Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Ketawa ketika disiasat

Posted: 15 Aug 2014 01:48 PM PDT

Bali: Remaja Chicago yang didakwa membunuh ibunya ketika mereka bercuti di Bali dilaporkan enggan bekerjasama dengan polis Indonesia.

Menurut laporan media antarabangsa, Heather Mack, 19, dan teman lelakinya Tommy Schaefer, 21, ditahan di balai polis Nusa Dua namun enggan memberi sebarang keterangan kepada pegawai penyiasat.


Heather juga dikatakan selamba ketawa ketika polis cuba mendapatkan keterangan daripadanya. Sebaliknya Heather mahu dia diwakili peguam dari Amerika Syarikat (AS). Pasangan itu ditahan Rabu lalu selepas polis menemui mayat Sheila von Wiese-Mack, 62, disembunyikan di dalam beg pakaian di depan hotel mewah di Bali.

Mereka didakwa menyembunyikan beg berkenaan di dalam sebuah teksi yang diletakkan di perkarangan Hotel St. Regis, Bali pada Selasa sebelum melarikan diri.


Walaupun diikat hubungan sebagai ibu dan anak, Heather serta Sheila dilaporkan selalu tidak sehaluan. Kenalan keluarga itu, Willie Nance berkata, antara Januari 2004 hingga Jun 2013, polis terpaksa datang ke rumah keluarga berkenaan yang terletak di Illinois sebanyak 86 kali berikutan laporan keganasan domestik dan kecurian.


Willie berkata, Sheila menghadapi banyak masalah dengan Heather sejak kematian suami pada 2006.

Foto

HEATHER dan Tommy didakwa membunuh Sheila.

Menurutnya, dia baru sahaja berbual dengan Heather minggu lalu dan remaja terbabit nampak sedih dan tertekan.


"Saya tidak menyangka dia sanggup melakukan perkara ini," katanya.

Seorang lagi kenalan keluarga berkenaan, Mark Bacharach menyatakan mereka sudah lama bimbang Sheila dengan Heather, malah pernah mencadangkan agar dia dihalau keluar.


"Heather bergaul dengan golongan bermasalah, namun Sheila tidak sampai hati untuk menghalaunya. "Perwatakan Heather sering berubah-ubah daripada seorang yang sangat baik kepada remaja ganas dan kejam," katanya.


Sheila dan Heather dilaporkan bercuti di Bali untuk beberapa hari sebelum Schaefer menyertai mereka.


Polis percaya Schaefer melakukan pembunuhan berkenaan selepas bertengkar sehari sebelum itu.


Peguam Heather, Michael Elkin berkata, disebabkan remaja terbabit masih belum disabitkan dengan kesalahan jenayah, dia perlu ditahan.


"Dia dihalang daripada menghubungi peguamnya selepas ditahan dan hanya dibenarkan berbuat demikian beberapa jam lalu.


"Ketika saya berbincang ringkas dengannya, saya dimaklumkan seorang anggota polis berada di dalam bilik berkenaan walaupun saya meminta agar dapat bercakap dengan anak guam saya secara peribadi," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/16

Pasangan didakwa

Posted: 15 Aug 2014 01:40 PM PDT

Bali: Pasangan Heather Mack dan Tommy Schaefer semalam didakwa atas tuduhan membunuh oleh polis Indonesia semalam selepas ditahan sejak Rabu lalu.

Heather, 19, dan Schaefer, 21, didakwa membunuh Sheila von Wiese-Mack sebelum menyumbat mayat wanita terbabit ke dalam beg pakaian sebelum disembunyikan dalam teksi diletakkan di pekarangan Hotel St. Regis Bali.


Menurut Timbalan Ketua Polis Bali, Brig Jen Gusti Ngurah Raharja Subyakta, pertuduhan adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada saksi dan bukti di tempat kejadian.

Polis menyatakan, pasangan berkenaan meletakkan bagasi berisi mayat ibu Heather di dalam sebuah teksi sebelum memberitahu kononnya perlu masuk semula ke hotel untuk mendaftar keluar. Mereka bagaimanapun melarikan diri melalui pintu belakang. Rakaman CCTV di hotel berkenaan menunjukkan mangsa dan anak perempuannya bertengkar di lobi hotel Isnin lalu dan laporan bedah siasat ke atas mangsa menunjukkan, ada kesan pergelutan yang berlaku sebelum mangsa mati. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/16

Brunei hasil filem aksi silat

Posted: 15 Aug 2014 01:40 PM PDT

Bandar Seri Begawan: Selepas hampir 54 tahun tidak menghasilkan sebarang filem, industri perfileman Brunei Darussalam kembali diwarnai dengan penghasilan sebuah filem aksi berjudul Yasmine.

