Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Penyamun ala 'Suarez'

Posted: 19 Aug 2014 11:40 AM PDT

Kota Tinggi: Seorang inspektor dan detektif dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) cedera digigit seorang suspek samun ketika mereka bergelut untuk menahan lelaki itu, di sini, semalam.

Sebelum itu, pegawai dan anggota polis berkenaan bersama mangsa samun berjaya mengesan penjenayah itu di kawasan Pandan, Johor Bahru melalui isyarat telefon bimbit iPhone milik mangsa yang dilarikan lelaki terbabit.

Pegawai dan detektif polis itu mengambil mangsa dan anak lelakinya di Hotel New York, Jalan Abdullah Tahir di Johor Bahru dan bergegas ke arah Kota Tinggi bagi mengesan suspek.

Menurut sumber, hampir dua jam memantau pergerakan lelaki itu, mereka mengesan kereta suspek di Jalan Niaga 10, di sini, sebelum kenderaan yang disyaki itu bergerak ke Jalan Tun Seri Lanang.

Foto

KESAN gigitan pada seorang daripada mangsa.

Foto

LOGO Persatuan Bekas Polis Bukit Aman pada kereta dinaiki suspek.


Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, suspek memandu keretanya secara melawan arus laluan sehala dan apabila dia berhenti di sebuah kedai serbaneka, pegawai dan anggota polis menghampirinya.


Selepas memperkenalkan diri dan meminta dokumen pengenalan diri, lelaki terbabit tiba-tiba bertindak ganas menyebabkan berlaku pergelutan.

Suspek menggigit kedua-dua polis itu di tangan dan bahu serta cuba merampas pistol milik inspektor berkenaan, namun kecekapan pegawai terbabit dapat mengelak kejadian yang tidak diingini dan penjenayah bertubuh sasa itu berjaya diberkas.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/20

Askar balik ronda maut

Posted: 19 Aug 2014 11:28 AM PDT

Sandakan: Perjalanan pulang enam anggota tentera ke kem selepas membuat rondaan keselamatan bertukar tragedi apabila dua maut manakala empat cedera ringan selepas kereta perisai Adnan dinaiki mereka hilang kawalan dan terbalik di Labuk Bay, Jalan Sungai Tiram, Batu 19, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.15 pagi itu, ketua kru Sarjan Mohd Hanif Patahur Rahim, 31, dan Prebet Ahmad Fikri Mansor, 23, dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit.

Empat mangsa lain yakni pemandu kereta kebal iaitu Koperal Mohd Faizal Ahmad, 29, Koperal Mohd Amaruddin Che Soh, 29, Lans Koperal Mohamad Haffez Khairudin, 24, dan Prebet Ifaiznor Ismail, 29, hanya cedera ringan dan dirawat di Hospital Duchess of Kent, di sini.

Difahamkan, semua anggota terbabit dari Kem Batu 10, Kuantan, Pahang yang berkhidmat di sini bagi tugasan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mulai 15 Jun lalu hingga 15 September ini.

Foto

KERETA perisai Adnan yang dinaiki enam anggota tentera terbalik di Labuk Bay, semalam.


Ketika kejadian, mereka dalam perjalanan pulang ke Kem Sri Kinabatangan, dekat sini, bersama sebuah lagi kereta kebal selepas menjalankan rondaan keselamatan di Labuk Bay.


Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan Superintendan Fadzil Mohd Ali berkata, siasatan awal mendapati semua anggota tentera berkenaan dipercayai baru selesai menjalankan rondaan keselamatan dan dalam perjalanan pulang ke Kem Sri Kinabatangan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/20

Mimpi abang long pulang tersenyum

Posted: 19 Aug 2014 11:25 AM PDT

Pasir Mas: "Tiga malam berturut-turut Ahmad Mustakim mimpikan abang longnya pulang ke rumah. Saya tak sangka mimpinya itu membawa petanda kami akan kehilangan Ahmad Fikri buat selama-lamanya.

"Saya masih terkejut lagi dengan berita ini," kata Rosnani Seman, 43, ibu kepada Ahmad Fikri Mansor, 23, seorang daripada dua anggota tentera yang maut selepas terbabit kemalangan di Labuk Bay, Jalan Sungai Tiram, Batu 19, Sandakan, Sabah, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.15 pagi itu, kereta kebal Adnan yang dinaiki Ahmad Fikri bersama beberapa anggota lain terbabit kemalangan dan terbalik menyebabkan dua maut manakala, empat anggota lagi cedera.

