Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Liga taraf 'kampung'

Posted: 29 Aug 2014 11:32 AM PDT

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa skuad Harimau Muda A tidak mampu bersaing di pentas antarabangsa kerana mereka hanya didedahkan dengan liga bertaraf 'kampung' di Australia.

Beliau dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman web Johor Southern Tigers mengkritik tindakan seorang pengulas sukan stesen televisyen swasta yang dikatakan tidak memberikan fakta tepat berhubung program Harimau Muda A di luar negara.

Tunku Ismail berkata, beliau sentiasa menyokong sebarang usaha untuk memantapkan skuad kebangsaan tapi tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menghantar pasukan Harimau Muda A bermain dalam Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland menguntungkan segelintir pihak saja.

"Bagi pandangan saya, pengacara Astro tidak profesional dan tidak tahu apa-apa berkenaan bola sepak.

Begitu banyak komen yang berat sebelah dan tidak memberi maklumat yang berdasarkan fakta kepada penyokong bola sepak tanah air.

"Yang pertama berkenaan dengan pasukan Harimau Muda A yang berada di Australia.

Foto


Pengacara berkenaan mengatakan bahawa pemain bola sepak pasukan Harimau Muda A menerima pengalaman yang bagus di Australia dan mampu beraksi untuk pertandingan peringkat ASEAN.


"Kami sentiasa menyokong pasukan kebangsaan namun bagi pendapat saya kenyataan itu tidak benar.

Ini kerana pasukan Harimau Muda A bermain di liga kampung di Australia.

Bukan liga gred A.

Tetapi liga gred D atau E.

Pasukan kita dihantar ke Australia oleh kerana ada beberapa individu yang ada kepentingan peribadi mereka dan bukan dengan niat untuk menambah baik lagi mutu pasukan kita," ujar beliau dalam kenyataan itu.

Melalui kerjasama FAM dengan NPL, Harimau Muda A yang dikendalikan oleh Datuk Ong Kim Swee diberi peluang untuk beraksi dalam liga NPL Queensland bermula Mac lalu dan berakhir pertengahan minggu lalu.

Dalam 24 perlawanan mereka mencatat sembilan kemenangan, seri enam dan kalah sembilan untuk menduduki pertengahan liga.

Pasukan ini dihantar bagi tujuan pendedahan serta persiapan bagi menghadapi Sukan Asia Incheon bulan depan serta Sukan SEA di Singapura tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/30

Palace lanjut kontrak Zaha semusim

Posted: 29 Aug 2014 10:47 AM PDT

London: Crystal Palace melanjutkan kontrak pinjaman pemain sayap England Wilfried Zaha dari Manchester United untuk tempoh semusim lagi.

Zaha kembali ke Palace selepas hanya membuat dua kemunculan bersama United musim lalu.

Pemain berusia 21 tahun itu menjadi pilihan utama pengurus Palace Neil Warnock yang kembali membimbing kelab Selhurst Park.

"Suasana di Palace sangat menggembirakan.

Kegembiraan saya tidak pernah menyusut sejak mewakili Palace sebelum ini," kata Zaha.

Warnock menambah: "Saya rasa Wilfried memerlukan kami, sama seperti kami memerlukannya.

Dia pernah bermain bersama kelab besar seperti Man United dan mungkin dia merasa sedikit kekurangan di sini.

"Dia sebenarnya boleh memilih untuk mewakili kelab lain dan pada pendapat saya, ramai yang keliru dengan sikapnya.


Bagi yang tidak mengenalinya secara lebih dekat, pasti akan ada kekeliruan berhubung perangainya itu.

"Bagi saya, sikap Wilfried tidak berbeza dengan pemain saya yang lain.


Dia menghormati saya.

Dia mahu belajar perkara baru di dalam latihan dan kami akan menyempurnakan hasratnya itu." Zaha yang dilahirkan di Ivory Coast itu membuat lebih 100 kemunculan sepanjang tiga tahun di Palace selepas menyertai skuad utama dari barisan pemain remaja di Selhurst Park.

Zaha kemudian diikat pengurus United Alex Ferguson pada Januari 2013 sebelum dipinjamkan semula ke Eagles ketika kelab berkenaan layak beraksi di Liga Perdana menerusi play-off Liga Kejuaraan.

