Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tergamam gudang diserbu

Posted: 22 Aug 2014 02:44 PM PDT

Subang Jaya: Seorang lelaki berusia 36 tahun yang juga penjaga gudang rokok haram tergamam apabila premis yang dijaganya di Bandar Baru Puchong, di sini, diserbu polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 7.35 petang itu, sejumlah 21,150 karton rokok haram dianggarkan bernilai RM630,000 dirampas.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, rampasan rokok haram itu yang terbesar pada tahun ini dan pihaknya sudah menyerahkan suspek serta barang rampasan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut.

Yahaya berkata, pasukan JSJ IPD Subang Jaya melakukan Op Poket di kawasan berkenaan selepas mendapat maklumat mengenai kegiatan penyimpanan dan pengedaran rokok haram.

Menurutnya, sebaik pasukannya tiba di premis terbabit, pihaknya mendapati pintu gudang itu tertutup namun tidak berkunci.

"Selepas memasuki premis, kami (polis) menemui seorang lelaki dipercayai penjaga gudang itu dalam keadaan tergamam.

Pemeriksaan kemudiannya menemui puluhan kotak kecil dan besar.

"Selepas membuka kotak berkenaan, terdapat 21,150 karton rokok seludup dianggarkan bernilai RM630,000," katanya ketika dihubungi.

Yahaya berkata, berdasarkan hasil soal siasat yang dilakukan terhadap suspek, lelaki terbabit mendakwa dia baru bekerja selama seminggu untuk menjaga premis berkenaan.

"Premis ini dijadikan gudang untuk menyimpan rokok seludup sebelum diedarkan kepada pemborong," katanya.

Foto

RAMPASAN rokok di Bandar Baru Puchong.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/23

Mekanik parah kena tembak

Posted: 22 Aug 2014 01:28 PM PDT

Manjung: Seorang mekanik yang sedang minum bersama dua rakannya di sebuah restoran di Medan Sitiawan, di sini, parah terkena beberapa das tembakan yang dilepaskan dua individu tidak dikenali dalam kejadian tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam, mangsa yang berusia 37 tahun, cedera di tangan dan kaki, namun dilaporkan dalam keadaan stabil serta masih dirawat di Hospital Seri Manjung (HSM), di sini.

Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, siasatan awal polis mendapati ketika mekanik itu sedang minum bersama beberapa rakannya di premis berkenaan, mangsa didatangi dua lelaki yang secara tiba-tiba melepaskan beberapa das tembakan sebelum melarikan diri menaiki sebuah motosikal.

"Mangsa yang bekerja sebagai mekanik motosikal terkena tembakan berkenaan dan mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan tangan.

"Lelaki terbabit kemudian dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan dan setakat ini, keadaannya dilaporkan stabil," katanya, di sini, semalam.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan tidak terbabit dalam sebarang kegiatan sama ada kumpulan kongsi gelap atau lain-lain aktiviti yang menyalahi undang-undang.

"Siasatan setakat ini juga mendapati tiada sebarang petunjuk yang mengaitkan kes tembakan ini dengan kejadian tembak di kawasan Ayer Tawar, Manjung, baru-baru ini," katanya.

Dalam kejadian Selasa lalu, seorang lelaki dipercayai berpangkat Datuk nyaris maut apabila seorang lelaki meluru dan melepaskan dua tembakan ke arahnya berhampiran sebuah dewan di Ayer Tawar.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 malam itu, mangsa, 49, dikatakan menghadiri jamuan makan malam di dewan berkenaan sebelum dihampiri seorang lelaki.

Difahamkan, lelaki itu kemudiannya mengacukan pistol ke kepala mangsa dan cuba melepaskan tembakan, namun gagal.

Mangsa yang terkejut segera menepis tangan suspek sebelum berlaku pergelutan di lokasi kejadian.

Keadaan panik itu menyebabkan suspek melepaskan satu tembakan mengenai lengan kanan mangsa dan satu tembakan tersasar.

Pergelutan itu berjaya dileraikan pengawal peribadi mangsa yang kemudiannya merampas pistol digunakan.


Suspek bagaimanapun berjaya melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/23

22 ahli keluarga 'gugur'

Posted: 22 Aug 2014 01:28 PM PDT

Kota Bharu: "Sudah 22 ahli keluarga saya terkorban termasuklah dalam tempoh genjatan senjata, Ramadan lalu.

"Sememangnya kami tertekan dan kehilangan orang tersayang adalah bebanan emosi yang sukar ditanggung," luah penuntut jurusan perubatan Universiti Islam Gaza, Palestin Ibrahim Al Agha.

Ibrahim, 20, ditemui di Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, di sini, semalam bersama 12 lagi rakan sekampusnya yang berada di Malaysia menjalani latihan amali selama hampir sebulan.

