Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Terjunan emas

Posted: 01 Aug 2014 02:59 PM PDT

Glasgow: Siapapun tidak menyangka Ooi Tze Liang mengakhiri kemarau empat hari emas kontinjen negara apabila memenangi acara 3 meter papan anjal lelaki di Kolam Renang Diraja Komanwel, Glasgow, awal pagi semalam.

Anak kelahiran Georgetown, Pulau Pinang itu mengumpul 457.60 mata menafikan penerjun pilihan dari England, Jack Laugher yang memenangi perak (449.70) dan gangsa juga rakan senegaranya Oliver Dingley (425.20).


"Ini kejayaan bermakna sepanjang karier saya dalam sukan terjun. Kemenangan paling manis dalam penyertaan kedua Sukan Komanwel selepas India empat tahun lalu," katanya.

Atlet berusia 20 tahun itu yang sebelum ini sering dibayangi kehebatan Yeoh Ken Nee hanya meraih pingat perak dalam acara 3m papan anjal seirama berpasangan dengan Bryan Nickson Lomas di New Delhi.


"Kerana itu pingat ini cukup bermakna. Sudah pasti saya hadiahkan kejayaan ini kepada keluarga saya dan seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan kami di sini," katanya.


Tze Liang tidak mempunyai rahsia akan kemenangan itu melainkan berlatih bersungguh-sungguh dalam memperbaiki teknik terjunan.

Foto

AKSI emas Tze Liang.

Dia juga tidak memasang sasaran emas sebelum acara bermula sebaliknya hanya fokus kepada diri sendiri.


"Saya sedar lawan semua hebat belaka terutama Jack (Laugher). Dia penerjun berpengalaman dan kerap memenangi pingat pada Siri Piala Dunia.

"Malah di Shanghai baru-baru ini, dia mendapat tempat ketiga sedangkan saya langsung tidak layak ke final selepas menduduki tempat ke-14.


"Namun terus terang saya tenang ketika membuat terjunan. Tiada gangguan emosi dan minda. Malah kehadiran penonton juga tidak saya hiraukan.


"Saya hanya fokus kepada membuat terjunan dan cuba elak melakukan kesilapan dan akhirnya saya berjaya di podium kemenangan," ujarnya.


Tze Liang turut berkata, dia mahu meraikan kejayaan itu bersama keluarga apabila pulang ke tanah air sebelum memikirkan Sukan Asia Incheon.


"Saya akan cuba ulangi prestasi ini dan memperkemaskan lagi teknik terjunan kerana di Incheon, saingan lebih getir dengan kehadiran jaguh dunia dari China," katanya.


Dia akan turun semula ke kolam terjun hari ini dan esok dalam acara 3m papan anjal seirama dan 10m platform dan seirama berpasangan dengan Chew Yi Wei.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/02

Cabaran bermula!

Posted: 01 Aug 2014 02:53 PM PDT

London: Petr Cech bersedia untuk menghadapi cabaran Thibaut Courtois bagi merebut tempat sebagai penjaga gol nombor satu Chelsea, umum pengurus Jose Mourinho.

Courtois, 22, yang juga pemain kebangsaan Belgium kembali ke kelab induknya selepas dipinjamkan selama semusim bersama juara La Liga, Atletico Madrid dan akan bersaing dengan penjaga gol Republik Czech untuk berada dalam kesebelasan utama di Stamford Bridge.


Cech, 32, yang menjadi pilihan utama Chelsea sejak sedekad lalu, kembali selepas terseliuh bahu yang dialaminya pada Mei dan tampil dalam aksi pramusim.

"Petr berusaha dengan gigih, dia hampir pulih daripada pembedahan dan bersedia bersaing mempertahankan posisinya," kata Mourinho.


"Thibaut baru tiba... sebagai seorang penjaga gol muda terbaik di dunia dan mereka akan bersaing. Bagi saya ini masalah yang bagus dan saya tidak pernah takut untuk membuat keputusan.


