Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Buruan benam 'badi'

Posted: 15 Sep 2014 10:50 AM PDT

Incheon: Pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei kerap terkulai di kejohanan utama, tetapi kini dia mempunyai peluang menamatkan badi terutama berdepan seteru utama, Lin Dan di Sukan Asia 2014 Incheon.

Senarai kegagalan Chong Wei bertambah lagi bulan lalu, walaupun tanpa Lin Dan, apabila dikejutkan Chen Long pada perlawanan akhir Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen.


Selepas berulang kali dinafikan jaguh China, Lin Dan di Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik, Chong Wei, 31, mempunyai satu lagi peluang meraih kejohanan utama.

Bahkan media tempatan yang simpati terhadapnya juga tertanya-tanya sama ada wira mereka ini, yang tewas dua temasya Olimpik di tangan Lin Dan mampu meraih kejayaan kali ini.


Kini dia mensasarkan kejuaraan Sukan Asia sulung dan akan berdepan cabaran sengit pemain dari China.


Empat tahun lalu di Guangzhou, Chong Wei sudah dikecewakan 'Super Dan' yang mengoyakkan bajunya dan meraikan kemenangan secara berlebih-lebihan apabila memenangi perlawanan akhir untuk meraih pingat emas Sukan Asia.

Foto

Datuk Lee Chong Wei

Suasana seperti itu sering disaksikan Chong Wei, terutama di Sukan Olimpik 2012 London apabila dia mempamerkan permainan memberangsangkan sebelum Lin Dan bangkit melawan.


Tahun lalu, Chong Wei turut bertemu Lin Dan pada perlawanan akhir Kejohanan Dunia, tetapi terpaksa menarik diri pada set ketiga. Ia adalah aksi akhir kelima kejohanan utama dia tewas kepada budak emas China itu.

Perlawanan ulangan di Incheon akan menggembirakan penyokong dan ia menyajikan persembahan mengasyikkan antara dua pahlawan walaupun sudah berusia, tetapi tetap di puncak prestasi sukan badminton.


Lin Dan, 30, sudah lama tidak beraksi dalam acara badminton sejak Sukan Olimpik 2012 London dan tidak berada dalam senarai 100 pemain terbaik dunia awal tahun ini sebelum kembali ke gelanggang dengan melonjak ke tangga ke-19 dunia.


Chong Wei, setahun lebih tua dari Lin Dan, bergelut dengan kecederaan paha yang memaksanya menarik diri dari Sukan Komanwel 2014 Glasgow.


Bagaimanapun, Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Kenny Goh berkata, Chong Wei berada di landasan terbaik dan akan berlepas ke Incheon esok.


"Kami berada di tahap akhir persiapan. Chong Wei berlatih setiap hari dan sudah sembuh daripada kecederaan," katanya.


Chong Wei berkata, Sukan Asia lebih penting berbanding Kejohanan Dunia kerana ia dianjurkan empat tahun sekali.


"Saya mahu bangkit daripada kekalahan demi kekalahan sebelum ini. Saya perlu kuat dari segi mental.


"Saya juga merasakan Sukan Asia kali ini yang paling sukar buat saya apabila dua pemain terbaik China (Lin Dan dan Chen Long) akan mengambil bahagian.


"Kini semuanya bergantung kepada saya untuk memperkuatkan diri berdepan cabaran itu," kata Chong Wei. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/16

Julang maruah Reds

Posted: 15 Sep 2014 10:31 AM PDT

Liverpool: Kancah bola sepak Liga Juara-Juara kembali ke Anfield buat kali pertama dalam tempoh lima tahun awal pagi esok apabila Liverpool menanti kunjungan juara Bulgaria, Ludogorets Razgrad untuk aksi pembukaan Kumpulan B.

Disember 2009 menyaksikan Liverpool bermain buat kali terakhir dalam aksi pertandingan elit Eropah itu, tewas 2-1 di gelanggang sendiri kepada Fiorentina dan dengan hanya dua pemain masih lagi beraksi daripada skuad itu, Martin Skrtel dan kapten Steven Gerrard.


