Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Daren cipta kejutan di Indonesia

Posted: 11 Sep 2014 10:36 AM PDT

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan negara, Liew Daren, beregu lelaki dan campuran melakukan kejutan di Kejohanan Indonesia Masters 2014 semalam apabila menumpaskan pemain pilihan untuk mara ke suku akhir.

Daren yang diletakkan sebagai pilihan kesembilan seakan-akan mahu membuktikan kegagalan terpilih ke Sukan Asia 2014 Incheon langsung tidak merentap semangatnya apabila mengalahkan pilihan utama dan juga pemain tuan rumah, Dionysius Hayom Rumbaka 22-20, 21-14.


Menantinya di suku akhir pilihan keenam dari India, B Sai Praneeth yang sebelum itu mengalahkan rakan senegara, Ajay Jayaram 21-16, 14-21, 23-21.

"Bukan satu kejutan dapat mengalahkan Rumbaka kerana kali terakhir kami bertemu di Terbuka Hong Kong 2012, saya juga menang," katanya.


Jelas pemain nombor 67 dunia itu, pertembungan dengan Praneeth hari ini bukan mudah, tetapi dia cuba mem berikan yang terbaik.


Pasangan beregu campuran negara, Ong Jian Guo-Lee Meng Yean pula mengalahkan pilihan ketiga Irfan Fadhilah-Weni Anggraini.

Foto

Liew Daren

Jian Guo-Meng Yean yang baru digandingkan tidak sampai setahun mengambil masa 31 minit untuk mencatat kemenangan 21-11, 21-16.


Menanti mereka di suku akhir pasangan tuan rumah, Afiat Yuris Wirawan-Komala Dewi yang sebelum itu mengalahkan rakan senegara, Rafiddias Akhdan Nugroho-Ulfa Zakia 21-14, 21-18.

Menurut Meng Yean, dia puas hati dengan prestasinya semalam terutama selepas mara ke suku akhir kedua-dua acara beregu campuran dan wanita.


"Saya hanya menikmati perlawanan ini sebaik mungkin tanpa sebarang tekanan, tapi dalam beregu campuran saya sedikit terkejut kerana kami mengalahkan pilihan ketiga," kata pemain berusia 20 tahun itu.


Dalam aksi beregu wanita, Meng Yean yang bergandingan dengan Chow Mei Kuan menumpaskan pasangan tuan rumah, Mahadewi Istirani Ni Ketut-Melvira Oklamona 21-15, 21-19.


Beregu lelaki, Chooi Kah Ming-Teo Kok Siang juga me lakukan kejutan selepas mengalahkan pilihan keempat dari Russia, Nikita Khakimov-Vasily Kuznetsov 21-17, 21-16.


Mereka akan bertemu wakil tuan rumah yang juga pilihan kelima Selvanus Geh-Kevin Sanjaya Sukamuljo di suku akhir hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/12

Azam 2 gergasi

Posted: 11 Sep 2014 10:27 AM PDT

London: Arsenal dan Manchester City bertemu di Stadium Emirates esok dengan kedua-dua pasukan akan bersaing memburu kejayaan selepas permulaan hambar dalam kempen Liga Perdana Inggeris musim ini.

Kira-kira sebulan selepas menewaskan City, 3-0 pada saingan Perisai Komuniti di Wembley, Arsenal yang berada di kedudukan ketujuh liga gagal untuk terus memberikan cabaran apabila mencatatkan keputusan seri dalam dua perlawanan terakhir liga selain kehilangan penyerang Perancis, Olivier Giroud kerana kecederaan.


Kekurangan penyerang tidak boleh dijadikan alasan susulan permulaan tidak konsisten City dengan pengurus Manuel Pellegrini berkata, mereka sebenarnya gagal berfikir secara kreatif apabila tewas mengejut 0-1 di laman sendiri kepada Stoke City pada pertemuan terakhir sebelum liga berehat.

Bagi mengurangkan tekanan terhadap barisan serangan, Arsenal mendapatkan Danny Welbeck pada hari terakhir jendela perpindahan pemain dan bekas penyerang Manchester United itu yakin gaya permainannya sesuai di Emirates.