"Saya lebih gembira berada pada situasi ini berbanding tidak mempunyai penjaga gol yang bagus untuk Chelsea. Adalah masalah yang bagus untuk saya apabila mempunyai Petr dan Thibaut dalam skuad yang sama," kata Mourinho.

"Ini kelab yang mahu terus mantap dan mempunyai kemungkinan besar untuk bersaing merebut trofi, jadi kami memerlukan persaingan di setiap posisi." Courtois menjalani latihan bersama rakan sepasukan buat kali pertama minggu ini, selepas diberikan rehat yang lebih panjang susulan Piala Dunia di Brazil.


"Saya perlu bekerja keras dan membuktikan diri ketika latihan," kata pemain Belgium itu. "Kami perlu menjalani latihan dengan keras dan bekerjasama sebagai satu pasukan.

"Apa yang boleh saya lakukan adalah bermain dengan baik dan berharap pengurus memilih saya. Ia sama bagi pemain lain.


"Saya fikir saya penjaga gol yang serba boleh namun saya sedar masih mampu mempamerkan peningkatan," ujar Courtois. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/02

Jenkinson perkuat pertahanan West Ham

Posted: 01 Aug 2014 02:48 PM PDT

London: West Ham meningkatkan pilihan di bahagian pertahanan apabila mendapatkan khidmat pertahanan England dari Arsenal, Carl Jenkinson sebagai pemain pinjaman untuk tempoh semusim, menurut kelab Liga Perdana itu kelmarin.

Pemain berusia 22 tahun itu menyertai Arsenal selepas meninggalkan Charlton Athletic pada 2011, membuat 57 penampilan sebagai pengganti utama kepada Bacary Sagna di pertahanan kanan.


Selepas Sagna menyertai Manchester City Jun lalu, Arsenal menggantikannya dengan pemain Newcastle United, Mathieu Debuchy dan Calum Chambers dari Southampton, jadi Jenkinson dibenarkan pengurus Arsene Wenger untuk dipinjamkan.

"Saya berbesar hati kerana mempunyai banyak pilihan namun secara jujurnya West Ham sentiasa menjadi destinasi yang saya impikan," kata Jenkinson menerusi laman web rasmi kelab timur London itu.


Dia menjadi pemain keenam yang diikat West Ham pada jendela perpindahan semasa selepas ketibaan penyerang Mauro Zarate dan Enner Valencia, pemain tengah Senegal, Cheikhou Kouyate, pertahanan Aaron Cresswell dan pemain tengah Diego Poyet.


West Ham akan memulakan kempen Liga Perdana di laman sendiri menentang Tottenham Hotspur pada 16 Ogos ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/02

Impak Herrera

Posted: 01 Aug 2014 02:48 PM PDT

London: Tiada yang lebih menggembirakan Ander Herrera apabila memulakan kariernya sebagai pemain Manchester United.

Musim baru Liga Perdana tidak sampai dua minggu lagi namun Herrera sudah memberikan impak besar bersama kelab itu.


Pemain Sepanyol itu salah seorang daripada tujuh pemain dalam kesebelasan utama pada setiap perlawanan pramusim United di jelajah Amerika Syarikat.

Penyokong United tidak perlu menunggu lama untuk menyaksikan sentuhan pemain tengah itu. Dia terbabit dalam enam daripada tujuh gol yang dihasilkan pada perlawanan pertama kendalian Louis van Gaal menentang Los Angeles Galaxy.


Ketika Michael Carrick tersisih kerana kecederaan, Herrera terpaksa memikul bebanan itu namun dia dia gembira berpeluang untuk mempamerkan aksi terbaik.


"Segala-galanya berjalan lancar untuk saya setakat ini," kata Herrera selepas kemenangan mengatasi Inter Milan menerusi sepakan penalti kelmarin.

"Secara fizikalnya saya berasa bagus dan mental meningkat sepanjang masa.


"Saya gembira dengan apa yang dipamerkan di atas padang dan semua pemain membantu saya dalam aspek menyesuaikan diri.

