Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Ryan tak putus asa!

Posted: 16 Aug 2014 12:19 PM PDT

Mungkin ramai yang tidak mengenali Ryan Chong namun dia tidak pernah terlepas mewakili negara dalam acara taekwondo di temasya Sukan SEA.

Namun, hasratnya untuk menyumbangkan pingat masih belum kesampaian biarpun sudah empat kali mencuba. Bagaimanapun, anak muda berusia 25 tahun dari Setapak, Kuala Lumpur itu tidak pernah berhenti mencuba malah dia kini mempunyai misi untuk terus melakar nama di pentas Asia.

Ikuti temubual dengan pemenang pingat perak menerusi kategori bawah 63kg itu.

Foto

KENANGAN ketika Sukan SEA di Myanmar.

Mengapa sukan ini menjadi pilihan walaupun satu ketika dulu ia penuh dengan kontroversi membabitkan dua persatuan yang berbalah?

Semua ini kerana minat. Masa kecil dulu selalu ikut abang saya pergi latihan. Saya pun ikut serta sebab pengaruh mereka. Tengok mereka berlatih membuatkan saya berminat untuk mengikuti jejak langkah mereka tambahan pula jurulatih sentiasa memberikan saya peluang untuk bertanding dan menempa nama dalam sukan ini.

Pada temasya Sukan SEA yang lalu anda sekadar membawa pulang perak dan ia adalah kali kedua anda gagal membawa pulang emas, jadi apa perancangan atau sasaran anda letakkan selepas ini?

Sasaran saya selepas ini adalah Sukan Asia. Saya sangat berharap dapat bawa pulang pingat tidak kira warna apa sekalipun. Jika dapat perak itu sudah dikira bonus dan jika emas ia pasti menjadi satu kejayaan yang tidak dapat dilupakan.

Anda begitu fasih berbahasa Melayu, bagaimana anda dapat menguasai bahasa itu?

Mungkin kerana saya bersekolah di sekolah kebangsaan dan di sana ramai kawan berbilang bangsa jadi mudahlah saya menguasainya. Kami berkomunikasi juga menggunakan bahasa Melayu mungkin disebabkan itu saya fasih bertutur bahasa itu dan sampai ada yang ingat saya ini orang Melayu.

Sukan taekwondo tidak pernah lekang dengan kontroversi. Kontroversi juga menyebabkan ramai atlet taekwondo tidak dapat beraksi dalam mana-mana pertandingan dan pada masa itu apa yang anda fikirkan dan pernahkah anda berasa mahu meninggalkan sukan ini?

Saya tidak pernah terfikir untuk berhenti cuma saya rasa sedikit kecewa kerana kami bersusah-payah berlatih tapi tidak boleh bertanding. Pada masa itu saya cuma harap agar semua masalah dapat diselesaikan secepat mungkin dan kami boleh kembali bertanding semua. Kini saya gembira semua sudah selesai.

Sejauh mana keyakinan anda untuk layak ke temasya Sukan Olimpik Rio?

Tiada yang mustahil dan saya akan cuba jika ada peluang.

Apa yang sering anda lakukan sekiranya mempunyai waktu terluang?

Saya selalu menghabiskan masa berehat di rumah tapi ada kalanya pergi menonton wayang dan juga melepak di kedai mamak bersama kawan-kawan.

Selain sukan ini, adakah anda melakukan kerja sampingan?

Kerja sampingan tidak ada tapi saya akan sambung belajar di peringkat Master dalam bidang sains sukan Oktober ini di Universiti Malaya.

Rasanya jika anda tidak bergelar atlet apa yang anda lakukan sekarang ini?

Mungkin saya akan bekerja di bawah organisasi yang berkaitan dengan sukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/17

Pellegrini yakin City lebih mantap

Posted: 16 Aug 2014 12:10 PM PDT

Newcastle: Pengurus Manchester City Manuel Pellegrini (gambar) percaya beliau mempunyai pasukan yang lebih kuat berbanding musim lalu dan malam ini, mereka memulakan aksi mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris dengan menentang Newcastle.

City memulakan kempen dengan bertandang ke St James' Park selepas menambah beberapa muka baru sejak kejayaan menjulang Liga Perdana serta Piala Liga musim lalu.


Pellegrini mengikat kontrak dengan pertahanan Perancis Eliaquim Mangala serta pemain tengah Brazil Fernando dari Porto manakala penjaga gol Argentina Willy Caballero dari Malaga dan pertahanan kanan Perancis Bacary Sagna hadir menerusi perpindahan percuma dari Arsenal.

