Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Tak 'pilih bulu'

Posted: 02 Aug 2014 07:45 AM PDT

Brasilia: Jurulatih baru Brazil, Dunga mengumumkan persaingan di kalangan pemain amat penting buatnya malah beliau tidak 'menyenarai hitamkan' pemain yang sebelum ini tidak menyerlah di Piala Dunia.

"Persaingan amat penting dalam memilih pasukan kebangsaan, bukannya atas faktor kawan mahupun strategi pemasaran," kata bekas pemain tengah itu, kapten Brazil yang pernah menjulang Piala Dunia 1994 dan mengendalikan skuad Selecao di Piala Dunia 2010.


Dunga dibawa masuk buat kali kedua, dalam usaha menaikkan kembali maruah Brazil yang tercalar di Piala Dunia yang berakhir dengan kekalahan 1-7 di tangan Jerman dalam perlawanan separuh akhir bulan lalu.

Ia diikuti kekalahan 0-3 kepada Belanda dalam penentuan tempat ketiga dan jurulatih ketika itu, Luiz Felipe Scolari tidak dilanjutkan kontrak sebaik tamat.


Penyingkiran Brazil di Piala Dunia memberi kesan buruk kepada pemainnya tetapi Dunga memberi bayangan beliau tidak akan melakukan rombakan besar-besaran.


"Tiada pemain yang disenarai hitam selepas Piala Dunia. Bola sepak umpama kehidupan dan kerja, persaingan amat penting," katanya.

Foto

DUNGA (tiga dari kiri) ketika membimbing Selecao pada Piala Dunia 2010.

"Pemain dipilih bukan berdasarkan apa yang kita fikir mereka mampu lakukan tetapi apa yang dicapai pada masa itu." Beberapa pemain pilihan Scolari, antaranya penyerang kurang berbisa seperti Fred dan Jo, dikritik hebat media Brazil ketika Piala Dunia.


Skuad Selecao akan beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Colombia pada 5 September ini, sebelum bertemu Ecuador tiga hari kemudian dalam persediaan awal ke Copa America di Chile tahun depan.

Skuad pilihan Dunga untuk perlawanan itu yang akan diadakan di Miami dan New Jersey akan diumumkan 19 Ogos ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/03

Pilihan tepat

Posted: 02 Aug 2014 07:44 AM PDT

London: Jose Mourinho merasakan kehadiran penyerang baru Diego Costa akan memberi kekuatan tambahan terhadap skuad Chelsea malah menurut beliau pemain lain juga terkejut dengan kemampuan dimiliki oleh rakan sepasukan baru mereka itu.

Costa, pemain berusia 25 tahun yang menyerlah bersama Atletico Madrid dengan menjulang gelaran liga di Sepanyol musim lalu, kini menyertai Chelsea selepas mereka menepati klausa beli semula kontraknya yang bernilai £32j (RM160 juta).


Mourinho memberitahu: "Dia menjadi tambahan terbaik buat kami. Dia seorang pemain yang hebat.

"Secara teknikalnya, dia seorang yang bagus. Itu sebabnya ramai pemain sangat gembira dan terkejut disebabkan kualiti dimilikinya lebih tinggi apa yang mereka jangkakan.


"Dia mempunyai kekuatan fizikal dan memberikan komitmen tinggi terhadap perlawanan.


"Apabila seseorang melihatnya beraksi, perkara pertama menarik perhatian mereka adalah kemampuannya bekerja keras untuk pasukan itu, mempunyai tenaga dan fizikal yang kuat.

Foto

COSTA (kiri) ketika aksi pramusim Chelsea.

"Untuk mendapat Diego, (Fernando) Torres dan (Didier) Drogba selaku jentera serangan adalah sesuatu yang memberikan kualiti berbeza terhadap kami. Kami begitu mantap dalam posisi itu sekarang." Penyerang hebat Chelsea, Drogba kembali beraksi bersama kelab itu selepas dua musim bersama pasukan lain, dan biarpun pada usia 36 sekarang, Mourinho berkata, sumbangan penyerang itu masih diperlukan untuk menentukan kejayaan dalam Liga Perdana.


"Ketajaman berada di depan gol masih ada, teknik menjaringkan gol masih ada," kata pengurus Chelsea itu.

