Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Tak kisah siapa ikut

Posted: 20 Aug 2014 12:33 PM PDT

Kuala Lumpur: Meskipun Rashid Sidek mengiringi Datuk Lee Chong Wei pada saat akhir Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, kehadiran ketua jurulatih perseorangan negara itu tidak memberi banyak kesan kepada pemain nombor satu dunia itu.

Bagi Chong Wei, persoalan sama ada Rashid pergi atau tidak, bukan perkara utama sebaliknya dia hanya mahu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada aksi di atas gelanggang.


Chong Wei menegaskan, apa yang berlaku ketika ini adalah masalah Rashid dengan pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang hampir saja menyebabkan dirinya disisihkan ke Kejohanan Dunia.

"Itu masalah dia dengan BAM, bukan masalah saya. Tidak perlu saya masuk campur dalam perkara itu.


"Awal-awal lagi sudah saya maklumkan, siapa saja (jurulatih) yang pergi saya tetap OK.


"Yang penting ialah diri saya sendiri. Jurulatih hanya memberi tunjuk ajar dan membantu saya. Tapi ketika masuk ke gelanggang, saya yang beraksi, bukan jurulatih," katanya ketika ditemui sebelum berlepas ke Copenhagen kelmarin.

Foto

RASHID iringi Chong Wei ke Kejohanan Dunia.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, Rashid mengesahkan sudah membalas surat tunjuk sebab kepada badan induk itu sebagai sebahagian daripada syarat bagi membolehkan beliau mengiringi pemain perseorangan negara di Kejohanan Dunia.


Rashid perlu membalas surat tunjuk sebab itu kerana membuat kenyataan secara terbuka untuk menarik diri sebagai ketua jurulatih ke Sukan Komanwel 2014.

BAM sebelum ini memutuskan untuk membawa Hendrawan serta Tey Seu Bock selaku jurulatih perseorangan negara dan kehadiran Rashid bermakna, tiga jurulatih perseorangan menggalas tugas di Copenhagen.


Sementara itu, Chong Wei menafikan ketiadaan jaguh China, Lin Dan akan membuka ruang luas kepadanya untuk muncul juara dunia buat kali pertama.


"Bila Lin Dan tak beraksi di Kejohanan Dunia, semua orang bercakap peluang saya tinggi, tetapi sebenarnya bukan senang untuk menang walaupun tanpa kelibatnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/21

Pertahanan perlu lebih mantap: Skrtel

Posted: 20 Aug 2014 11:46 AM PDT

London: Martin Skrtel mengakui usaha meningkatkan prestasi di bahagian pertahanan salah satu sasaran Liverpool musim ini dan menegaskan tanggungjawab itu dikongsi seluruh pasukan.

Reds melepaskan 51 gol dalam Liga Perdana musim lalu, statistik yang diakui pertahanan tengah Slovakia itu perlu direndahkan kali ini.


Skrtel merasakan kunci utama melakukannya adalah dalam pasukan dan tidak hanya mereka yang beraksi di barisan pertahanan.

"Ia bertahan secara berpasukan dan ia perkara utama yang kami perlu tingkatkan," katanya.


"Jika kami mampu melakukan dan mengurangkan sesetengah kesilapan individu, ia akan memberikan perbezaan ketara.


"Kami akan melihatnya dan cuba meningkatkannya. Sebagai pemain, kami tidak gembira dengan rekod itu namun kami sedar arah kami sebagai sebuah pasukan musim lalu dan akan cuba meningkatkannya kali ini." Liverpool meningkatkan pilihan pemain di barisan pertahanan musim panas ini dengan membawa masuk Javier Manquillo, Alberto Moreno dan Dejan Lovren.

Skrtel merasakan ia meningkatkan persaingan secara positif.


"Terdapat banyak persaingan merebut posisi, namun terpulang kepada kami sebagai pemain kerana apabila menyedari terdapat seseorang menanti untuk mengisi posisi anda, ia akan meningkatkan usaha untuk mempamerkan aksi terbaik kepada pengurus," katanya.

"Ia menjadi bagus untuk pasukan dan terserah kepada pengurus untuk menurunkan sesiapa saja dalam kesebelasan utama." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/21

Semangat sepasukan jana Spurs

Posted: 20 Aug 2014 11:44 AM PDT

London: "Setiap orang berjuang untuk satu sama lain," dakwa Lewis Holtby susulan kemenangan pada perlawanan pembukaan mereka di West Ham pada hari pembukaan Liga Perdana Inggeris hujung minggu lalu.

