Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Belum mengaku kalah

Posted: 31 Jul 2014 11:10 AM PDT

Glasgow: Chef-de-Mission Datuk Ong Poh Eng masih belum mengaku kalah dan tetap yakin tujuh emas yang disasarkan akan menjadi kenyataan.

Beliau yang tidak henti-henti melawat setiap gelanggang bagi memberi galakan kepada atlet negara yakin semangat mereka tetap membara.


"Saya seorang pejuang dan tidak akan mudah mengaku kalah. Selagi temasya masih berlangsung, selagi itu saya masih berharap kita boleh melakukannya," katanya.

Berdasarkan kepada beberapa acara yang sebelum ini disasarkan emas seperti Azizulhasni Awang (keirin), Nur Ayuni Farhana Adul Halim dan Bibiana Ng (menembak), Constantine Clement (angkat berat) dan pasangan Leong Mun Yee-Cheon Jun Hoong (10m platform seirama), sasaran kontinjen negara nampak semakin sukar.


Malah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong turut mengakui agak mustahil untuk mencapai sasaran itu sekarang.


Poh Eng mengakui agak terkilan beberapa acara yang diyakini emas tidak menjadi kenyataan tetapi percaya pingat itu akan hadir juga daripada acara lain.

Foto

"Berdasarkan prestasi skuad badminton, saya yakin tiga atau empat emas akan menjelma menerusi perseorangan lelaki, wanita, beregu lelaki dan wanita.


"Saya juga tetap menaruh harapan kepada penerjun negara sekurang-kurangnya dua pingat emas," katanya.

Ditanya kegagalan Mun Yee-Jun Hoong yang berada dalam ranking lebih baik berbanding pemenang pingat emas dari Kanada selepas meraih pingat perak pada Kejohanan Dunia di Shanghai tetapi gagal memenangi sebarang pingat, Poh Eng akur itu satu kerugian.


Mereka sepatutnya memenangi emas seperti yang dijangka, namun dalam sukan subjektif semuanya bergantung kepada juri.


Menurut beliau, sebagai Chef-de-Mission, beliau seboleh-bolehnya tidak mahu mengulas kegagalan atlet negara kerana mereka masih lagi berjuang di gelanggang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/01

Lukaku belum layak

Posted: 31 Jul 2014 10:52 AM PDT

London: Jose Mourinho menegaskan Romelu Lukaku seorang pemain yang bagus, tetapi dia belum cukup meyakinkan untuk berada dalam kesebelasan utama Chelsea.

Penyerang kebangsaan Belgium itu berpindah ke Everton dengan nilai perpindahan £28 juta (RM151 juta) semalam selepas menjaringkan 16 gol dalam 33 penampilan sepanjang dipinjamkan ke Everton dari Chelsea musim lalu.


Kehadiran penyerang Sepanyol, Diego Costa dan penampilan semula penyerang Ivory Coast, Didier Drogba menyaksikan pemain berusia 21 tahun itu semakin terpinggir di Chelsea dengan Mourinho berkata, Lukaku tidak mempunyai kelebihan untuk berada dalam kesebelasan utama.

"Lukaku sentiasa komited sepanjang bersama kami tapi, mental dan pendekatannya tidak mencapai tahap yang cukup kompetitif di Chelsea.


"Dia mahu bermain bersama Chelsea tapi jelas sekali dia mahu menjadi pilihan utama di bahagian serangan. Tapi dalam kelab seperti Chelsea, kami tidak berani menjanjikan apa-apa kepada setiap pemain.


"Yang penting dia gembira dengan apa yang dilakukannya. Dia seorang pemain yang bagus dan mempunyai perancangan cukup rapi mengenai masa depannya," jelas pengurus Chelsea itu.

Lukaku yang menjaringkan satu gol untuk Belgium ketika melangkah ke suku akhir Piala Dunia berkata, dia tidak menyesal meninggalkan Chelsea dan sudah bersedia untuk diturunkan bersama Everton di bawah bimbingan Roberto Martinez.


"Dalam bola sepak, anda tidak perlu untuk berasa menyesal.

"Martinez salah seorang pengurus terbaik di dunia dan beraksi di bawah bimbingannya adalah satu penghormatan buat saya. Kami mempunyai ramai pemain muda yang mahu meraih kejayaan bersama salah sebuah kelab terbaik di England," ujarnya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/01

Saints 'pinjam' Bertrand

Posted: 31 Jul 2014 10:52 AM PDT

Southampton, England: Tonggak pertahanan kiri Chelsea, Ryan Bertrand bersetuju menyertai Southampton secara pinjaman selama semusim.

