Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Langkah kiri ke Incheon

Posted: 06 Sep 2014 08:55 AM PDT

Shah Alam: Persiapan terakhir skuad Bawah 23 Tahun negara (B-23) sedikit terjejas selepas kecundang 0-1 kepada Yaman pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, semalam.

Pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee yang akan beraksi pada Sukan Asia Incheon gagal mempamerkan persembahan memberangsangkan sepanjang 90 minit perlawanan.

Biarpun mendapat dua peluang terbaik mendahului lawan pada babak pertama tetapi tandukan Mohammed Fuad pada minit ke-79 memisahkan dua pasukan terbabit.

Malaysia berpeluang mendahului menerusi rembatan Zubir Azmi pada minit ke-57 yang terkena tiang gol sementara tendangan kencang Ashri Chuchu dari luar kotak pada m-67 tersasar keluar di kiri penjuru gawang pasukan lawan.

Foto

MOHD Azrif Nasrulhaq cuba merebut bola ketika perlawanan menentang Yaman.


Perlawanan itu menyaksikan aksi hambar separuh masa pertama kedua-dua pasukan.

Malaysia gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di tempat sendiri biarpun mendapat sokongan padu lebih 5,000 penyokong tempatan.

Kekalahan itu menyaksikan Kim Swee gagal mengulangi pencapaian sama ketika membimbing Harimau Malaysia menewaskan Yaman 2-1 pada kelayakan Piala Asia Mac lalu.

Yaman meningkatkan serangan babak kedua sementara Malaysia diperkuatkan dengan pemain lebih umur yang mencari tempat dalam skuad kebangsaan seperti Brendan Gan, Mohd Nor Farhan Muhammad dan Bobby Gonzales.

Keputusan hampir pasti menyebabkan Kim Swee terpaksa menyusun semula strategi pasukan untuk menghadapi Sukan Asia Incheon.

Kim Swee mengeluarkan Ferris Danial Mat Nasir dan Junior Edstal pada babak kedua dengan membawa masuk Saiful Ridzwan Selamat dan Amirul Hisyam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/07

Nukilan Hamidin: 'Permata' mula mengaum

Posted: 06 Sep 2014 08:44 AM PDT

Belum terlambat rasanya untuk saya mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-57 buat negara tercinta ini dan marilah kita sama-sama mengucapkan rasa syukur atas nikmat hidup di dalam satu rumpun yang berbilang kaum di Malaysia.

Marilah kita pastikan kejayaan dan kemodenan yang dikecapi hari ini akan dapat diteruskan oleh generasi muda pada masa depan.

Bercakap mengenai kemodenan di dalam bola sepak, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sentiasa berusaha menghasilkan atlet serta pasukan bertaraf dunia dan justeru, pelbagai program pembangunan sedang giat dijalankan di seluruh negara sejak beberapa tahun lalu.

Program Pembangunan Akar Umbi Bola Sepak Belia (Grassroot Development Program) menyediakan satu platform untuk mengembangkan lebih banyak bakat muda dalam arena bola sepak dengan bimbingan jurulatih profesional di bawah pengurusan FAM.


Hasilnya, kita dapat melihat pencapaian membanggakan di mana pasukan Harimau Muda bawah 16 tahun mula membuka mata ramai peminat tempatan mahupun luar negara dengan memperoleh kejayaan di peringkat antarabangsa kebelakangan ini.


Walaupun bermain dalam usia yang masih muda, mereka menunjukkan kematangan dalam membuat keputusan semasa dalam permainan dan komitmen tinggi hasil daripada pendedahan kepada perlawanan bertaraf antarabangsa.

Latihan intensif yang diberikan jurulatih profesional memerlukan komitmen dan disiplin tinggi. Pemain muda ini diberikan persediaan mental dan personaliti untuk berhadapan dengan pihak lawan dan media.

Pihak pengurusan FAM juga tidak mengabaikan aspek akademik pemain di mana mereka ditempatkan di Sekolah Sukan Malaysia Tengku Makhota Ismail (SSMTMI) di Gambang.

Pasukan Harimau Muda B-16 juga melakar sejarah yang membanggakan dalam bola sepak negara apabila menjuarai Kejohanan Bolasepak AFF B-16 tahun lalu dan semakin rancak mengaum di persada bola sepak Asia apabila berjaya menjuarai kejohanan bola sepak "FAM-FRENZ Asia Champions Trophy U-16 2014" menentang PVF Vietnam.

