Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Cuping telinga terbesar di dunia

Posted: 09 Aug 2014 10:26 AM PDT

Honolulu: Seorang lelalki Hawaii dinobatkan gelaran manusia dengan lubang cuping telinga paling besar sehingga mampu memuatkan tangan manusia.

Kala Kaiwi yang juga pakar tatu mempunyai cuping telinga dengan diameter lubang sebesar 4.3 inci selain badannya turut dipenuhi pelbagai tatu serta 'hiasan' lain.

Kaiwi baru pulang dari Milan, Itali di mana dia menerima anugerah berkenaan dan ramai juga tertanya-tanya sama ada dia bermasalah melalui sistem keselamatan di lapangan terbang disebabkan pelbagai besi yang turut menembusi wajah serta tubuhnya.

Selain cuping telinga, Kaiwi turut mempunyai tanduk silikon ditanam di kepalanya, subang gergasi pada kedua-dua belah hidungnya, ketulan besi di seluruh wajahnya selain bulu kening ditatu.

Foto

KAIWI

Foto


Malah, dia turut membelah lidahnya menggunakan flos gigi dan 'sesungut' besi yang tajam di atas dahinya.


Kaiwi mendapat latihan di Las Vegas pada 1999 sebelum pulang ke Hawaii dan membuka kedainya, Sin City Body Modification and Tattoo shop.

Perbuatan membesarkan lubang cuping telinga semakin popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Amalan yang sebelum ini banyak dilihat dalam kalangan masyarakat orang asli dan mengikut sejarah, ia juga pernah dilakukan firaun terkenal Mesir Tutankhamen.

Namun, pada zaman ini kita lebih berkemungkinan melihat orang kebanyakan di Barat mengamalkan perbuatan ini berbanding golongan diraja.

Ia mula menjadi fesyen tersendiri selepas dilihat pada Otzi the Ice Man yang dipercayai berasal dari 3300 sebelum masihi dan mumia paling tua ditemui pada 1991 di pergunungan Alps.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/10

Wajah si cilik tak bertulang

Posted: 09 Aug 2014 10:24 AM PDT

London: Seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun nampak tidak ubah seperti anak patung yang 'rosak' apabila lahir dengan penyakit yang menyebabkan tulang pada wajah dan badannya membesar pada kadar tidak normal.

Penyakit dikenali sebagai sindrom Apert menyebabkan Kira Yates juga tidak mempunyai tangan serta kaki yang berbentuk normal, namun kini kanak-kanak itu mempunyai harapan untuk kelihatan seperti rakan sebayanya biarpun terpaksa melalui pelbagai pembedahan rumit serta menyakitkan untuk membina semula tulang-tulang wajah serta badannya.

Sebelum berusia setahun, Kira, yang berasal dari Doncaster melalui pembedahan untuk memperbaiki bentuk mukanya, malah pernah mempunyai 27 temu janji dengan doktor dalam hanya sebulan.

Sejak itu dia menjalani pelbagai prosedur lain termasuk pembedahan 14 jam yang melihat tengkoraknya dipecah-pecahkan sebelum dibentuk semula selain kepingan besi dimuatkan pada mukanya untuk membentuk struktur wajah.

Foto

KIRA terpaksa melalui pembedahan rumit untuk membentuk semula tulang wajah serta tengkoraknya.

Foto

KIRA terpaksa melalui pembedahan rumit untuk membentuk semula tulang wajah serta tengkoraknya.

Foto

KIRA terpaksa melalui pembedahan rumit untuk membentuk semula tulang wajah serta tengkoraknya.


Dia turut dimuatkan batang besi pada tengkuknya untuk menyokong struktur badannya.


Sindrom Apert yang berpunca daripada kecacatan kromosom mengakibatkan tulang tengkorak bercantum terlalu cepat sehingga menghalang pembentukan normal kepala dan wajah.

Kanak-kanak yang mengalami Apert mempunyai mata yang nampak tersembul, namun 'jatuh' pada alisnya selain bermasalah gigi disebabkan tulang rahang yang tidak sempurna serta jari tangan dan kaki melekat seperti kaki itik.

Sementara itu, ibunya, Michelle, 47, mengakui keadaan dihadapi sukar, malah dia sekeluarga terkejut ketika Kira dilahirkan.

"Sebaik dia dilahirkan, dia terus dibalut dan diambil daripada saya. Doktor tidak tahu apa yang dihidapinya dan pakar terpaksa dipanggil untuk mendiagnos keadaannya.

"Dia terpaksa disusun semula seperti permainan susun suai gambar.