Sejak persaraan Ferguson, Zaha hanya membuat dua kemunculan bersama United musim lalu dan pengurus David Moyes meminjamkannya selama setengah musim di Cardiff sebelum kelab itu tersingkir ke liga bawahan.

Sejak itu, namanya sering tercicir dan pengurus baru United Louis van Gaal meminjamkan pemain itu ke Palace.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/30

SAGNA TERUJA

Posted: 29 Aug 2014 10:47 AM PDT

Bacary Sagna (gambar) percaya Manchester City bakal menyapu bersih semua trofi musim ini dengan pertahanan Perancis berkenaan bersedia tampil buat kali pertama bersama juara Liga Perdana itu menentang Stoke City, malam ini.

Sagna berpindah ke Eastlands secara percuma selepas meninggalkan Arsenal penghujung musim lalu dan pertahanan kanan berkenaan percaya dia akan meraih lebih banyak kejuaraan bersama City berbanding kekal bersama Gunners.

Kemampuan City meraih gelaran Liga Perdana dan Piala Liga musim lalu meyakinkan Sagna kelab barunya mampu melakar sejarah meraih empat piala dalam tempoh sembilan bulan akan datang.

"Kami mahu memenangi semuanya namun saya sedar ia bukanlah mudah," kata Sagna.

"Saya boleh berjanji kepada penyokong City bahawa saya tidak akan memberi aksi kurang daripada 100 peratus setiap kali diturunkan.

"Kami adalah juara Liga Perdana dan sedar setiap pasukan ingin menewaskan kami namun kami akan bersedia." Pengurus City, Manuel Pellegrini teruja untuk menurunkan Sagna, pemain yang berjaya mengekalkan tahap kecergasannya sejak Piala Dunia pada perlawanan pertamanya menentang Stoke dan membenarkan pilihan utama ketika ini, Pablo Zabaleta untuk berehat.

Namun, Sagna sedar ia akan menjadi tugas sukar untuk merebut posisi pertahanan kanan City secara tetap daripada tangan bintang Argentina berkenaan.

"Saya sedar sangat sukar untuk berada dalam pasukan namun saya bersedia menyahut cabaran," kata Sagna.

"Saya tidak ke sini untuk bersaing dengan Pablo.

Saya di sini untuk menjadi sebahagian daripada pasukan dan memberi sumbangan apabila diperlukan.

"Pablo adalah salah seorang pertahanan kanan terbaik Liga Perdana dan dia mampu bertahan dan melakukan serangan dengan baik.

Dia sangat penting ketika melakukan serangan.

"Badan anda memerlukan masa untuk kembali cergas dan jika terdapat dua pemain untuk setiap posisi, adalah lebih mudah untuk menggilirkan pemain dan ketika pasukan memerlukan pemain yang berada pada tahap kecergasan terbaik." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/30

Terry ingatkan rakan ancaman Lukaku, Eto'o

Posted: 29 Aug 2014 10:45 AM PDT

Liverpool: John Terry mengingatkan rakan sepasukannya bahawa dua bekas pemain bertaraf bintang Chelsea akan berusaha memastikan mereka dapat melunaskan dendam terhadap Jose Mourinho di Everton malam ini.

Pengurus Blues Mourinho lebih rela menjual Romelu Lukaku ke Everton dengan harga £28 (RM146 juta) berbanding memberi peluang kepada penyerang Belgium itu untuk bersaing merebut tempat di Chelsea.

Lukaku sudah menghabiskan masanya selama semusim sebagai pemain pinjaman di Everton dan Mourinho memilih untuk menjual pemain berusia 21 tahun berkenaan dengan alasan kekurangan motivasi.

Ia pasti akan membakar semangat Lukaku yang sebelum ini tidak diperlukan di Chelsea untuk membuat perhitungan pertama di Goodison Park sekiranya penyerang itu dapat kembali pulih daripada kecederaan.

Sekalipun Lukaku tidak dapat diturunkan, Chelsea juga terpaksa berdepan dengan penyerang Cameroon Samuel Eto'o yang menyertai Toffees minggu ini selepas dilepaskan oleh Mourinho pada hujung musim lalu.