Empat tahun 'tersingkir' akibat menduduki tempat ketujuh, keenam, kelapan dan ketujuh dalam Liga Perdana sebelum pencapaian menarik tahun lalu melonjakkan semula juara Eropah lima kali itu kembali beraksi dalam kelompok pasukan terbaik benua itu.

"Kami tidak sabar untuk beraksi. Ia sungguh seronok dapat kembali bermain di Eropah. Kami bekerja keras musim lalu untuk berada dalam kelompok empat terbaik dan sekarang kami meraih pulangannya dengan berada dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini," kata Gerrard kepada Radio City.


Gerrard menjadi tonggak menakjubkan Liverpool kerana mereka bangkit menang sewaktu menentang AC Milan pada final 2005 di Istanbul dengan namanya kini terukir sebagai legenda di Eropah.


Jika ada kekesalan berikutan kembalinya Liverpool dalam Liga Juara-Juara, ia mungkin kerana ketiadaan Luis Suarez yang dijual ke Barcelona selepas 31 jaringannya membantu The Reds memastikan tempat kedua Liga Perdana Inggeris, musim lalu.

Kecederaan paha Daniel Sturridge bermakna Liverpool akan tanpa penyerang yang turut membantu kegemilangan kembali ke Anfield bagi musim 2013-14.


Tetapi beberapa pemain utama musim lalu akan melalui pengalaman pertama Liga Juara-Juara, termasuk pemain sayap yang sedang beraksi baik, Raheem Sterling.

Pengurus Brendan Rodgers yang menjadi arkitek dalam kebangkitan kelab itu mengesahkan pemain berusia 19 tahun itu akan kembali membarisi kesebelasan utama selepas tewas 1-0 kepada Aston Villa, Sabtu lalu.


Jordan Henderson dan Adam Lallana yang membuat penampilan pertama menentang Villa akan turut merasai saingan Liga Juara-Juara buat kali pertama tetapi Emre Can dan Lazar Markovic sedang menjalani penggantungan manakala kecergasan Skrtel, Glen Johnson, Jon Flanagan dan Joe Allen pula diragui.


Walaupun Ludogorets akan membuat penampilan pertama di peringkat kumpulan dan tidak bermain di Eropah sebelum ini, mereka bagaimanapun enggan dianggap 'budak belasahan'. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/16

Dortmund tagih aura Kagawa

Posted: 15 Sep 2014 10:30 AM PDT

Dortmund, Jerman: Borussia Dortmund menerima suntikan semangat menjelang aksi pembukaan Liga Juara-Juara menentang Arsenal di gelanggang sendiri berikutan kepulangan Shinji Kagawa ke Jerman, sekali gus mengurangi tamparan akibat kehilangan Marco Reus kerana kecederaan.

Naib juara Liga Juara-Juara 2013, Dortmund menerima khabar buruk apabila buku lali Reus terpelecok selain ligamennya terkoyak sewaktu aksi antarabangsa minggu lalu yang menyaksikan bintang Jerman itu terpaksa berehat empat minggu.


Justeru, kehadiran Kagawa yang juga pemain antarabangsa Jepun, selepas gagal menyerlah bersama Manchester United, diharap dapat mengatasi masalah dihadapi.

Selepas hanya berlatih dua minggu, pemain 25 tahun itu kembali mengingatkan peminat Dortmund mengapa mereka sukakannya sebelum dia berpindah ke England.Pada hujung minggu lalu, Kagawa membantu Adrian Ramos menjaringkan gol sebelum dia sendiri menggegar gawang. Kagawa kemudian dikeluarkan pada minit ke-64 kerana kekejangan otot sewaktu Dortmund menang 3-1 ke atas Freiburg. "Kami sudah tahu Shinji boleh membantu," kata pengurus Dortmund Juergen Klopp yang meletakkan pemain itu di samping Henrikh Mkhitaryan serta Kevin Grosskreutz dalam sistem 4-2-3-1.


"Dia masih berupaya menjaringkan gol," kata Klopp. Gol itu jaringan kompetitif pertama Kagawa sejak Mei 2013.


