Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


77 keluarga pening

Posted: 25 Aug 2014 12:05 PM PDT

Kuala Lumpur: Nasib 77 keluarga Kampung Puah Seberang, Sentul di sini menjadi persoalan apabila penempatan mereka di bawah status tanah rizab Melayu sejak 10 Januari 1916 akan dimajukan sebagai projek pembangunan bandar dan diarahkan berpindah.

Wakil penduduk, Ahmad Daud Mohd Ali, 62 berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberikan notis tempoh berpindah sehingga penghujung bulan ini dan ditawarkan projek perumahan rakyat (PPR) di Bukit Jalil.


"DBKL sebenarnya sudah meminta kami berpindah sejak 1990-an, tetapi hanya segelintir berpindah manakala masih ramai yang mahu kawasan ini dikekalkan," katanya di sini, semalam.

Menurutnya, DBKL mempunyai perancangan sebelum ini membangunkan kawasan penempatan berkenaan sebagai projek 'River of Life' iaitu mencantikkan dan melebarkan sungai untuk tujuan pelancongan, projek takungan banjir dan pembinaan Lebuh raya Duta-Ulu Klang (DUKE).


"Pada 4 Jun lalu, satu perjumpaan diadakan bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib untuk berbincang lanjut, tetapi akhirnya membuat keputusan sama ada mahu atau tidak, kami kena berpindah dan kami membantah," katanya.


Katanya, hak tanah rizab Melayu perlu dipertahankan selepas penduduk di situ berhijrah memajukan kawasan penempatan berkenaan ketika Datuk Seri Harun Idris sebagai Menteri Besar Selangor.

Foto

AHMAD menunjukkan notis perobohan pada rumah penduduk.

"Ketika Tan Sri Ahmad Fuad Ismail sebagai Datuk Bandar, kami pernah diajak berbincang bersama mengusulkan kertas cadangan dan DBKL melantik syarikat perunding bermula 2010 untuk mewujudkan kampung tradisi warisan Melayu yang kekal dalam bandar," katanya.


Namun, bekas pesara tentera itu menyatakan cadangan pembangunan kampung tradisi warisan Melayu ini hanya sepi selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan pertukaran Datuk Bandar Kuala Lumpur.

"Keputusan pembangunan ini digantung sehingga projek mega masuk. Pada pertemuan 4 Jun lalu, kami juga berdialog dengan Datuk Bandar dan meminta laporan diberikan pada penduduk, tetapi tiada," katanya.


Katanya, mengikut laporan syarikat perunding berkenaan pada tahun lalu menyatakan Kampung Padang Balang, Bandar Dalam dan Sungai Merali dikekalkan sebagai kampung tradisi warisan manakala Kampung Puah Lembah, Kampung Puah Seberang dan Kampung Chubadak tidak dimasukkan tanpa alasan diberikan.


Ahmad Phesal ketika dihubungi menyatakan perpindahan penduduk di kawasan itu perlu dilakukan untuk membolehkan projek River of Life diteruskan.


"Kami perlu pindahkan mereka dan ianya membabitkan projek Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) untuk pinggir sungai dan kawasan kolam takungan.


"Projek ini adalah kepentingan pembangunan Kuala Lumpur dan rumah disediakan DBKL," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/26

Serangan enam lelaki

Posted: 25 Aug 2014 12:03 PM PDT

Kuala Lumpur: Jeritan meminta tolong daripada seorang lelaki berjaya menyelamatkan nyawanya dan rakan selepas mereka diserang enam lelaki bersenjatakan parang di Taman Pusat Kepong, di sini, Sabtu lalu.

Malah, tindakan berani mangsa dikenali sebagai Ng berusia 28 tahun itu menyebabkan orang ramai yang menyedari kejadian itu datang membantu dan berjaya menangkap seorang daripada suspek.


Ng berkata, ketika kejadian, dia bersama rakannya baru tiba di kawasan itu sebelum meletakkan keretanya jam 11 malam.

"Bagaimanapun sebaik keluar, enam lelaki terus mengeluarkan parang sebelum menyerang.


"Malah rakan saya yang cuba membantu turut diserang dan terkena libasan parang di tangan menyebabkan saya terus menjerit meminta pertolongan," katanya.


Menurutnya, jeritannya itu didengari orang awam dan mereka terus datang membantu.

"Suspek terus melarikan diri, namun seorang daripada mereka ditahan," katanya.