Pusingan pertama perlawanan akhir di tempat lawan pada hari Isnin lalu menyaksikan corak permainan yang berjaya membuahkan hasil apabila pasukan Harimau Muda B-16 menang dengan jaringan 2-1 ke atas PVF Vietnam.

Pemain juga akan terbang ke Bangkok, Thailand bagi menghadapi Kejohanan Bola Sepak AFC B-16 bermula 6 hingga 20 September.

Saya dan rakyat Malaysia meletakkan harapan tinggi kepada skuad muda ini untuk mara ke pusingan separuh akhir Kejohanan Bola Sepak AFC B-16 di mana empat pasukan terakhir akan layak ke Piala Dunia Belia bawah 17 tahun.

Tiada apa yang saya harapkan kecuali untuk melihat komitmen dan disiplin tinggi dari pemain Harimau Muda B-16 ini. Saya percaya dengan kebolehan ketua jurulatih S Balachandran untuk melatih dan membimbing skuad ini untuk terus maju melangkah ke depan!

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/07

Fuad pasang impian ke separuh akhir

Posted: 06 Sep 2014 08:43 AM PDT

Seremban: Biarpun akur saingan pada temasya Sukan Asia 2014 di Incheon Korea Selatan lebih mencabar, peninju negara Mohamad Fuad Redzuan berazam mengatasi pencapaiannya mara suku akhir Sukan Komanwel di Glasgow, baru-baru ini.

Peninju berusia 23 tahun itu mahu membuktikan kebolehannya memberikan saingan lebih baik dalam kategori 49 kilogram (kg) pada temasya yang akan bermula 19 September selain yakin mampu meningkatkan lagi prestasi.

"Saya perlu berusaha lebih keras untuk memperbaiki kelemahan dan meningkatkan prestasi kerana Sukan Asia menampilkan lebih ramai peninju berwibawa.

"Begitupun, saya yakin latihan intensif dua minggu di Thailand mulai 1 hingga 15 September ini dapat membantu meningkatkan lagi prestasi dan persembahan.

"Saya bertekad memberikan persembahan lebih baik dan berharap dapat pergi ke lebih jauh sekurang-kurangnya ke separuh akhir.

"Sudah pasti pengalaman beraksi di Glasgow akan saya gunakan untuk berdepan mana-mana pencabar terutama dari Kazakhstan dan China," katanya.

Menurut Mohamad Fuad, dia tidak begitu bimbang dengan pencabar dari negara ASEAN kerana mempunyai skil yang hampir sama tapi menganggap peninju dari Kazakhstan, lebih berwibawa.

Peninju yang mula digilap pada peringkat Sukan Malaysia (SUKMA) di Terengganu pada 2008 itu berharap segala perancangan yang sudah disusun Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) dan jurulatihnya, Prasit Tungjal berjalan lancar serta meletakkan dirinya pada tahap terbaik untuk mencipta kejutan.

"Saya berharap penyertaan kali kedua di Sukan Asia ini mampu menghadirkan keputusan lebih baik biarpun untuk membawa pulang sebutir pingat agak sukar berpandukan reputasi pasukan lain yang lebih mantap," katanya.

Selain Mohamad Fuad, seorang lagi peninju iaitu Khir Akyazlan Azmi akan turut menggalas cabaran negara di Incheon bagi kategori 64 kg.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/07

CDC sasar 450 peserta

Posted: 06 Sep 2014 08:42 AM PDT

Shah Alam: Commerce Dot Com Sdn Bhd (CDC) menjadi penganjur utama CDC Community Golf Scramble Tour 2014 yang julung-julung kali dianjurkan bermula hari ini.

Timbalan Presiden Pembangunan Korporat CDC Hafidz Ahmad Zehnun berkata, kejohanan itu terdiri daripada empat pusingan kelayakan dan pertandingan akhir.

"Kami menyasarkan 450 peserta akan menyertai kejohanan berprestij ini dan kami menyediakan hadiah lumayan kepada pemenang serta peserta terbabit.

"Pihak kami berbesar hati kerana dapat menjadi penganjur utama kejohanan ini kerana golf adalah sukan yang eksklusif serta kebanyakan pelanggan CDC adalah peminat sukan berkenaan," katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran kejohanan berkenaan yang berlangsung di Kota Permai Golf & Country Club baru-baru ini.