Filem arahan pengarah tempatan, Siti Kamaluddin dan penerbit Din Kamaluddin itu mempertaruhkan aksi pertarungan silat bagi menarik minat penggemar filem aksi.


Filem terbitan Origin Films itu dijangka menemui peminat di Brunei dan Indonesia pada 21 Ogos 2014.

"Silat adalah seni bela diri yang terkenal di rantau Asia Tenggara. Oleh sebab itu saya memberi lebih fokus pada bahagian aksi agar ia kelihatan hebat dan menghiburkan," kata Siti.


Aksi pertarungan dalam filem berkenaan diperkuatkan lagi dengan kehadiran penyelia aksi berpengalaman selama 30 tahun dalam industri filem Hong Kong dan Hollywood, Chan Ming Ching.


Yasmine menampilkan bintang baru Brunei, Liyana Yus yang memegang watak utama sebagai Yasmine dibantu oleh beberapa artis Indonesia seperti Reza Rahadian (Fahri), Dwi Sasono (Tung Lung) dan Agus Kuncoro (Jamal).

Ia mengisahkan mengenai kisah cinta di antara Yasmine, seorang pelajar dengan seorang juara silat antarabangsa, Adi.


Bagaimanapun Adi rapat dengan musuh Yasmine iaitu Dewi yang juga seorang atlet silat.

Kecewa dengan perkara itu, Yasmine memutuskan untuk menyertai kelab silat dan berlatih untuk kejohanan silat kebangsaan yang turut disertai Dewi.


Siti berkata, dia memang meminati silat sejak dulu dan berasa beruntung kerana dapat menghasilkan filem mengenainya.


"Saya juga bersyukur kerana penghasilan filem ini mendapat sokongan kerajaan Brunei. Selain itu, saya selesa bekerja dengan nama besar industri perfileman Indonesia. Mereka individu hebat dan saya sangat teruja dapat bekerjasama dengan mereka," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/16

Sokong gugur bayi mangsa rogol

Posted: 15 Aug 2014 01:39 PM PDT

Jakarta: Menteri Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Indonesia semalam secara terbuka menyokong cadangan membenarkan amalan menggugurkan kandungan mangsa rogol bagi tujuan melindungi mangsa.

Amir Syamsuddin berkata, pengguguran kandungan bagi mangsa rogol turut dibenarkan di beberapa negara.


"Dari sudut perubatan, saya menganggap perkara itu wajar dan ia universal," katanya.

Namun dia mengakui belum merujuk rang undang-undang Indonesia berhubung peraturan kesihatan kesuburan yang dilaksanakan ketika ini.


Kata Amir, dia perlu merujuk isu itu kepada pihak berkaitan sebelum boleh mengeluarkan kenyataan lanjut.


Kelmarin, Menteri Kesihatan Indonesia Nafsiah Mboi berkata, pihaknya sedang mempersiapkan peraturan membenarkan pengguguran ke atas ibu yang diancam bahaya atau kandungan akibat pemerkosaan.

Amir berkata, dia perlu meneliti cadangan itu bagi mengelak ia bertentangan dengan undang-undang sedia ada, "Saya berpendapat mangsa rogol berhak menggugurkan kandungan kerana kandungan itu hadir bukan atas kerelaan mangsa," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/16

Aktivis antigay ditinggal isteri

Posted: 15 Aug 2014 01:35 PM PDT

Austin, Texas: Hidup di bawah bumbung yang sama dan hidup sebagai suami isteri tidak dapat menjamin bahawa sesuatu pasangan itu juga berkongsi idealisme sama.

Keadaan itu dialami oleh ketua kumpulan antigay terbesar dan paling lantang di Texas, Jonathan Saenz, dengan cara yang sangat mengguris perasaan.


Dokumen mahkamah menunjukkan isteri Saenz meninggalkannya untuk bersama seorang wanita lain. Saenz seorang peguam adalah pemimpin kumpulan Texas Value yang memperjuangkan nilai kekeluargaan dan budaya konservatif di Texas pada 2012.

Isterinya, Corinne adalah ibu kepada tiga anak mereka yang memfailkan perceraian pada Ogos tahun berkenaan. Proses perceraian itu memang rumit. Dokumen yang difailkan di mahkamah menunjukkan konflik rumah tangga mereka terfokus kepada kewujudan wanita ketiga, Ercimin Paredes.


Tidak seperti pasangan suami isteri biasa, wanita itu bukan mengisi hati Saenz, sebaliknya si isteri, Corinne. Isu penjagaan anak juga menjadi pertikaian antara Saenz dan Corinne. Antara tuntutan dibuat Saenz ke atas Corinne adalah menghalang kedua-dua wanita terbabit berhubung atau berada dalam bangunan sama dengan anak-anak mereka.


