Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Azman 'dabik dada'

Posted: 15 Aug 2014 01:15 PM PDT

Selayang: Pengendali baru Polis Diraja Malaysia (PDRM), Azman Adnan memuji semangat juang kental barisan pemainnya apabila meraih kemenangan pertama dalam saingan kumpulan D pada kempen Piala Malaysia yang menyaksikan juara Liga Perdana itu menundukkan Sime Darby 3-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, kelmarin.

Biarpun menerima tamparan hebat apabila kehilangan jurulatih Dollah Salleh yang disunting Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum menjelang kancah Piala Malaysia, ia tidak sedikit pun mengganggu konsentrasi pemain The Cops yang turut diletakkan sekumpulan dengan dua lagi pasukan dari divisyen satu Selangor dan T-Team.


"Malam ini (malam kelmarin) pemain bermain seperti biasa dan menjalankan tugas dengan baik sekali. Sime Darby ini bukanlah pasukan yang mudah, mereka adalah pasukan dari saingan Liga Super dan kami pula dari Liga Perdana.

"Kami tampil sebagai pasukan underdog di mana pemain bermain tanpa sebarang tekanan dan mereka benar-benar menjalankan tugas dengan baik sekali.


"Apa yang mendorong kemenangan besar ini, adalah disebabkan semangat juang dan kemahuan pemain untuk berjuang mencapai kemenangan dan saya mahu momentum baik ini diteruskan dalam aksi berikutnya," katanya kepada Arena Metro.


Pada aksi itu, penyerang import PDRM dari Maldives, Ali Ashfaq menyumbangkan dua gol masing-masing pada minit ke-15 dan 47, sementara gandingannya di bahagian serangan Bobby Gonzalez turut mencatat nama selaku penjaring di minit ke-35.

Foto

ALI (tengah) jaring dua gol ketika menentang Sime Darby.

Walaupun anak didik Ismail Zakaria cuba bangkit memburu jaringan, ketangkasan Azizon Abdul Kadir berjaya menyelamatkan kubu PDRM daripada dibolosi pasukan tuan rumah.


Hasil daripada kemenangan itu, Sang Saka Biru menolak Selangor ke tempat kedua dengan perbezaan gol selepas naib juara Liga Super itu turut melakar kemenangan ke atas T-Team 2-1. Selepas ini, skuad kendalian Azman Adnan itu bakal diuji bekas juara Piala Malaysia sebanyak 32 kali Selangor di Stadium Shah Alam manakala, Sime Darby akan membuat perhitungan dengan T-Team di Kuala Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/16

Salah Van Gaal

Posted: 15 Aug 2014 01:15 PM PDT

London: Kecederaan yang menimpa pertahanan Manchester United Luke Shaw berpunca daripada kekerapan pengurus Louis van Gaal mengadakan latihan, kata bekas penolong jurulatih Raymond Verheijen semalam.

Pertahanan kiri England itu yang menyertai United dari Southampton, mungkin diketepikan pada bulan ini kerana berdepan kecederaan hamstring dan pasti tidak akan diturunkan pada perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris bertemu Swansea City, hari ini.


Verheijen melabelkan Van Gaal sebagai pilihan tepat oleh United, tetapi pada masa sama mendakwa bekas jurulatih skuad kebangsaan Belanda itu 'tidak cekap' dan terlalu mengerah anak buahnya.

"Apa yang dilakukan oleh Van Gaal itu membuktikan bahawa seseorang jurulatih itu tidak sempurna.


"Taktikal Van Gaal memang hebat berbanding jurulatih lain, tetapi dia lemah daripada segi perancangan di sesi latihan.


"Kes Luke Shaw adalah kemuncak kepada krisis kecederaan yang menimpa pemain United pada aksi pramusim kerana terlalu banyak menjalani latihan," katanya.

Verheijen mempersoalkan mengapa Shaw, 19, memendekkan cuti rehat selepas Piala Dunia dan kembali ke aksi pramusim lebih awal.


