Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


6 jam tiada masalah

Posted: 10 Aug 2014 02:49 PM PDT

"Sudah pasti saya akan mengalami sedikit kerugian sekiranya kedai cuci kenderaan hanya dibuka selama enam jam sehari, namun saya sanggup sebagai usaha bersama menyelesaikan krisis air," kata pemilik pusat cuci kenderaan, Zuar Alias, 36.

Zuar yang sudah menjalankan perniagaan cuci kenderaan selama dua tahun itu turut beranggapan keputusan yang dibuat kerajaan negeri itu bernas dan patut dipatuhi semua premis yang menjalankan perniagaan sama.


"Jika sebelum ini saya terpaksa membayar bil air sebanyak RM400 sebulan, mungkin selepas ini saya boleh jimat separuh daripada jumlah itu.

"Kebanyakan pelanggan saya terdiri daripada pekerja awam dan swasta yang menghantar kenderaan mereka untuk dicuci selepas waktu bekerja.


"Jadi, saya terpaksa maklumkan kepada mereka untuk menghantar kenderaan mereka pada hujung minggu dan bukan lagi pada waktu malam," katanya ketika ditemui Harian Metro, di sini, semalam.


Tinjauan Harian Metro di sekitar Petaling Jaya dan Bangi semalam turut mendapati kebanyakan pusat cuci kenderaan menyokong tindakan kerajaan negeri itu bagi usaha menjimatkan penggunaan air.

Foto

KEBANYAKAN pengusaha pusat cuci kenderaan menyokong keputusan yang dibuat kerajaan negeri.

Sementara itu, kakitangan awam, Kamizan Mat, 32, berkata waktu yang ditetapkan untuk pusat cuci kenderaan beroperasi iaitu dari jam 12 tengah hari sehingga 6 petang adalah tepat kerana kebanyakan penduduk sibuk pada waktu pagi.


"Ada pelanggan yang mahu cuci kereta pada waktu rehat tengah hari dan bagi saya perkara ini tidak menyusahkan banyak pihak.

"Bagi saya, mulai sekarang, semua pihak perlu peka dengan masalah yang berlaku seperti krisis air di Selangor supaya dapat menyelesaikannya bersama," katanya.


Minggu lalu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hanya membenarkan semua pusat cuci kenderaan berlesen di Selangor beroperasi selama enam jam sehari dari jam 12 tengah hari hingga 6 petang.


Selain itu, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) diarahkan menutup pusat mencuci kenderaan tidak berlesen serta-merta sebagai langkah menjimatkan penggunaan air.


Dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Menteri Besar itu, kesemua PBT diarahkan mengeluarkan notis pemberitahuan kepada pengusaha pusat cuci kenderaan supaya membuat persediaan yang sewajarnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/11

Mayat bogel di puncak bukit

Posted: 10 Aug 2014 02:46 PM PDT

Georgetown: Seorang lelaki warga Bangladesh yang diculik kemudian dijerut hingga maut sebelum mayatnya dalam keadaan bogel ditinggalkan di puncak Bukit Gambir di sini, jam 1.30 petang semalam.

Lebih menyedihkan ketika ditemui mayat mangsa ditinggalkan di celah himpunan daun, manakala mukanya hanya ditutup menggunakan sehelai baju dipercayai miliknya.


Terdahulu rakan senegara mangsa menaruh harapan mangsa masih hidup selepas diculik dan mereka turut membantu pihak polis mengesan lelaki berkenaan, namun mereka kelihatan sebak selepas dimaklumkan penemuan mayat itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu jam 2 petang kelmarin, membabitkan kes penculikan dua lelaki warga Bangladesh.


Beliau berkata, mangsa yang dikenali sebagai Hossin Md Alahi, 39, menerima panggilan daripada suspek yang kononnya ingin mendapatkan perkhidmatan untuk membuat kabinet dapur.


"Mangsa ditemani seorang lagi rakannya yang juga warga Bangladesh kemudian ke sebuah hotel di Bukit Jambul untuk bertemu dengan suspek, sebelum mereka dibawa ke sebuah rumah flat berhampiran.

Foto

ANGGOTA bomba dan polis mengusung mayat mangsa di Bukit Gambir, Pulau Pinang.

"Sejurus tiba di kawasan itu, mangsa didatangi sekumpulan lelaki dipercayai warga Myanmar yang mengaku sebagai anggota polis. Suspek mengarahkan mangsa mengeluarkan dokumen perjalanan untuk diperiksa sebelum dimaklumkan perlu ditahan untuk pemeriksaan lanjut di Balai Polis Bukit Gambir kerana mengemukakan dokumen didakwa palsu.


"Kedua-dua mangsa diikat dan mata ditutup dan dibawa ke Bukit Gambir sebelum dipukul. Suspek kemudian menghubungi seorang rakan lelaki Bangladesh itu bagi meminta wang tebusan sebanyak RM200,000 sebagai syarat membebaskan kedua-duanya," katanya.

Mior berkata, kira-kira jam 6 petang hari sama, rakan mangsa berjaya melepaskan diri dengan menggigit ikatan tali pada tangannya tanpa disedari suspek ketika itu tidur.