Hakim kemudian membenarkan tuntutan itu sehingga Ogos 2013.

Saenz mendakwa Corinne dan Ercimin yang bertugas bersama sebagai guru di sebuah tadika mula menjalin hubungan romantik yang serius sejak 2010. Dia menuntut Corinne dan Ercimin diarah menjalani pemeriksaan mental dengan pakar psikologi pilihannya.


Corinne bersetuju sehinggalah dia dimaklumkan Saenz enggan membiayai kos pemeriksaan itu. Saenz dan kumpulan Texas Value percaya, amalan percintaan atau perhubungan sejenis adalah sejenis penyakit mental yang berlaku dalam masyarakat.

Mereka juga yakin perkahwinan sejenis bukan saja membawa kepada poligami, malah menyebabkan seseorang berkahwin dengan anak tiri sendiri. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/16

Nenek terkejut disaman

Posted: 15 Aug 2014 01:22 PM PDT

Newark, England: Seorang nenek terkejut disaman polis hanya kerana memaparkan tiket tempat letak kereta dalam keadaan terbalik.

Janet Gasson, 67, meletak keretanya di lot dibenarkan untuk melihat cucunya berlatih menjelang pertunjukan kanak-kanak di sebuah dewan di itu.


Apabila kembali ke keretanya 15 minit kemudian, Janet mendapati dia disaman £50 (RM260) walaupun tempoh masa dibenarkan belum tamat. Dia kemudian mendapatkan pegawai penguat kuasa yang menyamannya untuk bertanya mengapa dia disaman.

Kata Janet, dia diberitahu pegawai terbabit, kesalahannya adalah memaparkan tiket pakir secara terbalik.


"Jika saya tidak mengejarnya, saya mungkin masih bingung mengapa saya disaman," katanya.


Kata Janet, dia meletakkan tiket di atas papan pemuka seperti biasa, tetapi hairan bagaimana pegawai terbabit mendakwa dia tidak boleh membacanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/16

Telefon 911 lepas merogol

Posted: 15 Aug 2014 01:21 PM PDT

New York: Seorang lelaki menghubungi talian kecemasan 911 selepas merogol seorang wanita untuk memaklumkan perbuatan terkutuk itu, lapor polis semalam.

Tidak seperti selalu, pegawai yang menjawab panggilan itu memang terkejut apabila mendengar nada suara Joel Jones, 47, yang membuat panggilan sambil menangis teresak-esak.


"Saya menyerang wanita itu. Tolong bawa saya ke penjara," katanya.

Sebelum itu, Jones menyiarkan iklan mencari pembantu rumah dalam laman sesawang Craiglist. Seorang wanita mengubunginya kerana berminat dan mereka bertemu di sebuah bangunan pejabat.


Jones kemudian mengambil kesempatan dengan menangkap mangsa dan mengheretnya hingga ke bilik terpencil sebelum memperkosa wanita terbabit.


Jones juga menggunakan pisau untuk mengugut mangsa supaya jangan melawan. Namun, selepas serangan itu berakhir naluri Jones mendorong dia mengakui jenayah berkenaan.

Mangsa berkata, dia melihat Jones menghubungi talian 911. Jones kini ditahan atas dakwaan melakukan serangan seksual, menculik dan mengancam dengan menggunakan senjata. Rekod menunjukkan Jones pernah dipenjara beberapa kali, termasuk atas kesalahan jenayah seksual. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/16

10,000 hentam Netanyahu

Posted: 15 Aug 2014 01:17 PM PDT

Tel Aviv: Kira-kira 10,000 penduduk Israel mengadakan protes di Tel Aviv kerana tidak berpuas hati apabila pertempuran sejak lima minggu lalu di Gaza masih gagal diselesaikan.

Kebanyakan penunjuk perasaan itu dibawa menggunakan bas dari pelbagai lokasi di Israel yang paling banyak diserang roket Hamas termasuk golongan dari kawasan perniagaan yang terbabit.

Gencatan senjata diadakan dua kali berturut-turut sejak Isnin yang dijangka berakhir pada 19 Ogos ini berjaya menghentikan tembakan untuk sementara waktu.

Namun, penunjuk perasaan bimbang pertempuran berlaku lagi sebaik gencatan senjata berakhir, malah menganggap tentera Israel sepatutnya menghapuskan tempat simpanan senjata Hamas di Gaza.


Ada antara mereka turut mendakwa rasa tertipu dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang sebelum ini menjanjikan peperangan itu boleh menjamin keamanan di selatan Israel, selain menghapuskan terowong bawah tanah digunakan Hamas.