Rosnani berkata, dia mengetahui berita kematian anak sulung daripada lima beradik itu sekitar jam 2 petang menerusi panggilan telefon daripada rakan setugas arwah.

Foto

ROSNANI (dua dari kiri) bersama anak-anaknya sebak menatap gambar kenangan Ahmad Fikri.


Katanya, sebelum itu anak keempatnya iaitu Ahmad Mustakim, 15, memberitahu mimpikan arwah yang pulang ke rumah dengan wajah yang ceria dan sentiasa tersenyum.


"Sebelum itu, sudah dua hari dia bermimpi arwah berada dalam rumah kami.

"Mulanya saya menyangka mimpinya itu kerana dia terlalu rindukan abangnya. Tak tahu pula mimpi terbabit membawa maksud berbeza," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/20

Dentuman 'lipat' nyawa

Posted: 19 Aug 2014 11:24 AM PDT

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah, Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz dan Syazwan Msar

Kuantan: Tiga anggota tentera Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Briged Mekanize terbunuh manakala seorang lagi parah dalam kemalangan di Batu 3, Jalan Gambang, tengah malam semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, mangsa, Mohd Fahmi Jap, 23, Muhammad Ilias Seman, 23, dan Mohammad Faizal Mohd Zainol, 26, maut di tempat kejadian manakala Shamzuri Awang@Jali, 23, parah dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan.

Saksi kejadian, Ridzuan Udin, 33, berkata, sebelum kejadian dia memandu di belakang kenderaan mangsa dan melihat kereta Honda Civic Ferio dipandu Shamzuri seakan 'melayang' sebelum merempuh pokok dan masuk ke dalam longkang di kiri jalan.

"Sejurus kejadian, saya melihat tiga mangsa tercampak keluar dari kenderaan manakala pemandu tersepit di tempat duduk. Lebih mengerikan ada mangsa tercampak dalam keadaan badan terlipat.

Foto

KERETA dipandu mangsa putus dua akibat nahas di Batu 3, Jalan Gambang, semalam.


"Saya dan pengguna jalan raya lain memberhentikan kenderaan dan membantu mengeluarkan pemandu sebelum menghubungi ambulans," katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.


Katanya, rempuhan itu terlalu kuat sehingga menyebabkan kereta dinaiki mangsa putus dua dengan bahagian hadapan kereta berada di dalam longkang manakala bahagian belakangnya tercampak di dalam semak.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/20

Buah tangan sebelum 'pergi'

Posted: 19 Aug 2014 11:17 AM PDT

Pendang: Tingkah laku kurang ceria anggota tentera Muhammad Ilias Seman, 23, ketika menyambut Aidilfitri, baru-baru ini apabila lebih banyak berkurung dalam rumah dan merakam gambar bersama anak saudaranya bagai memberi petanda arwah akan pergi buat selama-lamanya.

Ibunya, Che Bashah Bakar, 63, berkata, dia tidak perasan sebarang perubahan pada diri anak bongsu daripada enam beradik itu, namun kakak-kakaknya ada menegur dia kelihatan tidak ceria dan langsung tidak keluar rumah untuk beraya di rumah sanak saudara.

Menurutnya, arwah sekadar duduk saja di dalam rumah selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri dan banyak menghabiskan masa bergambar bersama anak-anak saudaranya dengan menggunakan telefon bimbit miliknya.

"Dia (Muhammad Ilias) kata hendak ambil gambar banyak-banyak supaya dapat ditatap semula sebagai pengubat rindu selepas kembali bekerja nanti.

Foto

MOHD Fadzil menunjukkan gambar arwah adiknya, Muhammad Ilias.


"Malah, arwah juga memberi semua barang-barang berharga seperti komputer riba, telefon bimbit dan motosikal miliknya kepada ahi keluarga lain sewaktu balik beraya, baru-baru ini dan tidak menyangka rupa-rupanya itu pemberian terakhir arwah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Nan, dekat sini, semalam.


Menurutnya, walaupun terkejut dengan berita kematian anak bongsunya yang ditemui ketika pulang menyambut Aidilfitri kira-kira dua minggu lalu, namun mereka tetap reda dan menerimanya sebagai suratan takdir buat keluarga.

"Saya mendapat berita mengenai kematiannya kira-kira jam 4 pagi tadi (semalam) selepas kakaknya mendapat panggilan daripada majikan arwah.

"Takdir ini sudah tidak boleh diubah dan kami hanya mampu menunggu jenazah arwah tiba untuk menatap wajahnya buat kali terakhir," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/20

No comments:

Post a Comment