Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Contoh tak boleh ikut!

Posted: 12 Aug 2014 10:50 AM PDT

Kuala Lumpur: Keputusan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) merehatkan ketua jurulatih kebangsaan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah tidak disenangi Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar apabila menganggap persatuan itu membuat perancangan yang teruk.

Menurut Khairy, beliau menerima keputusan MHC untuk menggantikan Dhaarma dengan ketua jurulatih remaja Arul Selvaraj buat sementara namun tindakan drastik itu dilihat tidak sesuai ketika skuad negara mempunyai masa singkat sebelum misi memburu pingat emas Sukan Asia di Incheon bulan depan.

"Saya terpaksa terima (keputusan) walaupun gaji jurulatih dibayar kementerian saya, tapi keputusan dibuat orang lain. Saya terpaksa terima cuma saya sudah maklumkan kepada Presiden MHC (Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah) semalam (kelmarin) bahawa ini bukan jalan penyelesaian terbaik dengan menukar jurulatih 40 hari sebelum Sukan Asia bermula.

"Jika masalah itu sudah lama berlaku, keputusan yang tepat sepatutnya diambil sebelum ini. Namun saya lihat pegawai MHC mungkin tidak memaklumkan perkara ini kepada Tuanku dan akhirnya presiden terpaksa campur tangan dengan membuat keputusan yang amat tidak sesuai pada saat akhir seperti ini.

Foto

DHAARMA (tengah) direhatkan MHC atas dasar keputusan buruk skuad negara.

Foto

KHAIRY (kiri) kritik tindakan MHC.


"Saya tidak mengatakan keputusan itu tidak sesuai, tapi proses membuat keputusan 40 hari sebelum Sukan Asia sungguh tidak ideal. Dhaarma mungkin terpaksa melepaskan jawatan berdasarkan prestasi, tapi ini perancangan yang teruk. Ini contoh perancangan teruk yang anda tidak mahu ia dikuti persatuan sukan lain," katanya kepada pemberita semalam.


Keputusan menyisihkan Dhaarma dibuat menerusi mesyuarat Majlis Tertinggi MHC semalam dengan Arul bakal dibantu Tai Beng Hai untuk mengendalikan skuad kebangsaan sehingga persatuan itu mendapat jurulatih asing secara tetap.

Kedudukan Dhaarma dipersoalkan berikutan prestasi hambar skuad kebangsaan pada Sukan Komanwel di Glasgow, baru-baru ini namun Khairy yang hadir pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Sukan Olimpik Remaja di Nanjing, China bermula Ahad ini menganggap itu tidak sepatutnya dijadikan alasan.

"Ada laporan dihantar semalam (kelmarin) dalam mesyuarat (MHC) itu, saya tidak tahu sebab tidak terbabit dengan jawatankuasa itu. Tapi saya dimaklumkan ada isu yang bukan membabitkan Sukan Komanwel, tapi berlaku sebelum itu lagi mendakwa pemain tidak menghormatinya dan beliau (Dhaarma) mengambil pendekatan salah. Tapi jika ini berlaku, mereka perlu kenal pasti lebih awal.

"Anda sudah tahu tiada sasaran untuk Sukan Komanwel, tapi tiba-tiba temasya itu dijadikan alasan untuk pecat Dharaama. Anda sepatutnya perlu memberi penjelasan lebih awal," tegas Khairy.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/13

Saya tak mahu paksa Faizal: Arul

Posted: 12 Aug 2014 10:45 AM PDT

Kuala Lumpur: Ketiadaan nama penyerang sensasi negara Faizal Saari (gambar) dalam senarai 20 pemain untuk menghadapi saingan Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan bulan depan seperti diumumkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) semalam mencetuskan persoalan, namun ketua jurulatih baru skuad hoki negara Arul Selvaraj mempunyai jawapan ringkas dan tepat.

"Saya tidak mahu memaksa mana-mana pemain yang tak berminat untuk bermain," tegas Arul ketika diminta mengulas ketiadaan nama Faizal.

Tambah Arul, sebaik dilantik ketua jurulatih negara, beliau serta Setiausaha Agung MHC Datuk Johari Abd Aziz sudah menghubungi Faizal kelmarin dengan tujuan memujuknya kembali menyertai kem latihan skuad negara selepas pemain itu sebelum ini menyatakan hasrat untuk berehat seketika.

