Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Lelaki Pakistan diburu

Posted: 15 Aug 2014 03:25 PM PDT

Kuala Lumpur: Polis memburu seorang lelaki warga Pakistan dikenali sebagai Ali Farran bagi membantu siasatan berhubung kehilangan wang lebih RM100,000 dari akaun milik empat penumpang Penerbangan Malaysia (MAS) MH370.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Izany Abdul Ghani berkata, suspek berusia awal 30-an dan bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel motosikal di Pandan Indah.


"Alamat terakhir suspek yang dikesan ialah di Nombor 2B, Lorong Kemajuan Dua Kampung Pandan, Ampang dan kali terakhir dilihat berada di kawasan berkenaan pada hari raya keempat lalu.

"Siasatan lanjut di tempat kerjanya mendapati suspek sudah enam bulan tidak datang bekerja," katanya ketika dihubungi, semalam.


Difahamkan, Ali Farran adalah individu yang menerima wang pemindahan sebanyak RM35,000 daripada akaun keempat milik penumpang MH370.


Izany berkata, kelmarin, polis menahan sepasang suami isteri di dua lokasi berbeza di Ampang kira-kira jam 4 petang untuk membantu siasatan.

Foto

Ali Farran suspek buruan polis.

"Wanita kerani bank berusia 33 tahun ditahan di rumah di Saujana Ampang manakala suaminya yang bekerja sebagai mekanik ditahan di sebuah bengkel di Pandan Indah," katanya.


Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan reman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis sudah merakam keterangan enam individu termasuk pengurus bank yang membuat laporan berkenaan.


Beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai lelaki warga Pakistan itu menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nor Azmi Mohd di talian 012-7790686.


Maklumat juga boleh disalurkan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi Asisten Superintendan Musa Masidi di talian 017-3434060 atau IPD Dang Wangi 03-26002222 untuk membantu siasatan.


Rabu lalu, akhbar melaporkan lebih RM100,000 daripada empat akaun bank milik penumpang MH370 lesap dipercayai dipindah dan dikeluarkan kakitangan bank tanpa kebenaran.


Empat mangsa berkenaan adalah dua penumpang warga China, Ju Kun dan Tian Jun Wei, satu akaun pramugara warga Malaysia, Tan Size Hian dan satu akaun penumpang warga Malaysia, Hue Pui Heng.


Difahamkan, wang daripada tiga akaun mangsa dipindahkan ke akaun milik seorang lagi mangsa tanpa kebenaran melalui e-banking atau pemindahan melalui perbankan Internet.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/16

Jaja nama HTAR

Posted: 15 Aug 2014 03:20 PM PDT

Shah Alam: Seorang penganggur didapati mendapatkan wang mudah dengan menjaja nama Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan klinik swasta sekitar Klang dan Shah Alam dengan menjual sijil sakit palsu lengkap dengan cop hospital dan doktor yang didapati tidak wujud.

Difahamkan, kegiatan sindiket berkenaan terbongkar kelmarin selepas seorang anggota polis didapati turut menjadi 'pelanggannya' menyebabkan penyelia kepada anggota berkenaan berasa curiga lalu membuat semakan dengan HTAR dan mendapati sijil sakit yang dikemukakan anggota berkenaan bukanlah milik HTAR.


Susulan kejadian itu, satu laporan dibuat di Balai Polis Seksyen 9 oleh seorang anggota polis berusia 51 tahun menyebabkan seorang lagi anggota polis berusia 20-an ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, polis menjalankan siasatan susulan sebelum menahan dua lelaki dalam satu serbuan Rabu lalu.


Difahamkan, seorang daripadanya tidak bekerja manakala seorang lagi rakan subahatnya bekerja sebagai penghantar surat dan mereka aktif menjalankan kegiatan menjual sijil sakit palsu kira-kira dua tahun lalu dengan mengenakan bayaran antara RM15 hingga RM25 setiap satu.


"Selepas menerima laporan mengenai kejadian itu, kita melakukan penyamaran dan menjalankan siasatan lanjut sebelum mendapati sijil dan nama doktor yang tertera di atas sijil berkenaan tidak wujud.

Foto

AZISMAN (dua dari kiri) menunjukkan peralatan dan sijil cuti sakit palsu yang dirampas ketika sidang media di IPD Shah Alam.

"Susulan itu, seorang anggota melakukan penyamaran dengan menelefon rakan suspek dan berpura-pura mahu membeli sijil berkenaan dan rakan suspek yang berusia 22 tahun itu ditahan kira-kira jam 11 malam di Seksyen 19.


"Dengan penangkapan itu, seorang lagi suspek yang juga seorang penganggur berusia 32 tahun diberkas di rumahnya di Seksyen 18, kira-kira dua jam selepas suspek pertama ditahan," katanya di Sidang Media di IPD Shah Alam, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/16

Suspek dijejak sejak 1998 akhirnya tumpas

Posted: 15 Aug 2014 03:19 PM PDT

Shah Alam: Kegiatan sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti penipuan bermodus operandi 'fly-by-night' iaitu menipu tanpa membayar barangan yang dipesan daripada pembekal tumpas dengan tertangkapnya lima individu di Taman Perindustrian Puchong, Rabu lalu.

