabaliya itu sebanyak 17 kali.

Katanya, Israel diberitahu bahawa bangunan berkenaan menempatkan penduduk Gaza yang meninggalkan kediaman masing-masing demi keselamatan.

"Kali terakhir kami memaklumkan data itu ialah beberapa jam sebelum serangan dilancarkan," katanya semalam.

Kejadian itu adalah yang kedua membabitkan sekolah kendalian PBB selepas insiden sama berlaku kelmarin.

Dalam kejadian semalam seramai 19 orang maut dan 90 lagi cedera apabila bom dilancar Israel memusnahkan dua bilik darjah.

Kata Gunness, siasatan awal mereka mendapati bangunan itu menjadi mangsa serangan unit artileri Israel.

"Antara yang terbunuh ialah wanita dan kanak-kanak," katanya.


Sementara itu Israel berkata, mereka masih menyiasat insiden berkenaan.

Sejak konflik terbaru itu bermula 8 Julai lalu lebih 1,300 orang Palestin terkorban berbanding hanya 55 di pihak Israel.


Sebahagian besar korban di pihak Palestin adalah orang awam dan kanak-kanak.

Sementara itu pengarah agensi berkenaan di Gaza, Bob Turner berkata, dia yakin Israel bertanggungjawab mengebom sekolah pertubuhan bantuan kemanusiaan itu.

"Petugas kami mengumpul serpihan bom dan mendapati ia dilancarkan dari kedudukan Israel di timur laut sekolah," katanya.

Sementara itu Israel berkata mereka bersetuju menghentikan serangan ke Gaza selama empat jam mulai jam 8 malam hingga 12 tengah malam (waktu Malaysia) bagi membolehkan bantuan disalurkan ke wilayah itu.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/31

Hilang 15 sepupu serentak

Posted: 30 Jul 2014 12:13 PM PDT

"Seramai 15 sepupu saya di Gaza terkorban dalam tempoh satu malam sejak Israel memulakan serangan pada awal Ramadan lalu dan berharap semua mereka ditempatkan di kalangan mereka yang syahid," kata Duta Besar Palestin ke Malaysia Dr Anwar H al-Agha yang ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan, di sini, semalam.

Anwar, 47, yang baru tiga bulan berada di negara ini berkata, serangan rejim Zionis kali ini adalah paling buruk sejak dua tahun lalu apabila mereka turut menyasarkan rumah penduduk, masjid, hospital dan taman awam.

"Dalam tempoh satu malam, semua sepupu saya maut apabila tiga rumah didiami mereka menjadi sasaran bedilan roket Israel.

"Kami tidak mampu melarikan diri atau berbuat apa-apa kerana rakyat Palestin di Gaza sememangnya sudah terkepung," katanya.

Menurutnya, antara ahli saudaranya yang terkorban termasuklah masing-masing enam kanak-kanak dan wanita serta tiga lelaki, semuanya berusia antara tujuh hingga 52 tahun.

"Walaupun berasa sangat sedih dengan kejadian menimpa, tetapi kami perlu tabah menghadapinya sebagai sokongan moral kepada penduduk lain yang masih berjuang untuk hidup.

"Serangan kali ini menyebabkan hampir 1,300 nyawa termasuk kanak-kanak dan wanita terkorban, malah lebih 7,000 lagi mengalami kecederaan," katanya.

Katanya, serangan itu tidak pernah mematahkan semangat rakyat Palestin, malah penduduk lebih bersemangat untuk menentang kekejaman Israel.

"Jika kami menunjukkan kesedihan kepada dunia, ia secara tidak langsung akan meruntuhkan semangat penduduk lain yang masih hidup.

"Oleh itu, hidup perlu diteruskan dan kami perlu berjuang habis-habisan sehingga Zionis berundur dari tanah air kami," katanya.

Katanya, penduduk Palestin sudah mengalami penderitaan sejak 66 tahun lalu dan berharap akan ada perubahan yang lebih baik pada masa akan datang.

"Saya tidak nafikan sikap berat sebelah ditunjukkan kuasa besar dari negara Barat menyebabkan penduduk Palestin terus menjadi mangsa kekejaman Israel.

"Seramai 1.8 juta penduduk menetap di Gaza yang hanya seluas kira-kira 360 kilometer persegi dan pastinya mereka mudah menjadi sasaran rejim Zionis," katanya.

Katanya, masyarakat antarabangsa perlu tampil membantu untuk menghentikan keganasan itu dan penderitaan serta kesengsaraan yang ditanggung rakyat Palestin.

"Palestin menghargai sokongan diberikan kerajaan Malaysia terutama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terutama ketika menghadapi masa yang sukar ini.

"Kami di Palestin berharap hubungan erat yang terjalin dengan negara ini kekal berterusan," katanya.

Katanya, rakyat Palestin juga mempunyai hak untuk hidup bebas.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/31

No comments:

Post a Comment