City turut meminjam pemain tengah veteran Frank Lampard yang beraksi bersama kelab New York City FC.


Pellegrini percaya pemain yang ada mampu meletakkan City di kedudukan selesa dan mampu mencabar Liga Juara-Juara musim depan.


"Musim lalu. kami mempunyai pasukan yang bagus dan aksi sepanjang tahun juga memihak kepada kami," kata Pellegrini.

"Tetapi ia sudah berlalu dan menjadi sejarah. Kami kini perlu menumpukan perhatian kepada musim baru dan saya rasa pemain seperti Willy, Bacary, Mangala, Fernando serta Frank Lampard akan mengukuhkan lagi pasukan.


"Saya rasa tidak ada perubahan besar di dalam saingan Liga Perdana musim ini. Ia akan menyaksikan lima atau enam pasukan yang kuat.

"Semua mahu menang dan kami mahu mempertahankan gelaran. Mari kita lihat apa yang akan berlaku." City akan beraksi tanpa Mangala dan tempatnya akan diisi Martin Demichelis yang bakal berganding dengan Vincent Kompany di benteng pertahanan.


Penyerang Argentina Sergio Aguero akan turut direhatkan akibat kecederaan manakala penggempur Sepanyol Alvaro Negredo tidak boleh bermain hingga September.


"Mangala perlu sedikit masa untuk mencapai tahap kecergasan yang diinginkan," kata Pellegrini.


"Kami memang memerlukan Sergio Aguero tetapi dia perlu berehat. Sudah lama dia tidak bermain perlawanan kompetitif." Sementara itu, pengurus Newcastle Alan Pardew berkata, pasukannya mampu menyerlah musim ini selepas membuat beberapa pemain.


"Saya rasa kami mampu mencabar mana-mana pasukan musim ini. Perlawanan menentang City akan menghidangkan cabaran besar buat kami." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/17

Rodgers akui perlukan penyerang

Posted: 16 Aug 2014 12:09 PM PDT

Liverpool: Brendan Rodgers mengaku beliau masih mahu membeli seorang lagi penggempur ketika Liverpool bersiap untuk mengharungi musim baru tanpa Luis Suarez dan Southampton bakal menjadi batu penghalang pertama Reds di Anfield malam ini.

Pemergian Suarez ke Barcelona berikutan penggantungan empat bulan yang dikenakan FIFA selepas didapati bersalah menggigit pemain lawan di Piala Dunia Brazil mengakibatkan Rodgers terasa kehilangan di barisan depannya.


Bintang Uruguay itu meledak 31 gol musim lalu dan Liverpool menamatkan saingan di tangga kedua Liga Perdana.

Sejak ketiadaan Suarez, Rodgers sudah menambah lapan pemain baru dan dengan pertahanan Sevilla Alberto Moreno sedia menambah jumlah berkenaan, pengganti Suarez kekal menjadi tanda tanya.


"Jika kami mampu menambah satu atau dua lagi pemain, ia pasti menyeronokkan. Saya rasa ini mungkin menjadi aktiviti pembelian kami yang paling besar," kata Rodgers.


"Kami perlu mengukuhkan pasukan. Kami belum lagi membawa masuk mana-mana penyerang kecuali Rickie Lambert.

"Kami mempunyai dana yang cukup tetapi kami tidak perlu membuat pembelian panik. Kami perlu meningkat pasukan tidak kira sama ada Luis ada di sini atau tidak.


"Kami akan cuba melakukannya hingga hujung tempoh perpindahan. Jika kami tidak membeli pada musim panas ini, ia bermakna pemain yang kami inginkan, tidak mendapat pelepasan. Kalau boleh, saya mahu berpuashati dengan pemain yang kami ada sekarang." Liverpool gagal bergelar juara gara-gara ketinggalan dua mata di belakang Manchester City musim lalu dan Rodgers berharap keadaan itu akan menamatkan penantian kelab untuk bergelar juara buat kali ke-19.

Malam ini, Liverpool akan bermain tanpa Adam Lallana - bekas kapten Southampton - dan Lazar Markovic ketika menentang Saints dengan pertahanan Daniel Agger dan Jon Flanagan mengalami kecederaan.


Sementara itu, pengurus Southampton Ronald Koeman sudah boleh menarik nafas lega apabila semua pemain yang diinginkan kini berada di dalam skuad.


Tempoh pra-musim mereka diganggu aktiviti keluar masuk pemain dan walaupun kehilangan beberapa pemain utama seperti Lallana, Lambert dan Dejan Lovren yang berpindah ke Anfield, kemasukan beberapa pemain baru dilihat berjaya menutup kelemahan berkenaan.