Dortmund turut mempunyai kapten dan juara Piala Dunia, Mats Hummels kembali berlatih walaupun dia tidak akan diturunkan menentang Arsenal. "Kami mahu permulaan yang baik. Kami mahu menang di tempat sendiri," kata Hummels mengenai aksi pembukaan Liga Juara-Juara.Arsenal hadir dalam saingan Kumpulan D selepas seri 2-2 dengan Manchester City di gelanggang sendiri yang menyaksikan mereka melepaskan gol pada minit ke-83.

Pemain Arsenal, Jack Wilshere menjangkakan aksi menarik menanti mereka di Dortmund. eka sentiasa bermain baik dalam setiap pertemuan kami," katanya. "Pasti sukar kerana kami bermain di tempat lawan. Selalunya aksi paling sukar pasti perlawanan pertama. Jika tidak menang, kami juga tidak mahu tewas." Arsenal sudah empat kali seri dalam enam perlawanan kompetitif pertama musim ini manakala Dortmud menang tiga daripada empat perlawanan setakat ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/16

Di Maria mampu gegar!

Posted: 15 Sep 2014 10:30 AM PDT

Manchester: Pengurus Manchester United (MU) Louis van Gaal percaya bintang barunya Angel di Maria mampu memberi aksi lebih bertenaga selepas mengilhamkan kemenangan penuh bermakna buat pasukan barunya dengan menewaskan Queens Park Rangers, 4-0 dalam penampilan sulung di halaman sendiri.

Pemain antarabangsa Argentina yang melakar rekod perpindahan bersama United, disenaraikan dalam kesebelasan utama di samping Radamel Falcao turut mencipta caps pertamanya kelmarin di Old Trafford dengan Di Maria menyumbangkan satu gol serta penggerak utama dua gol berikutnya.


Walaupun terpaksa dikeluarkan pada minit ke-82 akibat mengalami kekejangan otot, Van Gaal menyifatkan pemain sayap bernilai £59.7 million (RM313juta) mampu beraksi lebih menyengat lagi selepas ini.

"Di Maria sudah melaksanakan tugasnya dengan baik sekali, namun dia mengalami kekejangan. Biarpun tidak dapat beraksi selama 90 minit, tetapi dia sudah memberikan segala-galanya," kata bekas jurulatih Belanda itu ketika sidang media.


"Selepas mendahului tiga gol menerusi gerakan yang berpunca darinya (Di Maria) dan dia juga turut menjaringkan gol pertama, sudah pasti pasukan perlu mengekalkan momentum dan mengelak daripada permainan buruk. Malah kami perlu memperkemaskan setiap gerakan, agar pasukan boleh melakukan sesuatu, termasuk Di Maria.


"Bolehkah anda melakukan yang lebih baik dengan mendahului tiga gol dan selepas itu menambah satu lagi? Ia hampir mustahil. Tetapi saya seorang jurulatih dan saya menganalisis permainan," katanya.

Di Maria meletakkan United di depan pada minit ke-24 dengan sepakan percuma cantik yang terus menerjah jaring pelawat. Bekas pemain Real Madrid itu sekali lagi mempamerkan sentuhan berbisa apabila kali ini membuka jalan buat rakan sepasukan Ander Herrera dan Wayne Rooney meledak dua gol berikutnya sebelum tamat babak pertama. Memasuki babak kedua, Juan Mata melengkapkan kemenangan bergaya United menerusi gol keempat pada minit ke-58.


United yang berjaya menamatkan kemarau kemenangan kelmarin selepas tiga aksi sebelum ini sekadar seri dua kali dan tewas sekali, menyaksikan Van Gaal merombak barisan pemain dengan menurunkan empat pertahanan dan lima di bahagian tengah.

"Kami tidak boleh bermain dengan lima pemain pertahanan kerana (Chris) Smalling dan (Phil) Jones cedera," Kata Van Gaal. "Saya terpaksa mengubah taktikal permainan kepada empat pertahanan berdasarkan kepada situasi semasa pasukan.