Mereka tiba di negara ini minggu lalu menerusi usaha sama dengan Pertubuhan Aqsa Syarif.

Menurut Ibrahim lagi, dia pernah kehilangan 12 anggota keluarga dalam satu hari apabila rumah mereka musnah dibedil rejim Zionis.

"Tiada siapa sanggup hilang orang tersayang dalam jumlah yang ramai sekali gus.

Memang sedih dan sangat memilukan.

"Bagaimanapun, bagi rakyat Palestin, kami tiada pilihan kerana itulah rumah kami, dan percaya mereka yang meninggalkan kami, mati syahid.

"Untuk mengubat kelukaan itu saya sendiri menyertai badan bukan kerajaan (NGO) dan bertugas secara sukarela membantu mangsa cedera," katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Fakulti Perubatan USM Prof Dr Din Suhaimi Sidek berkata, pihaknya bersama Aqsa Syarif akan mengadakan tabung khas bagi mengutip dana membantu Universiti Islam Gaza.

Katanya, kutipan bermula semalam dengan tabung bantuan diagih ke masjid sekitar bandar ini diselia Pengurus Aqsa Syarif Negeri Mohd Nurdin Mustafa.

Sementara itu, beliau berkata, 12 penuntut universiti berkenaan akan diberi ruang menjalani latihan amali terbaik di USM dan menimba pengetahuan secukupnya sebagai bekalan untuk dibawa pulang ke negara asal.

"Sepatutnya mereka tiba lebih awal dan menjalani amali selama tiga bulan mulai Jun, namun berikutan siri serangan Israel dan genjatan senjata, terpaksa ditangguhkan dulu sehinggalah tiba minggu lalu.

"Kita juga mengadakan kutipan derma khas untuk membantu pihak universiti di sana menyedia keperluan belajar untuk penuntut mereka dan mensasarkan mengumpul sekurang-kurangnya RM20,000," katanya.

Orang ramai yang mahu menderma boleh menyalur sumbangan ke akaun Maybank 557344058202 atas nama Tabung Islamic University of Gaza.

Foto

DR Din Suhaimi (berdiri lima dari kiri) bersama penuntut Universiti Islam Gaza di pejabat Pusat Pengajian Sains Perubatan USM.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/23

'Anak muda jangan leka'

Posted: 22 Aug 2014 01:26 PM PDT

Tasek Gelugor: "Anak muda jangan alpa kerana sejarah boleh berulang," kata pesara polis SC (Special Constabel), Othman Itam, 79, yang pernah bertempur dengan pengganas komunis pada 1956.

Othman dari Guar Kepayang, Sungai Dua, dekat sini berkata, walaupun menyertai pasukan keselamatan berkenaan selama lima tahun bermula 1955, peristiwa bertempur dengan pengganas komunis dalam ladang getah di Gelang Patah, Johor tidak pernah dilupakan.

Beliau berkata, kesusahan hidup ketika zaman peperangan dengan komunis menyebabkan kemerdekaan amat bermakna buat dirinya.

"Saya masih ingat pengalaman bersama 11 rakan bertempur dengan pengganas komunis pada 1956 selepas menemui khemah mereka ketika operasi di ladang getah di Gelang Patah.

"Kami bertempur selama 30 minit dengan empat pengganas komunis sebelum seorang daripada mereka terbunuh.

"Walaupun saya dan rakan tidak mengalami kecederaan, kenangan itu terpahat di hati dan masih segar sehingga hari ini," katanya.

Othman berkata, anak muda hari ini dilihat kurang bersemangat menyambut kemerdekaan negara kerana tidak pernah mengalami keperitan ketika zaman perang seperti dialami kebanyakan generasi warga emas terutama bekas tentera dan polis.

"Kami berjuang untuk negara dan kemerdekaan pada 1957 amat bermakna buat kami.

Kepada anak muda, jangan mudah lupa kerana sejarah boleh berulang," katanya selepas menerima sumbangan disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Muhamad Yusoff Mohd Noor di Sungai Dua, kelmarin.

Othman antara enam 'Wira Tak Didendang' yang diraikan sempena Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2014 peringkat Daerah Seberang Perai Utara membabitkan 14 kenderaan Jabatan Penerangan Pulau Pinang.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan negeri, Ishak Abdullah berkata, selain berkonvoi, pihaknya turut memberi sumbangan kepada 'Wira Tak Didendang' iaitu bekas tentera dan polis yang pernah berjasa kepada negara.

"Konvoi yang bermula di Sungai Dua bergerak ke Sungai Puyu, Bagan Ajam, Padang Cempedak, Taman Koskam, Paya Keladi dan berakhir di Rumah Sejarah Kepala Batas.