Pemain tengah antarabangsa Jerman itu masuk ketika jurulatih Mauricio Pochettino melakukan dua pertukaran sekali gus pada perlawanan berkenaan sekali gus mengubat kekecewaan gara-gara Kyle Naughton di buang padang pada babak pertama tetapi mereka boleh dianggap bernasib baik apabila pemain tuan rumah Mark Noble gagal menyempurnakan penalti.


Kad kuning kedua yang dilayangkan kepada James Collins menyaksikan Hammers turut beraksi dengan 10 pemain sebelum Eric Dier menjaringkan gol, tiga minit sebelum tamat permainan bagi memastikan kemenangan 1-0 Spurs.

Holtby percaya keputusan itu memberikan mereka kelegaan serta keyakinan untuk menghadapi perlawanan akan datang selain memuji semangat pasukan kerana berjaya bertahan sejak Naughton dibuang padang.


"Ia perlawanan yang penuh dengan emosi terutama apabila melihat kepada semuanya bermula – kad merah serta kegagalan lawan menyempurnakan penalti," kata pemain berusia 23 tahun itu.


"Semua pemain mempertaruhkan kudrat masing-masing sepanjang 90 minit permainan dan melawan sebagai satu pasukan adalah hebat dan kami bermain sebagai satu unit. Itulah karektor yang kami perlukan terutama dalam perlawanan seperti ini.

"Semangat semua pemain adalah tinggi. Apabila anda berada di atas padang dan merasakan semua orang bersungguh-sungguh berjuang, ia adalah hasil daripada keharmonian yang kami cipta di dalam bilik persalinan. Jika anda berjaya mencipta suasana seperti yang kami rasa di bilik persalinan, sudah tentu anda boleh melakukan sesuatu yang istimewa.


"Tahniah kepada semua yang bermain atau tidak kerana ia adalah hasil usaha berpasukan." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/21

Wenger berang

Posted: 20 Aug 2014 11:43 AM PDT

Istanbul: Pengurus Arsenal Arsene Wenger menganggap keputusan seri tanpa jaringan ketika menentang Besiktas pada aksi play off Liga Juara-Juara semalam adil, namun tetap mahu mengecam mutu pengadilan.

Pengadil dari Serbia Milorad Mazic mengarahkan pemain tengah Arsenal, Aaron Ramsey keluar padang selepas menerima kad kuning kedua yang dianggap tidak adil oleh Wenger.


"Saya fikir kad kuning pertama dan kedua itu tidak sepatutnya diberikan kepada Ramsey," kata Wenger kepada pemberita.

"Bila anda melihat beberapa kekasaran dilakukan dan anda melihat kad merah diberikan kepada Ramsey, ia sukar dipercayai.


"Persembahan pengadil pada babak kedua sangat teruk," katanya sambil mendakwa pemain Besiktas yang melakukan kekasaran tidak dikenakan hukuman.


Wenger yang mempunyai rekod bersih 12 kemenangan daripada 12 perlawanan play off Liga Juara-Juara menganggap perlawanan itu sukar kerana berlangsung pada tahap yang pantas, tetapi memuji kesungguhan pasukan lawan.

Ketika ditanya mengenai perasaannya dengan keputusan itu, Wenger berkata, ia adil jika tahap kesukaran perlawanan itu diambil kira.


"Kami selalu mahukan kemenangan, tapi anda boleh lihat, Besiktas juga boleh menang perlawanan ini. Namun kami juga mungkin boleh menang.

"Keputusan seri ini boleh dianggap adil kerana kedua-dua pasukan mempunyai peluang untuk menang." Mengenai perlawanan timbal balik di London, beliau berkata: "Kami tahu Besiktas bagus, kami tahu perlawanan itu nanti pasti sengit, namun sasaran kami tetap jelas." Wenger turut memuji permainan skuad kendalian Slaven Bilic itu.


"Kami berdepan pasukan Besiktas yang sangat bagus. Komitmen mereka sangat hebat." Bilic, pengendali dari Croatia juga kelihatan tidak puas hati dengan keputusan pengadil pada minit-minit akhir permainan, namun tetap gembira dengan keputusan dicapai.


"Perlawanan ini membabitkan aksi bola sepak hebat. Ia bukan keputusan 0-0 yang membosankan. Saya sangat bangga terhadap prestasi pemain saya, mereka bermain mengikut arahan.