Katanya, CDC memainkan peranan sebagai fasilitator antara syarikat swasta dan kerajaan, membantu kedua-duanya menjalankan transaksi perniagaan melalui sistem e-Perolehan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/07

Amirul tak gentar cabaran

Posted: 06 Sep 2014 08:41 AM PDT

Kuala Lumpur: Pelumba muda tidak perlu terburu-buru mencipta kejayaan dalam masa singkat.

Falsafah itu menjadi pegangan pelumba Moto3 negara, Amirul Hafiq Azmi dalam merealisasikan impian bergelar pelumba kelas dunia.

Pelumba berusia 17 tahun itu beraksi bersama pasukan SIC-Ajo menyifatkan musim pertamanya dalam Moto3 menjadi batu loncatan terbaik mencapai impian menjadi pelumba profesional satu hari nanti.

"Menempatkan diri dalam kelompok 15 teratas pada musim pertama dalam Moto3 menjadi sasaran utama saya.

Foto

AMIRUL (dua dari kanan) dan rakan sepasukan Muhammad Zulfahmi Khairuddin bersama gadis litar.

Foto

AMIRUL kagum lakonan P Ramlee.


"Berada dalam kategori bersama ramai pelumba handalan dunia memberikan cabaran sengit pada setiap pusingan perlumbaan di peringkat antarabangsa.


"Saya mungkin perlu mengurangkan risiko gagal menamatkan perlumbaan (DNF) akibat kerap terjatuh sewaktu berlumba," katanya yang sedikit bimbang dengan masalah itu kerana ia akan menjejaskan peluang mengutip mata secara konsisten.

Sepanjang musim ini, Amirul hanya mencatat kedudukan terbaik dengan menduduki tangga ke-16 pada perlumbaan GP Argentina dan GP Perancis di sirkit Le Mans.

"Pada penampilan tahun pertama dalam Moto3 tahun ini, saya kerap mencatat DNF. Ia termasuk perlumbaan sulung saya di Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC) tahun lalu dan keputusan sama di Silverstone, England, baru-baru ini.

"Azam saya pada tahun ini adalah untuk menceriakan peminat pada penampilan kedua di Sepang pada perlumbaan Moto3 dan mengharapkan keputusan lebih baik pada saingan MotoGP Malaysia pada 24-26 Oktober depan di Sepang," katanya.

Bercakap mengenai kumpulan muzik tempatan diminatinya, Amirul amat berharap dapat bertemu dengan kumpulan pop punk Malaysia, Bunkface satu hari nanti.

"Saya meminati trio Bunkface, Sam, Paan dan Youk. Lagu mereka seperti Situasi dan Prom Queen membuatkan saya rasa ceria ketika berada di litar lumba," katanya.

"Selain itu, saya turut meminati aktres wanita, Fazura, Nelydia Senrose dan Tiz Zaqyah. Apapun, saya mengagumi lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang banyak memberi mesej kepada masyarakat menerusi filem."

Ditanya apa yang akan dilakukan apabila tidak berlatih atau tidak beraksi pada perlumbaan, Amirul berkata: "Jadual saya bergantung kepada latihan dua kali sehari dari Isnin hingga Jumaat."

Mengenai aksinya di luar negara, Amirul berkata: "Saya tidak berdepan masalah makanan apabila berada di luar negara. Menu makanan sihat seperti pasta, ikan dan buah-buahan sentiasa membekalkan tenaga diperlukan untuk kekal cergas. Setakat ini, semuanya ok."

Amirul berkata, apa yang wajib dilakukannya setiap kali berada di luar negara ialah menelefon ibunya untuk bertanya khabar.

"Selepas bertanya khabar ibu dan ayah, perkara pertama yang saya minta apabila balik ke Malaysia ialah nasi kerabu. Minuman kegemaran saya adalah cendol," katanya.

"Saya jenis tidak suka keluar dan lebih selesa bermain playstation bersama adik-beradik di rumah. Waktu bersama keluarga adalah detik yang sentiasa saya rindui apabila berada di luar negara".

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/07

ARRC perkenal kelas 250cc

Posted: 06 Sep 2014 08:38 AM PDT

Kuala Lumpur: Pengenalan perlumbaan kelas 250cc dalam saingan Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) bermula tahun 2015 dijangka akan mengembangkan lagi industri sukan permotoran di Asia.