"Sebelum ini saya pernah membayangkan bermain dalam pasukan ini. Akhirnya ia menjadi realiti dan sangat mengujakan," kata Welbeck yang meledak dua jaringan bersama England pada perlawanan pembukaan kelayakan Euro 2016 menewaskan Switzerland, Isnin lalu.


"Di Arsenal, kami tidak kekurangan kombinasi hantaran bola dan saya tidak sabar untuk turut terbabit, berada di belakang pertahanan serta cuba melakukan rembatan ke gawang lawan. Saya mahu menjaringkan lebih banyak gol dan membantu pasukan meraih keputusan bagus." Selain Giroud, pemain tengah Aaron Ramsey yang meledak dua gol dalam tiga perlawanan Liga Perdana bersama Arsenal musim ini, bakal terlepas pertemuan esok selepas terseliuh pergelangan buku lali ketika kemenangan 2-1 Wales mengatasi Andorra, Selasa lalu.

Juara bertahan City yang sangat berbahaya di depan gawang lawan musim lalu, bertandang ke utara London tanpa bantuan penyerang Sepanyol, Alvaro Negredo yang menyertai Valencia manakala penyerang mereka yang berada pada prestasi terbaik Stevan Jovetic bergelut dengan kecederaan hamstring.


"Ia sukar namun saya optimis," kata penyerang Bosnia, Edin Dzeko yang mungkin mengetuai jentera serangan City menentang Arsenal. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/12

Fabianski tak gentar sengat Chelsea

Posted: 11 Sep 2014 10:27 AM PDT

London: Menjelang pertemuan dengan Chelsea esok, penjaga gol Swansea Lukasz Fabianski memberitahu rakan sepasukannya supaya mempamerkan semangat sama seperti yang dizahirkan di Old Trafford sebelum ini.

Gawang Fabianski masih belum bolos sepanjang dua perlawanan awal Liga Perdana Inggeris dan dia menjadi taruhan terbaik Swansea ketika menentang Blues. Kedua-dua pasukan belum tewas setakat ini.


Fabianski merasakan Swansea yang bertandang ke Stamford Bridge perlu yakin mereka mampu mengulangi kemenangan sama seperti hari pertama liga di Manchester United.

"Ia adalah perlawanan besar yang perlu dinikmati, bukannya ditakuti," kata pemain Poland itu.


"Beraksi di tempat lawan sentiasa sukar, namun kami tidak boleh takut.


"Kami ke Old Trafford dan menang perlawanan pertama musim ini dan kami mampu bersaing dengan pasukan terbaik. Jika kami mengekalkan disiplin dan memanfaatkan peluang seperti sebelum ini, tiada yang mustahil." Fabianski antara 11 pemain Swansea yang terbabit dalam perlawanan antarabangsa sepanjang minggu lalu, namun kini tidak sabar untuk kembali ke saingan domestik dengan skuad kendalian Garry Monk mahu melakar kejutan mengatasi anak buah Jose Mourinho.

"Amat merugikan apabila liga berehat ketika kami sudah bermula dengan baik dengan mencatatkan kemenangan dalam semua tiga perlawanan," kata pemain berusia 29 tahun itu.


"Hingga kini kami gembira dengan bahagian pertahanan. Saya bekerjasama rapat dengan Ashley Williams dan kami sudah membina persefahaman yang mantap.

"Kami tahu apa yang perlu dijangkakan antara satu sama lain dan tidak memberikan lawan terlalu banyak peluang," - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/12

Suarez boleh 'gigit' Real

Posted: 11 Sep 2014 10:25 AM PDT

Barcelona: Penyerang Barcelona, Luis Suarez dijangka membuat penampilan pertama liga menentang Real Madrid pada 25 Oktober ini.

Perlawanan itu berlangsung sehari selepas bintang antarabangsa Uruguay itu bebas daripada hukuman penggantungan empat bulan kerana menggigit Giorgio Chiellini di Piala Dunia.


Liga Profesional Sepanyol (LFP) mengesahkan tarikh pertembungan El Clasico itu semalam.

Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) turut memaklumkan kepada Barcelona, Suarez, 27, yang dibeli pada musim panas itu boleh kembali beraksi.


"CAS sudah memaklumkan kepada FC Barcelona penggantungan pemain Uruguay itu akan berakhir pada tengah malam Jumaat 24 Oktober," jelas satu kenyataan yang disiarkan di laman web kelab Catalan itu.