"Berdasarkan pengamatan saya, kami hampir mengalahkan mereka. Kami gagal menyempurnakan peluang, namun saya tidak menyalahkan pemain," kata Bilic. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/21

Rojo perkuat United, Nani jadi cagaran

Posted: 20 Aug 2014 11:42 AM PDT

Lisbon: Kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United bersetuju dengan syarat perpindahan pemain pertahanan antarabangsa Argentina yang beraksi untuk Sporting Lisbon, Marcos Rojo dengan Nani pula bakal beralih ke kelab Portugal itu.

Dalam kenyataan Sporting semalam, kedua-dua kelab itu bersetuju dengan yuran perpindahan £16 juta (RM84.3 juta) dengan Nani yang turut terbabit dalam perjanjian itu akan kembali menyertai pasukan lamanya secara pinjaman.


United kemudian membuat kenyataan ringkas mengenai perpindahan terbaru itu menerusi laman web rasmi mereka.

"United gembira untuk mengumumkan kami sudah mencapai persetujuan dengan Sporting bagi mendapatkan khidmat pemain pertahanan Rojo, tertakluk kepada ujian perubatan dan kontrak," jelas kelab itu.


Rojo, 24, yang boleh beraksi di bahagian pertahanan tengah dan kiri antara pemain terbaik Argentina ketika membantu pasukannya melangkah ke final Piala Dunia di Brazil sebelum tumpas di tangan Jerman.


Dia menghabiskan masa dua musim di Sporting selepas berpindah dari Spartak Moscow pada Julai 2012.

Nani, 27, kembali ke Portugal selepas tujuh tahun meninggalkan Sporting untuk beraksi di Old Trafford. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/21

Monopoli semua trofi

Posted: 20 Aug 2014 11:42 AM PDT

Madrid: Real Madrid yang dibarisi barisan pemain 'mewah' termasuk bintang Piala Dunia, James Rodriguez di bahagian serangan, menetapkan sasaran untuk memenangi semua enam trofi sepanjang musim ini dengan Piala Super Eropah berada dalam genggaman mereka.

Kini beban di bahu setiap pemain sedikit ringan selepas memenangi trofi itu dan mereka mahu meraih lebih banyak kejayaan lagi selepas ini.


Menjulang enam trofi termasuk Kejohanan Kelab Dunia, Piala Raja-Raja, La Liga dan Liga Juara-Juara akan menyaksikan mereka menyamai Barcelona yang meraih kejayaan sama pada 2009.

Setakat ini, Real sudah memenangi Piala Super Eropah dengan menewaskan Sevilla dan mensasarkan untuk mengungguli saingan domestik menentang Atletico Madrid selepas sekadar seri 1-1 pada perlawanan pertama di Bernabeu.


Mereka tidak melakukan perubahan besar-besaran, tetapi berjaya mendapatkan penyerang Colombia, Rodriguez yang dianggar bernilai €80 juta (RM336.5 juta).


Pemenang Kasut Emas Piala Dunia itu menyertai pemain tengah, Toni Kroos dan penjaga gol, Keylor Navas yang turut menyinar dengan Jerman dan Costa Rica di Brazil.

Namun, berita yang kurang senang didengar menjelang perlawanan pertama La Liga musim ini selepas prestasi hambar Real pada aksi persahabatan termasuk ketika di Kejohanan Piala Antarabangsa di Amerika Syarikat.


Secara keseluruhan, mereka tewas tiga perlawanan dan seri sekali.

Paling mencetuskan keraguan barisan pertahanan mereka terutama penjaga gol, Iker Casillas.


Di sebalik kehilangan tempat kepada Diego Lopez pada saingan liga musim lalu dan menjadi punca penyingkiran awal Sepanyol di Piala Dunia, Casillas masih kekal di Bernabeu.


Sebaliknya, Lopez yang berhijrah ke AC Milan.


Namun, yang menjadi tumpuan utama Rodriquez dengan persoalan mengenai kemampuannya menjelang sepak mula liga.


Dia menjaringkan gol ketika bertemu Atletico pada Piala Super selepas masuk sebagai pemain gantian.


"Dia tidak mempunyai kekurangan apa-apa. Hanya mungkin perlu menyesuaikan diri dengan kelab dan rakan sepasukan yang baru.


