Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Naim setuju

Posted: 23 Aug 2014 01:38 PM PDT

Kuala Lumpur: Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad menyambut baik arahan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jalamuddin Abu Bakar berhubung nasib badan induk berkenaan.

Katanya, setiap arahan akan dipatuhi jika itu yang diinginkan pihak atasan selain jika langkah itu mampu membersihkan nama PKBM yang tercalar.

Sebelum ini, Khairy mengarahkan Pesuruhjaya Sukan Ahmad Shapawi Ismail supaya memulakan langkah pertama untuk menggantung PKBM berkaitan peruntukan kewangan yang disalurkan antara 2011 hingga 2013.

Biarpun sedar ia satu ujian besar dalam sukan itu terutama ketika dalam persiapan untuk menghadapi temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan dari 18 September hingga 4 Oktober, Naim mahu semua atlet berbasikal yang bertanding supaya terus memberi fokus kepada latihan masing-masing.

Foto

NAIM

Foto

MOHD Fauzan Ahmad Lutfi beraksi di Sukan SEA 2013.


"Ia tidak mengganggu persiapan atlet dan mereka tidak perlu risau kerana ia akan menyebabkan fokus terhadap latihan terganggu. Lainlah jika PKBM digantung atau dibatalkan barulah segala aktiviti atlet terjejas.


"PKBM mempunyai tempoh dua minggu untuk menjawab segala pertuduhan Pesuruhjaya Sukan. Dalam tempoh itu atlet boleh terus menyertai mana-mana pertandingan yang sudah ditetapkan. Mereka tidak perlu risau," katanya.

Naim berkata, Presiden PKBM Datuk Abu Samah Wahab akan mengadakan mesyuarat khas dengan semua ahli majlis bagi membincangkan perkara itu dalam waktu terdekat kerana segala pertuduhan perlu dijawab dalam tempoh dua minggu.

Khairy mengambil keputusan memulakan langkah pertama menggantung PKBM selepas mengadakan mesyuarat kira-kira dua jam bersama Panel Penasihat Sukan (PPS) Khamis lalu bagi membincangkan lebih lanjut siasatan audit dalaman Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang dilakukan pada awal tahun ini berhubung dana yang diperuntukkan kementerian.

Isu PKBM bermula susulan kegagalan skuad lebuh raya negara memenangi emas di Sukan SEA 2013 walaupun badan induk berkenaan mendapat peruntukan kewangan bernilai jutaan ringgit yang disalurkan KBS setiap tahun untuk membangunkan pelumba lebuh raya.

Andai PKBM digantung, satu jawatankuasa sementara akan dibentuk untuk mentadbir PKBM dalam tempoh tidak lebih 12 bulan selain boleh mengarahkan untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) bagi memilih pemimpin baru.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/24

Nukilan Hamidin: Bola sepak satukan rakyat!

Posted: 23 Aug 2014 01:31 PM PDT

Saya mewakili penyokong dan seluruh warga bola sepak negara turut simpati dengan kejadian yang menimpa pesawat MH17 dan MH370 dan sebagai pegawai bertanggungjawab dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), beberapa perlawanan yang sudah dijadual pada 22 Ogos, ditunda ke tarikh lain sebagai menghormati 'Hari Berkabung untuk Malaysia'.

Tiada siapa dapat menyangka tragedi yang meragut nyawa itu akan berlaku ke atas pesawat penerbangan Malaysia Airlines.

Seluruh negara malah seluruh dunia juga turut merasai kesedihan apabila ramai yang kehilangan ahli keluarga atau sahabat handai.

Dalam kemeriahan pesta bola sepak Piala Malaysia 2014 yang sedang berlangsung, 'One Minute of Silence' atau 'Seminit Bertafakur' dilakukan di setiap permulaan perlawanan di sepanjang kempen musim ini bagi mengingati mangsa-mangsa tragedi dua pesawat berkenaan selain penderitaan rakyat Palestin di Gaza.

