Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Malas saya nak layan'

Posted: 05 Aug 2014 11:55 AM PDT

Kuala Lumpur: "Beliau sudah lupakah apa yang berlaku semasa menjadi Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN)?

Itu pertanyaan Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong terhadap kegusaran dilontarkan Datuk Wira Mazlan Ahmad dengan pencapaian kontinjen negara selepas sekadar meraih enam pingat emas di Sukan Komanwel Glasgow 2014 yang berakhir baru-baru ini.


"Saya nak tanya Mazlan, semasa beliau menjadi Ketua Pengarah MSN, perkara seperti ini tidak pernah berlaku? "Jadi kenapa pencapaian kontinjen negara yang meraih 111 emas di Sukan SEA 2001 merudum kepada 43 emas di Vietnam pada 2003, berapa peratus pula emas yang hilang?

"Pada Sukan Komanwel 1998 kita meraih 10 emas namun 2002 dan 2006 kenapa kita sekadar meraih tujuh emas, kenapa tiada peningkatan?


"Malah di Sukan Olimpik Atlanta, kontinjen negara meraih 1 perak dan 1 gangsa, jadi kenapa di Sydney 2000 dan Athens 2004 tiada sebarang pingat diperoleh, tolong jelaskan?" kata Zolkples yang tiba di Kuala Lumpur awal pagi semalam selepas berada di Glasgow bersama kontinjen negara sepanjang temasya berkenaan berlangsung.


Menerusi laporan Arena Metro semalam, Mazlan yang juga bekas Ketua Pengarah MSN menyifatkan pencapaian enam emas, tujuh perak dan enam gangsa sebagai membimbangkan kerana ia adalah penurunan 50 peratus berbanding 12 emas yang diraih empat tahun lalu di New Delhi.

Foto

ZOLKPLES (dua dari kanan) ketika tiba dari Glasgow, semalam.

"Kita melakar pencapaian terbaik di Sukan Asia dan Komanwel pada 2010, pernahkah beliau puji? Pada 2008, kontinjen negara memenangi perak disusuli tambahan satu gangsa menerusi Pandelela Rinong dalam acara terjun (sukan pertama selain badminton yang menyumbang pingat kepada negara di Olimpik), pernahkah beliau puji?


"Saya sebenarnya malas nak layan kerana banyak tugas yang perlu dilaksanakan terutamanya bagi menghadapi Sukan Asia tetapi nampaknya niatnya tidak baik, bukan untuk membantu tapi menghentam. Beliau pernah mengalami kegagalan seperti ini dulu. Tindakannya dilihat mahu menjatuhkan MSN dan mencari kesalahan sedangkan perkara ini ada pasang-surut," kata Zolkples.

Mengenai cadangan Mazlan yang mengesyorkan audit terhadap pengurusan program latihan atlet dilakukan susulan kegagalan mencapai sasaran tujuh emas yang ditetapkan, Zolkples menambah MSN tidak mempunyai masalah dan terpulang kepada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk memutuskannya selain menjelaskan sudah menyerahkan laporan prestasi atlet negara di Glasgow.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/06

Amaran United

Posted: 05 Aug 2014 11:54 AM PDT

Miami: Jaringan separuh masa kedua Wayne Rooney, Juan Mata dan Jesse Lingard membolehkan Manchester United meraih kemenangan moral 3-1 ke atas seteru Liga Perdana, Liverpool pada final Piala Juara-Juara Antarabangsa di Miami, awal pagi semalam.

United menamatkan jelajah Amerika Syarikat (AS) tanpa sebarang kekalahan di bawah kendalian pengurus baru Louis van Gaal dan kemenangan mengatasi musuh tradisi itu mungkin cara terbaik untuk mengakhirinya. Mereka akan kembali ke England untuk melengkapkan persediaan bagi musim baru Liga Perdana yang bermula 16 Ogos ini.


Walaupun mencatatkan kemenangan, pengendali dari Belanda itu tidak mahu terbawa-bawa dengan aksi pramusim pasukannya yang turut menewaskan juara Eropah Real Madrid 3-1, Sabtu lalu.