"Kami gembira dengan prestasinya. Kami tidak mahu memberikan sebarang tekanan kepadanya kerana dia perlu menyesuaikan diri terlebih dulu," kata Ancelotti. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/21

Dunga gugur bintang 'malap'

Posted: 20 Aug 2014 11:41 AM PDT

Rio de Janeiro: Pengurus baru Brazil Dunga menggugurkan beberapa nama besar pada Piala Dunia lalu termasuk Fred dan Paulinho daripada skuad utamanya menjelang perlawanan persahabatan menentang Colombia dan Ecuador.

Pemain pertahanan berpangkalan di Sepanyol, Dani Alves dan Marcelo serta penyerang Jo menyertai Fred dan pemain tengah Paulinho disingkirkan daripada barisan 22 pemain pilihannya.


Hernanes dan Dante turut diketepikan bersama pertahanan yang cedera, Thiago Silva.

Antara terpilih menggantikan mereka pemain tengah Liverpool, Phillipe Coutinho, penjaga gol Napoli, Rafael Cabral dan pertahanan tengah, Miranda serta Marquinhos.


Pertahanan Porto, Danilo dan Alex Sandro turut tersenarai.


Pemain Everton, Ribeiro dan Ricardo Goulart, dua pemain tengah yang membantu Cruzeiro memenangi gelaran Divisyen Satu pada tahun lalu, antara barisan pemain yang turut berjaya memikat Dunga.

"Ribeiro terpilih kerana dia mempunyai skil menggelecek yang bagus.


"Berikutan kawalan ketat pemain lawan dan ruang terhad untuk melakukan gerakan, amat penting mempunyai pemain yang mempunyai skil menggelecek bagus.

"Goulart sangat bagus dan kompetitif. Dia sangat bijak mencari ruang di kawasan lawan," katanya.


Brazil akan bertemu Colombia di Miami pada 5 September serta Ecuador di New York empat hari selepas itu.


Perlawanan persahabatan itu yang pertama sejak Piala Dunia berakhir. Brazil tewas 1-7 kepada Jerman pada saingan separuh akhir, kekalahan terbesar mereka sepanjang beraksi di Piala Dunia.


Luiz Felipe Scolari meletak jawatan selaku pengurus dan diganti bekas pemain tengah Brazil, Dunga yang kembali buat kali kedua sebagai jurulatih.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/21

Guardiola gusar nasib Bayern

Posted: 20 Aug 2014 11:41 AM PDT

Berlin: Juara bertahan Bundesliga, Bayern Munich dan seteru utama Borussia Dortmund dilihat bakal bersaing untuk merebut gelaran juara Liga Jerman apabila tirai musim disingkap Sabtu ini.

Kedua-duanya sudah mengukuhkan pasukan masing-masing menerusi beberapa perpindahan dan pembelian pemain baru.


Bagi kelab Bavaria itu, musim ini pastinya tidak semudah tahun lalu apabila mereka merangkul gelaran seawal Mac lagi.

"Musim ini kami memerlukan lebih banyak masa," kata jurulatih Pep Guardiola. "Ketika ini hanya lapan atau sembilan pemain saya yang cergas sepenuhnya." Beberapa masalah kecederaan termasuk yang melanda pemain tengah, Javi Martinez memaksa Bayern untuk memikirkan pembelian pemain baru.


Selain Martinez yang memainkan peranan utama di bahagian tengah, Guardiola yang memasuki tahun keduanya di Bayern, perlu menurunkan pasukan tanpa Bastian Schweinsteiger untuk tempoh beberapa bulan.


Kecederaan lutut dialami Schweinsteiger berterusan dan namanya sudah pasti tidak dapat disenaraikan untuk saingan awal.

"Lututnya cedera dan dia perlu berehat. Itulah yang meresahkan Bayern," kata Guardiola.


Pemain sayap Franck Ribery, pemain tengah Thiago Alcantara dan pertahanan Rafinha turut mengalami kecederaan.

Ketika Bayern gah menjuarai liga musim lalu, mereka kehilangan peluang mencipta kejayaan berganda apabila kalah 0-2 di tangan Dortmund pada aksi Piala Super Jerman.


Walaupun mempunyai laluan mudah untuk pusingan pertama Piala Jerman menentang Preussen Muenster, Guardiola sedar masa tidak memihak kepada pasukannya.


Dengan Vfl Wolfsburg menanti di perlawanan pembukaan Sabtu ini, pengendali itu semakin tertekan untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu.


Robert Lewandowski yang muncul penjaring terbanyak Bundesliga musim lalu, masih belum menemui sentuhan, tetapi peminat mengharapkan penyerang Poland itu akan meledak selepas ini.