"Dia masih memiliki kekuatan fizikal dan mental yang sama.


"Setiap latihan dan setiap situasi kompetitif dalam latihan, kemahuannya untuk bersaing dan mahu menang masih ada. Saya rasa dia seorang pemain penting buat kami." Chelsea turut mengikat kontrak bersama Cesc Fabregas daripada Barcelona dan Mourinho merasakan bekas pemain Arsenal itu adalah pemain tengah serba-boleh. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/02

Lampard kembali

Posted: 02 Aug 2014 07:43 AM PDT

New York: Selepas menghabiskan tempoh 13 musim bersama kelab Liga Perdana, Chelsea, Frank Lampard akan berdepan bekas kelabnya, September depan selepas dipinjamkan ke Manchester City daripada pasukan barunya dalam Major League Soccer (MLS).

Akhbar melaporkan Lampard, yang menandatangani kontrak selama dua tahun bersama New York City FC, minggu lalu, akan dipinjamkan ke Manchester City selama enam bulan oleh kelab Amerika Syarikat yang akan beraksi pada musim pertama dalam MLS pada Mac depan.


Pemain tengah England berusia 36 tahun itu berharap dapat mengekalkan namanya dalam senarai pasukan untuk tugasan pasukan kebangsaan menerusi perpindahan terbabit, menurut akhbar itu lagi.

Lampard, anggota skuad England tersingkir pada peringkat kumpulan pada Piala Dunia Brazil, menjaringkan 29 gol dalam 106 penampilan bersama negaranya sejak membuat penampilan antarabangsa pada 1999.


Manchester City dan pasukan Besbol Major League, New York Yankees bergandingan untuk membentuk pasukan baru MLS dan turut menandatangani pemain bintang Sepanyol, David Villa.


Manchester City akan menanti kunjungan Chelsea pada perlawanan Liga Perdana pada 23 September dengan pemain Manuel Pellegrini pula akan bertandang ke ke skuad barat London itu 31 Januari.

Villa akan dipinjamkan ke ke Melbourne, kelab anak syarikat Manchester City di Australia, sehinggalah kempen MLS bermula. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/02

8 Ogos penentu rayuan Suarez

Posted: 02 Aug 2014 07:41 AM PDT

Madrid: Kes rayuan Luis Suarez terhadap penggantung perlawanan empat bulan kerana menggigit lawan akan didengar Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang berpangkalan di Switzerland pada 8 Ogos ini, jelas jurucakap kelab barunya, Barcelona semalam.

Suarez dikenakan hukuman itu termasuk penggantungan sembilan perlawanan antarabangsa oleh badan induk bola sepak dunia, FIFA selepas menggigit pertahanan Itali, Giorgio Chiellini di Piala Dunia Brazil, Jun lalu.


Barca kemudiannya membeli penyerang Uruguay itu dari Liverpool dan pemain berusia 27 tahun itu dijangka kembali beraksi akhir Oktober ini.

Dia akan membuat penampilan sulung dalam pertembungan 'Clasico' menentang Real Madrid pada 25 atau 26 Oktober ini bergantung kepada keputusan kes rayuannya itu.


Menurut laporan media, CAS bersetuju untuk mempercepatkan keputusan itu dan ia akan diketahui pertengahan Ogos ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/03

Bos Gaurus 'asah tanduk'

Posted: 02 Aug 2014 07:39 AM PDT

Ipoh: Perak akan menguji keupayaan pemain dengan mengadakan perlawanan persahabatan terakhir pada 6 Ogos ini sebelum turun ke medan pertempuran sebenar Piala Malaysia bertemu Kedah pada 14 Ogos depan.

Jurulatih The Bos Gaurus, Abu Bakar Fadzim berkata, perlawanan dengan pasukan Liga FAM, TLDM itu bertujuan menguji momentum pasukan terutama dari segi kemampuan jentera serangannya serta memantapkan benteng pasukan.


"Alhamdulillah setakat ini jentera serangan pasukan semakin menunjukkan peningkatan dan konsisten menjaringkan gol.

"Begitupun saya tidak mahu bersikap terlalu yakin dan sehubungan itu perlu terus mengasah kemampuan pemain di bahagian itu.


"Bagaimanapun benteng Perak belum begitu mantap berikutan kecederaan beberapa tonggak sebelum ini.