Doa kami agar keluarga mangsa tragedi itu terus tabah dalam menghadapi ujian yang hebat ini.

Seminit yang dirasai itu bersamaan dengan membawa semangat perpaduan sekali gus mengingatkan kita kepada slogan 'Fair Play' yang amat penting dalam mana-mana perlawanan bola sepak.

Saya rasa bersyukur kerana sebagai rakyat Malaysia, kita masih berpeluang hidup dalam sebuah negara yang aman dan damai.

Perpaduan yang utuh masih jelas terasa setiap kali melihat berbagai kaum berganding bahu dalam satu pasukan.

Hikmah di sebalik ujian yang diberikan dapat dilihat apabila semua berkumpul tanpa mengira agama, bangsa, warna kulit dan latar belakang diatas satu kesamaan.

Nikmat kesamaan yang dirasai semua rakyat Malaysia dapat dilihat melalui sukan bola sepak apabila para penyokong bersama-sama hadir ke stadium untuk memberikan sokongan kepada pasukan kebangsaan.

Ini mengingatkan saya mengenai sokongan kepada pasukan Harimau Malaya menentang Indonesia di Piala Suzuki AFF 2012 di Stadium Bukit Jalil.

Rakyat Malaysia hadir dan berkumpul tanpa mengira latar belakang, warna kulit dan agama membawa satu semangat yang diterjemahkan melalui nyanyian 'Negaraku' dan laungan sorakan para penyokong yang bergema satu stadium! Saya juga mengharapkan sokongan yang sama akan diberikan kepada Pasukan Harimau Malaya di bawah kendalian jurulatih Dollah Salleh untuk Piala AFF Suzuki 2014 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Sokongan yang tidak berbelah bagi di waktu kemenangan dan kekalahan dari penyokong dapat memberikan suntikan emosi yang positif kepada pemain dan seluruh pasukan untuk terus memberikan yang terbaik.

Jika negara yang berada dalam krisis seperti Iraq mampu untuk berada di tangga ke-91 FIFA, maka saya juga percaya prestasi pasukan Harimau Malaya mampu untuk terus bangkit dan berjuang melakar sejarah membanggakan!

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/24

Rehat tak jejas aksi Zaqhwan

Posted: 23 Aug 2014 01:31 PM PDT

Kuala Kangsar: Tempoh rehat panjang tidak menjejaskan rentak Mohd Zaqhwan Zaidi apabila terus mendominasi sesi ujian masa CP130 pada Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Kluang, Johor.

Pelumba Givi Honda Yuzy Racing itu muncul pelumba terpantas dengan catatan masa 49.074s mengatasi dua pelumba Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing, Norizman Ismail dan Mohd Zamri Baba.

Norizman merakam masa kedua terbaik dengan catatan 49.057s manakala Zamri 49.639s.

"Saya gembira kerana prestasi kami masih serupa dengan aksi sebelum bercuti panjang," kata Zaqhwan yang turut mendahului sesi latihan bebas pagi.

"Saingan hari ini agak mencabar kerana di sebelah pagi cuaca kering namun hujan ketika sesi kelayakan petang.

"Mujurlah jurutera menyedari yang sesi ujian masa akan berlangsung dalam keadaan basah dan mereka sudah membuat pelarasan sepatutnya sekali gus membantu saya untuk mencatat masa terbaik.

Cuma secara keseluruhan, saya masih belum berpuas hati kerana gagal mengatasi rekod litar milik Mohd Affendi Rosli (46.565s)." Mengulas mengenai harapan untuk memenangi perlumbaan minggu ini, Zaqhwan yang mendahului kedudukan keseluruhan dengan 100 mata itu berkata: "Saya mahu melebarkan lagi jurang mata keseluruhan jadi saya mahu menamatkan perlumbaan minggu ini di atas podium.

