Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


'Dia pergi lebih awal'

Posted: 30 Aug 2014 02:47 PM PDT

Miri: "Saya hampir pengsan sebaik menerima panggilan memaklumkan dia maut dalam nahas," kata Lunggom Minari, 71, bapa kepada Chang, 38, yang terkorban bersama tiga lagi saudaranya dalam kemalangan di Kilometer 18, Jalan Persisiran Pantai Miri-Bintulu, berdekatan Kampung Beraya, dekat sini, kelmarin.

Kemalangan berlaku jam 6.45 petang apabila kereta dinaiki enam bersaudara itu dalam perjalanan pulang ke bandar raya ini, selepas menziarahi ahli keluarga mereka di Bekenu, merempuh lori menyebabkan empat daripada mereka terbunuh.


Selain Chang, mereka yang terbunuh ialah Raymond Maling, 29; adiknya Abit, 20, serta seorang lagi penumpang dikenali sebagai Kamarul berusia 30-an.

Manakala Roslin Nelson, 40-an yang juga isteri Chang, serta lagi mangsa yang belum diketahui identiti, cedera parah.


Difahamkan, dalam kejadian hujan lebat kereta Proton Iswara dipandu Chang memasuki laluan bertentangan lalu bertembung sebuah lori. Pertembungan itu menyebabkan empat daripada mereka tercampak keluar.


Menurut Lunggom, dia tidak menyangka kunjungan anak bersama menantunya di rumahnya Khamis lalu detik pertemuan terakhir buat mereka sekeluarga.

Foto

ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit.

"Saya sedih dan terasa kehilangan selain tidak menyangka dia 'pergi' lebih awal daripada kami," katanya ketika ditemui di Rumah Mayat, Hospital Miri, semalam.


Dalam pada itu, pemandu lori Thien Kui Soon, 53, berkata, dia dalam perjalanan dari Miri ke Mukah untuk menghantar barang.

"Sebaik tiba di tempat kejadian kereta dinaiki mereka tiba-tiba memasuki laluan saya menyebabkan saya tidak sempat menekan brek. Saya cuba mengelak hingga lori dipandu terbabas," katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintendan Stanley Janathon Ringgit ketika mengesahkan kejadian itu berkata, mayat semua mangsa dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/31

Ramai balik kampung sempena cuti umum

Posted: 30 Aug 2014 02:41 PM PDT

Kuala Lumpur: Ramai warga kota meninggalkan ibu negara, khususnya melalui tiga lebuh raya utama, untuk pulang ke kampung halaman masing-masing atau mengambil peluang bercuti sempena cuti ulang tahun Hari Kemerdekaan ke-57 yang bermula sejak semalam sehingga esok.

Tinjauan Metro Ahad semalam sehingga jam 4 petang, mendapati keadaan trafik di dua plaza tol Lebuhraya Utara-Selatan iaitu Sungai Besi arah selatan dan Jalan Duta arah utara bergerak lancar sejak awal pagi.


Senario sama juga dilihat di Plaza Tol Gombak arah pantai timur apabila keadaan trafik juga lancar berikutan rata-rata pengguna di ketiga-tiga lebuh raya utama di Kuala Lumpur sudah mula keluar mulai petang Jumaat lalu.

Penyelia Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Asyraf Rohan berkata, meskipun aliran trafik di lebuh raya keseluruhannya lancar, terdapat juga kesesakan teruk di beberapa kawasan di Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke utara termasuk dari Sungai Buloh ke Rawang dan Tanjung Malim ke Sungkai.


Katanya, aliran trafik perlahan di kawasan itu ekoran pertambahan jumlah kenderaan di setiap laluan keluar dan masuk, kenderaan bergerak dengan anggaran kelajuan antara 30 hingga 40 kilometer sejam (km/j).


Keadaan sama juga dilaporkan dengan aliran trafik ke selatan yang mula bergerak perlahan dari Kajang ke Seremban, kenderaan bergerak pada kelajuan antara 50 hingga 60 km/j.

Foto

KEADAAN kenderaan mulai sesak dari Plaza Tol Sungai Besi menghala ke Lebuhraya Seremban.

Asyraf berkata, laluan menghala ke pantai timur juga perlahan mulai Genting Sempah sehingga ke Lebuhraya Karak.


"Bagi lebuh raya menuju selatan, sehingga kini trafik lancar dan pertambahan bilangan kenderaan tidak ketara.

"Secara keseluruhannya aliran trafik keluar dan masuk ke pusat bandar raya Kuala Lumpur lancar, ada beberapa lokasi biasa yang berlaku kesesakan atas pelbagai sebab.


"Berdasarkan pemerhatian LLM, kenderaan mula keluar dari semua lebuh raya pada Jumaat lalu, selepas waktu bekerja sehingga mengakibatkan kesesakan teruk di kebanyakan kawasan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/31

Jadi wali adik nanti...

Posted: 30 Aug 2014 02:41 PM PDT

Kuala Lumpur: "Ayah pesan suruh saya jaga adik jika dia mati dan dia mahu saya jadi wali perkahwinan adik perempuan iaitu Zulaika dan Danisha."