Ditanya nilai kemenangan kejohanan berkenaan, Van Gaal berkata: "Tiada. Ia bagus untuk penyokong di AS dan di tanah air, kami menewaskan Liverpool, lawan yang tidak digemari penyokong United dan saya fikir kami sudah memberikan banyak kelegaan kepada penyokong.


"Sudah pasti ia bagus untuk memenangi perlawanan persediaan namun paling penting aksi menentang Swansea City, perlawanan pertama kami di laman sendiri dalam Liga Perdana. Kami perlu menang," katanya.


Kedua-dua pengurus menampilkan kesebelasan terbaik untuk perlawanan berkenaan yang disaksikan 51,000 penyokong dalam keadaan hujan di Stadium Sun Life, Miami.

Foto

PEMAIN United meraikan kejayaan muncul juara Piala Juara-Juara Antarabangsa.

Liverpool bermula cemerlang dan mendahului pada minit ke-14 apabila Raheem Sterling yang beraksi lincah dijatuhkan Phil Jones dalam kotak penalti dan kapten Steven Gerrard menyempurnakan sepakan itu.


United menyamakan kedudukan pada minit ke-55 apabila penyerang Mexico Javier Hernandez melakukan hantaran silang ke penghujung gawang dan Rooney menolaknya walaupun memiliki ruang terhad.

Dua minit kemudian, Mata meletakkan United mendahului selepas percubaannya tertampan Mamadou Sakho sebelum menewaskan penjaga gol Liverpool Simon Mignolet.


Manchester United sekali lagi menggegar gawang selepas lambungan tinggi Ashley Young melepasi jangkauan Mignolet dan bola menuju ke Rooney selepas terkena palang yang kemudiannya menyepak masuk.


Pengadil dari AS Mark Geiger pada mulanya mengesahkan jaringan itu namun imej dipaparkan di skrin gergasi stadium menunjukkan bola berkenaan sudah melintasi palang sebelum kembali melantun ke dalam padang.


Selepas berbincang bersama penjaga garisan, Geiger mengubah keputusannya dan membatalkan jaringan berkenaan.


United bagaimanapun mendapat jaringan ketiga ketika perlawanan berbaki dua minit dengan pemain gantian Lingard melakukan rembatan pada jarak 18 meter untuk melengkapkan kemenangan dan menamatkan kejohanan membabitkan lapan kelab itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/06

Rooney calon utama kapten

Posted: 05 Aug 2014 11:52 AM PDT

Miami: Louis van Gaal memberikan bayangan jelas Wayne Rooney akan menjadi kapten barunya selepas menyaksikan penyerang England itu mengetuai kemenangan Manchester United ke atas Liverpool di final Piala Juara-Juara antarabangsa.

Rooney dijangka menggantikan Nemanja Vidic yang mengemudikan pasukan itu ketika di bawah kendalian David Moyes di Old Trafford namun pelantikan Van Gaal mencetuskan andaian beliau akan memberikan lilitan lengan kepada pemain dari negaranya, Robin van Persie.


Bagaimanapun Rooney dipilih mengetuai United buat kali pertama di bawah kendalian jurulatih dari Belanda itu di Stadium Sun Life Miami dan selepas itu Van Gaal memberi bayangan beliau lebih gemar memberikan tanggungjawab berkenaan kepada pemain Inggeris.

"Saya fikir anda perlu memilih pemain bersesuaian dengan gaya Inggeris," katanya.


"Saya sentiasa mencari peluang untuk memberikan pemain lilitan lengan. Hari ini (awal pagi semalam), Rooney beraksi 90 minit buat kali pertama. Darren Fletcher sudah melakukannya dua kali, begitu juga Tom Cleverley yang beraksi 90 minit." Rooney turut dipilih Pemain Paling Bernilai untuk kejohanan itu apabila meledak jaringan kelimanya dalam jelajah berkenaan ketika United menewaskan musuh tradisinya 3-1.


Van Gaal turut bersetuju dengan pemilihan berkenaan dengan mengatakan ia lebih berwibawa berbanding anugerah sama diberikan kepada Lionel Messi di Piala Dunia pada musim panas lalu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/06

City bayar semua gaji Lampard

Posted: 05 Aug 2014 11:52 AM PDT

Machester: Manchester City akan membayar semua gaji Frank Lampard sepanjang tempoh pinjamannya dengan kelab itu walaupun wujud dakwaan mereka menggunakan perjanjian itu untuk melepasi peraturan Fair Play Kewangan (FFP) UEFA.