Van Gaal mendakwa pemain itu tidak cergas pada aksi pramusim di Amerika Syarikat.

"Luke Shaw perlu menjalani sesi latihan tambahan untuk kembali cergas. Siapa yang mengawasi program individu setiap pemain," tanya Verheijen.


Verheijen juga mendakwa, pendekatan sama yang digunakan menyebabkan banyak kecederaan menimpa pemain Belanda sebelum bermulanya saingan Piala Dunia di Brazil.


"Ketika persiapan untuk ke Piala Dunia, barisan pemain Belanda perlu menjalani latihan yang berat dan bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila mereka sering berdepan kecederaan.


"Di United, pada beberapa minggu pertama, Van Gaal menggunakan pendekatan sama.


"Tapi siapa yang berani menegur jurulatih itu bahawa beliau perlu mengehadkan latihan?," katanya.


Musim lalu Verheijen turut mengkritik pendekatan latihan bekas pengurus United, David Moyes selepas penyerang Belanda Robin van Persie ditimpa kecederaan.


Beliau juga pernah mengkritik corak latihan pengurus-pengurus terdahulu seperti Roy Hodgson, Roberto Mancini dan Chris Coleman. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/16

Aguero kekal hingga 2019

Posted: 15 Aug 2014 01:14 PM PDT

London: Penyerang Argentina Sergio Aguero mengikut jejak langkah rakan sepasukan di Manchester City iaitu Vincent Kompany, David Silva, Samir Nasri dan Aleksandar Kolarov dengan menyambung kontrak jangka panjang bersama kelab itu semalam.

Juara Liga Perdana Inggeris itu menerusi laman web rasmi mereka mengumumkan pemain berusia 26 tahun berkenaan bersetuju dengan lanjutan kontrak selama lima tahun yang menyaksikannya kekal di Stadium Etihad sehingga 2019.


"Setiap kali musim perpindahan pasti ada khabar angin yang menyatakan saya akan kembali ke Sepanyol.

"Peminat mula menganggap ia benar, tetapi sekarang saya boleh mengumumkan bahawa saya akan berada di sini sehingga tamat kontrak.


"Setiap tahun saya meletakkan sasaran lebih baik berbanding sebelumnya. Musim lalu sangat menakjubkan tetapi saya masih tidak puas dengan dua gelaran Liga Perdana Inggeris.


"Saya mahu meraih lebih banyak kejayaan dan yakin mampu meraihnya bersama kelab ini," kata Aguero.

"Kelab ini sangat istimewa. Penyokong, stadium, kakitangan, suasana dan segala-galanya. Matlamat yang jelas pada masa depan adalah antara sebab utama saya mahu kekal di sini iaitu terus memenangi trofi dan mencipta sejarah," katanya.


Aguero sudah menjaringkan 75 gol dalam 122 penampilan sejak menyertai City tiga tahun lalu.

Juara bertahan itu akan memulakan kempen mempertahankan kejuaraan musim lalu dengan bertemu Newcastle United di tempat lawan, Ahad ini.- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/16

Era baru Arsenal

Posted: 15 Aug 2014 01:14 PM PDT

London: Kapten Arsenal Mikel Arteta yakin perlawanan pertama Liga Perdana menentang Crystal Palace awal pagi esok adalah permulaan baru dalam misi memburu kejuaraan.

Sepanjang tempoh 10 tahun lalu menyaksikan skuad kendalian Arsene Wenger itu berjaya menamatkan kempen liga dalam kelompok empat pasukan teratas namun gagal menyingkirkan Chelsea, Manchester United atau Manchester City di tangga teratas di penghujung musim.


Bagaimanapun, Arteta percaya nasib mereka akan berubah musim ini.

Kehadiran bintang baru Alexis Sanchez dari Barcelona serta beberapa keputusan memberangsangkan dalam aksi pra musim termasuk kemenangan 3-0 ke atas juara bertahan City pada perlawanan Perisai Komuniti Ahad lalu mencetuskan keyakinan di Stadium Emirates.


