Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Terlupa anak

Posted: 20 Aug 2014 12:32 PM PDT

Padang Terap: "Bapa mangsa tidak menyedari anaknya sedang tidur dalam kereta lalu terus masuk ke sekolah, tetapi dia terkejut apabila mendapati keadaan anaknya sudah tidak bernyawa apabila kembali semula ke kereta selepas tamat sesi persekolahan."

Begitu kata Soaid Adam, 45, bapa saudara kepada Muhammad Aqil Arfan Adnan, empat tahun, yang maut dipercayai akibat lemas selepas terperangkap lebih lapan jam dalam kereta milik bapanya di pekarangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang, semalam.

Kejadian disedari kira-kira jam 4 petang oleh bapa mangsa, Adnan Salleh, 42, yang juga guru apabila lelaki berkenaan kembali semula ke keretanya untuk pulang ke rumah di Pendang.

Sebelum itu, lelaki berkenaan dikatakan meletakkan kenderaan di parkir sekolah kira-kira jam 7.30 pagi tanpa menyedari anak bongsu daripada empat beradik berkenaan sedang tidur di belakang kereta selepas menghantar isterinya yang bertugas sebagai guru di SMK Syed Ahmad berhampiran.

Foto

SOAID memangku mayat Muhammad Aqil Arfan untuk dibawa ke hospital.


Soaid berkata, Adnan difahamkan terlupa menghantar anak lelakinya ke sebuah tadika yang terletak berhampiran sekolah isterinya lalu pergi ke sekolah tempat dia mengajar.


"Bapa mangsa dipercayai terlupa anaknya sedang tidur di tempat duduk belakang lalu meninggalkannya dipercayai untuk masuk ke kelas.

"Namun selepas bapa mangsa mahu pulang dan mengambil isterinya kira-kira jam 4 petang (semalam), dia terkejut apabila melihat anaknya tidak sedarkan diri di dalam kereta berkenaan," katanya yang ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, malam tadi.

Difahamkan, bapa mangsa kemudian mengejarkan anaknya ke Hospital Kuala Nerang sebelum doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Nashir Ya ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian akibat kecuaian.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, beliau berasa simpati dengan kejadian menimpa keluarga mangsa dan berharap insiden berkenaan dijadikan iktibar supaya tidak berulang.

"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka dapat bersabar dengan kejadian menimpa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/21

Roboh bengkel haram

Posted: 20 Aug 2014 12:25 PM PDT

Kuala Lumpur: Enam penyewa sebuah premis sementara mendakwa diperdaya pemilik tanah selepas kedai yang disewanya sejak setahun lalu dirobohkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) selepas didapati dibina di atas tanah rizab.

Salah seorang penyewa yang hanya mahu dikenali sebagai Azman, 40-an, berkata, dia menyewa kedai berkenaan untuk mengusahakan sebuah bengkel motosikal bersama rakannya.

Katanya, dia sudah membayar RM3,000 sebagai deposit dan bayaran sewa RM1,500 setiap bulan kepada pemilik tanah berkenaan.

"Pemilik ada memberitahu mengenai notis yang dikeluarkan pihak MPS untuk meroboh kedai sebulan lalu, tetapi dia menyuruh saya meneruskan bayaran sewa kerana kononnya sudah berunding dengan Pengarah MPS sendiri.

Foto

ANGGOTA MPS merobohkan premis yang dibina di atas tanah rizab.


"Saya berniaga dengan membuka bengkel motosikal, banyak motosikal milik pelanggan rosak selepas MPS merobohkan premis. Siapa nak bertanggungjawab?" katanya ketika ditemui, semalam.


Azman berkata, dia turut mengalami kerugian berpuluh ribu selepas pelbagai barangan dan alat ganti membaiki motosikal rosak.

"Saya sudah memaklumkan kepada pemilik tanah dan dia berjanji akan membayar semula ganti rugi, tetapi berharap dia akan mengotakan janjinya," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MPS, Ahmad Fauzi Ishak, berkata notis merobohkan premis terbabit sudah dikeluarkan sebulan lalu.

Katanya, enam premis berkenaan dirobohkan kerana dibina di atas tanah rizab selain mengganggu projek pembesaran parit ekoran daripada kejadian banjir setiap kali hujan lebat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/21

Mujur drebar sempat berhenti lori

Posted: 20 Aug 2014 12:24 PM PDT

Kajang: Seorang pemandu lori nyaris maut apabila kenderaannya tiba-tiba terbakar di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dari Mantin ke Kajang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu, lori satu tan yang dipandu mangsa tiba-tiba terbakar di bahagian enjin menyebabkan mangsa terus memberhentikan kenderaan sebelum orang ramai yang menyaksikan kejadian itu menghubungi bomba.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.56 pagi dan terus bergegas ke lokasi kejadian sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang tiba 14 minit kemudian.

Menurutnya, kerja-kerja pemadaman api membabitkan seorang pegawai dan enam anggota. Api berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya beberapa minit kemudian.


"Pemeriksaan mendapati kebakaran berlaku di bahagian enjin menyebabkan ia terbakar 80 peratus.