"Ini bermakna, dia boleh beraksi buat kali pertama bersama kelab barunya menentang Real, namun ia bergantung kepada keputusan jurulatih Luis Enrique." Barcelona menawarkan kontrak kepada Suarez dari Liverpool dengan bayaran yang dilapor sejumlah £75 juta (RM388 juta) meskipun kelab Sepanyol itu menyatakan mereka hanya membayar £65 juta (RM336 juta).

Mereka membelinya meskipun dia terpaksa menjalani penggantungan empat bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak dan sembilan perlawanan antarabangsa oleh FIFA atas kesalahan menggigit pertahanan Itali, Chiellini.


Suarez membuat rayuan hukuman kepada CAS, namun hukuman itu dikekalkan, tetapi dia boleh berlatih dengan Barcelona dan bermain dalam perlawanan persahabatan.

Dia kemudian beraksi dalam perlawanan pertama dengan kelab Catalan itu apabila menjadi pemain gantian ketika menang 6-0 dalam aksi persahabatan menentang kelab Mexico, Club Leon pada 18 Ogos lalu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/12

Misi benam Itali

Posted: 11 Sep 2014 10:24 AM PDT

Paris: Roger Federer akan mengetuai Switzerland dalam usaha layak ke final Piala Davis buat kali pertama, tetapi mereka perlu terlebih dulu menentang Itali di Geneva hujung minggu ini dan jika berjaya, dia sudah semakin hampir dengan beberapa kejuaraan yang tidak pernah dimenanginya.

Juara Grand Slam 17 kali itu sudah memenangi semua gelaran utama tenis sepanjang kariernya kecuali emas perseorangan Olimpik dan Piala Davis.


Dengan kehadiran rakan karib yang juga juara Terbuka Australia Stan Wawrinka dalam pasukannya ketika menentang Itali yang boleh dianggap lemah, peluangnya dilihat lebih cerah kali ini.

Andai menewaskan Itali, Switzerland akan melangkah ke final pada 21-23 November menentang sama ada Perancis atau juara bertahan, Republik Czech yang akan bersaing dalam satu lagi separuh akhir di Paris.


Bercakap selepas tewas di tangan Marin Cilic pada separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat hujung minggu lalu, tumpuan Federer kini terarah ke Piala Davis.


"Saya rasa kami adalah pilihan dan memang seronok digelar begitu. Kehadiran 18,000 warga kami di venue pertandingan sesuatu yang istimewa.

"Saya anggap itu sebagai satu catatan rekod apabila ramai penyokong Switzerland hadir menyaksikan perlawanan itu nanti. Saya rasa mereka seronok melihat saya dan Stan bermain tidak kira siapa lawan kami.


"Faktor jarak antara kedua-dua negara yang dekat menambahkan lagi keseronokan perlawanan itu. "Saya memiliki kenangan manis ketika menentang Itali sebelum ini. Ketika itu, saya menduduki ranking ke-99 dunia dan dijadual menentang Davide Sanguinetti." Kali ini, Itali akan menurunkan pemain ranking ke-17, Fabio Fognini serta pemain yang menduduki tangga ke-48, Andreas Seppi, kedua-duanya dijangka tidak mampu menggugat Federer dan Wawrinka.

Tetapi di suku akhir sebelum ini, Switzerland terpaksa bergelut untuk menang ke atas Kazakhstan selepas ketinggalan 2-1.


"Kami berjaya mengatasi Kazakhstan kerana kami tidak panik. Kami akan ingat perlawanan itu kerana ia hampir membawa padah," kata Wawrinka yang dikejutkan Andrey Golubey pada perlawanan itu.


Kekalahan di New York tidak menjejaskan aksi Wawrinka serta Federer dan mereka kini menumpukan sepenuh perhatian kepada cabaran Piala Davis.


Sementara itu, Republik Czech mahu melakar nama sebagai pasukan pertama layak ke final Piala Davis tiga kali berturut-turut dan mereka juga menjuarai dua edisi sebelum ini.