Serbuan membabitkan penahanan suspek warga tempatan berusia 23 hingga 70 tahun itu yang turut membabitkan seorang wanita dibuat kira-kira jam 1 tengah hari di sebuah premis yang dijadikan pejabat syarikat berkenaan.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor Asisten Komisioner Chong Mun Phing berkata, sindiket yang beroperasi dengan menggunakan nama sebuah syarikat perniagaan akan memesan alat ganti kenderaan daripada mangsa dan meminta tempoh kredit hingga 90 hari sebelum menghilangkan diri.

Menurutnya, seorang daripada lima suspek yang ditahan adalah ketua sindiket terbabit dan dia dikehendaki polis berhubung jenayah yang sama di beberapa negeri.


"Suspek yang berusia 64 tahun itu dikehendaki polis Johor sejak 1998 berhubung kes sama di Kota Tinggi serta pernah menjalankan aktiviti sama di Melaka dan Perak.


"Semua suspek kini direman empat hari bagi siasatan bermula 14 Ogos sehingga 17 Ogos depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya di Sidang Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini semalam.

Menurutnya, sindiket berkenaan dikesan aktif sejak April lalu menggunakan dua nama syarikat berbeza bagi mengelakkan dikesan pihak pembekal.


"Hasil serbuan ke atas premis itu berjaya merampas 150 tong minyak pelincir 18 liter, 10 tong minyak pelincir 200 liter, 23 kotak minyak pelincir pelbagai jenama dan 10 tin minyak gris, enam tayar lori serta dokumen perniagaan yang dianggarkan berjumlah RM51,000.

"Kami kini juga sedang menyiasat sama ada sindiket ini mempunyai kaitan dengan sebuah lagi syarikat yang terletak di Bandar Bukit Beruntung, Rawang kerana dipercayai menjalankan aktiviti yang sama," katanya.


Menurutnya, setakat ini, polis menerima 21 laporan berhubung syarikat berkenaan membabitkan kerugian RM900,000.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/16

Dibenar masuk Gaza

Posted: 15 Aug 2014 03:18 PM PDT

Kaherah (Mesir): Misi Kemanusiaan Malaysia Ke Gaza yang diketuai Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) sudah mendapat kelulusan kerajaan Mesir dan dijangka akan memasuki Gaza hari ini kira-kira jam 11 pagi waktu Malaysia.

Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) yang juga ketua misi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, kebenaran itu diperolehi selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghubungi Presiden Abdel Fattah al-Sisi.

Katanya, Kerajaan Mesir bersetuju membenarkan 72 sukarelawan terdiri daripada doktor, petugas media serta ahli badan bukan kerajaan (NGO) KP1M, Mercy Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) untuk masuk ke Gaza melalui pintu Rafah.

"Saya dimaklumkan mengenai kelulusan ini oleh Perdana Menteri sendiri dan pihak tentera Mesir juga sudah hubungi duta besar kita, Datuk Ku Jaafar Ku Shaari untuk urusan keselamatan," katanya di sini, semalam.

Foto

PENGARAH Hospital Sungai Buloh Dr Khalid Ibrahim (kanan) melawat Ahmad Hamed, 17, yang patah kedua-dua kakinya akibat serangan kejaman Israel dan dirawat di Hospital Al Hilal, di Kaherah.


Katanya, pihak keselamatan Mesir akan mengiringi anggota misi menempuh perjalanan darat selama kira-kira empat jam dari Kaherah ke Rafah melalui Utara Semenanjung Sinai yang masih bergolak berikutan pertempuran antara tentera kerajaan dan militan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/16

Impian tak tercapai

Posted: 15 Aug 2014 03:17 PM PDT

Kaherah (Mesir): Kisah tragis yang menimpa pemuda Palestin dari Gaza, Hassan Muhani, 25, pasti membuatkan hati sebak mengenangkan suratan hidupnya.

Bakal menamatkan pengajian Sarjana Muda Jurusan Pentadbiran di Universiti Gaza, dia menyimpan cita-cita untuk membina kehidupan yang lebih baik buat isteri dan anak kecil berusia dua tahun dengan menjadi usahawan buah-buahan.


Di sebalik cengkaman kuku besi Zionis di tanah kelahirannya, impian untuk menggenggam ijazah tidak pernah luntur.

"Bagi Hassan, tanpa pendidikan sukar untuk dia memberi kehidupan lebih selesa kepada keluarga, khususnya kepada anak kecil," kata abang Hassan, Husam Muhani, 34, yang setia menemani adiknya di Hospital Al-Hilal, di sini.


Namun segalanya berubah dua minggu lalu apabila dia terkena serpihan peluru berpandu rejim Zionis Israel di bahagian belakang badan ketika dalam perjalanan ke rumah yang terletak di Bandar Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/16

No comments:

Post a Comment