"Saya berkata kepada pemain sebelum perlawanan bahawa kita mempunyai peluang untuk membuat satu permulaan yang baru hari ini (kelmarin)," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/16

Falcao terima sambutan meriah

Posted: 15 Sep 2014 10:29 AM PDT

Manchester: Kemunculan penyerang baru Manchester United di Old Trafford, Radamel Falcao ketika sesi memanaskan badan disambut meriah penyokong dan mendapat tepukan gemuruh apabila dia dimasukkan pada minit ke-67 yang menyaksikan United menang 4-0 ke atas Queens Park Rangers, kelmarin.

Falcao hadir dengan reputasi besar dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan misi membantu pasukannya memburu kejuaraan liga, namun dikhabarkan penyerang itu tidak akan lama bersama United.


Penyokong United mengharapkan penyerang baru dari Colombia itu terus kekal beraksi secara tetap berbanding dipinjamkan selama semusim dari kelab Monaco.

"Saya akan cuba untuk tinggal di sini. Saya ingin menjadi legenda di United," katanya kepada Sky Sports sebelum perlawanan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/16

Valencia langkah kanan

Posted: 15 Sep 2014 10:29 AM PDT

Madrid: Valencia dan Sevilla meneruskan kempen cemerlang La Liga Sepanyol apabila tonggak baru Valencia dari Sepanyol, Paco Alcacer memacu kemenangan 3-1 ke atas Espanyol dan Sevilla berjaya membenam Getafe 2-0, kelmarin.

Alcacer yang bermain dibahagian penyerang dipanggil menyertai skuad negaranya buat kali pertama bulan ini, meledakkan jaringan pertama bersama kelab barunya itu pada minit ke-73, dengan Pablo Piatti dan Daniel Parejo terlebih dulu mencetak nama selaku penjaring Valencia.


Sergio Garcia menjaringkan gol tunggul Espanyol menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan babak pertama, namun jaringan itu gagal menghalang Valencia mengutip tiga mata penuh dan berkongsi mata dengan Atletico Madrid dan Sevilla, tujuh mata di kelompok teratas liga.

Sevilla, juara Liga Europa musim lalu merakamkan kemenangan hasil sumbangan Carlos Bacca pada babak pertama dan Aleix Vidal tiga minit sebelum tamat permainan.


Valencia terlepas slot beraksi di pentas Eropah musim ini, mengharapkan kebangkitan semula selepas mengalami masalah kewangan beberapa tahun lalu dan kini dimiliki jutawan Singapura, Peter Lim. Valencia mengikat penyerang Manchester City, Alvaro Negredo pada musim ini dan peminat kelab Sepanyol itu dilapor tidak sabar melihat aksi pemain berusia 29 tahun itu sebaik sahaja kakinya yang patah pulih.


"Pada babak pertama, kami menguasai tempo perlawanan dan pelawat sukar memasuki kawasan kami," kata jurulatih Valencia Nuno. "Kami gembira walaupun masih ada beberapa perkara kecil yang perlu kami betulkan," katanya. Barcelona mengekalkan rekod bersih dalam tiga aksi dengan mengumpul sembilan mata, selepas menewaskan Athletic Bilbao menerusi dua jaringan pemain gantian Neymar, Sabtu lalu.

Foto

ALCACER (kiri) jaring gol ketiga Valencia.

Sementara itu, permulaan perlahan Real Madrid pada awal musim berterusan apabila tewas 2-1 di tempat sendiri kepada Atletico dengan barisan kendalian Carlo Ancelotti kini ketinggalan enam mata di belakang Barcelona dan empat mata di belakang jirannya, Atletico. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/16

Milan kembali teraju Serie A

Posted: 15 Sep 2014 10:28 AM PDT

Milan: AC Milan kembali merampas kedudukan teratas Serie A selepas meraih kemenangan penuh dramatik 5-4 ke atas Parma selepas kedua-dua pasukan terpaksa bermain 10 pemain.