Namun, bekas penolong jurulatih skuad negara itu berkata, Faizal belum bersedia beraksi di Sukan Asia dan untuk itu, beliau mengambil ketetapan tidak menyenaraikannya.

"Bagi saya, kemahuan seseorang pemain itu perlu tinggi daripada tahap kemahirannya.

Kalau mereka ada kemahiran, tapi tak ada kemahuan bermain pun tak guna juga.

"Saya fikir tidak perlulah untuk memaksa Faizal bermain.

"Mungkin bila dia ada semangat balik untuk bermain, saya secara terbuka akan menerimanya semula," katanya ketika dihubungi semalam.

Jelas Arul, tempat Faizal digantikan dengan Muhammad Shahril Saabah yang juga pakar dalam melakukan pukulan sudut penalti.

Mengulas lanjut ketiadaan nama pemain pertahanan Kevin Lim yang pernah menjadi pilihan bekas jurulatih Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, Arul berkata, ketiadaan pemain itu di Malaysia menyukarkannya untuk menilai aksi sebenar Kevin.

Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/13

Sabah liat tandatangani MoU

Posted: 12 Aug 2014 10:43 AM PDT

Kuala Lumpur: Hanya Sabah belum menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi menjalinkan kerjasama berhubung pembangunan bidang sains sukan di seluruh negara, kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abd Aziz.

Beliau berkata Melaka menjadi negeri terbaru menandatangani MOU itu dan yakin Sabah akan turut serta tidak lama lagi.

"Setiap negeri mempunyai tatacara dan peraturan sebelum menandatangani memorandum persefahaman itu.

Pada masa itu Melaka dan Sabah yang masih belum selesai.

"Selepas meneliti dengan terperinci dan secara khusus keperluan negeri itu dalam bidang sains sukan, Melaka setuju untuk tandatangan MoU," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU antara ISN dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka di ISN semalam.

Menurut beliau, perjanjian itu membolehkan satu kerjasama diwujudkan bagi memastikan tugas dan tanggungjawab kedua-dua pihak lebih jelas dan sistematik dalam bidang sains sukan, penyelidikan dan perubatan sukan.

Katanya, perjanjian itu turut dirancang bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan mendapat persetujuan negeri dan ISN serta wujud budaya merancang program latihan atlet yang tersusun dan bersandarkan bukti.

Beliau berkata, Pusat Satelit ISN diberi mandat untuk bekerjasama dengan MSN Melaka dalam proses penyelarasan program pendidikan jurulatih dan atlet.

"Kerjasama yang dijalinkan ini juga tidak terkecuali untuk mengeratkan lagi hubungan antara ISN Bukit Jalil dengan MSN Melaka terutama dalam merangka dan menjalankan kajian berkaitan sains sukan dan penyelidikan," katanya.

- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/13

Sasaran kekal

Posted: 12 Aug 2014 10:42 AM PDT

Kuala Lumpur: Datuk Lee Chong Wei tidak akan mengubah sasaran bergelar juara dunia pada saingan Kejohanan Dunia yang bermula 25 Ogos meskipun jaguh perseorangan negara itu mengaku belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan ligamen betis.

Ditemui selepas tamat sesi latihan semalam, Chong Wei menegaskan, meskipun tidak berasa selesa sepanjang menjalani latihan, dia tetap yakin bakal menemui prestasi sebenar apabila menghampiri kejohanan berprestij itu.

"Keadaan saya masih belum 100 peratus cergas.

Kaki masih ada rasa sakit lagi, tapi sasaran saya tetap tidak akan berubah.

"Ini kerana Kejohanan Dunia cukup penting untuk karier saya.

"Walaupun 'mood' ketika sesi latihan tidak berada pada tahap terbaik, saya harap semakin dekat kejohanan itu, semakin tinggi kemahuan saya untuk menang," katanya.

Jelas Chong Wei, keputusan menarik diri daripada temasya Sukan Komanwel lalu meskipun ia memberi impak besar kepada kontinjen negara dalam soal pungutan pingat emas, dianggap tepat dalam usahanya untuk menyerta Kejohanan Dunia serta Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan bulan depan.