Lampard, 36, menandatangani kontrak secara percuma untuk New York City bulan lalu yang dimiliki sebahagiannya oleh Manchester City.


Bagaimanapun, berikutan musim MLS tidak akan bermula sehingga Mac, dia akan menghabiskan tempoh enam bulan akan datang di City.

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mempersoalkan sama ada tindakan itu direka bagi 'bagi melepasi' peraturan FFP yang Manchester City gagal patuhi musim lalu.


"Adakah itu cara untuk melepasi fair play? Saya tidak tahu," kata Wenger.


"Nampak seperti semua kelab milik City akan 'menyuap pemain' kepada kelab utama Manchester City. Saya dengar mereka mahu membeli lima kelab di seluruh dunia.

Foto

LAMPARD tandatangani kontrak secara percuma ke New York City.

"Saya tidak tahu peraturan sepenuhnya, tapi mereka membeli francais £59.4 juta (RM253.5 juta) bagi beraksi di Amerika Syarikat musim depan." Lampard meninggalkan Chelsea pada musim panas selepas kontraknya tamat dan dipercayai City akan membayar semua gajinya ketika dia bersama mereka sebelum New York City mengambil alih tanggungjawab itu.


Pemain tengah itu akan menjadi salah seorang daripada minimum lima pemain tempatan yang City perlukan dalam skuad 21 pemain Liga Juara-Juara bagi mematuhi peraturan FFP.

City berasa tidak perlu mengenepikan FFP kerana mereka kini mematuhi semua peraturan ditetapkan.


Kegagalan kelab itu mematuhi peraturan FFP musim lalu menyebabkan mereka didenda dan sekatan ke atas bayaran gaji serta saiz skuad.


Mereka dihadkan kepada skuad 21 pemain Liga Juara-Juara tahun ini dengan lapan pemain tempatan diperlukan dalam pasukan Liga Perdana.


"Pada ketika ini, pemain mereka yang ikat kontrak tidak boleh bermain sehingga tahun depan, jadi mereka akan mendaftarkan pemain itu dengan kelab lain dan menggunakannya sebagai pinjaman," kata Wenger yang menafikan Arsenal akan menggunakan pendekatan sama pada masa depan.


"Kami gembira untuk menyalurkan wang yang ada bagi mengendalikan kelab kami. Kami tidak mempunyai banyak keuntungan untuk mengendalikan kelab lain," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/06

Van Persie tak sabar jalani latihan

Posted: 05 Aug 2014 11:49 AM PDT

London: Robin van Persie memberi isyarat yang dia sudah bersedia untuk kembali berlatih bersama Manchester United.

Bintang Red Devils itu mendedahkan menerusi Twitter yang dia tidak sabar untuk memulakan kempen baru.


Penyerang Belanda itu menikmati rehat panjang selepas membantu negaranya mara ke separuh akhir Piala dunia di Brazil dan tampak seperti gembira kembali ke North West, kelmarin.

Sehari sebelum itu, Van Persie menulis di Twitter: "Kembali berlatih hari ini selepas berehat. Tidak sabar untuk memulakan musim baru. Harap anda semua mempunyai perasaan yang sama". - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/06

Falcao bukan untuk dijual!

Posted: 05 Aug 2014 11:49 AM PDT

Monaco: Penyerang berusia 28 tahun Radamel Falcao (gambar) terus menjadi buruan Real Madrid meskipun skuad juara bertahan Liga Juara-Juara itu sudah memiliki penyerang berbakat iaitu pemenang anugerah Ballon d'Or, Cristiano Ronaldo, James Rodriguez dan Gareth Bale.

Falcao menyumbat gol tunggal kemenangan untuk Monaco ketika menewaskan Arsenal 1-0 pada perlawanan pra musim Piala Emirates kelmarin aksi pertamanya sejak mengalami kecederaan ligamen lutut Januari lalu.


Pemain antarabangsa Colombia itu terpaksa diketepikan ketika pasukan kebangsaannya melangkah ke suku akhir Piala Dunia sebelum ini yang menyaksikan rakan senegaranya Rodriguez menyinar di Brazil menerusi ledakan enam gol.