Tiga pemain mereka Mesut Ozil, Per Mertesacker dan Lukas Podolski adalah daripada skuad juara Piala Dunia Jerman dan walaupun trio itu tidak akan diturunkan menentang Palace namun kejayaan itu memberikan suntikan baru kepada kelab.


Kemasukan penyerang Chile Sanchez antara bukti bahawa Wenger sudah tidak takut untuk berbelanja besar bagi mendapatkan seorang pemain. Pada musim sebelum ini, beliau membuat perbelanjaan terbesar kelab sebanyak £42.5 juta (RM223.7 juta) bagi membeli Ozil sebelum membawa masuk Santi Cazorla bagi menguatkan lagi skuad Gunners.

Arteta yang dilantik sebagai kapten susulan perpindahan Thomas Vermaelen ke Barcelona percaya kehadiran pemain baru dalam skuad bakal membentuk kombinasi mantap bersama pemain British berbakat iaitu Theo Walcott, Alex Oxlade-Chamberlain, Aaron Ramsey dan Jack Wilshere.


"Pada tiga musim lalu, kami mendapatkan khidmat pemain yang memiliki 'Faktor-X' ," katanya.

"Bila Santi datang, saya fikir semua penyokong sangat teruja kerana dia akan memberikan sesuatu yang istimewa kepada pasukan.


"Dengan adanya Mesut, ia juga memberikan sesuatu yang sangat istimewa. Sekarang kami ada Alexis namun anda tidak boleh melupakan Theo yang tidak beraksi selama enam bulan tahun lalu dan amat cemerlang apabila cergas.


"Kemudian kami ada Oxlade-Chamberlain, Jack dan Rambo (Ramsey) yang mempamerkan prestasi luar biasa musim lalu.


"Kami mempunyai enam atau tujuh pemain hebat yang boleh mengubah keputusan perlawanan dan itulah yang anda perlukan untuk memenangi trofi." Wenger dijangka membawa masuk pemain berkualiti bagi menggantikan pemain tengah Belgium Vermaelen, dan tawaran £8 juta (RM42.1 juta) kepada pemain pertahanan Olympiakos Konstantinos Manolas dijangka selesai sedikit masa lagi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/16

'Persefahaman Lovren, Mignolet penting'

Posted: 15 Aug 2014 01:14 PM PDT

London: Jurulatih penjaga gol John Achterberg berharap persefahaman antara pemain baru Dejan Lovren dengan Simon Mignolet boleh membantu memantapkan pertahanan Liverpool pada musim baru ini.

Lovren yang mula menyertai Anfield bulan lalu selepas berpindah dari Southampton beraksi cemerlang pada penampilan pertama untuk skuad Reds menentang Borussia Dortmund Ahad lalu.


Selain menjaringkan gol menerusi tandukan pada babak pertama, pemain pertahanan tengah Croatia itu juga beraksi mantap mengawal bahagian pertahanan sekali gus berjaya memikat penyokong tuan rumah.

Komunikasi antara pemain pertahanan dan penjaga gol Mignolet yang berjaya mencatat rekod tidak dibolosi dalam dua daripada tiga perlawanan pra musim turut mendapat pujian.


"Ia penting bagi mana-mana pemain pertahanan dan penjaga gol untuk berkomunikasi dengan baik di antara mereka," kata Achterberg kepada Liverpoolfc.com di Melwood.


"Mereka sudah berlatih bersama-sama. Jika anda bermain di bahagian pertahanan tengah dengan mana-mana pasukan, peraturannya tetap sama. Anda cuma perlu belajar dan memerhatikan pergerakan antara satu sama lain bagi berada di posisi yang tepat.

"Kami tahu apa yang perlu dijangkakan, apa yang perlu dilakukan dan bagaimana untuk mengawal situasi berbeza. Simon perlu selalu memerhatikan keseimbangan dalam pasukan di mana apabila kami menyerang, kami perlu memastikan bahagian pertahanan berada di belakang bola mengikut perancangan.


