Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Pisah beregu

Posted: 04 Sep 2014 11:32 AM PDT

Kuala Lumpur: Bukan mahu pergi sekadar melancong tetapi mencabar kuasa badminton Asia dengan menggunakan strategi yang hampir sama ketika saingan Piala Thomas 2014 Mei lalu.

Itulah tekad dan perancangan jurulatih beregu lelaki negara, Pang Cheh Chang menjelang saingan Sukan Asia 2014 Incheon terutama dalam acara berpasukan.


"Mungkin saya akan memisahkan pemain beregu lelaki dalam acara berpasukan tetapi tidak untuk kategori individu," katanya selepas sesi latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Jelasnya, memecahkan gandingan asal adalah sebahagian daripada strategi perlawanan selepas membaca percaturan lawan terutama China yang menyenaraikan gandingan beregu veteran, Cai Yun-Fu Haifeng.


"Mereka mengeluarkan dua orang pemain muda dan memasukkan pemain berpengalaman, jadi kita akan tengok keadaan di sana (Incheon) nanti, saya tidak nyatakan ia akan dibuat berkemungkinan.


"Kita akan memberikan latihan mantap dalam tempoh seminggu atau dua minggu ini, bagi saingan individu mereka sudah tahu tugas masing-masing, kecuali Lim Khim Wah" kata bekas pemain beregu kebangsaan itu.

Foto

Cheh Chang guna strategi Piala Thomas hadapi lawan.

Cheh Chang menyenaraikan gandingan Tan Boon Heong-Hoon Thien How, Tan Wee Kiong-Goh V Shem (gambar), manakala Khim Wah turut di bawa bersama seperti mana yang dilakukan ketika Piala Thomas 2014 New Delhi Mei lalu.


Chan Peng Soon yang turut berada dalam skuad Piala Thomas sebelum ini, mampu diturunkan sebagai pemain beregu lelaki bagi acara berpasukan selain bergandingan dengan Ng Hui Lin untuk beregu campuran.

"Acara berpasukan memang boleh tukar gandingan namun untuk merebut emas beregu lelaki hanya dua pasangan saja dibenarkan, jadi kita akan cuba menekankan corak yang sama seperti di Piala Thomas.


"Saya yakin China mesti akan membariskan Cai Yun-Fu Haifeng sebagai beregu kedua dalam acara berpasukan mereka tidak mahu mengulangi kesilapan seperti di Piala Thomas," katanya yang juga menjangkakan gandingan Korea Selatan juga akan bermati-matian beraksi di depan penyokong sendiri.


Selain enam orang pemain beregu, skuad negara juga membariskan empat wakil perseorangan yang diketuai Datuk Lee Chong Wei, Chong Wei Feng, Goh Soon Huat dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/05

Keputusan paling tepat

Posted: 04 Sep 2014 11:31 AM PDT

London: Penyerang Danny Welbeck berkata, dia pernah membayangkan dirinya menyarung jersi Arsenal walaupun ketika itu dia masih berada di Manchester United. Justeru, tidak ada yang lebih menggembirakannya apabila berpeluang mewakili kelab London berkenaan.

Welbeck berjaya mendapat peluang beraksi bersama pasukan utama United pada 2008 dan diturunkan dalam 53 perlawanan Liga Perdana Inggeris dengan 39 daripadanya bermula dari bangku simpanan.


Bagaimanapun, peluangnya untuk beraksi dalam kesebelasan utama agak terhad sejak kelab itu di kendalikan Louis van Gaal yang dilantik menjadi pengurus United Mei lalu dan hanya beraksi sekali musim ini ketika tewas 0-4 kepada MK Dons pada pusingan kedua Piala Liga dua minggu lalu.

"Saya berada di United sejak kanak-kanak lagi dan melalui banyak saat manis di sana.


"Saya hanya memikirkan mengenai peringkat seterusnya untuk peningkatan karier saya dengan berhijrah ke Arsenal, membuktikan kepada semua apa yang boleh saya buat sebagai pemain bola sepak dan berharap mendapat tempat.


"Saya sentiasa percaya datang ke Arsenal adalah keputusan yang tepat," kata Welbeck.

Mike Phelan yang menjadi pembantu Alex Ferguson di United antara 2008 hingga 2013, merasakan pemergian Welbeck mencemarkan identiti United.


"Pemain seperti Danny Welbeck adalah sebahagian daripada identiti United dan perkara itu sudah dicemari.

"Apa yang akan berlaku pada masa akan datang, semua orang tidak tahu tetapi tradisinya berubah sekarang," katanya.