Namun, saya tetap menjangkakan perlumbaan yang sukar kerana Norizman juga pantas.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/24

Hampir separuh mendaftar

Posted: 23 Aug 2014 01:30 PM PDT

Kuala Kangsar: Semua persiapan untuk menyambut peserta pada pusingan pertama saingan perlumbaan basikal lasak Kejohanan Harian Metro Mountainbike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia di sini, berjalan lancar.

Pengarah Kejohanan Harian Metro Mountainbike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia Husin Jahit berkata, semua persiapan menjelang kejohanan dapat dijalankan seperti dirancang.

Menurutnya, kaunter pendaftaran yang dibuka sejak 9 pagi semalam mendapat sambutan hangat peserta yang ingin mengambil bahagian dalam kejohanan mengikut kategori masing-masing.

"Sehingga tengah hari ini (semalam), lebih 50 peratus peserta yang sudah mendaftar, datang untuk mengesahkan penyertaan masing-masing.

"Kita jangkakan seramai 1,300 peserta yang akan mengambil bahagian dalam kejohanan bagi kategori jamboree dan xc metro," katanya.

Husin berkata, peserta dinasihatkan datang awal ke lokasi kejohanan kerana pelepasan akan dilakukan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kira-kira jam 8 pagi.

Menurutnya, seramai 150 orang pegawai teknikal sudah bersedia untuk melancarkan perjalanan kejohanan.

"Petugas dan kru teknikal yang terbabit dalam kejohanan ini sudah diberikan taklimat dan tugasan yang ditetapkan.

"Kita berharap peserta dapat mematuhi peraturan yang diberikan pegawai bertugas bagi mengelak daripada berlaku kejadian tidak diingini," katanya.

Pada masa sama, beberapa penaja seperti Jiwa Basikal yang menyediakan perkhidmatan servis dan jualan berhampiran perkarangan tempat letak kereta Dewan Jubli Perak turut menjadi tumpuan pengunjung dan peserta yang bertanding.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan Daerah Kuala Kangsar menyediakan kaunter pemeriksaan kesihatan manakala Tourism Malaysia turut membuka kaunter pameran.

Katanya, minum tenaga Verve, Power Bar, Perskimdol, Deuter serta Isuzu juga tidak ketinggalan mempamer serta menjual produk masing-masing.

Foto

ANTARA peserta yang mendaftar.

Foto

JIWA Basikal memberi servis percuma kepada peserta.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/24

Kejohanan bawa rahmat

Posted: 23 Aug 2014 01:27 PM PDT

Kuala Kangsar: Penganjuran Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 esok bukan saja bakal menghidangkan cabaran kepada peminat sukan berbasikal malah ia turut mendatangkan faedah kepada penduduk setempat apabila beberapa laluan dibaik pulih penganjur.

Penduduk Kampung Pulau Lubuk Merbau, Judin Anjang Mat Loden, 80, meluahkan rasa syukur dan terima kasih apabila jambatan yang menghubungkan kampungnya dengan kawasan sawah padi dibaik pulih penganjur apabila ia bakal dijadikan salah satu laluan pelumba.

Menurutnya, jambatan berusia lebih 20 tahun itu yang berlubang sejak dua tahun lalu selepas dilanda banjir menyukarkan penduduk untuk keluar mengerjakan sawah padi yang terletak bersebelahan kampung berkenaan.

Judin yang menetap di situ sejak 1960 berkata, jambatan yang dibina untuk membawa jentera sawah padi itu masih belum dibaiki walaupun sudah beberapa kali aduan dihantar kepada pihak bertanggungjawab.

Katanya, kerja-kerja membaikpulih yang dilakukan penganjur memberikan kelegaan kepada mereka untuk berulang alik dengan lebih cepat ke kawasan sawah padi tanpa perlu melalui jalan utama.

"Saya lega apabila penganjur sanggup membaik pulih jambatan yang kerap digunakan penduduk setempat dan ia membuktikan penganjuran ini bukan saja untuk penunggang basikal malahan penduduk juga mendapat keistimewaan.