"Apabila kami bertahan, kombinasi pemain pertahanan tengah perlu mengekang pergerakan bola dan menutup ruang." Daripada tujuh pemain baru yang dipancing Brendan Rodgers musim panas ini, salah seorang lagi pemain adalah pemain pertahanan kanan Javier Manquillo yang dibawa secara pinjaman dari kelab juara Sepanyol Atletico Madrid. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/16

GTC ada 'sifu'

Posted: 15 Aug 2014 01:13 PM PDT

Ipoh: Ilmu yang diperoleh daripada pelumba kebangsaan, Suhardi Hassan akan dipergunakan sebaik mungkin Gerik Cycling Team (GCT) yang akan menyertai Kejohanan Mountain Bike (MTB) Harian Metro GP Cuti cuti Malaysia 2014 sirkit Kuala Kangsar, berlangsung 24 Ogos ini.

Suhardi nyata tidak lokek ilmu dengan memberi tunjuk ajar bagaimana untuk mengendalikan basikal ketika melalui jalan sukar terutama 'off-road' serta teknik mendaki dengan cara yang betul.


Jurucakap pasukan Shazril Ezzany berkata, ahli kelab itu banyak belajar daripada Suhardi dan kini tidak sabar untuk mempraktikkan apa yang dipelajari.

Katanya, pasukan itu akan mendaftar 15 pelumba dalam usaha memberi kesempatan memperbaiki kemampuan mereka berkayuh.


"Sasaran ialah untuk berada kelompok 50 terbaik bagi memperbaiki pencapaian di MTB Lembah Bujang tahun lalu apabila menempatkan diri dalam 100 pelumba," katanya.


Dia berkata, GCT menyandarkan harapan kepada Noor Izlan, Yusry dan dia sendiri untuk melakar kejayaan bagi kategori junior.

Foto

PELUMBA GCT bersedia hadapi cabaran MTB.

"Bagi menghadapi perlumbaan di Kuala Kangsar ini, kami menjalani latihan gigih dan memperbaiki teknik kayuhan dengan betul," katanya.


GCT berharap mampu melakukan yang terbaik dalam sirkit pertama untuk menyemarak moral pelumba bagi menghadapi MTB Sirkit Harian Metro 2014 kali ini.

Mengenai sejarah kelab, Ezzany berkata, GCT yang ditubuh pada 2011 bermula dengan hanya lima ahli, tetapi kini mempunyai ahli yang ramai.


"Selepas empat tahun, ahli kami makin bertambah dan kini mempunyai 60 ahli membabitkan pelbagai golongan masyarakat muda, dewasa dan veteran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/16

Cuaca hantui pemanah negara

Posted: 15 Aug 2014 01:11 PM PDT

Nanjing: Keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan dan tiupan angin di Lapangan Memanah Fangshan menimbulkan kerisauan skuad memanah negara yang akan memulakan aksi awal temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) pada 22 Ogos ini.

Jurulatih skuad memanah pelapis negara, Wan Mohd Khalmizan Wan Aziz berkata, hujan dan keadaan angin yang tidak menentu pasti akan memberi cabaran hebat kepada pemanah negara kerana ketepatan dalam melakukan pemanahan bergantung dengan keadaan cuaca dan juga tiupan angin pada hari kejohanan nanti.


"Cuaca dan keadaan angin antara daripada faktor yang menentukan ketepatan dalam melakukan pemanahan namun kejayaan bergantung kepada kemahiran dan penguasan teknik seseorang pemanah.

"Bagaimanapun kita mempunyai perancangan tersendiri dan bersedia untuk menghadapi kemungkinan itu," katanya.


Bekas pemanah kebangsaan itu berkata beliau yakin anak didiknya Mohamad Zarif Shahiir Zolkifli bijak membuat keputusan apabila turun beraksi nanti.


Wan Mohd Khalmizan berkata, untuk layak ke pusingan berikutnya, Mohamad Zarif perlu mengatasi pemanah dari Korea Selatan dan Taiwan yang sudah pasti akan memberi cabaran hebat kepada pemanah negara sejak dari awal pertandingan.

