Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


'Pakar bom' gigit polis

Posted: 08 Sep 2014 02:32 PM PDT

Kuala Lumpur: Seorang penjenayah berbahaya ditahan polis kelmarin turut dipercayai adalah 'pakar bom' susulan penemuan dua butir bom kawalan jauh buatan sendiri.

Suspek berusia 30-an itu yang juga bekas tahanan penjara Simpang Renggam, Johor, diberkas jam 1.30 tengah hari di Taman Usahawan, Kepong di sini.


Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy berkata, suspek ditahan ketika berada di hadapan sebuah bengkel kenderaan di kawasan itu dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, suspek enggan bekerjasama dan cuba melarikan diri namun sempat dikejar dan ditahan anggota polis.


"Bagaimanapun suspek bertindak agresif dengan menggigit tangan salah seorang anggota polis yang cuba memberkasnya.


"Polis kemudian melakukan pemeriksaan dan menemui dua butir bom kawalan jauh buatan sendiri, pistol tiruan, sebutir bom asap, suar dan pisau di dalam kenderaan suspek," katanya pada sidang media di pejabatnya semalam.

Foto

MUNUSAMY menunjukkan senjata api tiruan dan bahan letupan yang dirampas.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai sembilan rekod kesalahan lampau dan amat dikehendaki polis berhubung pelbagai jenayah berbahaya.


"Anggota polis masih melakukan siasatan lanjut terhadap bahan letupan berbahaya dimiliki suspek.

"Polis masih menyiasat tujuan penyimpanan bom kawalan jauh itu sama ada untuk dijual atau digunakan untuk tujuan jenayah," katanya.


Menurutnya, pemeriksaan pada nombor pendaftaran kenderaan mewah model BMW milik suspek mendapati ia didaftar untuk kereta model Suzuki Swift.


"Suspek mendakwa meminjam kereta itu dari seorang individu sejak beberapa bulan lalu. Polis sedang berusaha mendapatkan maklumat individu dimaksudkan itu untuk membantu siasatan," katanya.


Menurutnya, suspek itu kini ditahan direman selama seminggu bermula kelmarin untuk siasatan lanjut.


Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/09

Sindiran suara anjing

Posted: 08 Sep 2014 01:58 PM PDT

Kuala Lumpur: Keinsafan dan taubat yang diharapkan, sindiran tajam yang diterima. Itu senario pilu dialami Hajar, 40, selepas meminta tiga anaknya yang terbabit dengan kegiatan ajaran sesat kembali ke pangkal jalan, sebagaimana disiarkan akhbar ini, semalam.

Hajar berkata, sindiran itu diterima menerusi mesej bersuara di telefon bimbit yang dihantar seorang daripada anaknya jam 12 tengah hari semalam.

"Dia menghantar tiga mesej bersuara, termasuk rakaman suara anjing menyalak dan saya percaya ia sindiran keras selepas saya mendedahkan kesesatan mereka di dalam Harian Metro," katanya.

Muka depan Harian Metro semalam bertajuk 'Taubatlah Anakku' memaparkan luahan pilu Hajar yang meminta ketiga-tiga anaknya bertaubat selepas mereka menjadi pengikut ajaran sesat.


Sebelum itu, muka depan Metro Ahad, kelmarin melaporkan luahan bapa Hajar mahu dikenali sebagai Azim, 69, yang berdepan dugaan lebih hebat apabila isteri, lapan anak, tiga menantu dan 15 cucunya terjebak dengan ajaran sesat sama.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/09

JAWI tubuh pasukan khas tangani ajaran sesat

Posted: 08 Sep 2014 01:57 PM PDT

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menubuhkan pasukan khas menangani penularan ajaran sesat susulan pendedahan bersiri yang dibuat akhbar ini sejak Ahad lalu.

Sumber jabatan itu berkata, mesyuarat khas diadakan dianggotai beberapa unit terutama Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelidikan untuk membincangkan pendekatan membanteras penyebaran ajaran itu yang dilihat membimbangkan.


"Mesyuarat itu membincangkan sama ada JAWI perlu menunggu fatwa diwartakan atau boleh melakukan tangkapan berdasarkan fahaman penyelewengan Islam saja.

"Ia penting sebagai justifikasi pegawai serta anggota kita untuk melakukan tangkapan. Kita akan lihat secara terperinci bagaimana cara membendung perkara itu dan JAWI serius berhubung isu berkenaan," katanya ketika dihubungi, semalam.


Menurutnya, pihaknya menyediakan laporan lengkap berhubung muzakarah yang dilakukan antara pengikut ajaran sesat itu dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Putrajaya, hujung bulan lalu.


Katanya, berdasarkan muzakarah itu, pihaknya dapat melihat beberapa asas untuk pembanterasan fahaman itu antaranya penyelewengan ayat al-Quran dan fahaman palsu.

"Bagaimanapun, kita perlu berbincang dengan lebih mendalam supaya satu mekanisme khusus dapat dihasilkan dalam membendung perkara ini.