Kelas baru ini yang dilancarkan secara rasmi di Litar Suzuka, bersempena dengan perlumbaan Pusingan 4 ARRC dijangka menarik minat penyertaan daripada pelbagai negara.

Setakat ini, pihak promoter kejuaraan, Two Wheels Motor Racing mengesahkan telah menerima 16 penyertaan dari tujuh negara Asia Tenggara.

Pengenalan kategori 250cc ini bakal menjadi perantara di antara perlumbaan kelas perdana SuperSports 600cc dan perlumbaan untuk peringkat akar umbi, Underbone 130cc dimana kelas 250cc bakal melibatkan kebanyakan pelumba yang dibangunkan melalui kelas underbone sebelum beralih ke kelas lebih tinggi.


Pengenalan kelas 250cc ini turut membuka lebih banyak peluang kepada negara pengeluar motosikal yang masih kurang penglibatan dalam sukan permotoran untuk menyertai perlumbaan.


Peraturan teknikal perlumbaan yang disediakan membolehkan penyertaan pengeluar motosikal bukan sahaja dari Jepun (Honda, Kawasaki, Suzuki dan Yamaha) malah pengeluar motosikal dari India, China dan Eropah juga berpotensi untuk menyertai perlumbaan.

"Membawa lebih banyak pengeluar motosikal ke dalam satu perlumbaan akan membuka lebih banyak peluang kepada pelumba rantau Asia untuk beraksi dalam Kejuaraan Asia ini.

"Dengan penglibatan yang semakin mendalam terhadap sukan permotoran, ia akan membantu meningkatkan mutu perlumbaan di negara mereka sendiri," jelas Pengarah Promosi Two Wheels Motor Racing, Ron Hogg.

Kelas perlumbaan ini akan menggunakan peraturan sejenis tayar sahaja yang akan disokong oleh rakan kerjasama kejuaraan sejak dahulu lagi, Dunlop.

"Dunlop akan membekalkan tayar Alfa-13 untuk kelas 250cc. Model ini telah menunjukkan mutu dan pencapaian yang baik sepanjang dua tahun lepas melalui perlumbaan Asia Dream Cup dan kami percaya ia juga sesuai untuk digunakan dalam kelas perlumbaan baru ini.

"Dengan hubungan baik di antara Dunlop dan Kejuaraan Motosikal Asia yang semakin berkembang, komitmen Dunlop terhadap perkembangan sukan permotoran Asia juga semakin utuh," kata Pengurus Besar Dunlop, Sadahiko Matsumura.

Turut hadir pada sidang media ialah wakil FIM Asia, Dyan Dilato yang turut mengakui kelas baru itu akan menghasilkan impak besar terhadap dunia perlumbaan motosikal setiap negara Asia khususnya di Asia Tenggara.

"Kami berharap peraturan ARRC ini turut digunakan di kebanyakan kejuaraan tempatan - di mana setiap pelumba berbakat akan berkembang dengan lebih cepat dan pada masa sama akan merancakkan dunia perlumbaan permotoran dua roda di Asia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/07

Ito terus penguasaan

Posted: 06 Sep 2014 08:36 AM PDT

Kuala Lumpur: Yuki Ito meneruskan penguasaan hari kedua Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) apabila mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan SuperSports 600cc di Litar Suzuka, Jepun semalam.

Pelumba PETRONAS Hong Leong Yamaha yang mencatat masa terpantas pada sesi latihan bebas hari pertama, berjaya mencatat masa lebih baik pada sesi kelayakan 2'14.242s sekaligus meraih petak hadapan, pertama kali di dalam saingan ARRC.

Gandingan Musashi Boon Siew Honda Racing, Mohd Zaqhwan Zaidi dan Makoto Tamada mengekori di belakang dengan Zaqhwan hanya 0.040s ketinggalan kepada Ito manakala Tamada ketiga, 2'14.296s.

Malang buat seorang lagi rakan sepasukan Zaqhwan dan Tamada, Mohd Zamri Baba yang juga pendahulu keseluruhan ketika ini apabila tidak dapat meneruskan saingan selepas patah kaki kiri akibat kemalangan pada sesi latihan bebas ketiga sebelah pagi.

"Sukar untuk saya perkatakan kerana ini kali pertama saya meraih petak pertama di ARRC," kata Ito.

