Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Belalai air PD

Posted: 08 Aug 2014 10:56 AM PDT

Port Dickson: Fenomena angin puting beliung kecil di permukaan laut atau dikenali sebagai belalai air yang berlaku di perairan Pantai Batu 2, di sini, semalam, bukan saja menggemparkan penduduk bandar ini, malah turut menjejaskan aktiviti nelayan setempat.

Beberapa penduduk ditemui mengakui terkejut menyaksikan fenomena itu pada jam 9.30 pagi, namun bersyukur kerana ia hanya berlaku di kawasan laut.

Begitupun, beberapa nelayan setempat mengeluh kerana kebanyakan mereka yang sedang melabuhkan pukat di tengah laut terpaksa berpatah balik kerana bimbang dipukul ribut.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Nelayan Port Dickson Mohd Nor Sulaiman, 30, berkata, ketika kejadian dia dan bapa saudaranya, Awaludin Buyung, 53, sedang menunggu hasil tangkapan laut berhampiran Pulau Arang satu batu nautika dari Pangkalan Nelayan Port Dickson, di sini, sejak jam 7 pagi.

Foto

KEJADIAN puting beliung yang sempat dirakam berhampiran Pantai Batu 2, Port Dickson, semalam.


Katanya, tiba-tiba satu pusaran angin berlaku di permukaan laut dan menghasilkan puting beliung selebar 4.6 meter tidak jauh dari mereka menyebabkan kedua-duanya terpaksa bergegas pulang ke pangkalan kerana bimbang menjadi mangsa.


"Kami terkejut dan segera berkemas untuk pulang. Walaupun terkilan tidak dapat mencari rezeki hari ini (semalam), namun bersyukur kerana selamat pulang ke jeti. Biasanya kami dapat hampir RM200 sehari melalui jualan hasil laut," katanya yang sudah menjadi nelayan selama 15 tahun.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Cuaca dan Iklim) Jabatan Meteorologi Malaysia Alwi Bahari berkata, puting beliung kecil itu akan berlaku jika ada ribut petir.

Katanya, fenomena pusaran angin yang terbentuk di permukaan air sering berlaku di kawasan iklim tropika.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09

'Sabar dulu kalau boleh'

Posted: 08 Aug 2014 10:55 AM PDT

Kuala Lumpur: "Masalah seperti ini serius dan ia bermaksud ada kepincangan berlaku dalam masyarakat kita. Kita perlu kaji mengapa ia terjadi kerana ia akan membawa kesan berpanjangan terutama kepada anak kerana dibimbangi mereka akan mewarisi kelakuan sama," kata Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang.

Beliau mengulas kes seorang lelaki terpaksa melafazkan talak kepada isterinya selepas tidak tahan dipukul wanita itu sejak hampir setahun lalu.

Lelaki yang mahu dikenali sebagai Man, 35, itu terpaksa berbuat demikian selepas membina perkahwinan selepas 10 tahun atas dasar suka sama suka dan dikurniakan dua anak bersama isterinya itu.

Musa berkata perceraian jalan terakhir boleh dipilih suami sekiranya tidak dapat bersabar dengan kelakuan isteri yang keterlaluan itu.


Bagaimanapun katanya, jika pasangan terbabit masih belum bersedia melakukan perceraian, mereka boleh menjalani sesi kaunseling dengan harapan untuk memberi peluang kepada kedua-dua pihak menyelesaikan isu yang timbul di antara mereka.


"Jalan perceraian itu jalan terakhir yang boleh dibuat. Jika boleh sabar, sabar dulu. Kalau boleh bertahan, minta daripada mahkamah untuk perintah tegahan.

"Jika tidak mereka boleh memilih menjalani sesi kaunseling, namun ia perlu dilakukan secara berterusan bukan hanya sekali atau dua saja. Jika masih berlaku, perceraian adalah pilihan yang ada," katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09

Mainan menuju syahid

Posted: 08 Aug 2014 10:54 AM PDT

'Kami juga mahu menjadi wira.' Itu antara untaian kata yang disuarakan kanak-kanak Palestin ketika saya bertemu dan berbual dengan mereka di sebuah taman permainan berhampiran Bandar Gaza, kelmarin.

Ketika itu, saya melihat sekumpulan kanak-kanak bermain satu permainan yang saya rasakan sangat unik. Beberapa anak kecil itu membaringkan rakan mereka di atas sekeping papan, lalu mengusung papan itu seolah-olah rakan mereka sudah 'syahid'.

Saya percaya permainan itu mereka 'cipta' kerana sudah biasa melihat belia Gaza gugur syahid lalu diusung penduduk bandar ini sebagai menghormati Allahyarham yang berjuang mempertahankan tanah air dan agama.