"Saya boleh pergi (Sukan Komanwel) dan menang, tapi mungkin tak dapat beraksi di Kejohanan Dunia dan Sukan Asia atau karier saya terus terhenti," katanya.

Chong Wei juga menafikan ketiadaan musuh ketatnya yang juga jaguh China Lin Dan pada saingan kali ini lebih memudahkannya untuk menggenggam kejuaraan dunia.

"Situasi tetap sama, tak banyak berubah.

Cuma tahun lalu saya dapat melakukan persiapan dengan baik, tapi kali ini masih belum pulih sepenuhnya," katanya.

Pada saingan berlangsung di Copenhagen, Denmark itu, Chong Wei bakal bertemu Lee Dong Keun dari Korea pada pusingan pertama.

Menanti Chong Wei di pusingan kedua antara juara perseorangan lelaki Sukan Komanwel, Kashyap Parupalli atau Dieter Domke dari Jerman.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/13

Kemelut ganggu tumpuan pemain

Posted: 12 Aug 2014 10:41 AM PDT

Kuala Lumpur: Sengketa antara ketua jurulatih perseorangan negara Rashid Sidek serta Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff sedikit sebanyak mengganggu tumpuan pemain.

Pemain perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei berkata, semua itu perkembangan yang tidak sihat dan berharap Rashid serta pengurusan BAM dapat duduk semeja untuk menyelesaikan kemelut itu.

"Saya sebenarnya tak boleh komen panjang.

Cuma saya harap jurulatih (Rashid) dan pengurusan BAM dapat duduk untuk menyelesaikan masalah ini.

"Kita perlu fikir perkara yang akan berlaku selepas ini pula termasuk Kejohanan Dunia.

Harap Rashid tidak diganggu dengan isu untuk meletak jawatan.

"Pemainpun ada sedikit gangguan," katanya ketika ditemui semalam.

Chong Wei sekali lagi turut menegaskan, jangan hanya kegagalan pemain perseorangan lelaki di Sukan Komanwel, Rashid serta barisan pemain negara dipersalahkan.

"Tak guna untuk meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak.


Jurulatih umpamanya akan sedaya upaya membantu pemainnya dan itulah yang dilakukan Rashid," katanya.

Rashid dijangka memulakan tugas hari ini selepas mengambil cuti sebaik pulang dari Sukan Komanwel.

Jurulatih berusia 46 tahun itu serta Tengku Mahaleel berperang mulut selepas pemain perseorangan negara gagal mempertahankan pingat emas perseorangan lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow.

Rentetan itu, Rashid secara terbuka menyatakan mahu meletak jawatan dalam tempoh terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/13

Kaji perketat kriteria atlet ke temasya besar

Posted: 12 Aug 2014 10:41 AM PDT

Kuala Lumpur: Kriteria kontinjen negara ke temasya besar perlu diperketat bagi menjaga kualiti dan prestasi atlet negara, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Khairy berkata, berdasarkan pengalaman Sukan Komanwel di Glasgow, proses pemilihan yang agak longgar menyebabkan atlet tidak layak turut dihantar ke kejohanan itu.

"Kriteria baru yang lebih ketat akan diguna pakai bagi penyenaraian kontinjen ke Sukan Asia di Incheon yang akan dibincangkan pada mesyuarat Exco MOM (Majlis Olimpik Malaysia), esok.

"Saya saran MOM supaya perketatkan kriteria pemilihan kontinjen ke kejohanan antarabangsa supaya tidak ada istilah atlet melancong.

"Kita tidak mahu mereka pergi, tapi tidak tunjukkan prestasi setanding dengan kejohanan disertai," katanya selepas mempengerusi mesyuarat bedah siasat Sukan Komanwel dan persiapan Sukan Asia di Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.

Sementara itu, mesyuarat hari ini juga mengenal pasti beberapa jenis sukan yang dikategorikan sebagai 'tenat' ekoran prestasi buruk di Glasgow baru-baru ini.

Justeru, Khairy berkata, sukan tenat itu perlu mengemukakan alasan kukuh untuk membolehkan mereka menyertai kontinjen di Incheon bulan depan.