Bagi Zaqhwan pula, ia persembahan terbaik tahun ini cuma sedih dengan nasib malang menimpa Zamri.

"Saya berhasrat untuk meraih kedudukan podium agar dapat membantu pasukan kekal mendahului senarai keseluruhan berpasukan," katanya.

Sementara itu, duo pasukan PETRONAS Hong Leong Yamaha menguasai sesi kelayakan Underbone 130cc dengan Ahmad Fazli Sham muncul pelumba terpantas 2'45.009s manakala Mohd Affendi Rosli kedua terpantas 2'45.457s.

Dalam saingan Asia Dream Cup (ADC), dua pelumba Malaysia, Khairul Idham Pawi dan Harith Farhan Baharin akan memulakan perlumbaan dari barisan depan setelah mendahului sesi kelayakan apabila masing-masing mencatat masa terpantas 2'42.745s dan 2'43.668s.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/07

Saya seorang muslim: Kikis imej negatif

Posted: 06 Sep 2014 08:36 AM PDT

Ramai yang memuji aksi pemain muda ini dalam Piala Dunia Brazil Jun lalu, malah tidak dinafikan kelibat pemain itu berjaya meletakkan Switzerland di tahap yang tidak diduga dalam kejohanan bola sepak teragung dunia itu.

Xherdan Shaqiri, baru berusia 22 tahun, boleh dianggap sebagai antara pemacu negara itu ke suku akhir Piala Dunia, menerusi jaringan hatriknya meskipun langkah mereka terhenti di kaki Argentina.

Shaqiri, dikatakan mempunyai gerakan sukar dijangka, mahir menggunakan kedua-dua kaki dan sentiasa peka di depan gol, membuatkan namanya antara yang menjadi sebutan sepanjang kejohanan itu.

Pencapaian itu jugalah yang membawa pasukan Switzerland ke tangga keenam dunia, namun satu fakta yang tidak boleh dinafikan adalah sumbangan Shaqiri serta Valon Behrami, Granit Xhaka, Haris Seferovic dan Admir Mehmedi, kesemuanya pemain Muslim dan berasal dari rantau Balkan.

Foto


Pastinya, sumbangan mereka melenyapkan cakap-cakap mengenai kehadiran etnik Albania dari Kosovo yang kurang disenangi penduduk tempatan, meskipun mereka membesar di negara itu.


Kumpulan itu sebelum ini dipersalahkan kerana dikatakan menjadi punca peningkatan kadar jenayah, pengedaran dadah, kesalahan jalan raya dan kejatuhan tahap pendidikan.

"Saya seorang Albania dari Kosovo," kata Shaqiri, bangga ketika ditanya mengenai asal-usulnya.

Dilahirkan di Gnjilane, Yugoslavia, Shaqiri bersama keluarganya berpindah ke Switzerland pada 1992, memiliki dua kerakyatan iaitu Switzerland dan Albania. Dia memiliki kerakyatan Switzerland menerusi naturalisasi.

Lebih 20 tahun berkelana di negara Alps itu membuatkan Shaqiri serasi dengan kehidupan di sana meskipun tidak pernah melupakan asal usul dan pegangan agamanya.

Malah apabila ditanya mengenai sambutan Krismas, Disember lalu, ini jawapan pemain berkenaan; " Saya seorang Muslim, jadi kami tidak menyambutnya tetapi adik perempuan saya sukakan pokok Krismas jadi kami belikan satu untuknya."

Hakikatnya, pemain sayap Bayern Munich yang digelar 'Messi Alpine' dan 'orang kerdil ajaib' tetap berbangga dengan pegangannya sebagai seorang Muslim.

Dia sering dilihat menadah tangan sambil berdoa, setiap kali sebelum masuk ke padang memohon keberkatan Allah ketika berjuang menentang pasukan lawan.

Malah baru-baru ini ketika bergambar bersama pasukan Bayern Munich, masing-masing berkemeja petak merah putih sambil memegang minuman keras, Shaqiri, Frank Ribery dan Mehdi Benatia memilih untuk tidak berbuat demikian.

Tidak keterlaluan juga apabila dikatakan Ribery antara individu paling gembira dengan perpindahannya ke Bayern Munich dari FC Basel pada 2012.

Meskipun khabar angin awal musim ini mengaitkannya dengan perpindahan ke Liverpool namun sehingga kini dia masih kekal dengan pasukan Bundesliga itu.