"Saya tidak pernah mengeluh kerana menganggap Kira cekal dan 'ajaib.' Doktor juga terkejut kerana dia menunjukkan tindak balas positif terhadap setiap rawatan," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/10

Israel kembali mengganas

Posted: 09 Aug 2014 10:17 AM PDT

Gaza: Israel meneruskan serangan udara ke atas Palestin dengan mengebom beberapa kawasan semalam, sehari selepas membunuh sekurang-kurangnya lima rakyat negara itu.

Sebaik selepas tempoh gencatan senjata tamat, Briged Izuddin Al-Qassam turut melancarkan serangan roket ke arah penempatan rejim Zionis itu.

Pertempuran yang sebelum ini berlarutan selama sebulan kembali tercetus apabila tempoh gencatan senjata yang berakhir pada jam 5 pagi waktu tempatan kelmarin gagal disambung.

Namun, Amerika Syarikat (AS) menerusi jurucakap Jabatan Negaranya, Marie Harf menyatakan harapan mereka supaya situasi yang berlaku dapat ditangani dan perjanjian gencatan senjata yang baru dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Foto

PETUGAS perubatan di sebuah hospital di Khan Yunis mendukung seorang kanak-kanak yang cedera dalam serangan udara yang diteruskan Israel selepas tempoh gencatan senjata tamat.


"Kami berharap kedua-dua belah pihak akan bersetuju menyambung kembali gencatan senjata dalam waktu terdekat," katanya.


Mesir yang menjadi orang tengah rundingan antara Israel dan Palestin menegaskan, rundingan masih lagi berjalan dan menggesa pelaksanaan gencatan senjata baru namun rejim Zionis memanggil kembali delegasinya dan memberi amaran tidak akan berunding selagi serangan terus berlangsung.

Perdana Menteri Benjamin Natanyahu mengarahkan tenteranya 'membalas' serangan kerana menyalahkan Hamas melanggar gencatan senjata yang dijalankan.

Tentera Israel mendakwa Briged Al-Qassam melancarkan 40 serangan roket ke arah Israel yang mencederakan dua orang termasuk seorang tentera.

"Sebagai serangan balas, kami mengebom 51 kawasan di Gaza," katanya.

Sejak pertempuran tercetus 8 Julai lalu, tentera zionis membunuh sekurang-kurangnya 1,898 rakyat Palestin manakala di pihak Israel, hanya 67 orang yang hampir kesemuanya tentera terbunuh.

Laporan media antarabangsa menyebut Israel melancarkan serangan bertali arus pada awal pagi semalam dengan menyasarkan kawasan awam yang terpaksa dikosongkan penduduk ekoran kebimbangan mengenai keselamatan mereka.

Serangan roket oleh kumpulan pejuang ke atas wilayah Yahudi dihentikan setakat jam 6 petang waktu tempatan kelmarin.

Menurut jurucakap petugas kecemasan di Gaza, Ashraf al-Qudra, lima rakyat Palestin terbunuh termasuk seorang kanak-kanak berusia 10 tahun manakala 31 yang lain cedera dalam serangan udara terbaru itu.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu menyatakan, daripada jumlah rakyat Palestin yang terbunuh, 447 mangsa adalah kanak-kanak.

Di daerah Al-Tuffah, Gaza, ratusan pelarian Palestin dilihat berlindung di bilik darjah sebuah sekolah yang dikendalikan PBB bagi melindungi pelarian.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/10

Mangsa peluru Zionis meninggal

Posted: 09 Aug 2014 10:16 AM PDT

Hebron: Seorang remaja yang cedera akibat serangan tentera Yahudi ketika mengadakan tunjuk perasaan di bandar ini meninggal dunia semalam.

Menurut pasukan perubatan Palestin, Nader Edriss, 22, disahkan meninggal dunia pagi semalam di Hospital Al-Mizan, Hebron.

Seorang lagi penunjuk perasaan turut terkena tembakan dan puluhan penunjuk perasaan yang lain cedera selepas tentera Israel bertindak kejam bagi menyuraikan himpunan.

Bagaimanapun, jurucakap tentera menyatakan 300 penunjuk perasaan memulakan serangan ke atas mereka dengan membakar tayar dan melontar batu dalam tunjuk perasaan yang diadakan kelmarin.


"Kami membalas serangan dengan melepaskan tembakan menggunakan 'senjata antirusuhan'," katanya.


Kira-kira 2,000 orang yang kebanyakannya mengibarkan bendera Hamas membanjiri jalan raya di Hebron dalam tunjuk perasaan itu.