"Memang ia menjadi masalah kami kerana lubangnya agak dalam dan kami juga sudah jarang menggunakannya kerana bahaya," katanya.

Sementara itu, Pengarah Projek Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 Husain Jahit berkata, pihaknya sudah melakukan kerja-kerja pembaikan jalan di laluan yang bakal dilalui peserta bagi membolehkan pertandingan berjalan lancar.

Katanya, setakat semalam, 11 laluan membabitkan jambatan dan beberapa kawasan berlubang sudah dibaiki manakala beberapa pokok tumbang di kawasan 'off-road' dibersihkan bagi mengelakkan risiko berlakunya kecederaan kepada pelumba.

"Kita baiki laluan agar tidak memberikan risiko kepada pelumba dan seterusnya memberi kebaikan kepada penduduk kampung.

Mereka boleh gunakan kemudahan itu nanti.

"Setakat ini, semua laluan yang sudah dikenal pasti dalam proses pemeriksaan akhir dan semua laluan sudah pasti memberikan kepuasan kepada peserta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/24

Hemsterz sedia harungi cabaran

Posted: 23 Aug 2014 01:26 PM PDT

Ipoh: Latihan selepas solat sunat tarawih Ramadan lalu menjadi sebahagian daripada program persiapan Pasukan Hemsterz Rider Ipoh untuk menghadapi Kejohanan Mountain Bike (MTB) Harian Metro Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 di Kuala Kangsar, hari ini.

Jurucakap pasukan Zul Izzi berkata, mereka juga menjalani latihan membina kecergasan di Bukit Kledang serta latihan taktikal dan teknikal di trek Taman Botani Ipoh.

"Pelumba Hemsterz sudah dibekalkan pelbagai ilmu menunggang kerana difahamkan trek di Kuala Kangsar ini akan menguji kecekapan dan kemahiran penunggang," katanya.

Menurut Zul, kelab itu menghantar 20 penyertaan manakala ramai ahli kelab terbabit menjadi pegawai kejohanan.


Katanya, empat pelumba termasuk seorang penunggang veteran dijangka memberi cabaran kepada peserta lain dalam acara terbuka dan veteran.


Beliau berkata, peserta veteran yang bakal menyertai pertandingan kali ini dikenali sebagai 'Mejar' yang berusia 63 tahun dan beliau terkenal dalam kalangan penggiat sukan basikal di Ipoh selain tulang belakang kepada KRT.

"Mejar atau Jaafar Bani antara penggerak KRT sejak ditubuhkan pada 2012 dan kami menganggapnya sebagai mentor," katanya.

Selain Mejar, harapan Hemsterz juga dipikul Shahrizal, Fadzly dan Meor dalam kategori jamboree terbuka.

"Kami sudah lama menunggu penganjuran MTB Harian Metro. Justeru, seramai 20 ahli MTB menyertai sirkit pertama yang diadakan di Perak. Bagi menjayakan kejohanan, ahli kami juga bersedia untuk menjadi pegawai pertandingan," katanya.

Menurut Zul, Hemsterz berkembang dengan pesat sejak penubuhannya dua tahun lalu dan kini mempunyai keahlian seramai 30 orang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/24

Redknapp mula perang psikologi

Posted: 23 Aug 2014 12:56 PM PDT

London: Pengurus QPR Harry Redknapp memulakan perang psikologi termasuk memberi tekanan terhadap rakan sejawatnya di Tottenham, Mauricio Pochettino dengan berkata, kegagalan untuk menduduki salah satu daripada empat slot teratas musim ini bakal memberi padah buat kelab White Hart Lane itu.

Redknapp kembali ke Tottenham buat kali pertama sejak dipecat pada 2012 selepas berbalah dengan pengerusi Daniel Levy.

