Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


'Pembelit' sambung belajar

Posted: 05 Aug 2014 01:09 AM PDT

Kuala Lumpur: Sanggup menipu untuk sambung belajar di Malaysia. Itu taktik pelajar luar negara yang cuba 'membelit' pihak berkuasa negara ini semata-mata mendapat kelulusan visa antarabangsa dan mendaftar sebagai pelajar kolej swasta di Malaysia.

Bagaimanapun, cubaan itu dikesan Education Malaysia Global Services (EMGS) selepas siasatan mendapati ada pelajar luar negara yang menghantar dokumen palsu ketika memohon visa untuk belajar di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Yazid Abd Hamid, berkata, setakat ini pihaknya merekodkan beberapa kes seumpamanya iaitu meminda keputusan peperiksaan atau menggunakan keputusan individu lain.

"Memang kita terima bermacam-macam kes, tetapi antara yang mengejutkan ialah penipuan kelayakan kerana itu syarat asas diterima masuk sebagai pelajar di negara ini.

Foto

MOHD Yazid menunjukkan contoh permohonan pelajar luar negara yang dipalsukan.

Foto

KAKITANGAN menjalankan tugas dengan teliti menapis permohonan mendapatkan visa di dalam jabatan EMGS.


"Yang lain termasuklah palsukan cop serta kebenaran dari negara asal. Kita terima aduan ini dan apabila membabitkan permohonan, itu di bawah bidang kuasa EMGS manakala penguatkuasaan lebih kepada Jabatan Imigresen.


"Menerusi sistem yang canggih, cubaan seperti itu kita dapat dikesan dan apabila semakan dibuat, kita dapati ada kesalahan seperti pindaan slip keputusan peperiksaan berbanding asal," katanya.

Mohd Yazid berkata, beroperasi Februari tahun lalu, EMGS sebagai pusat sehenti untuk mendapatkan visa pelajar antarabangsa menggunakan sistem bersepadu bersama Jabatan Imigresen dan pihak berkuasa pendidikan, sudah menerima lebih 50,000 permohonan.

"Dan tahun lalu saja, kami menolak lebih 1,400 permohonan pelajar asing kerana gagal memenuhi saringan kemasukan meneruskan pengajian di negara ini," katanya.

Menurutnya, EMGS serius memastikan pelajar antarabangsa yang berkualiti dan serius dalam pengajian saja diberi tempat di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan.

Justeru beliau menasihatkan setiap IPTS harus memainkan peranan dalam menentukan pelajar berkenaan memenuhi syarat kelulusan akademik dan benar-benar mampu membiayai pengajian sebelum urusan permohonan visa pelajar dilakukan.

"Jika kita kesan ada usaha memalsukan dokumen atau ada rekod menunjukkan permohonan lampau pernah ditolak, permohonan pas baru atau pembaharuan kita akan tolak," katanya.

Kata Mohd Yazid, sejak sistem itu diperkenalkan, permohonan mendapatkan visa berkurangan berikutan pemantauan ketat oleh EMGS yang membantu kerajaan dalam mengekang kemasukan mereka yang mempunyai tujuan lain, termasuk melakukan pelanggaran undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/05

Mati rentung flat terbakar

Posted: 04 Aug 2014 10:42 AM PDT

Georgetown: Seorang lelaki warga emas tidak sempat menyelamatkan diri selepas rumahnya terbakar dalam kejadian di tingkat tiga Flat Paya Terubong, Padang Tembak, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mayat Tan Beng Poh, 60, ditemui rentung di pintu utama rumahnya selepas bomba memadam kebakaran.

Difahamkan, mangsa yang mengalami masalah mental itu mahu melarikan diri, namun mengalami sesak nafas dan rebah di depan pintu rumahnya sebelum tubuhnya dijilat api.

Adik mangsa, Tan Beng Hin, 56, berkata, abangnya tinggal seorang diri di rumah terbabit sejak enam tahun lalu dan dia mengalami masalah mental selepas kilang tempatnya bekerja ditutup hampir 15 tahun lalu.