"Selain itu, kita juga sudah menyiapkan kertas cadangan untuk menfatwakan ajaran berkenaan dan kini, menunggu masa jawatankuasa berkenaan bersidang," katanya.

Sumber berkata, pihaknya yakin suatu tindakan khusus diambil dalam masa terdekat selepas semuanya berjalan lancar dan berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung ajaran itu tampil untuk menyalur maklumat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/09

Yatim piatu sekelip mata

Posted: 08 Sep 2014 01:55 PM PDT

Kuala Lipis: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun bukan saja tidak sempat bertemu neneknya, malah sekelip mata menjadi yatim piatu apabila ibu bapanya terbunuh selepas kereta Hyundai Getz yang mereka naiki bertembung dengan bas ekspres di Kilometer 59, Jalan Lipis-Merapoh dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.45 pagi itu, Nur Fatin Irdina Muhamad Zulfahmi patah tangan dan kaki serta pendarahan dalaman sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAH) Temerloh untuk rawatan lanjut.

Bapa mangsa, seorang pengusaha kolam ikan, Muhamad Zulfahmi Awang, 24, dari Kampung Anak Ikan, Jerteh, Terengganu bersama isterinya, Siti Zulaikha Mohd Zaha, 21, dari Kampung Anak Ikan Dalam, Jerteh pula maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia akibat parah di kepala dan badan sebelum mayat mereka dihantar ke Hospital Kuala Lipis (HKL) di sini, untuk dibedah siasat.


Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, ketika kejadian semua mangsa dalam perjalanan dari Jerteh ke rumah ibu Siti Zulaikha di Raub sebelum kereta dinaiki memasuki laluan bertentangan di laluan berselekoh sebelum bertembung bas ekspres dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju Kota Bharu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/09

Guru hantuk kepala ke dinding

Posted: 08 Sep 2014 01:54 PM PDT

Kuala Terengganu: Sudahlah dipaksa berlutut, kepala pula dihantuk pada dinding beberapa kali. Itu harga terpaksa dibayar murid tahun enam sebuah sekolah rendah, di sini, Ahmad Faiz Iskandar Ahmad Badrul, 12, yang mahu meminta maaf selepas bergaduh dengan anak guru Pendidikan Jasmani Kesihatan (PJK) sekolahnya, kelmarin.

Guru terbabit dikatakan bertindak di luar dugaan apabila sanggup membelasah mangsa di depan guru lelaki lain semata-mata mempertahankan anaknya yang bergaduh dengan mangsa.


Bapa mangsa, Ahmad Badrul Mat Taha, 38, berkata, sebelum kejadian pada 1.30 petang itu, anaknya dikatakan berkelahi dengan anak guru berkenaan ketika seminar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Taman Rekreasi Batu Burok di sini, bertujuan membantu murid menghadapi peperiksaan itu hari ini.

Menurutnya, murid yang bergaduh dengan anaknya kemudian melaporkan kejadian itu kepada bapanya yang memanggil anaknya ke bilik guru.


"Anak saya yang mahu meminta maaf terus ke bilik guru sebelum dipaksa berlutut sebelum rambutnya ditarik dan kepala dihantuk pada dinding di bilik guru lelaki berkenaan.


"Akibat kesakitan, anak saya hanya mampu menangis sekuat hati dan meminta dilepaskan guru lelaki berusia 30-an itu. Guru yang hilang kawalan itu hanya berhenti 'membelasah' selepas beberapa guru lelaki lain menghalangnya daripada berterusan membelasah anak saya," katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, kelmarin.

Peniaga kedai makan itu berkata, dia menerima berita kejadian selepas diberitahu isterinya yang terkejut melihat kepala anaknya bengkak ketika menjemputnya pulang dari sekolah.


"Tanpa berlengah, saya terus ke sekolah mendapatkan penjelasan. Guru itu mulanya berdolak-dalik walaupun guru lain sudah melihat kejadian sebenar," katanya.

Menurutnya, guru besar sekolah yang sudah mengetahui kejadian itu menyerahkan kepadanya sama ada mahu membuat laporan polis atau sebaliknya.


"Pada masa ini, saya hanya menunggu laporan perubatan di HSNZ," katanya.Saya sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada jam 8.30 malam untuk mengambil tindakan terhadap guru terbabit "Anak saya seorang daripada 16 murid terbaik sekolah itu dan saya risau kecederaan di kepalanya mungkin menyebabkan fikiran anak saya terganggu ketika menghadapi UPSR nanti.


"Bagi saya, walaupun pergaduhan membabitkan anak guru itu, namun dia (guru berkenaa) tidak boleh bertindak sedemikian, sebaliknya boleh merujuk kes kepada guru disiplin untuk diambil tindakan kepada anak saya, bukannya menghukum sendiri kesalahan murid," katanya.


Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu Hashim Mohd Zin berkata, pihaknya sudah menerima laporan pihak sekolah dan menjelaskan guru yang terbabit dengan kejadian itu akan dikenakan tindakan tatatertib seperti tertakluk dalam peraturan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/09

No comments:

Post a Comment