"Keyakinan saya bertambah pada setiap perlawanan dan saya teruja menjelang musim baru." Bahagian tengah terbukti menjadi masalah tahun lalu buat pengurus yang digantikan Van Gaal, David Moyes.


Darren Fletcher difahamkan bergelut untuk mencapai tahap kecergasan terbaik selepas pembedahan membetulkan keadaan usus.


Tom Cleverley, Carrick dan Marouane Fellaini perlu melupakan musim lalu manakala Anderson dipinjamkan ke Fiorentina selepas tidak menjadi pilihan pengurus. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/02

Spurs setuju ikat Dier

Posted: 01 Aug 2014 02:48 PM PDT

London: Tottenham Hotspur bersetuju membeli pertahanan Inggeris yang beraksi untuk kelab Portugal, Sporting, Eric Dier, bergantung kepada ujian pemeriksaan kesihatan pemain berusia 20 tahun itu, menurut kelab Liga Perdana Inggeris itu kelmarin.

Pemain serba boleh untuk skuad bawah 21 tahun England itu dijangka bernilai £4 juta (RM21.6 juta), menurut laporan media British.


"Kami gembira mengumumkan sudah mencapai kata persetujuan bersama Sporting Lisbon bagi perpindahan Eric Dier, bergantung kepada pemeriksaan kesihatan pemain," menurut kelab Liga Perdana itu menerusi laman webnya.

Selepas berpindah ke Portugal sejak berusia 10 tahun, Dier yang dipinjamkan ke Everton pada 2011, menyertai Sporting dan tampil dalam 30 perlawanan untuk kelab Lisbon itu.


Dia muncul pemain ketiga yang diambil pengurus baru Spurs, Mauricio Pochettino selepas pertahanan Wales, Ben Davies dan penjaga gol Belanda, Michel Vorm, kedua-duanya bersama Swansea City musim lalu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/02

Jaringan tunggal Pizarro lonjak Munich

Posted: 01 Aug 2014 02:47 PM PDT

New York: Claudio Pizarro meledak jaringan tunggal bagi membolehkan Bayern Munich menewaskan Chivas Guadalajara 1-0 dalam aksi persahabatan di Arena Red Bull semalam untuk memulakan jelajah Amerika Syarikat bagi juara Bundesliga itu.

Anak buah Pep Guardiola menguasai sebahagian besar perlawanan dan mendahului pada minit ke-10 apabila Pizarro memanfaatkan sepakan penjuru Franck Ribery.


Pizarro berpeluang meledak dua lagi gol pada separuh masa pertama dengan Carlos Fierro mendapat peluang terbaik Chivas untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-81 namun penjaga gol Bayern, Tom Starke menafikannya untuk mengekalkan keputusan itu.

Bayern yang tidak beraksi dalam perlawanan pramusim di AS sejak 2004, akan ke Portland, Oregon, dan dijadualkan menentang pasukan Bintang MLS pada perlawanan pertunjukan tahunan minggu depan.


Ia sebahagian daripada usaha Bayern meningkatkan profil mereka di AS, langkah yang sudah dilakukan kelab Eropah lain terutamanya kelab Liga Perdana Inggeris seperti Manchester United, Manchester City dan Liverpool. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/02

T-Team pilih Yunus

Posted: 01 Aug 2014 02:47 PM PDT

Kuala Terengganu: Bekas jurulatih Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang FC, Yunus Alif yang juga anak jati Terengganu menjadi pilihan T-Team untuk membimbing pasukan itu dalam mengharungi saingan Piala Malaysia yang akan bermula 13 Ogos ini.

Ketua Pegawai Operasi T-Team Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata, pemilihan Yunus tepat pada masanya kerana beliau mempunyai rekod baik bersama T-Team terutama apabila membawa skuad itu layak ke separuh akhir Piala Malaysia pada 2011.