Juara bertahan, Juventus dan Roma turut melakar kemenangan dalam dua aksi pembukaan dengan kini masing-masing menghuni tangga kedua dan ketiga manakala Inter Milan yang hanya ketinggalan dua mata di tempat keempat.


Milan yang kini dibimbing pengurus baru Filippo Inzaghi pada mulanya dilihat tidak berdepan masalah memenangi perlawanan apabila mendahului 3-1 sebelum rehat.

Bekas penyerang Atalanta, Giacomo Bonaventura menjaringkan gol pertama Milan pada minit ke-25 selepas mendapat hantaran Keisuke Honda. Namun pasukan tuan rumah tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan 1-1 hasil tandukannya dua minit kemudian.


Pelawat kemudian menambah dua lagi jaringan sebelum waktu rehat hasil sumbangan Honda dan Jeremy Menez.


Namun bersambung separuh masa kedua, tuan rumah merapatkan jurang hasil jaringan Felipe.

Tonggak pertahanan Milan, Daniele Bonera diperintah keluar padang selepas bersalah menggunakan tangan untuk menahan bola.


Biarpun bermain 10 orang, Milan bernasib baik apabila Nigel De Jong berjaya menambah jaringan keempat pelawat untuk meletakkan Milan mendahului Parma 4-2.

Tersentak dengan jaringan itu, Parma merapatkan jurang sekali lagi menerusi gerakan sama daripada tandukan namun kali ini menemui kepala Lucarelli buat menewaskan Lopez di pintu gol Milan.


Nasib nyata tidak memihak kepada tuan rumah, kali ini Felipe pula diarah meninggalkan padang selepas dilayangkan kad kuning kedua ekoran terjahan keras dari belakang ke atas Menez.


Beberapa minit kemudian, Menez yang juga tonggak antarabangsa Perancis melengkapkan jaringan kelima pasukannya, sebelum Parma memperoleh gol keempat hasil jaringan sendiri pertahanan Milan, Mattia De Sciglio pada waktu kecederaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/16

Misi Federer

Posted: 15 Sep 2014 10:28 AM PDT

Geneva: Perancis akan menanti kunjungan Switzerland dalam perlawanan akhir Piala Davis November ini selepas Roger Federer membantu negaranya meraih mata kemenangan menentang Itali di Geneva, Ahad lalu.

Federer mara ke perlawanan akhir Piala Davis buat kali pertama dalam kariernya selepas mencatat kemenangan selesa 6-2, 6-3, 7-6 (7/4) ke atas Fabio Fognini dalam perlawanan pertama separuh akhir ulangan perseorangan lelaki.


Ia menjadikan kedudukan 3-1 buat Switzerland yang membolehkan mereka mara ke saingan akhir buat kali pertama dalam kejohanan acara berpasukan yang dianjurkan setiap tahun selepas kali terakhir mara sejauh itu pada 1992 ketika tewas kepada Amerika Syarikat.

Andreas Seppi menumpaskan Michael Lammer 6-4, 1-6, 6-4 dalam perlawanan terakhir untuk menjadikan kedudukan 3-2.


Perancis pula mara ke saingan akhir buat kali pertama sejak 2010, Sabtu lalu apabila beregu mereka yang membariskan Richard Gasquet dan Jo-Wilfried Tsonga menumpaskan pasangan Republik Czech, Tomas Berdych dan Radek Stepanek dalam saingan empat set di Roland Garros.


Perlawanan akhir akan diadakan di Perancis dari 21 hingga 23 November dan bandar utara, Lille akan menjadi tuan rumah.

Foto

Roger Federer

Kali terakhir kedua-dua ne gara bertemu di Piala Davis di peringkat suku akhir pada 2004 apabila Switzerland me nang 3-2 di tempat sendiri.


"Ia adalah perlawanan klasik yang akan saya lalui menentang Perancis, pastinya saya gembira.

"Kami melalui aksi menarik di Switzerland sebelum ini dan gembira untuk berada dalam saingan akhir dan kita lihat apa yang akan berlaku nanti.