"Abang berkahwin dan mempunyai tiga anak, namun dia tidak tinggal bersama isteri serta anaknya kerana penyakit dialaminya membuatkan dia suka berkurung di dalam rumah.

"Hampir setiap hari dia pergi ke pejabat saya di Georgetown untuk mengambil wang dan kali terakhir kami bertemu beberapa hari lalu," katanya.

Difahamkan, kerana masalah mental dialaminya itu, mangsa suka mengutip dan membakar sampah di dalam rumahnya dan kebakaran ini bukan kali pertama berlaku.

Sebelum ini, jiran mangsa sudah beberapa kali memadam kebakaran dalam rumahnya kerana mangsa kerap membakar sampah dan membiarkan api marak dalam rumah.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.55 petang dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.

"Empat jentera dikejarkan ke lokasi kejadian dan hampir keseluruhan rumah mangsa hangus dalam kebakaran terbabit.

"Kami masih menyiasat punca kejadian dan selepas api dipadam, kami menemui mayat seorang lelaki yang hangus dalam keadaan tertiarap di depan pintu rumahnya," katanya pada sidang media di lokasi kejadian.


Foto

API marak membakar rumah mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/05

Lima beradik jadi yatim piatu

Posted: 04 Aug 2014 10:23 AM PDT

Teluk Intan: Lima beradik menjadi yatim piatu sekelip mata selepas kehilangan ibu bapa dalam kemalangan membabitkan dua Perodua Kancil di Kilometer 44, Jalan Teluk Intan-Sitiawan, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu juga dua beranak turut maut selepas kedua-dua kenderaan itu bertembung.

Ketika kejadian itu, Perodua Kancil yang dinaiki Mohd Amin Mat Yusuf, 52, isteri, Norkhaijan Tukiran, 43, serta anak, Mohd Haziq Mohd Amin, 6, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Changkat Lada, Seberang Perak selepas pulang beraya di Sepang, Selangor, sebelum bertembung sebuah lagi Perodua Kancil yang dinaiki sebuah keluarga.

Berikutan kejadian itu, Mohd Amin maut di tempat kejadian, Norkhaijan pula meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Teluk Intan jam 4 petang semalam manakala Mohd Haziq cedera ringan.

Turut maut dalam kejadian itu ialah M Pusparani, 36, serta anaknya lelakinya, R Sanjeet, 2, manakala suaminya, K Ravi, 40, yang cedera dirawat di Hospital Teluk Intan.

Seorang lagi anak pasangan itu, R Balacanderao, 5, cedera parah dan menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh.

Kakak Allahyarham Mohd Amin, Siti Rokiah Mohd Yusuf, 58, berkata, beberapa jam sebelum kejadian, mereka sekeluarga baru saja beraya di sebuah rumah salah seorang ahli keluarga di Sepang.

Menurutnya, sebelum berangkat pulang ke rumahnya di Changkat Lada, dekat sini, Allahyarham adik sempat menjamu selera dengan pelbagai hidangan.

"Kami adik-beradik sempat memeluk dan mencium sesama sendiri.

Jadi saya sangat terkejut apabila mendengar kejadian ini.

"Bagaimanapun kami reda dan anggap kejadian ini ketentuan Ilahi," katanya, semalam.

Menurutnya, pasangan itu meninggalkan lima anak termasuk anak bongsu Mohd Haziq.

Mohd Haziq yang ditemui berkata, suasana ketika itu sangat gelap.

"Ada kereta langgar kereta ayah.

Saya takut.

Foto

MOHD Haziq ditenteramkan ibu saudaranya.


Ayah tak bergerak," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, ketika kejadian, kereta dipandu Ravi dari arah Sitiawan ke Teluk Intan manakala kereta dipandu Norkhaijan dari arah bertentangan.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, satu kereta berkenaan erbabas lalu memasuki lorong bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan dari hadapan menyebabkan kedua-duanya remuk dan semua mangsa tersepit.

"Orang ramai membantu pihak bomba dan penyelamat mengeluarkan mangsa yang meninggal dunia dan cedera.