Tomas Berdych kembali diturunkan selepas tidak beraksi di Jepun untuk suku akhir manakala veteran Piala Davis, Radek Stepanek akan dikekalkan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/12

Jazeman teruja 'bakar' litar

Posted: 11 Sep 2014 10:23 AM PDT

Portimao, Portugal: Hanya menunggu masa untuk bertarung dalam Formula Satu (F1).

Begitulah perkataan paling sesuai menggambarkan prospek masa depan pelumba muda, Jazeman Jaafar (gambar) selepas menamatkan sesi penilaian Formula Satu (F1) bersama jentera pasukan F1 Mercedes AMG Petronas di sirkit Antarabangsa Algarve, Portimao, Portugal, semalam.


Pemandu berusia 21 tahun itu melengkapkan ujian sejauh 335 kilometer (km) di litar sepanjang 4.5 km itu bersama kru pasukan yang dinilai pengurus Bruce Jouanny dan Ketua Sukan Permotoran Mercedes Toto Wolff.

Jazeman, seorang daripada dua pemandu selain Nabil Jeffri berada dalam program Pembangunan Bakat Petronas (PTD) sejak 2010, mempamer kematangan mengendali jentera berkuasa tinggi digunakan dalam kalendar perlumbaan kompetitif F1 musim lalu.


Jazeman berkata, ujian penilaian dilalui begitu menakjubkan dan melalui pengalaman baru terutama pemahaman aspek teknikal setiap kali melakukan pusingan bersama jentera Mercedes AMG Petronas di litar terbabit.


"Pasukan kami sangat membantu dan saya banyak belajar memandu kereta itu. Ia sukar kerana semua simulasi perlu dilakukan bersama kereta spesifikasi 2014 dan saya perlu menyesuaikan diri sedikit mengikut kereta sebelum ini dari enjin V6 kepada V8.

Foto

JAZEMAN berjaya menyesuaikan diri untuk memandu jentera F1 V8 Mercedes.

"Beberapa pusingan pertama agak sukar dengan sistem brek 2012 dan menyesuaikan diri semula dengan simulator dilakukan dua tahun lalu. Ujian di Portimao lebih teratur berbanding di litar Silverstone tahun lalu yang hanya menggunakan separuh litar. Kali ini penggunaan lebih banyak tayar termasuk tayar basah. "Banyak juga aspek lain perlu diambil kira termasuk klac yang agak rapuh dan enjin yang sentiasa dipantau memandangkan tidak banyak peralatan ganti untuk kereta ini pada sesi ujian. Sukar bagi saya menggambarkan keseronokan berada dalam kokpit dan kepantasannya memecut dan mengambil selekoh. Inilah jentera impian kemuncak permotoran.


"Saya bukan sekadar mengendalikan kereta F1 yang lebih laju, tapi menjalani ujian bersama pasukan serta kereta pendahulu kejuaraan pemandu dan pengeluar musim ini. "Malah, saya bekerjasama dengan jurutera yang menyediakan jentera untuk Nico Rosberg dan Lewis Hamil ton. Mereka (jurutera) yang berkomunikasi dengan Nico dan Lewis juga bercakap kepada saya dengan nada profesional sama," katanya kini beraksi dalam Siri Kejuaraan Dunia Renault 3.5.

Turut menemani Jazeman pada sesi ujian itu kelayakan bapanya, Datuk Jaafar Abd Hamid dan ibunya, Datin Latifah M Atan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/12

Peluang lepas 'geram'

Posted: 11 Sep 2014 09:51 AM PDT

Rompin: Komuniti Berbasikal Rompin (RCC) menyifatkan penganjuran Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia di Temerloh, 27 September ini, memberi ahlinya peluang melepas gian berbasikal di trek lasak.

Pengerusi Penaja RCC Roshaizat Abdul Kadir berkata, majoriti ahli kelab itu tidak dapat berbuat demikian memandangkan ketiadaan trek jalan lasak di Kuala Rompin.


Beliau berkata, enam ahli RCC sudah mengesahkan penyertaan dalam kategori Metro Open (Jamboree) Harian Metro MTB, manakala ahli lain belum memberi kata putus setakat ini.

"Kami dimaklumkan oleh rakan di Temerloh, trek kejohanan itu amat mencabar membuatkan kami bertambah teruja. Ini kerana bukan selalu dapat beraksi di trek lasak," katanya.