Eto'o menegaskan dia tidak menyimpan sebarang perasaan tidak puas hati terhadap Mourinho meskipun hubungan mereka sedikit tegang pada separuh musim lalu berikutan lawak mengenai usianya dirakam oleh kamera dan menjadi tontonan.

Bagaimanapun Eto'o tetap menyimpan hasrat untuk beraksi cemerlang pada penampilan pertamanya bersama Everton bagi membuktikan bahawa dia masih boleh beraksi di pentas tertinggi.

Terry sedar dengan ancaman itu dan dia berkata: "Kami bergelut untuk mendapat keputusan baik di Everton dalam beberapa tahun lalu.

"Kerana faktor itu kami sedar kami akan melalui perlawanan yang sukar.

Rom (Lukaku) yang akan beraksi di bahagian serangan pasti mahu membuktikan kemampuannya selepas dijual oleh kelab.

"Dan mereka pasti bersemangat dan percaya bahawa mereka boleh mencipta kemenangan di gelanggang sendiri.

"Ia ujian besar untuk kami tapi kami akan bertandang ke sana dengan mentaliti untuk memberi fokus kepada setiap perlawanan." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/30

Usah harap keajaiban

Posted: 29 Aug 2014 10:43 AM PDT

Angel Di Maria bakal membuat kemunculan pertamanya menentang Burnley malam ini tetapi Louis van Gaal mengaku kehadiran bintang Argentina itu tidak akan membuatkan imej Manchester United melonjak secara tiba-tiba.

Van Gaal memecahkan rekod perpindahan British apabila membeli Di Maria dengan harga £59.7 juta (RM312.8 juta) dari Real Madrid dalam usahanya untuk mengubah penampilan United dan beliau sudah membelanjakan lebih £130 juta (RM681 juta) untuk tujuan itu.

Di Maria bakal merasai aksi Liga Perdana buat kali pertama di Turf Moor malam ini tetapi van Gaal tidak mengharapkan sesuatu yang luar biasa dari pemain tengah berkenaan walaupun dia boleh dianggap menyerlah sebelum ini.

United masih memburu kemenangan pertama sejak dibimbing van Gaal selepas ditewaskan Swansea dan hanya mampu seri dengan Sunderland sebelum dimalukan 4-0 oleh pasukan Liga Satu, MK Dons dalam saingan Piala Liga.

Walaupun pengendali sebelum ini David Moyes meninggalkan banyak masalah buatnya, aksi permulaan van Gaal yang buruk tetap menjadi satu kejutan dan ketika jurulatih Belanda itu enggan mengkritik sesiapa di Old Trafford, beliau tegas mengatakan masalah yang dihadapi kelab itu tidak akan mampu diselesaikan oleh Di Maria seorang.

"Lihat saja apa yang berlaku musim lalu.

Itu adalah persoalan yang saya tidak mahu jawab.

Kenapa? Sebab saya menghormati David Moyes dan (Alex) Ferguson," kata van Gaal ketika ditanya sama ada beliau dibekalkan dengan pasukan lemah.

"Saya rasa, kita perlu melihat ke depan dan apa yang saya lakukan sekarang ialah untuk mengembalikan semula kekuatan pasukan.

"Ia akan mengambil masa dan saya minta maaf kepada semua peminat.

"Kita tidak boleh mengharapkan keajaiban dari Di Maria kerana dia baru saja berlatih selama dua hari.

"Anda perlu berusaha mewujudkan keajaiban.


Dia perlu menyesuaikan diri dengan kualiti pasukan dan pasukan juga perlu bersedia bermain dengannya."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/30

Real tak sabar jumpa Reds

Posted: 29 Aug 2014 10:42 AM PDT

Juara bertahan, Real Madrid bakal berdepan juara lima kali, Liverpool manakala musuh mereka di La Liga, Barcelona dijadualkan menentang Paris Saint-Germain di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara selepas majlis undian di Monaco, semalam.