Selain Hebron, tunjuk perasaan turut diadakan di beberapa bandar di Tebing Barat seperti Nablus dan Baitulaham, namun tiada kecederaan dilaporkan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/10

15,000 kutuk Israel

Posted: 09 Aug 2014 10:16 AM PDT

Amman: Lebih 15,000 penyokong Ikhwanul Muslimin Jordan berhimpun di wilayah ini bagi menyatakan sokongan mereka kepada Hamas dan mengutuk kekejaman Israel.

Selain itu mereka menggesa Briged Izuddin Al-Qassam meningkatkan lagi serangan roket ke atas Israel.

Himpunan itu yang menjadi tunjuk perasaan terbesar di Jordan setakat ini menyaksikan ramai remaja yang memakai topeng dan berpakaian seperti kumpulan pejuang berkenaan membuat perarakan ala tentera melintasi mereka yang hadir.

Ikhwanul Muslimin yang menjadi sekutu rapat Hamas dan juga parti politik terbesar negara itu dilihat mengambil kesempatan mengadakan tunjuk perasaan berikutan sentimen anti-Israel yang semakin meluap-luap berikutan serangan yang dilakukan penjajah Yahudi itu ke atas Gaza. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/10

Gigi tumbuh dalam hidung

Posted: 09 Aug 2014 10:15 AM PDT

Riyadh: Seorang lelaki Arab Saudi yang sering mengalami hidung berdarah akhirnya mendapat jawapan mengejutkan mengenai punca masalahnya itu apabila doktor menemui gigi yang tumbuh di dalam hidungnya.

Lelaki berusia 22 tahun yang tidak tahan mengalami masalah hidung berdarah sekurang-kurangnya sekali setiap bulan sejak tiga tahun lalu terkejut apabila dimaklumkan gigi sebesar satu sentimeter ditemui di dalam lubang hidungnya yang disahkan doktor gigi adalah gigi tambahan.

Gigi itu mengakibatkan pendarahan setiap kali lelaki terbabit menggosok hidungnya.

Masalah hidung berdarah selesai selepas gigi itu dikeluarkan dalam satu pembedahan kecil.


Pakar patologi pergigian Dr John Hellstein berkata kes itu amat ganjil disebabkan lokasi 'dipilih' gigi berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/10

Elak ruang udara Iraq

Posted: 09 Aug 2014 10:15 AM PDT

Washington: Penerbangan antarabangsa mula mengelak daripada terbang melalui ruang udara Iraq selepas Washington melarang pesawat negaranya berbuat demikian berikutan serangan udara dilaksanakan Amerika Syarikat (AS) terhadap pejuang di Arbil, kelmarin.

Presiden AS Barack Obama Khamis lalu meluluskan serangan udara terhadap pejuang Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) di Iraq yang kini mengawal sebahagian besar negara itu atas alasan mahu mengelak pembunuhan beramai-ramai.

Berikutan itu, tentera AS kelmarin melakukan beberapa siri serangan udara dengan dua pesawat pejuang melepaskan bom terhadap artileri dan senjata digunakan pejuang ISIS.

Sehubungan itu, semalam penerbangan keluar masuk dari negara teluk yang sering melalui Iraq sebaliknya dilihat menggunakan laluan ke Iran.


Laman web Flightradar24.com menunjukkan pelbagai pesawat terbang seperti dalam satu barisan melalui barat Iran manakala ruang udara Iraq hampir kosong.


"Masih ada pesawat bukan AS yang terbang di ruang udara Iraq, namun kebanyakannya bagi penerbangan tempatan atau bagi kawasan berdekatan.

"Namun, lebih banyak penerbangan memilih laluan di utara, melepasi sempadan Turki-Iran seterusnya mengelak Iraq serta Syria.

"Bagaimanapun, hakikatnya memang selama ini tidak banyak penerbangan dari AS melalui ruang udara berkenaan," kata Daniel Baker dari laman web FlightAware.com.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) melarang penerbangan awam AS melintasi Iraq beberapa jam selepas pesawat pejuang negara itu melepaskan bom di kawasan didakwa menjadi kubu anggota Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) yang banyak mengawal kawasan-kawasan di utara Iraq.

Dalam satu notis, FAA berkata, keadaan di situ terlalu berbahaya akibat konflik bersenjata yang sedang berlangsung dan tidak memberikan batas waktu untuk larangan berkenaan.

Beberapa syarikat penerbangan antarabangsa termasuk Air France, Lufthansa dan Emirates sudah pun mengumumkan keengganan terbang melintasi ruang udara Iraq sepanjang dua minggu lalu.