Bagaimanapun, Netanyahu tidak dikritik secara peribadi sebaliknya ramai mengucapkan terima kasih kerana usahanya melawan Hamas.

Namun demonstrasi itu kritikan paling lantang setakat ini terhadap cara kerajaan Israel sejak pertempuran bermula pada 8 Julai lalu.

Datuk bandar Sderot, antara bandar paling teruk dibedil serangan roket Hamas - Alon Davidi antara paling lantang bersuara dalam perhimpunan di Dataran Rabin - tempat perdana menteri Yitzhak Rabin dibunuh pada 1995.

"Kami penat mendengar janji manis. Hamas mesti dihapuskan. Sampai bila saya perlu bimbangkan keselamatan kami sekeluarga ketika tidur?

"Kami bimbang kedua-dua pihak mencapai persetujuan yang menjejaskan kami. Nyawa kami bukannya murah, kami tidak bersedia menerima serangan dari Gaza.

"Isu ini mesti diselesaikan. Sampai bila orang Israel terpaksa menari mengikut rentak mereka? Sepatutnya tentera melindungi kami sepenuhnya.

Kata-katanya itu disambut tepukan dan sorakan gemuruh ribuan peserta demonstrasi.

Malah, seorang penunjuk perasaan Haim Dahan, 39, memberitahu media dia percaya Hamas perlu dihapuskan.

Peliknya, perhimpunan itu turut dihadiri golongan haluan kiri Israel yang menentang pentadbiran Netanyahu termasuk anggota parlimen pembangkang dari parti Meretz, Tamar Zandberg.

"Kami sekadar memberi sokongan kepada rakan yang menjadi mangsa serangan Hamas.

"Permintaan mereka itu memang munasabah kerana mereka mahukan keamanan dan memang tugas kerajaan memastikan keamanan tercapai," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/16

Israel dapat amunisi tanpa kelulusan Rumah Putih

Posted: 15 Aug 2014 01:17 PM PDT

Washington: Israel mendapat bekalan amunisi dari Pentagon bulan lalu tanpa kelulusan Rumah Putih atau Jabatan Negara, lapor akhbar The Wall Street Journal, semalam.

Menurut laporan itu yang memetik sumber pegawai tentera Amerika Syarikat (AS) dan Israel, pentadbiran Presiden Barack Obama yang tidak menyangka tindakan itu dalam pada ia berusaha mengekang kempen Israel di Gaza kemudian memperketatkan penghantaran bekalan senjata ke Israel.

Malah, akhbar itu turut melaporkan perbualan telefon yang agak tegang antara Obama dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu Rabu lalu yang melihat pemimpin Israel berkenaan menuntut jaminan keselamatan AS sebelum bersedia membuat persetujuan jangka panjang dengan Hamas.

Bagaimanapun, Netanyahu didakwa mengetepikan pentadbiran Obama seterusnya menghapuskan keupayaannya memainkan peranan sebagai pengantara.


Bagaimanapun, laporan itu dinafikan jurucakap Jabatan Negara Marie Harf walaupun dia mengakui pentadbiran Obama memang memantau penghantaran senjata ke Israel.


Bagaimanapun, dia menegaskan proses itu bukan sesuatu yang luar biasa.

"Disebabkan krisis di Gaza, memang tidak hairanlah jika semua agensi mengambil langkah berhati-hati lebih dari biasa.

"AS komited memastikan keselamatan di Israel, malah tiada negara lain di dunia yang sering menyokong keperluan keselamatan mereka," katanya.

Dia bagaimanapun enggan mengulas penghantaran senjata yang sepesifik, sebaliknya mengingatkan tindakan Obama minggu lalu mempersetujui pemberian AS$225 juta (RM720 juta) untuk menyokong sistem keselamatan Iron Dome Israel.

Sementara itu, jurucakap Pentagon berkata, memang ada prosedur sedia ada berhubung penghantaran senjata ke Israel.

"Ia proses yang berterusan dan sentiasa dipantau kami," katanya.

"Sudah pasti dalam keadaan sekarang Certainly in light of the much increased operational tempo that the Israeli Defense Force is under now, as they defend themselves from Hamas, it warrants – that process continues to warrant assessment and review."

Obama sebelum ini mempertahankan penggunaan kekerasan oleh Israel terhadap Hamas di Semenanjung Gaza, walaupun pada masa sama menyuarakan kebimbangannya terhadap jumlah kematian orang awam di situ.

Sehubungan itu, dia menggesa persetujuan dicapai segera untuk kebaikan rakyat Palestin. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/16

No comments:

Post a Comment