Persembahan Rodriguez itu menarik minat Real yang sanggup membayar £63 juta (RM338.9 juta) kepada Monaco Julai lalu dan pengurus Monaco, Leonardo Jardim tidak mahu kehilangan seorang lagi pemain tonggak kepada kelab Bernabeu itu.


"Buat masa ini, Falcao masih lagi pemain kami dan dia kekal dengan kami, 100%. Kami tidak mahu melepaskannya," kata Jardim kepada Ligue 1.com.


"Ia sesuatu yang memalukan apabila kami kehilangan James Rodriguez namun kami boleh mengharapkan Falcao. Ia bukan masalah besar apabila ramai orang memperkatakan mengenai perpindahan itu kerana dia masih lagi pemain kami.

"Dia masih dalam proses terakhir pemulihan dan akan bersama kami musim ini." Falcao yang menyertai pasukan naib juara Ligue 1 musim lalu itu dengan bayaran perpindahan £52 juta (RM279.7 juta) dari pasukan musuh ketat Real, Atletico menjaringkan sembilan gol dalam 17 penampilan liga sebelum musimnya berakhir dengan kecederaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/06

Boateng dalam radar Barca

Posted: 05 Aug 2014 11:49 AM PDT

Barcelona: Pemain pertahanan Bayern Munich Jerome Boateng kini berada dalam radar Barcelona.

Meskipun Jeremy Mathieu menyertai kelab itu beberapa minggu lalu, skuad 'Azulgranas' masih mahu memperkuatkan bahagian pertahanan tengah dengan pemain Jerman itu menjadi pilihan utama bagi mengisi posisi itu.


Bintang Jerman itu yang baru memenangi Piala Dunia bersama pasukan kebangsaan dianggarkan bernilai 39 juta euro (RM209.8 juta). Pemain berusia 24 tahun itu sering beraksi di posisi pertahanan tengah dan kanan, cukup sesuai buat Barcelona yang turut mencari pemain yang boleh mengisi tempat Dani Alves di sebelah kanan.

Kesukaran mendapatkan khidmat Thiago Silva dan Marquinhos mendorong kelab gergasi Sepanyol itu terus mencari pemain pertahanan yang sesuai bagi memikul tugas itu dan Boateng dilihat memiliki cukup kriteria menjadi pemain terbaru 'Cule'.


Real Madrid sudah menyerah kalah dalam perebutan mendapatkan Boateng meskipun tidak diketahui sama ada kelab itu memang benar-benar berminat atau sekadar mahu meninggikan harga pasaran. Perkembangan terbaru itu memaksa pengarah bola sepak Barcelona Andoni Zubizarreta mahu mengadakan pertemuan dengan pemain itu dalam masa terdekat untuk memuktamadkan perjanjian kontrak. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/06

FIFA kekal hukuman Suarez

Posted: 05 Aug 2014 11:48 AM PDT

London: Jawatankuasa Disiplin FIFA mengekalkan hukuman ke atas Luis Suarez dengan pemain kebangsaan Uruguay itu masih perlu menjalani penggantungan sembilan aksi yang dikenakan ke atasnya selepas didapati bersalah menggigit tonggak pertahanan Itali Giorgio Chiellini.

Dalam kes lain membabitkan Piala Dunia, pengurus Greece Fernando Manuel Fernandes digantung lapan perlawanan manakala pegawai Itali Aldo Esposito, enam.


Suarez, pemain baru direkrut Barcelona, sudah menjalani satu penggantungan ketika negaranya Uruguay bertemu Colombia di Piala Dunia tetapi dia masih dihalang daripada menyertai sebarang aktiviti bola selama empat bulan.

Selain Suarez, FIFA turut mendedahkan senarai pemain yang turut digantung membabitkan Piala Dunia lalu.


Mereka adalah Alex Song (Cameroon) digantung tiga perlawanan dan kini hanya tinggal baki dua aksi manakala Ante Rebi (Crotia), Claudio Marchisio (Itali) dan Antonio Valencia (Ecuador) masing-masing digantung satu perlawanan.