"Namun pemain terbabit sudah kembali ke pangkuan pasukan justeru perlu diuji dan diperbaiki kepincangannya," katanya selepas latihan semalam.

Menurut Bakar, pemain Perak kembali ke kem latihan sejak Rabu lalu selepas bercuti selama empat hari sempena hari raya Aidilfitri.


"Semua pemain kecuali Hassan Daher melaporkan diri sejak kelmarin. Pemain itu pulang ke Lubnan kerana urusan keluarga dan dijangka pulang ke Ipoh minggu ini," katanya.

Jurulatih itu berkata, Perak kini bebas daripada sebarang kecederaan dan mampu menurunkan barisan terkuat bagi menghadapi perlawanan sulung mereka.


Katanya, usaha akan dipertingkatkan dalam latihan selepas bulan Ramadan dalam usaha memastikan pemain berada pada tahap terbaik terutama dari segi tahap kecergasan pemain.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/03

Aura Bolt

Posted: 02 Aug 2014 07:38 AM PDT

Glasgow: Jaguh olahraga Usain Bolt menjadi tumpuan apabila kembali beraksi di atas trek di Sukan Komanwel semalam ketika pelari Australia Sally Pearson mempertahankan mahkota juara 100m lari berpagar.

Ia adalah perlumbaan kompetitif pertama Bolt sejak Liga Berlian di Brussels September lalu dan pelari bertubuh sasa dari Jamaica itu dilihat selesa mengetuai kuartet kepulauan Caribbean dalam acara 4x100m dengan catatan 38.98s. Bolt yang dihantui kecederaan kaki sekali lagi membuktikan nilai seorang bintang trek kegemaran ramai di hadapan penonton yang hadir di Hampden Park apabila mendapat sambutan hangat.


Sambutan berkenaan pada awalnya diragui apabila akhbar The Times minggu ini melaporkan bahawa Bolt didakwa menggelar temasya Komanwel itu sebagai 'remeh-temeh'.

"Ia satu pembohongan jadi saya tidak pernah bimbang (berhubung dengan laporan itu)," katanya. "Saya gembira dapat beraksi di sini dan menunjukkan kepada orang ramai bahawa saya datang ke sini untuk bergembira, bertanding dan memberi yang terbaik," katanya. "Saya berasakan seperti berada di Sukan Olimpik London. Saya suka beraksi di hadapan penonton yang sentiasa bersorak dengan kuat dan perkara itu bagi saya adalah sesuatu yang hebat.


"Seronok apabila bebas daripada kecederaan. Biarpun saya berasa sedikit letih tapi semuanya baik-baik saja." Bolt berkata: "Saya gembira menjadi sebahagian daripada kuartet pasukan yang bertanding di Sukan Komanwel.


"Saya suka beraksi di sini dan bersaing dengan pasukan saya. Dalam acara sukan ia sesuatu yang baik dapat bertanding bersama pasukan, merasai debaran, kegembiraan, ketawa, berseronok dan menjadi satu negara." Sally menguasai acara lari berpagar untuk muncul juara selepas ketua jurulatih Australia Eric Hollingsworth digantung minggu ini selepas dikritik kerana hilang ketika sesi latihan pusat sekali gus menjadi satu contoh yang buruk kepada atlet muda pasukan itu.

Juara Olimpik itu merekodkan 12.67s, dengan pelari England kelahiran Amerika Syarikat Tiffany Porter merangkul perak dengan catatan 12.80s dan Angela Whyte dari Kanada gangsa (13.02). - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/03

Tze Liang kecewa

Posted: 02 Aug 2014 07:34 AM PDT

Glasgow: Rasa terkilan diluahkan penerjun negara, Ooi Tze Liang apabila pingat emas terlepas daripada genggaman dalam acara 10m platform seirama berpasangan dengan Chew Yiwei di Kolam Renang Diraja Komanwel, Edinburgh, awal pagi semalam.

Mereka mendahului penerjun lain namun kesilapan di terjunan keempat membuka ruang lawan memintas mereka.


"Kami mendahului sejak terjunan kedua dan ketiga tapi mungkin kerana tertekan dengan mata yang agak rapat dihimpit penerjun Australia dan England, kami hilang fokus.