Pengendali berusia 67 tahun itu membimbing Tottenham untuk menduduki kelompok empat teratas sepanjang empat tahun di kelab berkenaan tetapi dipecat selepas gagal layak ke Liga Juara-Juara.

Sejak pemergiannya, Andre Villas-Boas serta Tim Sherwood yang mengambil alih pasukan, gagal menyamai catatan Redknapp dan bekas pengurus Southampton Pochettino tiba sambil memasang impian untuk membawa Spurs ke saingan Liga Juara-Juara.

Redknapp berkata, beliau mengagumi semangat Pochettino tetapi faktor itu tidak menghalangnya untuk memberi tekanan terhadap rakan sejawatnya itu tambahan pula kedua-dua pasukan bakal bertemu di White Hart Lane malam ini.

"Mereka sepatutnya perlu layak ke kelompok empat teratas dan jika tidak, ia pasti sangat mengecewakan pengurusan Tottenham," kata Redknapp.

"Itulah yang cuba mereka lakukan sejak beberapa musim lalu dan kedudukan di bawah daripada slot itu adalah satu kegagalan.

"Mereka mempunyai pemain yang hebat dan sudah membelanjakan ratusan juta untuk membeli pemain.

Mereka sepatutnya mampu menjadi pasukan kuat.

"Saya sukakan pengurus Spurs ketika ini.

Beliau menjalankan tugas yang baik di Southampton dan saya yakin perkara sama akan beliau lakukan di Tottenham." Legenda Tottenham Glenn Hoddle yang kini menjadi kakitangan kejurulatihan Redknapp akan turut kembali ke kelab lamanya itu tetapi individu yang menjadi tumpuan pastinya Redknapp kerana beliau dikatakan mahu membalas dendam gara-gara pemecatannya.

"Saya tidak sabar mahu ke sana.


Saya pernah mengharungi tempoh yang baik di Tottenham," kata Redknapp.


- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/24

Dendam terbalas!

Posted: 23 Aug 2014 12:55 PM PDT

Madrid: Atletico Madrid berjaya membalas dendam kekalahan di final Liga Juara-Juara apabila menundukkan Real Madrid 1-0 di Vicente Calderon kelmarin sekali gus menjulang Piala Super Sepanyol menerusi agregat 2-1.

Tuan rumah memulakan aksi dengan baik dan Mario Mandzukic menjaringkan gol kemenangan hasil hantaran Antoine Griezmann ketika permainan memasuki 90 saat.

Pengurus Real Carlo Ancelotti meletakkan Cristiano Ronaldo di bangku simpanan kerana pemain itu mengalami kecederaan ringan tetapi kudratnya tetap ditagih pasukan ketika mereka memburu jaringan.

Begitupun, sebaik dimasukkan bintang Portugal itu tetap gagal menembusi benteng pertahanan Atletico sekali gus menamatkan impian Real untuk menjulang enam gelaran musim ini.

"Sejak hujung musim lalu hingga kini, Real Madrid sudah memenangi tiga piala," kata Ancelotti.

"Saya mahu berterima kasih kepada semua pemain dan kelab kerana saya rasa kami sudah mencapai sesuatu yang sukar untuk dilakukan.

"Pada perlawanan ini, kami tidak bermain baik tetapi saya lebih rela kehilangan Piala Super Sepanyol berbanding Liga Juara-Juara." Selain meletakkan Ronaldo di bangku simpanan, Ancelotti turut menimbulkan tanda tanya apabila mengecualikan Angel di Maria daripada keseluruhan pasukan.

Begitupun, beliau berkata, ketiadaan Di Maria adalah atas alasan sukan semata-mata.

"Kami mengenepikan Di Maria atas dasar teknikal.

Hari ini saya tidak memerlukannya." Pengurus Atletico Diego Simeone diarah meninggalkan bangku simpanan ketika pertengahan babak pertama kerana membantah keputusan pengadil yang enggan membenarkan Juanfran masuk segera ke padang sejurus selesai menerima rawatan.