Real dan Liverpool dijangka mara daripada Kumpulan B yang turut menampilkan kelab baru, Ludogorets dari Bulgaria - kelab yang ditubuhkan pada 2001 selain hanya memiliki stadium yang boleh memuatkan 8,000 penyokong - dan kelab Switzerland, Basel yang menyingkirkan Manchester United di peringkat sama tiga tahun lalu.

Pengurus Liverpool Brendan Rodgers menerusi laman web kelab berkata: "Saya harap undian itu akan menggembirakan semua penyokong kami selepas lima tahun tidak beraksi di Liga Juara-Juara.

"Bagi kami, dapat bermain di Liga Juara-Juara selepas lama tidak berbuat demikian, sesuatu yang sangat menyeronokkan.

Tidak kira siapa yang akan kami hadapi, mempunyai musuh seperti Real Madrid dalam kumpulan sama sesuatu yang sangat istimewa.

"Saya sudah mula memikirkan Anfield yang menjadi tuan rumah perlawanan itu nanti." Real juga tidak sabar untuk ke Merseyside.

"Liverpool sebuah pasukan yang mempunyai sejarah hebat dalam pertandingan besar ini," kata Pengarah Real Emilio Butragueno.

"Mereka pasukan bagus dan mempunyai stadium yang dianggap sebagai pusat bola sepak.

Di Anfield, mereka pastinya lebih garang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/30

TEPATI RAMALAN

Posted: 29 Aug 2014 10:40 AM PDT

Novak Djokovic melangkah ke pusingan ketiga Grand Slam buat kali ke-25 berturut-turut manakala Serena Williams mencerahkan peluang muncul juara selepas pilihan utama itu mengesahkan tempat dalam kelompok 32 pemain terakhir.

Kedua-duanya disertai juara 2012 Andy Murray dan juara bertahan Wimbledon, Petra Kvitova.

Tetapi, bekas pemain nombor satu dunia Ana Ivanovic yang juga pilihan kelapan serta juara 2011, Samantha Stosur tersingkir di Flushing Meadows ketika semua pemain perlu beraksi di bawah cuaca panas terik.

Pemain nombor satu dunia dan pilihan utama Djokovic menundukkan pemain Perancis Paul-Henri Mathieu 6-1, 6-3, 6-0 sekali gus berada di landasan tepat untuk membuat kemunculan kelima berturut-turut di final kejohanan utama.

"Angin agak kencang tapi saya dapat menyesuaikan diri.

Bukan mudah untuk saya dan lawan bermain dalam keadaan sebegitu," kata Djokovic yang akan berdepan Sam Querrey dari Amerika Syarikat (AS) di pusingan ketiga nanti.

Bagi kategori wanita, Serena yang juga pemain nombor satu dunia dan sedang memburu kejayaan ketiga di New York yang juga keenam secara keseluruhan serta gelaran utama ke-18, menang ke atas Vania King dari AS 6-1, 6-0 dalam tempoh 56 minit.

Kemenangan itu yang kedua buat pemain AS di kejohanan kali ini selepas mengatasi seorang lagi pemain tuan rumah Taylor Townsend.

Di pusingan ketiga, Serena akan bertemu Varvara Lepchenko.

"Sukar untuk bermain dalam keadaan berangin tapi saya gembira dapat meneruskan kemaraan," kata Serena.

Pilihan kelapan, Murray mengenepikan pemain Jerman yang berusia 27 tahun, Matthias Bachinger dengan 6-3, 6-3, 6-4.

Murray tidak menunjukkan sebarang kesakitan seperti mana yang berlaku di pusingan pertama apabila dia kerap mengalami kekejangan otot.

"Kami sedikit bergelut pada awal permainan tapi selepas menyesuaikan diri dengan keadaan berangin, saya mula mengubah taktik permainan," kata pemain Scotland itu.

Pilihan kelima dari Kanada, Milos Raonic melangkah ke pusingan ketiga selepas menang 7-6 (7/4), 5-7, 6-4, 7-6 (7/3) ke atas pemain Jerman Peter Gojowczyk.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/30

Hoon-Tan longlai

Posted: 29 Aug 2014 10:39 AM PDT

Kekalahan penuh emosi. Itulah situasi yang dihadapi gandingan negara Hoon Thien How-Tan Wee Kiong selepas tewas kepada pasangan Korea, Ko Sung Hyun-Shin Baek Choel pada aksi suku akhir di Kejohanan Dunia semalam.