Itulah pesanan terakhir pramugara pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17, Shaikh Mohd Noor kepada anaknya sulungnya, Shaikh Danish, 13.


Menurut Danish, perbualan itu berlaku Jun lalu di Pandamaran, Klang ketika sambutan kelahiran datuknya, Shaikh Mahmood Shaikh Abdul Rashid, 70.

"Ketika itu, ayah banyak bercakap pasal mati dan saya sebagai anak memang perasan perubahannya.


"Dia kata kalau dia tak ada, dia mahu saya jaga adik beradik termasuk Zulaikha," katanya.


Danish berkata, perbualan terakhir dalam telefon antara dia dan ayahnya ialah 12 Julai lalu iaitu sebelum ayahnya menaiki pesawat.

"Kebetulan kami adik-beradik akan berbuka puasa dan dia bertanyakan menu untuk berbuka.


"Selain itu, dia juga mengingatkan saya supaya jangan tinggal solat," kata Danish.

Menurut Danish, dia berkeinginan ke Amsterdam bagi mengiringi jasad ayahnya untuk dibawa pulang ke Malaysia.


"Saya diberitahu nama saya digugurkan daripada senarai ahli keluarga yang akan ke sana dan digantikan dengan ahli keluarga lain.


"Mendengar keputusan itu, saya terasa seperti diketepikan kerana saya sepatutnya berhak," katanya dengan nada sedih.


Katanya, dia juga sudah menelefon neneknya berkenaan hasratnya itu.


"Tapi nenek saya kata, tak payahlah ikut," kata Danish.


Menurutnya, dia diberitahu ibunya permohonan rayuan kepada MAS sedang diusahakan.


"Bagaimanapun, saya tidak tahu setakat mana keputusan itu,"katanya.


Selain Danish, Shaikh Mohd Noor mempunyai dua anak lagi iaitu Danisha, 11, Darwysh, 6 melalui perkahwinan pertamanya.


Perkahwinan dengan isteri sekarang iaitu Mardiani Mahdi, 42 dikurniakan seorang anak perempuan Darwisha Zulaikha, 2 di samping seorang anak tiri, Zulhilmi, 13.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/31

3 amanat Najib

Posted: 30 Aug 2014 02:41 PM PDT

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyampaikan tiga amanat penting kepada semua rakyat negara ini dalam perutusan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-57 demi kesinambungan negara dan bangsa supaya terus gagah bersaing di persada antarabangsa.

Mengikut amanat yang pertama, Najib mahu rakyat Malaysia mengukuhkan solidariti dalam menghadapi pahit getir cabaran, berdepan dengan dugaan, termasuk kebersatuan dalam kesedihan. Amanat kedua pula, beliau meminta rakyat Malaysia memupuk keyakinan bahawa mereka mampu mencapai apa jua cita-cita sebagai sebuah negara bangsa jika wujudnya kebersatuan. Katanya, masa depan yang cerah akan menjadi milik semua jika rakyat mempunyai ikhtiar yang mantap dan hidup saling gandingan demi hasrat yang murni itu. Dalam amanat ketiga pula, beliau mahu rakyat mewariskan Malaysia yang makmur lagi sejahtera. Maknanya, walau apa dugaan melanda, walau apa ujian melintang, rakyat akan terus mara dan melangkah ke depan dan membina sebuah negara yang permai bagi masa depan anak-anak cucu. "Hakikatnya, setiap kemerdekaan itu bermula dengan perjuangan murni dan pengorbanan yang tiada tandingnya, termasuklah daripada pihak Raja-Raja Melayu dan istana, pemimpin politik dan rakyat keseluruhan.


"Jika diimbau sejarah silam, negara kita dijajah empat setengah kurun, bermula daripada kejatuhan Empayar Kesultanan Melayu Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511 hingga kepada pentadbiran Inggeris. Sejak itu, penjajah datang silih berganti, mengaut hasil dan menindas masyarakat peribumi sehingga menyinsingnya fajar kemerdekaan, pada 31 Ogos 1957," katanya. Namun, rakyat juga perlu beringat bahawa negara ini berasal sebagai Persekutuan Tanah Melayu sebelum bergabung dengan Sabah dan Sarawak.

"Kita wajar bersyukur kebersatuan bersejarah antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang dipisahkan Laut China Selatan itu mengukir jutaan rahmat dan ingin ditegaskan cinta kasih serta tali persaudaraan seluruh rakyat Malaysia bertitik tolak dari Arau, Perlis membawa hingga ke Semporna, Sabah dan ke penghujung Ulu Lachau, Sarawak tidak mungkin dapat dipisahkan, bahkan akan kekal utuh," katanya.


Beliau berkata, kerajaan yang mentadbir pada hari ini mempunyai tanggungjawab besar demi mendahulukan kepentingan rakyat terutama masyarakat Melayu dan Bumiputera, Islam mahupun bukan Islam yang mewakili lebih 70 peratus rakyat Malaysia menjelang 2020.