Foto

MUHAMAD Zarif, 16, (kanan) bersama Wan Mohd Khalmizan memeriksa peralatan memanah.

Sementara itu, wakil tunggal negara dalam acara memanah, Mohamad Zarif berkata beliau turut risau dengan keadaan cuaca di Nanjing yang sedikit sebanyak akan mempengaruhi ketepatan dalam melakukan pemanahan pada hari kejohanan nanti.


"Saya akan cuba melakukan panahan terbaik bagi memastikan layak ke pusingan berikutnya. Sasaran peribadi saya sekurang-kurangnya layak ke suku akhir," katanya.

Mohamad Zarif, 16, mengakui agak takut kerana menjadi peserta tunggal negara bagi acara memanah namun ia bukan alasan untuk mengalah sebelum kejohanan bermula.


"Saya tidak berani meletakkan sasaran pingat namun akan cuba yang terbaik ke suku akhir nanti," katanya.


Pemanah kelahiran Terengganu itu layak ke YOG 2014 selepas menempatkan diri dalam kelompok lapan pemanah terbaik di Kejohanan Memanah Dunia Remaja 2014 di Wuxi, China, Oktober tahun lalu.


Selain memanah, Malaysia turut mengambil bahagian dalam acara akuatik (renang dan terjun), badminton, gimnastik (artistik dan gimrama), golf, olahraga, menembak, pelayaran, taekwondo dan ekuestrian. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/16

Fujiwara terpantas

Posted: 15 Aug 2014 01:11 PM PDT

Autopolis, Jepun: Saingan hari pertama pusingan ketiga Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS ARRC di Litar Lumba Antarabangsa Autopolis, Jepun sedikit terjejas selepas sesi latihan bebas pertama SuperSports 600cc pada sebelah pagi terpaksa dibatalkan akibat cuaca hujan dan kabus tebal, semalam.

Bagaimanapun, faktor cuaca kurang menentu sepanjang hari tidak menghalang sesi latihan bebas kedua SuperSports 600cc yang berlangsung pada sebelah petang yang menyaksikan pelumba handalan tuan rumah, Katsuaki Fujiwara dari BEET Kawasaki Racing muncul pelumba terpantas selepas merakam masa terbaik 2'04.334s.


Pelumba berpengalaman negara, Ahmad Fuad Baharudin (PETRONAS Hong Leong Yamaha) mencatat masa kedua terpantas, 2:05.467s diikuti pelumba Thailand, Ratthapong Wilairot (Thai Honda Racing Thailand) ketiga, 2:05.657s.

"Cuaca tidak begitu baik hari ini dan dijangkakan sama untuk sepanjang minggu perlumbaan ini," kata Ahmad Fuad.


"Cuma saya berharap agar cuaca hari esok bertambah baik kerana kami kekurangan masa untuk keluar ke litar bagi menguji jentera dan juga tayar. "Sesi latihan bebas pertama hari ini terpaksa dibatalkan kerana selain litar licin, faktor penglihatan terhad akibat kabus tebal merbahaya kepada pelumba. "Saya memerlukan lebih masa untuk menyesuaikan diri dengan tayar basah jenis baru yang digunakan pada perlumbaan ini," kata Fuad.


Saingan di Litar Autopolis itu menyaksikan Dunlop memperkenalkan tayar basah baru, model KR18 untuk tayar depan dan KR404, belakang.

Sementara itu, pelumba Underbone 130cc lebih bernasib baik apabila dapat menjalani kedua-dua sesi latihan sekalipun sesi latihan kedua terpaksa ditamatkan lebih awal akibat kabus tebal dengan pelumba tuan rumah, Kazuki Masaki (Team Honda RSC) muncul pelumba terpantas dengan 2:31.226s.


Pendahulu keseluruhan, Gupita Kresna Wardhana (Kawasaki KYT Rextor Manual Tech) muncul pelumba kedua terbaik dengan catatan masa 2:32.954s yang dilakukan pada sesi latihan pertama diikuti Norizman Ismail (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) ketiga, 2:33.494s, juga dilakukan pada sesi latihan bebas pertama.