"Jangan sekadar hantar nama atlet dengan prestasi terkini sahaja.

Saya mahu mereka buat justifikasi dan perbandingan atlet kita dengan atlet negara lain," katanya.

Dalam pada itu Khairy berkata, penyertaan atlet kategori B perlu dilakukan dengan lebih teliti berdasarkan prestasi semasa dan jangkaan prestasi.

Katanya alasan untuk memberikan pendedahan hanya boleh dipakai ke atas atlet pelapis yang berpontensi tinggi dan standard atlet itu setanding pencapaian atlet Asia.

– BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/13

'Selesai cara baik'

Posted: 12 Aug 2014 10:20 AM PDT

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar tidak mahu Rashid Sidek bertindak terburu-buru meletakkan jawatan sebaliknya berharap ketua jurulatih badminton perseorangan negara itu perlu menyelesaikan episod 'perang mulut' dengan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff dengan cara baik.

"Saya menghubungi Rashid pagi tadi (semalam) dan beliau memberitahu belum membuat apa-apa keputusan untuk meletakkan jawatan.

Saya kata jangan letak jawatan dan cuba selesaikan masalah dengan pihak persatuan," katanya.

Pergeseran antara Rashid dan individu nombor satu BAM itu mula meletus selepas pemain perseorangan negara gagal mempertahankan pingat emas di Sukan Komanwel di Glasgow baru-baru ini.

Jurulatih berusia 46 tahun itu sebelum ini dikatakan bersedia untuk meletakkan jawatan apabila beliau turut diketepikan dalam satu mesyuarat khas bersama jurulatih minggu lalu.

Khairy yang ditemui pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Sukan Olimpik Remaja di Nanjing, China semalam nyata tidak puas hati dengan masalah dalaman itu apatah lagi ia berlaku menjelang Kejohanan Dunia di Copenhagen Denmark pada 25 Ogos ini.

"Inipun menteri kena 'call' jurulatih, ini tidak pernah berlaku di negara lain.

Tan Sri Elyas Omar minta saya supaya campur tangan dalam masalah ini.


Saya terpaksa menelefon jurulatih supaya jangan meletakkan jawatan.


"Cuba anda bayangkan, bukan kerja menteri untuk menghubungi jurulatih meminta supaya jangan letak jawatan, tapi ini yang berlaku di Malaysia," katanya.

Ketika ditanya sama ada Rashid perlu bersama pemain ke Kejohanan Dunia nanti, Khairy berkata : "BAM kena putuskan, saya cuma boleh menyarankan kepada BAM supaya membuat keputusan dan memaklumkan kepada ketua jurulatih apa perancangan mereka untuk ke Kejohanan Dunia.

Saya tidak boleh cakap Rashid perlu pergi kerana saya tidak tahu kerana ini kerja pakar teknikal."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/13

Audit keberkesanan program MSN

Posted: 12 Aug 2014 10:19 AM PDT

Kuala Lumpur: Satu panel bebas akan ditubuhkan untuk menjalankan audit prestasi terhadap program elit Majlis Sukan Negara (MSN) 2011-2014.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, selepas membuat post-mortem prestasi kontinjen negara pada Sukan Komanwel di Glasgow, beliau mendapati beberapa perkara perlu dikaji semula termasuk program persiapan atlet sepanjang empat tahun itu.

"Untuk kita memahami lebih mendalam masalah persatuan dan program kita perlu buat audit prestasi.

"Audit ini akan dilakukan serentak selepas temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan nanti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat post-mortem Sukan Komanwel 2014 dan persiapan Sukan Asia di MSN di sini hari ini.

Menurut beliau panel bebas itu akan dianggotai badan bebas yang tidak mempunyai kepentingan dalam persatuan sukan tempatan.

Kontinjen Sukan Komanwel negara gagal mencapai sasaran tujuh pingat emas apabila hanya sekadar mencatat enam pingat emas, tujuh pingat perak dan enam pingat gangsa di Glasgow.

