Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Kapal mewah sorok raifal

Posted: 20 Sep 2014 09:49 AM PDT

Alor Setar: Polis menahan sepasang kekasih warga asing selain merampas tujuh laras raifal jenis Benelli Argo buatan Itali dan ratusan peluru pelbagai jenis selepas menyerbu sebuah kapal mewah di Jeti Kuah, Langkawi di sini, Khamis lalu.

Dalam serbuan jam 12.30 tengah hari, sepasukan anggota dan pegawai polis Bukit Aman serta Pasukan Polis Marin (PPM) menyerbu kapal mewah berkenaan selepas menerima maklumat suspek memiliki senjata api.

Suspek lelaki yang juga warga Afrika Selatan berusia 43 tahun manakala wanita warga Thailand berusia 30-an dikatakan berada di Malaysia sejak beberapa minggu lalu dan melabuhkan kapal mewah itu di jeti pulau berkenaan untuk melancong.
Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata, pemeriksaan menemui raifal serta peluru disimpan di bahagian enjin kapal berkenaan.

Foto

AHMAD (tengah) menunjukan tujuh laras raifal berserta peluru yang dirampas.

Foto

GANJA yang dirampas polis di Sungai Petani.

"Kami juga mendapati, pemilik kapal mewah berkenaan yang juga warga Afrika Selatan itu tidak memiliki dokumen pengesahan untuk menyimpan senjata api berkenaan.

"Siasatan awal mendapati suspek menjadikan kapal mewah miliknya sebagai tempat menyimpan senjata api dan peluru oleh pemilik kapal lain yang berlabuh di situ," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Kawad Senjata Piala Ketua Polis Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, semalam.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman seminggu bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 7 (1) Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang enam kali jika sabit kesalahan.

Kes juga disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak lebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

"Kami juga masih menyiasat sama ada kedua-dua suspek anggota kumpulan jenayah atau sebaliknya. Siasatan awal mendapati senjata api terbabit diperoleh dari negara lain untuk tujuan tertentu," katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Kedah menahan dua lelaki warga tempatan selepas disyaki mengedar dadah jenis ganja, heroin dan syabu seberat 15 kilogram (kg) membabitkan nilai kira-kira RM150,000 dalam serbuan di tempat letak kenderaan di sebuah pusat beli belah di pekan Sungai Petani, Khamis lalu.

Dalam serbuan jam 8.45 malam, kedua-dua suspek yang bekerja sebagai pemandu kren dan pemandu teksi berusia 40 serta 38 tahun, ditahan di dalam sebuah Proton Iswara dipercayai sedang mengedar dadah terbabit.

"Kami menahan kedua-dua suspek yang berasal dari Pulau Pinang ketika mereka sedang dalam proses menjual dadah di situ.

"Seorang daripada suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah. Kedua-duanya kini direman untuk siasatan lanjut. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Pada majlis itu, pasukan kawad Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dinobatkan sebagai juara, IPK Kedah di tempat kedua dan IPD Kulim di tempat ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/21

LINUS2.0 latih murid mahir Bahasa Inggeris

Posted: 20 Sep 2014 09:16 AM PDT

Putrajaya: Kepentingan menguasai Bahasa Inggeris dalam usaha melahirkan modal insan berkualiti tinggi yang direalisasikan dengan perluasan program LINUS2.0 untuk merangkumi skop literasi dalam Bahasa Inggeris menunjukkan peningkatan memberangsangkan sejak diperkenalkan tahun lalu.

Timbalan Pengarah (Kemanusiaan) Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Shamsuri Sujak berkata, LINUS adalah akronim untuk 'Literacy and Numeracy Screening'.

LINUS2.0 terkandung dalam anjakan kedua Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013–2025 iaitu memastikan setiap murid bukan saja menguasai Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, malah turut menggalakkan mempelajari bahasa tambahan.

"LINUS2.0 bertujuan memberi sokongan tambahan bagi membolehkan murid yang mempunyai masalah penguasaan asas Literasi Bahasa Inggeris untuk menguasainya.

"Oleh itu, setiap murid tahun satu hingga tiga kecuali murid berkeperluan khas disaring dua kali setahun pada Mac dan April serta September dan Oktober.

"Saringan ini bagi memastikan kemajuan mereka dalam Literasi Bahasa Inggeris dan Literasi Bahasa Malaysia dan numerasi berada pada kadar dijangkakan dengan sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) untuk 100 peratus murid menguasainya pada akhir tahun tiga," katanya.