Dalam saingan Asia Dream Cup (ADC), pelumba Malaysia yang juga pendahulu keseluruhan, Khairul Idham Pawi menguasai sesi latihan hari pertama dengan masa terpantas, 2:22.646s diikuti dua pelumba Jepun, Shunya Mori dan Reitoku Kurogi, masing-masing dengan masa 2:22.935s dan 2:23.158s.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/16

Misi pertahan gelaran

Posted: 15 Aug 2014 01:08 PM PDT

Ipoh: Tuan rumah Malaysia berharap dapat mempertahan gelaran dalam Kejohanan Hoki Sekolah-Sekolah Asia Edisi ke-4 bermula di Ipoh, hari ini.

Pengurus pasukan Jalaluddin Ismail berkata, segala usaha sudah dilakukan bagi menghadapi kejohanan yang disertai tujuh pasukan iaitu Thailand, Singapura, Macau, Hong Kong, Sri Lanka dan Indonesia itu.


Katanya, pemain negara dipilih dari kejohanan Liga Hoki Remaja (LHRM), Sukan Malaysia (SUKMA) dan MSSM.

"Seramai 40 pemain dipilih menjalani latihan pusat sebelum skuad 18 terakhir disenaraikan.


"Mereka dilatih jurulatih Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI), Wan Mohd Roslan Wan Abd Rahman," katanya.


Jalaluddin berkata, dua pemain skuad remaja kebangsaan 2016, Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran dan Muhd luqman Hakim Mohd Asri turut disenarakan dalam pasukan yang membariskan 10 pemain SSTMI masing-masing dua SSBJ, Anderson dan Likas serta seorang dari Pulau Pinang dan Johor.

Malaysia berada dalam kumpulan A bersama Indonesia dan Macau berikutan penarikan diri di saat akhir Brunei membuka kempen bertemu Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/16

Hasrat tiga mata lebur

Posted: 15 Aug 2014 01:01 PM PDT

Selayang: Hajat pasukan berstatus kelab Sime Darby bagi memburu impian meraih tiga mata penuh dalam aksi pertamanya di saingan Piala Malaysia sedikit terganggu apabila pasukan kendalian Ismail Zakaria itu tumpas 0-3 di tangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) malam kelmarin.

Beraksi di halaman sendiri di Stadium Majlis Perbandaran Selayang bukanlah suatu kelebihan buat Sime Darby selepas mudah diratah juara Liga Perdana itu di depan penyokong sendiri.


Menurut Ismail, setiap kesilapan ketika berdepan Sang Saka Biru wajar diperbaiki segera ketika bakal berhadapan dengan T-Team yang pasti akan bangkit pada aksi itu selepas turut mencatatkan kekalahan.

Sambil menyalahkan kegagalan jentera tengahnya berfungsi dengan baik pada babak pertama menjadi punca kepada kekalahan besar dalam aksi sulung Piala Malaysia itu.


"Aksi Dinov (Dilshod Sharofetdinov) di jentera tengah amat mengecewakan malam ini, dan sebab itu khidmatnya terpaksa saya tukarkan pada babak kedua. "Banyak peluang yang hadir pada babak kedua, cuma ketumpulan penyerang kita gagal untuk menjaringkan gol. Saya harap barisan pemain mampu bangkit mencari kemenangan selepas ini," katanya kepada Arena Metro. Menurut Ismail, ketumpulan gandingan jentera serangan juga wajar diperkemaskan jika berhasrat melangkah lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia kali ini.


"Jangan pandang remeh kepada T-Team, walaupun mereka tidak menyerlah dalam saingan Liga Super tetapi dalam Piala Malaysia, mereka pasti mahu bangkit untuk menjaga maruah mereka.

"Saingan Piala Malaysia adalah satu pentas yang berbeza dan peluang semua pasukan adalah seimbang untuk melangkah ke suku akhir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/16

No comments:

Post a Comment