Saya merapati kanak-kanak yang leka bermain itu untuk mengetahui makna tersirat di sebalik permainan mereka. Seorang daripadanya, Hussein Ayash Khader, berusia 10 tahun.

Foto

KANAK-KANAK bermain usung papan kononya mengangkat rakan mereka yang syahid.


Usianya terlalu muda jika hendak dibandingkan dengan kata-katanya yang begitu menikam jiwa saya.


"Saya mahu jadi Mujahidin, saya mahu menjadi pejuang, saya mahu menjadi wira. Jika terkorban dalam pertempuran, kita akan diusung umpama wira, ibu dan ayah kata kalau terkorban di medan perang, sebuah syurga untuk kita. Mesti indah keadaan itu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09

Ayda anggap kena kritik perkara biasa

Posted: 08 Aug 2014 10:48 AM PDT

Kuala Lumpur: "Sebenarnya, bila ramai yang kutuk itu dan ini, ia menunjukkan mereka tengok kerja saya. Kalau tak, tentu mereka tak bercakap," luah pelakon dan penyanyi Ayda Jebat berhubung kutukan sebahagian besar penonton yang menganggapnya tidak layak menjadi heroin drama bersiri baru, Rindu Awak 200% di TV3.

Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 22, berkata, kritikan di forum sosial itu adalah perkara yang tidak penting berbanding peluang dan kepercayaan yang sudah diterimanya daripada stesen terbabit.

"Orang akan komen dan hentam sebab biasalah saya budak baru, bukan? Pada awalnya, seminggu lebih juga saya kecewa dan sedih dengan kutukan itu.

"Tak sangka teruk juga sikap sesetengah penonton yang mudah jatuh hukum sebab orang baru macam saya diberikan peluang jadi heroin," katanya ketika dihubungi di sini, petang semalam.

Foto


Ayda dikecam teruk oleh sebahagian besar warga Internet menerusi sebuah forum sosial yang diwujudkan khas sejak ia ditayangkan pada 15 Julai lalu.


Sebahagian peminat mencemuh bekas peserta Akademi Fantasia musim kesembilan itu menganggapnya tidak layak dan tidak dikenali untuk menjadi heroin di samping aktor Zul Ariffin dalam drama itu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09

Simpati si cilik

Posted: 08 Aug 2014 10:44 AM PDT

Kangar: Walaupun usia mereka masih mentah, namun sekumpulan 80 murid Tadika Madani Al-Ikhsan, di sini, tekad untuk mendermakan sebahagian daripada duit raya yang diterima ketika sambutan Aidilfitri lalu kepada tabung bantuan kemanusiaan bagi menolong rakyat Palestin.

Ini berikutan mereka yang berusia antara empat dan enam tahun turut merasai kesedihan dan kesengsaraan yang menimpa penduduk di Gaza apabila menjadi mangsa kerakusan serta kezaliman tentera Zionis.

Seorang murid Irlya Darwis, 6, berkata dia rasa bersimpati dengan keadaan yang berlaku di Gaza sekali gus berniat untuk mendermakan sebahagian daripada kutipan duit raya untuk tabung bantuan berkenaan selepas menonton paparan berita mengenai nasib rakyat Palestin terbabit.

"Selepas melihat siaran berita televisyen mengenai kejadian yang berlaku Palestin, saya berasa amat sedih dengan nasib menimpa penduduk terutama kanak-kanak, sedangkan kanak-kanak di sini boleh berseronok, tetapi di sana (Gaza) mereka menderita.

"Kanak-kanak Palestin terpaksa berlari disebabkan hendak selamatkan diri daripda serangan tentera.

Mungkin saya tidak tahu apa yang boleh dilakukan kerana masih kecil, kecuali hanya mampu derma sedikit daripada duit raya yang diterima untuk membantu mereka," katanya.

Irlya berkata demikian ketika ditemui selepas pengusaha Tadika Madani Al-Ikhsan, Bizarliza Baharom menyerahkn kutipan derma berjumlah hampir RM2,000 kepada wakil Aman Palestin Perlis, Hasnul Rizal Hassan, di sini, kelmarin.

Bizarliza berkata, pihaknya mewujudkan tabung sumbangan Gaza dalam kalangan murid, ibu bapa serta kakitangan tadika berkenaan pada Isnin lalu sebaik sesi persekolahan dibuka selepas cuti Aidilfitri dan tidak menyangka mendapat sambutan baik.

Foto

BIZARLIZA menyerahkan wang derma kepada Hasnul Rizal sambil diperhatikan murid tadika.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09

No comments:

Post a Comment