"Konvoi ini bertujuan menyemarakkan kembali semangat kemerdekaan negara terutama dalam kalangan generasi muda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/23

Rentas sempadan kaum

Posted: 22 Aug 2014 01:25 PM PDT

Georgetown: Tugas sebagai jururawat yang berdepan dengan pelbagai lapisan masyarakat, peringkat usia serta jenis penyakit membelenggu pesakit membuatkan bidang tugas itu cukup mencabar dan memerlukan kesabaran serta kemahiran tinggi.

Yang jelas, bidang tugas itu memerlukan seseorang jururawat bertugas dengan ikhlas serta penuh komitmen tanpa mengira warna kulit, bangsa serta agama pesakit kerana yang paling penting, pesakit menerima layanan dan rawatan sebaik mungkin.

Jururawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Gleneagles, Jalan Pangkor, di sini, Ch'ng Lee Ming, 32, berkata hubungan yang terjalin secara langsung sejak hari pertama seseorang pesakit dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan membuatkan jururawat turut berkongsi kelegaan dan kegembiraan apabila pesakit mula menunjukkan perkembangan positif dan semakin pulih.

Malah, nalurinya sebagai seorang wanita cukup tersentuh apabila pesakit muda iaitu seorang bayi perempuan berusia dua bulan yang menghidap penyakit jantung, dimasukkan ke wad berkenaan pada pagi Rabu lalu.

Beliau berkata, walaupun bayi berkenaan, Nurul Shafina Liana Abdullah berlainan agama dan bangsa, tidak terdetik langsung sebarang jurang perbezaan, malah dia mula kasih kepada bayi berkenaan dan merawatnya dengan penuh komited.

"Melihat kepada fizikal dan kesakitan yang dialami bayi itu, saya turut sedih.

Namun, perasaan itu perlu disembunyikan daripada ibunya, Kamariah Itam, 19, sebaliknya saya perlu bersemangat untuk memberi dorongan kepadanya.

"Kebelakangan ini, saya lihat Nurul Shafina Liana sudah mula senyum dan saya turut gembira melihat perkembangannya," katanya.

Manakala jururawat pelbagai kaum yang bertugas di wad kanak-kanak pusat perubatan berkenaan memanfaatkan musim perayaan dan juadah istimewa untuk mengeratkan hubungan dan semangat kerjasama dalam kalangan mereka.

Jururawat, Nor Fadhillah Masadi, 26, berkata misalnya sepanjang Syawal, dia dan rakan sekerja beragama Islam akan membawa juadah tradisional Melayu bagi dikongsi bersama kakitangan lain.

Selain itu, Nor Fadhillah mengakui mempunyai strategi tersendiri bagi mengeratkan hubungan sesama mereka.

"Biasanya saya akan memasak sesuatu juadah dan akan beri kepada rakan di sini, kerana saya dapati dengan cara itu kami lebih saling menghargai dan bekerjasama dalam tugas.

"Walaupun berlainan bangsa, tiada sempadan antara kami dan semuanya saling membantu antara satu sama lain," katanya yang berasal dari Sungai Petani, Kedah.

Sementara itu, Loh Kooi Hoong, 24, turut mengakui gemar dengan hidangan ketupat bersama rendang ayam yang diberi rakan sekerja.

Bukan itu sahaja, jika ada masa terluang, mereka akan bersarapan dan makan tengah hari bersama di gerai berdekatan.

"Makanan kegemaran kami tentulah roti canai atau nasi lemak yang sering menjadi hidangan ketika bersarapan.

"Bukan itu sahaja, jika ada kakitangan yang menimang cahaya mata, bersara atau menerima kenaikan pangkat, kami akan bersama-sama mengumpul wang bagi membeli hadiah," katanya.

Sementara itu, jururawat yang baru lapan bulan bertugas di pusat perubatan berkenaan, S Pauline Anne, 21, mengakui terharu dengan kerjasama yang diberikan semua kakitangan di situ.

Pauline berkata, sebagai jururawat baru, banyak perkara yang perlu diteroka dan memerlukan tunjuk ajar daripada jururawat yang lebih berpengalaman.

"Saya masih ingat ketika mula melapor diri sebagai jururawat di wad kanak-kanak dan gugup ketika merawat pesakit.

Kerana gementar, saya kerap terlupa prosedur tertentu ketika merawat pesakit lalu meminta bantuan daripada rakan senior.

"Saya andaikan akan dimarahi mereka, namun telahan saya silap kerana mereka sedia membantu dengan baik sekali dan ia menjadi pengalaman manis buat saya," katanya.

Foto

Lee Ming (dua dari kiri) membantu Kamariah (kiri), bagi menguruskan anaknya, Nurul Shafina yang menghidap penyakit jantung.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/23

No comments:

Post a Comment