Akibat kejadian itu, dia cedera di kepala, tangan dan lutut sementara rakannya pula menerima tiga jahitan di tangan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/26

Tiga pelajar rugi RM6,000

Posted: 25 Aug 2014 12:03 PM PDT

Georgetown: Tiga pelajar lelaki sebuah kolej kerugian RM6,000 apabila tiga telefon bimbit, jam tangan dan wang tunai milik mereka dilarikan tiga penjenayah dipercayai warga asing dalam kejadian samun di sebuah rumah di Tanjung Bungah, di sini, awal pagi kelmarin.

Kejadian berlaku pada jam 4.30 pagi apabila mangsa bersama dua teman serumah berusia antara 19 dan 20-an tidur di tingkat atas sebelum ketiga-tiga suspek dipercayai menceroboh masuk melalui kawasan cerun di belakang rumah.


Jurucakap polis berkata, siasatan mendapati semua suspek memakai topeng muka dan menggunakan pisau untuk masuk ke dalam bilik sebelum mengarahkan mangsa bangun dari tidur dan memasuki bilik bersebelahan yang disewa dua lagi rakan mangsa.

Beliau berkata, suspek mengikat ketiga-tiga mangsa dan mengacukan pisau.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/26

Serangan botol arak

Posted: 25 Aug 2014 12:02 PM PDT

Georgetown: Kegembiraan dua sahabat yang baru selesai berhibur di sebuah pusat hiburan bertukar mimpi ngeri apabila dibelasah sekumpulan lelaki tidak dikenali dengan menggunakan botol minuman keras di depan premis berkenaan di Sungai Rambai, Bukit Mertajam, awal pagi kelmarin.

Kejadian berlaku pada jam 3 pagi apabila kedua-dua mangsa lelaki berusia 30-an itu dikatakan baru keluar dari pusat hiburan itu untuk pulang ke rumah sebelum sekumpulan empat atau lima lelaki terus menyerang mereka.


Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati mangsa cuba menolak seorang suspek dan bertanya punca kejadian berkenaan, namun kumpulan suspek terbabit terus memukul mereka bertubi-tubi sebelum beredar dari tempat kejadian.

"Siasatan mendapati kedua-dua mangsa luka di bahagian kepala dan lebam pada badan.


"Mangsa kemudian bertanya kepada penjaga pusat hiburan berkenaan punca mereka berdua dipukul sebelum dimaklumkan suspek tersalah pukul orang," kata jurucakap itu di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/26

Suspek lolos jenayah lampau ditahan

Posted: 25 Aug 2014 12:02 PM PDT

Teluk Intan: Polis memberkas seorang lelaki berusia 28 tahun yang disyaki terbabit dalam jenayah samun dan pecah rumah di daerah ini sejak beberapa bulan lalu dalam Ops Lejang Khas di kawasan Kampung Terengganu, Jalan Mak Intan awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3 pagi, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Teluk Intan yang diketuai Asisten Superintendan Norzanual Ahmad memberkas suspek dari Kampung Ayer Hitam, Jalan Changkat Jong, hasil maklumat orang awam dan risikan yang dijalankan.


Timbalan Ketua Polis daerah Hilir Perak Superintendan Muhamad Zaki Harun berkata, suspek ditahan anggota polis selepas pihaknya menerima maklumat berhubung kehadiran seorang lelaki yang mencurigakan di dalam sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan.

Menurutnya, apabila siasatan dilakukan ke atas suspek, pihaknya mendapati suspek yang memiliki lebih 10 kes jenayah lampau mengakui pernah melakukan jenayah pecah rumah, curi dan pecah tabung derma di beberapa Masjid Daerah Hilir Perak selain beberapa tokong serta kuil.


"Siasatan mendapati suspek melakukan jenayah berkenaan seorang diri dan kegiatan berkenaan dilakukan tidak kira siang atau malam.


"Suspek menggunakan modus operandi mengumpil pintu ataupun tingkap di bahagian belakang rumah untuk masuk," katanya.

Menurut Zaki, ujian air kencing ke atas suspek mendapatinya positif dadah jenis heroin.


"Kami percaya dengan tertangkapnya suspek, kita dapat menyelesaikan lebih 10 kes yang dilaporkan berlaku sejak beberapa bulan lalu," katanya.

Beliau berkata, suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/26

No comments:

Post a Comment