Kehadiran Shane Long dari Hull City dan pertahanan Steaua Bucharest Florin Gardos melegakan Koeman. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/17

Harapan Simona punah dek Maria

Posted: 16 Aug 2014 12:06 PM PDT

Cincinnati: Maria Sharapova berjaya membuatkan Simona Halep berputih mata buat kali kedua selepas Terbuka Perancis apabila menang 3-6, 6-4, 6-4 sekali gus layak ke separuh akhir kejohanan Cincinnati Masters.

Juara bertahan di Roland Garros itu akan menentang Ana Ivanovic selepas pemain Serbia yang juga pilihan kesembilan itu mengalahkan pemain Ukraine Elina Svitolina 6-2, 6-3 dalam tempoh kurang sejam, kelmarin.


Maria yang juga juara Grand Slam lima kali itu menang lapan daripada 11 pertemuan dengan Ana setakat ini. Kali terakhir Ana mencatat kemenangan ke atas Maria ialah ketika mereka bertemu di pusingan ketiga kejohanan di Rome, Mei lalu.

Begitupun, ketika menentang Simona, Maria dilihat sedikit bergelut walaupun berjaya mengekalkan rekod kemenangan kelima ke atas pemain itu.


"Permainan saya di set pertama agak merudum. Saya banyak melakukan kesalahan," kata Maria. "Saya rasa ia adalah antara permainan terburuk saya.


"Semuanya tidak menjadi. Justeru, saya perlu melakukan beberapa perkara untuk menambah keyakinan tetapi pada masa sama saya perlu mengekalkan corak permainan agresif kerana hanya cara itu yang berkesan untuk menundukkan Simona.

"Setiap kali bermain, gelanggang boleh diibaratkan sebagai medan perang buat saya. Ia tugas yang perlu saya selesaikan. Itulah tempat di mana saya perlu berusaha keras." Sementara itu, pilihan utama, Serena Williams melangkah ke separuh akhir selepas menang 6-1, 6-3 ke atas Jelena Jankovic.


"Dia sudah beberapa kali menewaskan saya. Justeru, saya sedar bahawa saya perlu menumpukan perhatian dan bermain pada tahap terbaik saya," kata Serena.

"Dia bermain cemerlang. Saya cuba untuk tidak melakukan banyak kesilapan. Mujurlah ia berjaya." Serena akan berdepan bekas pemain nombor satu dunia, Caroline Wozniacki yang menewaskan pilihan keempat Agnieszka Radwanska dari Poland 6-4, 7-6 (7/5).


Serena menang ke atas Jelena dalam tempoh kurang sejam dan pemain AS itu melakukan tujuh ace dalam perlawanan itu.


Setakat ini, Serena menang 10 daripada 14 perlawanan menentang Jelena dan kali terakhir tewas di tangan pemain itu ialah pada 2010. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/17

Brittany dahului hari kedua LPGA

Posted: 16 Aug 2014 12:06 PM PDT

Pittsford: Pemain Amerika Syarikat Brittany Lincicome muncul pendahulu dengan kelebihan tiga pukulan di pusingan kedua Kejohanan LPGA selepas mencatat empat di bawah par 68 di lapangan Monroe di Pittsford, New York kelmarin.

Brittany yang juga juara lima kali Jelajah LPGA, mengumpul keseluruhan sembilan di bawah 135 manakala rakan senegara, Lexi Thompson dan pemain Korea Selatan Park Inbee berkongsi kedudukan di tangga kedua dengan enam di bawah par.


Lexi adalah pendahulu hari pertama manakala Park juara bertahan.

Brittany dan Lexi masing-masing dikenali sebagai pemain yang mampu membuat pukulan jauh dan tidak hairanlah kedua-duanya muncul pendahulu.


"Tidak ada rahsia mengenai kejayaan saya dan Lexi berada di puncak saingan ketika ini. Kami berdua mempunyai pukulan yang jauh dan ia memberi kelebihan," kata Brittany.


"Lebih banyak pukulan yang dapat saya lakukan dengan driver, pasti lebih baik. Justeru, saya gembira dengannya." Brittany memulakan aksi dengan buruk apabila mencatat bogey di lubang pertama tetapi menggunakan kelebihan pukulannya untuk membenam birdie di lubang berikutnya selain satu eagle.

Ia sudah cukup untuk memberikan pendahuluan buat Brittany yang tidak pernah menang sejak 2011.


"Ibu bapa saya pernah beranggapan saya sibuk menghabiskan masa dengan teman lelaki dan ia menjejaskan aksi saya," katanya.