Pengendali Argentina itu berdepan hukuman penggantungan kerana beliau dilihat bertelagah dengan penolong pengadil selain mempersendakan keputusan pegawai perlawanan.

Begitupun, beliau pantas memohon maaf dan mengaku kesilapan berkenaan.

"Apabila anda melakukan kesilapan, anda perlu meminta maaf.

Foto

MANDZUKIC (kiri) jaring gol tunggal perlawanan.


Saya mengaku apa yang saya buat itu adalah silap," katanya.

"Saya cuma mahu Juanfran masuk ke padang dengan kadar segera.

Kemenangan buat Atletico itu adalah yang pertama sepanjang aksi menentang Real dalam tempoh 15 tahun sekali gus meneruskan catatan cemerlang Simeone sejak mengambil alih pasukan tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau enggan meramal anak buahnya mampu mempertahankan gelaran La Liga musim ini.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/24

Villeneuve kritik sistem lesen super F1

Posted: 23 Aug 2014 12:53 PM PDT

Spa, Belgium: Bekas juara dunia, Jacques Villeneuve mengkritik tindakan pasukan Red Bull-Toro Rosso selepas mereka menggunakan khidmat pelumba berusia 16 tahun dari Belanda, Max Verstappen dan berkata perkara itu membuktikan betapa sistem lesen super F1 sangat lemah.

Juara 1997 itu berkata, sistem pengeluaran lesen ketika ini adalah lemah sekali gus menganggap ia sebagai perkara paling buruk yang sedang berlaku di dalam dunia perlumbaan.

Villeneuve berkata: "Untuk memperoleh lesen super bukanlah mudah dan ia sangat bermakna kepada pemegangnya.

Ia bukan sekadar memandu dalam keadaan laju semata-mata.

"Ada sesuatu yang tidak kena di sini.

Secara dasarnya, ia seolah-olah anda mendapat hadiah tanpa berbuat apa-apa.

"Ada juga bagusnya mengenai soal umur muda di dalam perlumbaan begini.


Justeru, apa langkah seterusnya? Selepas ini mungkin akan ada pasukan yang menggunakan khidmat pelumba berusia 15 tahun semata-mata mahu mengetengahkan orang muda." Dalam satu temubual bersama Autosport.com, beliau menambah: "Ia adalah satu cara yang salah untuk melakukannya.

"Caesar dan Napoleon adalah individu hebat tetapi mereka mengambil masa untuk berada di kedudukan itu.

"Anda perlu membina sendiri tapak anda.


Ia tidak bermakna jika anda berbakat atau pantas, anda sudah layak.

Ia adalah sesuatu mengenai perkara yang perlu anda pelajari.

"Dia masih muda dan justeru, ia sangat berisiko baginya.

Anda tentu tidak mengambil seorang remaja berusia 16 tahun yang tidak pernah belajar di universiti untuk menjadi seorang doktor.

Tidak kiralah sama ada dia berbakat atau tidak.

Yang penting seorang doktor perlu belajar untuk menjadi seorang doktor.

"Ia adalah perkara paling buruk di dalam Formula Satu kerana ia akan memberi dua kesan.

Ia sama ada akan memusnahkan remaja itu sendiri atau jika dia berjaya dalam tempoh setahun dua ini, perlumbaan Formula Satu akan menjadi tidak bermakna lagi buat pelumba lain." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/24

Tidak semua islam muslim jahat

Posted: 23 Aug 2014 12:52 PM PDT

Sewaktu Sukan Olimpik Athens 2004, nama Amir Khan tiba-tiba meniti dalam kalangan peminat sukan. Peninju berketurunan Pakistan yang ketika itu berusia 17 tahun, berjaya memenangi pingat perak Sukan Olimpik.

Ironinya, di saat dunia barat kalut dengan momokan 'Islamofobia', dia memenanginya sebagai wakil Britain. Hingga kini, dia masih mendapat tempat di hati penduduk negara Big Ben itu malah mengukir nama sebagai peninju profesional.