Bukan saja kekalahan itu menamatkan kempen mereka pada pentas beprestij itu, tetapi ia adalah kali terakhir mereka berdua beraksi bersama kerana akan dipisahkan selepas ini untuk aksi Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada bulan depan.

Thien How-Wee Kiong tewas mudah 18-21, 13-21 kepada lawan mereka itu.

"Sebenarnya kekalahan ini amat mengecewakan.

Tapi apa lagi boleh saya katakan, inilah asam garam kehidupan.

"Saya hanya mahu ucapkan terima kasih kepada Thien How yang mengajar saya banyak perkara sepanjang dua tahun lebih kami digandingkan," katanya ketika dihubungi semalam.

Mengulas mengenai pertemuan dengan pasangan Korea semalam, Wee Kiong berkata, lawan mereka itu mempamer aksi berbeza berbanding ketika menang pada dua pertemuan terakhir.

"Kami pernah bertemu mereka sebanyak dua kali sebelum ini dan menang kedua-dua perlawanan itu.

"Tapi kali ini corak permainan mereka agak berbeza dan memaksa kami melakukan banyak kesilapan," katanya.

Wee Kiong berkata, fokusnya akan beralih kepada temasya Sukan Asia yang menyaksikan dia akan digandingkan dengan Goh V Shem.

ends

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/30

Nicol tiada masalah

Posted: 29 Aug 2014 10:39 AM PDT

Kuala Lumpur: Datuk Nicol David terus berada di landasan tepat untuk mempertahankan kejuaraan Terbuka Hong Kong apabila mara ke saingan separuh akhir hari ini selepas menewaskan pemain tuan rumah Joey Chan pada aksi suku akhir semalam.

Berbanding ketika pusingan kedua apabila terpaksa berhempas pulas menewaskan lawannya, Nicol hanya mengambil masa selama 27 minit untuk menewaskan Joey 11-8, 11-4, 11-3.

Nicol bakal bertemu Amanda Sobhy yang menewaskan pilihan ketiga Camille Serme 11-5, 1-11, 11-7, 11-3 dalam masa 37 minit pada saingan separuh akhir hari ini.

"Saya mengambil sedikit masa untuk mencari rentak permainan pada awal permainan..

"Tapi saya berjaya mengatasinya pada set kedua dan ketiga," katanya.

Sementara itu, Joey berkata, Nicol nyata mempamer aksi lebih baik daripadanya dan berhak untuk menang.

"Saya sudah memberikan yang terbaik pada set pertama tetapi rentak permainan semakin pantas di set kedua serta ketiga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/30

Cabaran lebih sukar

Posted: 29 Aug 2014 10:38 AM PDT

Datuk Lee Chong Wei mengaku kejayaan melepasi pusingan ketiga di Kejohanan Dunia memberi kelegaaan kepadanya menjelang perlawanan lebih sukar termasuk aksi suku akhir bertemu Wang Zhengming, awal pagi tadi.

Pada pusingan ketiga kelmarin, Chong Wei tidak berdepan masalah untuk menewaskan wakil Ireland, Scott Evans 21-11 dan 21-12 dalam masa 36 minit.

"Perlawanan hari ini (kelmarin) tidaklah terlalu sukar dan cabaran akan bermula selepas ini.

Saya perlu melakukan persediaan lebih rapi.

"Setakat ini, saya hanya mahu memberikan fokus kepada diri sendiri dan tidak memandang rendah lawan lain," katanya.

Sementara itu, jurulatih perseorangan negara Tey Seu Bock menafikan aksi Chong Wei agak lembap ketika bertemu Evans kelmarin.

Sebaliknya, Seu Bock berkata, Chong Wei memang sengaja untuk melakukan pelbagai variasi pukulan.

"Dia memang sengaja lakukan pelbagai variasi untuk persediaan perlawanan seterusnya kerana selepas ini cabaran yang dilaluinya lebih sukar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/30

No comments:

Post a Comment