"Lelaki terbabit berjaya sampai di kaki bukit dan kemudian mendapatkan bantuan beberapa rakannya berada di kawasan itu sebelum dibawa ke balai polis untuk membuat laporan berhubung kejadian.


"Susulan laporan diterima, kami melakukan gerakan mengesan mangsa, kemudian terpaksa dihentikan pada 7 malam, ketika itu suspek dipercayai sudah melarikan diri.


"Pemeriksaan dilakukan terhadap mayat mangsa menemui kesan jerut pada leher, manakala pakar Forensik dan Pathologi, Hospital Pulau Pinang (HPP), Datuk Dr Bhupinder Singh mendapati mangsa sudah meninggal dunia kira-kira 24 jam yang lalu," katanya.


Beliau berkata, pihaknya terpaksa mendapatkan bantuan anggota bomba bagi membawa mayat mangsa turun dari puncak bukit sejauh tiga kilometer, sebelum dihantar ke HPP untuk di bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/11

Ajal sebelum hari bahagia

Posted: 10 Aug 2014 02:41 PM PDT

Tampin: Hasrat seorang anggota tentera mendirikan rumah tangga dengan tunangnya tidak kesampaian apabila lelaki terbabit maut dalam kemalangan, petang kelmarin.

Mangsa, Mohd Affandi Arifin, 25, anggota tentera darat di Bahagian Kejuruteraan yang berpangkalan di Port Dickson, dekat sini, dijadualkan berkahwin dengan Nur Hazaliza Rashid, 25, pada November depan.


Dalam kejadian jam 2.45 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 125ZR dikatakan terbabas ke laluan bertentangan di selekoh Kampung Batang Rokan, di sini, sebelum bertembung dengan motosikal menyebabkannya parah di kepala.

Mangsa dalam perjalanan dari rumah keluarganya di Kampung Ulu Rokan ke Pekan Gemenceh, di sini, sebelum terbabit dalam kemalangan itu.


Tunang mangsa, Hazaliza berkata, kedua-dua keluarga bersepakat mengadakan majlis perkahwinan pada 29 November depan selepas mereka mengikat tali pertunangan dua tahun lalu.


"Segala persiapan sudah diatur, namun kuasa Allah menentukan segalanya. Saya reda menerima ketentuan Ilahi itu," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Tampin, di sini, semalam.

Foto

JENAZAH Mohd Affandi dituntut keluarganya di Hospital Tampin, semalam.

Menurutnya, Mohd Affandi disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan kecemasan di hospital sama.


Adik mangsa, Mohd Syukri, 20, berkata, arwah abangnya menunjukkan perubahan apabila memeluk dan mencium ibu mereka berulang kali sambil meminta maaf, Jumaat lalu.

"Dia juga meminta ibu menyediakan lauk kegemarannya iaitu rendang maman selain meminta ibu menyediakan masakan itu lebih untuk disedekahkan kepada seorang rakan karibnya," katanya. yang turut bersedih dengan kejadian menimpa arwah abangnya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/11

Lori terbalik susu tin bertabur

Posted: 10 Aug 2014 02:40 PM PDT

Bentong: Seorang pemandu lori yang mahu menghantar bekalan susu tin ke Kuantan tersepit hampir satu jam sejurus lori dipandu terbabas dan terbalik di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, mangsa yang belum dikenal pasti identiti berusia lingkungan 40-an cuba dibantu orang ramai yang kebetulan melalui lokasi kejadian.


Mangsa dipercayai memandu laju sebelum lori berkenaan hilang kawalan sebaik tiba di laluan berselekoh di kawasan berkenaan.

Jurucakap polis berkata, kejadian itu disedari orang awam yang secara kebetulan ternampak beberapa susu tin bertaburan di atas lebuh raya.


"Berikutan itu mereka berhenti di tepi jalan untuk melakukan pemeriksaan sebelum terkejut menemui mangsa tersepit di dalam lori.


"Mangsa dikeluarkan orang awam dari dalam lori sebelum dikejarkan ke Hospital Bentong (HB) untuk mendapatkan rawatan akibat kecederaan di kepala dan badan," katanya.

Foto

Ribuan susu tin bertaburan selepas lori terbabas di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, semalam.

Susulan kejadian itu orang ramai mengambil kesempatan mengutip ribuan stok susu tin tanpa menghiraukan amaran diberikan.


"Polis akan bertemu dengan mangsa yang masih mendapatkan rawatan di HB untuk merekodkan keterangan berhubung kejadian itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/11

1,207 hadiri kursus

Posted: 10 Aug 2014 02:40 PM PDT

Kuantan: Seramai 1,207 bakal jemaah haji kumpulan pertama dari negeri ini yang berlepas ke Mekah pada 7 September ini menghadiri Kursus Haji Perdana peringkat negeri semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas Pahang Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kursus itu bertujuan mempersiapkan bakal jemaah haji dengan ilmu pengetahuan selain menyampaikan maklumat terkini berkaitan urusan haji.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/11

No comments:

Post a Comment