Bertrand yang sudah bersama Chelsea sejak 2006 mendapati dia sukar mendapat tempat dalam kesebelasan utama Blues dan sebelum ini menghabiskan saingan musim lalu dengan dipinjamkan ke Aston Villa.


"Bagi saya secara peribadi, ini peluang keemasan buat saya bermain dan menyertai kelab hebat yang sentiasa bergerak ke arah yang tepat," kata Bertrand.

Southampton dipercayai akan membida untuk mengambil pemain Inggeris berusia 24 tahun itu secara tetap pada musim panas akan datang.


Pengurus Southampton Ronald Koeman berkata: "Saya begitu gembira kerana dapat membawa masuk Ryan bermain dengan kelab ini. Dia pemain hebat yang mampu menyuntik kualiti kepada pasukan.


"Dia mempunyai pengalaman luasnya di peringkat tertinggi dan paling menarik dia juga mampu naik untuk membantu bahagian serangan ketika menyerang dan semua ini adalah aspek yang saya inginkan dalam pasukan," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/01

Rodgers puas hati

Posted: 31 Jul 2014 10:51 AM PDT

New York: Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers gembira dengan tindak balas positif anak buahnya dalam menerapkan perubahan taktikal selepas mereka berjaya menewaskan juara Liga Perdana Inggeris Manchester City pada perlawanan persahabatan di New York semalam.

Stevan Jovetic meletakkan City dua kali di depan pada separuh masa kedua tetapi Reds bangkit menerusi gol sumbangan Jordan Henderson dan Raheem Sterling sebelum mencatat kemenangan menerusi penentuan penalti 3-1.


Rodgers gembira dengan kemenangan itu sekali gus meletakkan Liverpool berada di landasan tepat untuk kemungkinan bertemu Manchester United pada aksi final di Miami minggu depan sekiranya mereka menewaskan AC Milan pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan yang menyaksikan saingan lapan pasukan.

"City sebuah pasukan yang bagus dan menjadi pilihan sekali lagi untuk memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris," kata pengendali berusia 41 tahun itu selepas perlawanan di Stadium Yankee.


"Perubahan paling menonjol mengenai pasukan ini sejak 18 bulan lalu adalah kami mempunyai karakter tersendiri. Mereka sekali lagi menunjukkan mahu memberikan aksi terbaik.


"Kami menggunakan formasi berbeza. Pramusim adalah untuk melihat tahap kecergasan pemain dan taktikal yang digunakan oleh mereka.

Foto

HENDERSON sumbang gol buat Liverpool.

"Tahniah kepada setiap pemain yang berjaya menerapkan taktikal dimahukan. Secara keseluruhan, saya gembira dengan keputusan ini." Rodgers turut memuji Henderson sambil berharap pemain berusia 24 tahun itu berjaya menjaringkan lebih banyak gol lagi selepas ini.


"Dia mempunyai kualiti permainan yang bagus terutama penyudah yang baik.

"Saya harap dia dapat menjaringkan 10 gol pada musim baru nanti," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/01

Red Devils wajib layak Liga Juara-Juara

Posted: 31 Jul 2014 10:50 AM PDT

London: Pemilik Manchester United memberi amaran kepada pelabur bahawa kelab itu mungkin bergelut untuk mengekalkan barisan pemain terbaik mereka sekiranya gagal layak beraksi di Liga Juara-Juara buat musim kedua berturut-turut.

"Liga Juara-Juara satu pertandingan berprestij, Jika gagal layak ke saingan Eropah itu buat kali kedua berturut-turut mungkin akan menjejaskan peluang untuk menarik minat dan mengekalkan pemain serta barisan kejurulatihan.


"Kami juga akan kehilangan penyokong, penaja serta rakan komersial," kata keluarga Glazer yang memiliki kelab itu.

United juga mendedahkan jumlah pendapatan daripada perjanjian terbaru selama 10 tahun dengan Adidas akan jatuh kepada 30 peratus sekiranya mereka gagal menempah tiket ke Liga Juara-Juara musim depan.


Bekas pengurus David Moyes dipecat oleh United pada April lalu kerana gagal membimbing kelab itu menempah tiket ke Liga Juara-Juara dan penggantinya Louis van Gaal dijangka mampu mengembalikan zaman kegemilangan kelab gergasi itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/01

Nasib malang Nadal

Posted: 31 Jul 2014 10:44 AM PDT

Toronto, Kanada: Rafael Nadal terpaksa menarik diri daripada kejohanan Masters Toronto dan Cincinnati kerana kecederaan pergelangan tangan semalam, hanya tiga minggu sebelum dia tampil mempertahankan kejuaraan Terbuka AS.