"Sedikit kesilapan ketika gerakan kaki yang tidak sama mencecah air, kami gagal mendapat mata mencukupi untuk kekal sebagai pendahulu.


"Terjunan terakhir agak baik, namun gagal memikat juri untuk mata maksimum," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/03

Menang akhirnya

Posted: 02 Aug 2014 07:34 AM PDT

Glasgow: Skuad hoki lelaki negara yang teruk dikritik akhirnya menewaskan tuan rumah Scotland 2-1 kelmarin untuk menamatkan penyertaan di kedudukan ketujuh keseluruhan Sukan Komanwel.

Kemenangan itu bagaimanapun tidak lagi bermakna dan tidak pula membersihkan maruah Malaysia selepas diaibkan pasukan Trinidad & Tobago dan menjadi belasahan England dan New Zealand.


Pada perlawanan itu, gawang Malaysia dibolosi lebih awal hasil jaringan Chris Grassick seawal minit ke-11 sebelum Muhammad Shahril Saabah menyamakan kedudukan m-25.

Ahmad Kazamirul Nasruddin akhirnya menyumbat gol kemenangan m-30.


Skuad lelaki membuka tirai pertandingan dengan bergaya apabila menewaskan Kanada 2-0 tetapi selepas itu terus buruk kalah 1-8 kepada England, Trinidad (2-4), New Zealand (1-6) dan menang perlawanan penentuan tempat ke-7 ke atas Scotland 2-1.


Manakala skuad wanita juga menduduki tempat ketujuh keseluruhan selepas mencatat kemenangan pertama menerusi penentuan penalti 3-0 selepas terikat 2-2 dengan Kanada.

Dalam saingan perlawanan peringkat kumpulan, Malaysia tewas kepada Australia (0-4), Scotland (0-2), England (0-5) dan seri dengan Wales (0-0).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/03

Pemain wanita selamat maruah

Posted: 02 Aug 2014 07:34 AM PDT

Glasgow: Kegagalan pemain perseorangan lelaki diselamatkan pemain wanita yang meneruskan cabaran ke separuh akhir.

Tee Jing Yi dan pasangan beregu Lai Pei Jing-Lim Yin Loo mara ke separuh akhir dalam perseorangan serta beregu.


Jing Yi mempamerkan dedikasinya sekalipun terpaksa diheret ke tiga set oleh PC Thulasi sebelum menang 18-21, 21-19, 21-19 dalam masa 73 minit.

"Selepas mengetahui (Chong) Wei Feng tewas di gelanggang sebelah, saya mahu menebusnya. Saya mahu menang untuk Malaysia dan Wei Feng.


"Kami mesti ada wakil di final dan kerana itu saya terus melawan dan akhirnya berjaya. Memang saya puas dengan kemenangan ini," katanya.


Jing Yi berdepan pemain tuan rumah Kirsty Gilmour pada separuh akhir lewat malam tadi.

"Saya akan memberi segala-galanya nanti. Saya sudah selangkah lagi untuk memenangi pingat emas dan tidak akan mempersia-siakan peluang ini," tegasnya.


Kegembiraan itu berterusan apabila Yin Li-Pei Jing berjaya menumbangkan pilihan utama Shinta Mulia Sari-Yao Lei dari Singapura 19-21, 22-20, 21-19.

Mereka akan berdepan pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia dari India, Jwala Gutta-Ashwini Ponnappa.


Sementara itu pasangan utama negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong terus cemerlang ke separuh akhir apabila menyingkirkan pasangan Australia Robbin Middleton-Ross Smith 21-17, 21-19.


Mereka akan menentang pilihan pertama dari England, Chris Adcock-Andrew Ellis untuk ke final.


Bagaimanapun, harapan menyaksikan beregu campuran Chan Peng Soon-Lai Pei Jing mara ke final hancur apabila tewas kepada pasangan England, Chris Langridge-Heather Olver di separuh akhir Sukan Komanwel di Emirates Arena, semalam.


Mereka kecundang 15-21, 22-20, 13-21 dalam perlawanan berlangsung 76 minit.


Agak malang bagi Peng Soon-Pei Jing kerana mereka ketinggalan jauh 2-10 pada permainan set ketiga dan gagal bangkit selepas itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/03

No comments:

Post a Comment