Menurut Shamsuri yang juga Pengurus Program LINUS2.0, murid yang belum menguasai akan mengikuti kelas pemulihan sehingga mereka dapat mengikuti kurikulum aliran perdana.

"Guru yang mengajar murid ini akan menerima bimbingan khusus daripada pembimbing guru (FasiLINUS) peringkat daerah.

"KPM melantik 327 orang FasiLINUS literasi Bahasa Inggeris yang ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) di samping 327 FasiLINUS Literasi Bahasa Melayu dan 327 lagi FasiLINUS Numerasi.

"Setiap FasiLINUS Bahasa Inggeris dipertanggungjawab membimbing guru Bahasa Inggeris di 30 sekolah dalam daerah masing-masing," katanya.

Katanya, KPM yakin dengan kerjasama, komitmen serta usaha gigih semua pihak terutama guru, murid, kepemimpinan sekolah dan ibu bapa, matlamat LINUS2.0 akan tercapai.

"Berdasarkan pencapaian KPI Literasi Bahasa Inggeris tahun lalu, pencapaian garis asas (base line) 50.1 dalam Mac 2013, melonjak kepada 63.3 peratus pada saringan kedua pada September 2013.

"Ia membabitkan peningkatan 13.2 peratus selepas melalui Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) pemulihan dalam tempoh lima hingga enam bulan," katanya.

Selain itu, kerajaan juga tidak meminggirkan pelajar tingkatan satu dan dua dengan memperkenalkan Program Penguasaan Lisan Bahasa Inggeris Sekolah Menengah (OPS-English) berdasarkan anjakan kedua PPPM 2013–2025.

Menjelas lanjut program itu, Ketua Jabatan Pedagogi Pusat Pembelajaran Bahasa Inggeris KPM, Audrey Lim Bee Yoke berkata, OPS-English ELTC dibangunkan selepas KPM melihat isu kurang kemahiran komunikasi antara pelajar sekolah menengah.

"Pusat Pembelajaran Bahasa Inggeris (ELTC) diberi kepercayaan menggalas tugas membangunkan program kemahiran lisan untuk menyelesaikan isu ini.

"Justeru, program OPS-English diilhamkan pada November 2011 dengan objektif utamanya membangun kemahiran komunikasi pelajar dan membina keyakinan bertutur dalam Bahasa Inggeris," katanya.

Menurutnya, Program OPS-English adalah berlandaskan kurikulum bahasa Inggeris sedia ada dan lebih penekanan diberikan kepada kemahiran mendengar dan bertutur.

"Dengan cara ini, pelajar berpeluang membabitkan diri dengan keseronokan penggunaan bahasa.

"Mereka juga akan berpeluang melibatkan diri dalam kerja berpasukan dan seterusnya mampu membentangkan hasil yang difahami di dalam kelas," katanya.

Katanya, guru berperanan sebagai 'role model' yang kreatif apabila gaya bahasanya akan ditiru dalam perbincangan pelajar melalui pelbagai teknik.

"Guru akan mengaktifkan, mendorong dan membabitkan pelajar dalam pelbagai aktiviti bahasa Inggeris yang menyeronokkan untuk membantu pelajar membangunkan kemahiran mendengar dan pertuturan mereka.

"Bahan pembelajaran merangkumi buku panduan pelajar dan bahan audio-video untuk membantu pelajar menguasai perbendaharaan kata dan berkeupayaan membina ayat serta bertutur dalam bahasa Inggeris," katanya.

Pada 2012, projek rintis (pilot project) OPS-English dilaksanakan di 20 sekolah seluruh Malaysia dan sehingga kini sebanyak 1,063 sekolah menyertai program ini.

Dari segi pecahan data dalam perancangan program, seramai 56,000 pelajar daripada 216 sekolah sudah menyertai OPS-English pada 2013 membabitkan 648 guru serta 36 jurulatih pembimbing.

Pada tahun ini, jumlah itu terus meningkat kepada 260,500 tahun ini dengan 2,481 guru dan 180 pembimbing malah tahun depan dijangka mengalami peningkatan sebanyak 341,000 pelajar 180 pembimbing dan 2,046 guru.

Foto

SETIAP murid tahun satu hingga tiga disaring dua kali setahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/21

Tipu bermodal ikan bilis

Posted: 20 Sep 2014 09:12 AM PDT

Seremban: Tiga suri rumah bukan saja kerugian lebih RM10,000 akibat diperdaya tiga individu yang mendakwa ejen kilang memproses ikan bilis, malah turut dibawa kumpulan terbabit lebih 60 kilometer sebelum ditinggalkan di sebuah hospital swasta, di sini, kelmarin.