Bintang Sepanyol berusia 28 tahun itu mendedahkan dia cedera pergelangan tangan kanan ketika latihan dan memerlukan rehat hingga tiga minggu. Terbuka AS akan bermula di New York pada 25 Ogos ini.


"Malangnya saya cedera pergelangan tangan kanan semalam ketika latihan dan selepas beberapa ujian di Sepanyol termasuk ujian imbasan MRI hari ini serta pemeriksaan bersama doktor, saya terpaksa berehat sekurang-kurangnya dua hingga tiga minggu," ujar pemain nombor dua dunia itu.

"Saya amat kecewa tidak mampu mempertahankan kejuaraan dan bertanding di Toronto serta Cincinnati tahun ini. Saya tidak sabar sebenarnya untuk beraksi sekali lagi selepas keputusan hebat diraih tahun lalu." Masters Toronto bermula Isnin lalu dengan kejohanan di Cincinnati berlangsung minggu depan.


"Saya teruja untuk bermain sekali lagi di Toronto kerana saya memang gemar beraksi di Kanada dan meraih keputusan hebat pada kejohanan penting ini," jelas Nadal, yang kariernya dibelenggu kecederaan terutama kecederaan lutut memaksanya berehat panjang.


Dia terpaksa berehat tujuh bulan pada 2012-2013 sebelum kembali dengan kebangkitan menakjubkan menerusi kejayaannya mempertahankan kejuaraan Terbuka Perancis selain kejuaraan kedua Terbuka AS September lalu.

Nadal tidak beraksi sejak kekalahan mengejutnya pada pusingan keempat Wimbledon di tangan pemain remaja Australia, Nick Kyrgios empat minggu lalu.


Dia penyandang juara di Cincinnati dan Kanada dengan kejohanan Masters itu diadakan di Montreal tahun lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/01

Jom sertai bowling kidal

Posted: 31 Jul 2014 10:43 AM PDT

Kuala Lumpur: Kelab Sukan SportsUnite meneruskan usaha murni dengan menganjurkan Karnival Bowling Kidal Dunia kali ke-7 sempena sambutan Hari Kidal Sedunia 2014 di Mega Lanes, Sunway Pyramid pada 23 Ogos ini.

Menariknya kejohanan itu menggunakan format beregu yang mana setiap gandingan mestilah dianggotai oleh pemain tangan kidal dan pemain tangan kanan.


Pendaftaran dibuka bermula jam 7 petang dan penyampaian hadiah dijangka jam 11 malam.

Program itu ditaja bersama Kelab Sukan SportsUnite, MILO, minuman isotonik Revive, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Mega Lanes Sunway Pyramid.


Pemain dinasihat mengesahkan penyertaan seawal mungkin bagi mengelak nama mereka daripada tercicir. Sambutan terhadap kejohanan itu sebelum ini memang hangat menyebabkan penyertaan terpaksa ditapis. Kali ini penganjur menggunakan pendekatan 'siapa cepat dia dapat'.


Juara akan membawa pulang wang tunai RM2,500, piala iringan, barangan penaja manakala naib juara menerima RM1,500, ketiga (RM1,000), keempat (RM700) dan kelima (RM400). Tempat keenam hingga ke-10 menerima RM200.

Foto

MICHELLE (dua dari kiri) dan Pengerusi Kelab Sukan SportsUnite, Datuk Dina Rizal (dua dari kanan) bersama penaja.

Yuran penyertaan adalah RM100 dan tarikh tutup pada 15 Ogos ini. Borang penyertaan boleh diperoleh di kaunter Sunway Mega Lanes atau melalui facebook.com/sportsunite.


Bagi mendapatkan mMaklumat lanjut boleh hubungi Michelle Wong di talian 012-2096012 atau Sunway Mega Lanes 03-74926307/8/9.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/01

ABSA Prima julang trofi

Posted: 31 Jul 2014 10:42 AM PDT

Kuala Lumpur: Empat gol ABSA Prima dari Johor membantu mereka menumpaskan Bayas United (Terengganu) untuk menjulang trofi Kejohanan Fisherman's Friend 'Memang Ada Kick' 2014.

Wira pada perlawanan itu Saiful Nizam menjaringkan dua gol untuk membantu mereka melakar sejarah meraih kejuaraan pertama di peringkat kebangsaan.


ABSA Prima membawa pulang hadiah utama RM5,000 berserta trofi kejohanan dan jersi manakala Bayas United, selaku naib juara menerima RM2,500 serta jersi. Fauzio dan Graduan Bersatu masing-masing mendapat tempat ketiga menerima RM1,000 selepas tewas di separuh akhir.

Pemain terbaik dianugerahkan kepada Saiful Nizam, manakala penjaga gol terbaik milik Tengku Azraf Fahimi dari pasukan Bayas United.