Bagaimanapun, Phelan merasakan penghijrahan Welbeck ke Arsenal adalah keputusan paling tepat dan menjangkakan pemain antarabangsa England itu mampu untuk beraksi di posisi yang sesuai, iaitu penyerang.


Perpindahan itu menyaksikan dia akan beraksi bersama rakan sepasukan di England Jack Wilshere, Theo Walcott, Kieran Gibbs, Alex Oxlade-Chamberlain dan Calum Chambers.


"Saya percaya dengan corak yang diterapkan pengurus dan pemain tengah yang mampu melakukan hantaran bola dengan kemas, saya mampu mengejarnya untuk menjaringkan gol.


"Saya suka untuk menjadikan permainan laju. Di Arsenal, kami tidak kekurangan kombinasi bola sepak dan saya suka untuk menyertainya dengan berada di belakang pertahanan serta cuba melakukan rembatan ke arah gol.


"Saya mahu menjaringkan gol dan membantu pasukan mencatat keputusan positif," kata Welbeck. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/05

Ikut jejak Jepun

Posted: 04 Sep 2014 11:30 AM PDT

Kuala Lumpur: Pasukan kebangsaan di rantau Asia perlu menjadikan Jepun sebagai contoh untuk meningkat ke peringkat dunia dan layak ke Piala Dunia, kata legenda bola sepak Argentina, Oswaldo Ardiles.

Bekas bintang kelab Tottenham Hotspur itu berkata Jepun pada mulanya tidak pernah memenangi sebarang pertandingan atau kejohanan tetapi keberanian mereka untuk membangunkan sebuah pasukan mantap akhirnya membolehkan mereka layak ke Piala Dunia sebanyak lima kali berturut-turut.


"Pasukan Asia harus mengikuti jejak langkah Jepun yang telah banyak berubah...bukan sahaja memenangi Piala Asia tetapi selepas mengharungi perjalanan yang jauh, maka pada 1998 Jepun buat pertama kali layak ke Piala Dunia," katanya.

Legenda berusia 62 tahun itu berkata pada sidang media, yang turut disertai oleh seorang lagi legenda kelab Britain itu, Ledley King, sempena Jelajah Malaysia-Legenda Tottenham Hotspur semalam.


Jelajah itu ditaja oleh Kumpulan American International Assurance (AIA) selepas menandatangi perjanjian tajaan jenama dengan Spurs sehingga musim Liga Perdana Inggeris (EPL) 2018/2019.


Peminat kelab EPL itu berpeluang bertemu kedua-dua legenda kelab itu sehingga esok.

Mereka juga akan mengendalikan Program Latihan Junior bersama Kelab Bola Sepak Brickfields.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AIA Bhd, Thomas Wong berkata syarikat itu menggunakan sukan sebagai platform untuk menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan pelanggannya dan juga masyarakat. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/05

Jangan mimpi!

Posted: 04 Sep 2014 11:22 AM PDT

England, Manchester: Radamel Falcao tidak diberi sebarang jaminan untuk beraksi di dalam kesebelasan utama di Manchester United, jelas penyerang Robin van Persie.

Pemain antarabangsa Colombia berusia 28 tahun itu menyertai United secara pinjaman pada hari terakhir pasaran perpindahan pemain, Isnin lalu.


"Saya mengalu-alukan kedatangannya, dia mampu menjadikan kami lebih baik.

"Bermain di kelab terbaik dunia menyebabkan anda perlu memberikan yang terbaik, sama seperti pendekatan yang saya amalkan. Falcao perlu bersaing untuk mendapat tempat, begitu juga saya," kata van Persie.


Falcao menjaringkan 11 gol dalam 20 penampilan di Liga Perancis dengan pasukan Monaco musim lepas, sebelum mengalami kecederaan lutut Januari lalu sekali gus terlepas aksi Piala Dunia 2014 Brazil.


Terdapat spekulasi mengatakan bahawa dia di bawa masuk untuk menggantikan van Persie, 31, yang dikatakan mahu menjalani pembedahan lutut.

"Saya sangat kagum melihat peminat mempunyai imaginasi seperti itu.


"Saya tidak tahu daripada mana perkara itu tercetus dan bersumpah tidak akan ke hospital untuk menjalani pembedahan," kata pemain antarabangsa Belanda itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/05

Wilmots bimbang kecederaan Kompany

Posted: 04 Sep 2014 11:21 AM PDT

Brussels: Pengurus Belgium, Marc Wilmots berdepan kebimbangan terhadap kecederaan kapten Manchester City, Vincent Kompany.