Notis FAA itu dikongsi Eurocontrol - yang mengawal lalu lintas udara di Eropah - di laman webnya, namun tanpa sebarang arahan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/10

Culik, bunuh 14 askar

Posted: 09 Aug 2014 10:14 AM PDT

Seiyoun: Satu kumpulan bersenjata di Yaman didakwa menculik dan membunuh 14 tentera negara itu yang dalam perjalanan pulang daripada bertugas, kelmarin.

Penduduk menemui mayat yang ditembusi peluru di jalan berhampiran bandar Seiyoun, wilayah Hadramaout, tiga jam selepas mereka diculik daripada sebuah bas awam.

Seorang pegawai bertugas mendakwa al-Qaeda bertanggungjawab dalam kejadian itu.

Malah, al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP) melalui status Twitter mengakui bertanggungjawab membunuh 14 orang tentera negara itu.


Pasukan keselamatan Yamani sudah membunuh sekurang-kurangnya 25 suspek militan dalam siri pertempuran di Wadi Hadramout sejak beberapa minggu kebelakangan ini termasuk tujuh yang dibunuh Khamis lalu ketika cuba menyerang sebuah kem tentera.


Presiden Yaman, Abd-Rabbu Mansour baru-baru ini mengarahkan pasukan tentera tambahan dihantar ke kawasan berkenaan selepas kumpulan itu mengedarkan risalah mengenai hasrat mereka menubuhkan wilayah Islam di Seiyoun dan mengarahkan wanita tidak keluar rumah jika tidak ditemani ahli keluarga lelaki.

Pegawai dan penduduk tempatan menyatakan anggota tentera yang dibunuh sedang dalam perjalanan melawat keluarga di Sanaa.

"Ia kelihatan seperti balas dendam," kata seorang pegawai.

AQAP mula melakukan tindakan seumpama sejak kemelut politik yang melanda negara berikutan kebangkitan rakyat menggulingkan Presiden pada waktu itu, Ali Abdullah Saleh pada 2011. - Agensi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/10

WHO anggap Ebola krisis global

Posted: 09 Aug 2014 10:13 AM PDT

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan wabak Ebola yang melanda barat Afrika dan meragut hampir 1,000 nyawa sebagai krisis kesihatan global dalam pada Nigeria menjadi negara terbaru mengisytiharkan darurat akibat penularan penyakit itu.

Presiden Goodluck Jonathan mengarahkan 1.9 bilion naira (RM37 juta) untuk digunakan dalam memerangi penyakit berkenaan selepas dua lagi kes disahkan di negara Afrika yang paling ramai penduduk itu. Sebanyak sembilan kes termasuk dua kematian direkodkan di Nigeria setakat ini.

Negara jirannya, Guinea, Liberia dan Sierra Leone sudah mengisytiharkan darurat akibat wabak itu sebelum ini.

Ketua Pengarah WHO Margaret Chan merayu bantuan antarabangsa untuk negara terbabit selepas pertemuan membabitkan jawatankuasa kecemasan badan itu yang turut menggesa saringan dibuat terhadap setiap orang yang datang dari negara di barat Afrika yang menjadi mangsa wabak yang dianggap paling teruk serta kompleks sejak pertama kali dikenal pasti empat dekad lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/10

'Letup kotak undi!'

Posted: 09 Aug 2014 10:13 AM PDT

Ankara: Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan menggesa pengundi 'meletupkan kotak undian' sebagai bukti sokongan terhadap usahanya dilantik sebagai presiden baru negara itu dalam pilihan raya yang akan diadakan hari ini.

Dalam perhimpunan besar-besaran di Ankara itu, Erdogan nampak begitu yakin mampu meraih sokongan majoriti.

Dia menggesa penyokongnya "meletupkan kotak undian dan memberi pukulan demokrasi hebat" kepada lawannya dalam 'menawan' istana presiden Cankaya di Ankara.

"Kita akan menulis semula sejarah Turki yang baru pada 10 Ogos ini.


"Ankara, adakah kamu akan mengundi untuk Turki yang kuat? Ankara, adakah kamu akan mengundi orang yang juga sebahagian daripada kamu semua?" soalnya dengan penuh dramatik.


Soalannya itu disambut laungan "Ya!" orang ramai.

Jawatan presiden di Turki selama ini dipandang sekadar satu formaliti, namun Erdogan memberi bayangan mahu menjadikan jawatan itu lebih bermakna.

"Insya-Allah, semua halangan antara Cankaya dan rakyat akan dihapuskan pada 10 Ogos ini. Rakyat akan membuang segala halangan Cankaya pada 10 Ogos!" katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/10

No comments:

Post a Comment