"Sungguh bagus untuk berkongsi perasaan dengan penyokong sendiri dan orang tersayang. Anda harus bertarung dengan segala tenaga yang ada dan saya gembira dapat melakukan sesuatu yang berbeza," kata Federer. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/16

McIlroy letih mental

Posted: 15 Sep 2014 10:26 AM PDT

Atlanta: Usaha Rory McIlroy untuk menambah beberapa mata selepas cemerlang di Jelajah PGA musim ini terencat di Kejohanan Jelajah, Ahad lalu apabila pemain nombor satu dunia itu keletihan dari segi mental berikutan beraksi selama 10 minggu berturut-turut.

Selepas beraksi dalam lapan kejohanan, McIlroy hanya berkongsi tempat kedua apabila usahanya untuk meraih kejuaraan dihantui double bogey di lubang enam, diikuti dengan bogey berturut-turut di lubang kesembilan, 10 dan 11.


McIlroy yang meraih dua kejuaraan utama di antara empat kejuaraan di seluruh dunia tahun ini, memulakan pusingan terakhir di East Lake Golf Club dengan berkongsi kedudukan pendahulu sebelum juara menjadi milik Billy Horshel tatkala dia hanya melakukan satu atas par 71.

"Saya keletihan. Saya akan berehat beberapa hari dan tidak akan melihat kelengkapan golf saya buat seketika dan selepas sudah bersedia, saya akan teruja semula dan mempersiapkan diri untuk Piala Ryder," kata pemain kelahiran Ireland Utara itu selepas menamatkan saingan dengan melakukan birdie tiga kali berturut-turut bermula dari lubang ke-15 untuk mengutip keseluruhan lapan bawah par 272, berkongsi kedudukan dengan pemain veteran Amerika Syarikat, Jim Furyk.


Piala Ryder ke-40 berlangsung di Gleneagles, Scotland dari 26 hingga 28 September.


McIlroy yang mengaku dia penat dari segi mental dan bukannya fizikal, berasa sudah membayar dengan harga yang mahal beraksi dalam empat kejohanan playoff FedExcup, yang dijalankan berturut-turut untuk menamatkan musim Jelajah PGA 2013-14. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/16

'Tak sabar tonton aksi MTB'

Posted: 15 Sep 2014 10:25 AM PDT

Temerloh: Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 yang akan berlangsung di Stadium Temerloh pada 27 September pastinya dinantikan seluruh warga daerah ini.

Laluan trek sepanjang 40 kilometer (km) itu yang bermula dari stadium itu melalui beberapa perkampungan tradisional seperti Kampung Belengu, Lebak dan Pangsenam pasti menjadikan perlumbaan kali ini lebih menarik.


Penduduk Kampung Belengu, Hamdan Yakob, 64, berkata kejohanan itu pasti dapat menarik perhatian penduduk untuk menyaksikannya secara lebih dekat.

"Kira-kira 1,000 penduduk di sini pasti tidak sabar dan teruja menanti hari berlangsungnya kejohanan itu.


"Dengan keadaan jalan bersimpang siur dan berbukit, ia bakal mencabar stamina selain memberikan persaingan sengit kepada peserta," katanya ketika ditemui, semalam. Sementara itu, penduduk Kampung Baru Pangsenam, Azizul Samsudin Ahmad (gambar), 73, berkata, ini kali pertama kejohanan basikal lasak melalui kawasan kampungnya.


"Kami selaku penduduk kampung menyambut baik kejohanan ini dan akan menunggu peserta melalui kawasan kampung kami memandangkan sebelum ini belum pernah ada kejohanan seperti ini.

Foto

KAMPUNG Baru Pangsenam antara kawasan yang akan dilalui peserta Harian Metro MTB.

"Di sini ada kebun getah dan kelapa sawit serta suasana kampung damai akan memberikan pengalaman berbeza kepada peserta nanti," katanya.


Temerloh yang terkenal dengan jolokan 'Bandar Ikan Patin' menjadi lokasi kedua bagi kejohanan itu selepas Kuala Kangsar, Perak, pada 24 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/16

No comments:

Post a Comment