Pertahanan tengah berkenaan mengalami masalah paha ketika latihan bersama skuad kebangsaan Selasa lalu namun selepas melakukan ujian imbasan, dia disahkan cergas untuk menjalani latihan dengan peluang untuk beraksi dalam aksi persahabatan menentang Australia hari ini masih terbuka.


"Berita baik untuk Vincent Kompany, dia akan turun menjalani latihan ringan hari ini dan kami akan lihat sama ada dia mampu beraksi. Kami tidak akan mengambil sebarang risiko," menurut Wilmots akaun Twitter.

Wilmots kemudiannya mengumumkan kesebelasan utama Belgium pada pertemuan menentang Australia menerusi Twitter dengan Kompany atau Laurent Ciman akan diturunkan.


Mendedahkannya kesebelasan utamanya semalam, Wilmots mendedahkan anak buahnya yang mungkin diturunkan ialah Ciman atau Kompany, Alderweireld, Lombaerts, Vertonghen, Witsel, Defour, De Bruyne, Mertens, Origi dan Mirallas.


Berita berkenaan memberikan kelegaan kepada pengurus City, Manuel Pellegrini dengan skuad kendaliannya berdepan tempoh lapan hari yang mencabar selepas rehat perlawanan antarabangsa berkenaan.

Selepas kekalahan 0-1 kepada Stoke di laman sendiri, mereka akan berdepan Arsenal di Liga Perdana disusuli Bayern Munich di Liga Juara-Juara, kemudian kembali ke kancah domestik menentang Chelsea dan tanpa Kompany, Pellegrini akan mempunyai kesukaran untuk membuat keputusan mengenai penggantinya.


Pemain baru City, Eliaquim Mangala yang dibeli dengan harga £32 juta (RM167.2 juta) masih belum disenaraikan dalam 18 pemain akhir untuk mana-mana perlawanan sejak meninggalkan Porto pada pertengahan Ogos manakala pemain yang menjadi pilihan kedua musim lalu, Matija Nastasic masih belum berada dalam skuad sejak beraksi 90 minit ketika tewas kepada Arsenal di Piala Perisai Komuniti. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/05

Kejutan Nishikori

Posted: 04 Sep 2014 11:04 AM PDT

New York: Serena Williams dan Ekaterina Makarova melangkah ke separuh akhir Terbuka AS manakala pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic serta bintang Jepun Kei Nishikori dipaksa bekerja keras sebelum turut menempah tiket ke kelompok empat pemain terakhir kejohanan.

Selepas mencatat rekod aksi paling panjang di pusingan keempat kejohanan dengan mengambil masa empat jam 19 minit ketika menundukkan pemain Kanada Milos Raonic, Nishikori masih mampu berdepan pilihan ketiga Stan Wawrinka untuk menang 3-6 7-5 7-6 (7) 6-7 (5) 6-4 dalam tempoh empat jam 15 minit, sekali gus muncul pemain Jepun pertama layak ke peringkat separuh akhir grand slam dalam 81 tahun.


Dalam usahanya untuk layak ke final di Flushing Meadows buat kali kelima berturut-turut, Djokovic tidak perlu bermain dalam lima set ketika mengenepikan Andy Murray 7-6 (1) 6-7 (1) 6-2 6-4, tetapi bintang Serbia itu masih dipaksa bekerja keras.

Ketika Murray dan Djokovic menghabiskan masa selama 73 minit di set pembukaan, Serena pula hanya memerlukan 63 minit untuk mengatasi pemain Itali Flavia Pennetta 6-3 6-2, sekali gus muncul pemain tertua pada usia 32 tahun yang beraksi di separuh akhir di Flushing Meadows sejak Martina Navratilova melakukannya pada 1991.


Pemain kidal dari Russia, Ekaterina akan bertemu Serena untuk menentukan tempat ke final dan ia menghulur peluang untuknya mencatat sesuatu lebih bermakna selepas sebelum ini mengenepikan naib juara Terbuka AS dua tahun lalu, Victoria Azarenka 6-4 6-2 dalam tempoh 87 minit.


Ketika banyak yang diperkatakan sepanjang perlawanan kelmarin, aksi Murray dan Djokovic - perlawanan yang disifatkan ulangan final 2012 - menjadi tumpuan ramai.

Foto

NISHIKORI tewaskan Stan Wawrinka untuk layak ke separuh akhir.

Kedua-dua pemain itu terkenal dengan corak permainan rali panjang hinggalah Murray dilihat bergelut pada hujung permainan.


Tetapi tidak dapat dinafikan, Murray mempamer aksi paling membanggakan sejak menjalani pembedahan belakang 11 bulan lalu, sekali gus menghadirkan resah di hati Djokovic.