Tiga wanita dari Rumah Awam Sri Pengkalan, Alor Gajah, Melaka, kehilangan wang tunai dan barangan berharga ditinggalkan di dalam kereta selepas dibawa dua wanita dan seorang lelaki ke hospital itu kononnya untuk mendapatkan suntikan dan imbasan X-ray.

Menceritakan kejadian itu, mangsa, Harlina Hashim, 47, berkata, dia dan dua jirannya didatangi seorang wanita berusia 50-an, kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin menawarkan pekerjaan memproses ikan bilis di rumah dengan bayaran RM10 bagi sekilogram (kg).

"Saya pernah melakukan kerja itu dengan bayaran RM1 satu kg, 15 tahun lalu. Apabila mendengar tawaran wanita itu, saya tidak berfikir panjang dan bersetuju.

Foto

SEORANG daripada mangsa Surayah Sharif menunjukkan laporan polis yang dibuat.


"Dua jiran saya, Norihan Hamid, 45, dan Surayah Sharif, 39, juga bersetuju. Wanita terbabit kemudian memberitahu akan datang semula untuk menghantar tiga kg ikan bilis kepada kami," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, malam kelmarin.


Menurutnya, wanita terbabit bersama seorang lagi wanita dan lelaki berusia lingkungan 20-an datang semula ke rumah mereka dan mengajak ke hospital untuk mendapatkan suntikan dan x-ray.

"Saya hairan dan bertanya tujuan suntikan dan imbasan itu kerana sebelum ini saya tidak pula disuruh berbuat demikian. Mereka mendakwa ia prosedur ditetapkan syarikatnya.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/21

Lori sampah gilis remaja

Posted: 20 Sep 2014 09:10 AM PDT

Shah Alam: Seorang pelajar yang dalam perjalanan ke rumah rakannya maut selepas digilis lori sampah yang kemudian melarikan diri dari lokasi kejadian di Jalan Kampung Jawa, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa, SK Rubenraaj, 15, menunggang motosikal Modenas Kris hitam dari arah Taman Sentosa menghala ke Kampung Jawa maut serta-merta di tempat kejadian selepas parah di kepala.

Difahamkan, mangsa dari rumahnya di Taman Sentosa, di sini, dalam perjalanan ke rumah rakannya di Kampung Jawa tidak memakai topi keledar, malah mangsa juga tidak mempunyai lesen memandu.

Ketua Trafik/Bahagian Ketenteraman Awam Klang Selatan Deputi Superintendan Rosly Abdul Rahman berkata, ketika tiba di lokasi kejadian motosikal mangsa bergesel dengan lori sampah dari arah sama.

"Akibatnya mangsa terjatuh sebelum digilis lori berkenaan di tayar belakang sebelah kiri dan pemandu lori berkenaan juga tidak memberhentikan kenderaannya.

"Mangsa maut di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan hasil dari bedah siasat yang dijalankan mendapati mangsa parah di kepala," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Rosly, siasatan awal mendapati mangsa tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal di jalan berkenaan selain tidak mempunyai lesen memandu.

Malah, motosikal yang ditunggangi juga bukan milik mangsa.

"Saksi di tempat kejadian memberi kerjasama dengan memberi maklumat berhubung kejadian dan pihak kita sudah mendapat nombor pendaftaran lori sampah yang terbabit dalam kemalangan ini.

"Kita akan mengesan pemilik kenderaan berkenaan dengan bantuan Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ) sekiranya pemilik kenderaan berkenaan masih tidak membuat laporan polis," katanya.

Foto

POLIS menyiasat di lokasi kejadian sementara menunggu ketibaan ambulans.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/21

Adegan berahi dalam bas

Posted: 20 Sep 2014 09:08 AM PDT

Kuantan: Seorang pemandu bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur terpaksa memberhentikan kenderaannya selepas terkejut melihat aksi sepasang kekasih sedang melakukan seks oral dalam bas itu, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam itu, pemandu berusia 39 tahun menyaksikan adegan itu menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dalam kenderaan berkenaan.

Sumber polis berkata, pemandu bas itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Cherating sebelum pihaknya menahan pasangan kekasih itu dan meneliti rakaman CCTV itu untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, rakaman selama tujuh minit menunjukkan bahawa remaja berusia 20 tahun yang juga pelajar jurusan perakaunan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Terengganu sedang melakukan seks oral terhadap pasangannya yang juga berusia 20 tahun.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/21

No comments:

Post a Comment