"Kami mempunyai beberapa nama untuk membimbing T-Team menghadapi kancah Piala Malaysia termasuk bekas jurulatih Terengganu E Elavarasan, penolong jurulatih PKNS Selangor Anuar Abu Bakar, bekas pengendali kebangsaan Datuk K Rajagobal dan jurulatih bawah 23 tahun Indonesia Rahmad Dermawan, namun pengurusan lebih berminat memilih Yunus," katanya kepada Arena Metro semalam.

Beliau berkata, jurulatih itu akan mula mengendalikan latihan pertama bersama T-Team selepas semua urusan bersama kelab lamanya di Pulau Pinang selesai termasuk persetujuan mengenai kontrak dan gaji bersama T-Team.


"Pada dasarnya pengurusan T-Team dan Yunus sudah mencapai kata sepakat dan jika segala perbincangan dan urusan selesai, jurulatih itu akan menandatangani kontrak hingga tamat saingan Piala Malaysia," katanya.


Ketika ditanya kenapa memilih Yunus untuk menggantikan Mohd Azraai Khor Abdullah, Mohd Syahrizan berkata, beliau yakin dengan kemampuan jurulatih itu yang pernah membawa T-Team hingga ke separuh akhir Piala Malaysia empat tahun lalu.

"Selain itu, pengalaman luas dimiliki jurulatih itu serta anak jati Terengganu diharap mampu menaikkan imej pasukan yang kini tercalar terutama selepas tersingkir dalam saingan Liga Super musim depan," katanya.


Sementara itu, Yunus ketika dihubungi berkata, beliau bersetuju membimbing bekas pasukannya itu dalam kancah Piala Malaysia musim ini jika semua urusan selesai termasuk bersama bekas kelabnya.

"Secara asasnya, saya sudah berunding dengan pengurusan T-Team dan sudah mencapai kata sepakat untuk membimbing pasukan itu tapi belum mendapat kata putus kerana turut bergantung soal kontrak dan bayaran gaji bersama majikan lama dan juga majikan baru," katanya yang memaklumkan semua urusan positif.


Pada 25 Julai lalu Mohd Azraai membuat keputusan mengejut apabila meletak jawatan sebagai ketua jurulatih T-Team.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/02

Villa alih angin

Posted: 01 Aug 2014 02:47 PM PDT

New York: Bagi penyerang Sepanyol, David Villa, peluang mengembangkan kariernya dalam Major League Soccer bersama New York City di Stadium Yankee ternyata sesuatu yang diidamkannya bagi meneruskan legasinya.

Villa penjaring terbanyak Sepanyol sepanjang zaman, muncul pemain pertama mengikat kontrak bersama New York City FC bulan lalu, pasukan yang turut dikongsi bersama Manchester City dan New York Yankees dan akan membuat kemunculan sulung pada 2015.


"Berada di New York City, muncul antara pelopor dan menjadi pemain pertama, semua itu menjadi faktor," jelas Villa, 32.

Villa yang beraksi dalam tiga Piala Dunia termasuk kejayaan Sepanyol pada 2010 berada dalam kelab gergasi Sepanyol, Barcelona sebelum berpindah ke Atletico Madrid dan membantu pasukan itu memenangi kejuaraan liga Sepanyol musim lalu berkata, dia berminat dengan idea mencipta sesuatu yang baru.


"Saya sudah banyak menabur bakti di sana (Sepanyol), tapi sebaik saya mendengar visi dan semuanya (di sini), saya terus menerimanya dan mahu menjadi sebahagian daripadanya," ujarnya.


"Saya sudah banyak meraih kejayaan di Eropah dan melalui satu karier yang amat bagus. Peluang untuk memulakan sesuatu dari kosong saya fikir satu perkara yang amat menarik." Villa akan disertai di kelab New York itu oleh bekas pemain tengah England dan Chelsea, Frank Lampard, sekali gus menambah keceriaan pemain Sepanyol itu.