"Saya rasa kami banyak menggunakan tenaga sepanjang dua jam pertama," kata Djokovic. "Saya gembira dapat layak ke satu lagi separuh akhir.


"Kami masing-masing memberikan aksi terbaik. Ada masanya, kami melakukan beberapa kesilapan terutamanya di dua set pertama.


"Saya sedar dia akan bermati-matian dan hanya pemain yang kurang membuat kesilapan akan muncul pemenang. Saya gembira kerana berjaya mengekalkan tahap kecergasan hingga akhir permainan." Di separuh akhir, Djokovic akan menentang Nishikori - pemain yang dilabel sebagai paling bertenaga selepas mengharungi lapan jam 34 minit sepanjang dua aksi terakhirnya.


Nishikori tiba di Stadium Arthur Ashe dengan wajah segar serta ceria walaupun beraksi panjang pada malam sebelumnya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/05

Argentina lunas dendam

Posted: 04 Sep 2014 10:45 AM PDT

Dusseldorf, Jerman: Argentina memusnahkan kegembiraan juara dunia Jerman apabila menang 4-2 pada perlawanan persahabatan di Duesseldorf semalam aksi ulangan final Piala Dunia.

Bintang baru Manchester United yang memecahkan rekod pembelian pemain di British, Angel Di Maria menjaringkan satu gol dan menjadi watak penting kepada jaringan Sergio Aguero, Erik Lamela dan Federico Fernandez sekali gus membantu Argentina memenangi perlawanan pertama mereka sejak tewas kepada Jerman di Brazil.


Andre Schuerrle dan Mario Goetze meledak dua gol untuk Jerman tetapi mereka gagal bangkit selepas Argentina mempamer aksi kemas pada perlawanan pertama di bawah bimbingan Gerardo Martino.

Martino yang mengisi kekosongan ditinggalkan Alejandro Sabella yang enggan memperbaharui kontrak selepas berakhir Piala Dunia berkata, anak buahnya tidak perlu terlalu meraikan kemenangan itu.


"Mereka tidak dibarisi ramai pemain utama dan tiga pemain sudah bersara," jelas Martino yang meletak jawatan selaku jurulatih Barcelona hanya dalam tempoh semusim selepas gagal meraih sebarang trofi musim lalu.


"Bukan mudah untuk membentuk pasukan baru. Di Maria tetap konsisten seperti ketika beraksi di Piala Dunia," katanya.

Foto

DI Maria (kiri) jaring satu gol dan menjadi perancang tiga gol lagi.

Rakan setugas Martino di Jerman, Joachim Loew menafikan dakwaan Argentina berjaya membalas dendam selepas kekalahan di final Piala Dunia.


"Ia bukan membalas dendam. Anda tidak boleh mengulangi aksi final. Saya menyalahkan pasukan dan ada pemain yang di bawah prestasi sebenar," katanya.

Hanya empat pemain yang berada dalam kesebelasan utama Piala Dunia beraksi dengan Manuel Neuer mengambil tugas kapten berikutan kecederaan dihadapi oleh rakan sepasukannya di Bayern Munich Bastian Schweinsteiger.


Argentina hanya melakukan empat pertukaran pemain sejak kedua-dua pasukan bertemu dengan Javier Mascherano menggalas tugas selaku kapten selepas ketiadaan bintang Barcelona Lionel Messi.


Argentina mempamerkan persembahan cemerlang apabila memperoleh gol pembukaan selepas 20 minit permainan.


Di Maria meledak gol awal itu tetapi Toni Kroos dan Gomez melakukan cubaan yang berjaya dinafikan penjaga gol Argentina Sergio Romero.


Argentina sentiasa dilihat berbahaya ketika melakukan serangan balas.


Lima minit sebelum tamat separuh masa pertama, Di Maria yang juga bekas pemain Real Madrid itu melorongkan bola cantik kepada Lamela untuk gol keempat. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/05

Rooney atasi rekod Owen

Posted: 04 Sep 2014 10:44 AM PDT

London: Wayne Rooney curi tumpuan pada penampilan pertamanya sebagai kapten dengan menjaringkan gol kemenangan untuk England menewaskan Norway 1-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Wembley yang hanya dipenuhi separuh penonton, semalam.

Penyerang Manchester United itu meledak gol pada minit ke-68 menerusi sepakan penalti ketika Raheem Sterling mempersembahkan aksi memukau bagi membolehkan England mencatat kemenangan pertama sejak tersingkir daripada saingan peringkat kumpulan Piala Dunia.


Ia gol ke-41 untuk skuad kebangsaan sekali gus memintas rekod Michael Owen selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman selain menamatkan rentetan lima perlawanan tanpa kemenangan Three Lions menjelang perlawanan pembukaan kelayakan Euro 2016 di Switzerland.