Pada pusingan awal, empat pasukan teratas setiap lokasi melayakkan diri ke pusingan akhir dengan juara memenangi hadiah wang tunai RM1,500.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/01

Semangat juang Faiz

Posted: 31 Jul 2014 10:42 AM PDT

Kuala Lumpur: Kecil-kecil cili padi! Itu perumpamaan paling sesuai untuk bintang masa depan skuad hoki negara Faiz Helmi Jali yang sering menjadi pilihan pengendalinya Muhammad Dhaarma Raj Abdullah setiap kali menghadapi kejohanan besar di peringkat antarabangsa.

Biarpun memiliki susuk tubuh agak kecil berbanding pemain lain, ia bukan penghalang buat pemain kelahiran Batu Pahat, Johor itu untuk bersaing merebut tempat dalam kesebelasan negara.


Berikutan buruan pingat emas acara hoki temasya Sukan Asia Incheon menjadi sasaran utama, penampilan pertama kali di Sukan Komanwel Glasgow bakal menjadi pengalaman berharga buatnya untuk dibawa ke Korea Selatan September ini.

"Memang saya kurang ketinggian, tapi saya mempunyai kelajuan. Saya tak gentar pada pemain lebih tingggi mungkin kerana saya 'gila' hoki.


"Tinggi atau besar seseorang itu bukanlah ukuran sebenar kekuatan sesebuah pasukan, tetapi semangat dan keberanian lebih penting ketika bermain.


"Saya akui, pasukan seperti Australia, Belanda dan Jerman mempunyai barisan pemain sasa hingga memberi banyak kelebihan kepada mereka, namun jika kita bijak mengekang asakan mereka, saya percaya pasukan bertubuh kecil juga boleh melakukan sesuatu," katanya kepada Arena Metro, baru-baru ini.

Walaupun sudah tampil dalam tiga kejohanan besar sebelum ini, Faiz memilih untuk merendah diri apabila beranggapan tempatnya dalam skuad Speedy Tigers untuk ke Sukan Asia Incheon belum terjamin.


Malah, pemain pertahanan kelab Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang hanya berketinggian 156sm dan berat 50kg itu, menegaskan sudah bersedia untuk menghalang lawan yang lebih tegap daripada menyelinap masuk ke kubu negara pada temasya di Scotland kali ini.

"Empat tahun lalu, saya sekadar menonton menerusi kaca televisyen ketika Malaysia menamatkan cabaran di tempat kelapan di New Delhi 2010 lalu. Tetapi pada temasya kali ini, saya dan rakan sepasukan pula diberi tanggungjawab mengibarkan cabaran Jalur Gemilang.


"Saya timba banyak pengalaman berharga sepanjang tahun ini terutama ketika kempen mengecewakan pada Piala Dunia di Belanda dan saya mahu jadikan ia pencetus kebangkitan buat diri saya untuk cuba tingkatkan permainan ke tahap lebih tinggi supaya terpilih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/01

Khairulnizam sasar serampang dua mata

Posted: 31 Jul 2014 10:41 AM PDT

Kuala Lumpur: Misi serampang dua mata, itulah yang akan dilakukan pelayar kebangsaan, Khairulnizam Mohd Afendy menjelang saingan Sukan Asia 2014 Incheon serta melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 Rio.

Pemenang pingat emas Sukan SEA Myanmar tahun lalu, baru saja pulang dari menyertai Kejohanan Kapal Layar Asia 2014 Incheon yang juga akan menjadi gelanggang Sukan Asia tahun ini.


"Saya berjaya meraih pingat perak dalam acara laser standard dan ia meningkatkan lagi semangat untuk beraksi di Sukan Asia nanti," katanya.

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, akan menyertai Kejohanan Kapal Layar Dunia 2014 Santander untuk mencari mata kelayakan ke Sukan Olimpik.


"Sekarang saya berlatih seperti biasa, untuk menghadapi dua kejohanan besar itu, Sukan Asia saya sasar untuk meraih pingat dan Kejohanan Dunia pula untuk meraih mata ke Sukan Olimpik.


"Pencabar saya di Sukan Asia nanti adalah dari Korea Selatan, Singapura, Thailand dan China," katanya yang beraksi di temasya empat tahun sekali itu buat kali kedua.

Khairulnizam mengakui sekarang ini tahap persiapannya sudah menjangkau 70 peratus dan perlu memperbaiki kelemahan terutama jika berada di situasi angin perlahan.


Atlet berusia 21 tahun ini juga pernah beraksi di Sukan Olimpik 2012 London dalam acara laser dan menduduki tempat ke-47 keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/01

No comments:

Post a Comment