"Dia seorang legenda. Dia seorang daripada pemain terhebat," jelasnya. "Peluang amat hebat dan saya teruja melihat apa yang boleh kami lakukan bersama." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/02

'Jangan pandang rendah'

Posted: 01 Aug 2014 02:47 PM PDT

Johor Bahru: Biarpun terpaksa mengharungi saingan play-off sebelum layak bersaing pada kancah Piala Malaysia, Johor Darul Ta'zim II (Johor DT II) yakin mampu memberi tentangan sengit dalam Kumpulan A.

Malah penyerang skuad bergelar Merah Biru, Zaquan Adha Abd Radzak mengingatkan tiga pasukan yang turut berada dalam Kumpulan A iaitu juara bertahan, Pahang, LionsXII dan FELDA United supaya tidak memandang rendah keupayaan pasukan itu.


Skuad bimbingan Azmi Mohamad layak ke saingan piala berprestij selepas menewaskan PKNS 2-1 pada aksi play-off dan ia pasti menjadi pencetus semangat tatkala skuad itu dibarisi pemain muda untuk bersaing dengan pasukan berpengalaman.

"Purata pemain Johor DT II adalah 23 tahun dan saya yakin pemain muda kami mampu memberi persembahan terbaik sepanjang kempen Piala Malaysia dan anda sedar mereka masih belum cukup berpengalaman.


"Namun itu semua bukan alasan kerana kami beraksi dalam satu pasukan dan bekerjasama antara satu sama lain malah kelibat Shahril Ishak, Nicolas Delmonte dan Juan Manuel Carrasco menjadi nadi utama skuad Johor DT II.


"Anda perlu lihat dari sudut positif dan kesungguhan pemain untuk beraksi konsisten jelas dipamerkan pada dua aksi persahabatan selepas menang 4-1 ke atas Sime Darby FC dan hanya tewas tipis 1-2 kepada Johor DT," katanya.

Zaquan Adha yang kembali beraksi bersama skuad utama selepas terpaksa disisihkan akibat kecederaan berpanjangan tampak mahu memastikan Johor DT II bakal tampil dengan corak persembahan terbaik sepanjang kempen piala berprestij itu.


Malah dia berharap sokongan pemain tempatan terutama See Ko Luen, Izuan Jarudin dan Hardy Charles Parsi mampu membentuk barisan tengah dan pertahanan yang ampuh.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/02

Penyu tekad beri cabaran

Posted: 01 Aug 2014 02:47 PM PDT

Kuala Terengganu: "Terengganu mampu menjadi pencabar terkuat dalam Kumpulan B dan seterusnya menjuarai kumpulan dalam kempen Piala Malaysia walaupun dua perlawanan awal terpaksa berkunjung ke laman lawan," kata Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid ketika diminta mengulas mengenai prestasi terkini pasukannya.

Beliau berkata, pada awalnya PBSNT membuat rayuan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung jadual perlawanan yang tampak berat sebelah kepada Terengganu. perlu beraksi di laman lawan dalam dua perlawanan awal.


"Namun, rayuan PBSNT ditolak bagaimanapun ia bukan menjadi masalah besar buat Terengganu dalam misi untuk menjuarai kumpulan dan seterusnya mengintai peluang mara ke final," katanya.

Mengenai tahap kecergasan dan mental pemainnya, Wan Ahmad Nizam menolak dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa pemainnya gagal mencapai tahap memuaskan berdasarkan prestasi terakhir dalam saingan Liga Super.


"Pada dasarnya saya kecewa kerana Terengganu gagal muncul juara liga dan hanya berada di tempat keempat, namun ini tidak bermakna tahap kecergasan dan mental pemain tidak kuat sebaliknya berdasarkan latihan sepanjang bulan puasa, pemain mampu melakukan yang terbaik dalam saingan Piala Malaysia kali ini.


"Bagaimanapun ingin saya tegaskan hanya pemain yang menunjukkan semangat juang yang tinggi dan konsisten saja bakal tersenarai dalam kesebelasan utama bagi memastikan hasrat menjulang satu piala musim ini bakal menjadi realiti sama ada pasukan Terengganu ataupun T-Team," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/02

No comments:

Post a Comment