Pengurus England Roy Hodgson turut memberi peluang kepada pemain tengah Aston Villa Fabian Delph membuat penampilan pertama bersama pertahanan Arsenal Calum Chambers di mana rakan sepasukan barunya Danny Welbeck turut beraksi sebagai pemain gantian pada babak kedua.


Namun, dalam perlawanan yang hanya disaksikan oleh 40,181 penonton - rekod paling sedikit dalam tempoh tujuh tahun di stadium Wembley - Hodgson nyata tidak berpuas hati dengan persembahan pasukan selepas hanya membuat dua percubaan tepat ke pintu gol lawan.


"Kami beraksi dengan baik pada babak pertama namun pada 15 minit pertama separuh masa kedua, kami beraksi buruk sehingga memaksa Joe Hart menyelamatkan beberapa percubaan," kata Hodgson.

"Namun kami bernasib baik apabila berjaya memperkemaskan permainan dengan Danny Welbeck dan Fabian Delph beraksi di tahap terbaik. Kemenangan ini cukup berharga." Sterling melakukan gerakan solo dari jarak 40 ela untuk membuka peluang ntuk rakan sepasukannya di Liverpool Daniel Sturridge yang hanya melambungkan bola melepasi palang. Pemain muda itu juga turut membuat umpanan kepada Sturridge dan Leighton Baines namun percubaan itu berjaya dihalang.


"Kami bermain seperti dirancang pada babak pertama," kata jurulatih Norway Per-Mathias Hogmo yang mempersiapkan pasukannya sebelum melayan kunjungan Itali pada perlawanan pertama kelayakan Euro 2016 pada Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/05

Zulfahmi terancam?

Posted: 04 Sep 2014 10:43 AM PDT

Kuala Lumpur: Pelumba Moto3 negara Zulfahmi Khairuddin hanya akan mengetahui mengenai masa depannya dalam Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) bulan depan.

Karier Zulfahmi dilihat agak terancam selepas gagal mencatatkan keputusan memberangsangkan selepas 12 pusingan bersama pasukan Ongetta-AirAsia.


Justeru itu, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali berkata, perancangan masa depan Zulfahmi hanya akan didedahkan pada bulan depan.

"Sudah tentu saya kurang senang dengan prestasinya pada musim ini tapi kami faham dia sudah melakukan yang terbaik.


"Apa yang boleh saya katakan ialah, dia masih dalam perancangan kami. Tapi biarlah ia tidak didedahkan sekarang," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang pada 24 hingga 26 Oktober depan, semalam.


Ditanya adakah Zulfahmi akan kekal beraksi di Moto3 musim depan atau beralih angin ke Moto2, Razlan mem beri bayangan pelumba kelahiran Banting, Selangor itu akan terus beraksi di Moto3.

"Setakat ini, dia adalah pelumba terbaik kita di Moto3, jadi daripada kenyataan saya ini, harap anda faham apa yang saya maksudkan," katanya.


Sementara itu, Razlan mengumumkan pelumba yang sedang beraksi di Kejuaraan CEV Repsol Sepanyol, Muhammad Hafiza Rofa akan beraksi di Sepang menerusi tiket wild card.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/05

Syaffique, Hafiz 'tawan' Sunway Mega Lanes

Posted: 04 Sep 2014 10:42 AM PDT

Petaling Jaya: Bulan Ogos pasti satu pengalaman indah buat pemain bowling kidal meraikan Hari Kidal Sedunia dengan menyertai Karnival Boling Kidal 2014 di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid, baru-baru ini.

Program itu kali ketujuh dianjurkan dan dipopularkan oleh Kelab Sukan SportsUnite serta disokong oleh MILO, Majlis Sukan Negara (MSN), Revive dan Sunway Mega Lanes.


Sepuluh pasangan terbaik membawa pulang wang tunai dan barangan penaja. Juara menerima RM2,500 manakala naib juara RM1,500, ketiga (RM1,000), keempat (RM700) dan kelima (RM400). Tempat keenam hingga ke-10 masing-masing menerima RM200.

Pada edisi terbaru itu, juara menjadi milik gandingan Syaffique Ikhwan-Mohd Hafiz Zainuddin dengan 1,854 jatuhan pin mengatasi gandingan Dzulkifly Abd Rahman-Abu Sufian Musa yang mengumpul 1,777 jatuhan pin. Tempat ketiga milik Ahmad Faizol Hamdan-Asman Mat Zain dengan 1,773 jatuhan pin.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/05

No comments:

Post a Comment