FIFA dalam kenyataannya berkata, 'mengikut artikel 38, para 2a Kod Disiplin FIFA, penggantungan ini perlu dilalui pemain berkenaan ketika pasukan kebangsaan mereka beraksi dalam perlawanan kompetitif selepas ini." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/06

McIlroy intai hatrik

Posted: 05 Aug 2014 11:48 AM PDT

Valhalla: Rory McIlroy menyifatkan permainannya semakin meningkat menjelang Terbuka Amerika Syarikat (AS) yang dijadualkan berlangsung di Valhalla minggu ini.

Dia yang baru dinobatkan pemain nombor satu dunia berada dalam laluan untuk mencipta kejuaraan hatrik selepas muncul juara di Jemputan Bridgestone Ahad lalu serta Terbuka Triumph. McIlroy yang mendahului senarai pemenang paling banyak di Eropah dan AS dengan lima kemenangan pada 2012, merasakan permainannya bertambah baik berbanding sebelum ini.


"Sekarang lebih baik. Saya sudah dapat mengawal pukulan dan bola dengan baik. Mental saya benar-benar tajam," kata McIlroy.

Pemain berasal dari Ireland Utara berusia 25 tahun itu, hadir di Valhalla selepas kembali menghuni kelompok teratas ranking dunia buat pertama kali sejak Mac 2013, apabila menjuarai Kejohanan Golf Dunia pertamanya di Firstone.


Ia kemenangan ketiga buatnya selepas menang Honda Classic pada Mac 2012, sebelum meneruskan aksi cemerlangnya di Kejohanan PGA AS dalam tahun sama menerusi kelebihan lapan pukulan di Pulau Kiawah. McIlroy memulakan pusingan akhir di Akron dengan tiga pukulan di belakang pemain Sepanyol Sergio Garcia, namun bangkit mendahului lawannya pada tiga lubang terakhir untuk menang dengan kelebihan dua pukulan.


"Ia saat paling sesuai yang saya rasakan untuk mengakhiri kejohanan golf," katanya.

Foto

McILROY juarai Jemputan Bridgestone, Terbuka Triumph.

"Saya berada dalam situasi normal. Saya rasa seperti berada di pusingan pertama atau pusingan kedua. Tidak sesekali berasa di pusingan keempat.


"Apabila saya katakan mental saya kini berada dalam keadaan terbaik, ia menunjukkan saya bersedia menghadapi cabaran bakal ditempuh nanti. Malah, saya juga tidak memikirkan langsung mengenai catatan saya.

"Begitu juga mengenai kejohanan itu, saya hanya mahu fokus terhadap permainan tanpa perlu memikirkan mengenai pukulan," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/06

Serena makin yakin julang WTA Montreal

Posted: 05 Aug 2014 11:47 AM PDT

Montreal: Pemain ranking utama Serena Williams akan mengharungi cabaran gelanggang keras WTA Montreal dengan penuh yakin selepas menjulang takhta di Stanford sekali gus menaruh harapan merangkul gelaran Grand Slam ke-18 di Terbuka Amerika Syarikat (AS).

Dalam aksi pemanas badan pertamanya menjelang Terbuka AS yang akan berlangsung dalam tempoh tiga minggu, Serena memberi amaran dia berada dalam prestasi terbaik selepas tersingkir di Wimbledon akibat masalah melakukan servis ketika perlawanan beregu wanita.


"Saya cuba meningkatkan prestasi dalam setiap perlawanan di kejohanan musim panas ini.

"Bagi takhta ke-18, gelaran itu bagaikan mengelak daripada saya, jadi saya harap satu hari nanti saya dapat mencapainya," kata Serena.


Serena sudah melupakan kekalahan Stanford dan sedang berusaha meningkatkan persembahannya sebelum aksi di Flushing Meadows.


"Saya sudah pasti teruja menang, tapi itu minggu lalu. Jadi saya mesti memberikan yang lebih baik minggu ini." Apapun Serena akan menyukai suasana Perancis yang menyelubungi Montreal.

"Ia bagaikan mempunyai gabungan Eropah dan AS. Saya fikir ia gabungan yang sempurna, menjadikan Montreal bandar hebat," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/06

No comments:

Post a Comment