Profil

Nama penuh: Xherdan Shaqiri
Tarikh lahir: 10 Oktober 1991 (22 tahun)
Asal: Gnjilane, SFR Yugoslavia
Tinggi: 169sm
Posisi: Pemain Sayap
Pasukan: Bayern Munich (2012-kini)
FC Basel (2007-2012)
Pasukan kebangsaan : Switzerland (2010-kini)

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/07

Neymar wira Brazil

Posted: 06 Sep 2014 08:27 AM PDT

Miami Gardens, Florida: Neymar menjaringkan gol pada minit ke-83 untuk memberikan kemenangan 1-0 kepada Brazil mengatasi Colombia yang beraksi dengan 10 pemain pada perlawanan persahabatan disaksikan 73,429 penonton di Stadium Sun Life, semalam.

Sepakan percuma Neymar daripada jarak 22 ela menerjah ke penjuru gawang melepasi jangkauan penjaga gol, David Ospina.

Neymar membuat penampilan pertama untuk skuad kebangsaan sejak mengalami kecederaan belakang serius pada suku akhir Piala Dunia.

"Apa membuatkan Neymar istimewa adalah dia memiliki kemahiran semula jadi yang tidak ada pada ramai pemain," kata jurulatih Brazil yang baru, Dunga.

Foto


Selepas Neymar tercedera pada Piala Dunia, Brazil bukan disingkirkan malah diaibkan Jerman 1-7 di separuh akhir yang akhirnya muncul juara.


Colombia memiliki satu peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan selepas jaringan Neymar tetapi tandukan Radamel Falcao dari jarak enam ela dalam kotak penalti melepasi palang gol m-89.

Falcao, masuk sebagai pemain gantian m-76 menggantikan James Rodriguez, menyertai semula pasukan kebangsaan selepas diketepikan daripada Piala Dunia akibat kecederaan lutut.

"Ia perlawanan sangat kompetitif dan Brazil berhak mencipta kejayaan," kata pengurus Colombia, Jose Pekerman. "Kami melakukan terbaik apa yang termampu. Jelas sekali penyingkiran seorang pemain membuatkan keadaan lebih sukar."

Colombia beraksi dengan 10 pemain pada 40 minit terakhir selepas Juan Cuadrado menerima kad kuning kedua atas kekasaran terhadap Neymar.

Brazil akan berdepan Ecuador pada perlawanan persahabatan kedua di Stadium Met Life, East Rutherford, New Jersey, Selasa ini.- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/07

Wilshere kecewa dikritik

Posted: 06 Sep 2014 08:24 AM PDT

London: Pemain tengah England, Jack Wilshere membalas kritikan 'cuai' yang mendakwa bintang Arsenal itu gagal memanfaatkan sepenuhnya bakat dimiliki.

Wilshere di anggap sebagai pemain muda harapan England sewaktu membuat penampilan pertama dalam tempoh empat tahun tetapi bergelut menepati jangkaan itu.

Pemain berusia 22 tahun itu hanya memiliki 21 cap disebabkan beberapa siri kecederaan dan kehilangan prestasi pada peringkat kelab menyebabkan dia menerima kritikan daripada bekas pemain England seperti Jamie Redknapp, Paul Scholes dan Jamie Carragher.

Redknapp, beraksi di bahagian tengah Liverpool dan Tottenham, berkata: "Masalah Jack Wilshere adalah Jack Wilshere" dan dia "tidak mempunyai sebarang alasan lagi".

Kritikan terbabit membuatkan Wilshere agak tersinggung dan kecewa kerana kenyataan itu datangnya dari seorang pemain yang kariernya diselubungi kecederaan pada usia 31.

"Saya mendengar apa diperkatakan oleh orang yang saya bekerjasama rapat," kata Wilshere menjelang perlawanan pembukaan England untuk kelayakan Euro 2016 di Switzerland, esok.

"Dengan rasa hormat, saya rasakan Redknapp sepatutnya ada rasa simpati.

Dia lebih banyak mengalami kecederaan berbanding apa yang saya alami.

"Ia mudah buat seseorang tampil di televisyen dan mengatakan 'dia perlu melakukan ini, dia perlu melakukan itu' tetapi jika anda mengimbau kembali, Redknapp sering mengalami kecederaan seperti saya.


Mungkin lebih daripada saya.


- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/07

No comments:

Post a Comment