Dortmund kehilangan Lewandowski kepada Bayern menerusi perpindahan percuma, tetapi jurulatih Juergen Klopp berharap penyerang Itali, Ciro Immobile dan Adrian Ramos akan menyinar. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/21

Phelps takkan undur

Posted: 20 Aug 2014 11:41 AM PDT

Singapura: Beberapa siri kekalahan dialami Michael Phelps selepas memutuskan untuk kembali bertanding menjadi pemangkin untuk kembali di puncak selepas ini.

Bagi atlet yang pernah melakar nama dalam buku rekod Olimpik, kekalahan itu sepatutnya sudah cukup untuk mendorongnya bersara, tetapi tidak bagi Phelps.


Ketika menyertai Kejohanan Pac Pacific di Australia, aksi antarabangsa pertamanya sejak bersara selepas Olimpik London, taring Phelps kelihatan tidak pernah tumpul.

Kekalahannya pada Kejohanan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini akibat kesilapan mudah, tetapi ia sudah diatasi dalam masa singkat.


"Saya berusaha memperbaiki perkara asas dan berharap ia memberi kesan positif," katanya.


"Di kejohanan kebangsaan, saya melakukan kesilapan beberapa perkara asas dan itulah sebabnya saya tewas.

Foto

Michael Phelps

"Kesilapan seperti itu biasanya dilakukan perenang berusia 11 atau 12 tahun saja." Walaupun menghabiskan banyak masa di kolam, perenang berusia 28 tahun itu berkata, kesilapan sebegitu hanyalah petanda kekurangan aksinya sebelum ini dan ia akan diatasi sebelum menyertai lebih banyak kejohanan besar yang menentukan penanda aras kebangkitannya.


"Saya tidak menyertai banyak perlumbaan sejak setahun lalu," kata Phelps yang tetap mampu beraksi dalam lapan acara pada kejohanan itu.

"Saya tidak suka tewas, tapi sedar kemuncak aksi saya tidak akan hadir dalam tempoh semalaman saja.


"Saya memilih untuk tewas sekarang berbanding Kejohanan Dunia 2015 dan Olimpik 2016." Bob Bowman yang bergelar jurulatih Phelps untuk tempoh panjang, berkongsi pandangan anak didiknya itu.


Beliau individu yang berjaya mengesan bakat Phelps dan Bowman sering menjalankan sesi psikologi dengan atlet itu.


Ditanya sama ada Phelps mampu berenang lebih pantas berbanding sebelum bersara, Bowman membalas: "Itulah sebabnya dia kembali.


"Jika dia fikir tidak mampu mengubah catatan terbaik, sudah tentu dia tidak akan kembali daripada persaraannya." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/21

Bencana badminton Indonesia

Posted: 20 Aug 2014 11:39 AM PDT

Jakarta: Nasib malang skuad badminton Indonesia bertambah apabila Simon Santoso muncul pemain terbaru terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Dunia di Denmark minggu depan akibat denggi.

Pemain nombor lapan dunia itu yang menjuarai Terbuka Singapura dan Malaysia tahun ini, dimasukkan ke hospital sejak dikesan mengalami masalah berkenaan Isnin lalu dan tempatnya di Kejohanan Dunia tidak akan diganti pemain lain kerana keputusan undian sudah dikeluarkan.


Impian Indonesia pada kejohanan bermula 26 hingga 31 Ogos itu juga makin suram apabila salah seorang juara bertahan acara beregu lelaki, Mohammad Ahsan terpaksa menarik diri akibat kecederaan belakang sekali gus membuatkan rakannya, Hendra Setiawan tidak bermain.

"Musibah buat kami, apa yang boleh saya katakan. Kami akan berlepas ke Copenhagen pagi esok (ini) dan tidak mempunyai pilihan. Mereka tidak boleh bermain," kata pegawai PBSI Bambang Roedyanto kepada Persekutuan Badminton Dunia, semalam.


"Ini kali kedua Ahsan berdepan masalah sama dan ia makin buruk sejak beberapa hari lalu iaitu ketika dia berlatih. Dia tidak mampu duduk dan sudah tentu tidak boleh melompat dan berlari. Doktor juga menasihatkannya supaya tidak bermain." Masalah kecederaan pemain badminton Indonesia bermula Jun lalu apabila beregu campuran yang juga juara dunia, Tontowi Ahmad dan Liliyana Natsir tidak dapat beraksi di Denmark selepas Tontowi mengalami kecederaan buku lali. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/21

No comments:

Post a Comment