"Sebenarnya ia tidak begitu. Saya sudah mencuba yang terbaik tetapi saya sendiri tidak tahu apa yang merosakkan permainan saya sejak kebelakangan ini.


"Permainan saya tetap sama tetapi kali ini ia menjadi. Saya tidak dapat menjangka apa yang bakal berlaku selepas ini nanti." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/17

Tegas bela Islam

Posted: 16 Aug 2014 12:05 PM PDT

"Jika saya masih bermain bola sepak, saya akan tetap tunjukkan baju ini selepas perlawanan, tidak kira apa akibatnya."

Itu kenyataan bekas pemain Sevilla, Frederic Kanoute menerusi laman Twitter Julai lalu sewaktu Zionis membedil Gaza tanpa perikemanusiaan selain mencemari kemuliaan Ramadan.


Bersama kenyataan itu, Kanoute turut memuat naik gambarnya menyelak jersi yang mendedahkan tulisan 'Palestin' pada baju-t hitam yang disarungkan sebalik jersi pasukan.

Apa yang pasti, tindakan dilakukannya selepas perlawanan Copa del Rey menentang Deportivo La Coruna pada 2009, sewaktu tentera Israel menjarah bumi Gaza ketika itu tidak disenangi segelintir pihak yang menganggapnya ia berbaur politik.


Sebagai hukumannya, dia dilayangkan kad kuning dengan alasan mempamerkan mesej berunsur politik selain didenda AS$4,000 (RM12,777) oleh La Liga.


Kanoute berketurunan Perancis-Mali, mempamerkan ketegasan dalam menyuarakan pandangan terutamanya mengenai Islam sejak memeluk agama itu pada usia 22 tahun.

Sewaktu menyarung jersi Sevilla, dia enggan menyarung jersi kelab berkenaan yang memaparkan logo penaja 888.com yang digunakan untuk tujuan perjudian, sesuatu dilarang Islam dan ia bermakna kelab berkenaan perlu menyediakan jersi tanpa penaja untuk setiap perlawanan.


Namun, sumbangan paling besar Kanoute adalah usahanya membeli sebuah masjid di Seville pada harga AS$700,000 (RM2.2 juta).

Ketika itu, kontrak premis berkenaan sudah tamat tempoh dan masjid terbabit terpaksa dijual.


Komuniti Muslim di Sepanyol turut mengesahkan mereka ada meminta pertolongan Kanoute selepas masjid itu dibuka untuk jualan.


"Ramai jemaah berada di Ponce De Leon tetapi jika tidak kerana Kanoute, kami tidak mempunyai masjid untuk solat Jumaat, hari suci untuk umat Islam," kata jurucakap Komuniti Islam Sepanyol.


Kanoute bagaimanapun lebih senang untuk mendiamkan diri daripada menghebahkan perkara itu. Selain itu, dia turut menubuhkan Yayasan Frederic Kanoute dan antara projeknya adalah penubuhan Perkampungan Kanak-kanak Shakina pada 2010.


Dia turut mengakui agama yang dianutinya itu bukan satu penghalang untuk terus menjalinkan hubungan baik dengan kakitangan kejurulatihan, rakan sepasukan mahu pun peminat.


"Islam membantu saya menjadi seperti ini, jadi ia adalah sesuatu yang normal," kata Kanoute.


"Ia satu jalan yang membuatkan anda tenang, membuat anda berfikir mengenai tempat tinggal anda dan menyayangi jiran anda. Pelik apabila mendengar isu keganasan kerana itu bukanlah pemahaman saya mengenai Islam." Selain Sevilla, dia juga pernah menyertai Lyon, West Ham, Tottenham Hotspur manakala kelab China, Beijing Guoan menjadi kelab terakhir yang disertainya tahun lalu.


Lyon (France) 1997-2000; West Ham (England) 2000-2003; Tottenham Hotspur (England) 2003-2005; Sevilla FC (Spain) 2005-2012; Beijing Guoan (China) 2012-2013. Sepanjang bergelar pemain bola sepak, pemain mewakili Mali itu juga pernah menerima anugerah Pemain Bola Sepak Tahunan Afrika 2007 selain Copa del Rey (2007 dan 2010), Supercopa de Espana (2008), Piala Super Eropah (2007) dan Liga Europa (2006 dan 2007) - semuanya bersama Sevilla.


Sayang sekali, dia menggantung but tahun ini dan jika tidak, pasti lebih banyak yang mampu disumbangkannya terhadap dunia Islam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/17

No comments:

Post a Comment