"Ketika kejadian mujur mangsa sempat menyelamatkan diri dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/21

Coretan ikhlas si cilik

Posted: 20 Aug 2014 12:22 PM PDT

Kuala Lumpur: Usia mereka hanya 10 tahun. Tapi, luahan hati terhadap penderitaan penduduk Gaza menerusi surat dalam bahasa Inggeris amat mengagumkan dan menyentuh perasaan.

Dua surat yang ditulis murid darjah empat Sekolah Kebangsaan (SK) Setiawangsa untuk subjek bahasa Inggeris itu dimuat naik ke laman Facebook dan menjadi viral kerana ramai yang tertarik dengan kemampuan penulisan kanak-kanak dalam isu berkenaan.

Murid terbabit, Mohammad Aqeef Mohd Radzlan berkata, dia menulis surat itu bagi menggambarkan perasaannya terhadap penderitaan penduduk Gaza.

"Dalam surat itu juga saya sertakan sebab mengapa Israel perlu berhenti menyerang Palestin. Palestin negara miskin dan tidak berupaya membalas serangan senjata canggih Israel," katanya.

Foto

MOHAMMAD Aqeef

Foto

FARHAD


Menurut anak kedua daripada empat beradik itu, dia mahu Israel menghentikan serangan ke atas bumi Palestin.


Katanya, dia juga sentiasa mengikuti perkembangan semasa mengenai nasib rakyat Palestin di televisyen, media tempatan selain berkongsi maklumat dan pengetahuan bersama keluarga serta rakan.

Bagi rakannya yang juga anak bongsu daripada dua beradik, Farhad Rusyidi, dia sedih dengan situasi melanda penduduk Gaza.

"Isi surat saya tulis adalah mengenai sejarah kedua-dua negara di mana sebelum ini Palestin pernah membantu Israel. Jika Israel hancurkan bumi Palestin, negara itu akan musnah kerana Palestin hidup susah," katanya.

Guru kelas yang juga guru bahasa Inggeris, Wan Faris Mohd Wan Yusoff, 26, berkata, dia sering bercerita mengenai erti kemanusiaan dalam slot pengajaran kepada muridnya.

Viral surat berkenaan mengejutkan Guru Besar SK Setiawangsa merangkap Pengerusi Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia, Ruslan Madon yang tidak menyangka surat muridnya itu dimuat naik di laman sosial dan mendapat perhatian orang ramai.

"Perkembangan ini sesuatu yang membanggakan. Pihak sekolah sentiasa menekankan kepada murid untuk mempunyai sikap saling membantu dalam kalangan manusia dan mereka yang memerlukan.

"Baru-baru ini, pihak sekolah turut melancarkan kutipan derma dalam kalangan murid dan ibu bapa dan berjaya mengutip RM6,080 untuk disumbangkan kepada penduduk Gaza," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/21

Beri lampu hijau kepada usahawan

Posted: 20 Aug 2014 12:19 PM PDT

Kuala Lumpur: Kerajaan diminta mempertimbangkan pemberian insentif serta kemudahan lain kepada usahawan kecil luar bandar dibiayai Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di seluruh negara dalam perbentangan bajet 2015 tidak lama lagi.

Kemudahan lain itu termasuk memberi lampu hijau kepada peminjam AIM mendapatkan lesen perniagaan sebelum menjalankan perniagaan di kawasan mereka.

Presiden AIM, Dr Zubir Harun berkata, pihaknya kecewa apabila menerima aduan segelintir peminjam yang tidak berpeluang berniaga di tapak disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT) sedangkan idea dan modal sudah tersedia bagi mereka.

"Walaupun peminjam AIM mempunyai produk dan modal memulakan perniagaan, namun hasrat mereka keluar daripada kemiskinan terbantut apabila tidak diberikan hak sama seperti usahawan kecil lain.


"Perkara ini turut mengakibatkan kelewatan pembayaran balik pinjaman berikutan tidak berpeluang dalam pemasaran serta sering disekat oleh PBT di kawasan mereka," katanya selepas menghadiri Majlis Aidilfitri anjuran AIM, di sini, semalam.


Katanya lagi, sudah tiba masanya kerajaan menyediakan ekosistem baru bagi memberi peluang kepada semua usahawan kecil luar bandar di negara ini mampu bersaing dengan adil.

"AIM sentiasa berusaha untuk memastikan pemohon pinjaman berjaya keluar dari kemiskinin, namun tanpa bantuan kerajaan perkara itu sukar dilaksanakan.

"Tidak dinafikan setiap tahun kerajaan tidak pernah terlepas dalam menyalurkan dana kepada AIM bagi usaha membantu golongan miskin luar bandar, namun peluang dan ruang turut diperlukan bagi peminjam AIM untuk terus maju dan berjaya," katanya.

Dalam majlis sama, Dr Zubir turut menyampaikan sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima Berhad sebanyak RM135,675 yang berjaya dikutip selama tiga minggu di kalangan kakitangan AIM dan juga peminjamnya.

Sumbangan diterima wakil Media Prima, Pengurus Besar Kumpulan Komunikasi Korporat, Azlan Abdul Aziz.

Turut diraikan 100 anak yatim daripada Asrama Damai Kuang, Rumah Kasih Sayang, Rawang dan Pusat Jagaan Nur Muhammad, Pinggiran Subang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/21

No comments:

Post a Comment