Kegagalan itu sekali gus menimbulkan kegelisahan terhadap kemampuan persatuan sukan tempatan dalam menyenaraikan atlet ke Sukan Asia di Incheon pada September ini.– BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/13

Hodak optimis

Posted: 12 Aug 2014 10:17 AM PDT

Johor Bahru: Walaupun persiapan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) mengharungi aksi pertama saingan Kumpulan C Piala Malaysia menentang Kelantan di Stadium Larkin, malam ini tampak terjejas, namun jurulatih Bojan Hodak (gambar) tetap mahu bermula dengan langkah kanan.

Tanpa kelibat Mohd Amri Yahyah yang digantung dua perlawanan kerana mengumpul enam kad kuning serta Luciano Figueroa turut digantung satu perlawanan selain Jorge Pereyra Diaz masih berada di Argentina, Hodak enggan terlalu memikirkan senario itu.

Katanya, Amirulhadi Zainal dan Irfan Fazail juga terpaksa diketepikan akibat kecederaan dan ketiadaan mereka menjejaskan perancangan skuad Harimau Selatan untuk memulakan kempen piala berprestij itu.

"Penggantungan dan kecederaan sememangnya tidak dapat dielakkan dan saya akui persiapan kami terganggu, ditambah pula lapan pemain kebangsaan yang baru pulang dari Tajiskistan hanya dapat dikumpulkan dua hari lalu.

Foto


"Diaz belum pasti lagi akan bersama kami walaupun dia menghubungi saya untuk pulang secepat mungkin. Apapun tunggu saja esok (hari ini) sama ada dia boleh beraksi.


"Pemain yang akan diturunkan ada tanggungjawab untuk dipikul dan mereka harus beri persembahan terbaik dengan kelebihan di laman sendiri menjadi kekuatan kami," katanya ketika dihubungi, semalam.

Pengendali dari Croatia yang pernah membimbing Kelantan optimis kesebelasan utama Johor DT yang akan diturunkan sudah bersedia mengharungi 90 minit perlawanan.

Menurutnya, pemainnya juga mempunyai suntikan semangat apabila mahu memastikan rekod tanpa kalah Johor DT di gelanggang sendiri sepanjang saingan Liga Super tidak tercalar.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/13

Resipi rahsia jerat lawan

Posted: 12 Aug 2014 10:15 AM PDT

Kota Bharu: Ketua jurulatih Kelantan George Boateng mengakui sudah mengesan kelemahan lawan dan berniat mencuri tiga mata pertama pada pertemuan pertama berdepan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) dalam kempen Piala Malaysia peringkat Kumpulan C di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam ini.

Meskipun menyifatkan The Red Warriors (TRW) dan Johor DT masing-masing perlu menyembunyikan kelemahan ketika pertemuan aksi pertama, Boateng yakin mampu memerangkap pasukan lawan.

Jurulatih berusia 38 tahun dari Ghana itu berkata, beliau akan cuba mengambil kesempatan di sebalik situasi yang melanda pemain Johor DT.

Katanya, pengendali skuad Harimau Selatan Bojan Hodak pasti 'menggaru kepala' untuk menyusun kebanyakan pemainnya yang baru pulang daripada sesi bersama skuad kebangsaan, selain tonggak utamanya seperti Amri Yahyah digantung perlawanan.

"Tugas sukar berdepan pasukan juara Liga Super pada perlawanan pertama.

Namun saya lihat mereka mempunyai kelemahan manakala kami juga mempunyai masalah yang perlu disembunyikan.

"Saya gembira tonggak utama, Mohd Badri Radzi, Ahmad Fakri Saarani dan Penjaga Gol, Khairul Fahmi Che Mat pulang dari tugasan bersama skuad kebangsaan tanpa mengalami kecederaan.

"Peluang ini perlu dimanfaat untuk percaturan lebih baik," katanya ketika ditemui di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin.

Bagaimanapun Boateng berkata, mereka tidak akan melangkah ke gelanggang lawan dengan keyakinan berlebihan, sebaliknya mengambil pendekatan berhati-hati dengan muslihat Hodak yang masih mempunyai pemain simpanan mampu memberi kejutan.

"Saya masih memberi perhatian terhadap barisan pertahanan Kelantan dan kami perlu berhati-hati walaupun sudah mengesan kelemahan mereka.

"Kami akan cuba sedaya upaya memperoleh kemenangan pada perlawanan pertama di gelanggang lawan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/13

No comments:

Post a Comment