Amir hadir sebagai ikon sukan yang menyatukan masyarakat berbilang kepercayaan di negara itu dan juga seluruh dunia. Buktinya, akaun Twitter peninju berkenaan diikuti 1.46 juta pelayar Internet.

"Apa yang menarik mengenai Amir adalah bagaimana dia menonjolkan dirinya. Atlet Muslim seperti Kareem Abdul Jabbar dan Mahmoud Abdur Rauf perlu berdepan cabaran realiti yang memaksa mereka bersuara," kata penulis politik sukan The Nation Magazine, Dave Zirin.

Foto

AMIR bersama isternya, Faryal Makhdoom.


"Amir pula lebih dulu memutuskan untuk bersuara tanpa menunggu keadaan mendesak. Dia bersedia untuk berkata apa saja termasuk kepercayaannya sebelum orang lain berbuat demikian. Itulah persamaan dimilikinya dengan ahli politik hebat, mereka tidak pasif sebaliknya aktif."


Amir menyedari betapa ramai yang salah faham mengenai Islam, justeru dia menggunakan populariti dalam sukan itu sebagai platform memperbetulkan tanggapan serong berkenaan.

"Saya mahu memberitahu orang ramai bahawa tidak semua Muslim jahat sebaliknya sebahagian besar di antara mereka sangat baik," kata Amir.

"Saya mahu menghantar mesej ke seluruh dunia. Saya mahu remaja Muslim mengikut jejak saya."

Amir terus berusaha keras untuk meletakkan namanya sebaris peninju terhebat dunia. Hingga kini peninju yang digelar 'King Khan' itu pernah muncul juara dunia dua kali dengan menjulang gelaran WBA, WBA (Super) dan IBF Light Welterweight. Antara peninju yang pernah ditumbangkan termasuk Luis Collazo, Zab Judah dan Marcos Maidana.

Perkembangan terbaru ketika ini menyaksikan keinginannya untuk menentang Floyd Mayweather dan Manny Pacquaio, dua nama besar dalam sukan tinju.

Meskipun perlawanan menentang Mayweather September ini mungkin ditangguhkan atas faktor masa, tetapi Amir tidak menolak kemungkinan untuk bertemu mereka di gelanggang.

"Tinju mempunyai kaitan rapat dengan masa dan Manny serta Floyd masing-masing semakin tua. Seseorang perlu mengambil alih tempat mereka. Pertembungan dengan Mayweather pasti lebih teknikal umpama bermain catur, tetapi Manny mungkin jauh lebih sukar," kata Amir. "Dia lebih agresif dan pertarungan pasti lebih sengit."
Amir turut sedar tinju meletakkannya di tahap ini dan hanya kemenangan yang akan membantu perjuangannya.

"Tidak ramai peninju seperti Muhammad Ali dan bagi saya Manny seperti beliau, apatah lagi dengan sumbangan terhadap masyarakatnya. Saya ingin berada setaraf mereka satu hari nanti."

Ternyata dia tidak perlu menunggu lama kerana sikap dermawan sudah sebati dalam jiwanya. Selepas tragedi Tsunami di Lautan Hindi pada 2004, dia adalah antara penyumbang yang mengumpul £1 juta (RM5.3 juta) untuk mangsa bencana alam itu dan pada tahun berikutnya, mengunjungi Pakistan untuk mengedarkan makanan di kem mangsa gempa bumi di Kashmir.

Dia juga terbabit dalam kempen keselamatan kanak-kanak di landasan kereta api Britain, selain menggesa supaya kekerasan terhadap wanita dihentikan.

Pada Disember 2013, Amir turut menganjurkan majlis makan malam untuk mengumpul dana Islamic Relief's Philippines Appeal selepas berlakunya Taufan Haiyan dan berjaya mengutip £83,400 (RM436,643).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/24

No comments:

Post a Comment