Beliau berkata, latihan harian hanya berkayuh di jalan raya sekitar bandar ini berikutan lokasi trek lasak jauh daripada bandar dan mereka hanya berkesempatan ke lokasi itu pada hujung minggu.


"Sebab itulah dengar saja ada kejohanan MTB di lokasi berdekatan seperti Johor atau Kuantan, kami pasti akan menyertainya kerana selain dapat melepaskan gian, dapat juga mengasah kemahiran.

Foto

PELUMBA RCC bergambar sebelum melakukan kayuhan di Kuala Rompin.

"Untuk Kejohanan Harian Metro MTB, kami jangkakan ramai pelumba bertaraf profesional menyertainya. "Kami tidak meletakkan sasaran podium sebaliknya cukup menamatkan kayuhan serta membaiki kedudukan tahun lalu," katanya.


Roshaizat berkata, wakil RCC menyertai Kejohanan Harian Metro MTB di Hutan Bandar Mutiara Rini, Skudai, Johor tahun lalu dan berhasrat membaiki kedudukan tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/12

Tamat kontrak Hafiz, Azidan?

Posted: 11 Sep 2014 09:38 AM PDT

Kuantan: Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) akan mengambil tindakan terhadap Mohd Hafiz Kamal dan Azidan Sarudin jika mereka didapati melanggar kontrak dengan menggunakan laman sosial untuk menyuarakan masalah gaji dan bonus tertunggak yang dihadapi pemain Tok Gajah.

Pengurus pasukan Datuk Che Nasir Salleh berkata, pengurusan akan meneliti kontrak kedua-dua pemain tengah itu sebelum mengambil sebarang tindakan.


"Jika mereka didapati melanggar kontrak, tindakan sewajarnya akan dikenakan," katanya.

Mengulas tindakan Mohd Hafiz Kamal dan Azidan Sarudin memuat naik status di laman sosial Facebook mengenai masalah gaji dan bonus itu, Che Nasir berkata, pengurusan akan meneliti kontrak yang ditandatangani dua pemain tengah itu.


"Jika mereka didapati melanggar kontrak, tindakan sewajarnya akan dikenakan," katanya. Azidan sebelum ini menulis dalam akaun Facebook miliknya, "No gaji no training (Tiada gaji, tiada latihan).


Menggunakan laman sosial sama, Hafiz pula menulis: "Janji sebelum mula Piala Malaysia, tapi sampai sekarang apapun tiada. Jaga sikit (kebajikan) pemain yang ada." Che Nasir bagaimanapun mengakui salah faham dan masalah teknikal menjadi punca kelewatan bayaran gaji pemain.

Begitupun, katanya masalah itu sudah diselesaikan apabila pembayaran tunggakan itu dijelaskan sepenuhnya, semalam.


Justeru, menurutnya, tidak timbul PBNP gagal menjelaskan bayaran gaji kerana kelewatan itu hanya membabitkan tunggakan sebahagian pemain bagi pembayaran bulan lalu.

"Dalam isu ini, kami berasa kecewa kerana kelewatan pembayaran gaji itu disensasikan kerana biasanya bayaran dibuat sebelum setiap 7 hari bulan.


"Namun, disebabkan berlaku kelewatan, pemain mungkin berasa tertekan hingga mencetuskan isu yang sepatutnya tidak berlaku," katanya.


Mengenai bonus muncul juara Piala FA musim ini, Che Nasir berkata, pengagihan imbuhan diberikan Kerajaan Pahang sebenarnya sudah dibayar dan sepatutnya tidak timbul sebarang isu.


"Bonus yang dikatakan bakal diberi kepada pemain apabila muncul juara Piala FA sebenarnya lebih kepada ihsan Presiden PBNP (Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah).


"Sepatutnya, isu ini tidak perlu diperbesarkan dan saya harap sepanjang tempoh rehat ini, pemain memberi perhatian kepada latihan persediaan bertemu PDRM (Polis Diraja Malaysia)." Semalam, Arena melaporkan gelora skuad Pahang apabila beberapa pemain tonggak sudah tawar hati untuk meneruskan kempen Piala Malaysia serta mengancam meninggalkan pasukan musim depan kerana mendakwa pengurusan gagal melunaskan gaji dan bonus kemenangan Piala FA.