"Mohd Amin dan Sanjeet meninggal dunia di tempat kejadian manakala Pusparani dan Norkhaijan ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/05

Dendam 'perah' enjin motosikal

Posted: 04 Aug 2014 10:22 AM PDT

Seremban: Seorang pekerja Kompleks Sukan Nilai, Amir Fazli Suhaimi, 18, yang dijumpai meninggal dunia dalam keadaan tertiarap dalam lubang di tapak pembinaan Batu 3, Jalan Labu, di sini, kelmarin, dipercayai dibelasah hingga mati oleh kumpulan bermotosikal akibat perbuatannya membunyikan enjin motosikal dengan kuat di persimpangan lampu isyarat di Senawang, dekat sini, malam Sabtu lalu.

Menurut sumber, siasatan awal polis mendapati sebelum mayatnya ditemui orang ramai jam 8.20 pagi, mangsa yang tamat bertugas di kompleks itu meminjam motosikal Yamaha 125Z milik rakan sekerjanya Muhamad Suhaimi Rashid, 19, untuk ke Senawang, di sini.

"Selesai bekerja jam 11 malam, dia menunggang motosikal sendirian mengikuti rakannya ke Senawang.

"Ketika tiba di satu persimpangan lampu isyarat, dia dikatakan membunyikan enjin motosikal terhadap kumpulan motosikal lain.

Foto

PASANGAN kekasih yang ditahan bantu siasatan.


"Disebabkan tidak puas hati, lima individu yang menunggang motosikal berkenaan mengejar mangsa dari Senawang hingga ke lokasi penemuan mayatnya (Jalan Labu)," kata sumber itu di sini, semalam.


Sumber itu berkata, polis percaya sejurus tiba di tempat kejadian, motosikal ditunggang mangsa disepak kumpulan terbabit menyebabkannya terjatuh sebelum diseret dan dipukul hingga mati.

"Hasil bedah siasat dibuat di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) menunjukkan mangsa dipukul dan dihentak menggunakan objek," kata sumber itu lagi.

Menurut sumber itu, mayat mangsa ditemui dalam keadaan tidak berbaju, selain mengalami patah kaki kiri, lebam mata kanan dan berdarah di hidung serta mulut.

"Hasil siasatan, polis menahan sepasang kekasih berusia 21 tahun dan 19 tahun yang disyaki terbabit dalam kejadian itu di Ampangan, jam 6 petang kelmarin," kata sumber itu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/05

Pasukan kita masuk

Posted: 04 Aug 2014 10:15 AM PDT

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Suraya Roslan, Asmah Rusman, Fardy Bungga dan Rosyahaida Abbdullah

Kiev: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan seramai 21 anggota Pasukan Siasatan Khas dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) diketuai Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar selamat memasuki kawasan nahas penerabngan MH17 di Donetsk, Ukraine, pagi semalam.

Beliau berkata, pasukan itu dikawal rapi pihak berkuasa sepanjang perjalanan ke lokasi nahas malah mereka juga melihat kemusnahan perang di sekitar kawasan terbabit.

"Walaupun mereka berjaya tiba di kawasan nahas, namun setakat ini, kerja menggeledah dan mencari bukti kes masih belum dapat dimulakan berikutan kejadian berbalas tembakan meriam sedang berlaku antara tentera Ukraine dan pemberontak pro-Russia," katanya.

Bagi tujuan keselamatan anggota menurutnya, kumpulan pemberontak tidak membenarkan kerja geledah dilaksanakan pada waktu itu.

Foto

ANGGOTA pasukan dari Belanda dan Australia meneruskan operasi mencari di lokasi MH17 terhempas berhampiran perkampungan Rozsypne di Timur Ukraine.


Pasukan Malaysia dapat berlindung di kawasan berhampiran lokasi nahas di sekitar tepi jalan sehingga keadaan lebih stabil dan selamat.


Sementara itu, agensi media AFP melaporkan, pakar Malaysia mula memasuki lokasi nahas MH17 di timur Ukraine buat kali pertama, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/05

No comments:

Post a Comment