"Oleh itu, sekali apapun yang cuba digoyahkan oleh pihak pembangkang, seandai apapun yang mereka ingin mengadu-dombakan, tidak kira tohmahan apa yang dilemparkan, agenda memperkasakan pembelaan rakyat akan tatap dipertahankan.

"Namun, ternyata kemajmukan masyarakat ini kita jadikan sebagai aset meniti kemakmuran sehingga bukan sahaja setakat menerima dan saling wujud antara satu sama lain, hatta meraikannya ke peringkat tertinggi ramuan kejayaan.


Menurut Najib, kita mengatur sebanyak-banyak kepada Tuhan negara ini berjaya berhadapan dengan seribu liku dan pancaroba yang penuh tentangan. Sepanjang tempoh itu terpancar wajah kemerdekaan hakiki yang jika dilihat dari segala sudut, merangkumi aspek merdeka hati, merdeka jiwa, merdeka semangat dan merdeka meraikan kemajmukan. "Sewaktu negara mencapai kemerdekaan, kadar kemiskinan pada tahap lebih 60 peratus. Ia menyusut kepada 1.7 peratus pada 2012 di mana kemiskinan tegar hampir disifarkan semuanya," katanya. Beliau yang mengambil alih tampuk pemerintahan dan pentadbiran negara pada 2009 memperkenalkan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, berlandaskan Dasar Transformasi Nasional (DTN).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/31

Kehangatan dirasai

Posted: 30 Aug 2014 02:41 PM PDT

Kuala Lumpur: Kehangatan Sambutan Hari Kemerdekaan masih dirasai meskipun dirai dalam suasana sederhana bagi memberi penghormatan kepada tragedi MH17 serta MH370 baru-baru ini.

Ia berikutan penganjuran perkampungan Minggu Merdeka sekitar ibu negara sejak 28 Ogos lalu yang bertujuan menarik pelbagai lapisan rakyat terutamanya generasi muda terus menyuburkan semangat patriotilisme tinggi dalam kalangan mereka.


Tinjauan Metro Ahad mendapati bangunan sekitar ibu negara termasuk Dataran Merdeka yang menjadi lokasi utama Majlis Perbarisan dan Perarakan mulai meriah dengan kibaran Jalur Gemilang. Tidak lupa juga lokasi perkampungan lain seperti Pasar Seni serta sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman turut dihiasi dengan bendera serta dendangan lagu patriotik.

Lokasi terbabit mula dipenuhi warga kota mahupun pelancong asing yang mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk memeriahkan sambutan kali ini menjelang tengah hari.


Seorang Pelancong dari Jerman yang ditemui, Lucas Merith, 29, berkata, dia teruja berada di Malaysia menjelang sambutan kemerdekaan bersama teman wanitanya, Madelina Maya, 28.


"Saya baru saja tiba di sini semalam dan saya tidak mengetahui mengenai sambutan ini. Mujurlah petugas hotel memaklumkan mengenainya dan saya mengambil peluang melawat sekitar dataran pagi ini (semalam).

Foto

PELANCONG mengambil kesempatan merakam kemeriahan dekorasi di Dataran Merdeka, semalam.

"Melihat dekorasi saja sudah penuh dengan bendera pelbagai saiz serta riben berwarna-warni, saya sudah dapat membayangkan betapa meriahnya majlis perarakan ini nanti. Saya berharap saya serta teman wanita sempat menyaksikan acara perarakan esok," katanya.


Seorang pengunjung yang berasal dari Tawau, Sabah, Azalina Lajabiti, 28, berkata, dia tidak sabar menghadiri Hari Perbarisan serta Perarakan hari ini.

"Saya bersama 10 ahli keluarga lain sudah merancang meraikan Hari Merdeka tahun ini di Kuala Lumpur sejak awal tahun lagi. Kami mula menempah tiket sejak bulan Februari kerana ingin merasai sendiri pengalaman meraikan sambutan kemerdekaan di Dataran Merdeka.


"Saya difahamkan sambutan kali ini diraikan lebih sederhana tetapi ia tidak sedikit pun menjejaskan semangat kami untuk mengibarkan bendera esok," katanya.


Penyelaras Perkampungan Sains, Teknologi dan Inovasi, Nurul Aini Mat Ali Napiyah berkata, sempena kemerdekaan tahun ini, pihaknya berharap acara cubaan memecah rekod dunia menerusi 'selfie' beramai-ramai sekitar jam 3 petang berjaya meraih perhatian rakyat.


"Kami dari perkampungan Sains, Teknologi & Inovasi amat berharap ramai akan memenuhi perkampungan ini bermula jam 3 petang untuk merealisasikan usaha cubaan memecah rekod 'selfie' seramai 500 orang sejam. Tujuannya adalah untuk meletakkan Malaysia di mata dunia selain platform bagi rakyat Malaysia sendiri untuk ekspresikan semangat patriotisme mereka," katanya.


Sementara itu, Pegawai Operasi 1 Seketriat Merdeka, Rozilah Atan berharap orang ramai boleh memeriahkan perkampungan mahupun lokasi perarakan sempena sambutan tahun ke-57 kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/31

No comments:

Post a Comment