Perkara itu didedahkan sumber dalaman pasukan yang bimbang masalah itu bakal memberi kesan kepada Pahang selaku antara pasukan terbaik liga.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/12

Cari rentak

Posted: 11 Sep 2014 09:36 AM PDT

Kota Bharu: Pemain sayap Kelantan Wan Zack Haikal Wan Noor mengakui sudah bersedia membuat penampilan sulung ketika menentang Kedah pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia, 3 Oktober ini.

Bagaimanapun, Wan Zack Haikal tidak mahu peminat The Red Warriros (TRW) terlalu meletakkan harapan tinggi berikutan masih memerlukan masa untuk mengembalikan prestasi sebenar.


Pemain berusia 23 tahun dari Maran, Pahang itu turut memberitahu walaupun sudah beransur pulih daripada kecederaan lutut kanan yang dialami sejak 10 bulan lalu, dia masih diletakkan di bawah pemantauan pegawai fisioterapi.

Selepas lama tidak beraksi, Wan Zack Haikal tidak menolak kemungkinan sukar untuk memulakan aksi dan mempamer kebolehan sebenarnya, justeru meminta penyokong supaya bersabar.


"Pada saya, kecederaan dialami sudah pulih 80 peratus, namun mengikut penilaian pegawai fisioterapi saya baru pulih 65 peratus.


"Namun begitu, saya tetap bersedia untuk beraksi. Cuma saya perlukan masa untuk mendapat rentak dan kembali berada di prestasi sebenar.

"Bukan senang untuk sampai ke tahap terbaik seperti sebelum ini. Saya cuma mahu peminat tidak kecewa dengan aksi saya nanti," katanya ketika ditemui di sini semalam.


Wan Zack Haikal kembali ke tanah air April lalu selepas menamatkan kontrak dengan kelab Jepun, Ryukyu FC, namun khidmatnya tidak dapat digunakan pasukan dan dia direhatkan kerana kecederaan lutut.

Dalam perkembangan lain, sebagai persiapan menentang Kedah, satu perlawanan persahabatan dengan skuad Piala Presiden akan diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/12

Penyu mampu cipta kejutan

Posted: 11 Sep 2014 09:35 AM PDT

Kuala Terengganu: Atas kertas, Terengganu memang bukan pilihan ke separuh akhir Piala Malaysia apabila dijadual bertemu Johor Darul Ta'zim (Johor DT), namun pertahanan kental, Hasmizan Kamarodin mengakui mereka tetap mempunyai kelebihan melakukan kejutan apabila berentap di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, 3 Oktober ini.

Hasmizan yang juga kapten Terengganu berkata, jika lawan dibarisi pemain kebangsaan, skuad Penyu juga tidak kurang hebatnya dengan rangkaian pemain berpengalaman.


"Saya tetap optimis Terengganu mampu memberi cabaran hebat kerana kami turut memiliki pemain berkualiti yang mampu membentuk gandingan mantap di setiap posisi apatah lagi dibimbing jurulatih berpengalaman Abdul Rahman Ibrahim.

"Namun, peluang Terengganu dan Johor DT boleh dianggap seimbang berdasarkan perlawanan liga apabila masing-masing menang sekali dan tewas sekali," katanya.


Bagi memastikan impian itu tercapai, pemain yang lahir daripada program MyTeam itu mengharapkan rakan sepasukan perlu berusaha lebih keras kerana lawan bukan mudah ditewaskan.


"Kita sedar bukan mudah untuk tundukkan mereka, namun saya tetap menuntut rakan sepasukan beraksi lebih baik untuk bekalan selesa sebelum perlawanan timbal balik pada 17 Oktober," katanya.

Pertahanan berusia 30 tahun itu turut mengharapkan dua pemain import, Andres Estupinan dari Colombia dan Moustapha Dabo (Liberia) yang disisihkan jurulatih kerana prestasi tidak konsisten dapat meningkatkan kualiti.


"Kudrat pemain import terutama dalam saingan suku akhir perlu untuk memantapkan pasukan dan sebagai kapten, saya menyeru kedua-dua pemain itu supaya meningkatkan prestasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/12

No comments:

Post a Comment